DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 22 February 2017

Jom... Bercinta! - Bab 6



SEBAIK sahaja selesai solat subuh berjemaah,
Rafiq menghampiri Atilia. Kata-kata Ayman Hyeqal dan
permintaan neneknya membuatkan dia terpaksa mengambil
keputusan sedrastik ini walaupun hatinya enggan. Kata
Ayman Hyeqal, dia harus memikirkan hasrat neneknya. Dia
tidak boleh mementingkan diri.
Menurut Ayman Hyeqal, dia harus buang sifat egonya
memandangkan Atilia itu sebahagian ahli keluarganya. Dia
tidak wajar bersikap dingin terhadap Atilia kerana gadis itu
tidak ada salah terhadapnya. Gara-gara asakan demi asakan
dan kaunseling percuma daripada Ayman Hyeqal, dia akan
cuba memberi peluang kepada ibu saudaranya itu.
“Hari ni kau lapor diri kat Polimer Qualitas.”
Atilia yang sedang melipat kain telekung terkejut
apabila ada suara yang menyapanya. Sudahlah tak ada intro,
bersuara pun ala-ala tuan besar. Tegas bukan main!
“Raf cakap apa tadi? Che Su tak berapa dengarlah.”
Sengaja dia berkata begitu. Ingat Rafiq seorang sahaja boleh
tunjuk egonya? Dia pun boleh juga. Cuma dia malas hendak
mengeruhkan hubungan antara mereka yang memang tidak
pernah jernih. Lagi pula hatinya terlalu berat hendak bekerja
di mana-mana anak syarikat yang boleh menyebabkan dia
perlu berhubung dengan Rafiq.
“Aku suruh kau lapor diri kat Polimer Qualitas.”
Rafiq bersuara sedikit tegas.
“Polimer Qualitas? Kat mana tu?”
“Kat Pasir Gudang.”
‘Pasir Gudang je? Dia ingat Pasir Gudang tu kecik?
Bagilah tahu kat mana tempatnya. Paling tidak pun nama
jalan. Kan senang. Hesy!!! Tak apalah nanti aku Google kat
mana tempatnya,’ getus Atilia.
“Kalau Che Su pergi lewat sikit, boleh?” Dia sudah
berjanji dengan Raid, takkan hendak dibatalkan pula? Lagipun
Rafiq memberitahunya tujuh jam lewat daripada Raid. Jadi,
tidak wajar jika dia mendahulukan Rafiq pula.
Berkerut dahi Rafiq.
“Kau nak buat apa sampai masuk lewat?”
“Err... dah janji dengan kawan nak pergi beli baju.”
“Oh, beli baju. Beli baju tu lagi penting ke?”
Berdesing telinga Atilia mendengar sindiran
Rafiq. Menyerbu darah merah naik ke muka. Ringan sahaja
tangannya hendak melayang ke muka anak saudaranya itu.
Sudahlah kes terasa hati malam tadi masih belum bertemu
noktahnya. Kini ditambah pula dengan ‘kes’ baharu.
“Penting!” Ringkas sahaja jawapan Atilia, namun
terselit nada tegas.
“Kau ni nak kerja ke tak nak? Kalau tak nak, cakap
awal-awal. Nanti mama fikir aku memang sengaja tak nak
bagi kau kerja.”
Atilia mengeluh. Apabila Rafiq menyentuh perihal
mamanya, hatinya jadi tewas. Dia memang tidak sanggup
hendak mengecewakan hati mamanya. Tetapi apabila
mengenangkan sikap anak saudaranya yang seorang ini,
hatinya terus jadi lemah. Semangatnya hendak bekerja
terus jatuh menjunam. Daripada dia bekerja berdekatan
dengan Rafiq, ada baiknya dia bekerja dengan Nur Ain di
Selangor. Walaupun masih di bawah pemantauan Rafiq,
sekurang-kurangnya jauh. Tapi mamanya akan benarkan ke?
Itulah masalahnya sekarang. Pasti mamanya menghalang
keras!
“Kalau tak boleh masuk lewat, tak apalah. Mungkin
bukan rezeki Che Su nak bekerja di syarikat kita.” Mungkin
ini adalah alasan yang terbaik untuk dia tidak menyertai
mana-mana anak syarikat milik Dinamik Grup. Daripada
hatinya sakit dan jiwanya meroyan melayan fiil Rafiq, lebih
baik dia bekerja dengan syarikat lain.
‘Huh, nak merajuk ke apa ni? Ingat aku teringin
sangat nak pujuk? Mimpilah!’ gerutu Rafiq.
“Pagi ni, kau lapor diri dulu. Lepas tu, boleh balik.
Hari ni, aku masih boleh bertolak ansur lagi. Tapi esok, kau
kena masuk kerja ikut jadual.”
Atilia pandang wajah Rafiq dengan rasa tidak percaya.
Benarkah lelaki itu boleh bertolak ansur dengannya? Dia
baru nak buat sujud syukur jika Rafiq tidak jadi menawarkan
pekerjaan tersebut kepadanya.
“Nanti kau mengadu pulak kat mama kau kata aku
tak bagi kerja.” Melihat kelopak mata Atilia yang terkelip-kelip
memandangnya, dia dapat mengagak yang Atilia tidak percaya
dengan jawapan yang diberinya sebentar tadi. Dia bukanlah
manusia yang kejam hingga permintaan kecil neneknya
langsung tidak mampu hendak dilaksanakan.
Atilia menceber. Ingat dia budak kecik ke suka
mengadu? Lainlah orang yang di hadapannya ini, asyik sentap
dua puluh empat jam. Mengalahkan orang perempuan datang
bulan!

