DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 6

MASUK hari ini, sudah hampir seminggu Uwais
bekerja di Taska Harapan Ummi. Tugasannya hampir sama
setiap hari. Siram dan rapikan pokok bunga. Sapu daun-daun
kering yang gugur di kawasan sekitar taska. Ada juga sekali,
dia diminta oleh Kak Embam untuk membaiki kerusi dan
meja yang rosak di dalam kelas.
Pagi Jumaat yang cerah ini pula amat sesuai untuk
melaksanakan tugas potong rumput di padang. Kawasan
padang rumput yang terletak betul-betul menghadap bilik
guru itu sering digunakan oleh pelajar untuk aktiviti luar.
Jadi, sudah jadi tugas Uwais untuk memastikan bahawa
kawasan padang rumput ini sentiasa bersih dan kemas.
Uwais mula menghidupkan enjin mesin pemotong
rumput. Bersiap sedia untuk merapikan rumput yang tumbuh
sejengkal di kawasan padang. Seluar ketat yang bertebuk di
tempurung lututnya diangkatkan sedikit ke atas. Jangan biar
terlondeh. Kedua-dua telinganya pula disumbatkan dengan
earphone. Biar lebih santai ketika membuat kerja.
Penuh gaya Uwais menolak mesin pemotong rumput.
Hampir tertonggek-tonggek punggungnya menari mengikut
irama lagu rock yang berkumandang di telinga. Topi jerami
yang dipakai dibetulkan kedudukannya agar tidak terjatuh.
Uwais menolak mesin pemotong rumput berulang-alik
mengikut arah yang berlawanan.
Dari sudut tingkap bilik guru, dua pasang mata asyik
memerhati gerak-geri Uwais. Tersenyum-senyum kucing
mereka berdua melihat reaksi lelaki itu.
“Boleh dengar ke dia lagu tu?” soal Kak Embam
sambil ketawa geli hati. Sudahlah bunyi mesin rumput itu
kuat sampai boleh memekakkan telinga. Boleh runtuh
salji Antartika dibuatnya. Macam manalah lelaki itu boleh
mendengar lagu yang dipasangnya tu?
“Entahlah. Tapi, apa-apa pun dia nampak handsome...
dan yang paling penting, penuh bergaya,” jawab Mastura.
Tidak berkedip langsung mata mereka. Teruskan aktiviti
mengintai anak teruna orang.
“Hei mak dara sekalian, apa yang korang buat ni,
hah?” kejut Kak Melati dari belakang. Terkeluar latah Kak
Embam. Mastura yang tak berkedip mata dari tadi pantas
mengurut dadanya kerana terkejut.
“Kami tengah tangkap leleh skodeng Bon Jovi la.
Cuba akak tengok! Handsome gila. Pandai menari pulak tu...”
Mastura memberi ruang kepada Kak Melati untuk mengintai.
“Isy, tak kuasalah akak! Macam tak ada kerja lain je
korang ni. Waktu rehat macam ni cubalah cari aktiviti yang
berfaedah sikit. Mengintai orang lain buat apa?” marah Kak
Melati.
“Bukannya selalu dapat cuci mata. Kak Melati ni pun
satu... tak sportinglah!” rungut Mastura. Kak Embam pula
mengiakan. Sokong kata-kata Mastura sepenuhnya.
“Pening betullah aku layan korang berdua ni!
Sorang dah bertunang... sorang lagi balu anak satu. Dia tu
tak sepadan dengan koranglah!” bebel Kak Melati lagi.
“Tapi kalau dengan Kak Melati okey kan?” sambung
Mastura. Cuba mengusik Kak Melati. Kemudian, matanya
menjeling pula ke arah Kak Embam. Minta respons bagi
bahan lawak yang seterusnya.
“Betul tu, Melati. Lagipun, kau tu kan solo. Menawan
apa?” sokong Kak Embam sambil ketawa. Kalaulah Kak
Embam dan Mastura dah bergabung, begitulah jadinya. Dua
orang ini memang terkenal dengan gelaran ‘Ratu Mengusik’.
“Merepeklah korang ni! Kalau dengan Cik Ummi
kita tu, secocoklah,” kata Kak Melati sambil menjuihkan
bibir. Terlihat kelibat Ummi yang secara kebetulannya lalu di
hadapan bilik guru.
