“ITU aje kau makan?” tanya Haiqal sambil
mengerling pinggan Fakhri. Macam biasa.
“Jadilah...” ucap Fakhri perlahan.
“Tahan betul kau makan macam tu aje setiap hari.
Tak jemu ke?” ujar Haiqal sambil menggaul nasi di dalam
pinggannya dengan sudu. Setiap kali makan di kedai, Fakhri
memilih nasi set yang berharga tiga ringgit dengan air
kosong. Fakhri tidak suka makan di kedai mamak kerana
harganya mahal.
Dia? Dengan nasi goreng dan tomyam. Tidak selera
makan ala kadar, asal ada. Sesekali mesti mahu bertukar
selera.
“Tadi kau kerja kat rumah orang kaya tu, tak dapat
upah ke?”
“Dapat.” Teringat siang tadi. Upah yang dia minta
sekadar 50 ringgit sahaja. Tetapi lelaki itu memberinya
seratus. Murah rezekinya hari ini.
“Makanlah yang sedap sikit. Asyik makan nasi murah
aje. Apa salahnya? Kau kerja teruk-teruk, tapi badan kau...
kau layan ala kadar aje. Tak baik macam tu.”
Fakhri hanya diam. Ini sudah lebih daripada syukur
sebenarnya. Daripada kebuluran?
“Kau takut sangat tak ada duit kat sana nanti. Aku
kan ada? Susah sama susah. Senang sama senang, Ri.” Haiqal
tahu Fakhri bekerja keras mengumpul duit untuk menyara
hidup mereka setelah pulang semula ke Australia nanti.
Fakhri pantas memandang temannya itu. “Sikap
suka bergantung pada orang, itu yang menyusahkan kita
kemudian hari, Haiqal. Aku lebih suka beringat. Aku tak
suka menyusahkan kawan-kawan. Kalau selalu sangat
menyusahkan kawan, nanti orang muak dengan kita,” jawab
Fakhri.
Haiqal diam. Dia mula mengenali Fakhri ketika
mereka mula mengambil diploma bertahun-tahun dulu.
Kemudian menyambung pelajaran di peringkat ijazah di
University of Sydney. Rasanya dalam seramai-ramai kawan,
inilah kawan yang paling berjimat cermat sepanjang hidupnya.
Baju yang sama diulang berkali-kali sampai perempuan pun
tidak selera mahu memandang Fakhri.
Haiqal tahu Fakhri bukannya tiada duit. Setiap
minggu mengambil upah sebagai tukang kebun di beberapa
buah rumah. Kemudian menubuhkan sebuah syarikat
untuk berniaga sampingan pula. Sebenarnya Fakhri jauh
lebih berduit berbanding pelajar lain yang bergaya sakan
dengan duit pinjaman dan biasiswa. Upahnya sebulan
sampai beribu-ribu. Tetapi temannya itu suka menahan diri
semata-mata untuk menyimpan.
“Tak pun carilah awek seorang. Sesak-sesak, ada juga
gunanya,” ucap Haiqal tidak lama kemudian.
Suapan Fakhri terhenti. Pantas dia memandang
Haiqal.
“Maksud kau?”
Haiqal ketawa kecil. Teringat teman wanitanya. Lebih
berduit daripada dia. Kadangkala menjadi bank untuknya
apabila duit pinjaman susut.
“Carilah awek yang berduit. Ayat baik-baik bagi dia
sayang. Waktu kau susah, dia takkan biarkan kau. Hidup kena
pandai, Ri.”
“Pandai tipu orang?” sambut Fakhri pantas.
“Tak adalah macam tu. Bukan aku suruh kau
main-mainkan dia. Nanti dah habis belajar, kahwinlah.”
“Kalau jodoh ditetapkan dengan dia. Kalau berubah
hati? Kau nak bayar balik duit awek tu?” sanggah Fakhri.
“Buat pekak ajelah.”
Fakhri diam sambil menggeleng. Pendirian itu tiada
padanya. Namun tiba-tiba ingatannya melayang kepada anak
gadis orang kaya tempat dia bekerja siang tadi. Tinggi dan
bertubuh langsing. Cantik. Jelas kelihatan roman kacukan
dua bangsa pada wajahnya. Teringin nak pandang berkali-kali.
