DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 7

UMMI Nadzirah melepaskan keluhan panjang.
Telefon Kak Embam, Kak Embam bagi alasan ada kenduri
kahwin anak saudara dia. Telefon Kak Melati pula, katanya
ada family gathering.
‘Cis, tak guna betul!’ rungut Ummi. Rasa mahu
mengamuk pun ada. Mahu sahaja tubuhnya membesar secara
mendadak dan bertukar menjadi hijau. Tunggulah, Hulk ini
akan menyerang mereka!
Nasib baik jugalah Ummi masih punya kesabaran.
Dia mendail nombor telefon Mastura. Berkali-kali mendail,
tidak juga dijawabnya. ‘Jagalah! Aku takkan putus asa. Kalau
Mastura pun tak boleh pergi, jangan harap aku hendak turut
serta.’ Itu yang ada di dalam fikiran Ummi.
“Apa? Tengah dating dengan Ikram?” Berasap-asap
kepala Ummi dibuatnya sebaik saja mendengar alasan
Mastura. Rasa mahu meletup pun ada. Patutlah telefon
berkali-kali tidak dijawab. Beberapa keluhan tidak puas hati
dilepaskan. Ummi cuba melakukan senaman nafas. Biar
waras otaknya sikit!
“Saya lupalah, Cik Ummi. Sorrylah... Lepas ni jangan
pulak Cik Ummi potong gaji saya...” Mastura buat-buat suara
sedih.
“Ini bukan soal gajilah. Ini pasal janji. Awak tau kan,
saya cukup pantang dengan orang yang memungkiri janji.
Kan awak semua dah janji nak pergi sama-sama semalam!”
tegas Ummi.
“Ya. Saya tahu, Cik Ummi. Masalahnya sekarang,
saya yang berjanji dengan Mat Rock. Dan saya dah call Mat
Rock, cakap tak boleh datang... dan dia kata, ‘it’s okay’.
Jadi, it’s okaylah!” bidas Mastura dengan gelak nakal. Ummi
melepaskan keluhan. Masih tidak berpuas hati.
“Korang semua ni mesti ada buat plan yang tak
baik. Cepat mengaku sebelum saya naik hantu,” ugut Ummi.
Bernada lembut tetapi masih dalam mod menggertak.
Perasaan waswasnya semakin meningkat. Tinggi tahap dewa!
“Ya Allah. Apa ke halnya kita orang nak buat plan tak
baik? Macam inilah, Cik Ummi. Apa kata Cik Ummi call dia
dan cakap tak jadi pergi. Settle!” rancang Mastura.
“Tapi, saya dah janji dengan dia.”
“Dah tu, pergilah!”
Ummi terdiam sekejap.
“Nanti saya fikirlah. Assalamualaikum...” ucap Ummi
sebelum mematikan talian telefon.
Nampak gayanya Ummi terpaksa pergi seorang diri.
Janjinya dengan Uwais mahu berjumpa di pintu hadapan
masuk studio. Alamatnya sudah diberi. Atau... hendak kirim
WhatsApp atau tidak? Beritahu Uwais yang dia tidak dapat
datang.
Kalau dibatalkan saat-saat akhir, nanti apa kata Uwais
pula? Dia sendiri yang sudah setuju, tiba-tiba batal pula.
‘Aduh!’ Ini betul-betul buatkan fikiran Ummi jadi
bercelaru.
“Abah, Ummi nak keluar jumpa kawan sekejap,”
pinta Ummi kepada Haji Arsyad sebaik sahaja turun dari bilik
tidurnya.
Akhirnya Ummi mengalah juga. Keputusan untuk
bertemu Uwais seorang diri telah dibuat. Janji tetap janji!
Anggaplah ini janji untuk balas budi. Bukannya lama pun.
Lepas majlis sambutan hari jadi kawannya itu tamat, Ummi
pasti akan pulang ke rumah juga.
“Nak keluar dengan Seri ke?” soal Haji Arsyad
sambil mengurut janggutnya. Ummi terdiam sekejap. Haji
Arsyad yang mula membelek-belek kalendar keramat yang
tergantung di dinding mula berdeham. Minta jawapan.
“Dengan kawan,” balas Ummi. Ringkas.
“Lelaki ke perempuan?”
“Lelaki.”
