TUALA kuning air itu disangkut ke towel hanger.
Sambil melangkah ke katil, Tariq menyepah-nyepahkan
rambut pendeknya yang masih basah dengan hujung jari.
Batang tubuh dicampak ke atas katil dengan gaya baring
meniarap. Tariq benam muka ke bantal buat beberapa saat,
sebelum mengiring wajah ke kanan. Telefon bimbit yang ada
di sebelah dicapai malas, lalu digodek tanpa tujuan.
Tengah-tengah menggodek, Tariq rasa mengantuk
pula. Bila hampir kelopak mata nak tertutup, dikuaknya balik
seluas mungkin. Cuba sehabis baik untuk terus berjaga. Dah
tinggal lagi setengah jam sahaja nak maghrib, mana elok
tidur masa-masa begini.
Namun, entah bagaimana, Tariq terlelap juga.
“Tariq!”
Sergahan itu menyentak Tariq. Tegak terus badan
yang baru beberapa minit lena. Dengan muka blur, dia renung
keliling. Perhati keadaan luar rumah yang baru berura-ura
nak gelap.
“La... asal tak kejut aku, Ira? Tengok! Lesap subuh
aku!”
Bahira jegil mata.
“Mengigau apanya kau ni? Sekarang ni baru nak
masuk waktu maghriblah!”
Muka Tariq yang tadi mencuka sebab Bahira tak
kejut dia solat subuh bertukar blur. Cepat-cepat lelaki itu
capai telefon bimbitnya di sebelah, periksa waktu sekarang.
“Itulah, tidur lagi time-time nak maghrib. Kan dah
mengigau.”
Tariq cebik bibir.
“Aku tak sengajalah. Penat kerja tadi.”
“Ni, bangun cepat. Ada orang datang.”
Tariq pelik. ‘Huh? Tetamu apa datang time-time
maghrib ni?’
“Siapa?”
“Kak Durrah.”
Bulat mata Tariq mendengar.
“Kau kata siapa datang?”
“Kak Durrah, kawan mak yang nak tolong kau tu.
Dia ada dekat ruang tamu tu.”
Laju Tariq meloncat turun dari katil, menonong ke
ruang tamu.
“Hai Tariq!” Durrah melambai mesra. Tariq buat
muka serius.
“Apa yang kau buat dekat sini?”
“Untuk tanya soalan yang sama Kak Durrah tanya
pada Tariq minggu lepas.”
Tariq merengus. ‘Laa... dia ni memang tak mahu
putus asa lagi rupanya!’
“Jawapan dia sama. Aku tak mahu.”
Tariq jawab sambil buat muka dingin. Durrah yang
dengar mengangguk tanda faham.
“Okay, got it. Tapi kan, bukan tu aje tujuan Kak
Durrah datang ke mari. Ada lagi satu sebab.”
Durrah tunjuk pada dua bungkus plastik putih berisi
barang basah pada hujung kaki kerusi rotan yang sedang
didudukinya, sebelum dia kembali merenung Tariq.
“Kak Durrah nak masak mi udang untuk kita semua
malam ni.”
Tariq langsung kerut wajah.
DOA MAKAN dibaca Tariq. Selesai semua mengamin,
masing-masing capai sudu garpu, kecuali Durrah.
Dikerlingnya silih berganti pada insan-insan yang sedang
duduk semeja dengannya. Tidak sabar menunggu komen
mereka pada mi udang yang dimasaknya. Memang Durrah
yakin dengan skil memasaknya, tapi debar itu tetap ada!
“Macam mana? Okey ke Kak Safa?” Durrah tanya
kepada Puan Safa yang baru menghirup kuah.
“Sedap! Terasa udangnya. Manis aje!”
Durrah senyum lega. Dia kalih pula pandangnya
kepada Bahira di depan.
“Ira? Macam mana? Okey tak?”
“Okey, okey. Sedap!”
Bahira jawab sambil palit senyum janggal di bibir.
Masih kekok dengan Durrah. Baru ini kali pertama mereka
berjumpa.
“Kak Durrah memang suka memasak ya?” Bahira
berbasa-basi.
“Haah. Tapi tak adalah sehandal cef yang kerja dekat
restoran tu.”
