KEMERIAHAN majlis perkahwinan yang
bakal berlangsung sudah mula terasa. Setiap ahli keluarga
yang dekat dan jauh hadir lebih awal. Dua pernikahan itu
dijadualkan akan berlangsung pada berlainan hari. Bermula
dengan pernikahan dan walimah di rumah ibu bapa Adeline.
Beberapa hari kemudian barulah walimah sebelah lelaki
diadakan serentak dengan walimah Afyra dan Naquib setelah
selesai pernikahan Afyra.
Pernikahan dan walimah sebelah keluarga Adeline
berjalan lancar seperti yang dirancang. Meriah. Namun
sebelum sempat majlis yang dijadualkan berlangsung di
sebelah keluarga Tan Sri Ariff, sesuatu yang besar melanda.
Di kala semua orang sedang sibuk, Afyra bergelut
dengan masalahnya sendiri. Dia perasan Naquib tidak dapat
dihubungi semenjak malam semalam. Berkali-kali dia cuba
menghubungi lelaki itu, langsung talian tidak bersambung.
Resah hatinya tidak tertahan. Dalam hati seperti ada sesuatu
yang tidak elok berlaku. Dia sudah seperti cacing kepanasan.
Cuba juga menghubungi nombor bapa Naquib. Sekadar
mahu tahu apa sudah berlaku kepada lelaki itu. Namun
panggilannya telah ditolak oleh orang di sebelah sana.
Afyra keluar dari kamarnya. Niatnya mahu ke rumah
Naquib. Namun di tangga, dia terpandangkan seorang lelaki
yang pernah ditemuinya beberapa minggu lalu sedang
bercakap dengan bapanya di muka pintu. Kaki Afyra terus
terpaku di situ. Untuk apa adik Naquib ke mari?
Afyra kembali mencari telefon di dalam beg
tangannya. Nombor lelaki itu didail lagi. Tidak berjaya. Kali
ini Afyra mendail nombor kedua milik lelaki itu. Entah apa
ajaibnya kali itu, talian bersambung. Afyra berpatah balik ke
kamarnya. Mahu menjauhi keriuhan orang untuk bercakap
dengan Naquib.
“Kenapa abang tutup telefon?” desak Afyra sudah
memuncak oleh keresahan.
“Telefon abang rosak,” jawab Naquib perlahan.
“Adik abang ada kat sini. Untuk apa?”
Naquib diam pula.
“Abang! Ada apa ni? Fira nak jumpa abang.” Suara
Afyra tidak lagi kedengaran lembut. Rasa seperti sedang putus
nyawanya dibuat oleh lelaki seorang ini. Diperbodohkan
begitu sahaja.
“Abang tak ada kat rumah sekarang ni. Abang ada
hal,” ucap Naquib rendah.
“Hal apa? Apa dah jadi ni? Fira tahu, ada sesuatu
yang abang sembunyikan daripada Fira. Cakaplah!” desak
Afyra makin meninggi nadanya.
“Ermm... Fakhri ada kat sana? Dia ada cakap apa-apa?”
Naquib berdeham seketika. Tidak tahu bagaimana mahu
dijelaskan. Dia lebih rela lari sahaja daripada berhadapan
dengan Afyra.
“Kenapa???” tanya Afyra dengan dada turun naik.
Nak menangis.
Naquib diam lagi di hujung sana. Payah mahu
membuka isi hatinya.
“Cakaplah, abang! Jangan diam aje. Abang nak
batalkan?” desak Afyra dengan debaran yang amat kuat
memalu dada.
“Ya.” Akhirnya Naquib mengaku juga.
Afyra terpaku. Hampir rebah seluruh jiwanya
mendengar pengakuan itu. Berkali-kali dia bertanya, Naquib
memilih untuk menjawabnya hari ini.
“Jadi kenapa abang tak berterus terang sebelum ni?”
tekan Afyra cuba menahan rasa sakit yang datang.
“Abang tak sampai hati,” jawab Naquib amat
perlahan.
“Abang nak malukan keluarga Fira! Apa Fira nak
jawab pada daddy?” ujar Afyra agak payah.
“Maafkan abang. Abang cuma minta masa sikit.”
“Sebelum ni Fira tanya, abang diam. Abang tak jawab
apa-apa! Kenapa baru hari ni cakap macam ni? Kad jemputan
dah edar, kau tahu tak??? Kau ingat aku ni tak ada maruah
ke???” jerit Afyra. Air matanya sudah berderai tanpa dapat
ditahan. Rasa mahu meraung saja saat ini.
“Abang terpaksa. Abang keliru sebelum ni. Abang
minta maaf. Abang tak berniat nak buat macam ni.”
“Maaf??? Senanglah kau bercakap. Kau ingat
perasaan aku ni boleh dipermainkan macam tu aje ke? Lelaki
tak guna! Pengecut!!!” pekik Afyra. Telefonnya terus dibanting
ke dinding. Berkecai.
Afyra menangis teresak-esak di atas katil. Sampainya
hati Naquib. Apa dia nak jawab kepada ibu dan bapanya?
“Kenapa ni, Fira?” Puan Sri Insyirah terus menerpa
ke arah si anak setelah membuka pintu. Pintu ditutup semula
bagi menyembunyikan kekalutan di dalam bilik itu.
“Fira, kenapa ni?” Puan Sri Insyirah berusaha
menarik bahu sang anak. Dia lihat Afyra menangis
bersungguh-sungguh. Tidak selalu anaknya berkelakuan
begini melainkan hatinya sudah teruk disakiti.
“Naquib...” Afyra menggeleng. Tidak mampu
meluahkan apa yang baru sahaja didengarinya tadi. Esakannya
semakin kuat berlagu.
“Kenapa dengan dia? Dia baik-baik aje, kan?” tanya
Puan Sri Insyirah ikut resah. Adakah apa yang bermain dalam
mindanya saat ini benar?
“Sampainya hati dia buat macam ni. Fira tak tahu
nak buat apa, mummy. Tolonglah Fira,” rintih Afyra.
“Kenapa? Pandang mummy. Jangan menangis!
Cakap apa yang berlaku?” tegas Puan Sri Insyirah. Wajah
anaknya itu diraup.
“Dia nak batalkan pernikahan,” rintih Afyra dengan
air mata lebat di pipi.
“Astaghfirullah...”
“Sebelum ni Fira dah tanya banyak kali. Dia hanya
diam! Fira tak akan maafkan dia sampai mati!!!” jerit Afyra
dalam tangisan.
Puan Sri Insyirah terpaku begitu sahaja. Mimpikah
dia saat ini? Apa harus dia buat? Bagaimana mahu dipujuk
anaknya ini? Bagaimana mahu menghadapi orang ramai?
‘Ya Allah...’ bisik hati Puan Sri Insyirah sendiri.
Sedih dalam hatinya tidak terkata memikirkan nasib anak
gadisnya ini.
“Sabar, sayang. Mummy pun tak tahu nak cakap
apa. Ya Allah...” keluh Puan Sri Insyirah. Anak itu terus
dipeluknya. Dibiarkan Afyra menangis semahu-mahunya.
“Apa salah Fira sampai dia buat Fira macam ni,
mummy?”
“Bukan salah Fira. Tapi kalau dah tak ada jodoh,
sampai depan tok kadi pun tak akan jadi. Sabarlah. Ini ujian
Allah,” pujuk Puan Sri Insyirah.
“Mummy...” sapaan seseorang dari muka pintu
segera menarik perhatian Puan Sri Insyirah. Rafael sedang
berdiri di celahan pintu itu.
“Daddy panggil Fira.”
Puan Sri Insyirah sekadar mengangguk. Pelukannya
dileraikan.
“Basuh muka. Turun bawah, ya? Kita bincang semula
tentang ni. Mummy nak Fira sabar banyak-banyak. Memang
kita malu. Tapi pasti ada hikmahnya semua ni jadi hari ni,”
ujar Puan Sri Insyirah lembut.
Afyra mengangguk. Air mata yang mencemari pipi
disekanya. Gelap dirasakan masa hadapannya saat ini. Namun
dia tahu, pasti akan ada jalan keluar yang akan kembali
menerangi hidupnya.
LELAKI TUA itu terpegun dalam keadaan fikirannya kosong.
Tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku saat ini. Yang
dia tahu keluarganya sudah dipermainkan oleh keluarga
Naquib. Sungguh mengejutkan mendengar pengakuan anak
muda itu.
“Maaf, kalau pak cik rasa saya ni biadab. Saya malu
pada pak cik. Dulu pak cik pernah tolong saya. Tapi ini yang
kami beri kepada pak cik.”
“Keluarga kamu mempermainkan keluarga pak cik.
Jadi kamu datang ke sini mahu mengatakan tentang idea gila
ni? Senangnya! Naquib enggan menikahi Afyra dan kamu
akan menggantikannya?” Kening Tan Sri Ariff mencerun
tajam. Dadanya turun naik menahan rasa mahu marah.
Fakhri tunduk. Tidak tahu apa yang mahu
dijawabnya. Lama mata Tan Sri Ariff memandang anak muda
itu. Berani sungguh anak ini datang ke sini berhadapan
dengannya. Seorang diri!
“Saya tahu pak cik marah. Tapi saya ikhlas.”
“Kamu ikhlas?” tanya Tan Sri Ariff.
“Maksud saya... saya tiada apa-apa niat buruk. Saya
hanya nak selamatkan maruah anak dan keluarga pak cik,”
luah Fakhri lembut. Bersungguh-sungguh.
“Daripada apa? Kita boleh batalkan saja pernikahan
ni. Kamu tak perlu buat macam ni.”
“Saya nak kahwin dengan anak pak cik.” Fakhri
berkata agak perlahan.
Lama mata Tan Sri Ariff merenung tampang anak
muda itu. Hairan dengan apa yang sedang berlaku sekarang
ini. Kerja ini memang gila!
“Saya tahu pak cik takkan terima saya. Saya tak
macam Naquib. Saya tak ada kerja tetap. Saya tak kaya. Tapi
saya tetap nak mencuba. Saya nak kahwin dengan anak pak
cik,” ujar Fakhri bersungguh-sungguh lagi.
“Kamu tahu pak cik akan buat laporan polis. Kami
akan tuntut ganti rugi pada keluarga kamu. Kamu jangan
fikir dengan berbuat begini, kami akan lupakan macam tu
aje.”
“Pak cik boleh saman sesiapa saja yang pak cik
mahu. Saya hanya nak kahwin dengan anak pak cik. Saya
tak akan pergi selagi pak cik tak beri jawapan,” ujar Fakhri
bersungguh-sungguh.
Tan Sri Ariff berdiam sambil terus merenung
tampang anak muda itu. Berani benar datang bertemu
dengannya dan berbicara begini.
“Daddy...”
Tan Sri Ariff menoleh ke belakang seketika. Fakhri
ikut memandang gadis itu. Kasihan. Bengkak matanya. Pasti
angkara abangnya.
“Duduklah,” suruh Tan Sri Ariff kepada anak dan
isterinya.
Afyra akur tanpa memandang lelaki asing itu. Malu
dengan apa yang berlaku. Puan Sri Insyirah duduk di sebelah
suaminya.
“Naquib telah memutuskan pertunangan kamu
dengan dia. Ayahnya pula menghantar lelaki ini sebagai
gantinya. Kamu masih ingat, beberapa hari sebelum
pernikahan Kak Iman, dia pernah ke sini dulu,” ujar Tan Sri
Ariff kepada anaknya.
Afyra memandang Fakhri dengan pandangan kosong.
Bila? Entahlah. Dia tidak mampu menggali semua itu dalam
keadaan fikiran yang amat kusut.
“Fakhri melamar kamu untuk dijadikan isteri, Fira.
