NAFAS ditarik dalam, kemudian dilepas
perlahan-lahan. Sambil jari telunjuknya mengetuk
stereng kereta, Durrah setia memerhati setiap satu pekerja
beruniform putih yang melangkah keluar daripada pintu
pagar utama kilang penghasilan coklat Il Diletto itu. Penuh
sabar dia menunggu kemunculan Tariq dari dalam keretanya.
Durrah sempat kerling pada jam Franc Muller
berwarna rose gold di pergelangan tangan kirinya, apabila
dia lihat pekerja yang keluar dari pintu pagar itu semakin
berkurang. Tepat jam 6.27 petang. Ikut kata Puan Safa
sebelum dia bertolak ke sini tadi, syif kerja Tariq hari ini
habis pukul 6 petang. Tapi kenapa Durrah masih tak nampak
bayang Tariq?
“Aku yang tak perasan dia dah keluar ke, atau dia
masih ada dekat dalam lagi?”
Durrah bertanya sendiri. Hendak keluar cari Tariq di
dalam, takut pengawal atau staf pengurusan kilang perasan
kemunculan dia di situ. Durrah datang ke sini petang
ini bukannya atas urusan kerja, jadi dia tidak mahulah
kehadirannya mencuri tumpuan orang.
Tapi kalau dia tak keluar dan pastikan sendiri
sama ada Tariq sudah punch kad kedatangannya di pondok
pengawal atau tidak, macam mana dia nak tahu Tariq dah
habis kerja ke belum?
Tengah berkira-kira itu, bola mata Durrah dapat
menangkap kelibat Tariq sedang melangkah elok ke arah
tempat parkir motosikal.
‘Rezeki!’ Durrah senyum lebar.
KOCEK SELUAR hitam yang dipakainya diseluk, lalu kunci
motor kapcainya ditarik keluar. Tariq yang sudah siap
memakai topi keledar angkat kaki sedikit, bersedia hendak
naik ke tempat duduk motornya.
“Hah!”
“Opocot!”
Durrah gelak kecil mendengar latah Tariq. Tariq
ketap bibir. Geram.
“Apa main sergah-sergah ni hah? Tak reti bagi salam
dulu ke?”
Durrah senyum. Dia angkat tapak tangan ke udara,
melambai Tariq ceria.
“Assalamualaikum. Hai Tariq!”
“Waalaikummussalam!” Tariq jawab kasar.
‘Isy! Dah kenapa tiba-tiba muncul depan aku ni?
Ingatkan dia tak akan cari aku dah lepas apa yang jadi hari
tu. Eh? Tapi macam mana dia boleh tahu aku kerja dekat sini
ni ya? Stalk aku ke?’ Soalan demi soalan menderu masuk ke
dalam kepala Tariq, tatkala matanya masih setia merenung si
gadis bertudung hijau lembut di hadapannya.
“Baru balik kerja ya?”
“Taklah! Baru lepas buang air besar!”
“Oh, padanlah keluar lambat. Pergi buang air besar
dulu rupanya.”
Tariq menjeling geram pada Durrah.
‘Dia ni memang jenis tak faham orang perli ke atau
sengaja buat-buat bebal supaya aku sakit hati?’
“Kau buat apa kat sini? Siapa beritahu kau aku baru
lepas habis kerja ni? Mak su?”
Durrah senyum. Mengangguk.
“Tariq jangan marah dekat mak su tau. Kak Durrah
sendiri yang degil nak datang jumpa Tariq, walaupun Kak Safa
dah cakap Tariq mesti tak suka kalau Kak Durrah cari Tariq
lagi. Bukan salah Kak Safa, jadi nanti balik jangan merajuk
dengan dia ya?”
Seolah-olah tahu Tariq akan salahkan Puan Safa atas
kemunculannya ke mari, Durrah memberitahu tenang.
“Kak Durrah ada benda sikit nak bincang dengan
Tariq. Boleh tak kalau Tariq masuk kereta Kak Durrah kejap?”
