DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 1

SETIAP kali balik kampung, setiap kali balik
Hari Raya Aidilfitri ke, balik cuti Hari Raya Aidiladha ke atau
apa-apa saja cuti balik kampung termasuk Hari Kebangsaan
sekalipun abah dan mak mesti bertanya, bila aku nak kahwin?
Bila nak bawa bakal isteri? Bila nak ajak pergi merisik? Bila
nak bawa teman nak kenalkan kepada mereka dan banyaklah
pertanyaan yang bersangkut paut dengan kahwin.
Paling best tu, mereka siap cakap lagi umur
anak-anak buah aku yang dah nak masuk sekolah.
“Anak angah nak masuk tadika tahun depan. Takkan
calon tak sampai-sampai lagi ni, long? Pergilah cari, mak
abah boleh masuk meminang. Kalau boleh kahwin terus lagi
baik. Jangan memilih sangat.”
Soalan-soalan itu pula membawa dari pagi ke
petang, ke esok sampai ke dua hari dan hari terakhir sebelum
aku balik semula ke Kuala Lumpur. Sememangnya aku perlu
menyimpan sikap tabah-sabar-positif di dalam diri apabila
berada di kampung. Pertanyaan-pertanyaan mereka itu
membuatkan seolah-olah aku ni bakal membujang sampai ke
tua saja rasanya!
“Ops! Mintak simpang! Tak mahu aku. Takkanlah
aku ni tak laku-laku kut. Wahai isteri, mohonlah turun dari
langit ke atau esok-esok aku jumpa kat tepi jalan, kereta dia
rosak ke apa macam dalam drama petang-petang tu please.”
Aku berdoa sendiri dan terus berjalan masuk ke dalam bilik
sesudah mendengar ceramah-ceramah jodoh daripada orang
tuaku semasa berbuka puasa tadi.
Apa boleh buat terima sajalah, nak marah memanglah
tak boleh. Apa yang boleh dibuat? Masuk ke bilik, tutup pintu
macam selalu. Merajuk bagaikan anak dara!
Kejap!
Asal merajuk? Nampak benarlah yang aku ni sensitif
orangnya. Apa orang kata? Cepat terasa? Cepat tersentuh?
Tak adalah, sebenarnya, aku ni jenis lelaki bersopan santun.
Tak menyesal mana-mana mak mertua bermenantukan aku.
Jodoh saja belum sampai.
Lupa pula, umur? Bahagian ini yang kena beritahu
sebab ada kaitan dengan hal sensitif merajuk di atas.
Kerjaya? Aku ialah pengarah kewangan di sebuah
syarikat hartanah terkemuka negara. Jadi, dalam soal
kewangan sebenarnya tidaklah ada masalah sangat dan
aku adalah lelaki yang maha penjimat dan maha pengatur
kewangan diri sendiri. Macam biasalah bujang, benda yang
tak penting, tak payah beli.
Tentang bahagian rupa dan wajah pula, aku tak dapat
buat penilaian sendiri. Bersyukur dengan pemberian Tuhan,
itu lebih baik walaupun masa zaman universiti dulu aku ni
antara yang paling popular jugalah, diikuti Bob dan Joe tu.
Ada apa-apa yang aku tertinggal? Umur sudah walau
tak berapa tepat. Kerjaya sudah, sikap sudah, rupa pun sudah.
Bujang pun sudah.
Mukadimah sebelum menyelami ceritaku yang
panjang dan berliku. Anggaplah kisah aku ni umpama
membaca sebuah diari lelaki yang mencari cinta. Membaca
buku kan selalunya di dalam hati saja. Jadinya konsep kisah
aku ni sama sahaja. Nak juga aku namakan cerita aku diari
seorang lelaki, tapi lagi sah-sah nampak macam diari. Jadinya
aku rasa, teruskan membaca. Kau pun syok juga kan baca
diari orang lain? Aku pernah tulis satu Tweet di laman Twitter,
aku tulis; Facebook dan Twitter umpama sebuah buku diari
yang suatu ketika dulu kita tulis tapi tak nak bagi orang baca.
Tapi hari ni dah terbalik.