Sekali gus dia yang akan menggantikan tempat Naquib
malam esok. Tujuannya untuk menutup malu dan dia tidak
mahu pihak kita membuat tuntutan di mahkamah.”
Afyra memandang lagi lelaki itu. Terkejut.
Tidak sangka Naquib akan memperlakukannya sehingga
begini sekali. Memutuskan pertunangan pada saat-saat
akhir. Kemudian menghantar calon suami yang lain bagi
mengelakkan kesalahan disabitkan kepada pihak mereka.
Fakhri tunduk seketika sebelum kembali memandang
gadis itu. Terkebil-kebil mata Afyra cuba mencerna apa yang
sedang dihadapkan kepadanya.
“Fira terima.”
Pantas Tan Sri Ariff memandang anaknya.
“Kamu bersungguh-sungguh?” tanya Tan Sri Ariff
terkejut.
Afyra mengangguk sambil meraup wajahnya.
Terdesak.
“Fira nak dia kahwin dengan Fira. Kita tak perlu
tuntut apa-apa dengan keluarga sebelah sana. Maaf. Fira tak
mampu nak berbincang apa-apa sekarang, daddy. Fira ikut
aje apa keputusan daddy.” Afyra berkata perlahan. Seterusnya
dia bangun semula.
Tan Sri Ariff hanya mampu memandang anaknya
berlalu begitu saja.
Jejak saja kaki di anak tangga, air mata Afyra jatuh
semula. Mengahwini lelaki asing itu bukan kerana dia
sukakan Fakhri. Tetapi dia mahu Naquib terus memandang
wajahnya. Dia mahu lelaki pengecut itu melihatnya selalu.
“Agak mustahil untuk pak cik terima lamaran kamu
macam tu saja. Kerana kami tak kenal kamu. Dan Afyra juga
membuat keputusan dalam keadaan fikirannya tidak tenang,”
ujar Tan Sri Ariff kepada Fakhri.
“Saya faham, pak cik.”
“Kamu dengan Naquib adik-beradik. Tak mustahil
sikap dan keperibadian kamu hampir sama, kan?” ucap Puan
Sri Insyirah pula.
“Tak. Mak cik silap. Saya dengan Naquib memiliki
ayah yang sama. Ibu berlainan. Sebenarnya antara saya dengan
dia, dia lebih bertuah. Dia ada keluarga yang sempurna. Saya
ni tak ubah macam anak pungut. Saya membesar di tempat
lain setelah ayah menceraikan ibu saya.” Fakhri tunduk
seketika.
“Hidup saya dan dia macam langit dengan bumi.
Saya tinggal di kampung bersama arwah mak dan arwah
nenek. Tapi mak saya dah lama meninggal. Saya dibesarkan
oleh nenek. Sayangnya nenek juga meninggal dunia ketika
saya berada di pusat tahanan juvana. Ketika itu saya berusia
17 tahun.”
“Hah?” Puan Sri Insyirah terus ternganga. Budak ini
bekas pesalah juvana???
“Ya. Saya pernah dipenjarakan di pusat tahanan
juvana selama dua tahun. Maafkan saya. Saya tak berniat nak
menipu. Lebih baik saya berterus terang tentang siapa diri
saya supaya pak cik dan mak cik tak mendengar cerita ini
daripada orang lain. Selebihnya terpulang kepada pak cik dan
mak cik sama ada nak terima saya atau tidak.”
Tan Sri Ariff terus memandang anak muda itu.
“Kesalahan apa?”
“Saya dituduh mencuri motor dan mencuri ternakan
orang ketika di kampung.”
Tan Sri Ariff dan Puan Sri Insyirah saling
berpandangan. Wajah Puan Sri Insyirah jelas sekali tidak
senang. Masakan dia akan membiarkan anaknya bernikah
dengan bekas banduan? Namun, lain yang ada dalam fikiran
Tan Sri Ariff.
“Kamu dengan Naquib tidak sama ibu?”
“Ya.”
Tan Sri Ariff mengangguk lagi sambil memandang
cincin sebentuk di tangannya itu. Fikirannya berpusar ligat.
