DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 16 January 2017

Oh Boy! - Bab 8

“TU kereta Ti’ah, kan?” soal Hero.
Izzul mula kelam-kabut. Fatiha tak boleh tahu yang
dia bekerja sebagai pump boy. Dia takut diketawakan oleh
Fatiha sebagaimana dia ketawakan Hero baru-baru ini.
“Jangan cakap aku kerja sini.” Sempat lagi dia
berpesan sebelum menghilangkan diri sepenuhnya dari situ.
Terkekeh-kekeh Hero ketawakan Izzul. Ceh! Jenis
takut adik ni yang lucu. Kalau dia? Adik-adiknya sering
menjadi mangsa buli.
“Hai sayang, isi minyak berapa puluh?” tegur Hero
sebaik sahaja kereta Fatiha berhenti di pam nombor 8.
“Huh?” Fatiha nampak terkejut melihat wajah Hero.
Kenapalah muka lelaki ini lagi yang dia perlu hadap? Melihat
saja pada pakaian lelaki itu, dia tersenyum sinis. Mesti baru
kerja. Sebelum ni tak pernah nampak pun Hero dekat situ.
Baju kerja pun tak pakai dengan kemas. Sakit hati Fatiha
dengan perangai Hero yang tak berdisiplin itu.
“Nak isi berapa?”
“20,” jawab Fatiha ringkas. Kalau Hero bekerja di
sini, lebih baik dia isi minyak RM20. Sekurang-kurangnya,
tak perlu dia nak hadap muka Hero setiap hari.
“Okey. Bagi abang duit.”
“Please stop...” baru lagi nak membebel, Hero
menyampuk.
“Bagi abang duit cepat, abang pergi bayarkan.” Hero
menadah tangan.
Fatiha mengeluh. Kenapa lelaki ini boleh bekerja di
tempat yang selalu dia isi minyak? Lambat-lambat diserahkan
duit RM20 kepada Hero tanpa memandang wajah lelaki itu.
Hero tersenyum. Tak apa, aku akan buat sampai kau
pandang muka aku.
“Buka tank, sayang.” Cermin tingkap kereta diketuk
tidak lama kemudian. Fatiha mendengus. Meluat sungguh
dia dengar suara lelaki itu. Dia membuka tangki minyak
untuk Hero.
“Dari mana ni? Bahaya balik sorang-sorang waktu
malam,” ujar Hero.
Fatiha mencemik. Meluat dengan bebelan Hero. Dia
pergi melepak makan aje pun dengan Aina dekat Pahang Club
tadi.
Hero membuat kerjanya. Nampak gayanya dia kena
gandakan usaha untuk mengurat Fatiha. Fatiha tak layan dia
langsung. Cis!
Lambat-lambat Hero menutup tangki minyak
setelah selesai tugasnya. Kalaulah dia boleh berlama dengan
gadis itu, kan bagus?
“Datang lagi.” Lebar senyumannya dibalas dengan
jelingan tajam oleh Fatiha. Tiada langsung ucapan terima
kasih daripada gadis itu.
“Sama-sama!” sindir Hero bersama senyuman yang
semakin melebar. Sukanya dia melihat jelingan maut Fatiha
itu. Pemergian Fatiha hanya dihantar dengan senyuman
angaunya. Kenapalah begitu payah hendak memikat orang
yang dia betul-betul suka? Sebelum ni, kalau dia mengurat
perempuan lain sekadar suka-suka, mudah benar dia dapat.
Tidak lama kemudian, muncul semula Izzul bersama
keluhan leganya. Nasib baik! Dari jauh dia tertilik-tilik
adiknya sendiri.
“Izzul,” panggil Hero. Matanya masih memandang
ke arah jalan yang Fatiha tinggalkan tadi.
“Apa?”
“Berapa hantaran adik kau?” soalan itu membuatkan
Izzul tersedak liur sendiri. Serius ke Hero berfikir hendak
memiliki adiknya secara mutlak? Memang dah angau sangat
ke si Hero ni? Dari gaya Hero, dia fikir Hero sekadar suka-suka
nak mengurat.
“Jangan nak mimpilah!” Orang gila pun belum tentu
sanggup beradik iparkan Hero. Dia tak nak merisikokan
hidup adiknya bernikah dengan lelaki seperti Hero. Tidak
sama sekali!
“Serius ni. Berapa?” Muka Hero memang serius. Dan
dia memang sedang serius.
“Tiga puluh ribu.” Izzul menjawab selamba. Padan
muka! Memang dia cukup yakin yang Hero takkan mampu
cari duit sebanyak 30 ribu. Hero bukannya bekerja mewah
pun. Nak kata Hero rajin? Selisih. Tadi pun asyik memonteng
aje dalam tandas, hisap rokok.
“Mahal benar!” Membuntang mata Hero.
“Sebab tak nak kau masuk meminang,” jujur Izzul
menjawab.
Hero tersengih. Dia tak terasa pun. Dah biasa kena
kecam, jadi kata-kata Izzul itu hanya dianggap sebagai sawang
di tepi dinding. Bila-bila boleh dibuang.
“Tak apa. Tiga puluh ribu ek? Aku tabur depan muka
kau sambil culik adik kau naik kuda nanti.” Hero buat gaya
menabur duit di depan muka Izzul.
Serentak itu Izzul meludah ke tanah. Menyampah
dia dengan Hero. Berlagak. Cakap besar. Macamlah kerja
mewah.
“Kau ingat kau koboi zaman Clint Eastwood?” Izzul
angkat sebelah kening.
“Tak kisahlah. Asalkan aku dapat dia.” Hero berpeluk
tubuh. Wajah cantik Fatiha menyapa mindanya. Memang dia
akan jadikan Fatiha itu aweknya. Atau mungkin, isteri. Siapa
tahu?
“Tiga puluh ribu duit halal. Tak nak duit menang
judi ke menang nombor.” Izzul menambah syarat.
“Alah...” Hero tumbuk tapak tangan. Baru dia rasa
nak curi-curi main nombor ekor.
“Bye bye, adik ipar tak jadi.” Izzul ketawa mengekek
sambil berlalu dari situ. Suka dia mengejek Hero. Dia rasa
Hero tu sekadar bergurau saja dengannya. Takkanlah Hero
betul-betul suka kepada Fatiha?
“Tak ada sesiapa dapat halang aku untuk dapatkan
apa aku nak,” kata Hero penuh azam. Dah nama pun Hairul
Azam. Dia sukakan cabaran.
“TAK BALIK lagi anak kesayangan awak tu, bang?” Badariah
membebel. Sudah jam sepuluh empat puluh malam. Apa Hero
buat di luar sana? Hero suka buat dia naik angin. Semalam
katanya mencari kerja. Tapi senyap. Hari ni takkanlah
mencari kerja lagi? Sampai ke malam pula tu.
“Alah... adalah benda yang dia buat tu.” Ismail tak
nak Badariah terlalu memikirkan Hero. Badariah tu ada sakit
darah tinggi. Nanti jadi stres pula. Mulalah tekanan darah
melambung naik.
“Saya tak patut percayakan dia bila dia cakap dia nak
berubah.” Badariah mendengus.
Ismail alih mata dari TV ke isterinya di sisi.
“Janganlah terus buat hukuman macam tu. Mana
tahu dia sibuk cari kerja ke?” Ismail masih berfikiran positif.
Pagi tadi, bersungguh-sungguh Hero bangkit
daripada tidur. Katanya nak cari kerja. Macam serius saja dia.
Kalau Hero nak menakal, Hero takkan bangun pagi-pagi. Dia
kenal sangat Hero tu bagaimana orangnya. Waktu Hero celik
mata biasanya pada waktu matahari dah nak terbenam.
“Cari kerja? Pukul sebelas malam?” Badariah masih
mencari poin.
“Ya, sebab pagi tadi dia nak cari kerja katanya.”
“Dari pagi, sampai ke malam tak balik-balik? Entah
apa yang dia makan pun kita tak tahu. Cari kerja apa sampai
tahap macam tu? Dari semalam pulak tu dia bagi alasan
cari kerja,” rengus Badariah. Entah-entah dia kena tipu
hidup-hidup saja dengan anaknya yang dipanggil Hero itu.
Perangai memang hero sangat!
“Kadang-kadang kerja ni, kita apply hari ni, tak
dapat hari ni, Badar. Mungkin semalam dia tak dapat kerja,
hari ni dia cari tempat lain pulak.”
“Sampai tak balik makan tu yang saya geram!
Letih-letih masakkan nasi untuk dia. Dia tu bukannya reti
nak jaga perut sendiri. Kalau sakit ke apa nanti, saya juga
yang susah hati,” Badar mendengus. Dia tak boleh kalau tak
lihat muka anak jantannya sehari di rumah. Mulalah risau.
Nak-nak anak jantannya itu kusmangat perangainya. Kalau
terjadi apa-apa kepada Hero, macam mana?
“Dia makan dekat rumah buah hati dialah tu.” Ismail
menyedapkan hati Badariah. Dalam garang Badariah, dia
risaukan juga anaknya. Apabila jumpa asyik nak berperang.
Tapi apabila tak bertemu muka, asyik bertanya tentang Hero.
Tersenyum Ismail memikirkannya.
“Budak tu bukannya sukakan dia pun,” cemik
Badariah.
“Dan, awak risau?” soal Ismail.
“Mestilah. Anak jantan kesayangan awak tu suka
buat sesuatu di luar jangkaan. Kalau dia rasa tercabar sebab
budak Fatiha tu tak sukakan dia nanti, macam mana? Buatnya
dia buat sesuatu yang tak tercapai dek akal... ha, apa kita nak
jawab dengan mak ayah Fatiha tu?”
“Ayahnya dah tak ada,” Ismail bersuara.
“Apa nak dijawab dengan ibunya?” Badariah
membuat pembetulan. Nadanya masih sama. Risau.
“Kita doakan ajelah yang baik-baik.”
“Hero ni bang... saya tak rasa dia serius pun nak
berubah.” Badariah membebel lagi. Mata pandang ke jam
dinding, kemudian ke luar rumah. Hero tak ada lagi. Letih
sungguh nak kena tunggu. Hero bukannya reti nak cakap
sama ada dia balik lambat atau cepat, balik atau tidak.
Menyusahkan hati!
“Dia akan berubah. Cuma tunggu masa,” Ismail
masih membela Hero.
“Dia dah besar! Nak berubah macam mana? Rasanya
macam terlewat sungguh. Dia lambat matang.”
“Saya percaya Hero akan berubah. Jangan ragui dia.
Kita sepatutnya beri sokongan dekat dia. Jangan teragakagak.
Nanti dia sendiri pun rasa teragak-agak nak berubah
sebab apa jua yang dibuatnya, kita pertikaikan. Orang yang
nak berubah ni Badar... kita kena beri dia masa juga. Jangan
terlalu mendesak dan jangan pertikaikan. Setiap manusia
akan dapat hidayah daripada Allah.” Ismail mula membuka
kitabnya.
“Yalah... tapi dia tu macam tak dapat-dapat pun
hidayah-Nya.”
“Hidayah tu sebahagian daripada rezeki Allah,
Badar. Setiap orang berbeza waktu mendapat hidayah
masing-masing. Rezeki pun macam tu. Ada yang sekelip mata
aje, ada yang makan masa bertahun, ada yang berpuluh-puluh
tahun. Awak tak boleh pertikaikan semua tu. Buat masa
sekarang, kita beri sokongan dan dorongan buat dia. Dia
masih lost tu. Jangan terlalu mendesak, nanti dia jadi nakal
balik, awak juga yang sakit kepala.”
Badariah terdiam mendengar ceramah percuma
suaminya. Kadang-kadang dia tak sangka yang Ismail itu
begitu penyabar orangnya. Kalau lelaki lain, beranak tirikan
Hero, entah-entah dah lama dia diceraikan disebabkan tak
tahan dengan perangai anak tiri yang macam setan itu. Ismail
pula, menyayangi Hero melebihi anak kandungnya sendiri
yang tinggal bersama bekas isterinya.
PULANG DARI kerja, Hero singgah di Kedai Simpang Tiga
apabila melihat rakan-rakannya ada melepak di situ. Mereka
ketawa mengekek sebaik sahaja melihat pakaian Hero. Hero
menarik kerusi kosong di meja sebelah, lantas diletakkan di
meja rakan-rakannya. Dia duduk di situ melepaskan lelah.
“Apa benda ni Hero?” Baju Hero ditarik Kudin yang
masih mengekek itu. Tak sangka Hero akan bekerja. Kerja
Petron pula tu!
“Baju kerja akulah. Dahlah, jangan gelak sangat.
Takde benda yang lucu pun.” Hero bengang. Menyesal dia tak
tanggal dulu baju itu tadi. Tak sangka dia jadi bahan jenaka
rakan-rakannya. Mentang-mentanglah masing-masing tak
bekerja.
“Kuat bau minyak!” tegur Eddy pula dengan hidung
yang dikembangkan. Dia mendekatkan badannya pada Hero
untuk menghidu.
“Minyak tumpah,” jawab Hero pendek. Air pun dia
tak pesan. Dia main sauk saja air sesiapa yang ada di atas meja
itu. Itu untungnya brotherhood.
“Yalah tu. Entah-entah kau dah layan hidu bau gas.”
Eddy mengejek.
“Betullah tu. Sambil-sambil,” jawab Hero acuh tak
acuh.
Baju kemeja kerjanya ditanggalkan selamba dan
yang tinggal hanyalah t-shirt putih Pagoda pada badannya.
Baju kerjanya digumpal sebelum diletakkan ke atas meja.
Sebab baju itulah dia diejek rakan-rakannya. Salah ke dia
kerja Petron? Huh! Nanti kalau rakan-rakannya itu datang ke
tempat kerjanya, dia nak sumbat nozzle minyak tu ke dalam
mulut masing-masing biar ‘sekolah’ sikit!
“Eh, baru-baru ni macam mana kau boleh lepas?”
soal Jemi, rakan judi Hero dulu. Jemi terlepas sebab dia lari
dulu. Hero pula, tak kisah langsung apabila ditinggalkan. Dia
yang suruh rakan-rakannya cabut lari.
“Haah, macam mana boleh lepas?” Kudin pula
bersuara. Pelik juga dia apabila tengok Hero. Siap dengan
baju kerja lagi. Atau dia tertinggal beberapa bulan? Manalah
tahu kut-kut dia kena sorok dek bunian ke? Takkanlah Hero
boleh terus keluar dari lokap dan mula bekerja dalam masa
beberapa hari saja. Ajaib!
“Macam tak kenal aku.” Hero berkata dengan
lagaknya.
“Abah dia la...” Eddy menggumam dengan rokok
yang tersepit di bibir.
“Sekalipun abah dia tolong, cepat pulak dapat kerja.”
Jemi yang berfikiran jauh sedikit berbanding mereka yang
lain itu berkata lagi.
“Aku minta kerja semalam, hari ni terus dapat.
Hari ni hari first aku.” Hero menceber. Takkanlah nak kena
cerita satu per satu. Tapi kepada emak dan abahnya, tidak
diceritakan pula tentang dia dah dapat kerja dari semalam.
Dia beri alasan hendak mencari kerja sedangkan dia sudah
boleh mula bekerja. Sengaja nak buat surprise.
Hero menarik rokok dari bibir Eddy lantas dihisapnya.
Mereka dah biasa berkongsi rokok pun sebelum ni. Selepas
melepaskan beberapa kepulan asap, Hero memulangkan
semula rokok yang masih menyala itu kepada Eddy.
“Alah, sayang... newbielah ni ek? Mesti penat, kan?
Alololo...” Eddy gosok-gosok pipi Hero, melayan rakan
karibnya itu bagaikan dia melayan seorang anak kecil.
Hero menepis tangan Eddy dengan rengusan kasar.
Bengkak hatinya diejek begitu. Dia mencarut. Serentak itu
rakan-rakannya ketawa mengejek.
“Aku rasa macam dah lama tak jumpa kau, padahal
baru beberapa hari.” Jemi memberi komen. Rindu dia kepada
Hero. Biasanya, setiap hari muka Hero sajalah yang asyik
menempel di situ dengan mereka. Tak pun, asyik nombor
telefon Hero sajalah yang naik dalam telefon masing-masing,
mengajak mereka melepak sampai ke pagi.
“Belanjalah kita orang, Hero. Kau banyak duit, kan?”
Kudin angkat-angkat kening.
Hero kerut kening. Tak faham apa-apa.
“Aku banyak duit? Buat apa aku nak kerja kalau aku
berduit?” soal Hero pula.
“Bukan nombor kau naik ke baru-baru ni?” soal Eddy
dengan sengihan nakal. Tahu sangat dia nombor-nombor
yang Hero selalu ‘ikut’.
“Abah aku koyak kertas nombor aku... hari aku kena
tangkap tu. Kalau aku berduit, koranglah orang pertama aku
belanja, kan?”
“Hesy! Rugi gila!” Rakan-rakannya menyeranah
serentak.
“Kan...” Hero garu telinga. Dia rasa rugi betul
apabila tak dapat duit yang dia menang hasil main nombor
ekor itu. Tapi dia dah tak marah pun. Tak boleh nak marah
sebab idolanya yang koyakkan kertas itu. Kalau orang lain,
memang tujuh keturunan dia maki.
“Nombor aku pusing. Eh, seriuslah ni kau tak dapat
nak claim? Kalau tak, kau kena berapa?” soal Jemi.
“2500.” Muka tak rela saja nak menyebut jumlah itu.
Rasa ralat masih ada.
Rakan-rakannya mencarut serentak. Kalau Hero
ada duit sebanyak itu, Hero takkan pernah lupakan mereka.
Sekarang mereka yang merasa rugi.
“Eh, ni dah pukul berapa?” Hero baru teringat pada
sesuatu. Ibunya mesti ingat yang dia tak serius nak berubah
kalau dia balik lewat lagi.
Sekurang-kurangnya, dia perlu tunjukkan prestasi
cemerlang dalam dua minggu berturut-turut untuk dia
kembali ke perangai asal. Kalau dia berjaya pulang awal
dalam masa dua minggu berturut-turut nanti, mesti ibunya
ingat yang dia betul-betul berubah. Mungkin waktu itu
amarah ibunya akan berkurangan seratus peratus dan dia
boleh kembali main judi dan buat perangai buruknya secara
senyap-senyap. Dia perlu lebih berhati-hati lepas ni.
“Dua belas suku. Kenapa?” Kudin menjawab selesai
saja melihat jam pada telefonnya.
“Aku kena balik.” Hero dah bangkit.
“Whoah. Awal lagilah...” Eddy berkata.
“Hahaha! Apa pasal sibuk nak balik awal ni? Ada
isteri tunggu ke?” ejek Jemi.
“Tak, aku kena balik. Besok aku kerja.” Serabut Hero
apabila asyik kena ‘bahan’ oleh kawan-kawannya.
“Kau kerja dari pagi ke?” Kudin menyoal. Maklumlah,
masing-masing bukannya bekerja. Sebab itulah dia tak tahu
jadual kerja Hero.
“Tak. Pukul tiga petang sampai sebelas malam. Besok
dah ikut jadual diaorang bagi tadi.” Cerita Hero.
“Dah tu kau nak kejar apa? Tiga petang kut.” Eddy
mencemik.
“Alah, jarak bukan dekat dari sini ke Lipis weh...
setengah jam merempit. Nak-nak aku ni jenis suka membuta
sampai ke petang. Tak bangun nanti, tak pasal-pasal hari ni
jadi hari pertama dan terakhir aku kerja.” Hero bersuara. Dia
dah kepit helmet di celah ketiak.
“Eee, gelinya aku bila tengok kau jadi macam ni.”
Kudin menggeliat kegelian. Hero yang mereka kenal, tak
pernah risaukan apa-apa. Apabila perangai Hero bertukar
sedikit, dia mula rasa yang Hero itu bakal ‘keluar’ dari
kelompok mereka.
“Sorrylah weh. Karang mak aku kunci pulak pintu
rumah. Tak larat hari ni nak jadi ninja.” Hero sengih. Rasa
bersalah sebab tak dapat melepak lama-lama. Dia takut kalau
kena panjat pagar dan menghendap-hendap nak masuk
ke rumah sendiri lagi. Kalau tengah dia tak penat tak apa.
Sekarang dia penat sungguh. Maklumlah, orang tak pernah
bekerja sebelum ini.
“Tak dan nak berborak lama. Baik kau terus balik aje
tadi.” Eddy mencebik.
“Ala... aku singgah sebab rindu kaulah, baby.”
Sempat Hero cuit dagu Eddy sebelum berjalan ke motornya.
Mereka semua ketawa melihat aksi menjijikkan itu.
“Jangan lupa baju kau ni!” Kudin mencampakkan
gumpalan baju Hero tadi kepada Hero. Hero menyambut
dengan cebikan. Menyampah melihat baju kerjanya.
“Kerja elok-elok, sayang.” Pesan Eddy sambil
kenyitkan mata sebelah.
“Baik, baby.” Hero jawab sambil memuncungkan
mulut, beri flying kiss kepada setiap seorang sahabatnya.
“Muahhhh!” Kudin membalas flying kiss itu.
“Macam haram! Setan, geli aku!” kutuk Jemi yang
geli menyaksikan aksi senget rakan-rakannya itu.
Hero hidupkan enjin motor. Berat sungguh hati
hendak meninggalkan rakan-rakannya melepak tanpa dia di
situ.
“Korang tunggu dua minggu lagi ya...” bisik Hero
perlahan. Dia rasa dia tak mampu nak berubah lama-lama.
Dia mula rindu nak melepak dengan kawan-kawannya sampai
pukul 4-5 pagi. Jadi, dia target dua minggu saja. Dia sedang
mencuba...

No comments:

Post a Comment