DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 16 January 2017

Oh Boy! - Bab 10

“AIK! Ti’ah datang lagi?” Hero buat-buat
terkejut sedangkan inilah waktu yang paling dia
nanti-nantikan. Waktu Fatiha balik daripada kerja. Izzul,
awal-awal lagi dah bersiap sedia dengan alasan sibuk di stor
untuk mengelak daripada bertembung dengan adiknya.
“Cepatlah, isi bakinya.” Fatiha bercakap tanpa
memandang muka Hero di sisi yang sudah terjengul di
tingkap keretanya.
“Berapa?” Hero menyoal dengan senyuman nakal.
“Empat puluh, kan?” soal Fatiha geram. Kad Petron
dihulurkan.
Hero menyambut dengan senyuman. Sempat dia
panjangkan tangannya untuk menyentuh kekura tangan
Fatiha. Gatal!
“Isy dia ni!” Fatiha menarik tangannya. Nakal
sungguhlah Hero ni. Nakal dan gatal. Kenapalah dia mesti
selalu berhadapan dengan Hero sekarang ni? Meluat betul!
Hero pula, tak habis-habis naikkan darahnya.
“Hari ni lagu Europe pulak dia layan. Jiwa rock betul
Ti’ah ni.”
‘Perasan aje dia...’ bisik hati Fatiha. Memang dia
sukakan lagu rock lama. Tak salah sepatutnya. Diperlahankan
radio di dalam kereta. Tak nak dengar nyanyian karut Hero
lagi. Boleh pekak telinganya kalau dengar suara itu setiap
hari.
“Tunggu ya, sayang.” Hero pergi ke kaunter.
Baki duit Fatiha semalam hanya dibawa RM10 ke tempat
kerja. Besok dia bawa lagi RM10 sampailah RM40 tu habis
digunakan nanti. Dia memang nak catu minyak kereta Fatiha.
Biar padan dengan muka gadis itu. Jual mahal sangat! Lagi
Fatiha nak mengelak daripadanya, lagi dia akan buat Fatiha
serabut dengan dia sehingga Fatiha tiada pilihan lain selain
menerimanya.
“Kenapa sepuluh lagi?” rungut Fatiha apabila angka
pada pam itu menunjukkan 10.00. Memang tak berjaya dia
nak lepaskan diri daripada Hero nampak gayanya.
“Banyak tu aje duit abang bawa. Besok datang lagi
ya, sayang?” Hero menjawab tanpa rasa bersalah.
“Awak tipu, kan?” soal Fatiha tak percaya.
“Tak. Sungguh ni... tengok!” Hero keluarkan poket
seluarnya. Kemudian, poket bajunya juga ditayang kepada
Fatiha. Tak cukup dengan itu, dompetnya dibuka. Adalah lima
enam helai duit RM1. Duit untuk dia makan.
‘Harap aje muka handsome, duit banyak itu aje
dekat dalam dompet? Memalukan!’ kutuk Fatiha dalam
hati. Entah-entah lima enam keping duit RM1 itu pun baki
daripada duit dia semalam. Dasar Hero zero!
“Awak ni macam... eeee...” Fatiha genggam stereng.
Rasa nak bubuh penampar dekat pipi Hero. Perangai macam
tahi unta! Dia yakin yang duit bakinya semalam sudah habis
‘dimamah’ Hero.
“Besok bawak 30. Kalau awak guna duit tu memang
siaplah!” marah Fatiha.
Hero hanya sengih. ‘Jangan harap aku nak bawak
semua!’
“Take care. Pandu elok-elok, Ti’ah.” Hero
melambai-lambai.
Fatiha pula naikkan penumbuk.
Hero tergelak kecil. Dia dapat rasa ada ‘chemistry’
dalam hubungan mereka. Kimia yang kalau digabungkan,
pasti akan meletup satu makmal. Tak apalah... meletup pun
meletuplah! Dia tak kisah...
