HAJI Sufian melangkah masuk ke dalam rumah.
Che Kiah berdesup menerpa ke pintu. “Macam mana, abang?
Hamdan dah tarik dakwaan tu?” soalnya kelihatan tidak sabar.
Haji Sufian tidak terus menjawab. Dia melangkah ke
ruang tamu seraya duduk di sofa berkembar dua. Nafas yang
dihembus seakan-akan membuang keluhan. Che Kiah turut
melabuhkan punggung di sebelah suaminya.
“Abang, kenapa diam? Jangan cakap Hamdan tak jadi
tarik laporan polis yang dia buat. Malulah saya nanti dengan
orang kampung walaupun Nabil tu cuma anak tiri saya,”
sungut Che Kiah. Dalam kepalanya sudah membayangkan
caci maki orang kampung. Tentu ramai yang sudah tahu
sejak polis mendatangi rumah mereka.
“Tak payah risau lagi. Dia dah tarik dakwaan atas
Nabil.”
Che Kiah mengusap dada. Lega.
“Baguslah dia ikut cakap abang. Kalau tak, teruk
imej kita depan orang kampung. Lagi-lagi abang tu ketua
kampung. Silap hari bulan tak ada siapa nak hormat abang
lagi.”
Sepasang mata Haji Sufian menjengah ke sekeliling.
“Nabil mana?”
“Entah. Sejak dia lari macam penjenayah dari rumah
Hamdan, terus tak nampak muka. Gamaknya dia takut polis
cari dia dekat rumah lagi,” rumus Che Kiah.
“Ikutkan hati, nak aje aku bagi penampar dekat
Nabil! Berani dia usik Nailufar. Apa aku nak jawab dengan
Dato’ nanti? Aku dah cakap Lofa tu anak dara. Karang sebab
angkara Nabil, Dato’ Qassim ingat aku tipu dia.” Haji Sufian
melampiaskan amarah yang terbuku.
“Tak payahlah beremosi sangat, bang. Nabil bukannya
berjaya usik Nailufar. Masih ada peluang Dato’ Syed tu nak
dapat yang dara. Yang menjadi persoalannya, Hamdan setuju
ke? Kiah rasa usaha kita tadi belum nampak apa-apa hasil.”
Lagi-lagi Haji Sufian mengeluh.
“Itu yang aku bingung. Nak dipaksa, bukan anak
aku. Kalaulah Dato’ tu berkenan dengan Sara, dah lama aku
kahwinkan. Tapi yang dia idamkan Nailufar walaupun budak
tu bisu.”
“Rimaslah hidup dalam rumah ni! Ayah jangan nak
bandingkan Sara dengan Lofa lagi. Sara benci!” tempik Sara
sebelum mendaki anak tangga semula.
Haji Sufian dan Che Kiah tercengang. Tak jangka
kehadiran Sara di belakang. Mereka semakin terkejut
mendengar Sara menghempaskan pintu di tingkat atas.
Marah sungguh!
“Pedulikan Sara tu. Sekarang apa abang nak buat
dengan Hamdan supaya dia setuju? Makin lama dia fikir,
makin lambat abang nak dapatkan habuan daripada Dato’.”
“Tadi pun puas aku pujuk. Pergi dan balik dari
balai polis, aku tak habis-habis bercakap dengan Hamdan
kelebihan bermenantukan golongan VIP. Tapi Hamdan masih
sama reaksinya sejak aku bawa berita lamaran tu. Kelu dan
tak ada rasa teruja. Kadang-kadang aku rasa nak marah
dia sebab bodoh dan lembap. Entah apalah yang difikirkan
sebenarnya!”
“Sombong betul Hamdan tu! Apalah nak dibanggakan
sangat dengan anak dia yang bisu walaupun cantik. Tetap
cacat. Tuhan nak bagi rezeki besar tapi dia buat jual mahal.
Bukan senang nak dapat menantu Dato’. Dia tak nampak lagi
kemewahan dan kekayaan yang sejengkal depan mata? Apalah
yang dia tunggu sebenarnya?”
Haji Sufian peluk tubuh. Dia mula memikirkan cara
untuk memaksa Hamdan secara halus.
“Aku rasa aku dah kena ungkit soal hutang tanah
dia tu. Dari situ, Hamdan akan mula susah hati. Bila dah
terdesak, tentu dia terima juga pinangan Dato’ Syed.”
Che Kiah mula memicit lembut bahu suaminya.
Senyumannya meleret.
“Bijaklah abang ni. Kiah rasa itu jalan yang terbaik.
Biar Hamdan gelabah bila abang menuntut hutang. Bila dah
terdesak, mesti Nailufar tak sanggup tengok ayah dia susah
hati. Daripada tak setuju, terus jadi setuju.”
Haji Sufian sekadar mengangguk. Semoga
perancangannya membuahkan hasil lumayan.
“Biar Kiah ambilkan air untuk abang.” Che Kiah
bangun ke dapur.
Belakang badan disandar pada sofa. Haji Sufian
teringatkan kata-kata dan reaksi Dato’ Syed Qassim sewaktu
dikhabarkan mengenai kekurangan Nailufar.
“Bisu?” Dato’ Syed Qassim agak terkejut.
“Ya. Ramai yang berkenan dengan Nailufar tapi
bila dapat tahu dia bisu terus tak jadi masuk meminang,”
beritahunya ringkas.
“Oh, maknanya dia tu anak dara lagi? Belum
kahwin?”
“Belum lagi, Dato’.”
“Baguslah kalau dia bisu. Kalau pandai bercakap pun
buat apa. Bingit telinga aku dengar bini kedua dan ketiga tu
bertekak. Kalau bersama Nailufar, tentu aman hidup aku.”
Haji Sufian terkulat-kulat.
“Maknanya Dato’ sukakan Nailufar?”
Dato’ Syed Qassim angguk.
“Mata aku hanya terletak pada tempat yang aku suka.
Aku tak kisah dia bisu. Suara tak penting. Yang penting hanya
kecantikan Nailufar.”
“Dato’ nak jadikan Nailufar isteri Dato’?”
“Memandangkan Nailufar anak dara, tak rugi aku
jadikan dia isteri. Kau boleh uruskan hal ni?”
“Boleh, Dato’.”
Tersungging senyuman di mulut Dato’ Syed Qassim.
“Lepas aku dapat Nailufar, lima puluh ribu ringgit
jadi milik kau.”
Buntang mata Haji Sufian. Lima puluh ribu ringgit?
Jumlah yang besar baginya walaupun sekadar menjadi orang
tengah. Lumayan!
“Okey, saya setuju!”
“Kalau keluarga Nailufar berat hati nak terima
lamaran aku memandangkan aku dah beristeri, kau tawarkan
tiga ratus ribu ringgit dekat mereka. Jadikan hasrat aku ni
satu kenyataan!”
Tiga ratus ribu ringgit? Haji Sufian semakin teruja.
Dalam kepalanya dipenuhi wang yang tak terkira.
“Sebenarnya ayah Nailufar ada hutang dengan saya,
Dato’. Dulu Hamdan pernah sakit jantung. Bila tak cukup
duit, mereka terpaksa pajak tanah kebun untuk pembedahan,
rawatan susulan dan ubat-ubatan. Hutang yang tertunggak
dekat enam puluh ribu ringgit tapi baru suku berjaya dibayar.
Kalau ikutkan perjanjian, saya dah boleh ambil kebun tu tapi
tak sampai hati. Itulah tempat mereka anak-beranak mencari
rezeki.”
“Bagus sangat kalau macam tu. Kau tawarkan tiga
ratus ribu ringgit dan katakan aku sanggup bayar segala
hutang-piutang dia. Yang penting Nailufar jadi isteri aku.”
“Baik, Dato’. Anggap saja hal ini dah selesai. Saya
jamin Hamdan tentu setuju.”
Walaupun Dato’ Syed Qassim tawarkan tiga ratus
ribu ringgit kepada Hamdan, Haji Sufian mempunyai agenda
lain. Dia nampak jumlah itu terlalu banyak untuk Hamdan
sekeluarga. Oleh sebab itu, Haji Sufian sekadar menawarkan
dua ratus ribu ringgit kepada Hamdan. Sementara seratus
ribu ringgit dianggap bonus kepadanya.
Matlamat itu yang ingin dicapai oleh Haji Sufian.
Telah sebulan berlalu tapi hasilnya tetap samar-samar.
Hamdan masih dilema. Itu yang membuatkan Haji Sufian
geram. Terasa ingin dipaksa tapi bukan haknya. Sebab itu dia
mahu mengungkit bab hutang yang belum terlunas. Dengan
itu Hamdan akan berubah cemas dan mula memikirkan
tindakan wajar. Haji Sufian yakin Hamdan akan mengalah
jua akhirnya.
TELAH SEJAM dia berada di atas jalan namun emosinya
enggan tenteram. Pertimbangannya hilang. Pedal minyak
ditekan sekuat hati demi melampiaskan perasaan yang
bercelaru.
Amru bengang. Marahkan dirinya yang sukar
melupakan wajah polos dan belas Siti Nailufar. Puas dia cuba
membuang susuk gadis itu tetapi gagal walaupun sedetik
cuma. Tekanan di dalam hatinya lebih dahsyat. Berselirat
dengan pelbagai rasa. Kecewa, sakit hati, marah dan bimbang.
‘Admit it, you want her to be yours!’
Tersentak. Suara hatinya meningkah. Amru terkejut
besar. “
This is totally insane!” Dia cuba menentang bisikan
hati.
‘Habis, kau rela daddy berkahwin dengan Siti
Nailufar? Kau sanggup hadapi kenyataan bahawa Siti Nailufar
akan jadi ibu tiri kau? Itu yang kau nak?’ tempelak hatinya
lagi.
Rahangnya ketat dek gigi yang terkancing kuat.
‘Daddy dan Nailufar bersama? No way!’ jerit hatinya.
Amru tidak mampu bayangkan kehidupan gadis itu
bakal disia-siakan oleh Dato’ Syed Qassim. Amru tak rela
Nailufar jatuh ke tangan daddynya, seorang kaki perempuan!
Dia tidak sanggup membayangi Siti Nailufar bersama
daddynya. Daddynya cuma ingin memiliki gadis itu kerana
nafsu yang satu! Selepas puas, daddynya akan mula meneroka
dan mencari lagi pucuk muda yang lebih menawan jiwa.
Sebelah tangan melurut kasar rambut. Mungkin
tatkala ini Pak Cik Hamdan telah mencabut dakwaan ke
atas Nabil. Tiada jaminan Nailufar akan sentiasa selamat di
kampung. Sungguh Amru bimbang. Hati lelakinya ingin
melindungi Siti Nailufar daripada segala ancaman dunia. Dia
mahu menjadi lelaki yang Siti Nailufar paut tatkala perlukan
perlindungan. Dia mahu Siti Nailufar berasa selamat dan
aman ketika bersamanya. Semua itu mampu dicapai jika
dia memiliki gadis itu. Memiliki bermakna mengahwini Siti
Nailufar!
‘Kahwin?’ Amru teguk liur. Sebuah hakikat
menghantuinya. Hakikat bahawa Siti Nailufar tak serupa
gadis lain. Kenyataan itu memakan dirinya. Amru tarik nafas
panjang. Sumpah dia buntu menghadapi kemahuan hatinya.
“If she drives you crazy, she’s probably the one.” Lagi
sekali bicara Mustafa menerjah benaknya. Menambahkan
kekeliruan yang sedia ada.
“My first marriage will be my last marriage.”
Itu jawapannya kepada Mus. Kata-kata itu dipegang sejak
dia membenci sikap daddynya. Amru tidak mahu tersalah
langkah dengan mengahwini wanita sembarangan. Banyak
yang cantik datang menyerah diri tapi hatinya belum sudi
memberi. Namun saat hatinya sudi menyerah, terbentang
seribu satu rintangan yang perlu dihadapi.
‘Perasaan yang aku rasa terhadap Nailufar,
berdasarkan nafsu semata atau cinta?’
‘Cinta?’ Amru tak pernah mendalami rasa itu dan
dia enggan menambahkan bebanan di dalam hati. Cukuplah
segala rasa yang bersimpang-siur. Yang pasti mana-mana
perempuan belum pernah mengocak hidupnya setara ini. Siti
Nailufar yang pertama!
‘Take a deep breath, Amru. Relaks. Lembutkan bahu
dan tenangkan fikiran. Selami hati kau sebab jawapannya dah
ada. Jangan biarkan emosi mempengaruhi keputusan kau!’
Mindanya berusaha menenangkan pergolakan jiwa.
Amru masih membayangi seraut wajah. Malam
itu, dia lupa segalanya saat mata rebah di atas sekeping
figura. Tarikan yang sukar ditolak. Amru tenggelam dalam
keindahan, kepolosan dan kelembutan yang ditatap. Sekelip
mata, dia lupa tujuan dan matlamat yang perlu dicapai.
Hatinya bagai diseru untuk mengenali dan mendekati gadis
itu. Dia jelmakan diri semata-mata menunaikan hasrat hati
yang ingin bertentang mata dengan Siti Nailufar.
Matanya tertunak pada papan tanda Ipoh dan
Kuala Lumpur. Dari lorong paling laju, Amru berpindah ke
lorong sebelah kiri. Masuk ke laluan Ipoh. Sepuluh minit
kemudian, dia berada di atas jalan yang bertentangan arah
Kuala Lumpur. Menuju semula ke utara. Destinasi yang baru
sekejap tadi ditinggalkan. Lubok Merbau!
Pedal minyak ditekan sehingga kereta memecut
laju. Setiap detik berharga baginya. Bimbang sekiranya
keluarga itu telah membuat sebarang keputusan. Cemas
dada Amru seakan-akan menghitung masa depan yang tidak
pasti. Selangkah dia terlambat, penyesalan itu bakal dipikul
sepanjang hayat. Amru nekad menempuh seribu badai demi
mendahulukan kemahuan hatinya.
No comments:
Post a Comment