DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 20 November 2016

Jangan Cintai Aku - Bab 4

BREK tangan kereta Aston Martin miliknya itu
ditarik ke atas. Enjin dimatikan. Durrah lurutkan kaca mata
hitam Gucci dari batang hidungnya, menggantungnya ke
kolar oversized t-shirt berona oren yang tersarung di tubuh.
Nafas ditarik dalam. Dilepasnya perlahan-lahan.
Durrah kemudian keluar, melangkah tenang mendapatkan
Puan Safa yang sedang tersenyum menunggu dia di muka
pintu.
“Assalamualaikum Kak Safa.”
“Waalaikummussalam.”
Kedua-dua mereka bertukar salam.
“Jom masuk.”
Durrah angguk. Lepas flat shoes putih yang
tersarung di kaki ditanggalkan, dia membuntuti Puan Safa
menaiki anak tangga menuju masuk ke dalam rumah.
“Tariq baru keluar pergi kedai tadi. Kak Safa minta
dia tolong belikan santan kejap.”
Seolah-olah tahu apa yang bermain di dalam fikiran
Durrah, Puan Safa memberitahu. Durrah yang mendengar
tersenyum cuma dan mengangguk sedikit.
“Kak Safa tengah memasak ke?”
Durrah bertanya, sebaik saja dia dan Puan Safa
melabuh punggung di kerusi rotan yang terletak di ruang
tamu.
“Haah. Untuk makan tengah hari kita.”
“Oh. Padanlah sedap aje baunya. Boleh Durrah
tolong sama?”
Puan Safa pamer muka skeptikal.
“Durrah boleh memasak ke?”
“Kenapa tanya macam tu? Kak Safa fikir Durrah tak
reti ke?”
“Err, tak adalah macam tu. Tapi Durrah kan anak
orang berada. Selalu anak orang berada ni kan jarang masuk
dapur. Yalah, sebab mampu upah orang gaji untuk tolong
buat kerja rumah.”
Durrah tersenyum sinis. ‘Stereotaipnya pandangan
Kak Safa! Gamaknya sebab banyak drama dan novel tunjuk
anak-anak orang kaya tak pandai masaklah ni, dia fikir aku
pun macam tu agaknya!’
“Tak adalah, Kak Safa. Tak semua macam tulah.
Durrah selalu aje memasak dulu. Tapi sejak Durrah ambil alih
Il Diletto, dah jaranglah sikit. Sibuk dengan kerja.”
Puan Safa mengangguk-angguk. Sengih dia
kemudiannya.
“Kak Safa minta maaflah ya, Durrah? Sebab
pandai-pandai buat kesimpulan sendiri.”
Durrah senyum lagi.
“So, Kak Safa nak Durrah tolong masak tak ni?”
Puan Safa menggeleng perlahan.
“Tak apalah, Durrah. Tak payah susah-susah. Kak
Safa dah nak siap dah pun. Tunggu si Tariq tu bawa balik
santan aje, nak masuk dalam periuk, lepas tu tunggu kari
ayam tu siap masak.”
“Alaa, tak dapatlah Durrah nak tunjuk skil memasak
Durrah ni, ya?” seloroh Durrah selamba.
Puan Safa tertawa.
“Durrah duduk sini kejap ya? Kak Safa pergi dapur,
ambil air untuk Durrah.”
Durrah angguk. Sementara menanti, dia tarik keluar
iPhone dari kocek skinny jeans hitam yang dipakai. Kunci
dibuka, lalu conversation board antara dia dan Wafeeq di
aplikasi WhatsApp dibuka.
Ola!
Macam mana blind date kau dengan
Encik Adham tadi? Okey?
So bila aku boleh makan nasi
minyak korang?
Tiga empat minit menunggu, balasan yang dinanti
masuk. Tergelak Durrah lihat ikon anger smiley yang
dihantar Wafeeq.
Hei budak senget ni! Ingat aku gay ke
hah???
Ibu jari Durrah laju menekan skrin.
Bukan ke?
Baru beberapa saat menghantar, menderu-deru
simbol smiley marah tertera di skrin. Durrah ketawa lagi.
Dengan mata yang masih melekat pada skrin iPhone, ralit
dia menaip WhatsApp balas. Tidak menyedari kehadiran
seseorang di muka pintu rumah sedang merenung ke arahnya
sejak beberapa minit yang lepas.
“Ehem!”
Dehaman itu menyentak perhatian Durrah. Lekas
dia dongak kepala yang tadi terturun sedikit merenung skrin
iPhonenya. Raut wajahnya berubah terkejut.
“CIK NI siapa?”
Terkebil-kebil Durrah merenung Tariq. Direnung
cuma pada susuk tubuh yang sedang tegak berdiri di muka
pintu itu tanpa sebarang kata. Tidak menyedari ada getar di
iPhone yang dipegang.
‘Siapa perempuan ni? Dia ke pemilik kereta dekat
luar tu?’ Hati Tariq bertanya sendiri.
“Cik ni siapa?”
Tariq ulang lagi soalannya, apabila dia lihat Durrah
terus membisu.
“Kenalan mak su ya?”
Durrah kekal diam, tidak memberi balasan yang
diharap. Tariq jadi makin pelik. Tambahan pula apabila dia
lihat renungan wanita itu ke arahnya berubah semacam.
Seolah-olah... wanita itu sedang sayu memandangnya.
“Cik... saya tanya ni, cik ni siapa? Kenalan mak su
ke? Saya...”
Kata-kata Tariq terhenti apabila tiba-tiba dia lihat
ada garis air mata di pipi wanita itu. Tariq terkesima.
MENYEDARI ADA titis air hangat yang tumpah membasahi
wajah, Durrah lekas-lekas melarikan pandangan. Tidak
mahu Tariq terus memerhati. Dia seka air hangat itu dengan
belakang tangan.
“Uhm...”
Tariq ingin menegur, namun teragak.
“Eh? Tariq? Dah balik?”
Puan Safa muncul tiba-tiba. Menatang dulang berisi
sejag air oren dan gelas kosong yang diletakkan ke atas meja
kopi kemudiannya. Perlahan, Tariq mendekat.
“Nah mak su, santan.”
Plastik merah di tangan dihulur pada Puan Safa.
Namun mata Tariq masih tidak lepas memerhati Durrah yang
sedang tertunduk merenung lantai kayu ruang tamu yang
dilapisi tikar getah.
“Siapa ni, mak su?”
“Oh... cik ni... cik ni kawan mak su. Durrah namanya.
Durrah...”
Durrah angkat wajah. Merenung Puan Safa.
“Ini anak saudara Kak Safa, Tariq.”
Lambat-lambat Durrah bangun dari duduknya.
Dia maniskan wajah. Tersenyum penuh yakin. Cuba untuk
kelihatan bersahaja seolah-olah apa yang baru terjadi tadi
tidak pernah berlaku.
“Saya Durrah. Tariq boleh panggil saya Kak Durrah.”
Tariq mengangguk sedikit.
“Kak Durrah ni datang sebab nak jumpa Tariq
sebenarnya.”
Tariq kalih pandang ke wajah Puan Safa.
“Jumpa Tariq?”
Puan Safa angguk.
“Dia nak tawarkan biasiswa untuk Tariq sambung
belajar.”
Wajah Tariq bertukar terkejut.
SUASANA DI ruang tamu itu terasa canggung buat Tariq.
Tidak selesa dia ditinggalkan berdua dengan Durrah di situ.
Bukan apa. Dia cuma rasa keliru. Bingung. Belum pun lagi
rasa terkejut melihat air mata Durrah yang jatuh tiba-tiba
tadi habis, tiba-tiba dia disuruh duduk berbincang dengan
Durrah pula.
“Mengenai tawaran Kak Durrah yang mak su Tariq
sampaikan pada Tariq tadi...”
Tariq lekas mencari wajah Durrah apabila mendengar
suara lembut wanita itu berkata-kata.
“Tariq berminat tak?”
Lama Tariq paku renungnya ke dalam anak mata
Durrah yang tenang. Setenang air di kali, jauh benar beza
dengan renungannya tadi yang sarat dengan emosi sayu dan
derita. Seolah-olah Durrah yang berada di hadapannya bukan
Durrah yang sama dengan yang pertama kali dipandangnya
tadi.
Tariq berdeham kecil.
“Maaf, tapi saya terpaksa tolak tawaran tu. Saya tak
berminat.”
Durrah tarik nafas dalam, kemudian menghembusnya
keluar perlahan-lahan. Bibir atas dan bawah kembali terpisah.
“Tariq dapat 10A+ masa SPM dulu, kan?”
“Mana Kak Durrah tahu?”
“Kak Safa cerita.”
Durrah menjawab tenang.
“Kak Safa kata Tariq berminat nak jadi landscape
architect, kan?”
‘Sampai ke situ perempuan ni tahu?’ hati Tariq
mendesis sendiri.
“So why not kalau Tariq sambung belajar dan kejar
cita-cita Tariq yang tertangguh tu? Jangan risau tentang soal
duit. Kak Durrah akan biaya semua kos pembelajaran Tariq.”
Tariq diam beberapa detik.
“Boleh saya tahu tak apa hubungan awak dengan
mak su yang sebenarnya?”
Durrah senyum.
“Macam yang Kak Safa kata tadi, Kak Durrah ni
kawan dia.”
“Setahu saya, mak su tak pernah ada kawan orang
senang macam awak.”
“Kak Safa tak pernah cerita pada Tariq, sebab itu
Tariq tak tahu. Now, berbalik semula pada topik tadi...”
“Macam mana awak boleh kenal dengan mak su?”
Durrah mengeluh kecil.
“Macam mana Kak Durrah kenal dengan Kak Safa,
itu tak penting. Yang penting sekarang ni, soal Tariq.”
Kali ini giliran Tariq pula yang mengeluh. ‘Alahai
perempuan ni! Aku dah cakap kan yang aku tak berminat?’
“Kan saya dah beri jawapan tadi, yang saya tak
berminat untuk terima tawaran awak.”
“Then beritahu Kak Durrah apa yang Kak Durrah
kena buat supaya Tariq ubah fikiran Tariq tu.”
Penuh azam untuk buat dia ubah keputusannya.
Itulah yang Tariq dapat simpulkan daripada panahan mata
Durrah.
“Kak Durrah tak mahu Tariq sia-siakan kepandaian
Tariq. Sayang kalau Tariq terus kerja kilang macam ni
sedangkan Tariq lebih daripada layak untuk sambung
pengajian ke peringkat yang seterusnya.”
“Kak Durrah nak kata yang Kak Durrah pandang
rendah pada orang yang kerja kilang macam saya ke?”
“Kak Durrah tak cakap macam tu pun, Tariq. Kenapa
pula yang Tariq pandai-pandai buat kesimpulan sendiri ni?”
“Dah tu, kenapa nak paksa saya sambung belajar
semula? Saya tak nampak apa masalahnya dengan keputusan
saya untuk tak mahu sambung belajar ni. Saya tak kacau
orang, tak bebankan orang. Malah saya betul-betul bahagia
dengan kerja saya sekarang. Saya suka dengan hidup saya
yang simple macam ni.”
“Tapi daripada apa yang Kak Durrah nampak, Tariq
tak betul-betul maksudkan apa yang Tariq cakap tu. Mulut
boleh menipu Tariq, tapi mata tidak. Kak Durrah tahu, jauh di
sudut hati Tariq, Tariq memang nak sambung belajar semula.
Kalau tak, masakan Tariq pinjam buku gambar landscape
design ni daripada perpustakaan awam?”
Durrah kerling pada buku tebal di atas meja kopi
dan pandang Tariq semula. Tariq yang menyedari cepat-cepat
mengambil, lalu menyoroknya ke bawah meja. Dia merengus
kecil.
“Kak Durrah tak ada hak nak ceroboh privasi saya
macam ni!”
“Ceroboh apanya? Tariq sendiri yang letak buku ni
atas meja tadi.”
“Still!”
“Admit it, you’re actually not that happy living this
life right? Tariq sebenarnya memang nak sambung belajar
semula, kan? Nak kejar cita-cita Tariq tu. Tapi sebab Tariq
kecewa, tak dapat terima pemergian abang dan ibu Tariq 4
tahun lepas, Tariq pilih untuk putus asa dengan cita-cita Tariq
tu. Tariq fikir dah tak ada maknanya lagi untuk Tariq kejar
cita-cita Tariq sebab orang-orang yang Tariq sangat-sangat
sayang tu dah tak ada.”
Tariq yang marah dengan kata-kata itu terus
meloncat bangun.
“Apa yang kau tahu tentang aku hah? Kau kenal
aku pun tidak, muncul depan aku entah dari mana, lepas tu
tiba-tiba nak paksa aku untuk sambung belajar pula. Apa hak
kau untuk masuk campur dalam hidup aku secara tiba-tiba
macam ni??? Jangan nak berlagak konon kau faham sangat apa
yang aku rasa sedangkan hakikatnya kau tak tahu apa-apa!”
Tinggi suara Tariq mengherdik. Dia tahu Durrah lebih tua
daripadanya. Tapi rasa bengang dan sakit hati menguasai diri
sampai dia hilang adab dan sopan buat Durrah.
Macam mana hatinya tidak tersinggung? Durrah
tanpa perasaan mencuit kepahitan lampau yang menjadi palit
duka dalam episod kehidupannya itu? Tariq tak suka Durrah
berlagak seolah-olah dia faham akan perasaannya!
“Tariq...”
“Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa lagi!”
Tariq acu kaki ke bilik.
Dammm! Kedengaran bunyi pintu dihempas kasar.
Durrah mengeluh.
“Durrah...”
Durrah kalih pandang kepada Puan Safa yang
muncul menegur.
“Kenapa ni? Tariq berkasar dengan Durrah ke?”
Durrah senyum kelat.

No comments:

Post a Comment