“Cik Ummi, Cik Ummi! Sini kejap,” panggil Mastura.
Agak teruja.
“Ada apa berkumpul ramai-ramai ni?” Ummi jadi
aneh lalu menghampiri mereka. Tiga orang wanita itu sedang
berdiri menghadap ke tingkap.
“Ala... dia dah habis potonglah,” rungut Mastura.
Agak kecewa apabila Uwais sudah selesai melaksanakan
tugasnya memotong rumput.
“Potong apa?” soal Ummi. Semakin keliru. Tidak
faham apa yang dimaksudkan oleh Mastura. Ummi cuba
mengintai di luar tingkap. Apa yang dapat dilihatnya cumalah
Uwais. Lelaki itu sedang membersihkan mesin rumputnya di
bawah pohon beringin berhampiran dengan padang sekolah.
“Cik Ummi lambat sangat. Bon Jovi dah tutup show,”
tambah Kak Embam.
Mereka bertiga ketawa serentak. Kemudian terus
berlalu pergi meninggalkan Ummi dengan seribu pertanyaan.
Ummi masih tidak berpuas hati. Rasa ingin tahu makin
menusuk-nusuk tangkai hatinya. Entah apalah yang mereka
hendapkan tadi? Ketawa sampai tidak ingat dunia!
Giliran Ummi pula mengintai di tepi tingkap. Uwais
nampaknya sedang meneguk minuman jernih di dalam
botol plastiknya. Melepaskan lelah. Peluh di dahi dilapnya
menggunakan tuala kecil yang tersidai di atas bahu.
“Apa yang menariknya?” bisik Ummi sendiri. Masih
merenung tindak-tanduk Uwais agak lama.
Mata Uwais tertangkap ke arah tingkap bilik
guru. Terasa macam ada kelibat manusia yang sedang
memerhatikannya. Walaupun agak kurang jelas, dia dapat
mengenali susuk tubuh itu. Ummi sedang merenungnya
tajam. Uwais pantas melemparkan senyuman manis sambil
mengangkatkan tangan kanannya.
“Erk!” Hati Ummi jadi tak keruan. Tersenyum malu
lalu segera menjauhi kawasan tingkap.
Ummi jadi malu sendiri. ‘Salah aku juga. Siapa suruh
renung lama-lama? Macam serigala nak menerkam mangsa
je. Jangan sampai Uwais salah faham dengan pandangan mata
aku ni sudahlah!’ bisik hati Ummi.
SELEPAS TAMAT sahaja waktu sekolah, Ummi memandu
Mini Coopernya pulang ke rumah. Dalam perjalanan, tekak
Ummi terasa sangat haus. ‘Kalau dapat menikmati minuman
sejuk pada waktu ini kan bagus. Pekena pula jus oren
macam dalam iklan TV yang aku tonton semalam. Perghh,
nikmatnya!’ Membayangkan itu, Ummi membuat keputusan
untuk singgah sebentar di sebuah kedai serbaneka.
Dengan lagak bersahaja, Ummi menolak pintu kaca.
Niatnya hanya mahu mendapatkan minuman sejuk yang enak
itu kemudian segera beredar dengan cepat setelah membuat
pembayaran. Melangkah masuk ke dalam, Ummi tersenyum
simpul sebaik sahaja menghampiri peti ais. Dia mengambil
sebotol jus oren bersaiz kecil kemudian menuju ke kaunter
untuk membuat bayaran.
Sampai saja di kaunter, mata Ummi terpaku pada
satu susuk tubuh yang amat dikenalinya. Lelaki berjaket biru
dengan rambut panjang berketaknya itu sedang mengira
longgokan duit syiling di atas meja kaunter. Hampir saja
keluar asap dari telinga Ummi menunggunya!
“Encik tak ada duit ‘besar’ lagi ke nak bayar bil ni?”
soal gadis penjaga kaunter. Agak bosan menunggu Uwais
mengira duit syilingnya.
