HERO diam dari tadi. Hanya membiarkan dirinya
dibebelkan Badariah. Nampaknya si ibu lebih awal mendapat
tahu tentang masalah yang baru dia buat. Sebaik sahaja
melangkah masuk ke dalam rumah, dia dilempang sehingga
terteleng mukanya. Tak sempat nak tanya kenapa, terus
Badariah hadiahkan dia berbakul-bakul sumpah seranah.
“Ini yang aku dapat, lepas bersusah payah bekerja
macam nak mati nak bagi kesenangan dekat anak-anak.
Dapat malu! Yang lain menjadi belaka. Tapi yang depan
mata aku ni... perangai tak serupa orang! Jin pun malu nak
mengaku kau kerabat dia!” marah Badariah. Air mata dilap
dengan lengan baju. Geram dengan berita yang didengarnya.
Dari tadi dia tunggu kepulangan Hero. Dia tahu mesti Ismail
takkan benarkan Hero duduk di dalam lokap. Ismail terlalu
sayangkan Hero.
“Mak...” Hero terasa liurnya kesat. Melihat ibunya
mengalirkan air mata disebabkan olehnya bukanlah sesuatu
yang mudah. Tapi, dia tak berani berjanji yang dia tidak akan
membuatkan ibunya menangis lagi. Dia cukup kenal siapa
dirinya, dan disebabkan itulah dia tak boleh nak berjanji
apa-apa.
“Aku malu bila orang duduk bergosip pasal anak aku.
Kecoh pasal anak aku kena tangkap. Lagi sedih, suami aku
selama ni rahsiakan daripada aku tentang perangai anak aku
ni.” Badariah membebel lagi.
Hero ketap bibir.
“Saya tak nak awak sedih. Awak tu sakit, mana boleh
dapat berita buruk. Nanti tumbang, susah...” Ismail bersuara.
Sengaja bagi alasan sedangkan Hero yang mendesak dia
untuk merahsiakan setiap masalah yang telah Hero buat.
“Tak nak sedih? Berahsia macam tu lagi sedih saya
ni, bang.” Marah si isteri.
“Lain kali biarkan aje dia dalam lokap tu. Biar
lima tahun dekat dalam tu pun tak apa. Dia keluar pun
menyusahkan orang aje. Bukannya reti nak kerja. Sampai ke
besar minta duit dengan kita. Tak tahu malu sungguh! Suruh
kerja, memilih! Usaha tak ada, apa tak ada. Dia ingat duit tu
jatuh dari langit agaknya,” bebel Badariah lagi.
Hero garu lubang telinga dengan jari kelengkengnya.
Apa dia nak jawab ni?
“Orang nak kerjalah ni,” jawabnya tanpa memandang
wajah ibunya. Tak berani nak melihat air mata ibunya yang
mengalir.
“Kerja apa? Kerja menyusahkan hidup aku?”
Badariah bercekak pinggang dan membuntangkan mata.
Semakin gelisah Hero dengan renungan ibunya.
“Badar, tak elok cakap macam tu...” nasihat Ismail.
“Nak saya cakap macam mana lagi dengan dia? Dia
tak pernah dengar cakap saya pun. Esok lusa dia buat balik.
Dari kecik dia macam tu. Saya kenal dia. Perut ni yang
mengandungkan dia.” Badariah membebel tanpa henti.
“Ya, orang tahu orang salah. Orang cari kerja. Mak
tak payahlah nak susah hati lagi.” Hero menjawab.
“Pergi cari kerja dulu. Selagi tak dapat kerja, jangan
harap aku nak tengok muka kau kat sini. Pergi keluar, cari
kerja sekarang!” Jari telunjuk Badariah menghala keluar.
“Pukul berapa dah ni?” Hero kerling jam di dinding.
Dah malam.
“Bila suruh cari kerja, pandai terus tengok jam,
kan? Sebelum ni, melepak sampai pukul berapa? Tak reti nak
tengok jam! Sebelum aku mengamuk yang hodoh-hodoh,
baik pergi. Jangan balik selagi tak jadi orang!” Badariah
menengking.