Ramai pertikaikan, tapi ramai juga yang setuju.
Aku keluarkan semua barang-barang dari dalam beg.
Kemudian keluarkan pula dompet dari kocek, sempat pula IC
aku terjatuh. Nombor IC aku yang sekali gus menunjukkan
tarikh lahir dan umurku.
“Jap, a few years lagi nak 40. Eh jap, hari tu macam
baru 30. Ahhh... apa-apalah, itu kan angka je. Umur aku nak
masuk 33, hesy. Target 30 kahwin, tak jadi. Aku balik kampung
nak tenangkan diri pun dah jadi macam cacing kepanasan
pulak dah...” Aku mengomel seorang diri dan terus berbaring
di katil tapi bila mengenangkan tadi aku makan sikit saja
masa kena ceramah jodoh, akhirnya aku keluar dari bilik.
Siap pandang kiri kanan lagi.
“Abah mana, mak?” tanyaku kepada mak yang sedang
melipat kain.
“Mengopi kejap, ada mesyuarat. Ketua kampung
yang sibuk dan berdedikasi tu.”
“Oh, faham-faham.”
“Along... bila nak kahwin ni? Adik kau si Shueib tu
dah anak dua tau. Along tu jangan memilih sangat,”
Aku tersentak semasa mengelamun. Bila timbalan
presiden a.k.a mak bersuara, aku tak boleh tak buat peduli
juga, itu kata-kata makan dalam seorang mak buat anaknya
secara terus terang tanpa belok-belok!
Tersedak sekejap aku yang sedang menikmati
biskut-biskut raya yang dibuat oleh mak. Walaupun hangus,
ia tetap menjadi pilihan hatiku!
“Nanti-nantilah mak. Along nak enjoy dulu, belum
puas lagi nak bujang ni, mak...” Itu jawapan skema aku selama
5 tahun berturut-turut (8 tahun sebenarnya). Relevan ke tak,
itu aku tak tahu. Tapi itu sajalah yang terpacul dari mulut
aku secara automatik semasa sedang menggantung langsir
(jangan salah sangka ya, aku ni walaupun lelaki memang suka
buat kerja rumah. Nasib baiklah aku tak pandai menjahit,
kalau tak itu pun aku buat sekali. Calon suami mithali okey!).
Bila mak dengar jawapan skema aku tu, mak malas
dah nak bertanya lagi. Lagipun mak aku ialah cikgu sekolah
menengah, bukan wartawan hiburan yang tak faham-faham
bila orang dah jawab soalan. Atas sebab mak aku tu cikgu
sekolah menengah aku masa sekolah dulu, sebarang hal aku
dalam percintaan akan dihidu oleh mak.
Aku taklah salahkan mak, tapi mungkin atas sebab
supaya mak tak tahu aku suka siapa, aku pun malaslah
bercinta sampai universiti pun aku tak bercinta. Aku cerita ni
macamlah ada yang nak percaya kan? Lelaki kacak (bercakap
sendiri dengan perasaan lebih) macam aku ni tak bercinta
masa belajar dekat universiti. Memang kerat jari! Tapi betul,
kau orang boleh tanya dua kawan baik aku merangkap kawan
sekampung aku.
“Assalamualaikum, bro? Gantung langsir nampak?
Jadi Mak Jemah kau memalam ni ya? Sesambil skodeng
jodoh tepi tingkap ke, bang?”
Okeylah. Ni kawan aku, Bob. Dia yang bagi salam
dekat aku tadi. Tentang dia? Masa kecil dulu dia gemuk,
memang macam-macam orang panggil nama dia. Budak
gemuk, si gemuk, si pelahap, si lemak, fat boy, semua ada.
Tapi nama Bob tu selalu melekat dekat dia. Lagipun Bob
adalah singkatan kepada perkataan panjangnya iaitu Badan
Orang Besar. Nama sebenar dia? Muhammad Firdaus Ali
Hassan. Nasib baiklah bila dah besar ni, badan dia tak macam
masa kecil dulu. Tapi orang kampung dah biasa panggil Bob,
dia pun mengiakan sajalah. Bolehlah sama taraf dengan
Saharul Ridzwan tu. Eh! Tak adanya. Jangan kau berangan
nak samakan diri kau dengan pelakon yang jadi kegilaan
ramai wanita tu ya!