Tetapi malu. Terasa diri tak sedar dek untung. Sudahlah
diberikan kerja, anak dara tuan rumah pula mahu diuratnya.
‘Ah! Apa fikiran aku melalut ni? Berangan! Takkanlah
anak Tan Sri seperti tu nak pandang lelaki seperti aku?’ detik
hati Fakhri. Nafas dihelakan.
“Apasal?” tanya Haiqal dengan pandangan aneh.
“Tak ada apa-apa. Aku dah kenyang. Kau nak lepak
ke? Aku nak balik.”
“Alah... boring betullah kau ni. Lepaklah dulu. Asyik
fikir duit aje kau ni,” keluh Haiqal sambil menggeleng.
“Kau ada bapa yang beri duit tiap-tiap bulan. Ada
duit pinjaman menunggu. Ada makwe kaya. Tak ada duit,
call aje. Aku tak ada semua tu, Haiqal. Tulang empat kerat ni
ajelah yang aku ada. Aku nak balik. Nak rehat. Esok ada kerja
lagi,” ucap Fakhri lembut.
Tanpa mempedulikan reaksi Haiqal, Fakhri tetap
bangun. Biarlah orang mengata dia membosankan atau apa.
Tidak suka bersosial. Dia jaga hidupnya sendiri. Dan dia tidak
ingin selamanya dipandang rendah oleh wanita.
“JAGA DIRI baik-baik ya?” ucap Tan Sri Ariff kepada si anak.
“I love you, daddy.” Afyra terus memeluk bapanya
itu. Di dada lelaki itu air matanya jatuh.
Tan Sri Ariff tersenyum lembut.
“I love you too,” ucap Tan Sri Ariff perlahan. Kepala
anaknya dikucup penuh kasih sayang.
“Jangan menangis. Hidup sendiri, kamu mesti
belajar untuk jadi kuat,” ujar sang bapa lagi.
“Kak Fira ni, dahlah... asyik nangis aje. Cepatlah.
Nanti lambat,” celah Rania. Kakinya sudah tidak sabar-sabar
nak cecah lantai pesawat.
“Shhyyy...” tegur Puan Sri Insyirah tidak senang.
Bab berjalan, nombor satu!
“Sampai sana nanti call saya. Saya dah beritahu bapa
saya. Dia tunggu awak kat sana,” pesan Tan Sri Ariff kepada
isterinya. Hanya Puan Sri Insyirah dan Rania akan mengiringi
Afyra ke kota London. Dia sekadar sampai di sini.
“Insya-Allah...”
Sayu pandangan sang bapa saat salah seorang
puterinya berlalu ke balai berlepas. Sedar mereka akan
terpisah dalam jangka masa yang lama. Reda walaupun hati
sarat dengan kerisauan untuk melepaskan anak itu pergi
mencari kehidupan sendiri setelah sekian lama berada dalam
jagaannya.
Kawasan perlepasan antarabangsa agak sesak awal
pagi begini. Di kaunter pemeriksaan imigresen, mereka
terpaksa beratur panjang. Entah kenapa, dada Afyra berdebar
tidak tenang. Sekadar mahu menenangkan perasaan, dia
memerhatikan orang sekeliling.
Namun saat mengalihkan pandangan, sekilas dia
terpandang sekumpulan pemuda-pemuda membawa beg
kembara beratur di kaunter lain. Spontan Afyra menoleh
semula ke arah kumpulan lelaki itu. Matanya terpandangkan
seorang lelaki yang mungkin pernah dia lihat sebelum ini.
Buat seketika dia memerhatikan lelaki bertopi
baseball itu sambil cuba mengingati di mana dia terjumpa
lelaki itu. Sayangnya jawapan yang dicari entah di mana.
Sehingga dia dicuit oleh ibunya agar terus ke hadapan, Afyra
memilih untuk tidak memikirkan tentang lelaki asing itu
lagi.
No comments:
Post a Comment