DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Prolog






“UMMI, Ummi!” jerit Uwais Qarni dari jauh.
Lantas dia mendapatkan Ummi Nadzirah yang sedang
mengacau pasir di dalam periuk buruk. Tanpa membuka
selipar jepunnya, Uwais terus memijak tikar mengkuang
yang menjadi alas lantai rumah Ummi. Automatik budak
perempuan berusia lima tahun itu bangun berdiri sambil
bercekak pinggang. Sudip berkarat masih di tangan. Matanya
menjeling tajam ke wajah Uwais. Uwais hanya berdiri
tersengih sambil menggaru-garukan kepalanya.
“Abang Uwais! Berapa kali Ummi nak beritahu?
Masuk rumah kena bukak kasut. Penatlah macam ni! Orang
duduk kat rumah sibuk memasak. Dia boleh pulak pergi
menggedik! Mana ikan yang Ummi suruh beli tadi?” soal
Ummi sambil membeliakkan matanya yang bulat.
‘Garang sungguh!’ Uwais yang baru tamat darjah
enam itu hampir terkucil di dalam seluar dek ditengkingnya.
Apa boleh buat? Ummi saja yang mahu bermain dengan Uwais.
Hendak bermain dengan budak lelaki yang lain, Uwais tidak
mahulah! Mereka itu sudahlah ganas. Selalu main permainan
yang sama. Bola sepak, bola sepak. Itu semua membosankan.
Main masak-masak dengan anak Haji Arsyad ini lagi bagus!
Lagipun, Ummi lebih mengerti perasaannya. Cakap
apa pun, Ummi akan mengangguk. Semua perkara yang
diluahkan oleh Uwais, Ummi akan mengiakan. Entahkan dia
faham atau tidak apa yang Uwais katakan. Bagi Uwais, semua
itu tidak penting. Walaupun Ummi garang macam anak singa,
Uwais tidak kisah. Asalkan hatinya gembira. Itu sudah cukup.
Uwais menghulurkan beg plastik yang dipegangnya
dari tadi kepada Ummi.
“Hari ni ikan habis. Orang jual ikan, mogok. Semua
gulung tikar...” jawab Uwais sambil tersenyum simpul.
Menutup rasa bersalah.
Selalunya, Uwais akan turun ke tali air untuk
menangkap anak ikan. Anak ikan yang ditangkap
konon-kononnya dibeli dari pasar. Apabila sudah banyak,
barulah disimpan ke dalam akuarium di rumah Ummi. Tapi,
hari ni seekor ikan pun haram tidak dapat. Sebab itulah Uwais
dapat idea baru bagi menggantikan ikan.
“Betul ke ni? Habis tu Abang Uwais beli apa?” tanya
Ummi. Mula percaya dengan kata-kata kawan baiknya itu.
“Adalah... Abang Uwais dapat tiga ekor. Fresh gitu...”
Uwais mengukirkan senyuman nakal. Makin tidak sabar
mahu melihat reaksi Ummi selepas ini.
Tanpa menyoal lagi, Ummi menyelak isi beg plastik.
Begitu teruja mahu melihat isi kandungannya.
“Siput ba... Apa ni, Abang Uwais?” Tangan Ummi
spontan mencampakkan beg plastik tersebut jauh-jauh.
Tubuh kecilnya segera melompat naik ke atas belakang
badan Uwais. Meronta-ronta macam orang ternampak hantu
bungkus.
‘Benci betul!’ Apa sahaja yang serupa dengan siput
babi, cacing, ulat dan seangkatan dengannya sudah cukup
membuatkan Ummi Nadzirah meloncat kegelian macam
terkena renjatan elektrik. Muntah hijau!
“Eleh! Mengada-ada betullah. Babi je pun... eh, silap!
Siput babi je pun bukannya harimau bintang. Itu pun nak
takut ke?”
Uwais tergelak besar. Tangan Ummi yang memaut
erat lehernya dilepaskan kasar. Suka betul hatinya dapat
mengenakan Ummi yang semakin merah padam wajahnya
menahan marah.
“Abang Uwais jahat! Ummi tak nak kawan dengan
Abang Uwais lagi!” jerit Ummi lalu menolak tubuh Uwais.
Hampir sahaja Uwais mahu jatuh tersembam ke atas tanah.