Terutama sekali tentang kisah lalu Fakhri sebagai pesalah
juvana.
“Kamu pulanglah ke rumah. Beritahu kepada ayah
kamu, pertunangan sudah diputuskan. Tentang lamaran kamu
tadi, berikan kami masa untuk membuat pertimbangan.” Tan
Sri Ariff berkata perlahan.
“Terima kasih, pak cik.”
Tan Sri Ariff menghantar tetamu itu ke pintu pagar.
Hanya dia yang menemani anak itu. Namun, sebelum anak
muda itu berlalu, Tan Sri Ariff tiba-tiba menahan.
“Kamu kata tadi kamu tak ada kerja, kan?” tanya Tan
Sri Ariff. Masih ada yang dia tidak puas hati tentang anak ini.
“Saya tak ada kerja tetap, pak cik.” Fakhri menjawab
lembut.
“Jadi bagaimana kamu hidup di KL ni? Macam mana
kamu nak menyara anak pak cik?”
“Saya hanya katakan yang saya tiada kerja tetap. Tak
bermaksud saya tiada wang. Ada wang tak juga bermaksud
saya kaya. Apa yang saya ada, memadai untuk diri saya dan
bakal isteri saya,” ujar Fakhri.
“Tadi kamu kata... kamu miskin?” Kening Tan Sri
Ariff berkerut lagi.
“Saya miskin kasih sayang di atas dunia ni. Keluarga
saya tak terima saya. Ayah dan abang saya tak suka saya
kerana sejarah hidup saya tak macam orang lain. Saya bukan
orang yang hebat. Mak tiri saya bencikan saya kerana mak
saya dianggapnya perampas. Saya dah biasa menjadi anak
terbuang,” jawab Fakhri biasa.
“Kamu lain berbanding Naquib.”
“Serumpun tak semestinya serupa. Dalam serumpun
serai, ada yang elok dan tidak. Begitulah kami. Saya balik
dulu,” jawab Fakhri sambil tersenyum.
Tan Sri Ariff ikut tersenyum. Lama matanya
memandang anak muda itu. Lain. Memang lain sikap anak
muda itu.
Masuk ke dalam rumah, Tan Sri Ariff berdiri
memandang seisi rumah. Lama dia berfikir. Apa yang
harus dibuatnya esok? Dilihat semua anak dan menantu
memandang kepadanya. Menanti keputusannya. Pernah
dilakukan solat istikharah, meminta restu daripada Allah
untuk meneruskan majlis ini. Namun petunjuk yang telah
diterimanya membawa dia kepada hari ini.
“Umar, marilah.” Tan Sri Ariff memilih untuk
memanggil Umarul. Bukan sekadar Umarul, semua anak
lelakinya datang mendekat. Mahu tahu apa yang berlaku.
Masing-masing sudah terdengar desas-desus berita buruk itu.
“Ada apa ni, daddy? Macam ada masalah.” Rafael
terus bertanya. Tidak sabar mahu tahu.
“Ya, kita ada masalah yang sangat besar. Pertamanya,
pernikahan Afyra dengan Naquib esok akan dibatalkan. Kita
harus berhadapan dengan semua orang bersama aib. Tapi tak
mengapa. Kita bersabar sahaja. Ini ujian Allah. Jangan banyak
bertanya kepada Afyra dalam keadaan dia begini. Tidak mudah
untuk dia terima hakikat ini.”
Rafael terduduk di sofa. Tidak silaplah penilaiannya
selama ini.
“Keduanya?” tanya Mikhael masih tidak puas hati.
Kenapa wajah bapanya cerah sahaja? Tidak sedih pun?
“Kamu bekerja dengan jabatan agama. Daddy mahu
minta bantuan kamu. Dengan apa cara sekalipun, daddy
mahu kamu usahakan agar Afyra menikahi lelaki tadi tu.”
“Hah???” Mereka semua ternganga. Termasuk
Umarul.
“Tidak mungkin pengantin lelakinya boleh bertukar
dalam sekelip mata, kan? Kamu mesti usahakan sehingga
mereka dibenarkan bernikah malam esok,” ucap Tan Sri Ariff
serius.
Umarul terkebil-kebil memandang bapa mentuanya
berlalu. Kemudian mereka semua saling berpandangan.
“Siapa budak tadi tu?” tanya Umarul.
“Entah. Pak sanggup ke?” teka Mikhael.
“Tak mungkin daddy akan buat keputusan bodoh
macam tu. Tak wujud dalam kamus hidup daddy istilah pak
sanggup ni semua,” jawab Rafael pula. Cuba memahami apa
yang sedang dilakukan oleh bapanya. Adakah bapanya akan
memaksa Afyra menikahi lelaki asing itu? Jika benar begitu...
persoalannya, mengapa?
“KAMU JALAN kaki?” Kening Tan Sri Ariff berkerut melihat
anak muda itu termengah-mengah berjalan.
“Taklah, saya parkir kat bawah sana. Jalan kaki naik
ke atas. Penuh dah kat atas ni. Kereta ahli keluarga pak cik
aje dah penuh atas bukit ni,” ujar Fakhri sambil tersenyum.
Tan Sri Ariff mengangguk perlahan.
“Kamu dah sarapan pagi?”
“Dah. Pak cik panggil saya ke mari untuk bercakap
tentang lamaran saya semalam?”
“Bukan sekadar itu,” balas Tan Sri Ariff sambil
menggamit anak itu agar mengekorinya.
Fakhri terus berjalan mengekori lelaki tua itu. Lelaki
itu mengajak dia berbual-bual di gazebo. Katanya di dalam
penuh dengan orang. Agak bising. Rupa-rupanya sedikit
hidangan sudah tersedia menanti mereka. Menandakan
kedatangannya sedang dinantikan oleh tuan rumah.
Berdebar-debar dada Fakhri menanti kata putus lelaki itu.
“Makan, sambil tu kita berbual-bual.”
Fakhri patuh. Meriah juga makanan yang disediakan
tuan rumah. Membuatkan seleranya terbuka.
“Bagaimana kamu boleh begitu berani datang
bertemu pak cik dan menceritakan semuanya?”
“Maksud pak cik?” Pergerakan Fakhri terhenti
seketika.
“Kamu ceritakan yang kamu diupah oleh ayah kamu
untuk mengahwini Afyra. Kamu ceritakan yang kamu bekas
pesalah juvana yang ditahan atas kesalahan mencuri. Kamu
juga katakan yang kamu ikhlas mahu melamar Afyra untuk
diri kamu. Bukan kerana wang. Bukan juga semata-mata
untuk menyelamatkan keluarga kamu daripada tindakan
yang akan kami ambil.”
“Saya pernah dituduh mencuri, pak cik. Sakitnya
kita bila kebenaran itu disembunyikan. Saya menanggung
sesuatu yang tidak seharusnya saya tanggung. Dua tahun
saya dikurung tanpa sebab. Saya sedih. Tapi ada seseorang
yang mengajar saya, sentiasa berpegang kepada kebenaran.
Allah bersama orang yang sabar.”
Tan Sri Ariff mengangguk tanpa menyampuk.
Sengaja membiarkan anak itu meluahkan pendiriannya.
“Saya dah biasa dipandang rendah oleh orang lain
terutamanya ayah saya sendiri, pak cik. Saya hidup sendirian
selepas arwah mak dan arwah nenek dah tak ada. Saya orang
yang tak ada apa-apa untuk dibanggakan. Itu hakikat. Saya
tak mampu datang ke sini bercerita yang hebat-hebat tentang
diri saya kerana saya bukan orang yang hebat,” ujar Fakhri
lagi.
“Kenapa kamu nak mengahwini Afyra? Kamu tak
kenal dia. Kamu tak tahu sama ada kamu akan serasi atau
tidak dengan dia,” ucap Tan Sri Ariff.
“Dia tidak ingat saya. Saya selalu nampak dia makan
tengah hari bersama abang saya. Apabila saya mahukan
sesuatu, saya akan berusaha mencarinya. Afyra ada kembar
lelaki bernama Muhammad Farouqe. Afyra berkenalan
dengan Naquib ketika abang saya ke London hampir dua
tahun lalu. Dia sedang menuntut di sana waktu tu. Sekarang
Afyra bekerja dengan pak cik, kan? Anak kelima daripada
tujuh beradik.”
Kening Tan Sri Ariff terangkat.
“Bapa kamu beritahu?”
Fakhri ketawa kecil sambil menggeleng.
“Ayah saya hanya bercakap dengan saya apabila dia
perlukan sesuatu. Bukan ketika saya perlukan sesuatu, pak
cik. Saya dah terbiasa macam ni. Ada kebaikannya untuk
saya. Apa yang saya mahu, saya harus carinya sendiri dengan
kudrat yang ada. Tidak mahu menyusahkan dia.”
“Bagaimana seorang ayah boleh membenci anak
kandungnya sendiri? Pak cik tak faham.”
Fakhri diam pula sambil mencapai cawan. Air itu
diteguk lambat-lambat.
“Kalau diceritakan, panjang kisahnya. Dan itu aib
ibu saya, pak cik.”
“Tak mengapalah. Abaikan saja soalan pak cik tadi.”
“Saya kasihankan anak pak cik. Tapi saya melamar
dia bukan kerana kasihan. Tetapi saya kasihan melihat dia
disia-siakan. Saya lebih kasihan melihat manusia yang tidak
tahu bersyukur dengan apa yang sudah Allah bentangkan di
hadapan mata. Pak cik, ada ramai lagi anak muda macam saya,
kadang-kadang tidak kelihatan di mata orang kerana kami
tidak nampak hebat di mata sesetengah orang. Berbanding
sesetengah orang yang punya segalanya, mampu bertukar
ganti wanita dengan mudah. Kalau ada perempuan yang
sudi pandang orang macam saya, itu dah nasib baik. Kalau
ada perempuan yang sudi jadi isteri kepada lelaki macam
saya, dah lebih daripada seribu syukur, pak cik. Waktu saya
dapat tahu Naquib bertunang dengan anak pak cik dulu,
saya rasa Naquib bertuah. Wanita yang sukakan dia bukan
calang-calang perempuan. Kalau saya berada di tempat dia,
saya akan jaga anak pak cik baik-baik.”
Tan Sri Ariff diam, namun dia mengangguk sedikit.
“Tiada pekerjaan tetap, pak cik boleh suruh kamu
pergi cari sampai dapat. Malah pak cik boleh berikan kamu
pekerjaan kalau pak cik mahu. Tetapi mencari seorang
lelaki yang ada keperibadian dan akhlak yang baik itu tidak
semudah seperti kita pergi memohon kerja,” ujar Tan Sri Ariff
perlahan.
Fakhri tunduk seketika sebelum kembali
memandang lelaki tua itu.
“Pak cik ingin terima kamu seikhlas hati ke dalam
keluarga pak cik. Pak cik harap penilaian pak cik tentang diri
kamu benar. Pak cik percaya ada sebabnya mengapa kamu
tiba-tiba muncul di sini.”
Wajah Fakhri berubah sedikit mendengar kata-kata
orang tua itu.
“Pak cik terima lamaran saya?”
“Ya.” Tan Sri Ariff menjawab sepatah. Satu helaan
nafas panjang dilepaskan. Banyak dalam fikirannya perlu
diluahkan.
“Dengar apa yang pak cik akan katakan ini baik-baik.
Kamu hanya perlu ikut apa yang pak cik suruh. Selebihnya
terserah kepada kami,” ujar Tan Sri Ariff lagi.
“Ya, pak cik.” Fakhri memandang tepat ke arah lelaki
tua itu. Setiap apa yang diucapkan Tan Sri Ariff didengar
dengan teliti. Sesekali kepalanya dianggukkan tanda faham.
Sejam selepas itu, Fakhri berlalu dari situ.