“Percubaan pertama selama dua minggu sudah
bermula. Abah doakan yang baik-baik saja buat Ummi. Jaga
diri, jaga nafsu. Itu aje abah nak pesan. Selebihnya, abah
amanahkan kat Ummi.” Tiba-tiba Haji Arsyad memberi
syarahan percuma.
“Apa yang abah melalut jauh sangat tu? Lelaki tu
bukannya kekasih Ummilah. Dia tukang kebun kat taska kita.
Ingat nak pergi ramai-ramai... last-last yang lain tu tak dapat
pergi pulak. Terpaksalah Ummi yang kena pergi sorang,” jelas
Ummi.
“Baguslah. Manalah tau kot-kot boleh melekat
pulak.” Haji Arsyad ketawa suka.
“Abah ni suka sangat kenakan Ummi. Sakit hati ni
tau tak?”
“Okey, abah minta maaf. Ummi pergilah. Drive
hati-hati,” pesan Haji Arsyad, mengiringi Ummi keluar dari
rumah. Sebelum bertolak, sempat juga Ummi bersalam dan
mencium tangan abahnya. Haji Arsyad menuntun dari jauh
sehingga kereta Ummi hilang meninggalkan rumah banglo
mereka.
MATA UMMI melilau-lilau mencari pintu masuk studio
rakaman sepertimana alamat yang tertera pada skrin telefon
pintarnya. WhatsApp yang dikirim oleh Uwais pada malam
semalam dibacanya berkali-kali.
“Jess Rock Studio... Fuh, nasib baik jumpa.” Ummi
mengelap peluh yang bergenang di dahi. Selendang sifon
yang dipakainya dibetulkan kedudukannya. Terasa basah
ketiak pun ada. Bukan senang sebenarnya mencari tempat
ini. Dahlah jalan pun jam. Nasib baik bangunan teres yang
menempatkan studio rakaman ini terletak betul-betul di jalan
besar. Tidaklah tersesat jalan dibuatnya.
Naik lenguh kaki Ummi. Berdiri terpacak di hadapan
pintu masuk. Rasa macam tiang lampu pun ada. Tengok
orang lalu-lalang keluar dan masuk. Ummi hanya tersengih
bila bertembung dengan seorang wanita yang berpakaian
agak seksi dan sendat, berhenti di hadapannya.
“You ni tunggu siapa?” soal wanita berambut perang
dan bergincu gelap itu. Memandang Ummi dari atas sampai
ke bawah dengan lagak tidak puas hati.
“Mat Rock. Dia ada tak?” bicara Ummi dengan
senyuman.
“Apa hubungan dia dengan you?” tanya wanita
berwajah kacukan Cina-Belanda itu lagi.
“Ermm... saya...”
“Dia kawan I,” bidas satu suara garau. Uwais muncul
dengan senyuman lebar. Kali ini rambut ketaknya dilepaskan.
Mengatur langkah penuh bergaya menghampiri mereka
berdua.
“Hai, Mat Rock...” rengek wanita itu. Merangkul
erat lengan Uwais. Tergedik-gedik. Macam lintah melekat ke
kulit pun ada. Entah mengapa, mahu saja rasanya Ummi kuis
dengan kaki.
“Maaf, Cik Ummi. Saya lambat. Beli barang sikit
tadi.” Uwais membawa satu bungkusan beg plastik berisi
barangan penting bagi menyambut hari jadi sahabatnya itu.
“Eh, tak apa. Saya dah janji nak datang. Jadi, saya
datanglah hari ni,” jelas Ummi.
“Okey. Biar saya kenalkan. Ini Jessica. Jessica... ini
Ummi.” Uwais memperkenalkan mereka berdua.
“Please, call me Jess.” Wanita itu menghulurkan
tangan dengan penuh gaya feminin. Lalu disambut mesra
oleh Ummi.
Tanpa membuang masa, Uwais terus mempelawa
Ummi masuk ke dalam studio. Siap bukakan pintu lagi buat
gadis kesayangannya itu. Jessica yang perasan akan riak
gembira pada wajah Uwais, hanya mampu mencebik bibir.
Kadangkala dia mencuri jeling ke arah Ummi. Mungkin gadis
inilah bakal seterunya!
