BOB selamat hari tu sebab Amani tiada di rumah,
khabarnya ibu angkatnya yang berada di Kelantan sakit. Maka
hampir seminggu juga Amani tiada di kampung dan itu
menandakan selamat jugalah Bob untuk seminggu daripada
menunaikan syarat aku. Hesy! Tak apa Bob tak apa. Ada ubi
ada batas, lain hari pasti balas.
Malam tu, kami lepak kat rumah aku. Biasanya di
kampung, meriahnya raya selama 7 hari. Oleh sebab hari
itu hari yang ke-6, maka masih ramai lagi tetamu yang
bertandang terutamanya budak-budak. Itu pun muka
budak-budak sama, tak Budin mesti Siti, tak pun Awang
budak yang baru bersunat tu punya geng, kadang-kadang
geng budak kampung sebelah. Selalunya tu motifnya sama je,
nak kumpul duit rayalah. Tak apalah kan setahun sekali, bila
lagi nak happy-happy, hulur-hulur aje yang mampu.
“Lan, kau balik KL bila?” tanya Joe tiba-tiba.
Aku yang tengah sedap melahap biskut kacang, kuih
makmur dan kuih siput masa tu, pandang dia.
“Esok... Apa boleh buat, mana boleh cuti lama. Ni
pun aku ambil cuti tahunan ni nak balik. Kalau tak, 5 hari aje
cuti aku. Kau?” tanya aku balik.
“Esok juga.”
“Kau Bob, balik bila?” tanya aku.
“Entah...” jawab Bob acuh tak acuh. Entah ke
manalah fikiran si Bob melayang-layang tu, teringat kat si
Amani buah hati pengarang jantung dialah tu.
“Bob, kau ni apasal? Lembik semacam je, kalau nak
kata tak makan, kaulah yang paling kuat makan antara kita
ni. Pagi tadi, kau juga yang habiskan rendang mak Lan kan,”
tegur Joe sengaja ingin tahu.
“Tak adalah, aku nak nikmati hari-hari terakhir di
kampung la ni. Ni aku nak tanya korang, apa kata kita tinggal
satu rumah kat KL tu? Nak tak? Room-mate aku pun dah
move out. Kalau tinggal dengan korang senang sikit. Macam
mana? Kau okey kan Lalan? Joe? Susahlah selalu lepak rumah
Joe je.” Bob tiba-tiba memberi cadangan, menyebut nama Joe
perlahan sebab kami berdua tahu Joe tu pentingkan privasi
dan kondo dia tu. Bukan macam kami, rumah apartmen tapi
sewa 3 orang. Aku duduk dengan dua pelajar kolej pulak tu,
macam dah tak sesuai. Nasib baiklah lepas raya ni diaorang
dah habis sem dan balik ke kampung untuk selama-lamanya.
Bob pun sama, tinggal dengan 4 house-mate dia, semua
rakan-rakan sekerja dia.
Okey, kejap. Aku nak buat calculate jap. Sewa rumah
2500, air api cincai 300, line Internet 200 sebulan, semua
sekali tiga ribu.
Wah! Cadangan baik juga si Bob ni. Kalau ada Bob
dekat rumah aku, semua bayar separuh. Hidup di bandar
ni semuanya duit dan duit. Bukan gaji tak besar, tapi yalah,
kami ni lelaki penjimat. Selagi boleh jimat, selagi tu la akan
fikir alternatif. Dengan jawatan aku sebagai pengarah akaun
di syarikat terkemuka, sepatutnya boleh tinggal kat kondo.
Bukan tak ada, tapi aku sewakan. Kena fikir masa depan.
Akauntan kan selalu berfikir ke hadapan. Bukan nak eksyen
je lebih tapi habuk tak ada, sekurang-kurangnya bila dah
kahwin nanti adalah juga sumber kewangan lain.
“Aku setuju, tapi korang kenalah masuk rumah
aku.” Cepat aku memberi cadangan.
Yalah, kami mesti nak pilih salah satu rumah antara
kami bertiga kan.
“Aku bukan tak nak, tapi rumah sekarang aku duduk
tu aku dah beli,” aju Joe tiba-tiba.
Okey, nampaknya kami baru tahu malam ni pasal
Joe dah beli rumah sendiri. Kami berdua maklum, gaji Joe
sebulan dekat 12000. Memang lebih daripada mampu nak beli
rumah. Itu pun gaji dia setahun lalu, aku agak, mesti dah naik
lagi sebab dia naik pangkat hari tu.
“Ha, tak pun korang berdua tinggal kat rumah aku.
Tak payah bayar sewa apa semua. Okey?” Joe pandang kami.