Tiada balasan.
“Jangan risau. Kak Durrah bukan nak culik Tariq.”
Terus berkerut muka Tariq. ‘Eh dia ni, ke situ pulak!’
“Cakap ajelah dekat sini. Kenapa mesti nak kena
masuk kereta?”
‘Punya luas dekat luar ni, kenapa pula dia nak ajak
aku masuk kereta untuk berbincang? Pelik betul perempuan
ni!’ leter Tariq dalam hati.
“Alaaa, sekejap aje Tariq. Sepuluh minit. Please!
Please! Please! Kita masuk kereta Kak Durrah, kita berbincang
kejap ya?”
Tariq mengalah. Entah kenapa.
“AKU TAK mahu apa-apa.”
Tariq menjawab dingin, tanpa memandang wajah
Durrah. Bengang sebab dibawa ke Restoran Secret Recipe
ini tanpa persetujuannya. Yalah, mula-mula Durrah kata nak
bincang dekat dalam kereta sahaja. Tapi lepas dia elok masuk
ke kereta tadi, tiba-tiba wanita itu terus memandu pergi dari
kilang. Cakap nak bawa dia keluar makan pula. Pandai betul
Durrah tipu dia!
“Beri saya Deep Fried Wanton ni satu, lepas tu
Chicken Parmigiana ni, kemudian Noodle Tom Yum Kong
untuk adik saya ni.”
Mendengar Durrah membahasakan dirinya sebagai
adik, Tariq terus toleh ke depan.
“Air pula bagi mineral water dan jus epal kasturi ni.
Terima kasih.”
Pelayan yang usai mengambil pesanan Durrah itu
mengangguk, sebelum dia berlalu daripada meja tersebut.
“Siapa suruh orderkan makanan untuk aku? Kan
aku dah cakap aku tak mahu apa-apa? Lagi satu, kenapa kau
bahasakan diri aku sebagai adik kau dekat pelayan tadi? Bila
masa pula mak kau beranakkan aku?”
Durrah senyum.
“Kak Durrah tahu Tariq lapar sebab penat kerja
seharian, sebab itu Kak Durrah pesankan makanan untuk
Tariq. Pasal mengaku Tariq adik Kak Durrah tadi, apa
masalahnya? Memanglah bukan mak Kak Durrah beranakkan
Tariq, tapi sebab Tariq lebih muda daripada Kak Durrah, tak
salah kan Kak Durrah nak anggap Tariq adik Kak Durrah?”
Tariq merengus kecil.
“Tariq sihat?”
Tak ada sebarang balasan.
“Kak Durrah sihat.”
‘Huh! Orang tak tanya pun!’ gerutu Tariq dalam hati.
“Kau nak cakap apa dengan aku?”
Durrah senyum.
“Tentang tawaran Kak Durrah pada Tariq hari tu.”
Tariq buat muka bosan.
“Aku dah beritahu jawapannya pada kau hari tu kan?
Yang aku tak berminat.”
“Itu jawapan Tariq masa hari tu, bukan hari ni. Tak
mustahil jawapan Tariq hari ni boleh berubah, betul tak?”
“Jawapannya tetap sama. Aku tak berminat!”
“Okey, tak apalah kalau macam tu. Esok Kak Durrah
akan tanya Tariq lagi. Mungkin jawapan Tariq esok akan
berbeza?”
Tariq menjeling. ‘Isy! Perempuan ni!’
“Esok ke, lusa ke, tulat ke, tonggeng ke, jawapannya
tetap sama! Aku tak berminat!”
“Sampai tonggeng aje? Okey. Kalau macam tu lepas
hari tonggeng, Kak Durrah tanya semula.”
Tariq buat muka bengang campur sakit hati. Geram
dengan perilaku Durrah yang tak ubah macam orang tak
faham bahasa. Wajah senyum Durrah direnungnya tajam
buat beberapa ketika.
‘Asyik senyum aje minah ni! Tak penat ke senyum
tak sudah-sudah? Isy!’