Bob ni sekarang bekerja sebagai arkitek muda dan
satu persamaan dia dengan aku adalah kami sama, geng yang
belum kahwin, belum jumpa mata air, belum jumpa jodoh.
Psst! Bujang terlajak. Tak mahu cakap kuat-kuat, takkan nak
bagi satu Malaysia dengar kut. Jatuh saham yang memang tak
laku-laku ni.
“Waalaikumussalam. Naiklah, tadi aku tak nampak
pun muka kau masa terawih, bila kau balik?” Aku tanya
Bob yang kelam-kabut letak segala beg kat rumah dia, terus
terkocoh-kocoh nak melepak rumah aku. Rindulah tu!
“Aku baru saja balik. Saja melawat kau. Ada yang aku
boleh tolong?” Bob tanya sambil membuat senyuman paling
manis.
“Buat masa ini tak ada. Kau tu hanya boleh tengok
saja, nanti kerja aku bertambah pula.” Sengaja aku menyindir,
Bob nak tolong aku gantung langsir? Erm! Kirim salam.
“Assalamualaikum?”
“Waalaikumussalam.” Aku dan Bob menjawab salam
Joe serentak.
Joe adalah kawan baik aku dan Bob. Nama panjang
Joe, Ahmad Johari Ahmad Ali. Tapi nak urban dan moden
punya pasal, boleh panggil dia Joe. Antara kami bertiga ni
sebenarnya dialah yang paling popular. Aku pun tak tahulah
kenapa. Padahal kami sama saja, bujang-solo-single-belum
kahwin. Pasal Joe? Tiada yang istimewa sangat.
Cuma aku nak beritahu, cerita kami pasal anak
kampung biasa-biasa yang hidup di bandar dan nama aku pun
tak ada Tengku, Pengiran mahupun Putera dari kayangan
hutan di rimba. Okey, aku pandang dua kawan baik aku yang
tengah perhati aku sekarang ni.
“Lawa kereta kau, Joe?” Aku sengaja menegur.
Manakan tidak, melihat kereta Honda terbaru itu saja aku
sudah rasa kagum. Aku punya kereta hanyalah kereta Proton
Preve, tapi aku bangga juga sebab guna kereta buatan
Malaysia. Malaysia Di Hatiku!
Bila melihat dua orang sahabat aku ni datang ke
rumah, kira tak baiklah kan kalau aku tak layan. Aku pun
cepat-cepat menyelesaikan kerja aku dan turun ke bawah.
Ala, macam tak biasa, ke tangga keramat a.k.a tempat lepak
sejak turun temurun yang Mak Senah, Mak Kiah, Mak Joyah
semua duduk di tangga keramat tu untuk bergosip tau.
“Ala, hutang bank juga. Bila kau balik ni, Lalan?”
Nama yang tak berapa nak glamor iaitu Lalan a.k.a
nama timangan aku. Kenapalah mereka tak panggil aku Shaz?
Kan lebih ‘bandar’ sikit tak adalah sekejap Lalan, sekejap Lan.
Macam nama rempit pun ada. Tak apalah, apa boleh buat,
mereka dah terbiasa. Dekat pejabat KL sana, sah-sah aku
dipanggil Shazlan, kadang-kadang kalau panggil aku Shaz
pun aku toleh. Eh, tersasul!
“Dah seminggu aku cuti. Kau apa khabar? Baru balik
ni, mesti sibuk kan?”
“Macam tu la. Kau tahulah kerja aku tu.”
Joe bekerja sebagai peguam. Dulu dekat universiti
dia ambil undang-undang atau dalam bahasa yang lebih
profesionalnya adalah ‘law’. Dia ni memang jejaka rebutan
dekat universiti, malahan kakak senior pun minat dekat dia
sampai hampir bunuh diri. Joe ni saja jual mahal.
