MATANYA tidak berhenti dikedip-kedipkan.
Melenggokkan pinggang ke kiri dan ke kanan. Menayangkan
tubuhnya yang ramping pada cermin di dalam fitting room.
Ada saja yang dirasakan tidak kena. Blaus longgar dan
labuh yang digayakannya itu bukannya tidak cantik. Merah
menyala macam biji saga! Tidak padan langsung dengan
tudung litup berwarna kuning yang dipakainya. Tersilap hari
bulan, mahunya dia dikejar lembu gila. Sampai menyondol
punggung. Boleh jadi parah kalau begitu!
Ummi Nadzirah menggoncangkan bahunya. ‘Eee...
ngeri!’ Takut juga rasanya apabila berfikir mengenai zuriat.
Itulah amanat penting yang dituntut oleh Haji Arsyad.
Pantang datuk neneknya jika tiada keturunan dalam keluarga
mereka. Bapanya itu kadangkala menakutkan. Boleh berubah
watak menjadi raksasa gondol pada bila-bila masa.
Kalau diikutkan hati, mahu saja Ummi melarikan
diri ke luar negara. Sudah bosan hidupnya kerana sering
dijodohkan membuta tuli. Ummi Nadzirah kini sudah dewasa.
Ada akal fikiran dan boleh mencari calon suaminya sendiri.
Orang yang hendak bernikah itu, dia. Bukannya Haji Arsyad
si duda beranak satu. Jangan pernah dipaksa-paksa. Soal cinta
memang tidak boleh dibuat main.
Bukannya Ummi tidak mahu menghadap rombongan
lelaki yang datang merisik pada hari ini. Sebenarnya Ummi
sudah jelik! Semua lelaki yang tercalon langsung tidak
menepati senarai lelaki idamannya. Apa Ummi boleh buat
lagi? Lari ke galaksi mana pun, Haji Arsyad tetap akan
menjadi walinya. Lalu dia harus patuh! Jangan jadi anak
derhaka. Nanti tidak cium bau syurga. Ummi hanya mampu
mengeluh dalam hati.
Bilik persalinan diketuk bertalu-talu. Macam hendak
roboh pun ada bunyinya.
“Nantilah, Seri. Aku nak tukar bajulah ni!” jerit
Ummi dari dalam.
Blaus merah yang membalut tubuh Ummi pantas
dibuka. Tudungnya yang hampir tercabut itu, berjaya
dibetulkan semua. Si tembam yang berdiri di luar itu
bukannya mengenali erti kesabaran. Hilang akal dia, nanti
habis jahanam pintu fitting room ini dikopaknya. Baju tidak
jadi dibeli, duit ganti pintu pula terpaksa dikeluarkan!
Selesai mengemas diri, Ummi menguak pintu.
“Jadi beli ke tak ni?” Wanita bertudung litup dan
berbadan gempal itu bercekak pinggang. Merenung muka
Ummi tajam. Macam mahu ditelannya gadis itu hidup-hidup.
Penat sungguh Seri menanti dari tadi. Sudah
berjam-jam masa dihabiskan bersama kawan baiknya itu.
Semua baju yang dipilih oleh Ummi ada saja yang tidak kena.
Baju terlalu ketatlah. Fesyen macam orang tualah. ‘Aduh,
bilalah mahu selesai segala penyeksaan ini?’ rungut Seri
dalam hati.
Ummi tersengih panjang sambil
menggeleng-gelengkan kepala. Seri mengeluh kecewa.
Fahamlah dia dengan reaksi tersebut. Kalau diikutkan rasa,
mahu saja Seri berlari keluar meninggalkan bangunan Sogo
ini. Biar Ummi balik jalan kaki! Menyesal rasanya ajak Ummi
membeli-belah pagi tadi. Niat hatinya cuma nak beli barang
keperluan dapur saja, tapi bila ada Ummi, lain pula jadinya.
Makin lama masanya yang terbuang.
“Aku dah agak dah. Masuk kali ni, dah lebih sepuluh
kali kau tukar baju. Kau ni memilih sangat. Benda simple
macam ni pun nak fikir panjang ke? Baju je kut. Asal pakai
kat badan, tutup aurat... sudahlah. Ini tak, banyak songeh!”
rungut Seri sambil memuncungkan bibir.
“Bukan memilih. Aku cuma nakkan yang terbaik.
Baju yang betul-betul aku suka, baru boleh pakai setiap hari.”
Ummi tersenyum lebar.