Durrah toleh pandang ke arah Tariq pula. Ingin
dapatkan komen pemuda itu tentang rasa mi udang yang
disediakannya. Tapi apabila lihat Tariq masih tak menjamah,
sebaliknya terus-menerus merenung ke arahnya, Durrah
kerut wajah.
“Tariq tak mahu makan ke mi udang yang Kak
Durrah masak ni?”
Semua pasang mata tertumpu kepada Tariq.
“Dengan makan mi udang ni, aku boleh hentikan
kau daripada mengganggu aku ke?”
Puan Safa tidak senang.
“Tariq! Apa cakap macam tu dekat Kak Durrah?”
“Tak apa, Kak Safa. Durrah tak kecil hati pun.”
Durrah tersenyum. Dia kemudian kembali kalih
pandang ke wajah Tariq. Tenang sahaja dia merenung pemuda
itu.
“Makan mi ni takkan boleh hentikan Kak Durrah
daripada mengganggu Tariq, tapi sekurang-kurangnya ia
boleh tolong hentikan kelaparan Tariq.”
Tariq diam.
“Makanlah. Sedap gila tau mi udang ni. Rugi kalau
kau tolak.”
Bahira di sebelahnya cuba memujuk.
“Makanlah Tariq. Kesian Kak Durrah. Sanggup dia
susah payah datang sini, masakkan untuk kita walaupun dia
penat baru balik kerja tadi.”
Puan Safa menokok pula. Tariq akhirnya beralah.
“Fine, aku makan. Tapi jangan ingat aku makan ni
aku akan terima tawaran kau tu. Aku makan sebab aku lapar.
Tu je.”
Dia menyudu sedikit kuah. Dihirupnya perlahan.
Membulat matanya sekejap.
‘Uish! Sedap!’
“Macam mana? Sedap? Okey?”
Tariq cepat-cepat buat muka tak ada perasaan.
“Biasa je. Tak adalah fantastic mr. lova-lova pun.”
Bahira terus siku pinggang Tariq. Jegil mata dengan
ketidaksopanan sepupunya itu, namun Tariq buat muka tak
bersalah.
KESEMUA MEREKA selesai menikmati makan malam lebih
kurang sejam kemudian, tatkala jam sudah pun terhala tepat
ke angka 10 malam. Sebaik saja selesai meja makan dikemas,
dan pinggan mangkuk siap berbasuh, masing-masing ambil
tempat di ruang tamu. Bersantai-santai, merehatkan diri
sambil berbual kosong. Yang banyak berboraknya cuma Puan
Safa dan Durrah sahaja, manakala Bahira dan Tariq lebih suka
pilih untuk mendengar.
“Err Kak Safa... Durrah nak minta diri dulu.” Durrah
berkata apabila dia perasan jam sudah pun menginjak ke
angka 10.40 malam.
“La... nak balik dah?”
Durrah angguk.
“Lewat dah ni, Kak Safa. Pukul 10.40 dah.”
“Hmm, betul juga. Nanti pukul berapa nak sampai
KL, kan?”
“Itulah. Nanti lambat sangat, mengantuk pulak.”
“Kalau macam tu, apa kata kalau Durrah tidur sini
aje malam ni?”
“Hah? Tidur sini?” Tariq yang senyap sedari tadi
tiba-tiba bersuara. Terkejut mendengar usul yang dikeluarkan
si ibu saudaranya kepada Durrah barangkali. Terus dia jadi
perhatian tiga pasang mata yang lain.
“Kenapa? Tak boleh ke mak su ajak Kak Durrah tidur
sini?”
Tariq diam. Puan Safa kemudian memandang
Durrah semula.
“Esok hari Sabtu. Durrah tak kerja kan? Tidur sini
aje.”
“Err, tak apalah Kak Safa. Durrah balik ajelah.
Durrah tak ada bawa baju lebih.”
“Kalau setakat baju lebih tu, pinjam baju Ira ni pun
tak apa.”
Bahira mengangguk-angguk. Bentuk tubuh Durrah
tak jauh beza dengan dia. Cuma Durrah lebih tinggi sedikit
sahaja. Tak ada masalah kalau nak pinjam baju dia.
“Kak Durrah tidur sini aje malam ni ya?”