FATIHA MASIH lagi menyeranah. Tak sangka yang Hero
berani berbuat begitu kepadanya. Mujur juga Hero tak cakap
yang duitnya sudah habis dibelanjakan. Kalau habis, entah
macam manalah dia nak berhadapan dengan lelaki itu lagi.
Ya, RM40 bukannya banyak sangat pun bagi sesetengah
orang. Dan dia pun tak rasa jumlah tu besar sangat.
Cuma, kalau Hero yang habiskan, dia rasa ralat
sangat. Tentu lelaki itu habiskan untuk tujuan yang tak
berfaedah. Bukannya boleh percaya si Hero tu. Kerana geram,
dia bertindak menguatkan nada lagu yang didengarnya.
Daripada volume 9, dipulas menjadi 15. Lagu kegemaran dia
sedang berkumandang. Smoke On The Water.
Tapi... kenapa dia terbayangkan muka Hero sewaktu
lelaki itu bergari dan berjalan menghampirinya dulu? Lagu
itu diperlahankan semula.
“Bencinya aku!” cemuhnya sendiri. Mata kalih
pada radio, cuba alih lagu lain. Sekarang lagu itu bukan
kegemaran dia dah. Lagu Soldier of Fortune berkumandang.
Dia memandang ke depan semula.
Automatik kaki menekan brek sekuat hati. Mata
memandang ke cermin pandang belakang. Clear! Mujurlah
dekat Berembang itu tiada kenderaan sangat yang lalu-lalang.
Brek ditekan mengejut hanya disebabkan seekor kucing yang
duduk di tengah jalan.
Fatiha menghentikan keretanya ke bahu jalan. Dia
turun dan berjalan ke arah kucing itu.
“Hai, meow... awak buat apa kat sini?” soalnya
dengan suara halus. Itulah tabiatnya setiap kali dia ternampak
kucing. Mesti nak bercakap dengan kucing.
Kucing itu menggesel-geselkan badan di kakinya.
Fatiha pandang ke kiri dan ke kanan. Kucing itu didukung
dan dia berlalu ke tepi jalan.
“Mana tuan awak ni?” soalnya sambil memerhati
sekeliling. Tiada rumah di situ. Melihat keadaan kucing
itu, dia yakin kucing itu tidak bertuan. Lihatlah betapa tak
terurusnya kucing tersebut. Mesti baru lepas kena buang.
“Kesiannya awak. Ikut akak balik nak?” soalnya yang
mula membahasakan dirinya kakak.
FATIHA MENGGELIAT sebaik sahaja terdengar bunyi enjin
motor. Sudah menjadi rutin hariannya untuk tidur lewat
sebab hampir setiap malam abangnya balik lewat ke rumah.
Dan dialah yang kena bukakan pintu rumah yang sudah
dikunci.
“Kali ni lambat sebab a...” Pelik melihat Hero ada
bersama abangnya. Lelaki kurus itu tersengih lebar. Baju
kerjanya masih tersarung di badan. ‘Macam mana Izzul boleh
balik sekali dengan Hero pulak ni? Bukan Hero bekerja ke?
Izzul jumpa Hero dekat mana?’
“Hai,” tegur Hero.
Fatiha hanya menjelingnya.
“Dia buat apa dekat sini?” soalnya kepada si abang.
Tak sudi dia nak tanya sendiri kepada Hero. Hero ni tak tahu
malu agaknya! Sekarang dah pukul berapa? Dia ingat elok
sangat bertandang ke rumah orang pada pukul dua belas
tengah malam?
“Ti’ah... janganlah nampak sangat muka tak suka
tu. Dia kawan aku. Tetamu aku. Dia berhak datang bila
aku jemput.” Izzul menegur. Kesian juga dia dekat Hero
kadang-kadang. Dilayan buruk oleh Fatiha. Sepanjang
berkawan dengan Hero, tak ada lagi lelaki itu menghasutnya
berbuat jahat.
“Kawan kau yang gatal... kan? Jangan tinggal ayat
belakang tu,” sinis Fatiha.
Senyuman Hero semakin melebar mendengarkannya.
Langsung tak terasa. Memang penyakit gatal dia menjadi-jadi
lepas dia tengok muka Fatiha dulu.
“Ti’ah... janganlah macam ni. Respek sikit dekat
kawan aku.” Izzul tiba-tiba rasa malu kepada Hero sedangkan
Hero biasa-biasa saja.
“Sorry.” Muka tak rela saja Fatiha mengucapkan
kata-kata maafnya. Dia terpaksa meminta maaf demi menjaga
air muka abangnya. Kalau ikutkan hati, tak ingin dia pandang
muka Hero, lelaki yang dah catu minyak keretanya.
“Ti’ah...” panggil Hero.
“Apa?” rengus Fatiha. Dengar suara Hero pun dia
rasa meluat.
“Abang tahu Ti’ah tak sukakan abang. Tapi abang
suka Ti’ah. Jadi, Ti’ah akan rasa meluat sepanjang masa sebab
memang hobi abang buat Ti’ah meluat. Abang suka tengok
mata hitam Ti’ah berguling-guling. Macam ninja. Laju aje.
Dushhh aaaa! Waaaa chaa!” Hero menyakat sambil buat
demonstrasi.
“Awak ni mabuk ke?” Fatiha tak faham. Kenapa
setiap kali dia nampak muka lelaki ini, dia rasa nak meletup?
Kalaupun Hero tak kacau, dia tetap rasa muka Hero tu seperti
satu sumpahan pada mood baiknya.
“Ti’ah!” Izzul bengang dengan cara adiknya bercakap.
Langsung tak ada rasa hormat.
“Abang dah tak sentuh air tu.” Hero menjawab
selamba.
‘Dah tak sentuh? Bererti dia pernah sentuh sebelum
ini? Dasar lelaki tak ada iman!’ bisik hati Fatiha.
“Awak masuk jel baru-baru ni sebab apa? Dadah?”
soal Fatiha lagi.
Izzul mendengus. Macam manalah dia nak suruh
adiknya hormatkan Hero? Fatiha ni, kalau orang yang dia tak
suka, memang payah dia nak layan elok.
Hero hanya tersenyum hambar dan
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kalau sebab dadah, abang takkan bebas dalam masa
sehari tanpa ikat jamin,” jawab Hero, cuba bereaksi selamba.
Kalau bab dadah, dia memang tak usik dan tak
akan usik! Arwah bapanya meninggal disebabkan overdose
dadah sewaktu dia dan adik-adiknya masih kecil. Tentulah
mendengar sahaja perkataan dadah itu memberi kesan yang
sangat mendalam dalam dirinya.
Kalau arak, dia pernah usik sekali. Sampai
sekaranglah dia serik. Dia kemalangan sebab kepala pening
lalat selepas minum untuk kali pertama dulu. Kemalangan
itu meninggalkan parut yang panjang di bahagian kakinya.
Tak lupa juga, tempurung lututnya juga pecah gara-gara
kemalangan tersebut.
Teruk dia kena ceramah dengan ibunya dulu.
Bukannya dia serik sebab dia kemalangan pun. Kalau nak
ikutkan, banyak kali juga dia bercumbu dengan jalan tar.
Tapi dia serik sebab si ibu mengugut tidak mahu mengaku
dia sebagai anak jika dia menyentuh air itu lagi. Anak lelaki
memang akan kalah dengan air mata dan ugutan ibu yang
berbaur ‘tak-nak-mengaku-anak’ itu.
“Cakaplah sebab apa?” Fatiha membentak. Geram
pulak dia. Entah-entah betul tekaannya dulu. Mamat tu
ditangkap sebab mencabul.
“Sebab hari tu jodoh kita nak dipertemukan.”
‘Asyik bagi ayat chiaa chiaa aje mamat ni,’ Fatiha
berkata dalam hati.