“Sebab kau memilih sangatlah, kau tak
kahwin-kahwin tau tak? Ada orang datang merisik hari ni,
kau lari. Aku tak faham betullah. Macam mana jodoh nak
lekat kalau perangai kau macam ni?” bebel Seri.
“Dia dah mula dah...” rungut Ummi agak perlahan.
“Umur kau tu pun bukannya muda lagi. Dah nak
masuk 27 tahun. Jangan risaulah badan gemuk. Badan
gemuk tu maksudnya bahagia, tau tak? Macam aku ni,”
tambah ibu beranak satu itu lagi. Melapangkan kedua-dua
belah tangannya.
“Lepas ni kita pergi Jalan Masjid India nak tak? Aku
rasa tak puas lagilah shopping kat sini,” goda Ummi. Cuba
melarikan topik. Lengan berisi dan mampat Seri diusapnya
perlahan. Taktik cuba memujuklah tu!
Mahu atau tidak, Seri wajib menurut. Kalau
ingkar, Ummi akan merengek di dalam kereta sepanjang
perjalanan pulang mereka nanti. Rimas betul Seri dibuatnya.
Mengalahkan budak-budak berumur enam tahun.
“Ya, yalah. Nanti kau belanja aku aiskrim. Ingat!
Bukan aiskrim kat tepi jalan lagi.” Seri memberikan amaran.
Tidak mahu tertipu sama seperti tempoh hari. Lain yang
dijanjikan, lain pula habuan yang dia dapat.
“Baiklah Cik Seri yang comel. Lepas ni, aku bawak
kau makan kat kedai aiskrim yang mahal tu. Boleh?”
Ummi tersengih. Seri pantas mengangguk. Baru terpancar
kegembiraan di wajahnya.
Mereka keluar meninggalkan bangunan Sogo.
Berjalan kaki menuju ke Jalan Masjid India. Kereta yang
dibawa, dibiarkan di tempat parkir bangunan Sogo. Jalan
memang sudah sesak dengan kenderaan. Mereka tidak mahu
menyusahkan diri.
Lagipun, berjalan kaki lebih cepat. Bunyi bingit
kenderaan dan rempuhan selautan manusia di situ sudah
lali sangat dengan pancaindera mereka. Apalah sangat perlu
dikhuatirkan. Selagi ada Seri di sisi, Ummi akan rasa lebih
selamat.
Maklumlah, Seri dah macam bodyguard Ummi.
Pernah dulu Ummi diganggu oleh sekumpulan lelaki muda
yang duduk melepak. Nasib baik ada Seri. Dialah yang
‘membelasah’ budak-budak itu sampai ‘lunyai’. Sampai
terkunci rapat mulut mereka mahu bercakap. Berdarah
telinga dibuatnya. Rasakan! Itulah kuasa bebelan namanya.
Ummi dan Seri berdiri di bahu jalan. Menunggu masa
yang sesuai untuk melintas jalan. Lengan Seri dikepitnya
ketat-ketat. Apabila keadaan jalan nampak selamat, baru
mereka sedia untuk melintas.
Entah bagaimana, ada seorang makhluk Tuhan
tiba-tiba merempuh bahu kanan Ummi dari bahagian
belakang. Makhluk bertubuh tegap dan berambut panjang itu
langsung tidak berpaling. Tergesa-gesa berlari ke seberang
jalan macam orang dikejar hantu Niyang Rapik.
“Tengok! Sebab inilah banyak pencuri kat Malaysia
ini. Cuai sangat sampai dompet tercicir pun tak sedar!”
rungut Ummi. Dia mengutip kembali dompet berwarna
hitam milik insan malang itu. Pantang sungguh dia dengan
orang yang bersikap cuai!
“Lebih baik kita kejar akak tu. Kesian dia. Manalah
tahu kot-kot dia orang susah,” cadang Seri.
Ummi mengangguk laju. Lengan Seri dileraikan.
Tubuh manusia berambut panjang bak langsuir itu
mesti dikejar. Sesuatu yang bukan menjadi haknya perlu
dipulangkan kepada tuan empunya diri. Ini amanah.
Tanggungjawab segera di hadapan mata. Pahala percuma! Itu
yang selalu diajar oleh Haji Arsyad kepada Ummi.
“Akak! Tunggu dulu. Dompet akak tercicir!!!” jerit
Ummi kuat. Termengah-mengah dia berlari mengejar wanita
itu. Panggilan Ummi tidak dihiraukannya. Dia langsung tidak
menoleh. Hanya rambutnya yang panjang dan agak kerinting
kasar itu kelihatan melambai-lambai ditiup angin.