“Tapi...”
“Alah, tidur sini ajelah, Durrah. Durrah pun mesti
penat kan? Balik kerja terus datang sini, memasak semua.
Rehat aje semalam kat sini. Esok pagi balik KL.”
Durrah akhirnya mengalah setelah dipujuk tak henti.
KE KIRI. Ke kanan. Meniarap. Menelentang. Sedari jam
11.30 minit malam tadi, sehinggalah saat jam kini sudah
masuk ke pukul 1 pagi, bermacam posisi dicuba Tariq. Dia
cuba mengajak badan untuk tidur. Kira anak kambing di
kepala pun sudah sampai beratus-ratus, tapi mata tetap juga
berdegil tidak mahu lelap. Entah kenapalah. Nak kata cuaca
malam ini hangat, tak pun. Dari jam 12 tengah malam tadi
tidak henti hujan turun mencurah. Angin pun kuat. Dingin
mencucuk ke tulang sehingga Tariq terpaksa tutup kipas dan
berselubung dalam selimut.
Dummm! Kilat yang tiba-tiba memancar cahaya di
balik tingkap yang bertutup dengan langsir biru, beriring
pula dengan bunyi guruh, buat Tariq buka mata.
Dummm! Kilat memancar lagi. Hujan melebat.
“Hmm, makin lebat pulak hujan ni.” Tariq komen
sendiri.
Tiba-tiba terasa ingin buang air kecil dek kesejukan
yang mencucuk. Dia bangun, lalu melangkah keluar menuju
ke tandas yang terletak di dapur. Lima minit kemudian,
pemuda itu jalan semula ke bilik. Namun, bila melihat ada
cahaya putih yang menerangi ruang tamu, geraknya terhenti
sekejap.
“Hai, tadi elok gelap, siapa pulak yang buka lampu
ni?” Tariq bertanya sendiri. Dia menapak ke ruang tamu.
Melihat Durrah sedang duduk termenung di situ.
“Apa kau buat tak tidur lagi ni?”
Durrah menoleh. Merenung Tariq dengan garis air
mata di pipi. Wajah Tariq bertukar terkejut.
‘Kenapa dia menangis lagi?’
Durrah lekas larikan wajah ke tempat lain.
Tergesa-gesa dia kesat pipi yang basah dengan air hangat
menggunakan belakang tapak tangan. Kemudian dia bingkas
bangkit, ingin masuk ke bilik. Namun langkahnya terhenti
apabila Tariq tiba-tiba mencapai lengannya.
Terkujat dengan tindakan tersebut, Durrah lekas
menepis. Dia pandang Tariq dengan rasa tidak selesa.
“Kenapa kau menangis?”
Terdiam sekejap Durrah mendengar soalan itu.
“Mana ada Kak Durrah menangis.”
“Bohong. Aku nampak jelas kau menangis tadi.”
“Tak adalah. Kak Durrah tak menangislah. Dahlah,
Kak Durrah nak masuk bilik.”
Durrah sambung langkah. Tidak betah untuk terus
berdepan dengan Tariq dek hatinya yang masih meracau
dengan mimpi ngeri yang mengganggu lenanya tadi. Mimpi
ngeri yang hakikatnya merupakan igauan peristiwa pahit yang
sehingga ke saat ini menjadi noda hitam dalam hidupnya.
Namun, tatkala Tariq sekali lagi menarik lengannya,
Durrah gelisah.
“Selagi kau tak jawab kenapa kau menangis
tengah-tengah malam macam ni, selagi tu aku takkan bagi
kau masuk bilik.”
Tariq bersuara tegas. Hatinya dipalit rasa risau
melihat Durrah menangis tadi. Tariq sendiri tidak mengerti
kenapa dia perlu ada rasa sedemikian terhadap seorang insan
yang bernama Durrah ini.
“Kak Durrah tak ada apa-apalah. Now let me go.”
“Nope. It's not going to happen.”
Durrah cuba meleraikan pegangan namun ia terlalu
kejap. Apabila Tariq tiba-tiba memaut kedua-dua belah
bahunya dek rontaannya yang tidak henti, Durrah jadi cemas.
