DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 November 2016

H.I.M - Bab 9

USAI majlis resepsi, Afyra yang paling awal naik
ke kamar. Tidak mahu berhadapan dengan orang ramai yang
agak luar biasa ramainya. Fakhri tidak begitu dipedulikan.
Mujurlah ahli keluarga lain tidak begitu. Kehadiran orang
baru dialu-alukan dengan baik.
Petang itu masing-masing sudah amat letih. Tetamu
masih bersisa biarpun majlis sudah selesai selepas zohor tadi.
Fakhri naik ke kamar. Pintu kamar Afyra ditolaknya. Dia
terpandangkan isterinya sedang duduk di kerusi meja solek
dengan telefon di tangan. Masih dengan pakaian tadi serta
tudung di kepala.
Afyra menoleh sedikit. Namun dia kembali tunduk
memandang gadgetnya.
Fakhri merapatkan pintu tanpa putus memandang
wanita itu. Semenjak tadi susah benar mahu melihat Afyra
tersenyum baik kepadanya mahupun kepada orang lain.
Senyum hanya terpaksa. Tatapan matanya kosong begitu
sahaja. Jelas sekali isterinya tidak gembira.
“Saya nak tumpang mandi.” Fakhri bersuara lembut.
Afyra terus menunjukkan ke arah katil. Fakhri
memandang ke arah yang ditunjukkan isterinya. Matanya
terpandangkan sehelai tuala masih berlipat bersama jubah
mandi. Fakhri kembali memandang sang isteri. Afyra masih
sibuk dengan telefon barunya. Pantas dia mendekati si isteri.
Telefon di tangan Afyra terus diambilnya membuatkan Afyra
terkejut.
“Jangan ganggu aku!” ucap Afyra tajam.
“Solat.”
“Aku tahu bila masa nak solat. Bak sini telefon tu.”
“Solat. Telefon ni nanti boleh belek,” ucap Fakhri
masih lembut.
Afyra tidak mempedulikan kata-kata suaminya.
Telefon itu mahu direbutnya semula. Namun Fakhri pantas
meletakkan tangannya ke belakang membuatkan Afyra
mematikan tindakannya.
“Tengok bibir aku ni... So... lat... se... ka... rang!”
ucap Fakhri sengaja menyebut suku kata demi suku kata agar
isterinya lebih jelas dengan apa yang dikatakan olehnya.
“Annoyinglah kau ni, pak cik!” desis Afyra lantas
berlalu dari situ.
Fakhri sempat memandang isterinya mengambil
pakaian dari dalam almari. Kemudian dia terus keluar entah
ke mana. Lelaki itu sekadar membiarkan. Terus dia bersiap
untuk membersihkan diri memandangkan asar sudah lama
menjelang.
Namun sebelum mula bersolat, Fakhri pergi mencari
Afyra. Tidak ketemu. Sudahnya dia solat sendirian di dalam
kamar itu. Usai solat, Fakhri mencari lagi isterinya. Namun
Afyra terus tidak kelihatan sehinggalah gelagatnya mula
dikesan oleh Encik Syawal.
“Kamu cari siapa ni, Fakhri?” tegur lelaki tua itu,
hairan.
“Afyra...” jawab Fakhri.
“Mana anak kamu? Suami dia cari. Dianya entah kat
mana,” ucap Encik Syawal kepada Tan Sri Ariff.
“Kak Fira ada dalam bilik Rania. Dia tidur.” Rania
menjawab terlebih dahulu.
“Tidur???” suara Encik Syawal tinggi mendadak.
Tan Sri Ariff terkejut besar. Sempat dia memandang
ke arah Fakhri. Fakhri mahu berpaling pergi mencari
isterinya, namun ditegah Tan Sri Ariff.
“Nanti, daddy nak cakap dengan dia,” ucap Tan Sri
Ariff dengan wajah kelat.
“Eloklah tu. Kalau atuk yang cakap nanti, rabak
gegendang telinga dia,” ujar Encik Syawal tidak senang.
Puan Sri Insyirah hanya mampu menggeleng. Cukup
tidak senang melihat Afyra memalukan suami di hadapan ahli
keluarga lain.
“Fakhri, pujuklah dia elok-elok. Lama-lama nanti,
dia okeylah tu,” ucap Puan Sri Insyirah kepada anak muda
itu.