Tapi, Uwais buat tak peduli. Dia kembali bangun
dan mengutip semula beg plastik yang dicampakkan Ummi
tadi. Mengeluarkan siput babi tersebut dari dalam plastik
kemudian diletakkannya semula pada perdu pokok rambutan.
Bagi Uwais, siput ini juga perlu hidup. Jangan sampai mati
dipijak orang. Uwais tidak mahu menganiaya binatang. Nanti
berdosa besar. Itu pesanan ayahnya.
Sebaik sahaja semuanya selesai, Uwais menoleh ke
belakang. Batang tubuh Ummi sudah pun lesap. Menghilang
entah ke mana. Memikirkan soal itu, Uwais tersengih sendiri.
“Nak pergi mengadulah tu!” Uwais memuncungkan
bibir. Mengajuk gaya Ummi bercakap. Sepertinya sudah tahu
apa yang bakal diadukan oleh Ummi kepada Haji Arsyad.
‘Dasar anak manja! Kaki mengadu!’ ejek Uwais dalam hati.
Dua hari lepas pun begitu juga. Bila merajuk sikit,
mulalah Ummi mengadu kepada abahnya. Pelbagai tuduhan
yang dibuat Ummi ke atas Uwais. Uwais budak jahatlah.
Uwais suka menyakatlah. Uwais selalu bikin dia menangislah.
Macamlah tidak ada alasan lain!
Tapi, Uwais tidak pernah risau semua itu. Sebab dia
tahu, Ummi merajuk pun bukannya lama. Mungkin esok lusa
apabila Uwais bertandang ke rumah Haji Arsyad, Ummi akan
lupa. Jadi, hubungan mereka akan kembali seperti sediakala.
Hari pun sudah beransur ke senja, Uwais perlu
pulang. Basikal tua yang tersadai di bawah pokok beringin
ditunggangnya cermat. Saiz badan Uwais yang agak rendah
memaksanya melakukan teknik kayuhan sambil berdiri.
Hanya dengan cara ini saja Uwais dapat mengejar masa dan
boleh cepat sampai ke rumah.
Perutnya juga sudah kelaparan. Berkeroncong
menyanyikan pelbagai jenis rentak irama lagu. Sudah tidak
sabar rasanya mahu mengintai ke dapur. Entah apalah yang
dimasak ibunya buat makan malam. Nasib baiklah tempe
yang dibawanya kali ini sudah habis dijual. Bolehlah dijadikan
alasan kerana pulang lewat ke rumah.
Pada musim cuti sekolah seperti inilah kesempatan
untuk Uwais mengumpul duit belanja. Menjual tempe dengan
menaiki basikal tua. Ketika itulah dia selalu berjumpa dengan
Ummi. Lagipun, keluarga Haji Arsyad memang sudah menjadi
pelanggan tetapnya. Mereka membuka warung makan dan
sering membuat tempahan tempe segar.
Kadangkala memang sengaja Uwais menjadikan
warung Haji Arsyad sebagai lokasi terakhir penghantarannya.
Bolehlah dia bermain masak-masak dengan Ummi. Ummi
jadi ibu, Uwais jadi ayah. Bukannya Uwais tidak malu dengan
kawan-kawan sebayanya. Mereka selalu menggelarkan Uwais
si lembik. Suka main dengan budak perempuanlah. Ajak main
bola sepak pun tak mahu. Sebab itulah Uwais rasa terpinggir.
Maka dia lebih rela bergaul dengan budak perempuan seperti
Ummi.
Pada tahun hadapan, Uwais akan bersekolah di
sekolah menengah. Tahun hadapan itu pun bukannya lama.
Itu maksudnya minggu hadapan! Kata ibunya, dia akan
belajar di sekolah budak-budak pandai. Nama sekolahnya...
hurmmm, entahlah! Uwais pun tidak begitu pandai mahu
menyebutnya.
Jujurnya, Uwais lebih selesa tinggal di kampung.
Bersekolah di sini. Dapat bermain dengan Ummi setiap hari.
Kalaulah boleh, mahu sahaja dia beritahu ibu. Biar ibu saja
yang cakap dengan ayah. Bukannya Uwais tidak boleh beritahu
ayahnya sendiri. Cuma, dia takut. Ayahnya itu garang sangat.
Sekali dijeling, Uwais tidak berani nak persoalkan apa-apa
lagi. Hitam jawapannya, hitam jugalah semuanya. Jangan
pernah dibangkang!
HARI INI adalah hari terakhir Uwais berada di kampung.