Dia ni boleh dikategorikan sebagai lelaki dahi
licin yang kacak antara kami semua. Aku pun tak tahulah
sikit punya cantik kakak senior tu, dia tolak cintanya
mentah-mentah. Aku tak tahulah kalau Joe ni dua alam ke,
tiga alam ke. Tapi yang aku tahu dan sebenar-benarnya pasti,
aku dan Bob tak dua alam. Tulen tahu!
Kejap! Aku dengan ini memberitahu agar fikiran
pembaca tidak menyimpang bahawasanya Joe ini Islam, anak
Malaysia dan berada di jalan yang lurus. Ini sajalah caranya
agar korang tidak meneruskan tuduhan di lain-lain bab.
“Kau Bob, bila balik?” tanya Joe kepada Bob sambil
bersalam tangan.
“Aku pun baru balik. Tahun lepas aku tak balik,
tahun ni haruslah aku balik. Kau apa khabar?”
“Khabar baik, bukan tahun-tahun lepas pun kau tak
balik awal raya ke? Aku nak beraya kau tak ada,” jawab Joe
bersahaja.
“Biasalah orang bujang. Tahun ni aku kumpul sekali
semua cuti tahunan aku, aku apply awal-awal. Aku nak beraya
dengan korang,” jawab Bob sambil pandang kami.
“Samalah...” Joe membalas.
Telefon bimbit berjenama di tangannya tak lepas.
Okey, jangan tanya aku nama telefon, memang aku main
terkam jawab saja. Berry, ipon, singkatan sajalah yang aku
tahu.
Aku dan Bob jeling-jeling sajalah, manalah hendak
beli telefon mahal-mahal. Ada telefon, tapi biasa-biasa saja.
Asal WeChat, WhatsApp dan online Facebook bagai tu lepas.
Tapi taklah miskin tegar sangat, kami semua mempunyai
kerjaya yang sangat-sangat stabil, juga gaji yang sangat-sangat
stabil. Jadi, ia adalah sebuah pilihan. Tapi fahamlah Joe. Dia
kan peguam, jadi gaji lebih sikit.
“Khabar baik macam ada makna saja tu? Kau dah ada
calon bini ke?” Mulut aku kalau bertanya ligat saja.
“Shhh... Calon bini apa bendanya? Aku single
lagilah. Entah-entah kamu berdua tu yang ada calon. Adik
aku si Munira dan si Adam tu dah anak dua kut. Laju betul
diaorang tambah anak, entah-entah raya tahun depan dah
enam orang anak buah aku. Nampaknya kenalah lagi aku
tahun ni.” Joe mengherotkan mulut memikirkan soal jodoh
sambil memandang aku dan Bob.
“Nasib baiklah aku ni anak tunggal, tapi mak
ayah aku tanya juga soal tu. Aku jawab, relaks dulu...” Bob
mencelah.
“Kenapalah kita bertiga ni senasib. Rupa dah ada,
kerja dah stabil, gaji pun boleh tahan. PTPTN pun dah habis
bayar. Jodoh tu pula berat nak masuk. Aku tengok yang muka
biasa-biasa dekat ofis tu bukan main, bercinta sakan dekat
ofis, tengok-tengok esok dah bagi kad kahwin dekat aku.” Aku
menyampuk.
“Kita mandi bungalah nanti, kebetulan kita dekat
kampung ni. Agak-agak Pak Mat Bomoh tu hidup lagi ke?”
tanya Joe yang nampak benar dua tiga tahun sekali balik
kampungnya.
“Isy kau ni, Joe. Ada lagilah dia, tapi aku rasa dah
taubat. Tadi dia sebelah aku masa terawih.” Aku menjawab.
“Ala, mana tau dia dah berubah jadi bomoh
perubatan Islam macam kat KL tu. Tak cuba tak tahu...” Joe
berpendapat.
“Isy korang berdua ni. Sekarang ni dah tak adalah
orang nak mandi bunga bagai ni. Kita ni dalam tahap terdesak
ke sampai nak buat macam tu?” Bob mencelah, memandang
aku dan Joe.
Aku dan Joe malas menjawab soalan yang agak
kurang relevan tu. Kalau dah masuk umur 30 ke atas, dah
terdesaklah tu. Ingat perempuan saja yang bimbang kalau tak
kahwin-kahwin? Lelaki pun samalah!