Tan Sri Ariff masuk ke dalam rumah dengan senyum
senang.
“Daddy ni macam ada agenda aje?” tegur Imanina
hairan melihat gelagat bapanya. Berbual berdua dengan
tetamu di luar tanpa diketahui mereka apa isi perbualan.
Ibunya sudah memberi warning jangan sesiapa pun
menyibuk.
Tan Sri Ariff hanya tersenyum tanpa menjawab
soalan itu.
“Mana Afyra?” tanya Tan Sri Ariff kepada isterinya.
“Kat atas. Tak mahu keluar bilik langsung,” ujar
Puan Sri Insyirah sambil menggeleng. Susah benar hatinya
memikirkan anak gadisnya itu. Kasihan. Dia tahu Afyra
tertekan. Malu.
“Saya nak bercakap dengan dia,” ucap Tan Sri Ariff
lembut.
“Tolonglah pujuk dia. Saya tak tahu nak cakap apa
lagi. Dia asyik menangis. Saya susah hati,” ujar Puan Sri
Insyirah bersungguh-sungguh.
“Saya faham. Biar saya bercakap dengan dia,” balas
Tan Sri Ariff lembut.
Di atas, pintu kamar Afyra tertutup. Semenjak
semalam, anak itu tidak mahu bertemu dengan sesiapa.
“Fira, buka pintu ni.” Tan Sri Ariff bersuara dari
luar bersama ketukan. Tidak lama kemudian, pintu kamar
terbuka. Wajah Afyra terjengul. Kemerahan. Basah.
“Kamu menangis?” tanya Tan Sri Ariff hairan.
Afyra menggeleng. Pintu dibiarkan terbuka. Dia
kembali ke tempatnya tadi.
“Kamu mesti belajar terima hakikat ni, Fira. Kita
boleh saja pilih apa yang kita mahukan dalam hidup ni. Tapi
izin Allah itu perlu. Ada sebab kenapa kita semua ditimpa
ujian seperti ini.”
“Fira ni macam patung. Tak ada maruah, tak ada
harga! Disepak ke sana ke sini. Senang aje dia buat macam ni.
Dia tak fikir perasaan Fira. Sekejap nak, sekejap tak nak. Fira
dah tak tahu apa nak fikir sekarang,” ujar Afyra. Air matanya
berderai sekali lagi.
“Apa maksud kamu?” Tan Sri Ariff terus mendekati
anaknya.
Afyra diam. Tunduk.
“Apa yang kamu katakan tadi?” tanya Tan Sri Ariff,
lantas duduk di sebelah anaknya.
“Dia call. Minta maaf. Dia mengaku dah tersilap buat
keputusan. Dia minta pertunangan tidak diputuskan. Dia
akan datang malam ni. Fira tanya dia, apa sebenarnya yang
terjadi, dia tak nak beritahu. Fira tak puas hati!” ucap Afyra
bersungguh-sungguh.
Tan Sri Ariff terdiam. Lama. Dalam dada bergelojak
rasa nak marah. Seketika kemudian dia menggeleng.
“Kamu bernikah dengan keizinan daddy sebagai
bapa kamu. Kamu tak dapat lagi pilih calon suami dengan
kehendak kamu sendiri. Beri telefon kamu tu.”
“Daddy nak buat apa?” tanya Afyra hairan. Telefon
yang sudah retak skrinnya itu diberikan juga kepada si bapa.
“Dengar sini baik-baik. Kamu bernikah bukan kerana
kamu mencintai seseorang. Tetapi kamu bernikah kerana
Allah telah membawa seorang lelaki yang baik kepada kamu.
Jangan banyak berfikir. Bertawakal saja kepada Allah. Allah
akan membawa kamu ke jalan yang benar. Jauh daripada
kekusutan kamu sekarang,” ucap Tan Sri Ariff lantas bangun.
Telefon itu dibawanya pergi.
Afyra hanya terkebil-kebil memandang. Faham kini.
Bapanya sedang memisahkan dia dari dunia luar.
No comments:
Post a Comment