Aku pandang Bob. Segera Bob faham. Dia geleng
kepala perlahan. Bukan kami tak nak, cuma memang tak
suka jenis-jenis menumpang free ni. Tak apalah kut kalau
aku dan Bob je yang satu rumah dan Joe lain rumah. Lagipun
kalau Bob duduk rumah aku, senang sikit. Sewa rumah pun
boleh bahagi dua.
“Tak apalah Joe. Bukan tak nak, tapi rumah kau tu
jauhlah. Aku dengan Bob tinggal berdua je. Nanti senang,
kami singgah-singgahlah rumah kau macam selalu. Macam
kau tak biasa. La ni kami berdua je, senang nak lepak.” Aku
cuba cakap sehabis-habis baik. Yalah takut pulak karang Joe
terasa hati. Kami pun memang selalu datang ke rumah Joe
tu melepak.
Macam yang aku selalu cakap, lelaki yang usianya
sudah melepasi 30 dan ke atas ni, hatinya lain macam sikit,
jadi nada suara jangan kedengaran macam menolak seratus
peratus. Hati kawan mau jaga juga. Joe tu lagilah jenis
sensitif dengan nada dan perubahan wajah seseorang, kalau
tak, takkan dia jadi peguam kan?
“It’s okay, aku faham. Tapi, jangan segan silu datang
rumah aku macam selalu. Kita kan geng.”
Lega rasanya dengar Joe cakap macam tu.
“Joe, dengan muka kau yang boleh tahan ni, takkan
tak ada yang terpaut?” tanya Bob tiba-tiba.
“Entah, jangan-jangan kau ni... suka... le... tak?” Aku
sambung tapi malas sambung.
Yalah, biasanya, hanya kami berdua ni yang sibuk
pasal perempuan dan cari jodoh. Joe pula selalu atas pagar.
Sengaja buat tak kisah ataupun... ataupun dia ni 2 alam?! Isy!
Mintak simpang! Tak mungkinlah. Tak baik aku fikir macam
tu dalam hati.
Minta simpang!
“Ada ke patut kau tuduh aku macam tu? Nasib
baiklah aku dalam mood baik ni. Jadi, selama ni korang ingat
aku ni G ke? Sampai hati ya! Ni mesti Lalan ni...” marah Joe
sambil pandang aku tajam.
“Ala Joe. Aku saja je. Kau tu yang buat aku confuse,
kau jangan marah ya. Hari raya ni, tak baik marah-marah...”
pujuk aku.
“Ya, dimaafkan. Tapi lagi sekali cakap macam tu, aku
tak nak tegur korang berdua.”
“Jadi, takkan kau tak ada calon kut? Mustahillah kan
tak ada...” usik Bob.
Bob ni memang mengundang marah. Dah si Joe tu
turun angin, karang dia naik angin balik.
“Bukannya tak ada, dalam pencarian lagi. Ada tu ada
yang okey, tapi tak memenuhi kriteria.”
“Amboi Joe, ada kriteria lagi. Ni mesti taste kau
tinggi sangat ni. Maklumlah... bakal suami gajinya pun boleh
tahan...” sindir aku.
“Tak adalah, aku adalah suka dengan seseorang ni,
tapi malulah nak cakap...” Joe segan-segan.
Aku herot mulut pandang Joe. Kata peguam... erm!
“Kau dengan aku ni rupanya 2 kali 5 je. Aku ingat
aku je yang fail bab-bab ni. Rupanya kau pun sama...” Aku
pandang Joe sambil geleng kepala perlahan.
“Apa boleh buat... dah nasib kita ni kawan. Perangai
sama aje. Agak-agaknya kena mandi bunga ni,” cadang Joe.
“Ha, kita tak beraya lagi dekat rumah Pak Mat
Bomoh tu. Manalah tau boleh tanya apa dia boleh bantu kita,”
cadang Bob.
“Hesy! Tak payahlah. Kita buat solat hajat sudah.
Khurafat tahu, 40 hari doa kita tak diterima...”
Aku tegah awal-awal. Dulu ada juga rasa macam tu,
tapi sejak aku berada di kampung mengaji dan ikut terawih,
ada pula rasa keinsafan tu. Yalah... baru lepas Ramadan kut.
Takkanlah rasa nur tu tak ada kan? Insya-Allah masih ada,
rindu Ramadan.
“Alhamdulillah. Ya Ustaz Lan, kami faham... faham
sangat. Hihi...” Bob ketawa ala-ala macam nak menyindir pun
ada.
“Ustaz Lalan, jadi ikhtiar apa nak guna supaya kita
semua ni cepat kahwin?” tanya Joe pula.
“Apalah yang diborakkan tengah-tengah malam ni?
Dari dapur abah dengar... nak mandi bunga, nak kahwin.
Siapa nak kahwin?” tanya abah.
Amboi abah... sensitif tau bab-bab tu. Sengaja je
abah pandang aku. Yalah, selaku anak sulung, sepatutnya aku
dah mendirikan rumah tangga. Tapi akulah yang paling last,
adik-adik aku semua dah selesai...