“Cakaplah cepat.” Fatiha mendesak.
“Blackjack, tahu?” Hero menjawab dengan kiasan.
“Apa tu?” Kening Fatiha sudah bercantum. Hero
sengih nakal. Naifnya Fatiha!
“Sebab itulah,” jawab Hero selamba sebelum
berlalu masuk ke dalam rumah meninggalkan Fatiha yang
terpinga-pinga sendiri.
Izzul ketawa terkekeh-kekeh. Dia tahu adiknya tak
tahu apa yang dimaksudkan oleh Hero.
Bengang juga Fatiha dengan Hero. Tak dipelawa
masuk, tapi buat macam rumah sendiri. Pakai masuk macam
itu aje. Nampak gayanya, semakin keraplah dia tengok muka
gatal Hero.
“Meoww...” tiba-tiba bunyi kucing mengganggu.
“Ti’ah, kucing siapa ni?” Izzul menyoal.
“Aku,” jawab Ti’ah sepatah.
“Heee, kenapa bawak balik? Heeee... kotorlah!
Tengok tu telinga dia macam berkurap. Banyak-banyak
kucing, kenapa yang ini kau bawak balik?” Izzul membebel.
Fatiha mencemik. Bukannya teruk sangat pun
keadaan kucing itu. Comot, memang comot. Tapi telinganya
berkurap sedikit saja. Macam luka pun ada gayanya.
“Besok lepas aku mandikan dia, aku bawaklah pergi
vet. Kesian dia. Aku nyaris nak terlanggar dia tadi. Macam
takde tuan aje, aku bawak baliklah. Mak takde bising pun,”
kata Fatiha.
Hero yang mendengar kisah itu? Jatuh hati lagi
dan lagi terhadap Fatiha. Ada sifat perikemanusiaan dan
penyayang. Sejuk hatinya.
“Comel ni kalau bulu dia okey. Kalau mandikan dia
apa semua, cute jugak ni. Colour hidung dia lain, tu yang
lawa,” ujar Hero sambil bercangkung dan menilik kucing
yang berwarna coklat dan bertompok putih di bahagian
hidung itu.
“Kan?” Tiba-tiba Fatiha ketap bibir. Tak sangka yang
dia bersetuju dengan kata-kata Hero itu.
Hero pula sudah tersenyum bahagia. Cukuplah
sekali Fatiha bersetuju dengannya, dia rasa bahagia buat
selama-lamanya.
“Geli aku,” Izzul menggeliat kegelian. Izzul mana
sukakan kucing. Tak kisahlah comel ke tak comel, dia
memang tak suka kucing.
“Buatkan air untuk Hero, Ti’ah.” Arah Izzul.
“Buatlah kau. Kawan kau, bukan kawan aku.” Fatiha
angkat bahu.
“Takpe weh, tak payah susah-susah.” Hero angkat
tangan. Kesian pula dekat Fatiha. Dia bukannya nak susahkan
Fatiha pun. Dia datang sebab nak tengok muka Fatiha aje.
Dia rindu.
“Buatlah.” Izzul jegilkan matanya.
Fatiha mendengus. Dia membentak sambil berjalan
ke arah dapur. Izzul meminta diri daripada Hero untuk ke
dapur juga. Ada benda yang dia nak cakapkan kepada Fatiha.
“BOLEH TAK lepas ni kau jangan sebut perkataan ‘dadah’
depan dia?” soal Izzul tiba-tiba.
Fatiha yang memegang cawan itu terkejut. Dia tak
perasan langsung abangnya turut ke dapur.
“Kenapa pulak? Badan dia kurus. Macam orang main
dadah,” selamba Fatiha berkata-kata. Tak ada rasa bersalah
langsung. Semua perkara yang melibatkan Hero, dia takkan
rasa bersalah pun kalau menggoreskan hati lelaki itu. Padan
muka! Perangai macam tenuk!
“Dia sensitif dengan perkataan tu. Jangan main
tuduh-tuduh.” Izzul berkata lagi. Dari tadi dia nak tegur
adiknya tentang hal itu tetapi Hero ada sekali. Dia tak nak
nanti suasana kekok menemani mereka bertiga, jadi dia buat
keputusan untuk menegur adiknya di dapur saja.
“Kenapa nak sensitif? Dia tu faham ke maksud
sensitif?” Nak tergelak Fatiha mendengar abangnya membela
kawan tak senonoh dia tu.
“Arwah bapa dia meninggal sebab dadah waktu dia
kecil. Overdose. Sebab tu dia sensitif.”
Tangan Fatiha terhenti membancuh kopi. Terkejut
mendengarnya. Baru tadi dia fikir yang dia takkan rasa
bersalah dengan Hero, sekarang dia mula rasa bersalah.
Bukan setakat bersalah, dia mula rasa simpati.
“Mana aku tahu. Dah dia nampak tak terurus macam
tu... aku ingatkan dia main dadah.” Fatiha menggumam.
“Banyak benda yang kau tak tahu tentang dia. Aku
tak nafikan yang dia tu nakal. Tapi aku tahu dia ada hati yang
baik. Dan... dia takkan sesekali sentuh dadah.”
“Baik my ass,” cemik Fatiha. Hero masih berhutang
RM30 duit minyak keretanya!
“Jangan nilai dia atas perwatakan dan penampilan
dia. Dia tu jenis buat baik, tak suka nak tunjuk.” Izzul
membela rakannya lagi. Dia kenal lama dah Hero tu. Perangai
Hero masih sama macam dulu-dulu. Easy going. Tak nampak
macam ada masalah.
“Dan buat jahat, dia suka menunjuk-nunjuk.” Fatiha
mencemik.
Izzul tarik nafas sedalam-dalamnya. Sabar, Fatiha
langsung tak tahu-menahu tentang jasa Hero terhadapnya
dulu. Dan dia tak mahu menceritakan tentang hal itu kepada
Fatiha kerana ia akan memburukkan dirinya sendiri.
“Just... tolong jangan sebut perkataan dadah tu lagi,
boleh tak? Tu aje aku minta daripada kau.” Izzul kerut kening.
“Okey,” jawab Fatiha. Sebenarnya dia masih rasa
bersalah. Malam ni dia takkan dapat tidur lena mengenangkan
rasa bersalahnya terhadap Hero.
FATIHA MENGUAP untuk kali yang entah ke berapa.
Mengantuk sungguh dia rasakan. Hero dan Izzul tak ada
tanda-tanda hendak berhenti berborak. Rancak sekali.
Sesekali kedengaran mereka ketawa perlahan dan bertumbuk
perlahan sesama mereka. Mungkin menghormati si ibu yang
sedang pulas tidur.
Fatiha tak faham. Kenapa kalau lelaki sama lelaki
bergurau, mesti nak tumbuk bahulah, sekeh kepalalah? Tak
boleh ke tangan tu duduk diam? Lepas tu, kalau dapat gelak...
sampai berguling-guling di atas lantai. Seronok betul. Apa
yang mereka ketawakan pun dia tak tahu.
“Ti’ah, pergilah tidur kalau mengantuk. Dari tadi
menguap. Jangan risau, abang tak buat hal punyalah. Tak
perlu jadi pengawal,” tegur Hero tiba-tiba. Dari tadi dia
perasan Fatiha menguap.
Fatiha hanya memandang ke arahnya dengan
pandangan kosong. Sibuk aje!
“Ada dua orang bekas banduan dekat rumah ni.
Bahaya!” sindir Fatiha.
Hero ketawa tanpa suara. Dia terlupa Izzul itu
juga bekas banduan. Tapi apa Izzul nak buat dengan rumah
sendiri? Paranoid sungguh Fatiha ni.
“Ti’ah.” Izzul jeling adiknya.
“Okeylah... dah lewat ni. Aku chow dulu.” Hero
kerling jam. Kalau rakan-rakannya masih melepak di Kedai
Encik Rosli di Simpang Tiga, dia akan singgah dulu di situ.
Hari ini mood dia baik, jadi dia rela memanjat pagar rumahnya
dan menyelinap masuk macam ninja. Memandangkan ibunya
sudah tahu tentang pekerjaannya, sepatutnya tiada masalah
lagi kalau dia balik lewat. Bukannya selalu dah. Kut? Hehehe...
“Okey. Elok-elok bawak motor tu, weh. Banyak lembu
dekat kawasan gelap tu. Kekadang, kambing. Malam-malam
macam ni tambah-tambahlah bahayanya,” pesan Izzul.
Siapalah yang dia cuba nak pesan? Hero itu kan sudah lebih
berpengalaman hidup di kampung berbanding dia.
“Kiranya ikut nasiblah ek aku bakal terjumpa apa?”
gurau Hero.
Izzul sengih dan mengangguk.
“Kalau terjumpa sesuatu yang terbang?
Member-member saya ramai yang dah terjumpa benda tu.”
Tiba-tiba Fatiha mencelah dengan senyum senget. Sengaja
nak takutkan Hero. Asyik dia saja yang kena sakat oleh lelaki
itu.
Berubah pucat muka Hero dibuatnya. Izzul pula
sudah terkekeh-kekeh gelak.
“Tak namanya Herolah kalau takut,” jawabnya tidak
lama kemudian. Halkumnya turun naik.
‘Eleh! Takut juga sebenarnya tu. Saja buat berani.’
Fatiha menceber. Dia masuk tidur setelah yakin Hero
benar-benar pulang.
Hero pula, selepas menghidupkan enjin motor,
bermacam-macam doa yang dia baca. Waktu-waktu begini,
barulah dia bersyukur kenapa ibunya merotannya jika dia liat
hendak pergi mengaji sewaktu kecil dulu. ‘Terima kasih, mak.
Aku sayang kau!’
Sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya, mulut
Hero terkumat-kamit membaca doa ringkas yang dia masih
ingat. Ini semua gara-gara Fatiha! Walaupun sekarang dia
dah cukup dewasa, tapi kadang-kadang muncul juga perasaan
takutkan hantu itu.
“Allah!” Terlucut perkataan itu sebaik sahaja dia
ternampak bayangan putih terpacak di sebelah tiang elektrik
di tepi jalan. Baru sekarang dia ingat Allah.
Tangan sudah terketar-ketar. Buat masa ini, berpatah
balik bukanlah pilihan yang tepat sebab dia dah begitu hampir
dengan jalan besar. Nak tak nak, dia terpaksa kuatkan iman
untuk merentasi ‘si putih’ itu.
Sebaik sahaja motor menghampiri tiang tersebut,
dia menyeranah sendiri.
“Siapalah yang letak banner menegak bentuk orang
macam tu? Bengong betul!” Akibat geram, dia meludah ke
tepi jalan bagaikan meludah banner tersebut. Menakutkan
dia saja.
Baru saja nak memulas minyak, kaki terpaksa
menekan brek mengejut. Lintasan beberapa ekor kambing
di kawasan gelap itu memeranjatkannya. Sudahlah debaran
banner tadi tak hilang sepenuhnya lagi, boleh muncul pula
kambing tengah malam buta begitu!
‘Hesy, dua-beradik tu memang berdaulat!’ hatinya
membentak. Apa yang disebut Izzul dan Fatiha itu seolah-olah
menghantuinya. Rasa-rasanya, dia boleh terkena strok
kalau ada satu lagi perkara yang memeranjatkannya. Sebab
Fatihalah ni, dia dah mula rasa insecure untuk pulang lewat
pagi.
“LAMBAT KAU balik kerja hari ni?” tegur Jemi sebaik sahaja
Hero menyertai mereka yang sedang melepak di kedai Encik
Rosli. Seperti sebelumnya, Hero menanggalkan baju kerjanya
untuk mengelakkan dia ‘dipulau’ oleh rakan-rakannya.
“Balik lama dah, singgah rumah awek aku dulu.”
Rokok pada tangan Jemi ditarik lantas dihisap selamba.
“Ada awek pulak? Sejak bila ni? Yang mana satu?
Bukan kau dah lama clash ke?” soal Kudin pula bertubi-tubi,
disertai dengan anggukan rakan-rakannya yang lain.
“Bukan yang tu,” Hero jawab selamba. Dia sendiri
pun dah lupa rupa bekas kekasihnya yang terakhir itu.
“Habis?” soal rakan-rakannya serentak.
“Adalah...” Hero berahsia. Kali ini, dia tak nak
ceritakan dekat sesiapa pun tentang Fatiha. Nanti rakannya
ingat nasib dan perangai Fatiha sama dengan bekas-bekas
kekasihnya dulu. Liar. Kalau boleh, dia nak jaga baik-baik
nama Fatiha. Lagipun, Fatiha juga tinggal di daerah yang
sama. Buatnya mereka semua mengenali Fatiha, macam
mana? Lebih memalukan kalau mereka tahu yang dia dengan
Fatiha tu bukannya ada apa-apa.
“Oh, kali ni rahsia? Dah tak nak bawak jumpa kita
orang dah ek?” Muka Eddy nampak nakal semacam. Eddy pun
macam Hero juga. Ada awek, tak pernah lekat. Cuma dia lebih
ligat berbanding Hero dalam soal perempuan. Hero pula lebih
ligat nak berjudi.
“Tak boleh, tak boleh. Awek ni untuk aku kahwin
nanti.”
Sebaik sahaja Hero bersuara, Jemi yang sedang
minum air tersedak dan habis tersembur keluar air di dalam
mulutnya. Terkejut mendengar perkataan ‘kahwin’ dari
mulut Hero.
Tak lama kemudian, mereka masing-masing tergelak
sampai terbahak-bahak.
“Kau melawak apa ni weh?” Kudin gelak sampai
matanya berair. Muka pun sudah naik biru sebab sesak nafas
dek ketawa yang melampau.
“Apa lucu sangat hah?” Hero bersandar ke kerusi,
merenung wajah sahabatnya seorang demi seorang. Sakit
hati sebab selalu menjadi bahan gelak rakan-rakannya.
Mentang-mentanglah dia dalam proses nak berubah sekarang,
semakin teruk dia kena bahan.
“Asal tiba-tiba sebut pasal kahwin ni, Hero? Dia
pregnant ek?” soal Kudin bermulut cabul.
“Hesy, kau ni! Mulut tu macam minta penumbuk.”
Laju Hero menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia dah
tanam tekad dalam diri, gadis seperti Fatiha tidak akan
dirosakkannya. Itu demi menjaga hubungan persahabatannya
dengan Izzul, dan juga demi menjaga maruah Fatiha sendiri.
“Yalah, tak pernah-pernah kau sebut pasal kahwin,”
Kudin mencemik.
“Seru dah sampai,” jawab Hero selamba.
“Puih, seru! Yang duk seru dekat masjid tu hari-hari,
tak sampai pulak kat kau ek?” Eddy, bajet-bajet alim bersuara.
Padahal dia pun dua kali lima. Setiap kali azan subuh dan
zuhur berkumandang, dia bantai tidur.
“Tu lain...” Hero sengih tanpa ada riak bersalah.
“Ni balik lambat, singgah rumah awek. Bukan main
seronok lagi kau bermadu asmara ek?” Kudin menyoal penuh
sindiran.
Hero mencemik.
“Madu asmara ngek kau. Aku tak buat dahlah kerja
tu. Kau tuduh lagi, siap ek... aku dah cuci tangan.” Hero
angin apabila Kudin berkata begitu.
“Eh, baiknya kau... macam tak percaya aje!” Kudin
memandang rendah pada tahap iman Hero.
“Abang dia kawan aku. Aku lepak sekalilah.” Hero
rasa nak mengamuk. Bila kawan-kawan dia cakap macam tu,
mulalah akal liarnya teringatkan Fatiha.
“Oh, patutlah baik sangat...” Kudin ketawa mengejek.
“Abang dia? Siapa?” Eddy dan Jemi menyoal serentak.
Manalah tahu kut-kut mereka kenal ke?
“Adalah... buat masa ni, aku tak nak share sikit
pun maklumat tentang dia. Sulit. Dato' Siti cakap, Biarlah
Rahsia.” Hero berkata selamba sambil memulangkan semula
rokok yang dirampas tadi kepada Jemi. Dah nak pendek rokok
itu dihisapnya, barulah dia pandai nak pulangkan semula.
“Kedekut,” kutuk Jemi apabila Hero enggan bercerita
tentang kekasih terbaharunya.
“Mestilah!”
“Berapa lama dah kau bercinta dengan dia?” Eddy
menyoal. Mukanya serius.
“Masa bila aku cakap aku bercinta dengan dia?”
Soalan dibalas soalan.
“Kau cakap...”
Eddy tak sempat bersuara, Jemi dah menyampuk.
“Ni mesti syok sendiri.” Jemi tahu Hero mesti
rahsiakan perihal perempuan tersebut sebab mereka tak
declare apa-apa lagi. Biasanya apabila Hero dapat awek baru,
mesti dia dah kecoh. Berlagak sana sini. Siap tunjuk gambar
lagi. Konon hanya dia yang boleh tackle awek cantik.
“Ni mesti kena reject! Kahkahkah!!” jerit Kudin
sambil tergelak besar sehingga menyebabkan pelanggan lain
memandang mereka dengan pandangan tak senang.
Hero rasa malu apabila diejek begitu. Dah memang
betul pun dia kena tolak dengan Fatiha.
Jemi dan Eddy pun mengekek-ngekek gelak tanpa
mempedulikan pandangan orang lain. Lantaklah! Mereka
pun pelanggan juga di situ. Nak hairan apa? Mana ada papan
tanda yang mengarah mereka untuk bercakap perlahan atau
tertulis ‘dilarang gelak’.
“Hei coyuk, diamlah!” Hero berdiri, dia
menempeleng belakang kepala Kudin. Geram apabila semua
mata memandang mereka. Lebih memalukan, satu kedai tu
tahu yang dia kena reject!
“Aku bersimpati dengan kau, Hero.” Bahu Hero
ditepuk-tepuk Eddy.
Hero mendengus. Kenapalah dia asyik kena bahan
saja? Tak boleh ke mereka melepak macam biasa? Berkongsi
rokok, berbincang pasal nak beli nombor apa besok.
Sekalipun dia dah tak boleh beli nombor, dia masih boleh
suruh rakannya membelikan untuknya. Tak pun, dia masih
boleh berikan idea nombor apa kawannya patut pow besok.
Itu tak dikira melanggar perintah abahnya, bukan?
“Nama aje Hero...” ejek Kudin. Sampai berair
matanya ketawakan Hero. Tengok muka kelat Hero itu pun
mereka dah dapat agak yang Hero kena reject. Tak sangka, ada
juga perempuan yang cerdik akal untuk menolak Hero. Kalau
dia jumpa perempuan tu, memang dia nak sembah-sembah.
“Skill mengurat tetiba tumpul ekkk?” Jemi pula
mencurahkan minyak ke api yang sudah marak.
“Haram J.” Hero mencarut. Tapi punggungnya
masih di kerusi. Tak berniat nak tinggalkan rakan-rakannya
yang begitu seronok membahan. Tak namanya Herolah kalau
cepat sentap, cepat emosi...
Kamus Oh, Boy!
*coyuk - binatang hidung penyek a.k.a
khinzir*

No comments:

Post a Comment