DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 November 2016

H.I.M - Bab 1

ADAKAH hidup ini sekadar mimpi? Tidak! Orang
bijak pasti akan selalu mencari jalan untuk berjaya.
Bergolok bergadai! Untuk meneruskan hidup dia
berjaya menjual rumah pusaka arwah neneknya. Nilai 45 ribu
untuk anak seusianya, memang agak banyak. Rambang mata!
Boleh pergi berjoli, beli motor baru dan sebagainya. Namun
tidak bagi Fakhri. Duit itu digunakan untuk membayar
kos pengajian di sebuah kolej swasta. Bakinya barulah dia
membeli motor terpakai yang berharga tidak sampai seribu.
Dibaikinya sendiri dengan pengetahuan yang ada.
Mengambil kursus secara sepenuh masa, tidak
mudah untuk dia menyara diri dalam keadaan tiada sumber.
Dia lebih rela menongkah arus diri yang serba-serbi mahu
nampak hebat di kota Kuala Lumpur. Susah dulu, senang
kemudian. Itu juga pegangan yang sering ditekankan oleh
arwah ibunya. Biarlah dia menjadi orang yang paling tidak
kelihatan di mata orang lain, asalkan tidak tenggelam dalam
prinsip, ‘biar papa asal bergaya’.
Kerja apakah yang dia lakukan untuk menyara diri di
kota serba duit itu?
Hari cuti, awal pagi dia akan membawa mesin
rumputnya di kawasan perumahan terdekat. Menawar
khidmat membersihkan halaman rumah orang. Sebenarnya,
jika dia rajin mencari peluang, rezeki dalam kerja ini memang
membuak-buak. Tambah pula harga yang ditetapkan lebih
rendah berbanding ‘Bangla-Bangla’ yang konon memang
pandai mencuri peluang di negara orang.
“Kau belajar lagi ke?” tanya tuan rumah yang baru
selesai dibersihkannya.
“Ya, bang.”
“Mak ayah?”
“Mak dah tak ada. Ayah ada lagi,” jawab Fakhri
dengan senyuman manis.
Lelaki itu mengangguk sambil memandang
sekeliling. Puas hati dengan kerja Fakhri. Sedap matanya
memandang halaman rumahnya. Bukan sekadar rumput
sudah dipotong pendek, siap bersapu dan pokok-pokok di
halaman rumah juga sudah dicantas kemas oleh Fakhri.
“Macam ni. Aku ni tak suka nak cari tukang kebun
berkali-kali setiap kali rumput panjang di halaman rumah ni.
Aku nak upah kau secara tetap. Macam mana?” ujar Nizam
lembut. Daripada dia mengupah lelaki Bangla dengan harga
RM50 untuk sekadar memotong rumput kemudian sisa
rumput terpaksa pula disapu sendiri atau ditambah upah lagi,
lebih baik dia mengupah budak ini secara tetap.
“Boleh.”
“Boleh? Kau datang sini seminggu sekali sudahlah.
Sabtu atau Ahad. Aku bayar kau sebulan tiga ratus ringgit.”
“Boleh, bang. Saya datang setiap hari Sabtu.”
“Cukup upah tiga ratus tu?”
“Cukuplah tu. Kerja saya hanya sejam dua aje, bang.
Bukannya saya duduk kat sini sampai sehari suntuk,” jawab
Fakhri jujur.
“Okey. Aku akan rekomen kau pada jiran-jiran
sebelah ni. Mana tahu murah rezeki kau,” ujar Nizam
bersungguh-sungguh.
“Terima kasih, bang.” Lebar senyum Fakhri
mendengarnya. Petanda baik.
“Sama-sama.”
Selain itu apa lagi yang dibuat oleh anak muda
itu? Pada musim cuti semester, dia bekerja sebagai runner
menghantar pesanan makanan dari restoran-restoran
tertentu kepada pelanggan. Tidak begitu banyak upahnya.
Tapi sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Bertahun-tahun itu Fakhri bertahan dengan segala
macam susah. Setiap kali jiwa lemah, dia terkenangkan
kehidupan yang tidak boleh dijejakinya lagi. Tiada tempat
untuk dia pergi jika dia gagal. Dengan baju yang selekeh,
dia hanya orang tidak punya apa-apa. Ya, di mata orang!
Tetapi setelah tamat diploma, dia melanjutkan pelajaran ke
Australia. Sekali gus bekerja secara sambilan sebagai pengutip
buah mengikut musim.
Adakah dia orang yang tidak punya apa-apa?