Matanya terus terbayang semula pada kejadian lampau
yang menjadi igauan mimpi ngerinya tadi. Hilang langsung
normal akal dek rasa takut yang kuat mencengkam segenap
tubuh, tidak dapat membeza antara masa kini dan kisah lalu.
“To... tolong, Is... jangan! To... tolong!”
Kaget melihat Durrah yang seolah-olah dalam
ketakutan, Tariq lekas meleraikan pegangan. Dipandangnya
Durrah yang sudah berteleku melindungi wajah dengan
kedua-dua belah lengan dengan rasa terkejut.
“To... tolong, Is... to... tolong... ja... jangan... to...
tolong...” Terketar-ketar suara Durrah meminta.
Tariq terusik. Perlahan, pemuda itu menjatuhkan
kedua-dua belah lutut di hadapan Durrah. Dia dapat
dengar sayup-sayup suara itu meminta supaya dirinya tidak
diapa-apakan.
“Kak Durrah...”
Tariq menarik lembut kedua-dua belah lengan
Durrah yang terketar-ketar. Dia makin terusik dan sebak
melihat raut wajah wanita itu yang sedang mempamerkan
riak ketakutan.
“It’s okay. Jangan takut. Ini Tariq. Tariq takkan
apa-apakan Kak Durrah.”
Suara lembut Tariq yang tidak henti memujuk
dan menenangkannya membuatkan Durrah yang asalnya
tenggelam dalam trauma silam, kembali semula ke dunia
realiti. Bola matanya yang tadi terfokus entah ke mana,
dihalakan ke wajah Tariq.
“Ta... Tariq?”
Tariq angguk.
“Ya. Tariq...”
Dada yang mulanya berombak laju perlahan-lahan
kembali tenang. Hembus nafas dan denyut nadi Durrah
sedikit demi sedikit kembali normal. Ketakutan yang tadinya
jelas di wajah juga perlahan-lahan mengendur. Durrah rasa
lega. Lega kerana pemuda yang berada di hadapannya ini
bukan bayang insan yang telah memberi parut kekal dalam
hidupnya.
“Kak Durrah okey?”
Tariq kembali bersuara. Penuh prihatin lagaknya.
“O... okey...” Durrah menjawab perlahan. Tariq
memapah gadis itu bangun. Dibawanya semula Durrah ke
ruang tamu.
“Tariq ambil air kejap.” Baru dia pusing badan,
hujung baju-t kelabu yang dipakainya terasa ditarik seseorang.
Tariq toleh, merenung wanita itu, dengan pandangan keliru.
“Can you... can you please stay with me for a while?”
Kaku 2 saat, Tariq kemudian angguk. Dia melabuh
punggung di sebelah Durrah, manakala Durrah, wanita
itu tidak lagi bersuara selepas itu. Dia berusaha untuk
memulihkan diri yang baru sahaja mengalami panic
attack. Hanyut dalam dunianya sendiri, tenggelam dalam
perasaannya sendiri.
Saat berganti saat, minit berganti minit. Terasa
setiap saat yang berdetik berlalu begitu perlahan dengan
kebisuan yang memenuhi ruang antara mereka. Sehingga
akhirnya masa telah satu jam berlalu.
Sejujurnya, Tariq rasa seperti orang bodoh apabila
dia duduk membatu di sebelah Durrah tanpa berhujah walau
sepatah pun. Dia rasa canggung. Ingin sahaja mulutnya
bertanya itu ini. Atau setidak-tidaknya bertanya tentang
keadaan Durrah, sama ada wanita itu okey atau tidak, namun
entahlah. Bibir Tariq kekal rapat kedudukannya. Tidak
teranjak walau sedikit. Barangkali dia tahu, Durrah perlukan
ketenangan.
Tariq dapat rasa ada sesuatu jatuh ke bahu. Terus
matanya bergerak ke sisi. Terpaku melihat kepala Durrah
yang sudah mendarat di bahu. Dia merenung wajah wanita
yang kelihatan tenang dalam lenanya itu. Leka memerhati,
sehingga tidak menyedari tangan spontan naik menyeka sisa
air mata yang mencemari pipi mulus Durrah.
Tidak dapat mentafsir perasaan itu apa, namun Tariq
dapat merasakan ada satu perasaan asing yang menyelinap
halus ke dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment