BUNYI ketukan sudu dan garpu di atas pinggan
mengisi ruang makan tersebut. Meski masing-masing
kelihatan tenang menikmati makan tengah hari yang
terhidang, Adham dapat rasa kejanggalan yang jelas
memenuhi ruang. Terasa bagai nak tercekik dia menelan
setiap satu suapan yang masuk ke mulut.
“Sedap ke lauk-pauk ni, Adham?”
Tiba-tiba sahaja Datuk Dayani menegur Adham.
Adham senyum kekok.
“Mmm... sedap.”
“Tambahlah lagi. Jangan malu-malu.”
Adham mengangguk sedikit. Durrah yang hanya
mendengar sedari tadi pula tersenyum sinis. Benci melihat
Datuk Dayani tunjuk mesra dengan Adham.
‘Hipokrit!’ hati Durrah menjerit kuat.
Adham kerling kepada Dzakwan. Berkalih pula
ke arah Durrah kemudiannya. Berbeza dengan raut wajah
Dzakwan yang lebih mesra, raut wajah Durrah tampak dingin.
‘Dia marah dekat aku ke, dekat mama dia? Ke dia
marah dekat dua-dua?’ Adham tertanya-tanya.
“ARE YOU perhaps, mad at me?” Adham menyoal tenang,
sambil dia dan Durrah menuju ke arah kereta Jaguar miliknya
yang terparkir di pekarangan Pondok Bahagia.
“No.” Ringkas Durrah menjawab.
“Betul ni?”
“Ya.”
“I minta maaf sekali lagi okey? I ingat you tahu
kedatangan I ke mari, memandangkan masa mama you telefon
I tadi, dia kata dia akan beritahu you yang I akan datang, and
you would have no problem with it. I tak sangka pula yang
you langsung tak tahu-menahu tentang kedatangan I ni.”
Durrah mengeluh.
“Next time, kalau mama ajak you datang ke rumah,
tolong beritahu I dulu, okey?”
Adham senyum seraya mengangguk.
“Uhmm... hubungan you dengan mama you memang
tegang ke?”
Durrah berhenti melangkah lalu Adham juga
mengikut. Buat sesaat dua, masing-masing bertukar renung.
“Am I asking something that should not be asked?”
Adham buka mulut.
“Yes.”
“Sorry.”
Adham sengih. Kedua-dua mereka kembali
menyambung langkah.
“Can I ask one more question?”
Durrah buat muka tak suka. ‘Isy! Banyak betul benda
yang dia nak tanya!’
“You nak tanya apa lagi?”
“You dah buat keputusan tentang proposal I hari tu?”
“Isn’t it obvious?”
“That you are rejecting it?”
“Yes.” Beberapa hari Durrah memikir, dia tetap rasa
menolak kerja gila itu lebih baik daripada menerima. Durrah
khuatir kalau masalah lain pula yang muncul. Baiklah lagi
kalau dia terus dipaksa menghadiri blind dates yang tak
henti-henti. Sekurang-kurangnya dia tak perlu susahkan diri
untuk hadapi risiko terjebak dalam kahwin paksa!
“May I know the reason why?”
“I takut jadi benda yang tak sepatutnya jadi.”
“And that is...” sengaja Adham bertanya sekadar
ingin kepastian pada soalan yang dia sudah pun dapat agak
jawapannya.
“Dipaksa kahwin dengan youlah. Apa lagi? I tak
berminat nak jadi heroin dalam novel kahwin paksa ni.”
Adham sungging senyum. Melihatnya, Durrah jadi
pelik.
“Kenapa you senyum?”
‘Ada benda kelakar ke dalam ayat aku tadi?’ getus
hati Durrah.
“Nothing. It’s just that... uhmm... apa yang buat you
fikir, kalau kita berpura-pura setuju dengan aturan ni, kita
akan dipaksa kahwin ya?”
“You pun tahu kan parents kita aturkan janji temu
kita hari tu dengan harapan supaya kita akan kahwin? Kalau
kita berdua pura-pura berminat antara satu sama lain,
dah tentu-tentulah mereka akan push kita supaya kahwin
cepat-cepat.”
“You fikir I suka dekat you ke?”
Durrah terkedip-kedip.
“Excuse me? Bila masa pula I cakap yang you suka
dekat I?”
“Then kenapa you dengan yakinnya cakap yang
hubungan kita ni akan berakhir dengan sebuah perkahwinan?
You ada nampak I ni suka dekat you? Tak ada kan? So...
kalau I sendiri tak berminat untuk jalin sebarang hubungan
romantik dengan you, apatah lagi nak menikah dengan you,
apa pun yang mereka buat, you dengan I tetap takkan jadi
suami isteri, betul tak?”
Durrah terdiam.
“Remember, Durrah... lafaz akad tu di tangan I,
bukan di tangan orang lain. Kalau I kunci mulut, tak ada
sesiapa dekat sini yang akan terpaksa pegang watak heroin
yang kena kahwin paksa macam dekat dalam novel tu.”
“Tapi...”
“Look.” Adham lekas pintas. “I faham... you tak yakin
sama ada I ni betul ke tak berminat untuk berkahwin macam
you, atau I cuma tengah berpura-pura sahaja. But then you
fikirlah balik. Kalau I betul-betul berminat nak kahwin, I
takkan bazirkan masa I dengan propose untuk berlakon jadi
kekasih bagai apa semua ni dekat you. I ada pakej lengkap,
Durrah. Harta, paras rupa, pangkat. Kalau I nak kahwin...”
Adham petik jari kiri kanan sambil buat muka berlagak.
