DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 November 2016

H.I.M - Prolog







AHMAD Fakhri Rizal nama si empunya diri. Lelaki
itu duduk termenung di tangga rumah itu. Sepi. Hening di
sekelilingnya. Kelam suasana. Maghrib sudah menjelang.
Fakhri bangkit lalu naik ke atas. Membersihkan diri,
bersiap untuk ke masjid. Namun di sana, pandangan orang
kampung agak serong. Ya, bekas pesalah juvana ini sudah
pulang ke kampung. Ke mana lagi dia mahu pergi jika tidak
ke sini. Sayangnya di sini dia terasa semakin terbuang.
Ceramah agama berlangsung selepas isyak. Namun
dia memilih untuk pulang. Sepanjang berjalan kaki ke rumah,
dia terus berfikir. Apa hendak dibuatnya selepas ini? Apa akan
jadi kepadanya? Bersendirian di rumah itu, memberi ruang
untuk dia berfikir sedalam-dalamnya.
Namun jam 10 malam itu, dia terdengar bunyi
motosikal berhenti di halaman rumah. Fakhri membuka
jendela. Dia nampak seorang lelaki berserban dan kopiah
membetulkan kain selempang di bahunya sambil memandang
ke arah pintu rumah itu.
Fakhri lekas menuju ke pintu.
“Pak imam.”
“Assalamualaikum,” sapa imam itu sambil mendekati
anak tangga.
“Waalaikumussalam. Jemput naik.”
“Tak payahlah. Di sini aje. Aku ada hal nak cakap
dengan kamu,” ujar lelaki itu lembut.
Fakhri mengangguk. Melihat lelaki itu duduk di atas
anak tangga, dia turun ke bawah. Duduk di sebelah lelaki itu.
“Aku tak tahu kamu dah keluar,” ucap Imam
Hambali.
“Saya sampai malam tadi,” balas Fakhri lembut.
Lelaki separuh baya itu mengangguk.
“Kurus sikit aku nampak kamu ni, Fakhri. Kamu
sihat ke?”
“Alhamdulillah. Pak imam dah lama tak nampak
saya. Dah tentu saya nampak berbeza sikit.”
“Aku nampak kamu balik tadi. Kenapa?”
Fakhri diam. Tunduk. Tidak tahu apa hendak dijawab.
“Kamu kecil hati? Orang kampung masih tak boleh
terima kamu?”
Lambat-lambat Fakhri mengangguk.
“Jangan peduli tentang orang, Fakhri. Pedulikan diri
kamu sendiri. Jadi apa perancangan kamu selepas ini?” Imam
Hambali memandang lama raut anak muda itu. Masih terlalu
mentah untuk mengemudi hidup sendiri.
“Tak tahu,” jawab Fakhri amat perlahan.
“Bapa kamu tak ada datang?”
Fakhri sekadar menggeleng.
Imam Hambali menghela nafas spontan.
“Duit?”
Sekali lagi Fakhri menggeleng.
“Saya nak cari kerja kat kampung aje.”
“Jangan! Ilmu tu penting untuk masa depan
kamu. Allah tak akan ubah nasib kamu begitu sahaja.
Untuk berusaha kena ada pengetahuan. Mana nak datang
pengetahuan kalau kamu tak tuntut ilmu? Setakat SPM, kat
sini hanya kerja kilang aje yang lepas,” ucap Imam Hambali
bersungguh-sungguh.
“Saya tak ada duit, pak imam. Macam mana nak
hidup kalau saya tak kerja?” Fakhri menoleh seketika kepada
lelaki tua itu.
Imam Hambali diam memandang kegelapan malam
di luar. Berfikir.
“Aku ni bukan nak menghalau kamu dari kampung
ni. Tapi kalau di sini sudah tertutup ruang untuk kamu
membina kehidupan kamu, pergilah dari sini, Fakhri.”
Fakhri sentap. Sayu hatinya. Imam Hambali juga
mahu menghalaunya? Namun dia kembali memikirkan apa
yang diucap oleh lelaki itu. Ada pro dan kontranya.
“Pergi dari sini. Ramai anak muda di kampung ni
pindah ke Kuala Lumpur sana untuk cari yang lebih baik.
Tak salah. Agama pun galakkan kita berhijrah. Dan usahalah
bersungguh-sungguh, Fakhri. Allah ada dengan orang yang
sabar. Aku tahu kamu baik budaknya. Aku tahu kamu tak
sejahat yang disangka, dituduh dek orang. Jangan patah
semangat. Ujian sebesar ini hanya datang kepada orang
tertentu ada sebabnya. Allah lebih tahu siapa kamu, Fakhri.
Sampai satu masa nanti, Allah akan bukakan pintu kebenaran.
Orang yang berdosa, tidak akan terlepas.”
“Saya tak tahu nak ke mana, pak imam. Saya
sebatang kara. Ayah saya tak sayangkan saya. Saya tak ada
apa-apa untuk teruskan hidup.” Air mata Fakhri gugur saat
mengucapkan kata-kata itu.
“Allah ada. Dia sayangkan kamu. Jangan kamu
merasa kamu hanya sendiri. Allah akan pimpin kamu. Kita
fikirkan jalannya. Insya-Allah ada jalan keluar. Jangan putus
asa,” ucap Imam Hambali lembut.
Fakhri mengangguk perlahan sambil menyeka air
matanya. Helaan nafas dilepaskan tanda jiwa kembali kuat.
Ya... Allah ada bersamanya sentiasa.
“Siapa pun kamu, kamu berhak mencari apa yang
terbaik untuk diri kamu. Kamu berhak hidup macam
orang lain. Di sini permulaannya. Jangan kamu sia-siakan
peluang ni, Fakhri. Doa. Itu senjata orang mukmin. Yakin