“Jess, why don't you sediakan kopi untuk tetamu
kita?” pinta Uwais. Sebenarnya, itu hanyalah alasan untuk
Uwais bersendirian bersama Ummi.
“Okay. Fine...” rengus Jessica lemah. Meninggalkan
mereka berdua duduk di atas sofa.
Ruang utama yang menempatkan beberapa buah
sofa dan sebuah meja itu sudah cukup membuatkan Ummi
kagum. Walaupun hiasan di dalam studio mereka ini agak
sederhana, tapi masih selesa. Mungkin juga kerana susun
aturnya yang ringkas dan nampak santai.
“Jessica memang macam tu. Muka je nampak
garang, tapi hatinya baik. Mana yang lain-lain? Tak nampak
pun?” soal Uwais. Pelik apabila hanya melihat Ummi sahaja
yang datang.
“Eh, bukan ke diaorang dah beritahu Mat Rock yang
diaorang tak boleh datang?” Ummi pula menyoal Uwais.
“Ya ke? Tak ada pun?” Semakin pelik Uwais dibuatnya.
Seingat Uwais, tidak ada pula dia menerima sebarang
panggilan atau WhatsApp daripada warga taska yang lain.
‘Cis, tak guna betul! Kes nak perdajal akulah ni!’
bisik Ummi dalam hati sambil menyorokkan wajah geram.
Tergamak betul mereka mengenakannya. Bila buka saja pintu
pagar sekolah nanti, tahulah mereka. Akan diganyangnya tiga
orang itu sampai lumat!
“Tak apalah, Mat Rock. Lupakanlah apa yang saya
tanya tadi. Mereka tak boleh datang. Masing-masing ada hal
sendiri. Bila kita boleh start preparation ni?” soal Ummi.
Cuba menenangkan dirinya kembali. Dia nekad dalam hati,
sebaik sahaja selesai semua ini, dia akan pulang.
“Sekarang pun boleh.” Uwais mengeluarkan isi di
dalam beg plastik yang dibawanya tadi. Macam-macam ada.
Semuanya digunakan untuk menghias studio mereka.
Jessica yang selesai menyediakan minuman juga
turut membantu. Ummi dan Jessica ditugaskan untuk
meniup belon dan menghias apa-apa yang perlu. Manakala,
Uwais pula memanjat tangga untuk menggantung banner
ucapan selamat hari lahir. Setelah semuanya selesai, barulah
mereka berehat sambil menikmati secawan kopi.
Menurut Uwais, dalam masa tidak kurang 20 minit
lagi, Aizat akan tiba. Bersama Aizat, ada lagi dua orang
sahabat mereka yang berpakat untuk membuat kejutan.
Memang sengaja mereka mahu melengah-lengahkan Aizat.
Bila tiba masanya, baru mereka memulakan rencana.
“You ni cikgu tadika kan?” soal Jessica secara
tiba-tiba.
“Ya, saya. Macam mana Jess tahu?” balas Ummi.
“Mat ada cerita pasal you dekat kami. Well... welcome
to our studio.” Jessica tersenyum manja.
“Jess dah lama kerja kat sini?” soal Ummi. Cuba
berbasa-basi. Jangan sampai terlihat sombong.
“Saya yang build studio ni dengan Mat. Hanya ada
Jess dan Mat Rock. That’s why we called it Jess Rock Studio.”
Jessica melapangkan tangannya.
Ummi mengangguk. Baru dia faham. Ingatkan
Jessica dan Mat Rock hanyalah pelanggan tetap di sini.
Rupa-rupanya mereka berdua pemilik studio ini. ‘Eh, sekejap!
Pemilik studio?’
Kalau si Mat Rock mampu buka studio ni, mestilah
dia ada sumber kewangan yang cukup. Kalau ada sumber
kewangan yang cukup maksudnya dia ini orang yang ‘berduit’.
Kalau dah berduit, kenapa nak kerja sebagai tukang kebun?
Perlu ke korek tabung ayamnya semata-mata hendak bayar
bil TV siaran swasta? Sah! Memang ada kepelikan di sini. Otak
Ummi ligat membuat hipotesis.
“So, kenapa Mat sudi jadi tukang...”
“Eh, kejap.” Pantas saja Uwais memotong kata-kata
Ummi. Kemudian berdeham beberapa kali sambil menggaru
kepala. Mencari jalan keluar. Jangan sampai rahsianya
terbongkar sudahlah.