“Kau ni mesti ada udang di sebalik batu kan?”
Durrah pamer muka tak berapa faham.
“Maksud Tariq?”
“Kau suka dekat aku ya?”
“Hah?!”
Durrah terkejut.
“Mesti kau nak suruh aku jadi anak ikan kau kan,
sebab tu kau tiba-tiba offer nak tampung aku kalau aku nak
sambung belajar, betul tak?”
“Pftt! Hahahaha!” Ketawa Durrah terhambur kuat.
Terasa lucu dengan teori pelik yang entah macam mana boleh
tertimbul di akal Tariq itu. Sampai senak perut dia mengekek.
Aduhailah! Tak masuk akal sungguh!
“Tariq tengah nak cuba bakat untuk masuk Maharaja
Lawak ke?”
Durrah geleng kepala perlahan, dalam tawa yang
masih bersisa. Wajah Tariq yang kelihatan bengang direnung
sinis.
“Dari mana Tariq dapat idea tak logik ni? Bila masa
Kak Durrah cakap Kak Durrah suka pada Tariq ni?”
“Habis kalau bukan sebab kau ada hati pada aku
yang kau beria-ia sangat nak suruh aku sambung belajar ni
kenapa? Nak support aku segala bagai ni?”
Durrah ketawa sampai tergeleng kepala.
“Well, sorry to disappoint, but I’m not interested
in dating young fellows who are still wet behind the ears.
Kak Durrah tak pernah dan tak mungkin akan nampak Tariq
sebagai seorang lelaki, jadi Tariq tak perlu risau atau takut
yang Kak Durrah akan ada perasaan yang tak sepatutnya pada
Tariq, okey?”
Tariq ketap bibir. Merenung Durrah dalam rasa
marah dan malu yang bergaul menjadi satu. Rasa tercalar
pula maruahnya mendengar kata-kata Durrah itu. ‘Ada ke
dikatanya aku ni masih basah dekat belakang telinga? Lagi
teruk, ada ke dia kata dia tak nampak aku sebagai seorang
lelaki pun? Bedebah betul!’
“Habis kalau kau tak nampak aku sebagai lelaki, kau
nampak aku ni sebagai apa? Shemale? Lagi satu, belakang
telinga aku ni tak basahlah! Kering aje sepanjang masa
kecuali masa mandi tau!”
Tariq buat gaya sentuh belakang telinga, sambil
menjeling Durrah tajam.
Durrah yang melihat tertawa lagi.
‘Comelnya alahai budak ni!’
“Fine then! Kalau bukan sebab kau ada hati dekat
aku, beritahu aku apa sebab sebenar kenapa kau tiba-tiba
nak tolong aku. Jangan cakap yang pertolongan kau ni ikhlas
okey, sebab aku sikit pun tak percaya yang kau tak harap
apa-apa sebagai balasan!”
Dia mungkin miskin harta, miskin pendidikan, tapi
Tariq tidak senaif itu untuk memahami frasa ‘nothing’s free
in this world’. Dia percaya pertolongan yang ingin dihulur
Durrah ini bukannya percuma, yang tak perlu dibayar semula
harganya!
“Well... mungkin betul apa yang Tariq cakap tu. Tak
mustahil Kak Durrah ada harapkan sesuatu sebagai balasan,
tapi tak mustahil juga yang Kak Durrah sememangnya ikhlas
nak tolong Tariq tanpa mengharapkan apa-apa, betul tak?”
Tariq buat muka meluat.
‘Urgh! Berteka-teki pulak dia kat sini! Ingat aku ada
banyak sangat masa nak memikir?!’
“Look, Tariq. Sama ada Kak Durrah ikhlas nak
menolong atau tidak, atau sama ada Kak Durrah ada agenda
tersembunyi atau tidak, itu kita tolak tepi dulu. Tariq boleh
fikir perkara tu kemudian. Yang utamanya sekarang ni ialah
peluang untuk Tariq sambung belajar tanpa perlu risau
tentang soal duit. Peluang keemasan macam ni bukan datang
selalu tau. Why not grab it while you still have the chance?
Betul tak?”
Tariq berdeham dan betulkan duduk. Entah kenapa,
renungan Durrah yang menikam tepat ke dalam anak
matanya buat dia tidak selesa.
SAMBIL ANAK mata yang setia melekat di kaca TV, Tariq
menghirup perlahan air kopi yang dibancuh Puan Safa
untuknya tadi. Dia kelihatan sedang fokus pada drama
Melayu yang tertayang, namun hakikatnya minda Tariq
penuh tentang soal Durrah dan pertemuan mereka petang
tadi. Bukan tentang keinginan Durrah yang mahu dia setuju
untuk sambung belajar buat dia rasa tertekan, tapi senyuman
Durrah yang manis, gelak Durrah yang kedengaran menawan
dan renungan lembut Durrah yang mengocak ketenangan
jiwanya.
Tariq kerut dahi. Keliru. Dan bingung. Tidak
memahami kenapa setiap kali pertemuannya dengan Durrah
terjadi, wanita itu akan berjaya penuhi setiap ruang yang ada
dalam fikirannya. Kali pertama tempoh hari sudah begini.
Kali kedua pertemuan juga begini.
Kenapa ya dia tak mampu untuk menghentikan
dirinya daripada memikirkan tentang Durrah?
“Ira dah habis jawab periksa dah. Esok pagi dia balik.”
Puan Safa yang sedang menjahit tempahan baju
kurung orang kampung, buka mulut. Mulanya tidak letak
mata ke arah Tariq, namun bila bicaranya itu tidak diberi
sebarang balasan, gerak kerja di tangannya terhenti. Puan
Safa kerling pada anak saudaranya.
“Aku bukannya kenal dia sangat pun, tapi kenapa
otak aku ni mesti nak teringat-ingatkan dia?”
Meski perlahan, Puan Safa dapat dengar jelas bait
kata yang digumam Tariq. Terus dia bangun lalu ditepuknya
bahu anak saudaranya itu. Tariq terpinga-pinga.
“Tengah berangan apa tu?”
“Err... tak ada apa!”
Tariq senyum janggal.
“Ni, dengar tak apa mak su cakap tadi?”
“Mak su ada cakap dengan Tariq ke?”
Geleng kepala Puan Safa. ‘Kata tak berangan!’
“Ira kata dia dah habis jawab periksa. Esok pagi dia
balik.”
“Oh... ya ke?”
Tariq angguk-angguk. Suasana di ruang tamu itu
jadi sepi seketika. Puan Safa sambung semula menjahit, dan
Tariq, kembali memikir tentang Durrah.
“Mak su...”
“Hmm...”
“Kak Durrah tu, umur dia berapa?”
Soalan itu buat Puan Safa pelik. Dia pandang balik
muka Tariq. ‘Eh? Tiba-tiba aje nak tahu pasal Durrah? Aku
ingat dia tak suka dengan Durrah?’
“Tiga puluh empat. Kenapa tanya?”
“Saja.”
‘Dua belas tahun lebih tua daripada aku rupanya,’
hatinya mendesis.
“Dia dah kahwin ke? Dah ada anak?”
“Kak Durrah tu tak pernah kahwin pun lagi Tariq,
macam mana nak ada anak?”
Tariq kerut wajah. ‘Umur 34 tahun belum kahwin
lagi?’
TOK! TOK! Pintu diketuk, dan seraya itu, wajah Dzakwan
terpacul di balik pintu. Tanpa dijemput, dia masuk. Mendekati
Durrah yang baru menanggalkan tudung di kepala.
“Kak D! Baru balik? Lambat balik? Pergi mana?
Penat Wan tunggu. Nasib tak tertidur.”
Durrah mengerling.
“Kau ni Wan, baik tak payah ketuk pintu kalau kau
tak nak tunggu Kak D bagi izin supaya masuk.”
Dzakwan cebik.
