DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 21 February 2017

Seribu Rindu - Prolog


HUJAN.
Lebatnya menderu di angkasa. Langit juga kian
gelap, ditemani angin yang mula menampar pipi remajanya.
Dia berlari, menuju ke bumbung yang hanya beberapa
langkah lagi. Aduhhh... basah lencunlah dia kali ini. Sudah
dipesan tadi, tapi dia degil. Kalau dibawa bersama dengannya
sekaki payung, pasti panjang saja langkahnya. Basikalnya
pula, waktu beginilah mahu putus rantai. Hesyyy... Tapi kalau
tak kerana dia yang mahu makan cekodok pisang, taklah dia
yang kena ke kedai. Nasib baik tepung gandum dan telur yang
dibelinya kalis air, selamat di dalam plastik yang dijinjingnya.
Masih belum jam tujuh, tapi suasana sudah gelap
seperti malam. Bunyi motosikal masuk ke laman rumah
tinggal itu buat hatinya berdebar. Kilat melintas di ruang
angkasa buat dia kian gentar.
Zarra peluk lutut. Matanya bulat memandang
sesusuk tubuh.
Siapakah itu? Dia telan liur, kecilkan tubuh. Bila
kelibat itu memanjat tangga dan duduk di anak tangga yang
kedua, dia sekali lagi telan liur. Dalam kilat yang sesekali yang
memancar, dia nampak wajah itu.
Oh... sepupu Kak Husna, ustazah di sekolahnya.
Hisham, anak orang kaya kampung sebelah. Inilah jejaka
yang selalu disebut-sebut Tuty dan kawan-kawan sekelasnya
yang lain. Nampak dari sisi memang handsome.
Zarra palingkan muka, tarik nafas dalam-dalam. Bila
dia kembali menoleh, matanya bulat memandang Hisham
yang memandangnya tajam. Lelaki itu tiba-tiba bergerak
mendekatinya. Hati remajanya diselubung rasa risau. Kali
ini jejaka itu bangun, menguak rambut yang terjurai di
dahi sambil bergerak kian hampir dengannya. Hatinya kian
melompat ketakutan. Apa mahunya?
YA ALLAH... Ya Allah... Dia buka mata, perlahan-lahan.
“Abang Sham minta maaf, maafkan abang...”
Lelaki itu merayu, berlutut di hadapannya.
Zarra mengongoi. ‘Ya Allah, kenapa aku?’ Dia
mengesat bibirnya yang sedikit berdarah. Pakaiannya
disarung kembali dengan perlahan. Tubuhnya serasa luruh
dari tulang dan lemah. Dia menangis lagi. Hujan masih lebat,
guruh kian sabung-menyabung tanpa sedar ada insan yang
menderita kerananya.
“Abang Sham minta maaf. I’m really sorry... Ya
Allah, ampunkan abang...”
Kali ini lelaki itu merayu, pandang tepat pada
matanya yang masih merembes air mata.
“Pergi! Pergi!!!” Dia menjerit sehabis daya.
Menggeletar jemarinya namun dia tidak mampu
mengangkatnya. Dia mengongoi.
Hisham terpanar. ‘Ya Allah... apa yang dah aku
lakukan ni?’
Dipandang Zarra yang kian hebat tangisnya. ‘Apa
yang dah kau buat, Hisham Adli? Apa yang dah kau lakukan
ni?’ Diketuk dahi berkali-kali. Tak sanggup dia memandang
Zarra yang masih lagi teresak-esak.
Zarra.
Dia tahu. Dia kenal siapa Zarra. Dia selalu pandang
gadis itu sewaktu pulang dari sekolah. Cuti semesternya yang
pertama, dia banyak ke kampung ini untuk bermain futsal.
Sesekali dia menjeling apabila gadis ini mula menampakkan
bayang. Ke kedai mahupun ke bengkel batik milik bapa
saudaranya. Hati mudanya terpaut dengan kelembutan dara
sunti itu. Namun, apa yang dia dah perlakukan terhadap
Zarra sebentar tadi bukan niatnya. Dia digoda nafsu. Allah...
dia tewas pada bisikan nafsu. Macam mana ni?
“Pergi! Aku bunuh kau! Pergi!!!”
Hisham berteleku, menyarung t-shirtnya lalu
meredah hujan bersama EX-5 milik abangnya. Sekilas dia
memandang, mengutuk diri yang hilang pertimbangan.
DIA TEKUP mulut. Segala barang yang dibelinya diletak
pada meja di dapur. Dia masuk ke bilik, mengunci diri dan
menangis di bantal dalam diam.
‘Ya Allah, apa salah aku? Kenapa aku?’ Nafasnya
turun naik, menahan gegar dalam dada. Pintu biliknya
diketuk beberapa kali.
“Zarra? Zarra tak apa-apa?”
Dia kesat mata, telan liur.
“Zarra okey, mak. Nak salin baju, basah. Zarra nak
mandi kejap, nanti Zarra keluar.”
“Okey. Mak buat jemput-jemput dulu ya. Nanti dah
mandi, kita makan sama-sama.”
“Okey.”
Bunyi derap kaki dari lantai kayu itu buat dia
menangis lagi. ‘Mak, andainya mak tahu...’

No comments:

Post a Comment