Lima tahun kemudian...
“MAK, saya pergi dulu.”
“Yalah.” Puan Sarimah menjawab biasa.
Naquib sempat memandang bapanya. Pegun
membaca akhbar semenjak tadi. Malas dia mahu menyapa.
Sudahnya dia berlalu begitu sahaja.
Puan Sarimah mengekori anaknya ke pintu.
“Ada Atikah call engkau lagi?” tanya Puan Sarimah
di belakang anaknya.
“Tak ada, mak.” Naquib sekadar menoleh sedikit.
“Hmm... dah malulah tu. Orang tak layan. Jangan
tunang kau tu pun buat perangai yang sama macam bekas
isteri kau, dahlah. Mak tak berkenan,” ucap wanita itu
selamba.
Naquib sekadar diam.
“Kau tu pun, dengan tunang kau tu kena berkeras
sikit. Jangan ikut sangat segala kehendak dia. Semua benda
keluarga sebelah sana yang tentukan. Kau kena bersuara. Kau
tu lelaki,” ujar Puan Sarimah lagi.
“Saya pergi dulu, mak.” Naquib terus ke kereta.
Malas mahu memanjangkan bicara tentang bekas isterinya
atau tunangnya itu.
Puan Sarimah masuk ke dalam rumah semula setelah
kereta Naquib bergerak keluar dari halaman rumah. Seketika
kereta itu diparkirkan di hadapan pintu pagar. Naquib keluar
untuk menutup semula pintu pagar itu. Namun, baru sahaja
dia mahu bertolak ke tempat kerja, dia terlihat kelibat seorang
anak muda berjalan kaki ke arah rumahnya. Naquib tidak
jadi mahu pergi. Sempat dia memandang ke arah rumahnya
sebelum kembali memandang anak muda itu.
“Bang... assalamualaikum,” sapa Fakhri dengan
termengah-mengah. Penat!
“Kau nak apa datang sini?” tanya Naquib agak gusar.
Bimbang ibunya mengamuk lagi.
“Saja. Dah lama tak jumpa ayah.”
“Hmm... lama tak muncul, tiba-tiba muncul. Ayah
sihat. Kau pergilah. Kau tahu mak aku tu macam mana,
kan? Aku bukannya nak halau. Tapi aku semaklah bila
gaduh-gaduh dalam rumah nanti,” ujar Naquib agak tidak
senang memikirkan keadaan yang bakal berlaku nanti.
“Saya nak jumpa ayah sekejap aje, bang. Kat luar pun
jadilah.”
Naquib menghela nafas perlahan.
“Kau tak ada duit ke? Ayah tu dah tak kerja. Kau dah
besar. Kerja. Jangan asyik minta pada ayah.”
Fakhri diam. Wajahnya berubah. Bila pula dia selalu
meminta daripada bapanya? Kenapa setiap kali dia datang
mahu menjenguk bapanya, dia dianggap datang hanya untuk
meminta wang?
“Ni, ambil ni.” Tanpa banyak kira, Naquib membuka
dompet. Dua keping not seratus diambil lalu diberikan kepada
Fakhri.
Fakhri memandang duit itu seketika. Kemudian
diambilnya.
“Ini last aku bagi kau duit. Lepas ni jangan datang
sini minta duit dengan ayah,” ujar Naquib tanpa sedikit pun
senyuman kepada adiknya itu.
“Terima kasih, bang.”
Naquib terus masuk ke dalam kereta.
“Kau nak pergi mana lepas ni?” tanya Naquib setelah
cermin diturunkan.
“Tak tahu lagi.”
“Masuklah. Aku hantar kau ke bus stop depan sana,”
ajak Naquib.
Fakhri memandang seketika lelaki di dalam kereta
itu. Susah benar dia mahu bertemu dengan bapa kandungnya.
Menyusahkan benarkah dia selama ini? Kedatangannya
langsung tidak diterima. Dia tiada sesiapa lagi selain bapanya.
Bapanya juga tidak peduli kepadanya sedangkan dia juga
perlukan seseorang untuk meminta nasihat dan mendengar
ceritanya.
“Apa lagi yang kau termenung tu?” tegur Naquib
agak kuat.
Fakhri tersentak daripada menungan. Lambat-lambat
dia masuk juga ke dalam kereta lelaki itu.
Sepanjang perjalanan mereka berdiam sehinggalah
tiba di perhentian bas di luar kawasan perumahan itu.
“Kau tahu nak balik macam mana, kan? Tu duit aku
dah bagi. Pandai-pandailah,” ucap Naquib setelah keretanya
berhenti.
Fakhri terus mengangguk.
“Terima kasih, bang.”
Naquib sekadar memandang anak muda itu keluar.
Kemudian kereta terus dilarikan pergi.
Fakhri terkebil-kebil memandang. Sudahnya dia
duduk di bangku perhentian bas itu. Termenung memandang
kereta lalu-lalang. Tidak juga terasa mahu beredar biarpun
sudah banyak teksi menunjuk rupa di situ.
Sedang pada itu, Fakhri ternampak seorang wanita
tua mengayuh basikal. Di belakangnya ada bungkusan berisi
botol dan tin kitar semula. Wanita itu berhenti di tong
sampah yang membuak keluar. Fakhri memandang gelagat
wanita itu penuh minat. Kalaulah arwah neneknya masih
ada, pasti sebaya wanita itu. Teringatkan wang yang diberikan
Naquib tadi, Fakhri tiba-tiba bangun mendekati wanita itu.
“Nek,” sapa Fakhri. Dua keping not seratus di dalam
poket seluarnya diambil lalu dihulurkan kepada wanita itu.
“Duit apa ni?”
“Ambillah.”
“Jangan. Nanti kamu tak ada duit nak makan, cu.”
Fakhri mengeluarkan dompetnya pula. Semua duit
yang ada dalam dompetnya dikaut lalu dihulurkan kepada
nenek tua itu.
“Ambillah. Saya tak takut tak ada duit.”
Wanita tua itu tergamam melihat segumpal duit
di tangan Fakhri. Mahu ada dalam tujuh lapan ratus duit
di tangan pemuda itu. Dah gila agaknya budak ni, fikirnya.
Namun tangannya diambil oleh Fakhri.
“Nenek dah tua. Saya tak sampai hati tengok
nenek macam ni. Nenek naik basikal di jalan sesak macam
ni, bahaya. Saya ni masih muda. Bila saya tak ada apa yang
saya perlukan, saya akan bekerja keras mencarinya. Bila dah
ada, kadangkala saya jadi lalai. Ambillah, nek. Pergilah balik.
Makan sedap-sedap.”
Wanita tua itu terpaku melihat duit di tangan sendiri.
Mahu menangis pula rasanya. Baik benar hati pemuda itu.
“Pergilah balik. Saya doakan nenek sentiasa murah
rezeki,” ujar Fakhri lembut.
“Sepatutnya nenek yang doakan kamu murah rezeki.
Masih ada ke manusia yang macam kamu ni? Peduli pada
orang lain. Kamu beri semua duit dalam dompet kamu tu,
kamu sendiri macam mana nanti?” ujar nenek itu.
Fakhri senyum.
“Allah beri saya akal dan kudrat. Selagi saya sabar
dan tak putus asa, Allah akan buka jalan kepada saya untuk
saya raih bahagian saya nanti, nek. Jangan risau, ya?” balas
Fakhri lembut.
“Ya Allah... Kau murahkanlah rezeki anak ini.
Dia dah bantu aku yang hina ni. Senangkanlah hidupnya.
Ringankanlah setiap ujiannya.” Wanita tua itu menadah
tangan membaca doa di hadapan Fakhri.
“Aminn...” jawab Fakhri sambil tersenyum.
Fakhri terus berdiri di situ sehingga wanita tua
itu berlalu. Kemudian dia memandang dompetnya semula.
Kosong! Sedang dia membelek dompet, datang beberapa
gadis. Mahu menunggu bas.
“Ermm... dik, maaf abang nak tanya.”
“Ya?”
“Kat sini ATM ada kat mana?”
“Tu... kat Shell depan tu ada,” ujar gadis itu sambil
memuncungkan mulutnya ke arah stesen minyak beberapa
meter jaraknya dari situ.
“Terima kasih.”
Fakhri berjalan kaki ke arah yang ditunjukkan gadis
itu. Adakah dia memberikan semua wang miliknya kepada
nenek tua itu? Tidaklah sampai begitu. Dalam dompet tiada.
Dalam bank, masih ada. Banyak!
No comments:
Post a Comment