“Tak adalah abah. Saja borak-borak kosong...” jawab
aku.
“Ermm... baru abah nak makan nasi minyak.
Melepas...” sindir abah.
Bob dan Joe senyum-senyum pandang aku. Amboi,
memang nak kena seligi-seligi betul diaorang dua ekor
ni. Kalaulah bukan kawan, dah lama aku ikat dekat pokok
rambutan sana bagi kerengga gigit.
Padan muka!
“Abah masuk dululah. Pak cik masuk dululah ya
Bob, Joe. Dah lewat malam ni. Assalamualaikum...” Abah
meminta diri.
“Waalaikumussalam,” jawab kami bertiga serentak.
Selaku JKKKK kampung, abah memang sentiasa
sibuk. Mana tidaknya masa hari raya nilah nak buat kenduri,
dekat situlah nak kahwin, dekat situlah nak cukur jambul,
dekat situlah nak kenduri doa selamat, dekat situlah nak
kenduri masuk rumah baru, sunat, dan lain-lainnya. Manalah
tenaga abah aku tu tak penat. Pernah mak suarakan agar abah
letak jawatan, tapi dia sendiri tak mau sebab dia suka kerja tu.
“Lan, kami nak tidur sini boleh?” tanya Bob yang
baring di sofa sebelah aku.
“Haahlah Lan, dah lama kami tak meniduri
kau...” sampuk Joe. Amboi ayat dia macam nak bagi makan
penumbuk je.
“Isy korang ni, muka tak malu, menumpang tidur
rumah orang. Pergi balik rumah masing-masing.” Sengaja
aku marah.
“Along, apa marah-marah ni? Tak bagi Joe dengan
Bob tidur sini ke?” tanya mak yang tiba-tiba masuk ke ruang
tamu sambil membawa racun nyamuk.
“Haah cikgu. Dia siap nak halau kami balik, cikgu,”
adu Joe kepada mama aku.
Amboi Joe, aku tahulah kau tu murid kesayangan
mak aku, samdol! Karang aku halau betul-betul baru tau.
“Kalau dia halau, biar cikgu halau dia,” balas mak
aku dan terus berlalu.
Joe dan Bob ketawa mengekek-ngekek. Samdol
betul! Aku yang kena! Terus aku tumbuk bahu Joe sekali,
rasakan penangan aku.
“Sakitlah, Lan... kau ni...” marah Joe.
“Tadi pandai cakap dengan mak aku macam tu kan,
ambik kau.” Aku jeling dia.
Memandangkan filem yang ditayangkan malam tu
dah 10 kali kami tengok dekat pawagam, makanya tutup TV
dan terus masuk ke bilik. Mangkuk dua ekor tu pun masuk ke
bilik juga, menyempit kat katil kecik aku tuh.
“Tidurlah kat bawah, korang ni...” marah aku.
“Isy! Dulu muat je kita bertiga dekat katil ni. Kaulah
ni Bob, makan banyak sangat,” sindir Joe.
“Ceh! Aku pula yang kena! Kita semua dah besarlah...
jangan nak feeling muda sangatlah...” marah Bob.
Memandangkan mangkuk dua ekor tu tak bawa
apa-apa pun waima seluar kecik mereka. Maka, kami bertiga
berkongsi satu selimut. Maka mulalah adegan tarik-tarik.
Kalau kecik dulu bolehlah muat, ni dah besar panjang.
Manalah nak muat kan...
“Korang tahu tak, aku rasa macam deja vu pulak.
Dulu kita selalu macam ni kan?” Aku membuka cerita.
“Yalah, aku takut nak balik rumah lepas tuisyen
dengan mak kau. Aku minta tidur rumah kau masa tu. Nasib
baik mak kau bagi.” Joe juga mengingati kenangan kami.
“Lagipun mak kau baik, semua subjek dia ajar,
percuma pula tu. Kalau korang nak tahu, aku ada juga
cita-cita nak jadi cikgu, tapi tu la... dah besar jadi ke lain pula.
Minat melukis aku tu rupanya dikembangkan sampai jadi
jurutera.” Bob menyampuk.
“Ala, apa-apa kerja pun berkat asalkan kita ikhlas.”
Aku senyum sendiri.
“Aku respectlah mak kau tu, sampai sekarang still
jadi cikgu kan? Kaulah ni Lan, dulu kena suruh masuk
maktab kau sembunyi kat rumah aku kan? Sebab kau tak nak
pergi interview.” Joe mengingatkan aku kenangan beberapa
tahun dulu...
Bukan beberapa tahun, 10 tahun yang lalu tu.
Masa tu mak isikan maktab lepas aku habis STPM.