“Cik adik, kalau tak ada duit yang ‘kecik’ ni, takkan
wujudnya duit yang ‘besar’. Cuba adik bayangkan. Kalau tak
ada duit syiling 10 sen, macam mana nak cukup 10 ringgit?”
bebel lelaki itu tanpa perasaan bersalah. Beberapa keping duit
syiling yang sudah siap dikira, dialihkan ke tepi. Dia kembali
mengira baki yang selebihnya pula.
Ummi yang berdiri di belakangnya mengetap bibir.
‘Tahan sabar sajalah menunggu dia ni. Bila nak selesai ni?
Tekak aku dah dahaga sangat ni,’ rungut Ummi.
‘Ini tak boleh jadi.’ Ummi membersihkan kerongkong
sebelum bersuara. Nasib baiklah lelaki ini Ummi kenal.
Tidaklah segan rasanya mahu memberikan kata-kata nasihat.
“Mat Rock, awak nak bayar bil TV ke?” tegur Ummi
dari belakang. Sudah tak tahan menahan sabar!
“Eh, Cik Ummi! Apa yang Cik Ummi buat kat sini?
Cik Ummi stalk saya, ya?” Sempat juga Uwais berseloroh.
“Stalk taik kucing awak! Cepatlah, Mat Rock. Orang
lain pun nak kejar masa ni.” Ummi menoleh ke belakang.
Tiga orang pelanggan yang berada di belakangnya turut sama
menunggu giliran.
“Maaf, ya semua. Dik, tolonglah abang kira sekali,”
pinta Uwais setelah mengangkat tangan memohon maaf
kepada mereka yang beratur panjang. Gadis di kaunter itu pun
bantu Uwais mengira. Hampir lima minit Ummi menunggu,
baru semuanya selesai.
“Awak ni, lain kali kiralah awal-awal. Tak pun tukar
la kat kedai runcit ke... bank ke apa, kan senang?” omel Ummi
sambil membuat pembayaran air minumannya pula. Uwais
yang masih berdiri di situ tersengih-sengih menutup malu.
“Terima kasih,” ucap Ummi setelah menerima resit
bayarannya. Cepat-cepat dia keluar dari kedai serbaneka
tersebut. Uwais yang berdiri di situ dari tadi turut mengekori
Ummi sehingga ke tempat parkir kereta.
“Kenapa awak ikut saya pulak? Dah habis dah
korek duit tabung cap ayam awak tu?” seloroh Ummi dalam
senyuman. Tangannya tak jadi mahu membuka pintu kereta.
“Eh, pandainya Cik Ummi. Mana Cik Ummi tahu
yang saya korek tabung?”
“Tengok karat pada duit syiling awak tu pun saya
taulah.” Ummi tergelak kecil. Rasa kelakar pula dengan
gelagat lelaki ini. Takkanlah tidak cukup wang sampai
sanggup korek tabung pula?
“Biasalah, Cik Ummi. Saya memang suka menabung.
Kalau Cik Ummi nak tahu, kat rumah saya tu ada lagi lima
buah tabung cap ayam.” Uwais tersengih panjang.
“Ya ke? Okeylah. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya
nak balik dulu.” Cepat Ummi mahu meminta diri. Malas pula
rasanya melayan kerenah lelaki ini lama-lama. Nanti, makin
banyak pula celotehnya.
“Eh, tunggulah sekejap, Cik Ummi. Saya ada benda
nak beritahu ni,” tahan Uwais.
“Apa lagi ni, Mat Rock?”
“Hurmmm... Cik Ummi free tak hari Sabtu ni?
Maksud saya, esok. Yalah esok... free tak?” Berulang soalan
yang ditanya.
“Sabtu ni? Kenapa?” soal Ummi semula.
“Saya ingat nak ajak Cik Ummi teman saya pergi
jamming.”
“Jamming?”
“Okey. Jamming sambil sambut birthday kawan baik
saya.” Uwais tersengih macam kerang busuk.
“Ermm... sebenarnya saya tak faham. Jamming tu
apa benda kejadahnya?” Ummi buat muka aneh. Tak pernah
pula dia mendengar istilah seperti itu.
“Macam mana nak cakap ni ek? Ah, jamming tu
macam latihan muzik. Bila ada band, akan ada muzik. Bila
ada muzik, kita kena nyanyi.” Uwais tergelak.