“Mak... orang nak tidur kat mana?” Hero susah hati.
“Tidur ajelah dekat mana-mana! Sebelum ni tak balik
pun takde hal, kan?” Badar berkata dengan nafas yang turun
naik. Dia tak bermaksud nak berkasar sebegitu dengan Hero
tetapi Hero perlukan seseorang untuk bertegas dengannya.
“Badar...” Ismail cuba menenangkan isterinya.
Badariah macam dah hilang sabar sungguh dengan Hero
nampak gayanya.
“Awaklah ni, manjakan sangat dia. Tengok, dia
naik lemak dah. Semua benda tak reti nak buat sendiri. Tak
membesar langsung! Harap usia aje makin tua. Perangai
macam budak tak matang! Malu kat orang lain. Orang lain,
sedang tengah bersekolah lagi dah tolong mak bapak cari
duit. Dia? Menghabiskan duit mak bapak aje yang tahu.
Saya dengar dia asyik peras ugut warga asing sebab nak duit.
Perangai macam anak iblis!” marah Badariah kepada Ismail
pula.
Ismail terdiam. Kalau dia menjawab, maknanya
semakin buruklah mood isterinya.
Hero simpati kepada Ismail. Tak pasal-pasal Ismail
dimarahi sebab nak pertahankan dia.
“Yalah... orang keluar.” Hero menarik helmetnya.
Kecil juga hati apabila kena marah begitu. Tapi dia sedar
semua itu berpunca daripada dirinya sendiri. Dia mengalah
pun sebab tak nak panjangkan pertelingkahan itu. Takut bapa
tiri kesayangannya itu menjadi mangsa amarah ibunya lagi.
TOK! TOK! Tok! Pintu rumahnya diketuk pada jam sebelas
malam. Fatiha melangkah malas ke pintu rumahnya. Terkejut
melihat muka lelaki di hadapannya. Pintu kembali ditutup
sebelum lelaki itu sempat menilik ke dalam.
“Aduh, hidung aku!” Tepat pintu itu terkena batang
hidungnya yang mancung itu. Malang sungguh nasib dia
pada hari ini. Sudahlah ditangkap polis, lepas tu ditempeleng
si ibu. Lagi, hidungnya dihentam pintu pula.
Fatiha di dalam hanya membeku. Rasa bersalah, tapi
dia tak mahu buka pintu. Padan dengan muka! Itulah balasan
untuk si kaki cabul macam lelaki itu.
“Hesy, bukannya reti nak bagi salam pun. Nak apa?”
soalnya dari dalam rumah. Fatiha berdebar-debar. Bukan
sebab dia jatuh cinta atau apa. Tapi sebab dia takutkan Hero.
Entah-entah Hero datang sini dengan niat tak elok. Tadikan
lelaki itu dah cabul dia?
Gulp! Menyesal pula dia buka pintu. Patut dia tilik
dulu siapa tadi. Izzullah ni! Pandai-pandai aje beritahu Hero
di mana mereka tinggal. Memang nak kena!
Hero di luar pula tersengih sendiri. Kena bagi salam
ek? Sebelum ni, dia pergi ke rumah kawan-kawannya tak
payah bagi salam pun.
“Assalamualaikum.” Hero memberi salam.
Automatik mata Fatiha menjuling ke atas.
“Waalaikumussalam. Nak apa?” Nak tak nak dia
kena jawab salam Hero.
“Nak awak.” Mendengar jawapan tak elok daripada
Hero itu menyebabkan Fatiha mendengus. Lelaki yang
bernama Hero ini memang perangai macam katak ek?
Menjijikkan!
“Jangan menggatal boleh tak? Awak nak apa?” Tinggi
suara Fatiha dari dalam rumah.
“Saya nak awak. Nak awak. Awak.” Nyanyi Hero
dengan sumbang.
Fatiha menggenggam penumbuknya. Sempat kut
kalau dia buka pintu sekejap dan terus tinju muka Hero.
“Nak penumbuk?” soal Fatiha.
Hero sengih lagi. Dah macam cerita Masam-Masam
Manis pula. Bercakap di sebalik dinding. Dilekapkan
telinganya ke pintu, sambil itu dia mencakar-cakar pintu itu.
“Boleh aje, asalkan daripada awak. Penumbuk pun
rasa macam madu.” Hero menumbuk tapak tangannya
sendiri apabila berjaya mengeluarkan pick-up line itu.
Fatiha di dalam sudah julingkan mata. Hero belum
lagi merasa penumbuknya. Nanti mulalah kata penumbuk
dia macam hempedu. Dia bukannya jenis perempuan yang
bagi penumbuk manja-manja alah. Kalau dia nak tumbuk,
dia akan tumbuk sampai puas hati. Dia membesar dengan
seorang bapa dan abang yang gemar menonton WWE dan
UFC.
“Yuck! Awak pergi balik sekarang.” Halau Fatiha.
Geram dia dengan mamat pervert itu. Bukannya pandai nak
minta maaf pun dengan kejadian tadi. Dia tayang muka tak
malu pula dekat sini.
“Atau apa?” soal Hero. Dia menggigit penumbuk.
Dengar suara Fatiha pun dia rasa nak tersenyum 24 jam.
“Saya call polis,” ugut Fatiha.
“Bagus juga tu. Calllah abah saya. Cakap awak setuju
nak dipinang oleh saya. Saya lagi suka.” Sekali lagi Hero
tumbuk tapak tangannya. Semenjak berjumpa dengan Fatiha,
mulut manisnya menjadi-jadi. Dia sendiri pun tak sangka.
“Gatal! Miang! Jijik!” Fatiha rasa geram nak bagi
penumbuk dekat muka Hero biar senget rahangnya. Terlupa
pula dia yang ayah Hero itu seorang polis.
“Saya cari abang awak, Ti’ah.” Hero akhirnya
bersuara serius. Dia nak masuk. Sebab itulah dia gunakan
alasan itu. Kalau Fatiha panggil polis, memang sah dia kena
masuk lokap punya. Bukankah dia dah berjanji dengan Ismail
untuk tidak membuat masalah lagi?
“Dia tidur,” jawab Fatiha laju. Malas dia nak bagi
lelaki macam Hero itu berkawan dengan abangnya. Nanti
entah apa jadi kepada abangnya itu. Sudahlah Izzul cepat
benar terpengaruh.
“Awalnya tidur. Macam budak kecik!” kutuk Hero.
“Semua orang dah tidur. Baik awak pergi balik
sekarang.” Fatiha berkata dengan suara mendatar.
“Siapa tu Ti’ah?”
Tiba-tiba suara si ibu mengkantoikannya. Fatiha
menjerit tanpa suara.
“Hah, tipu saya ya? Nakal awak ni Ti’ah.
Gebu-gebab-debab-bab-bab!” nyanyi Hero dari luar.
Serentak itu, pintu dibuka. Wajah masam mencuka
Fatiha dipandang dengan senyuman paling manis.
“Haaa, buka pun. Bagi abang masuk.”
Serentak itu penumbuk dilayangkan tepat ke hidung
Hero.
“Aduhhh makkkk!!!” Sekali lagi hidung Hero menjadi
mangsa. Tak sangka langsung yang dia akan ditumbuk oleh
Fatiha. Mujurlah jarak mereka tak terlalu dekat tadi. Kalau
tidak, entahkan dah patah hidung dia. Kuat juga tumbukan
Fatiha.
“Awak nyanyi lagi macam tu, memang nahas! Kalau
awak bahasakan diri awak tu abang dengan saya, tahulah
awak. Awak jangan ingat saya takut dengan awak!” Fatiha
memberi amaran. Penumbuk diangkat lagi. Memang gengster
sungguh gaya yang dipamerkannya. Lantaklah kalau Hero itu
bekas banduan atau apa.
“Kenapa buli dia? Ti’ah ni!” marah si ibu.
“Dia ni, gatal!” adu Fatiha.
“Mana ada?” laju Hero menafikannya. Kalau ibu
Fatiha halau dia dari situ, macam mana dia nak jumpa Fatiha
lagi?
“Abang-abang tu tadi apa? Eh, jangan nak mimpi eh
jadi abang saya.” Fatiha jegilkan mata.
“Saya kan kawan abang awak. Saya bahasakan diri
saya abang. Lagipun, tak lama lagi kita kan duduk atas satu
pelamin. Apa kelas nak jadi abang awak? Baik jadi suami
terus.” Semakin menjadi-jadi pick-up line Hero. Depan ibu
Fatiha pun selamba aje dia.
“Mak... tengoklah dia ni.” Nak menangis Fatiha
dibuat Hero. Serabut kepala otaknya dengan lelaki gatal itu.
Depan ibunya pun selamba aje.
“Ini siapa?” Kening Cik Yam berkerut-kerut.
“Cik Yam tak ingat saya? Saya Hero. Dulu rajin juga
saya ke sini.” Panggilan Hero kepada ibu Fatiha masih tak
berubah.
Cik Yam pula terkejut apabila namanya disebut anak
muda itu. Mereka saling mengenali ke?
“Hero mana?”
“Ala... yang gebu-gebab-debab-bab-bab tu...” Hero
menyanyi selamba.
Fatiha rasa macam nak mengamuk. Mujurlah ada
ibunya. Muka Cik Yam automatik bercahaya.
“Oh, Hairul! Ya Allah, besar dah awak. Cik Yam
terlupa sungguh dekat awak. Masuklah. Cik Yam kejut Izzul.
Dah lama dia tidur tu,” jemput Cik Yam.
Hero tersengih kemenangan.
“Bagilah abang masuk,” ujarnya perlahan kepada
Fatiha.
Fatiha menjeling.
“Jangan nak mengada-ada. Tunggu sini aje.”
“Biarlah. Mak jemput bakal menantu dia masuk.”
Hero jelirkan lidah.
‘Mak? Bakal menantu? Dia sedar tak yang dia tu
bakal jadi hantu dikerjakan aku nanti?’ omel Fatiha dalam
hati. Semakin meluat dia dengan Hero.
“Saya tak benarkan awak masuk, kan?” Fatiha masih
dengan muka tak berperikemanusiaannya.
Hero pula langsung tak ambil hati.
“Marahnya dia. Ti’ah... mana pergi lemak-lemak
perut Ti’ah yang boleh buat gitar dulu? Mana pergi double
chin Ti’ah dulu?” soal Hero.
Fatiha dah genggam penumbuk. Takkanlah
selamanya dia nak gemuk? Tahulah lemak di perutnya
berlapis-lapis dulu, tapi takkanlah sampai boleh buat main
gitar? Teruk sungguh imaginasi Hero ni! Biasalah, waktu
kecik dulu berisi. Tu tandanya dia bahagia, kan?
“Eeee dia ni...” Baru lagi Fatiha nak belasah Hero,
si ibu sudah bercekak pinggang. Tak jadi. Terpaksalah dia
benarkan Hero masuk juga.
Akibat bengang, dipijak ibu jari kaki lelaki itu dengan
tumitnya sekuat hati. Terloncat-loncat Hero kesakitan. Kalau
boleh, dia nak wrestling Hero dekat situ. Sebab Herolah,
dia jadi geli telinga berjam-jam lamanya. Langsung dia tak
ceritakan hal itu kepada sesiapa. Dia malu!
Puas hatinya melihat Hero menahan kesakitan.
Ditinggalkan lelaki itu sendiri di situ lantas menyambung
aktivitinya tadi iaitu menonton TV.
Hero tersenyum sendiri.
“Dia marah pun comel,” bisiknya perlahan. Hero
duduk di sofa berdekatan dengan tempat duduk Fatiha. Dia
perasan Fatiha anjakkan diri menjauhinya. Tersenyum lagi
dia. Lantaklah pedih hidung sekalipun. Tak apa, nanti dia
dapat jinakkan juga si Fatiha itu. Dia kan Hero? Hero pantang
menyerah!
No comments:
Post a Comment