Bukanlah Ummi Nadzirah namanya kalau mudah
berputus asa. Agak jauh juga wanita itu berlari. Berapa saat
kemudian, barulah dia mula berjalan perlahan seperti biasa.
Singgah di sebuah gerai menjual minuman ringan. Ummi
menarik nafas lega. Lalu berjalan laju menghampiri wanita
tersebut.
“Kak! Maafkan saya, kak...” Ummi menyentuh
bahu perempuan itu. Dia pantas menoleh. Seorang lelaki
berambut panjang dengan seluar jean koyak di kepala lutut
itu tersenyum manis. Menampakkan barisan giginya yang
putih bersih.
Ummi mula jadi tidak tentu arah. Patutlah dia
tidak menyahut apabila dipanggil tadi. Rupa-rupanya orang
lelaki! ‘Apa boleh buat? Salah aku juga. Terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata, diri sendiri yang terasa malunya.’
Terkeluar sudah segala peribahasa merepek di dalam otak
Ummi.
“Sorry, bukan sengaja nak sentuh awak tadi. Saya
ingatkan awak ni...”
“Ingatkan saya ni apa tadi? Perempuan?” potongnya
kasar. Muka lelaki berumur dalam lingkungan 30 tahun itu
bertukar serius. Hilang terus senyuman manisnya tadi.
“Saya ni lelaki... lelaki! Faham tak? Bukannya
perempuan. Sesuka hati aje nak panggil aku akak. Hakak
kepala engkau!” marahnya lagi.
“Eh, tak! Bukan macam tu, kak. Eh, bang. Ermmm...
sebenarnya awak tercicirkan benda ni.” Tangan Ummi pantas
menghulurkan dompet berwarna hitam. Kelam-kabut Ummi
dibuatnya. Jangan sampai dia disalah anggap sudahlah.
Spontan lelaki itu meraba-raba poket di bahagian
belakang punggungnya. ‘Mana dompet aku ni? Dah
hilang!’ Lelaki yang berambut ketak melepasi bahu itu
menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Beberapa saat
kemudian, baru dia kembali tersenyum. Termalu sendiri.
“Ini memang dompet saya,” ucapnya lembut. Lalu
menyambut dompet di tangan Ummi.
“Terima kasih banyak-banyak. Kalau awak tak jumpa,
balik jalan kakilah saya hari ni,” tambahnya lagi dengan
senyuman manis. Anak mata coklatnya menatap wajah
Ummi. Pantas Ummi menundukkan wajah. Segan bertentang
mata lama-lama. Jika jatuh ke hati, meranalah diri jawabnya!
“Sama-sama. Dompet awak tercicir masa terlanggar
saya kat tepi jalan tadi.” Ummi tersenyum lega. Amanah
orang berjaya juga diselesaikan.
“Maaflah, saya nak cepat sangat tadi. Tak perasan
pulak terlanggar orang.”
“Tak apa. Hal kecik je. Saya pergi dulu.” Ummi
mengangkat tangan kanan dan terus berpaling pergi. Dia
tidak mahu berlengah-lengah lagi. Aktiviti penting bersama
Seri masih belum dilaksanakan. Kesempatan cuti pada
hujung minggu ini jangan disia-siakan.
Lelaki itu masih berdiri tegak macam tiang lampu.
Dia tidak berkedip mata pun memerhati gerak dan lenggok
jalan Ummi. Banyak perkara lain yang hendak ditanya tapi,
tidak sempat.
Baru sahaja hendak membuka mukadimah salam
perkenalan tadi, Ummi sudah tergesa-gesa mahu pergi.
‘Apa boleh buat?’ Lelaki tersebut hanya mampu tersenyum
seorang diri melihat susuk tubuh Ummi berlalu pergi hilang
dari pandangan mata.
UMMI NADZIRAH membuka tombol pintu rumah. Kedua-dua
belah tangannya kini penuh dengan plastik berisi kain ela
baju kurung yang belum berjahit. Rasa puas hati setelah
melampiaskan nafsu membeli-belahnya tadi. Memang tidak
sia-sialah dia berpeluh dan basah ketiak. Hasilnya memang
sangat membanggakan.
Buah tangan buat Haji Arsyad tidak dilupa. Sehelai
jubah Arab rekaan terbaru untuk orang tua itu ke masjid.
Hadiah untuk mengampulah katakan! Harap-harap abahnya
suka. Hilang amarah, hilanglah dendamnya nanti. Ummi
tersenyum sendiri. Mengunci pintu rumah.