“Tak apa, mummy. Saya tak ambil hati. Dia terkejut
lagi tu.” Fakhri menjawab lembut.
Di dalam kamar Rania, memang benar Afyra sedang
nyenyak tidur di atas ranjang. Tan Sri Ariff mengejutkan
anak itu. Afyra terpisat-pisat bangkit dari tilam sambil
menggosok-gosok mata.
“Kenapa kamu kat sini?”
“Tadi Fira tumpang solat. Fira tertidur,” ucap Afyra
tidak faham.
“Kenapa tak di kamar kamu? Suami kamu cari kamu
dari tadi. Kamu sembunyi di sini, ya? Kamu jangan nak
berlakon. Daddy tahu apa yang kamu cuba buat!” ucap Tan
Sri Ariff agak keras nadanya.
Afyra diam. Mulalah dia buat pegun di atas tilam itu
macam tugu.
“Kamu cuba beritahu semua orang yang daddy tak
pernah ajar kamu tentang agama?”
“Mana ada macam tu,” ujar Afyra sambil menunduk.
“Jadi, kamu sengaja suka-suka mengabaikan
kewajipan kamu untuk menjaga maruah suami kamu? Kamu
tidak mencintainya, tidak mengapa. Tetapi kamu tidak perlu
melawan kata-katanya. Kamu tak perlu memalukan dia di
depan orang lain. Tidak cinta sekalipun, kamu tetap perlu
layan dia dengan baik. Jangan kecilkan hatinya. Kamu suka
lihat orang lain mengata mummy dan daddy tak pernah ajar
kamu tentang ketaatan kepada suami? Kamu jangan fikir
kamu boleh mempergunakan suami kamu untuk membalas
dendam kepada Naquib. Sejak awal lagi kamu sendiri yang
minta untuk dinikahkan dengan Fakhri,” leter si bapa masih
dalam nada keras.
Lambat-lambat Afyra bangun juga. Selendangnya
kembali dikenakan sebelum dia keluar. Tan Sri Ariff
menggeleng berkali-kali melihat gelagat anak itu. Dengan
muka tidak bermaya, Afyra turun mencari Fakhri. Dia
ternampak lelaki itu di luar. Apa dibuatnya?
Mengutip sampah di halaman rumah yang masih
berselerak. Afyra tidak jadi mahu mendekati lelaki itu.
Dia sekadar berdiri di pintu yang sedang terbuka luas,
memerhatikan Fakhri. Dalam pada itu dia masih terfikir-fikir.
Bagaimana mahu meneruskan hidup dengan lelaki itu? Kenal
pun tidak. Mulalah dia terasa bodoh pula kerana membuat
keputusan tanpa memikirkan kesannya hari ini.
“Cubalah tanya Fakhri tu nak makan ke apa, Fira.
Kesian dia. Tak baik buat dia macam tu,” tegur Puan Sri
Insyirah dari ruang makan.
Afyra menoleh sekilas. Bapanya berada di ruang
tamu. Tajam pandangan Tan Sri Ariff kepada anaknya.
“Ermm... Fakhri...”
Spontan Tan Sri Ariff berdeham. Afyra sudah tidak
tentu arah. Tahu dia sedang diperhatikan. Fakhri sekadar
menoleh sekilas sahaja. Kemudian dia menyambung kerjanya.
Kerusi yang bersepah disusun.
‘Mamat ni memang nak kena. Dia boleh buat derk
aje.’ Rengus Afyra sekadar dalam hati.
“Panggillah abang. Barulah sejuk hati dia,” sampuk
Imanina selamba. Anaknya yang sedang berada di ruang tamu
diambilnya untuk dibawa naik.
‘Panggil abang? Eee... janggal!’ Walaupun tidak
memberi sebarang reaksi, dalam diam Afyra sentap juga.
Enggan membiarkan dirinya menjadi tatapan mata orang,
akhirnya dia menyarung selipar untuk mendapatkan lelaki
itu.
“Hei, pak cik! Kau tak dengar ya aku panggil tadi?”
ucap Afyra sambil mencuit belakang suaminya.
“Kau nak apa? Aku sibuk,” balas Fakhri selamba.
Sekadar menoleh sekilas, dia kembali mencari kerja yang
perlu disudahkan.
Makin bengang Afyra melihat gelagat Fakhri.
“Aku cakap dengan kau ni!” tegas Afyra lantas lengan
lelaki itu disambarnya.
Fakhri pantas memandang isterinya. Menanti
apa yang mahu diucapkan Afyra. Namun Afyra terdiam
pula. Serta-merta lengan lelaki itu dilepaskan. Tiba-tiba
dia tersedar akan sesuatu. Lelaki itu suaminya. Seseorang
yang tidak layak menerima nada tinggi daripadanya. Apatah
lagi penderhakaannya. Sementelah lelaki itulah yang
menyelamatkan dia daripada aib yang teramat besar.
“Err... tak ada apa-apalah.” Afyra berbicara perlahan.
“Cakap ajelah apa kau nak cakap. Aku tak makan
orang,” ujar Fakhri sedikit lembut.
“Aku cuma nak tanya kau nak makan ke tak,” balas
Afyra.
“Itu aje soalannya? Tak perlulah buat aksi macam
nak bergaduh kalau sekadar itu soalannya,” komen Fakhri
biasa.
Afyra terus berpaling menuju ke rumahnya. Dia tahu
Fakhri tidak berminat dengan soalannya tadi. Atau mungkin
suaminya sudah kenyang.
Hampir maghrib, Fakhri naik semula ke kamar.
Tanpa mengetuk pintu, kamar itu dijengahnya. Afyra sedang
mengutip pakaian Fakhri yang terbiar di hujung katil. Lelaki
itu masuk sambil memandang gelagat si isteri.
“Aku bertuah dapat isteri macam kau ni.” Suara
Fakhri kedengaran biasa.
“Tak payahlah nak perli aku,” desis Afyra tanpa
memandang lelaki itu.
“Dengar dulu apa aku nak cakap ni, mak cik.”
Afyra pantas menoleh ke arah lelaki itu. Fakhri
berdiri tidak jauh daripadanya. Lelaki itu membuat isyarat
tentang tudung di kepalanya yang masih melekat semenjak
tadi.
“Dalam bilik pun pakai tudung ke? Atau kau tak suka
aku pandang aurat kau?”
“Aku tak ada niat sikit pun macam tu. Kat bawah sana
abang-abang ipar dan sepupu-sepupu aku ada. Aku penat nak
pakai tudung banyak kali. Itu aje,” balas Afyra sebal. Lelaki
itu dijelingnya.
Fakhri mengangguk sedikit. Terima saja kata-kata
isterinya walaupun sebenarnya dia tidak percaya.
“Aku nak pergi masjid.”
Afyra hanya diam. Saat dia berpaling mahu mencari
persalinan lain buat lelaki itu, Fakhri sudah tiada di
belakangnya. Terkejut dia.
“Eh! Pak cik tu dah pergi ke?” ujar Afyra sendiri.
Sangkanya Fakhri turun sebentar ke bawah, namun
lelaki itu terus hilang sehingga usai waktu isyak. Dia yang
terakhir pulang ke rumah. Kata abangnya, Fakhri pergi
dan balik dari masjid berjalan kaki. Tidak mahu naik kereta
bersama mereka. Aneh. Ada kereta, nak jalan kaki pula.
USAI MAKAN malam bersama, Afyra sengaja menyibukkan
diri mengemas rumah, sementelah memang banyak kerja
yang perlu dibuat. Mereka sekeluarga bergotong-royong
mengemas rumah yang agak bersepah. Maklum sahajalah,
ramai saudara-mara datang menginap. Luar rumah juga
masih bersepah dengan kerusi dan meja di bawah khemah.
Sambil berkemas, sibuk juga mereka mengusik
menantu perempuan Tan Sri Ariff dan Puan Sri Insyirah.
Adeline hanya tersipu-sipu malu. Tidaklah begitu kekok
memandangkan dia sudah lama kenal dengan keluarga
sebelah suami. Tidak ketinggalan juga mereka bercakap
tentang Fakhri. Belum seminggu pun berkenalan dengan
keluarga mentua, anak muda itu tidak kekok langsung di
rumah itu. Tidak hanya berkurung di kamar macam anak
dara sunti.
“Sebelah lelaki tak ada buat ke kendurinya, Kak
Syira?” tanya Liana, adik ipar Puan Sri Insyirah.
“Tak adalah kut.” Puan Sri Insyirah hanya menjawab
biasa. Sepatutnya mereka akan pergi bertandang di rumah
keluarga lelaki esok.
“Macam mana boleh macam tu? Kan ke sepatutnya
ada kenduri esok?” Puan Zaharah pula menyampuk.
“Entahlah, mak. Syira pun tak tahu nak cakap apa.
Orang sebelah sana tak ada cakap apa-apa pun.” Puan Sri
Insyirah sekadar menjawab perlahan.
“Kan ke anak dia juga? Apa salahnya kalau diteruskan
aje? Buat aje macam kita. Orang bertanya, kita cakap ajelah
nama pengantin lelaki tu tersalah cetak,” ujar Liana macam
bercakap sendiri. Pelik dengan kerenah keluarga Encik
Herman. Biarpun bukan Naquib pengantinnya, Fakhri tetap
anak mereka. Majlis resepsi tetap boleh diteruskan seperti
biasa. Lebih mudah daripada dibatalkan begitu sahaja.
“Entah. Anak yang ni lain. Anak yang tu lain. Ada
juga orang sanggup pilih kasih dalam hal anak-anak ni,”
komen Puan Sri Insyirah biasa.
Perbualan mereka terhenti sebaik sahaja Rafael
muncul di dapur itu.
“Haaaa... siapa tak nak tidur kat ruang tamu, siap
cepat! Kita pergi hotel.”
“Nak! Kita orang nak pergi, Abang Rafael!!!”
Liana terkedu melihat anak-anak daranya mula
terkinja-kinja. Tak mahu tidur di rumah. Tak muat!
Puan Sri Insyirah ketawa kecil melihat anak-anak
itu.
“Mengada-ada nak tidur hotel bagai!” desis Liana
sambil menggeleng.
“Biarlah diaorang,” ucap Puan Sri Insyirah sambil
tersenyum. Bukan baru kali ini suaminya buat begini.
Keluarga Tan Sri Ariff dan Nur Ain semuanya menginap di
hotel. Kecuali Celine yang lebih selesa di rumah Rayland dan
Jannah.
“Bankraplah pak long korang kalau macam ni,” ujar
Liana kepada anak-anaknya.
“Bolehlah, mama.” Rayu Murni manja kepada
ibunya.
“Biarlah, Liana. Sekali-sekala tak apa,” ucap Puan Sri
Insyirah.
“Nenek nak suruh atuk pergi sekali. Tengokkan
budak-budak ni.” Puan Zaharah terus keluar dari dapur itu.
“Thank you, nenek...” ucap Murni ceria. Bukan main
manis lagi senyumannya.
“Ha... jangan lupa ucap terima kasih. Jangan
buat muka sardin aje. Kaki tu jangan panjang sangat nak
pergi merayap sana sini. Esok pagi mama datang.” Sempat
juga Liana menjerit kepada anak-anaknya yang sudah
bertempiaran mahu pergi. Bukan selalu dapat tidur hotel
lima bintang free!
“Nasib baiklah Liana ni belum ada menantu. Kalau
tak, meletup rumah mak long korang ni dibuatnya. Padat!”
seloroh Liana sambil ketawa sendiri.
Meledak tawa Puan Sri Insyirah mendengar jenaka
adik iparnya itu. Sepeninggalan anak-anak saudaranya, rumah
itu sedikit lapang. Cucu Puan Sri Insyirah sebahagiannya
sudah lena. Penat. Afyra pula masih di ruang tamu.
“Fira, ajaklah Fakhri tu naik. Penat dah tu agaknya.”
Puan Sri Insyirah menegur anak perempuannya itu. Fakhri
dilihatnya sedang duduk di luar meneguk air.
Afyra sekadar mengangguk. Walaupun berat hati, dia
tetap mendekati pintu utama.
“Naiklah atas. Dah lewat ni,” ucap Afyra sekadar dari
pintu.
Fakhri hanya memandang sambil bangun. Gelas di
tangannya diberikan kepada Afyra ketika dia berada dekat
dengan isterinya.
“Apa?”
“Tolonglah hantar ke dapur,” ujar Fakhri lembut.
Walaupun hati tidak ikhlas, Afyra ambil juga gelas
itu.
“Macam tulah...” ujar Fakhri sambil tersenyum.
Sesudah menghantar gelas itu ke dapur, Afyra turut
mendaki tangga mahu naik ke atas. Di dalam kamar itu, Fakhri
sudah siap menanggalkan pakaian. Mahu membersihkan diri.
Afyra buat-buat tidak memandang lelaki itu. Tiada perbualan
antara mereka sehinggalah Fakhri berlalu ke kamar mandi.
Sebaik sahaja lelaki itu tiada, barulah dia
menanggalkan tudung. Tubuhnya dihempas ke tilam. Penat
ya ampun! Dalam pada itu dia terfikir-fikir, bagaimana harus
berkongsi kamar dengan lelaki itu? Aneh benar rasanya.
Teramat janggal. Hendak tukar pakaian macam mana? Fakhri
memanglah tiada masalah. Dia?
Sudahnya Afyra bangkit semula. Sementara lelaki
itu tiada, bolehlah dia mengganti pakaian terlebih dahulu.
Pakaian di tubuhnya ditanggalkan. Jubah mandi disarung
dan kepalanya diserkup dengan tuala. Kemudian dia duduk
semula di birai katil.
“Nanti tidur macam mana pulak? Buatnya dia minta
haknya, macam mana?” ucap Afyra sendiri. “Eee... sesaknya
otak aku ni!” getusnya sambil menongkat dagu. Fikir macam
mana nak lari.
Afyra terus bangun sebaik sahaja Fakhri keluar dari
kamar mandi. Lelaki itu mengerut kening melihat gelagat
isterinya. Menonong saja ke kamar mandi tanpa menoleh.
Baru sahaja lelaki itu mahu mencari pakaian di
dalam beg, dia terlihat sepasang baju tidur berlipat kemas ada
di hujung katil. Untuk dia agaknya. Terus sahaja disarungkan
ke tubuh. Selesai itu Fakhri terus merehatkan tubuhnya yang
keletihan di atas katil.
Lama benar pula Afyra di dalam kamar mandi. Hanya
ketika matanya sudah hampir layu, barulah kelibat isterinya
muncul. Afyra terus sahaja ke pintu. Lampu dimalapkan.
Kononnya supaya senang lelaki itu tidur. Padahal dia tidak
mahu dirinya kelihatan jelas di mata Fakhri.
“Kau masih cintakan abang aku?” suara Fakhri
tiba-tiba kedengaran memecah keheningan kamar itu.
Afyra menoleh sedikit.
‘Dia tak tidur lagi?’ desis hatinya mula tidak
tenang. Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Dia terus sahaja
mengenakan pakaian.
Fakhri menghela nafas perlahan sambil memandang
siling. Afyra terus ke meja solek. Suasana kembali hening.
Fakhri menoleh kepada isterinya. Terbau sesuatu yang harum
tiba-tiba. Baru kali itu dia melihat Afyra tidak mengenakan
tudung. Cantik. Terlalu cantik di matanya biarpun senyum
Afyra masih terlalu mahal.
“Aku belum bersedia untuk beri diri aku pada kau
dalam keadaan macam ni. Aku harap kau faham,” ujar Afyra
saat dia terkesan pandangan Fakhri kepadanya.
“Asalkan jangan kau sengaja berhias terlalu cantik
di mata aku,” jawab Fakhri sambil mengalihkan pandangan.
Pantas dia mengiring membelakangi tempat tidur isterinya.
Afyra pegun seketika memandang gelagat lelaki itu.
Baikkah lelaki itu sebenarnya? Entah. Lelaki itu dan Naquib
adik-beradik. Tetapi wajah mereka langsung tidak seiras.
Gaya dan cara bertutur juga tidak ada kesamaan.
Puas termenung, Afyra bangun mendekati ranjang.
Fakhri masih berkeadaan sama seperti tadi. Tidak berkutik
saat Afyra naik ke atas katil. Terkebil-kebil matanya di celahan
kemalapan suasana kamar. Mimpikah dia saat ini? Ada seorang
lelaki di sebelahnya yang kini bernama suami. Tetapi bukan
Naquib.
Perlahan Afyra menoleh ke sebelahnya. Belakang
lelaki itu dipandang lama. Cuba mengenali lelaki itu dari
susuknya. Namun tiba-tiba Fakhri bergerak. Afyra pantas
mengalihkan pandangan. Mata dipejamkan konon sudah
tidur.
“Tidurlah... aku takkan sentuh kau tanpa kerelaan
kau sendiri,” ucap Fakhri biasa.
Lega hati Afyra. Dia menarik selimut sehingga ke
dada. Tubuhnya dibalikkan membelakangi lelaki itu. Puas
terkebil-kebil, dia akhirnya terlena. Lena di dalam keanehan
rasa dan suasana baru dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment