DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 4

BILA tiada benda hendak dibuat masa puasa,
laman Facebooklah peneman aku. Bukan tengok sangat pun
status rakan-rakan atau berbalas status mahupun mesej,
kadang-kadang sengaja aku matikan mesej berhari-hari.
Jahat tak jahat, yalah, aku syok-syok main game, tiba-tiba ada
orang hai-hai, memang terganggulah nak naik level.
Orang lain dah level beratus-ratus, yang aku ni
masih lagi level 28. Cis! Apa punya susahlah game alah ni.
Mentekadarah otak betul. Nanti anak-anak buah aku balik
kampung, sah-sah aku suruh diaorang main game tu. Jangan
tak tahu, budak-budak sekarang lebih dahsyat main game
dekat tablet ni. Satu kali naik level dapat 2 ringgit, kalau 20
level banyak tu. Tawaran pak cik mereka di hari raya.
“Kayalah kau, Budin.” Aku sebut nama anak buah
aku paling sulung, yang paling pakar antara semua.
Aku ni seorang bapa saudara yang pemurah.
Kalau buka laman Facebook tu, tak sah tengok status
orang lain. Status makan, status gaduh dan bagai-bagai.
Tapi, status yang buat aku lagi besar mata bila tengok adalah
status upload gambar kahwin! Cemburu sangat-sangat, tapi
cemburu positif yang berharap akan sebegitu suatu hari
nanti. Bukan nak jadi pengadil macam sesetengah orang
tu, pengantin lelaki dia lebih handsomelah, perempuan tu
lawa sangatlah dan macam-macam lagi. Amboi-amboi, tiada
tapisan langsung tangan yang menaip di ruangan komen tu.
Biasalah orang Malaysia, terlebih dan tersangat prihatin.
“Along, tolong pergi beli ikan dekat kedai kejap.
Cepat long, nanti habis tak berlauk kita berbuka nanti...”
Suara mak aku kedengaran dari dapur. Aku tinggalkan
kejap laman-laman sosial ni. Duduk dekat kampung kenalah
menghirup angin segar dan memang kena bertegur sapa
dengan orang.
Aku terus gerak. Eh! Sebelum terlupa. Aku log out
Facebook dulu. Eh-eh satu lagi, kena tanya mak nak beli ikan
apa.
Segera aku ke dapur. “Mak, nak beli ikan apa?”
tanyaku sambil melihat mak membuat kuih. Rasa nak
tertelan air liur ni tengok biskut kacang kegemaran aku yang
masa tu aku tengok sangat-sangat gebu berasap-asap baru
keluar dari oven. Kalau masuk mulut sah-sah cair bak coklat
yang menyegarkan.
Mak aku ni memang rajin. Balik sekolah tadi, dia
terus buat kuih. Pelik juga aku, dari mana tenaga mak aku tu
dapat masa bulan puasa ni. Sudahlah sibuk dekat sekolah jadi
pengetua sekolah (mak naik pangkat), lepas tu sibuk dekat
rumah. Tak lama lagi mak nak pencen, dapatlah aku tengok
mak berehat. Kasihan aku tengok mak. Cikgu kesayangan
semua, termasuk aku!
Tapi biasalah orang tua, urat dawai tulang besi, tak
adanya dia nak berehat bagai. Mesti ada perancangan masa
depan. Rajin bebenor bak kata orang Negeri Sembilan. Bukan
macam budak-budak muda sekarang, buat kerja sikit pun nak
bertangguh. Itulah contoh motivasi yang aku belajar daripada
mak aku sejak dulu.
“Macam selalu, keli dan kembung, kalau ada bawal
beli sekali, mak nak buat masak lomak cili api berbuka nanti,”
jawab mak aku spontan yang membuatkan kecur air liur aku!
“Okey mak, along jalan dulu. Mak, nanti kalau ada
biskut kacang yang tak berapa nak jadi, buat stok untuk along
berbuka ya mak?” Sempat lagi aku berpesan.
“Ya, ya, pergi cepat, dah nak petang nih. Yang dah
jadi, mak bagi nanti.”
“Yeayy!” Aku teriak ala-ala budak tadika.
Aku segera keluar, lama juga aku tak pergi ke
Pengkalan. Selalu tu abah yang beli ikan, aku tahu makan
saja. Aku ni, nama ikan pun aku tak tahu, tapi ikan keli tu aku
tahulah sebab kegemaran abah aku yang suka makan ikan
keli goreng masak lomak. Lain-lain jangan tanya aku. Entah
macam mana orang hafal nama ikan semua tu. Alangkah
baiknya ikan-ikan tu semua pakai name tag, senang hendak
cam mana satu!
Lupa pula nak beritahu, abah aku orang Negeri
Sembilan, mak aku orang Pahang. Itu yang abah aku hantu
lomak. Setiap hari mak aku masak lomak, aku pun sudah
terbiasa. Kalau dekat KL tu memang aku cari masak lomak
ni.
Sampai Bob dan Joe pun naik hairan dengan aku
yang hantu lomak ni. Yalah, tekak ni tak lalu makan kalau
tak ada masak lomak. Tapi, walau kedai mana pun aku pergi,
walaupun mahal sekalipun harga masak lomak tu, masakan
mak aku a.k.a Cikgu Shamsiah a.k.a naib presiden keluarga
aku adalah yang paling tiptop!
Malas aku nak naik kereta setakat pergi ke Pengkalan.
Cuaca pun okey. Nanti ada pula orang cakap, “Pergi kedai pun
naik kereta, saja nak tayang keretalah tu.” Sambil jalan kaki
tu, aku nampaklah beberapa orang mak cik, pak cik yang aku
masih kenal. Aku tegur.
Sampailah aku ke Pengkalan. Ramai juga yang
meniaga ikan dekat situ. Yalah, dekat situ semua ikan
segar-segar belaka. Aku setkan mata aku untuk memandang
360 darjah, semuanya ikan!
Eh! Tiba-tiba mata aku terlihat seseorang. Seseorang
yang sangat aku kenal dan kaki ni terus melangkah ke sana,
cepat pula tu.
“Assalamualaikum, Aman... er... Amani...” Aku
memberi salam pada Amani yang berpenampilan lain, tapi
masih kukenal, tersasul pula panggil nama dia Aman.
“Waalaikumussalam. Eh Lalan kan? Bila balik?
Joe dan Bob balik sekali ke tahun ni? Mak cakap balik, tapi
jumpanya tak. Mana geng?” tanya Amani. Banyak pula
tanyanya, maklumlah lama tak jumpa.
“Lama dah, dah dekat tiga hari. Haah, Bob dan Joe
pun ada balik. Amani kerja dekat sini ke?” tanyaku pula. Err...
tak sayang mulut betul.
“Eh, taklah. Amani kerja dekat bandar, ni saja tolong
mak dan ayah. Mak dan ayah ada buat ikan sangkar, tu yang
tolong bantu, kebetulan pula cuti. Datang sini nak beli ikan
ke?”
“Haah, ada ikan keli dan kembung?” Aku melihat
ikan-ikan yang ada. Walaupun hanya ikan keli je yang aku
tahu, ikan-ikan lain tu aku buat-buat tahu dan belek.
“Ada, nak berapa kilo?”
“Bagi sekilo kembung, dua kilo keli. Jap, bawal
sekilo.”
“Okey.”
Aku perhatikan Amani meletak ikan-ikan tu di atas
timbang kemudian dimasukkan ke dalam plastik.
“Berapa semuanya?” tanyaku.
“Lima puluh ringgit, tapi Amani bagi diskaun, kira
empat puluh sajalah. Yalah orang KL lama tak balik.” Sempat
Amani bergurau dengan aku.
“Eh, kau ni Amani, tak baik tau, kawan tetap kawan,
meniaga tetap meniaga.”
“Tak apa, aku ikhlas. Ramadan ni.”
“Okey, terima kasih ya Amani.”
“Sesama, raya nanti datang rumah tau. Bawa Joe dan
Bob sekali,” pesan Amani.
“Insya-Allah.”
Kemudiannya aku berlalu. Baru aku perasan yang
Amani bertudung. Lagi satu dia punya suara dah tak brutal
dah. Ada juga rasa pelik. Tapi, maklumlah perempuan akan
berubah seiring usia dia. Alhamdulillah, tak macam masa
sekolah dulu. Sejuk mata memandang Amani tadi, boleh
masuk kategori calon. Tapi aku tahu, ada seseorang yang suka
kalau aku cakap pasal Amani iaitu Bob!
Sekejap! Ni satu lagi, kalaulah mak tahu aku beli
ikan dapat diskaun, mesti mak bebel. Baik aku jangan cakap.
Aku lupa pula nak memperkenalkan Amani.
Sebenarnya Amani ni satu kelas dengan aku masa sekolah,
sekali dengan Bob dan Joe. Sikit punya tomboi dia dulu, dia
nak orang panggil dia Aman, buang huruf i dekat hujung.
Bayangkanlah, kami masuk sungai dia masuk juga,
kami kena denda, dia pun sekali kena. Kira geng. Dulu, Bob
suka sangat dengan si Amani tu, dia seorang saja yang tak nak
panggil Amani tu Aman, siap dia selalu suruh Amani ubah
diri macam perempuan sikit.
“Assalamualaikum.” Aku bagi salam dekat rumah
sendiri. Itu adab tu, walau rumah sendiri harus bagi salam.
“Waalaikumussalam...”
Amboi! Kenapa ada suara orang lain yang seperti aku
kenal menjawab salamku.
Kemudian nampaklah kepala dua kawan baik aku
tercongok dekat tingkap, lemah longlai ala-ala tak makan
setahun. Kalau badan kurus tak apalah juga, ni masing-masing
kaki gim, buat malu kaum saja.
“Kau dari mana ni?” tanya Joe.
“Kau tak tanya mak aku ke?” Aku tanya Joe balik.
“Tak sempat.” Bob pula yang jawab sambil tukar-tukar
siaran TV umpamanya dia yang beli TV tu.
“Aku dari Pengkalan tadi beli ikan,” jawabku.
Aku masuk ke dalam rumah, terus aku ke dapur.
“Ha along, lama betul beli ikan. Tangkap ikan ke beli
ikan?” sindir mak aku. Lain macam pun ada soalan mak aku
ni.
“Beli ikanlah, mak...”
“Beli dekat siapa?” tanya mak aku lagi.
Gulp! Takkanlah nak kelentong pula. Bulan puasa ni.
“Aman, mak.”
“Aman? Siapa tu?” Mak aku tanya balik.
“Err... Amani, mak...” Tergeliat lidah aku ni nak
menyebut. Itulah, dulu-dulu selalu panggil Aman, Aman...
“Oh, letak ikan tu dekat singki. Kejap lagi mak nak
siang.”
Fuh! Lega. Mak aku tak tanya macam-macam.
Aku mengangguk, kemudian terus ke ruang tamu
tengok dua bujang yang tengah baring dekat sofa rumah aku.
Masing-masing merehatkan diri.
“Aku dengar kau sebut nama Amani tadi dekat dapur.
Amani mana tu?” tanya Bob kepadaku.
Amboi Bob, cepat saja kau ya bila dengar nama
Amani tu. Teringat kekasih lama ke?
“Ala, Amani kawan kita, Aman tomboi. Tapi sekarang
tak kut, dah bertudung dah, manis. Tadi aku jumpa dia jual
ikan dekat Pengkalan sana. Sikit lagi aku tak kenal.”
“Dia kerja jual ikan?” Spontan mulut Joe bertanya.
“Tak, dia tolong mak ayah dia yang usahakan ikan
sangkar. Katanya dia kerja dekat bandar,” jawabku.
“Lama pula tak jumpa si Amani tu. Lepas SPM dulu
dia tinggal dengan mak sedara dia dekat Kedah. Entah-entah
dah kahwin, tadi ada kau nampak dia bawa budak?” tanya Bob
lagi.
“Amboi Bob, engkau ingat aku ni kaunter
pertanyaan? Aku tak cakap banyak dengan dialah. Nanti kau
tanyalah sendiri.” Aku mengherotkan mulut.
Bob terus masam mencuka tengok aku. Amboi Bob,
ada hati lagi ke? Bukan aku tak tahu kau tu Bob, saja buat hati
kering. Aku tahu dalam hati kau tu ada taman-taman bunga
segar, cuma belum terisi dengan permaisuri lebah saja.
ESOKNYA, JOE datang seorang ke rumah. Pelik juga Bob tak
ada, macam sebuah kehilangan yang terancang, mungkin dia
masih terasa dengan aku. Bob ni lain sikit, hati dia tu macam
kapas, orang baru cakap sikit dah ambil hati, mungkin faktor
usia. Beremosi.
“Mana Bob?” tanyaku kepada Joe yang asyik tengah
belek iPad dia.
“Entah, selalunya dia contact aku kalau nak pergi
rumah kau ni. Penat atau ada hallah tu kut,” jawab Joe.
Broom! Broom!
Amboi! Aku kenal sangat bunyi motor abah tu. Harus
diservis tu.
“Assalamualaikum.” Abahku memberi salam sebaik
saja masuk ke muka pintu.
“Waalaikumussalam abah,” jawabku.
“Waalaikumussalam pak cik,” jawab Joe.
“Korang tak tolong anak Pak Abu tu jual ikan?”
tanya abahku.
“Pak Abu?” tanyaku kepada Joe sambil memandang
abah. Yalah, memori aku ni dah penuh seiring usai, itu yang
banyak terpadam.
“Pak Abu yang anak dia kawan sekolah kamu dulu
tu,” jawab abah aku.
“Oh, Amani.” Aku terus tangkap bahawa Pak Abu tu
ialah ayah Amani, aku ingat-ingat lupa.
“Baru semalam beli ikan dekat dia. Kenapa pak cik?
Dia perlukan pertolongan ke?” tanya Joe pantas.
“Tak, pak cik nampak Bob tadi dekat Pengkalan tu,
tolong anak Pak Abu.” Abah aku menjawab.
Apalagi, aku dan Joe melopong. Amboi Bob,
rupa-rupanya kehilanganmu petang itu adalah untuk
menolong Amani. Patut batang hidung tak nampak. Nanti
kau masa terawih, harus temu bual bak Propaganza. Baik kau
sedia dengan tutup kawah ataupun tudung saji.
Malam terawih tu, Bob macam tak nak dekat dengan
kami. Sengaja dia ikut kumpulan orang-orang dah kahwin,
cakap-cakap dengan Jemi dan Meor. Kononnya dia tu dah
kahwin juga. Tahulah perbualan orang dah kahwin dengan
belum kahwin tak sama.
Tak apa, tak apa. Kami sabar je ni. Nak kena seligi
nanti. Dia macam tahu-tahu saja yang kami ni nak tanya dia.
Belum habis moreh, Bob dah angkat kaki, cepat-cepat aku
bagi signal dekat Joe.
“Kau nak ke mana tu, Bob? Awal balik? Selalu kau
yang banyak makan moreh,” tanyaku selaku mukadimah.
“Err... aku sakit perutlah.” Bob memberi alasan yang
kami kira tidak munasabah.
“Kalau sakit perut kau dah berlari dah Bob...” Joe
menyampuk.
“Yalah-yalah, apa yang korang nak tahu? Aku
tolong Amani petang tadi, tu pun salah ke?” Bob membuat
pengakuan juga.
“Macam mana kau tahu kita orang nak tanya pasal
tu?” tanyaku.
“Tadi aku nampak abah kau dekat Pengkalan, aku
agak...”
“Macam mana? Bujang lagi ke dia?” tanya Joe
sibuk-sibuk pula.
“Entah, aku tak sempat tanya banyak. Aku rasa
bujang lagi kut.”
“Baguslah, ada chance untuk kau. Kami doakan kau
dan dia bersatu cepat-cepat.” Joe cepat berdoa, siap angkat
tangan lagi.
“Amin.” Aku tukang mengaminkan.
“Apalah korang berdua ni? Aku dengan si Amani tu
tak ada apa-apalah. Aku pun tak tanya apa-apa dekat dia lagi.”
Bob memandang kami.
“Habis kau tanya apa dekat dia?” tanyaku pula.
“Aku tanya dia sihat ke tak, penat ke tak tolong
keluarga, cerita biasa...” Bob menjawab, nampak dia tak
selesa dengan soalan terjah kami.
“Kau ni Bob, kalau si Amani tu kena kebas orang
macam mana? Aku tengok bukan main cantik dia sekarang.”
Saja aku menggugah hati Bob.
“Ala... biarlah...”
Jawapan Bob memang menghampakan. Bob, Bob,
macamlah aku baru kenal kau sehari dua. Aku kenal kau sejak
kita kecik lagi, mandi sungai bogel sama-sama. Tolonglah...
nak propa aku pula. Tak apa, biar katanya.
“Betul ni?” tanyaku lagi.
“Ah kau tu pun samalah Lalan. Ada kau beritahu
Najwa yang kau suka dia? Ada?” Bob pula kenakan aku balik.
Memang kena dekat batang hidung aku.
“Aku lain...”
“Lain apanya? Lelaki bujang terdesak juga...”
“Eh! Bob, bahasa tu jaga-jaga sikit ya! Jangan main
serbu saja. Mulut tak ada insurans.” Aku marah tiba-tiba, rasa
berasap telinga ni.
Bukan main ligat mulut Bob, rasa nak tonyoh dengan
cili padi pun ada. Aku tenung dia tajam-tajam. Setajam pisau.
Boleh-boleh dia cakap macam tu. Kalau orang lain
tak apalah juga, dipertimbangkan dan dapat dimaafkan.
Istilah bujang terlajak pun okey, Ini ‘lelaki bujang terdesak’.
Perkataan ‘TERDESAK’ itu yang aku angin satu badan. Hei!
Mahu biru biji mata Bob ni. Mengundang kemarahan betul!
“Dah-dah. Kamu berdua ni kalau tak bertekak
pasal perempuan boleh tak? Jom balik. Ramadan ni.” Joe
menyampuk, sedikit turun darah aku.
“Aku balik dululah...” Kasar suara aku meminta diri.
“Aku pun...” kata Bob pula.
Aku pandang Bob dan Joe sekilas. Aku bukan apa.
Bob memang macam tu, suka betul dia nak mencucuk jarum.
Joe pula diam kalau si Bob tu cucuk jarum atau selalunya dia
sekali jadi tukang cucuk jugak. Sudah tahu mulut aku ni tak
boleh kawal, nak juga dicucuknya. Apa boleh buat, aku punya
nada suara dah ternaik tadi bila Bob cakap perkataan terdesak
tu. Nanti-nantilah aku bagi sejuk hati dulu. Mahu tak mahu,
dua tiga hari jugalah aku kena elak jumpa dulu.
Joe diam, dia pandang Bob yang berlalu tanpa
mereka. Joe serba salah sebenarnya, takut nak menyampuk
sangat hal orang lain. Nanti menambahkan keruh air yang
sedia keruh. Joe terpaksa ikut sebab dia dekat tengah-tengah.
Situ tak, sini pun tak. Kalau ikutkan tatacara peguam,
sebenarnya dua-dua pihak pun salah. Hal boleh selesai tapi
nak buat macam mana dua-dua ego tinggi langit ketujuh!
Marah betul aku dekat Bob. Sampaikan aku dah nak
buang dia dalam hidup aku, sampai aku tak nak ingat apa-apa
pasal dia lagi, biarlah kami putus dan tak ada kaitan lagi
dengan dia. Eh! Macamlah aku dan Bob tu ada apa-apa kan?
Boleh pula terasa bagai.
Helo? Lelaki pun ada perasaan tau? Macam-macam
rasa lelaki ni ada. Ingat hati lelaki ni ada pagar-pagar ke yang
tolong lindung bila dia sakit hati.
Marah tu lumrah bagi lelaki. Tu sebab lelaki jarang
menangis, marah lagi banyak. Dia keluarkan apa yang dia
rasalah tu. Eh? Betul ke? Entah, aku pun tak tahu. Mungkinlah
agaknya. Sambil ketap gigi.

No comments:

Post a Comment