“Ehem, ehem...” Haji Arsyad berpura-pura batuk.
Majalah yang dibacanya diletakkan di atas meja sisi. Cermin
mata yang dipakainya ditolak sedikit ke atas. Biar jelas
pandangan.
“Eh, abah. Ummi tak perasan pulak.
Assalamualaikum...” Ummi menyambut tangan Haji Arsyad.
Dikucupnya lembut.
“Waalaikummussalam. Dari mana ni? Kenapa abah
telefon banyak kali tak dapat-dapat?” Haji Arsyad merenung
muka Ummi.
Mendengarkan pertanyaan itu, tubuh Ummi tiba-tiba
jadi keras membatu. Laju jantungnya mengepam darah.
Mulutnya terkunci rapat. Dia mula tersengih-sengih macam
kerang busuk bagi menutup rasa bersalah.
Sebetulnya, memang sengaja Ummi mematikan
telefon pintarnya tadi. Malas mahu menjawab panggilan
daripada Haji Arsyad. Bagai sudah tahu sahaja apa yang bakal
mereka bualkan.
“Buat penat je keluarga Encik Hisyam datang ke
mari. Kamu pergi ke mana? Tak baik tau buat orang lain
tertunggu-tunggu.” Nada suara Haji Arsyad berubah tegas.
Merenung Ummi sambil membetulkan kedudukan serbannya.
Sememangnya, serban dan Haji Arsyad memang
tidak boleh dipisahkan. Dia hanya akan membuka serbannya
pada waktu mandi dan tidur saja. Jarang sekali ditanggalkan.
“Ummi Nadzirah? Dengar tak apa yang abah
cakap ni?” Keras suara Haji Arsyad menyoal. Matanya tepat
merenung muka Ummi. Sudah hilang rasa sabarnya. Makin
dimanja, makin menjadi-jadi pula perangai Ummi.
“Anak tauke tempe tu ke? Ummi tak naklah, abah!
Biarlah Ummi cari jodoh Ummi sendiri. Ummi dah besar.
Bukannya budak sekolah rendah.”
“Luaran je dewasa, tapi pemikiran kamu tu macam
budak-budak. Nama je cikgu, tapi perangai mengalahkan
budak tadika lagi. Abah penatlah macam ni. Malu! Mana nak
letak muka ni? Kamu belum pun jumpa dia lagi, dah fikir
yang bukan-bukan. Hina sangat ke kerja jual tempe tu?”
“Bukannya hina. Cuma, Ummi nak tanya... pernah ke
abah tengok rupa dia? Elok ke perangainya?” bantah Ummi.
Kalau bab jodoh, Ummi memang memilih. ‘Yalah!
Ingat senang ke nak cari lelaki yang berkualiti zaman
sekarang ni? Lagipun, mencari suami bukan senang macam
beli ikan kat pasar!’
“Memanglah abah belum pernah jumpa dia lagi.
Dia tu anak Encik Hisyamlah. Abah percaya, dia budak baik.
Kamu tak kenal dia ke? Masa kecik-kecik dulu selalu main
sama-sama. Tak ingat lagi?” bidas Haji Arsyad.
“Manalah Ummi nak ingat. Itu semua kisah lama,
abah. Benda lepas takkan sama dengan masa sekarang. Ummi
tahu, abah dengan Encik Hisyam memang dah berkawan
lama. Tapi janganlah jadikan benda tu untuk ikat Ummi
dengan keluarga dia. Tolonglah bagi peluang kat Ummi
buat keputusan Ummi sendiri. Please...” rayu Ummi. Mula
berbicara lembut.
“Abah tak pernah fikir nak buat Ummi macam tu.
Abah sayangkan Ummi. Sebab itulah abah yakin. Keluarga
Encik Hisyam boleh terima Ummi seadanya.” Perlahan suara
Haji Arsyad.
Ummi menarik nafas panjang. Dia tahu. Haji Arsyad
memang sayangkan dia. Sebab itulah lelaki itu tidak sanggup
melepaskan dirinya. Sampai memilih keluarga mentua pun
mesti ikut pilihannya sendiri. Tiada kompromi!
Mahu atau tidak, Ummi terpaksa mencari jalan lain.
Perlu pastikan bahawa tiada pihak yang terluka. Gunakan
taktik menang-menang. Haji Arsyad boleh menerima
keputusannya dan Encik Hisyam sudi memahami. Itu sudah
cukup. Titik!
“Abah... janganlah marah. Ummi betul-betul minta
maaf. Ya, insya-Allah. Lepas ni, Ummi jumpa anak si tauke
tempe tu. Boleh?” pujuk Ummi.
Padahal, itu sekadar jawapan untuk melegakan hati
si ayah. Tipu sunat sekali-sekala. Dalam hati tersimpan seribu
satu agenda tersembunyi. Ummi tersenyum sinis dalam diam.
Dia mengurut-urut bahu Haji Arsyad, buat misi mengambil
hati.
Baru lega perasaan orang tua itu apabila
mendengarnya. Bukannya dia tidak tahu, Ummi memang
banyak tipu muslihatnya. Entah apakah lagi agenda licik yang
dirancangnya. Harap-harap kali ini tidak. Semoga kata-kata
yang keluar daripada bibir Ummi itu tadi benar-benar belaka.
“Bila kamu nak jumpa dia? Abah boleh aturkan.”
Suara Haji Arsyad sedikit tenang. Kemudian, dia bersendawa.
Selesa betul rasanya apabila diurut.
“Errr... itu... nanti Ummi fikirkanlah,” alih Ummi.
“Nanti tu bila?”
“Mmm... nantilah. Bila Ummi dah sedia, Ummi
beritahu.”
Haji Arsyad mengangguk. Sepenuh kepercayaan
ditumpahkan. Kali ini perancangannya pasti berjaya. Ummi
Nadzirah akan bergelar menantu kepada sebuah keluarga
pengusaha kilang tempe. Itu sudah pasti. Dia sangat yakin.
“Abah, Ummi nak tanya sikit boleh tak?” soal Ummi.
Haji Arsyad mendongak kepala. Mengangkat
keningnya. Tanda mahu mendengar.
“Abah ada bagi gambar Ummi kat siapa-siapa tak?”
Ummi tiba-tiba teringatkan tentang bingkai gambar di
dalam bilik tidurnya yang hilang di atas meja beberapa hari
yang lalu. Terlupa pula hendak bertanya bapanya semalam
mengenai hal ini.
“Errr... itu.” Haji Arsyad menggaru pipi kanannya
beberapa kali.
Ummi mula mengetap bibir menahan geram.
Fahamlah dia. Gaya itu maksudnya Haji Arsyad sudah
terkantoi!
“Abah jangan cakap yang abah dah bagi kat anak
tauke tempe tu?” duga Ummi.
Haji Arsyad mula tersengih-sengih. Buat muka dua
puluh sen.
“Abah?” Ummi menggeletek perut Haji Arsyad
yang agak berisi. Itulah kelemahan lelaki itu. Bila digeletek,
semuanya akan terbongkar.
“Okey, okey. Abah mengaku. Abah yang suruh Encik
Hisyam bagi kat anak dia...” Akhirnya Haji Arsyad mengalah
juga. Tersemput-semput nafas orang tua itu dikerjakan oleh
Ummi. Pengakuan sebenar berjaya juga diterima.
“Apa ni, abah? Malulah Ummi. Gambar tu tak
eloklah. Adoi! Mana Ummi nak letak muka ni...” Ummi
cuba mengenang semula gambarnya ketika makam aiskrim
bersama Seri beberapa bulan lepas. Menyambut hari jadi
kawannya baiknya, dia pula yang terpaksa dicomotkan muka
dengan aiskrim perisa coklat!
“Dah itu je gambar Ummi yang ada. Apa yang abah
boleh buat?” Haji Arsyad memberi alasan.
“Ah, tak adillah macam ni! Gambar Ummi dia ambil,
gambar dia mana?” omel Ummi.
“Abah tak teringat pulak nak minta...” ucap Haji
Arsyad selamba.
“Lain kali janganlah bagi gambar Ummi. Manalah
tahu dia ada niat jahat ke? Kaki bomoh? Siapa tahu?”
“Tak mungkinlah. Abah dah lama kenal dengan
Encik Hisyam tu. Dia bukan jenis orang yang macam tu,” bela
Haji Arsyad dengan ketawa puas hati.
Ummi mengerutkan dahi. Perlahan-lahan mendaki
anak tangga menuju ke tingkat atas. Dalam mindanya ligat
berfikir.
‘Bosan! Menyakitkan hati betul. Patutlah aku tak
kahwin-kahwin dan berat jodoh. Jangan-jangan dah kena
mandrem. Bukan satu saja gambar aku yang kena lelong.
Sebelum ini, entah berapa ramai lagi yang ada simpan koleksi
gambar hodoh aku! Huh!’
No comments:
Post a Comment