Sebelum ini Uwais memang ada memberitahu
Jessica bahawa Ummi sahabat karibnya sejak kecil. Namun
tidak ada satu pun cerita yang keluar mengenai kerjanya
sebagai tukang kebun di taska.
“Okey. Sementara tunggu Aizat datang, Cik Ummi
tak nak usyar ke bilik latihan kita orang?” tanya Uwais. Cuba
mengalih topik.
“Bo... boleh jugak...” Tergagap-gagap Ummi
memberikan jawapan. Semakin bingung Ummi berfikir.
Sebenarnya banyak pertanyaan lain yang hendak ditanya.
Mungkin ini bukanlah masanya yang sesuai.
“Kalau macam tu, jomlah,” pelawa Uwais.
“I nak ikut jugak!” jerit Jessica dengan lagak manja.
“No. You stay here. Tunggu sampai Aizat datang,”
tegas Uwais. Jessica pantas menarik wajah. Berkerut seribu
wajahnya. Namun terpaksa akur juga dengan arahan Uwais.
Uwais melangkah ke sudut belakang studio. Bilik di
bahagian belakang tersebut kelihatan lebih tersorok. Ummi
hanya membuntuti Uwais tiga tapak dari belakang.
Tiba sahaja di bilik rakaman, Uwais memulas tombol
pintu. Ummi masih tidak berganjak dan hanya berdiri terpacak
di muka pintu. Kedua-dua belah kakinya terasa kaku. Takut
sebenarnya hendak masuk ke dalam. Rasa janggal apabila
berdua-duaan dengan Uwais.
“Jangan risau, Cik Ummi. Saya tak ada niat jahat.
Cik Ummi selamat kat sini.” Uwais melepaskan ketawa lucu.
Bagai tahu-tahu saja apa yang bermain di dalam minda Ummi.
Ummi pula hanya mampu tersengih kambing bagi menutup
rasa kekoknya.
Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik rakaman
tersebut, bebola mata Ummi automatik membesar. Agak
menarik juga bilik rakaman ini. Di dalam bilik yang besar
ini, terdapat satu lagi bilik lain. Apa yang memisahkannya,
hanyalah cermin kaca.
Bahagian bilik yang pertama, dikawal oleh alat
seakan-akan monitor. Entah berapa banyak butang dan suis
pun Ummi tak tahu. Tapi, apa yang membuatkan Ummi rasa
lebih teruja adalah bilik berlampu cerah yang lagi satu itu.
Ternyata, bilik berlampu cerah dengan pelbagai alat
muzik di dalamnya itu membuat Ummi tersenyum sendiri.
Kagum. Maklumlah, kali pertama masuk ke dalam studio
rakaman. Terasa macam artis baru wanita meletup pun ada.
Bersilau biji mata dibuatnya.
Panjang lebar penerangan yang diberikan Uwais. Kata
Uwais, studio ini turut menyediakan perkhidmatan merakam
suara dan menyunting lagu. Kadar caj yang dikenakan kepada
pelanggan pun amatlah berpatutan. Harga yang ditawarkan
serendah RM50 sejam. Berbeza dengan studio rakaman lain
yang mengenakan kadar caj tinggi dari RM100 ke RM200.
“Cik Ummi suka dengar lagu apa?” soal Uwais secara
tiba-tiba.
“Saya suka dengar lagu lama-lama. Lagu Irama
Malaysia ke... slow rock pun saya layan jugak,” jawab Ummi.
“Okey, pilih satu lagu slow rock,” pinta Uwais sambil
jari-jemarinya ligat menekan beberapa butang pada dada
monitor. Nampak begitu yakin dan bersemangat mimik
wajahnya.
“Oh, saya suka lagu nyanyian Mr. Big... apa tajuknya?
Ermmm... To Be...”
“To Be With You?” sambut Uwais. Dia pandang
sekilas ke wajah Ummi dengan senyuman.
“Ya, saya suka sangat dengan lagu tu!” sambung
Ummi penuh dengan perasaan teruja.
“Saya tahu. Saya pun suka.” Uwais mengenyitkan
matanya. Naik berderau darah Ummi dibuatnya. Jantungnya
terasa begitu laju mengepam darah. Ummi cepat-cepat
mengalihkan pandangan matanya ke arah lain.
“Okey. Kalau macam tu... Cik Ummi duduk kat atas
kerusi ni dulu,” pelawa Uwais sambil menyorongkan sebuah
kerusi beroda tiga kepada Ummi.
Teragak-agak Ummi merebahkan pinggulnya.
Kemudian, Uwais segera berlari anak menuju ke bilik sebelah.
“Biar betul si Mat Rock ni...” Ummi berbicara kepada
diri sendiri. Makin dilayan, makin banyak pula halnya. Ini
semua bisa bikin hati Ummi jadi tidak keruan.
Uwais yang berada di sebalik cermin menunjukkan
isyarat sedia kepada Ummi. Dia mencapai sebuah gitar elektrik
yang ada di situ. Mula memetik gitar dan mengalunkan
sebuah lagu di hadapan mikrofon.

“Hold on little girl
Show me what he's done to you
Stand up little girl
A broken heart can't be that bad
When it's through, it's through
Fate will twist the both of you
So come on baby come on over
Let me be the one to show you
I'm the one who wants to be with you
Deep inside I hope you feel it too
Waited on a line of greens and blues
Just to be the next to be with you
Build up your confidence
So you can be on top for once
wake up who cares about
Little boys that talk too much
I seen it all go down
Your game of love was all rained out
So come on baby, come on over
Let me be the one to hold you...
Why be alone when we can be together
baby
You can make my life worthwhile
And I can make you start to smile
I'm the one who wants to be with you
Deep inside I hope you feel it too
Waited on a line of greens and blues
Just to be the next to be with you...”

 
Selesai sahaja baris terakhir lagu yang dinyanyikan
oleh Uwais, tiba-tiba sahaja Ummi terdengar bunyi tepukan
tangan. Pantas Ummi menoleh ke belakang. Rupa-rupanya,
Jessica yang berdiri tegak di belakangnya. Buat terkejut orang
saja! Ingatkan badan pencegah maksiat tadi.
Baru sahaja Ummi nak tangkap leleh menghayati
suara serak basah Uwais, gadis berambut perang ini sudah
datang kacau daun. ‘Potong stim betul!’
Lagi satu, mengapa suara Mat Rock ini lunak
sangat? Sampai terbawa-bawa perasaan misteri yang tiba-tiba
menerpa ke dalam hatinya. Mungkin juga selepas ini tidur
Ummi akan terganggu dek panahan suara lelaki ini. ‘Aduhai,
Mat Rock! Apa semua ni?’ bisik perasaan hati Ummi.
Sebaik sahaja nampak susuk tubuh Jessica tercegat
di situ, Uwais segera membuka dan meletakkan kembali
gitar elektriknya. Bergegas dia keluar dari bilik itu. Buat
muka selamba sambil tersengih panjang. Tutup rasa bersalah
macam kucing baru lepas pecahkan pasu bunga tuannya.
“Wow... siap menyanyi bagai! What is this? What the
heck are you doing, Mat Rock?” Jessica bercekak pinggang.
Macam hendak naik minyak pun ada.
“Just singing. Am I doing something bad?” soal
Uwais. Ummi yang duduk di atas kerusi pula yang rasa
tertekan. Entah bom nuklear apa pula yang hendak meletup
kali ini.
“For this woman? Setahu I, you tak pernah pun buat
semua benda ni pada mana-mana perempuan. Why must it be
her? You suka kat dia kan? Mengaku ajelah!” jerit Jessica kuat
sambil menudingkan jari telunjuknya tepat ke muka Ummi.
Tersentap jantung Ummi dibuatnya. Padahal, dia
tidak buat apa-apa kesalahan pun. Kenal Mat Rock sangat
pun tidak. Hanya mendengar lelaki rambut mengerbang ini
menyanyi sampai tertangkap leleh. ‘Salah ke? Kenapa nama
aku juga yang dipetiknya? Gila, gila. Ini semua kerja gila!’
marah Ummi dalam hati.
Uwais melepaskan keluhan panjang. Meraup
wajahnya kasar. Nampak kusut sungguh dengan pertanyaan
Jessica itu.
“I know you, Mat. You like her, right?” Makin tinggi
ton suara Jessica. Mikrofon di bilik sebelah pun boleh meletup
dan terbakar hangus akibat gegarannya.
“Yes, I love her! Damn much! Jadi, ada masalahnya?”
tengking Uwais.
Ternganga luas mulut Ummi mendengarnya. ‘Benda
bodoh apakah yang aku dengar ni? Atau aku yang tersalah
dengar?’ Terkebil-kebil biji mata Ummi berfikir. Macam
patung cendana.
“Damn it!” Jessicca merengus kasar. Gadis itu berlari
keluar dari bilik rakaman. Sudah hilang mood dia untuk
meraikan hari jadi Aizat. Lantaklah apa-apa pun nak jadi!
“Aaa... apa benda semua ni? Saya tak faham.” Giliran
Ummi pula bertanya. Dia mengangkat punggung. Matanya
terkebil-kebil macam orang hilang punca.
“Haishhh... Saya minta maaf, Cik Ummi. Ini semua
salah faham.”
“Salah faham? Oh! Senang-senang je awak nak
mengaku suka kat saya. Ada agenda apa yang awak nak
perangkap saya ni? Awak ingat awak tu siapa?”
“Tukang kebun? Itu yang Cik Ummi nak beritahu
saya, kan? Fine! Saya hanyalah tukang kebun busuk yang
berbau rumput kering. Saya tak layak untuk jalan seiring
dengan Cik Ummi pun, kan?” bangkang Uwais pula. Hilang
sudah segala kesabarannya.
“Errr... Bukan itu maksud saya. Maksud saya...
Arghhh... lantaklah awak! Saya rasa tugas saya dah selesai.
Sampai kat sini saja saya boleh bantu. Saya nak balik!” Laju
saja Ummi melangkah kaki. Dia keluar dari bilik tersebut,
menuju ke pintu keluar studio. Terpadam segala niatnya tadi
mahu membantu Uwais.
Sekarang, perasaan Ummi bercampur baur.
Entahlah! Nak kata rasa sakit hati, tidak juga. Rasa tertipu?
Adalah sikit-sikit. Jadi, lebih baik dia cepat-cepat beredar
sebelum perkara lain nanti pula yang timbul. Nanti tidak
pasal-pasal kena simbah asid.
Yalah! Manusia zaman sekarang kalau dah sakit hati,
macam-macam mereka boleh buat. Lagipun, Ummi bukannya
kenal sangat dengan si Mat Rock ni. Jangan-jangan lelaki ini
psiko! Gila!
“Cik Ummi, tunggu!” Uwais melaung namanya
sambil mengejar dari belakang.
Tiba di muka pintu, mereka bertembung pula dengan
Aizat. Hampir terkejut Ummi dibuatnya. Mana tidaknya?
Nyaris-nyaris Ummi hendak berlaga kepala dan mencium
rambut kembang afro milik Aizat. Boleh mati lemas kalau
terbenam wajah ke dalam sarang tebuan itu!
“Eh, ini ke Cik Ummi yang kau cakap tu?” sapa Aizat
dengan senyuman gembira. Ummi hanya sempat tersengih
sinis ke arah Aizat sebelum bergegas keluar dari muka pintu
utama.
“Kenapa dengan dia tu?” soal Aizat pula kepada
Uwais. Pelik betul. Baru saja hendak berkenalan dan beramah
mesra dengan Ummi, dia sudah lesap begitu saja.
“Aissss... Melepaslah aku kali ni...” Uwais terus
mengambil tempat di atas sofa. Menghempaskan tubuhnya.
“La... baru jumpa dah melepas? Rugilah macam ni.”
Aizat ketawa lucu.
“Kau buatlah surprise party untuk diri kau sendiri,
Ijat...” bicara Uwais perlahan. Tapi, masih mampu didengari
oleh Aizat.
Terbingung sekejap Aizat mendengarnya. Kemudian
baru dia tersengih sendiri. Berjaya tertangkap sedikit apa
yang sudah berlaku.
Apa yang boleh Uwais buat sekarang? Semuanya
dah hancur. Baru saja nak ambil langkah pertama mahu
mendekati Ummi Nadzirah, gadis itu sudah lari. Lepas ini
harapan untuk mengenali hati budi gadis itu semakin pudar.
Makin jauh daripada Ummi lagi adalah. Hancur! Lebur dah
semuanya!

No comments:

Post a Comment