Tidak! Tidak penting pandangan orang kepadanya. Yang
penting dia tahu, Allah sudah memberikan segala-gala yang
diperlukannya.
AWAL PAGI, rumah itu didatangi seorang pekerja upahan.
Tan Sri Ariff pergi menyambutnya di pintu pagar.
Anak muda itu terpaku melihat seorang lelaki
bangsa asing datang kepadanya. Dia kembali melihat kertas
yang diberikan kepadanya oleh Nizam.
“Err... Encik Nizam suruh saya...”
“Kamu tak salah rumah,” potong Tan Sri Ariff saat
anak itu masih terkebil-kebil.
“Maaf. Tan Sri Muhammad Ariff ni, tuan ke?” Fakhri
ternganga sedikit. Fasih berbahasa Melayu rupanya lelaki ini.
“Ya, panggil pak cik saja. Nama kamu siapa?” ucap
Tan Sri Ariff lantas tersenyum.
“Fakhri. Pak cik pandai cakap Melayu, ya? Saya
kagum,” ucap Fakhri sambil membalas senyuman lelaki itu.
“Apa saja yang kita mahu tahu, kita akan belajar
tentangnya. Amalkan. Lama-kelamaan kita akan biasa. Berapa
usia kamu?”
“23 tahun, pak cik.”
“Masih belajar ke?”
“Ya. Saya balik ke Malaysia sementara cuti semester.”
“Oh. Kamu belajar kat mana?” Makin berminat pula
lelaki tua yang bergelar Tan Sri itu bertanya.
“Australia. Sydney.”
Tan Sri Ariff mengangguk. Kagum. Pulang bercuti.
Tapi anak muda ini bukannya berehat. Sebaliknya mencari
wang pula.
“Dah sarapan pagi?”
Fakhri ketawa kecil.
“Dah. Kalau tak makan pagi tak boleh buat kerja,”
ujarnya lembut. Senang dengan sikap ramah orang kaya ini.
“Silakan masuk.”
“Pak cik nak saya buat apa lagi selain mesin rumput?”
tanya Fakhri saat berjalan seiring dengan lelaki itu.
“Kamu potong pokok bunga tu. Kemaskan. Sudah
lama tak dijaga. Pasu bunga itu semua harus dipindahkan ke
tepi rumah.”
Fakhri mengangguk sambil memandang pasu bunga
yang dimaksudkan oleh tuan rumah.
“Saya alihkan dulu pasu tu. Lepas tu baru saya mesin
rumput,” jawab Fakhri.
Tan Sri Ariff sekadar mengangguk. Anak muda
itu ditinggalkan di situ untuk membuat kerjanya. Mereka
bersarapan sekeluarga sebelum memulakan aktiviti harian.
Di tingkat paling atas, Afyra sibuk mengemas
biliknya. Kemudian dia terdengar bunyi sesuatu. Pantas dia
menjengah ke tingkap. Seorang lelaki sedang menggalas
mesin rumput berada di halaman rumah.
Tidak sedar Afyra berapa lama masa sudah dia
gunakan untuk memerhatikan gerak-geri lelaki itu. Juga
tidak sedar si ibu masuk ke kamarnya.
Puan Sri Insyirah terpaku seketika melihat gelagat
Afyra. Kemudian dia terus mendekat.
“Tengok apa? Tengok apa tu?” Puan Sri Insyirah
menepuk bahu anak gadisnya itu dua kali.
Terkejut Afyra yang sedang mengintai di cermin
tingkap. Pantas dia berpaling.
“Siapa tu, mummy?”
“Dah nampak dia buat apa kat luar tu, kan? Masih
tanya lagi? Gatal ya?” balas Puan Sri Insyirah sinis.
Afyra terkulat-kulat memandang ibunya berlalu.
Namun kemudian dia kembali menyelak langsir.
“Siapa nama mamat tu ek? Macam tak sesuai aje
kerja mesin rumput,” ucap Afyra seorang diri. Bukan main
lagi mengintai tukang kebun di halaman rumah. Dari jauh
nampak lelaki itu macam masih muda. Tetapi memandang
dari atas, wajah lelaki itu tidak begitu jelas.
“Nurul Afyra Binti Muhammad Ariff! Daddy... tengok
apa anak dara awak ni buat!” Puan Sri Insyirah mula menjerit
memanggil suaminya pula.
Tersirap darah Afyra mendengar lengkingan suara
ibunya.
