DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 16 January 2017

Oh Boy! - Bab 4

“KALAU kau serius, abah cabar kau berterus
terang dengan mak kau tentang apa yang kau dah buat selama
ni. Minta maaf dengan dia sebab kau dah banyak kali buat dia
susah hati.” Ismail berpeluk tubuh di hadapan Hero.
Hero mengeluh sebaik sahaja mendengar syarat
bapa tirinya.
“Tak berani, kan?” soal Ismail sambil tersenyum
sinis.
“Duduk ‘dalam’ dululah sampai kau dapat kesedaran.”
Ismail bersuara tidak lama kemudian.
“Kejap... kejap... kejap! Fatiha punya pasal, bolehlah.”
Bukan sebab Fatiha pun sebenarnya, tapi sebab dia dicabar.
Dia pantang dicabar, dan... dia tak mahu bermalam di lokap!
“Tak kisah kalau mak tak nak cakap dengan kau?”
soal Ismail lagi, giat nak menyakat. Walaupun Hero ni
nakalnya terlajak, tapi dia akan kalah dengan ibunya.
“Takkan lama...” jawab Hero yakin. Amarah ibunya
takkan lama. Sama macam tempoh dia dengar nasihat orang.
Nanti dia buat balik perangai buruknya.
“So?” Ismail angkat kening.
“Deal!” Hero melompat turun dari meja yang dia
duduk tadi.
“Dan, abah betul-betul nak tengok kau berubah. Kali
ni abah betul-betul maksudkannya. Kalau tak ada juga, abah
minta maaf sangat-sangat. Abah akan biarkan aje kau kat
dalam.” Suara Ismail bertukar serius.
“Baik, Tuan!” Hero menabik bapanya.
“No more rosakkan anak dara orang...” Jari telunjuk
Ismail betul-betul di depan muka anaknya.
Hero julingkan mata ke atas.
“Keringlah aku nanti,” gurau Hero.
Mata Ismail membesar, serentak itu tangannya
mencepuk belakang kepala si anak. Kuat.
Hero tergelak besar. Belakang kepala digosok-gosok.
“Kau duduk dalam jel aje. Apa punya penyakit
mental yang kau ada ni, Hero? Jadi satu kepuasan ek rosakkan
anak dara orang? Nanti orang cap kau sebagai perogol, baru
padan dengan muka! Duduklah kau kat jel bertahun-tahun.”
Kadang-kadang Ismail tak sangka, isterinya yang sebaik itu
dikurniakan anak setan seperti Hero.
“Alah... aku main-main aje pun. Serius sangat tu nak
ke mana, bah? Aku tak pernah rosakkan anak dara oranglah.
Diaorang dah rosak pun...” Hero merungut. Dia bergurau
aje pun. Itu pun Ismail nak ambil serius. Takkan matilah dia
kalau tak dapat sentuh perempuan, tapi dia akan mati kalau
tak dapat bebas dari lokap itu!
“Jangan jadi tikus membaiki labu. Kau ni dah macam
orang tak ada agama. Kau nak jadi macam abah kandung kau
ke?” soal Ismail.
Berubah air muka Hero sebaik saja mendengar
perkataan abah kandung itu. Kadang-kadang dia rasa macam
Ismail itu abah kandungnya.
“Aku takde abah yang macam tu,” rengusnya.
“Clearly perangai kau memang menunjukkan kau
nak jadi macam dia.” Semakin tajam kata-kata Ismail itu
membuatkan Hero naik angin.
“Aku tak main dadah! Aku tak pukul perempuan! Aku
tak sama macam dia!” Dada Hero turun naik. Mengherdik
orang tua bukanlah perangainya, cuma dia geram sangat!
“Tapi keluar masuk jel... menyusahkan hati mak
kau... tak ada tanggungjawab langsung dalam diri... sama
tak, sekarang?” Ismail terpaksa gunakan cara itu. Dulu dia
bimbang Hero bakal goyah dengan kata-katanya itu. Sekarang
tak lagi. Hero perlu sedar.
Hero diam lama. Keningnya berkerut marah. Dia tak
marahkan Ismail. Dia marah kepada dirinya sendiri. Dia sedar
yang dia banyak menyusahkan ibunya, tapi dia tetap juga tak
nak berubah.
Itu cara dia senangkan hati sendiri. Bukannya dia
nak cari perhatian pun. Kalau dulu, ya. Tapi sekarang tidak
lagi. Perlakuan buruknya dah menjadi satu rutin yang dia tak
boleh nak ubah.
Ismail mengeluh. Dia tak selesa melihatkan riak
sedih Hero. Hero tak pernah kelihatan sesedih itu. Hero yang
dia kenal sentiasa tersenyum megah. Bahu Hero disentuh.
“Abah minta maaf.” Tersedar keterlanjurannya.
“Aku bencikan dia, bah. Kenapa tak abah aje yang
jadi abah kandung aku sejak pertama kali aku celik mata
dulu?” soal Hero. Penuh terkilan suaranya.
Ismail mengeluh. Rasa terharu, sedih, bersalah,
semuanya bercampur menjadi satu.
“Takdir...” jawab Ismail sepatah.
Hero betul-betul sanjung tinggi kepada Ismail.
Cita-citanya sewaktu kecil dulu ingin menjadi seorang
anggota polis tetapi diketawakan oleh bapa kandungnya
sendiri.
‘Kau nak buat apa jadi polis? Nak terima
rasuah? Nak tangkap aku? Jadi polis ni
indah khabar aje dari rupa.’
Terngiang-ngiang lagi ejekan bapa kandungnya yang
sedang berkhayal dulu.
“Semua orang ada pengalaman yang tak serupa. Ada
yang celik mata tak ada mak ayah langsung. Ada yang tak ada
mak. Kau ada dua-dua, walaupun bapak kau tak macam bapak
orang lain... tapi kau patut belajar dari situ, Hero. Jangan jadi
macam dia. Kau patut jadi pelindung untuk adik-adik dan
mak kau.” Ismail berkata.
Hero hanya diam. Ismail turut membisu. Dia tahu
Hero bukannya suka dipujuk. Jadi mereka berdua hanya
mendiamkan diri.
“Aku tak retilah, bah...” Tiba-tiba Hero bersuara.
Ismail angkat kening.
“Apa?”
“Berubah. Dah banyak kali aku try. Tapi tak ada yang
best pun jadi baik. Balik-balik, orang tetap cap aku budak
jahat,” kata-kata Hero itu membuatkan Ismail tersenyum.
Jadi, Hero ada fikirkannya?
“Kalau kau berubah semata-mata nak orang pandang
mulia dekat kau, memang susahlah. Niat tu kena betul. Baru
semuanya jadi lancar. Macam mana kau berubah dari baik ke
jahat waktu kau kecik dulu, macam itu jugalah kau kena ubah
perangai dari jahat ke baik. Abah tahu, kau tak terus berubah
jadi jahat sekelip mata. Kau mesti mula buat nakal dengan
rasa teragak-agak. Dalam masa yang sama, kau tetap nak try.
Bila dah try sekali, kau buat kali kedua. Sampai last-last rasa
teragak-agak kau tu hilang.”
“Macam itu jugalah nak berubah jadi baik. Mula-mula
rasa tak yakin. Bila dah satu demi satu kebaikan yang kau
buat, last-last benda tu jadi rutin. Dan bila dah jadi rutin, kau
nak buat jahat pun kau rasa serba salah. Kalau kau expect
yang kau boleh berubah mendadak, memang taklah. Manusia
bukannya boleh berubah dalam sekelip mata,” selamba Ismail
berkata-kata.
Hero tak nafikan kata-kata Ismail itu. Memang betul.
Pada awalnya dulu, dia mula menjadi budak nakal dengan
cubaan pertama memonteng sekolah. Kali kedua, rasa takut
masih kuat. Kali ketiga, dah berkurangan. Rasa seronok sebab
dapat menakal dengan kawan-kawan sebaya. Apabila dah
selalu buat, rasa takut, ragu-ragu semua dah tak ada. Malah,
buat nakal menjadi satu kebanggaan pula baginya.
“Aku cubalah.”
“Attaboy!” Ismail menggosok-gosok kepala Hero
bagaikan menggosok kepala budak tadika.
Hero tersenyum dengan perlakuan Ismail. Perlakuan
penuh kasih itulah yang membuatkan dia semakin sayangkan
bapa tirinya itu.
“Tapi aku memang kena beritahu mak ke pasal aku
kat sini?” soal Hero tiba-tiba.
Ismail sengih. Tak sangka Hero masih fikirkan
tentang itu.
“Mestilah!”
“Matilah aku...” Hero garu telinga. Dia sudah tahu
nasibnya nanti.

“INGAT! BENDA yang paling utama, jangan pengaruhi orang
lain dah. Kalau rasa nak buat jahat sekalipun, jangan ajak
orang lain. Kau buatlah jahat sorang-sorang kalau dah gian
sangat,” pesan Ismail sekali lagi. Dia duduk di tempat duduk
tetamu manakala Hero duduk di kerusi kerjanya.
“Ya abah, aku tahu. Lagi?” soal Hero selepas siap
mencatat pesanan itu di atas kertas kosong. Dia akan buktikan
yang dia boleh berubah!
“No more judi. Strictly no judi! Jangan main
mesin, jangan berjudi secara online. Jangan ingat abah tak
tahu tentang judi secara online tu. Sekali abah dapat tahu
kau terlibat lagi dengan judi, memang siap! Abah takkan
teragak-agak mengadu dekat mak dan abah juga akan biarkan
kau dalam lokap sampai masa saja yang menentukan bila
kau keluar dari lokap tu.” Serius sekali wajah Ismail ketika
membuat ‘perjanjian’ itu.
“Yalah...”
“Jangan main terup, lepak sampai pukul lima enam
pagi. Nak melepak biasa, abah tak kisah. Kau ada ramai
kawan. Tapi tolong ya, jangan berjudi.” Ismail tahu yang
dia kena pesan banyak kali kepada Hero sebab jenis Hero ni,
masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Degil!
“Ooooo... key...” leret Hero sambil menulisnya.
“No more naik trak polis. Atas alasan apa sekalipun.
No more!” tekan Ismail.
Hero sengih. Hulu pen digigit. Ismail tenung dia
dengan kening terangkat, tunggu jawapan daripada si anak.
Hero tergelak melihat reaksi si bapa.
“Ya, no more. Lagi?”
“No more merempit. Paling laju kau boleh pecut,
60km/j aje.” Ismail beri syarat.
“Aha.” Hero angguk bagaikan ia big yes buat si bapa
sedangkan hati memberikan big no terhadap syarat itu.
‘Tak boleh lebih daripada 60km/j? Are you kidding me,
bah? Abah ingat aku ni budak-budak ke?’ Dia mempersoalkan
dalam hati. Dia dah biasa bawa laju sampai nak pecah meter
motornya. Mustahil untuk dia kekalkan 60km/j. 60km/j
untuk budak sekolah saja!
“No more, bergaduh,” sambung Ismail.
“Alright...” Itu susah juga. Susah sebab biasanya
orang lain yang suka cari gaduh dengan dia. Dia, dia hanya
sibuk dengan dirinya sendiri. Bila orang usik, barulah
pergaduhan terjadi. Selagi orang tak usik, dia okey saja.
“Strictly no dadah or alcohol.”
“Abah pun tahu, aku tak sentuh benda tu.” Kening
Hero berkerut, marah apabila dititipkan pesanan sebegitu.
Dia tak sama macam arwah abahnya!
“Tulis!” arah Ismail garang.
Hero mengangguk dan menulisnya.
“Stay out of trouble,” pesan Ismail sesudah Hero
habis menulisnya.
“What kind of trouble?” Kening Hero terangkat.
Hero dengan masalah, macam kawan rapat. Kamceng
sangat. Jadi dia nak tahu juga jenis-jenis masalah yang dia tak
boleh terlibat. Kategori A ke? B ke? C ke? A paling berat. B
biasa-biasa. C paling ringan, macam kacau anak dara orang
dekat tepi jalan, berakhir dengan masing-masing mengadu
dekat mak bapak masing-masing dan mak bapak mereka pula
mengadu dekat mak bapak dia.
“Any kind,” tekan Ismail.
Hero menceberkan bibirnya. Bosan sungguh kalau
hidup tak ada masalah. Terlalu selamat dan tak mencabar
langsung!
“Promise me, son.” Ismail sudah mula keluarkan
suara ala-ala DJ apabila anaknya hanya diam seolah-olah tak
mahu berjanji tentang tidak menimbulkan masalah itu.
“Okey. Tapi aku pun ada syarat, bah.” Hero letakkan
pen di celah telinganya.
“Apa dia?”
“Aku nak mengurat Fatiha sampai dapat.” Hero
berkata dengan azam baru.
“Dan bila dah dapat?” Kening Ismail terangkat
sebelah. Takkanlah itu syaratnya? Dia kenal Hero.
“Kalau dialah orangnya, aku akan masuk meminang
dia. Syarat aku, aku nak abah tolong wakilkan.”
Kata-kata Hero itu membuatkan Ismail tersentak.
Selama ini Hero sedang mencari ke?
“Apa kau maksudkan dengan kalau dialah orangnya?”
“Yang boleh bertahan dengan aku, dalam masa
yang sama, mampu mengubah aku.” Hero tongkat dagunya
dengan tangan kanan.
“Oh, I don’t feel like she’s the one. Maksud abah, yang
boleh bertahan dengan kau,” ujar Ismail penuh sarkastik.
Sejujurnya, siapa yang boleh bertahan dengan Hero? Dia
sendiri pun rasa macam nak pecah kepala otak.
“We just don’t know it yet. Lagipun, abah jugak yang
suruh aku serius dalam hidup. Why not I start with her?”
Hero angkat bahu.
“Hero, kau tahu dia tak suka kau, kan?” Ismail
tergelak.
“Dia akan suka. Aku akan buat dia suka kat aku. Itu
janji aku. Aku kan Hero?” Hero menyedapkan hatinya sendiri.
“Okey. Abah nak tengok setakat mana kau boleh jadi
‘Hero’. Kalau tak berjaya, lepas ni abah panggil kau Zero.”
“We’ll see. Dan, abah...” jeda Hero.
“Ya...”
“Selain pada ni, aku masih boleh jadi diri aku, kan?”
soal Hero sambil menunjukkan kertas yang ditulisnya tadi.
Ismail pada mulanya hendak membantah, sebab
kalau Hero jadi dirinya, bermakna dia akan jadi nakal dan
kacau orang dengan perangai tiga sukunya itu. Tapi itu lebih
baik daripada Hero buat masalah besar yang melibatkan
orang lain. Lagipun, Hero bukannya boleh berubah secara
mendadak.
“Jangan melampau sampai melibatkan orang lain
dan polis. Abah dah pesan, jauhkan diri kau daripada masalah.
Abah tahu susah untuk kau ubah sendiri, tapi cuba, okey?”
pesan Ismail.
Hero angguk.
“Okey.”
“Oh ya, satu lagi!” Ismail berdeham.
“Apa?”
“Tolong kerja. Abah pegang kata-kata Hero tadi.
Kerja sebagai pump boy pun Hero sanggup, kan? Why not?
Atau pergi Tong Fatt atau Mr. DIY. They are hiring,” suruh
Ismail.
Hero angguk. Dia akan cuba nasib di Mr. DIY dan
Tong Fatt terlebih dahulu sebab di situ ada air-cond! Hehehe...
Atau mungkin... 7 Eleven!

No comments:

Post a Comment