dengan Allah.” Imam Hambali menepuk bahu anak muda itu
perlahan.
‘Siapa pun kamu, kamu berhak mencari
apa yang terbaik untuk diri kamu. Kamu
berhak hidup macam orang lain.’
KATA-KATA IMAM Hambali tempoh hari terus bermain
dalam kotak fikiran anak muda itu. Dia sudah insaf. Tidak
ingin lagi berpatah balik ke belakang. Dia juga ingin hidup
seperti orang lain.
Sejarah hidupnya memang tidak indah. Arwah
ibunya merupakan isteri kedua. Namun terpisah angkara
orang lain. Tidak sekadar ibunya. Dia juga menanggung
dendam orang. Dibiarkan begitu sahaja oleh bapa kandung,
dia hanya mampu memendam rasa sendiri.
Ibunya diceraikan oleh bapanya ketika dia berusia 5
tahun. Semenjak itu mereka menetap di kampung. Sayangnya
ketika dia berusia 11 tahun, ibunya pulang ke hadrat Ilahi.
Tinggal dia begitu sahaja dibela oleh neneknya. Ketika dia
berusia 16 tahun, dia diuji oleh sesuatu yang amat berat.
Henry Gurney! Hampir semua orang tahu itu tempat
apa. Dia telah terperangkap di situ selama dua tahun. Setiap
hari membilang hari, berkawan dengan yang baik dan jahat.
Meneruskan persekolahan di sebalik tempat terkurung itu.
Jiwa yang terdera hanya Allah sahaja yang tahu.
Kenapa dia yang dipersalahkan atas kesalahan yang
tidak dilakukannya? Di mana keadilan? Ah! Keadilan dan
kebenaran hanya ada pada Allah. Tidak pada undang-undang
dunia.
Fakhri masih ingat hari itu. Hari yang dirasakan
paling malang dalam hidupnya. Orang kampung datang ke
rumah, menuduhnya mencuri motor. Dia bersumpah dia
tidak pernah melakukannya. Namun bahagian enjin motor
itu telah ditemui orang kampung di bawah rumahnya. Dia
dikepung oleh orang kampung. Dipukul!
Malam pada hari yang sama pula, kecoh apabila
ternakan orang dicuri dan kebun terbakar. Dia diserang lagi
oleh orang kampung. Cuba dibela oleh neneknya, tetapi
tidak berjaya. Sudahnya dia ditangkap polis. Dibicarakan di
mahkamah dan dikenakan tahanan di sekolah pemulihan
akhlak selama dua tahun atas kesalahan apa, dia sendiri pun
tidak tahu.
Sabar. Sabar. Sabar...
Ujian hidupnya berterusan lagi. Beberapa bulan
sebelum dia dibebaskan, arwah neneknya dijemput pulang
oleh Ilahi. Dia tiada sesiapa lagi. Dia harus meneruskan
hidupnya dengan kecekalan yang ada. Tidak boleh bergantung
hidup dengan orang lain.
Fakhri! Berpantang maut sebelum ajal. Pantang
mengalah sebelum kalah! Agi idup agi ngelaban! Dia tahu
sejarah lama itu bukan alasan untuk dia hidup seperti orang
lain. Kerana dia tahu... Allah selalu ada bersamanya.
Penat termenung berhari-hari, Fakhri bangkit
dari duduknya lalu masuk ke dalam kamar. Almari arwah
neneknya diselongkar. Dia bertemu dengan sepucuk sampul
besar. Fakhri menarik beberapa helai kertas dari dalam
dokumen itu. Nekad! Ini sahajalah harta yang dia punya.
Pintu rumah dikunci sebelum dia berjalan kaki ke
rumah Imam Hambali. Lelaki itu baru pulang dari pejabatnya.
“Ha... ada apa hal kamu ke sini?” tanya Imam
Hambali lembut. Anak muda itu diajak duduk di bawah pokok
di halaman rumahnya.
“Saya ada hajat,” ucap Fakhri lembut.
“Kamu nak pinjam duit? Berapa?”
Fakhri pantas menggeleng. Sampul surat itu
diberikan kepada Imam Hambali. Lelaki itu menyambut lalu
isi kandungan sampul itu dibeleknya. Ada geran tanah.
“Saya nak jual, pak imam.”
“Ini hadiah daripada nenek kamu. Kamu nak jual
untuk apa?”
“Saya nak teruskan hidup. Saya nak keluar dari
kampung ni,” ujar Fakhri perlahan.
Imam Hambali memandang lama wajah anak muda
itu.
“Sayang kalau dijual ni, Fakhri. Kalau kamu nak ke
KL sana, aku boleh berikan duit.”
Namun Fakhri pantas menggeleng.
“Saya dah ada rancangan untuk diri saya sendiri.
Saya nak sambung belajar. Saya tak mahu berhutang dengan
orang.”
“Kamu dah ada rancangan?” Kening lelaki tua itu
berkerut memandang Fakhri.
“Saya nak kerja sambil belajar. Allah takkan ubah
nasib saya selagi saya tak berusaha untuk diri saya sendiri.”
“Ya, betul tu.” Imam Hambali diam sambil
memandang kertas putih di sebalik geran tanah itu. Terlukis
keluasan tanah tapak rumah pusaka itu. Hanya satu hektar
lebih. Lama dia berfikir.
“Kalau boleh, saya nak minta pak imam carikan
pembeli.”
“Biar aku yang beli. Kamu tak mahu terima
pertolongan aku, biar aku tolong dengan cara ini. Kita ke
pejabat tanah esok. Dapatkan nilai harga tanah ni,” balas
Imam Hambali pantas.
Fakhri pantas mengangguk. Harap-harap usahanya
kali ini berjaya.

No comments:

Post a Comment