“Petik aje jari I ni, beribu-ribu perempuan akan
datang tawar diri mereka untuk jadi isteri I. Buat apa I bazir
masa I dekat orang yang tak mahu ada keluarga sendiri
macam you?”
Durrah senyum sinis. Juling mata ke kiri. Rasa
menyampah pula dengar kata-kata Adham yang memuji diri
sendiri terlebih-lebih tu.
“Narsisistik juga you ni rupanya kan?”
Adham ketawa kecil.
“Tak salah untuk ada sedikit perangai narsisistik ni,
Durrah.”
“Tapi you punya kes ni, I tak terasa sikit pun.”
Adham ketawa kecil.
“Pendek kata, macam tulah. Kalau I ni memang
berminat nak kahwin, I ada banyak pilihan lain. Tak perlu
nak buang masa dengan tunggu you. Plus, I tak nampak ada
apa-apa yang special pun dalam diri you ni sampai I nak kena
tunggu you bagai.” Sengaja Adham memprovokasi. Konon
nak menunjukkan yang dia sememangnya tidak berminat
dengan Durrah, sedangkan hakikat adalah sebaliknya. Dia
fikir Durrah akan tersinggung, namun sebaliknya pula yang
terjadi. Durrah tampak tenang sahaja. Indifferent, kata orang
putih.
“Baguslah kalau you fikir macam tu. Memang tak
ada apa-apa yang special pun dekat seorang pembunuh
macam I ni sampai melayakkan I untuk buat orang macam
you tunggu I.”
Wajah Adham berubah keliru. ‘Pembunuh? Aku
salah dengar ke apa ni?’
“Excuse me?”
“Apa dia?”
“Tadi I dengar you cakap...”
“Cakap apa?” Durrah soal dengan muka sepuluh sen.
“Uhmm... tak ada apa-apalah.”
Adham berdeham kecil.
“Anyways... you fikir semula keputusan you tadi tu
ya? I harap keputusan you nanti akan lebih bijaklah daripada
keputusan you yang sekarang ni.”
“Tapi kalau keputusan I kekal sama?”
“Tak mungkin. Sebab I yakin you akan terima juga
proposal ni akhirnya.”
Durrah pamer muka skeptikal, sambil sorot senyum
sinis. Langsung tidak percaya yang dia akan menerima usul
itu, seperti yang dikatakan Adham.
TUP! Pintu biliknya dikatup. Bahira yang baru selesai
menunaikan solat isyak, menapak ke ruang tamu. Mendekati
Tariq yang sedang membaca buku entah apa di sofa rotan
ruang tamu.
“Hoi!”
Bahu Tariq terhinggut. Lekas dia kalih pandang ke
sebelah, merenung Bahira yang baru mendarat punggung di
tepinya. Menyengih sahaja sepupunya itu. Siap buat muka tak
bersalah.
“Hoi! Hoi! Tegurlah elok-elok sikit. Tak ada adab
langsung.”
“Alah. Dengan kau tak perlu pun nak beradab-adab
bagai ni.”
Dihadiahkannya Bahira dengan sebuah jelingan
tajam.
“Mak mana?”
“Ada dekat dalam bilik dialah.”
Mata Tariq kembali menumpu pada buku landscape
architecture di tangan. Bahira yang melihat buat muka.
‘Hmm, padanlah bukan main khusyuk membaca!’
“Kau ni dah tak ada buku lain dah ke yang nak
dibaca? Tak habis-habis buku berkaitan landscape design aje
yang kau pinjam kat public library tu.”
“Dah memang aku minat baca buku-buku macam ni,
buat apa pulaklah aku nak sibuk-sibuk pinjam buku lain?”
“Tapi takkanlah tak bosan?”
“Tak.”
“Tulah, orang suruh pergi sambung belajar, kau tak
nak. Cuba kalau kau sambung belajar, ambil degree dalam
landscape architecture ke kan, boleh juga kau channelkan
minat kau tu ke saluran yang betul.”
Tariq kerling ke sebelah, sebelum kembali
menyambung pembacaannya.
“Ni mesti mak su ada cerita dekat kau pasal kawan
dia yang sanggup nak taja aku sambung belajar semula tu,
kan?”
“Kenapa? Salah ke mak cerita dekat aku pasal
perkara tu?”
“Tak salah pun. Tapi mak su cerita dekat kau ni mesti
sebab dia nak kau try slow talk dengan aku. Betul tak?”
Bahira tidak menjawab.
‘Betullah tu!’ teka Tariq. Dia tepek senyum sinis.
“Apa pun yang kau nak cakap, jawapan aku akan kekal
sama. Aku tak mahu sambung, dan aku tak akan sambung.”
“Tapi kau kan pandai. Sia-sia kalau kau tak gunakan
untuk memajukan diri.”
“Hidup aku sekarang ni dah cukup maju, Ira. Dah
cukup sempurna untuk diri aku.”
Terlepas keluhan berat dari celah bibir nipis Bahira
tatkala mendengar kata-kata itu.
“Sampai bila kau nak macam ni, Tariq? Merajuk
dengan kehidupan sampaikan kau terus berhenti kejar apa
yang dulunya kau sangat-sangat dambakan? Mana pergi orang
yang bercita-cita besar yang aku kenal dulu? Yang kononnya
nak buka firma arkitek sendiri tu?”
Buku ditutup.
“Aku masuk bilik dulu.”
Tariq bangun, lalu menonong ke bilik bersama buku
yang dibimbit di tangan kiri. Muka Bahira tak puas hati.
Direnungnya belakang Tariq geram.
“Hobi kau memang suka larikan diri, kan?”
Sindiran Bahira itu tak diendahkan.
No comments:
Post a Comment