Lewat petang ini Uwais akan bertolak ke MRSM. Berhijrah
secara tetap ke Kuala Lumpur. Rasa menyesal pula jika dia
tidak sempat berjumpa dengan Ummi buat kali terakhirnya.
Selesai sahaja mandi dan menyisir rambut, Uwais
terus mendapatkan basikal tuanya yang terletak di bawah
rumah. Mengayuh laju basikal tuanya menuju ke rumah
Ummi. Sambil mengayuh, sempat juga dia membetulkan
rambut basahnya yang berbelah di tengah. Berharap sungguh
dia kelihatan segak dan tampan saat berhadapan dengan
Ummi nanti.
“Ummi! Oh, Ummi!” pekik Uwais dengan kuat dari
luar rumah. Peliknya, tiada siapa pula yang keluar menyahut.
Terasa macam hendak terkeluar saja anak tekaknya memberi
salam.
Beberapa saat kemudian, muncul wajah berjanggut
Haji Arsyad. Merenung muka Uwais dengan pandangan yang
aneh.
“Errr... Assalamualaikum. Pak Chad, Ummi ada
kat rumah tak?” Uwais mula melembutkan nada suaranya.
Berdeham beberapa kali sebelum melemparkan senyuman
yang paling manis, semanis gula melaka.
“Waalaikummussalam. Ummi tak ada kat rumah.
Ikut maknya ke pasar. Ada apa hal nak jumpa dia? Bukan ke
hari ni kamu nak ke MRSM? Barang-barang dah habis kemas
ke belum?” jerit Haji Arsyad dari tingkap.
Soalan bertalu-talu yang dilemparkan oleh Haji
Arsyad itu membuatkan Uwais jadi keliru. Tidak tahu yang
mana satu harus dijawab dahulu.
“Sudah. Errr... Uwais datang ni sebab nak ucapkan
selamat tinggal kat Ummi je.”
“Semalam bukan ke dah jumpa? Kenapa? Dah tak
sabar nak jadi menantu Pak Chad ke?” seloroh Haji Arsyad
dengan ketawa.
Automatik wajah Uwais bertukar merah. Lain yang
ditanya, lain pula yang dimaksudkan orang tua ini. Uwais
mula teringatkan kejadian bersama Ummi semalam. Ini
mesti taktik kasar Haji Arsyad yang mahu memerlinya.
“Bila kita besar nanti, kita kahwin nak tak?”
tanya Ummi. Hingus jernih yang meleleh di hidung, dilap
menggunakan baju T-shirt lusuh yang dipakainya. Mata
Uwais tidak berkedip langsung mendengarnya.
“Ya ke ni? Kahwin?” soal Uwais. Tempurung kelapa
yang dijadikan pinggan olok-olok itu terus terjatuh dari
tangan Uwais. Habis tertumpah semua isi pasir di dalamnya.
Uwais sendiri pun tidak pasti apa makna sebenar ‘kahwin’ itu.
Bagaimana dia mahu kata setuju?
Jika diimbas semula cerita drama di kaca televisyen,
perkahwinan itu melibatkan seorang lelaki dan seorang
wanita. Kemudian, mereka mendapat anak. Anak itu
datangnya dari mana pula? Takkanlah boleh dibuat sendiri?
Kalau boleh dibuat sendiri, bagaimanakan pula caranya?
Uwais menggarukan kepalanya beberapa kali. Ini benar-benar
merepek. Runsing kepala otaknya menapis maklumat!
“Sebenarnya, Ummi suka sangat kat Abang Uwais.
Abang Uwais suka Ummi tak?” soal Ummi lagi sambil
tersenyum-senyum manis menatap wajah Uwais. Masih tidak
berputus asa menunggu jawapan dari bibir itu.
“Su... suka...” jawab Uwais tergagap-gagap. Dup!
Dap! Dup! Dap! Bunyi getaran di dalam dadanya.
“Kalau macam tu, kita kahwinlah! Janji?” Ummi
menaikkan jari kelengkengnya. Minta disambut.
Terketar-ketar tangan Uwais diangkat. “Ya. Abang
Uwais janji...” ucap Uwais dengan lagak malu-malu kucingnya.
Mengikat janji pada jari kelengkeng Ummi.
Ummi yang nampak begitu teruja, melompat
kegembiraan. Lengan Uwais pantas ditariknya. Dia berlari
kencang menuju ke warung Haji Arsyad yang terletak tidak
jauh dari tempat mereka bermain.
“Abah, abah! Ummi nak kahwin sekarang!!!”
jerit Ummi sambil menghampiri Haji Arsyad yang sedang
membancuh minuman untuk pelanggan mereka. Isterinya
yang sedang menggoreng tempe hanya tersenyum-senyum
menahan geli hati.
“Kahwin? Dengan siapa pulak kali ni?” soal Haji
Arsyad yang tersenyum sambil memeluk tubuh Ummi.
Bukannya Haji Arsyad tidak tahu. Dia faham benar
dengan kerenah Ummi. Pantang ada ‘kawan’ yang berlainan
jantina, mulalah nak ajak kahwin. Tidak kiralah siapa.
Pernah juga suatu hari, Ummi mahu berkahwin
dengan anak teruna jiran sebelah rumah mereka. Naik
berpeluh-peluh Haji Arsyad menjernihkan keadaan. Nasib
baik jiran mereka faham dan menganggap itu hanyalah
sebagai hiburan.
“Bila Ummi dah besar nanti, Ummi nak kahwin
dengan Abang Uwais. Boleh tak, abah?” rengek Ummi manja.
“Boleh. Apa yang tak bolehnya?” Haji Arsyad ketawa
berdekah-dekah. Layankan saja khayalan Ummi.
Mendengarkan kenyataan Ummi itu, automatik
wajah Uwais berubah warna. Merah berona macam udang
masak stim. ‘Malu sangat dah ni! Jadi menantu kepada Haji
Arsyad bukannya kerja senang. Mesti banyak kriterianya.
Agak rigid dan keras peraturannya,’ fikir Uwais cuak.
“Kalau Uwais nak kahwin dengan Ummi, Uwais
kenalah pandai mengaji. Pandai solat. Baru boleh bimbing
anak Pak Chad nanti. Uwais dah sunat ke belum ni?” soal
Haji Arsyad. Sememangnya dia sengaja mahu mengusik.
Melihatkan wajah kalut Uwais itu, lagilah buatkan Haji Arsyad
rasa lucu.
Uwais hanya diam. Matanya terpaku. Kemudian,
baru dia mengangguk perlahan-lahan.
“Uwais, Uwais!!!” kejut Haji Arsyad tatkala melihat
Uwais yang hanya berdiri terpacak macam tiang lampu di
halaman rumahnya. Masih dalam mood pegun. Berangankah
dia?
“Berangankan apa kamu ni, Uwais?” Tinggi suara
Haji Arsyad jadinya. Punyalah berkali-kali dia memanggil,
Uwais buat tak tahu saja. Entah apalah yang Uwais angankan
ini?
“Errr... Apa Pak Chad cakap tadi?” Uwais makin
tak keruan. Baru dia kembali ke dunia nyata. Terlupa sudah
dengan soalan yang diajukan oleh Haji Arsyad sebentar tadi.
“Pak Chad cakap... kalau Uwais nak jadi menantu Pak
Chad, Uwais kenalah sunat dulu. Uwais dah sunat ke belum
ni?” Memang sengaja Haji Arsyad menambah soalannya.
Ingin melihat reaksi Uwais yang seterusnya.
Serta-merta muka Uwais jadi pucat. Menelan air liur
sehingga bergerak-gerak sedikit urat lehernya.
“Uwais dah lama sunatlah, Pak Chad...” Kendur suara
Uwais menjawab. Kalau boleh, mahu sahaja Uwais benamkan
mukanya ke dalam tanah. Memalukan sungguh dirasakannya
soalan itu.
“Kalau macam tu, baguslah. Lepas ni Uwais dah boleh
kahwin!” Haji Arsyad tergelak besar. Lucu hatinya melihat
mimik muka anak muda yang masih belum mencecah umur
akil baligh itu.
Wajah Uwais pula semakin biru air laut menahan
malu. Segan mahu bertentang mata lama-lama dengan
Haji Arsyad. Tergesa-gesa dia meminta diri, meninggalkan
pekarangan rumah Haji Arsyad dengan basikal tuanya.
Hancur sudah harapan sucinya mahu bertemu dengan Ummi
Nadzirah.
‘Argh, tak apalah! Ummi kan dah janji pada aku.
Kalau Ummi dah janji nak berkahwin dengan aku, aku pasti
akan datang menuntut janji tu. Tak kisahlah bagaimana pun
caranya!’ kata hati Uwais, menyedapkan perasaannya sendiri.

No comments:

Post a Comment