“Alaa, bukannya bilik orang lain. Bilik kakak Wan
sendiri jugak.”
Durrah geleng kepala. Kemudian dia berjalan ke
closet room, ingin menyimpan jam tangan yang masih
tersarung di pergelangan. Dzakwan pula setia mengekor di
belakang.
“Ni nak apa asyik mengekor Kak D macam anak itik
ni?”
Zrapp! Glass top drawer box yang menyimpan
berbelas koleksi jam tangan berjenamanya, dibuka. Selesai
Durrah meletak jam tangan yang dipakainya tadi ke tempat
asal, dia pusing badan, menghadap Dzakwan.
“Hmm, nak cakap apa?”
Dzakwan tersengih-sengih. ‘Tahu-tahu saja Kak D,
aku ada benda yang nak dicakapkan!’
“Err... Kak D free tak esok? Teman Wan jumpa Kak
Rin, boleh?”
Bibir Durrah kulum senyum penuh makna.
“Kenapa tiba-tiba aje nak jumpa Rin ni?”
“Saja. Alang-alang Wan tengah cuti sem kan.
Lagipun kan Wan dah lama tak jumpa Kak Rin. Nanti Wan
takut dia sentap pulak.”
“Eleh, cakap ajelah yang kau sebenarnya rasa kekok
nak pergi jumpa dia sorang-sorang. Takut Kak Rin sentap
konon.”
Dzakwan sengih lagi.
“Boleh ya teman?”
“Tak boleh. Pergi sendiri.”
“Alaa... temanlah. Please! Please! Please!”
“Kau ni, mengada-adalah nak berteman bagai.
Bukannya Rin nak makan kau ke apa. Pergi ajelah jumpa
sendiri.”
Kadang-kadang Durrah pun pelik dengan fiil adik
bongsunya ini. Dengan dia, Dzakwan tak ada pula nak kekok
ke apa ke, tapi dengan Darin, bukan main lagi adik bongsunya
itu nak malu bagai! Bukannya orang lain pun. Kakak dia
jugak!
“Alaaa, Kak D... janganlah macam tu. Temanlah.
Please!”
Muka Dzakwan dah mula nak bertukar jadi mamat
bajet comel. Dengan bibir atas bawah memuncung sedikit
ke depan serupa platipus, dengan mata bulat ala puppy eyes,
sah tengah cuba nak cairkan hati Durrah. Taktiknya nyata
berkesan bila akhirnya Durrah memberi persetujuan.
“Yalah, yalah. Kak D teman. Hailah kau ni.
Mengada-ada!”
“Yes! Thank you, Kak D!” Dzakwan mendepang
kedua-dua belah tangan, lalu dibalutnya tubuh Durrah yang
tinggi sedikit berbanding dia itu. Durrah cemik, buat muka
acah menyampah.
“Eee, rimaslah Wan! Boleh tak lepas?”
Dzakwan geleng-geleng. Hanya beberapa bulan
kebelakangan ini barulah dia dapat kembali merangkul
Durrah seperti ini setelah beberapa tahun wanita itu
berperang dengan ketakutannya untuk disentuh, alias
haphephobia. Biarlah dia nak lepas rindunya cukup-cukup.
“Tak boleh. Wan nak peluk jugak. Sebab Wan dah
lama tak dapat peluk Kak D macam ni kan, Wan nak peluk
puas-puas sampai pagi esok!”
Durrah hinggut kasar kedua-dua belah bahunya,
membuatkan pelukan Dzakwan terlerai. Remaja itu sekali
lagi cuba merangkulnya, namun cepat Durrah letak tapak
tangan ke dahi Dzakwan, menghalang tubuh adik lelakinya
itu daripada merapatinya.
“Alaa, Kak D ni...” Dzakwan cebik tak puas hati.
“Dah, pergi tidur.”
“Yalah, yalah.”
Dzakwan terpaksa akur. Tapi berjaya dia curi peluk
Durrah sekali lagi sebelum memecut keluar dengan sengihan
ceria.
No comments:
Post a Comment