“Apa dibincangkan tu, long? Ajak kawan-kawan along
tu naik minum air.” Suara mak aku a.k.a Cikgu Shamsiah
membubarkan lamunan dan topik perbualan kami.
“Ya, mak... Bob dan Joe baru datang ni...” Aku
menjawab.
“Ajak mereka masuk, tak baik duduk kat tangga tu.
Tu yang jodoh lambat masuk tu...”
Sempat mak aku menyindir! Macam tahu-tahu saja
mak aku ni topik perbualan kami. Ke, dia tumpang dengar?
Isy-isy.
“Joe, Bob, jom... nanti membebel lagi mak aku tu.”
Joe lekas-lekas membuka kasutnya. Aku dan Bob
naik dan masuk ke dalam rumah.
“Selamat hari raya, cikgu...” sapa Bob dan Joe lalu
menyalami tangan mak aku.
“Selamat hari raya ke bendanya ni Joe, Bob. Raya
seminggu lagi...” Mak aku menjawab sambil memandang Joe
dan Bob yang tersengih-sengih malu. Merekalah anak murid
mak aku yang paling nakal dan paling cemerlang di dalam
kelas. Oh! Termasuklah aku sekali.
Mereka berdua duduk di kerusi berdepan dengan
aku, sopan santunnya mengalahkan anak dara tepi tingkap,
ucap selamat hari raya kat mak aku bukan main awal.
Ingat boleh dapat ‘angpau’ lagi ke macam dulu-dulu? Aku
senyum-senyum tengok diaorang berdua.
“Assalamualaikum?”
Seseorang memberi salam. Suara seorang
perempuan. Siapa pula tu? Mak aku segera menuju ke muka
pintu.
“Waalaikumussalam. Ha Najwa, naiklah dulu...”
ajak mak aku.
Apabila terdengar mak aku menyebut nama Najwa,
segera aku teringat dengan budak perempuan gemuk dan
makan gula-gula lolipop bertocang dua yang selalu aku, Joe
dan Bob usik dahulu, sampai menangis kami buli dia.
Aku, Joe dan Bob berpandangan sambil menyebut
nama Najwa untuk mengingat. Dengar khabar, si Najwa tu
dah lama duduk di luar negara sebab sambung belajar. Entah
apalah rupa dia sekarang. Aku agak dua kali lima sama macam
dulu. Potong jarilah kalau berubah.
“Sekejap ya, cikgu.”
Kedengaran suara Najwa lembut.
“Naik, naik...” ajak mak aku.
“Nah cikgu, mak ada buat rendang tok ni. Saja
bagi cikgu rasa, Najwa yang tukang sediakan bahan-bahan.
Bolehlah buat lauk sahur nanti. ”
Kami bertiga hanya mendengar perbualan mereka di
dalam rumah sambil tengok kat TV kalau-kalau ada Chelsea
main bola malam ni. Dasar lelaki!
“Masuklah. Ada abang, Bob dan Joe kau kat dalam
tu...” Mak aku berjalan masuk membawa sebuah bakul yang
berbau harum, Najwa di belakang. Sengaja kami buat-buat
tak pandang.
“Assalamualaikum abang semua?” Najwa memberi
salam.
Kami menoleh.
Tiba-tiba...
Aku tersedak air. Joe dan Bob yang menoleh,
melopong melihat Najwa.
“Wa... waalaikumussalam, Najwa...” Aku menjawab
salam Najwa dengan tergagap-gagap.
Terkejut melihat Najwa yang sangat berbeza! Najwa
yang bukan seperti dahulu!
Mak aku senyum memandang kami bertiga.
Najwa duduk di salah sebuah kerusi sambil senyum lebar
memandang kami. Perlawanan bola di kaca TV sudah tidak
diendahkan.
“Abang Lalan sihat?” tanya Najwa sambil
memandangku. Matanya yang redup itu menggugat hatiku.
Aku tak dapat berkata-kata, mulutku terkunci. Joe
dan Bob pula berdiam diri. Apakah?

No comments:

Post a Comment