IZZUL tanggal baju kerja yang dipakai dan
disorokkan ke bawah seat motornya sebelum dia masuk ke
dalam rumah. Fatiha tentu sedang menonton TV di ruang
tamu. Kepada Hero, dia katakan adiknya sudah tidur sebab
dia tak nak Hero melekat di rumahnya sampai lewat malam.
Memandangkan dia dah tahu tujuan Hero ke rumahnya
semata-mata untuk berjumpa dengan Fatiha, lebih baik dia
elakkan Hero daripada kerap datang ke rumahnya. Nanti naik
lemak pula si Hero itu.
“Baru sekarang kau balik?” teguran Fatiha itu
memeranjatkannya. Nyaris dia tak bersilat. Soalan adiknya
diabaikan.
“Dah pukul berapa ni?” Fatiha menyoal dengan lagak
seorang ibu. Ibu mereka sudah pun lena diulit mimpi.
“Nek Wan, aku keluar melepak ajelah.” Bohong
Izzul.
“Melepak sampai pagi? Dengan budak tak matang
itulah agaknya.” Fatiha mencemik. Terbayang muka gatal
Hero. Automatik dia menjulingkan matanya ke atas. Nampak
gayanya Hero dah berjaya mempengaruhi abangnya itu.
“Kau pasal apa tak tidur lagi?” Izzul menyoal.
Dia sendiri tak boleh jangka pukul berapa adiknya tidur.
Kadang-kadang awal. Kadang-kadang lewat.
“Kalau aku tidur, siapa nak bukakan pintu untuk
kau? Daripada kau ketuk tingkap bilik aku waktu aku tengah
lena tidur, baik aku tunggu kau balik dulu,” ujar Fatiha. Dia
paling pantang apabila tidurnya terganggu.
“Aku suruh bagi kunci kat aku, kau tak nak bagi.”
Izzul terasa macam dia itu budak kecil pula kerana dikawal
oleh adiknya sendiri.
“Ah, malas aku. Nanti kau hilangkan lagi.”
“Kejadian tu dua tahun lepas dah. Aku boleh
bertanggungjawab jaga kunci, okey?” rungut Izzul. Dulu,
sewaktu mereka tinggal di Selangor, dia pernah terhilangkan
kunci rumah mereka. Mengamuk Fatiha sebab terpaksa
pecahkan mangga dan tukar tombol pintu yang baru.
“Dua tahun pun kau masih tak boleh dipercayai. Ni
kenapa lewat sangat balik?” Fatiha masih tak berpuas hati.
Semenjak dia mengikat jamin abangnya beberapa hari lepas,
setiap jam pergerakan abangnya pun dia nak tahu kalau
boleh. Takut Izzul tak berubah-ubah.
“Adalah hal aku.” Izzul berahsia. Malulah dia nak
mengaku yang dia sudah bekerja.
“Dengan si gatal miang tu, kan?” soal Fatiha sambil
menjeling Izzul dengan tajam. Bergolek-golek mata hitamnya
setiap kali teringatkan Hero.
“Dia tanya aku, hantaran kau berapa. Aku rasa dia
memang nak kat kaulah.” Izzul ubah topik.
Serentak itu Fatiha menggeliat kegelian.
“Eee, geli! Dia tu ada masalah mental ke apa?”
“Jangan risau. Aku pun tak nak beradik iparkan
lelaki ligat macam dia. Aku cakap hantaran kau 30K.” Izzul
terkekeh ketawa sendiri apabila teringat muka kelat Hero
tadi.
“Kenapalah kau tak letak 100K terus?” ceber Fatiha.
“Tiga puluh tu dah kira banyak, okey? Aku yakin
sangatlah dia takkan mampu.” Izzul bersuara.
“Kalau dia mampu pun memang aku tak nak dekat
dia.” Fatiha bangkit. Dia nak tidur.
“Ni, boleh tak bagi aku kunci? Nanti tiap-tiap hari
kau kena tunggu aku balik lewat,” ujar Izzul.
“Tak. Nanti bila kau dah pegang kunci, kau akan
balik pagi buta.” Fatiha berkata lantas menutup TV. Dia
masuk tidur tanpa ucapan selamat malam kepada abangnya.
Izzul mengeluh. Payah pula kalau macam ni. Dia
nak melepak selepas balik kerja pun tak boleh. Nanti dia kena
buat kunci pendualah tanpa pengetahuan Fatiha.
“KAU KE mana, Hero? Dah lewat malam baru reti nak balik.
Ingatkan betullah nak berubah. Tapi tetap juga balik lewat.
Sampai ke pagi aku menunggu kau balik,” bebel Badariah
sebaik sahaja wajah Hero menyapa matanya.
“Kerja.” Hero melabuhkan punggung ke sebelah
ibunya. Dah bersedia hendak dipukul. Mujur juga ibunya
belum tidur lagi. Kalau tidak, panjat pagar sekali lagilah dia.
“Kerja apa? Bau petrol kuat sungguh kau ni,” komen
Badariah sambil mengembangkan hidungnya.
“Minyak tumpah kat seluar tadi,” jawab Hero. Dia
bukan sengaja pun tumpahkan minyak tu. Tapi gadis tadi isi
minyak banyak sangat sampai tertumpah keluar. Dia mana
tahu isian tangki kereta gadis itu. Sepatutnya gadis tersebut
lebih arif berapa banyak minyak yang boleh diisi dalam tangki
keretanya.
“Minyak tumpah?”
“Ya, ni ha, baju kerja orang. Orang kerja pump boy
dekat Petron. Jangan risaulah lepas ni kalau orang balik
lewat.” Gumpalan baju kerja itu dibuka dan dibentangkan di
atas paha ibunya.
Badariah mati kata. Perlahan-lahan bibirnya
mengukir senyuman. Tak sangka langsung dia yang Hero
betul-betul bekerja.
“Tak sangka kau serius.”
“Baru hari pertama mak. Jangan nak gembira
sangat,” pesan Hero. Takut ibunya berharap lebih. Dia
menaikkan kakinya ke sofa. Dia mengubah posisi dengan
meletakkan kedua belah kakinya ke atas paha si ibu. Tangan
Badariah automatik mengurut lembut paha anaknya.
“Mak tahu kau boleh buat,” ujar Badariah.
Hero memejamkan matanya dan hanya diam. Tak
mahu berjanji apa-apa.
“Nak tidur, pergilah mandi dulu.”
“Penat,” jawab Hero sepatah.
“Tak biasa buat kerja, penatlah. Pergi mandi dulu,”
desak Badariah. Tak suka apabila si anak mengabaikan
kebersihan diri.
“Melainkan mak nak mandikan orang, baru orang
pergi mandi.” Hero pula apabila dia rasa tak nak mandi,
memang dia takkan mandi. Paksalah macam mana sekalipun.
“Isy! Dah buang tabiat ke apa?” bebel Badariah.
Apabila Hero bekerja, dia mula rasa lain macam.
Macam tak percaya aje anaknya tiba-tiba dapat ‘hidayah’
nak bekerja sedangkan selama ini sudah puas didesak, tapi
tak mahu. Rasa sangsinya bertambah apabila Hero suruh dia
mandikannya. Memang betul-betul buang tabiat ke? Dia tak
naklah anaknya mati sekalipun Hero banyak menyusahkan
hatinya. Siapa tak sayang anak? Nakallah macam mana
sekalipun, dah namanya anak, sayang tetap sama semuanya.
“Mak, Fatiha tu...” Hero tiba-tiba bersuara.
“Kenapa dengan dia?”
“Hantaran dia... abang dia letak 30 ribu.” Sebenarnya,
dia bukan nak bercerita sangat pun pasal Fatiha. Tapi dia nak
menagih simpati ibunya. Mana tahu, ibunya boleh bantu
kumpul duit untuk dijadikan hantaran? Izzul kan tak bagi dia
guna duit menang judi. Kiranya dia kena bermula daripada
kosong betullah ni.
“Abang dia yang letak?”
“Haah. Mak kenal abang dia. Izzul. Orang pernah
bawa balik zaman sekolah dulu. Abang Fatiha kata dia tak nak
orang nikah dengan adik dia. Tu pasal dia letak 30K,” cerita
Hero.
Serentak itu ibunya ketawa mengekek tanpa suara.
“Padan dengan muka. Aku tak nak tolong,” selamba
Badariah berkata. Memang patut pun Izzul letak harga
hantaran macam tu. Baru Hero sedar diri sikit. Siapalah nak
beradik iparkan dia tu?
“Tak apalah. Cuma nak beritahu mak, suruh paksa
orang kerja keras sikit nak kumpul duit tu.” Hero tukar
fikiran pula. Tak namanya Herolah kalau guna pertolongan
ibu. Hesy, nanti mesti Fatiha dan Izzul akan perlekehkan dia
kalau dia gunakan pertolongan ibunya.
“Kau tu, aku paksalah macam mana sekalipun, tak
jalan punyalah.” Badariah berkata geram. Hero itu kan hero
sangat? Dia aje betul. Degil!
“Alah, sebut-sebutlah nama Ti’ah tu. Bagi naik sikit
semangat orang ni,” ujar Hero lagi.
Badariah mencemik. Daripada dia duduk sebut-sebut
nama Fatiha, baik dia jampi anaknya itu supaya turut sikit
katanya.
“Ingat nak buat kerja lain jugaklah.” Tiba-tiba Hero
berkata sendiri.
Badariah agak terkejut. Memang Hero ni serius
ke nak beristerikan si Fatiha tu? Mulalah dia rasa tak sabar
nak jumpa Fatiha. Nak tengok sikit macam mana orangnya
sampai anaknya boleh jadi begitu.
“Jangan yang takde faedah sudahlah...” si ibu berkata.
“Tahu. Kerja halallah nak cari. Bercakap pasal dia,
rindu pulak,” keluh Hero. Dia tak singgah ke rumah Izzul
dulu tadi. Kalau dia singgah nanti, entah-entah Fatiha dah
pun tidur. Izzul kata, Fatiha akan tidur awal kerana dia harus
kerja keesokan harinya. Jadi sia-sialah kalau dia datang rumah
Izzul sekalipun. Nak berborak dengan Izzul? Cukuplah waktu
bekerja saja dia menghadap muka Izzul. Itu pun sampai dah
tiada modal mereka nak berbual tadi.
“Angau! Menyampahlah aku layan kau ni!” Badariah
menolak kaki Hero ke bawah sebelum bangkit. Tak kuasa
dia nak melayan perangai gatal anaknya itu. Disebabkan
seorang perempuan, baru anaknya itu cuba untuk berubah.
Sebelum ini, dah naik berbuih-buih mulutnya menyuruh
Hero berubah. Tapi... haram!
“HAI TI’AH, minyak berapa puluh kali ni?” Teguran itulah
yang dia paling menyampah sekali. Tapi nak buat macam
mana? Dia dah biasa isi minyak di situ.
“Isi penuh,” jawab Fatiha penuh meluat. Dia nak isi
penuh supaya nanti dia tak perlu hadap muka Hero untuk
beberapa hari. Ramai yang kata isi minyak di Petron ni
banyak kelebihannya. Selain daripada kad ahli, minyaknya
juga lebih murah berbanding pam minyak yang lain. Tak
tahulah setakat mana kesahihannya. Selama ini, Fatiha selesa
mengisi minyak di situ sehinggalah kemunculan Hero.
“Ada nak pergi mana-mana ke?” soal Hero. Pelik.
Biasanya orang isi minyak penuh sebab nak berjalan ke luar
daerah saja. Contohnya ke KL ataupun Kelantan, atau...
mana-mana yang jauh.
“Kalau boleh nak pergi jauh daripada awak,” jawab
Fatiha jujur namun berjaya menerbitkan senyuman nakal
Hero.
“Alah, janganlah jauh sangat. Letih abang kejar
nanti.” Hero bersandar ke kereta Fatiha tanpa rasa bersalah.
Mujur hari ini dia jaga di depan. Rezeki dia agaknya dapat
berjumpa lagi dengan Fatiha. Mujur juga pada waktu yang
sama, Izzul kena buat kerja di dalam bilik staf. Selepas ini, dia
dah boleh agak pukul berapa Fatiha akan muncul di situ dan
Izzul tak perlu berlari selamatkan diri lagi.
“Diamlah!”
“Eh, Ti’ah pun layan lagu Deep Purple?” soal Hero
terkejut apabila mendengar rentak salah satu lagu daripada
kumpulan kegemarannya, Deep Purple di corong radio
Fatiha. Apa lagi? Seronok dia menyanyikan lagu itu. Siap buat
muka nakal lagi.
There once was a woman
A strange kind of woman
The kind that gets written down in history
Her name was Ti’ah
Her face was nothing fancy
She left a trail of happiness and misery
I loved her
“Tolong cepat sikit, boleh?” marah Fatiha sambil
menghulurkan duit dan kad ahli Petron kepada Hero. Radio
diperlahankan. Dia baru saja beli CD itu. Tak ada mood nak
layan lagu itu apabila Hero seperti sudah menghafalnya.
Dahlah suara macam katak. Lepas tu, siap buat isyarat petik
gitar lagi. Budget gila!
“I want you, I need you, I got to be near you!”
nyanyi Hero sambil kenyit mata ke arah Fatiha. Dia berjalan
ke arah kaunter sesudah mengambil wang yang dihulurkan
kepadanya. Kalau orang lain datang isi minyak, jangan harap
dia nak jadi serajin itu untuk menolong membayar di kaunter.
Fatiha punya pasal, dia sanggup.
Hero muncul semula. Kad diserahkan semula kepada
Fatiha. Dia menarik nozzle Ron 95 lantas dimasukkan ke
dalam lubang tangki kereta Fatiha. Sampai angka RM 10.00,
pam itu automatik terhenti. Fatiha ternganga.
“Kenapa sepuluh? Saya suruh letak penuh, kan?”
soal Fatiha.
“Kalau rasa nak letak penuh sebab tak nak tengok
muka abang lagi, sorrylah Ti’ah. Abang bayar minyak
10 ringgit aje. Esok datang lagi, ya?” ujar Hero sesudah
melakukan kerjanya.
“Mana baki?” Tak percaya sungguh yang dia bakal
diperdaya oleh Hero.
“Esok datang, abang bagilah...” jawab Hero bersahaja.
Tangan menyeluk kocek, dikeluarkan pencungkil gigi lantas
digigit-gigit. Jangan haraplah dia nak bagi begitu saja. Nanti
Fatiha dah tak nak isi minyak di situ.
“Eh! Dia ni... bagi balik!” Fatiha rasa nak mengamuk.
Tangan ditadah. Hero buat muka tak bersalah. Langsung
diabaikan permintaan gadis itu.
“Bagilah balik...” Fatiha mula menggunakan nada
memujuknya. Mana tahu, hati Hero akan sejuk?
Hero mengukir senyuman mendengarkan suara
lembut Fatiha.
“Abang tak lari ke mana-mana. Ada kat sini. Esok
datang lagi. Kesian orang belakang. Dah lama tunggu,”
bohong Hero.
Fatiha mendengus. Tak berjaya juga rupanya dia nak
memujuk.
“Cepatlah. Hati-hati sayang.” Sempat lagi Hero
kenyit mata.
“I hate you!” Sempat Fatiha menyeranah sebelum
memasukkan gear dan menurunkan handbrake.
“I love you too,” jawab Hero sambil memuncungkan
mulutnya, melayangkan flying kiss. Fatiha menjelingnya
setajam-tajamnya. Lantaklah, Ti’ah...
Fatiha mendengus kasar. Macam mana niat
murninya diketahui oleh Hero? Hero pakar nujum ke apa?
Menyesal dia tak tipu Hero dan cakap yang dia nak ke KL
atau ke mana-mana. Ahhh! Dah melepas duit RM40 miliknya.
Entah besok duit itu ada lagi entahkan tidak. Hero tu
bukannya boleh percaya!
Cermin pandang belakang dijeling sekilas. Terkejut
melihat lelaki itu terkinja-kinja sambil melagakan kedua
belah kakinya ke udara. Bahagia sangat. Baru Fatiha perasan,
dia ditipu. Mana ada orang pun yang menunggu giliran nak isi
minyak di belakangnya. Memang Hero ni nak kena betullah!
Kalau dia pusing balik, nanti semakin giat Hero
menyakatnya. Heee, semakin hari dia semakin benci kepada
Hero.
“Kalau dapat tu memang aku cekik-cekik dia sampai
biru!” ujar Fatiha dengan gigi yang terkacip. Siapa sangka
yang minyaknya bakal dicatu oleh Hero. Memang puaka
sungguhlah Hero ni! Kalaulah dia tahu ilmu pertahankan
diri, dah lama patah tulang si Hero tu dikerjakannya.
No comments:
Post a Comment