“Fira tengah kemas mejalah, mummy...” jawab Afyra
sambil kelam-kabut menyusun buku di atas meja belajar. Mati
dia kena ceramah sekejap lagi! Saat dia berpaling ke arah pintu
kamarnya, dilihat si bapa sedang berdiri memerhatikannya.
“Fira tak buat apa-apa pun.”
“Daddy tak tanya pun. Kamu rasa bersalah, kenapa?
Ada buat salah?” perli Tan Sri Ariff lantas berlalu dari situ.
Melihat bapanya sudah berlalu, Afyra kembali lagi
menyelak langsir. Lelaki tadi sudah tiada.
“Hah, mana dia pergi? Takkan dah siap kut? Tak
sempat nak tanya nama.” Terbuntang mata Afyra mencari
kelibat tukang kebun itu.
“Ehem...”
Deheman suara lelaki itu mengejutkan Afyra. Pantas
dia mengambil hujung langsir lalu cermin di hadapan itu
dilapnya.
Tan Sri Ariff segera mendekati anaknya itu. Afyra
pula hanya berani menoleh sedikit.
“Dia hanya ada kat sini hari ni aje. Daddy minta dia
kemaskan halaman rumah.”
Afyra berpaling lambat-lambat ke arah bapanya.
“Tak mahu tahu pun,” ucapnya selamba. Dia tahu
lelaki itu diupah mencantikkan halaman memandangkan
sehari dua lagi pernikahan kakaknya, Imanina akan
berlangsung di rumah ini.
Tan Sri Ariff tersenyum sendiri memandang anaknya
berlalu. Tidak mahu tahu, tapi mengintai dari tadi.
Di bawah, masih kedengaran bunyi mesin rumput.
Tetapi di bahagian belakang rumah. Afyra ke dapur. Pembantu
rumah sedang menyiapkan bahan untuk mula memasak.
Afyra mengintai lelaki itu dari pintu dapur pula. Lelaki itu
mengenakan cermin mata besar untuk melindungi matanya.
Bingit sungguh bunyi mesin yang sedang digunakan lelaki
itu.
“Cutelah mamat tu,” ucapnya seorang diri.
Asyik sangat mengintai, tiba-tiba ada sesuatu terbang
ke arahnya. Dan dalam sekelip mata objek itu mengena bawah
mata. Tersentak Afyra.
“Adoi!” Cepat-cepat dia masuk ke dalam semula
sambil menekup bahagian yang terasa perit. Terlihat ibunya,
dia segera mendekat.
“Mummy, tolong tengok kejap. Sakit.”
“Kenapa ni?” tanya Puan Sri Insyirah sambil menarik
tangan Afyra. Bahagian bawah mata anaknya ada sedikit kesan
bengkak kemerahan.
“Tak tahu. Ada benda terbang tadi waktu Fira tengok
kat luar.”
“Tulah akibatnya mengintai. Gatal lagi tengok
lelaki,” perli Puan Sri Insyirah selamba.
“Mana ada...”
“Ingat mummy tak nampaklah?” balas Puan Sri
Insyirah sambil mengusik bahagian yang sudah timbul itu.
“Sikit aje ni. Sapu minyak gamat eloklah,” ujar si ibu lembut.
“Tak cantiklah Fira kalau macam ni,” omel Afyra
sambil mencebik.
“Eh, perasannya! Cantik ke Fira selama ni?” gerutu
si ibu lantas berlalu. Malas nak layan kerenah si anak.
Afyra terkebil-kebil sendiri sambil menyentuh
kawasan yang terasa sakit itu. Hilang terus minatnya mahu
melihat si tukang kebun yang cute itu. Dia berlari naik ke atas
untuk mencari minyak gamat.
Menjelang tengah hari, dia diminta menghidangkan
lelaki itu makan. Bukan main laju lagi dia ke depan sambil
menatang dulang. Lelaki itu sedang berehat, sekadar
memandangnya sekilas saat dia meletakkan dulang makanan
ke atas meja. Sepanjang dia memindahkan pinggan nasi
dan lauk-pauk dari dulang ke atas meja, lelaki itu hanya
memandang sekeliling.
Dan beberapa jam kemudian, Afyra tidak sedar entah
bila lelaki itu pergi. Kawasan halaman rumah sudah kemas.
Bapanya asyik memuji-muji anak muda itu. Bagus kerjanya.
Kemas. Rajin.
Afyra? Terkebil-kebil dia mendengar celoteh
daddynya. Mengintai lelaki itu sampai bengkak mata. Lelaki
itu tidak peduli kehadirannya pun!

No comments:

Post a Comment