Aku masa tu dah berminat dengan bidang lain, tapi takdir
Allah, aku dapat interview maktab tu. Tapi aku tak pergi, aku
buat-buat lari rumah.
Berbirat juga kaki ni kena pukul dengan tali pinggang
abah. Tapi mak dan abah sedar akhirnya, tak guna memaksa
dan aku pun teruskan dalam bidang yang aku minat. Ada juga
rasa bersalah aku sehingga kini, tapi apa boleh buat, masa tak
dapat diundur kembali.
“Itu kenangan dulu Joe, tak payahlah nak ingat lagi.
Kalau ingat pun buat aku sedih pula.”
“Kau sedih apa pasal? Kau ni, tak faham aku,” balas
Joe.
“Haahlah, aku ingat masa tu ada antara kita bertiga
ni akan jadi cikgu. Rupanya kau minat benda lain, Bob pun
minta benda lain...” jawab aku.
“Tak apalah Lan, dah takdir. Ada sebab Tuhan
letakkan kita dalam posisi sekarang ni.” Joe dah macam ustaz
tiba-tiba.
“Ha, yang akhirnya jadi cikgu, si Meor semua tu. Aku
tak sangka gila diaorang semua tu jadi cikgu.” Bob bersuara.
“Masa sekolah memang macam tu, mana kita nak
sangka masa depan kita jadi apa. Kau sangka tak umur kita
33 tahun ni tak kahwin lagi? Tak kan?” Aku pula bersuara.
“Lan, aku pun tak sangka yang kita umur 13 tahun
tidur sama macam ni. Lepas tu umur 33 tahun pun tidur
sekatil bersesak macam ni.” Joe pula balas.
“Ha, tu la korang. Siapa punya badi ni?” Aku sesaja
cakap.
“Bob ni...” Joe balas.
“Joe, kaulah ni...” Bob pula.
“Nasib baik bukan aku...” Aku balas.
“Ha, Lan...” Joe dan Bob cakap serentak.
Kuang ajaq!
Buk!
Kami bertiga dengar ada batu kena humban dekat
tingkap.
Awu... awu...
Kedengaran lagi bunyi anjing melolong.
“Lan, aku ke tengahlah ya,” pinta Joe takut.
“Aku pun nak ke tengahlah...” Bob juga minta posisi
aku.
Dah macam rebut-rebut tempat pula dengan aku
jadi mangsa. Bila dah tak tahan, terus aku bingkas.
“Ha, korang tidurlah berdua kat katil tu, biar aku
tidur kat luar, kan ke adil. Rimas betul aku.”
“Ala Lan... kami saja je tu.” Joe pujuk aku. Tahu
takut...
Awu... awu...
Aku rasa bunyi lolongan anjing tu makin kuat,
terus aku lompat ke atas katil. Dah macam budak kecik pula,
selimut dah naik sampai ke kepala.
“Eh! Apa yang bau semacam ni?” tanya Joe tiba-tiba.
Aku pun rasa ada bau yang kurang menyenangkan
tika itu. Bau itu sangat kukenal tetapi empunyanya tidak
dikenal.
“Ni mesti kau kan Bob? Asal kau melepas hah?
Samdol betul, aku seligi juga budak ni karang...” marah aku.
“Ala... aku makan banyak tadi... sorry korang...”
Aku dan Joe bangun dari katil dan bukak tingkap
untuk hilangkan bau. Kurang asam punya Bob! Nasib baiklah
pewangi Febreze tu ada lagi... Bob pula steady aje kat katil
sambil sengih-sengih. Geram aje aku tengok. Rasa nak
humban Febreze ke muka dia.
“Kalau kau macam ni, baik aku ambil si Amani tu.”
Aku sengaja gugah hati dia.
“Ala, tak kisah pun...” Bob jawab acuh tak acuh.
“Baik, esok juga aku suruh mak aku pinang dia,”
tegas aku.
“Eh Lan, kau jangan nak potong jalan pula...” Bob
marahkan aku.
“Tahu takut...” sindir aku sambil ambil angin yang
keluar dari tingkap.
“Eh Lan, apa benda kat jalan tu?” tanya Joe kepada
aku.
“Mana?” tanya aku.
“Tu...”
“Eh! Tu kan...”
Pap! Terus aku tutup tingkap rapat-rapat. Malam tu
juga terus senyap.
“Korang nampak apa tadi?” tanya Bob tiba-tiba.
“Esok jelah...” jawab aku.
Sebenarnya aku tak nampak apa-apa pun, dan
aku tak pasti apa yang Joe nampak. Aku saja buat macam
tu supaya kami terus tidur. Korang kan tahu, kalau tidur
dengan kawan-kawan ni, sah-sah sampai ke pagi tak habis
cerita. Tricklah tu... Esok, pandai-pandailah aku taram cerita
karut-marut aku tu, eh!
No comments:
Post a Comment