“Okey... Jadi, kenapa saya yang kena pergi?” soal
Ummi selamba. Merenung ke dalam mata Uwais.
“Errr... errr... mmm.” Muka Uwais berkerut-kerut,
mencari jawapan. Punyalah berdebar-debar rasanya. Tidak
sanggup bertentang mata lama-lama dengan Ummi.
Wajah Ummi kelihatan lebih aneh. Semakin difikir,
semakin waswas pun ada. ‘Tak ada angin, tak ada ribut. Kenapa
lelaki ini tiba-tiba nak ajak aku keluar pula? Mencurigakan
betullah si Mat Rock ini.’
“Jangan-jangan awak nak try saya macam Datuk
Zulkifli tu jugak ek?” Ummi membuat spekulasi murahan.
Makin Uwais cuba melarikan anak matanya, makin galak
Ummi menatapnya.
“Eh, tak! Taklah!” Uwais menggarukan kepala.
Mukanya mula berona kemerahan akibat ditenung Ummi.
“Awak jangan macam-macam, Mat Rock. Nanti
saya sekeh kepala awak dengan kasut ni baru tau!” Ummi
memberikan amaran keras. Sudah bersiap sedia dengan
kasut tumit tingginya. Serius ni! Bila-bila masa tapak kasut
tersebut boleh melekap ke pipi Uwais.
“Eh, jangan, jangan! Saya minta maaf. Sebenarnya...
saya nak buat surprise party untuk best friend saya. Aizat.
Nama dia Aizat.” Tersekat-sekat nafas Uwais jadinya.
“Jadi?”
“Jadi... saya perlukan Cik Ummi dan yang lain-lain
untuk hias studio kami. Yalah, kami sebenarnya kekurangan
tenaga wanita. Jadi, kalau Cik Ummi free... sudi ke
tolong-tolong sikit?”
“I see... Sebenarnya saya tak ada masalah. Cuma,
saya nak tahu siapa lagi yang lain-lain tu?” Ummi menaikkan
keningnya sedikit.
“Ermmm... tadi saya ada tanya Kak Embam. Katanya
boleh. Mastura dengan Kak Melati pun rasanya tak ada
masalah. Jadi, mereka bertiga follow sekali,” ucap Uwais.
Penuh yakin.
“Okey, boleh. Insya-Allah.” Ummi mengangguk dan
tersenyum tanda setuju dengan pelawaan tersebut.
Tidak mahu lagi membuang masa, Ummi segera
meminta diri untuk pulang. Masuk ke dalam perut kereta,
dia terus memecut laju meninggalkan Uwais sendirian. Uwais
hanya menjadi pemerhati sehingga kereta yang dipandu
Ummi hilang dari pandangan mata.
Sambil memandu, otak Ummi mula berfikir-fikir.
“Studio? Jamming? Dia ni penyanyi ke apa? Isy, tak
faham betul aku dibuatnya!” Ummi mengerutkan bibir. Baru
dia teringat sesuatu. ‘Eh, kenapalah aku tak tanya semua ini
tadi? Tak pernah kenal latar belakang lelaki itu, terus saja
setuju. Jangan-jangan si Mat Rock tu ada niat tak baik. Siapa
tahu?’
Yalah! Kalau pasal lelaki, Ummi Nadzirah memang
kena berhati-hati. Mereka ni suka ambil kesempatan. Macam
Datuk Z tu! Miang mengalahkan batang keladi. Ke Ummi
sendiri yang terlebih paranoid? Anti lelaki? Mungkinkah
begitu?
Kalau Ummi anti lelaki, mesti dia benci melihat
semua kaum Adam yang ditemuinya. Eh, tak mungkinlah!
Ummi masih perlukan lelaki dalam hidupnya. Cuma, apa
yang perlu dia lakukan adalah berhati-hati. Ya! Berhati-hati.
Jangan sampai tertipu.
Lantaklah apa-apa pun niat si Mat Rock itu. Asalkan
murni-murni saja sudahlah. Anggaplah ini sebagai bantuan
Ummi Nadzirah untuk membalas budi. Balas budi tempoh
hari kerana sudi menyamar sebagai ‘encik tunang’. Titik!

No comments:

Post a Comment