SELESAI bersiap, Atilia turun ke ruang makan untuk
bersarapan. Semua mata tertumpu ke arahnya membuatkan
dia membelek tubuh seketika. Ada yang janggal ke? Sambil
melangkah dia membaiki awning tudung dua layernya. Blaus
berwarna merah yang dipakainya disentuh, begitu juga slek
berwarna putih yang melekap pada tubuhnya. Bimbang jika
pakaian yang tersarung pada badannya tidak sesuai dengan
penampilannya hari ini.
“Tia lawa-lawa ni nak ke mana?” Puan Ainon bersuara
sebaik sahaja Atilia melabuhkan punggung.
“Err... Raf suruh Tia lapor diri hari ni.”
Puan Ainon dan Siti tersenyum mendengar
penjelasan Atilia. Mendengar kata juga Rafiq itu.
“Raf suruh Tia kerja di mana?” Abdul Razak bertanya
sebaik sahaja terlihat batang hidung Rafiq.
“Polimer Qualitas, ayah.”
Berkerut dahi Abdul Razak mendengarnya. Anaknya
yang baru mengambil tempat duduk dipandang.
“Kenapa tak suruh Tia kerja sekali dengan Raf?
Bukan ke mudah?” Abdul Razak bersuara.
“Apa yang mudahnya ayah?” soal Rafiq sambil
menyua cawan ke bibir.
“Pengangkutanlah...”
 “Betul cakap ayah tu, Raf. Kenapa suruh Che Su
kerja kat Polimer Qualitas? Che Su kamu manalah ada kereta
lagi. Tak boleh ke Raf sediakan tempat untuk Che Su di
Polimerlatex?” Siti pula bersuara.
“Tak payah bising-bising. Nanti mama belikan kereta
untuk dia. Lagipun Pak Taha ada untuk hantar Tia ke tempat
kerja.”
Rafiq buat endah tak endah dengan perbualan ayah,
ibu dan neneknya. Dia meneruskan sarapannya.
“Masalahnya mama, Pak Taha kan hantar Jak ke
tempat kerja. Lepas tu, dia hantar mama dan Siti ke kelas
agama. Kasihanlah dia nak ulang-alik. Nak tunggu kereta
baru pun, makan masa empat lima hari juga. Silap-silap
lebih.”
Puan Ainon berfikir sejenak. Ada benarnya juga
kata-kata anak lelakinya itu.
“Kereta Raf yang lain kan ada, bagilah pinjam kat
Tia dulu. Tak pun guna aje kereta yang ada kat rumah ni.”
Siti memberi cadangan. Dia memang tidak berani memandu.
Bahkan lesen pun tak ada.
“Err... tak naklah ibu. Kereta yang ada tu besar
sangat, tak sesuai untuk Tia.” Atilia menolak. Gerun! Kereta
Rafiq lagilah dia tak mahu. Calar ke, kemik ke, ada karang
kena berleter dengan lelaki itu setiap saat.
“Buat sementara waktu, Tia tumpang Raf dulu
memandangkan kamu berdua bekerja di Pasir Gudang.”
Abdul Razak membuat keputusan.
“Mana boleh, ayah. Jika Raf ke Kluang, siapa yang
nak hantar?” Rafiq menghentikan suapannya. Nasi lemak
yang sedap itu sudah tidak terasa enaknya lagi apabila dia
diminta berkorban masa dan tenaga untuk Atilia.
“Raf ke Kluang tu bila? Bukannya selalu. Sebulan
sekali, kan? Mungkin ketika tu, kereta Tia pun dah keluar.”
Abdul Razak bersuara kembali.
Rafiq mengeluh tidak puas hati. Dahlah dia kena
bagi kerja, lepas tu kena tumpangkan pula. Makin ‘gemuk’lah
mak saudaranya itu karang.
“Tak apalah ayah, Tia boleh naik teksi. Tak pun Tia
naik bas. Dah lama Tia tak naik bas.”
“Jangan nak mengada-ada. Tia ingat senang nak
dapatkan bas dan teksi kat kawasan ni?” Puan Ainon menegah.
Dia sebenarnya takut anaknya menaiki pengangkutan awam.
Bimbang sampai ke rumah lewat malam.
“Tia nak kereta apa?” Siti bertanya kepada adik
iparnya itu. Wajah mencuka anaknya dijeling sekilas. Tahu
sangat dia yang Rafiq tidak bersetuju dengan cadangan
suaminya.
“Viva pun dah okey, ibu. Tia suka kereta yang
comel-comel, mudah nak parking.”
“Raf... carikan RCZ untuk Tia.” Abdul Razak pantas
bersuara.
Rafiq pandang ayahnya. Kenapa dia yang kena
uruskan segala perihal Atilia? Ibu saudaranya sudah dewasa,
sudah boleh urus sendiri. Takkan belajar tinggi-tinggi perkara
yang mudah pun tak reti nak buat?
“Ada apa-apa lagi yang nak suruh Raf uruskan buat
tuan puteri tersayang ni?” Rafiq bersuara, bibirnya juga turut
mengukirkan senyuman. Sinis! Semalam neneknya suruh
sediakan tempat di Polimerlatex dan carikan calon suami.
Hari ni, ayahnya arahkan cari kereta. Esok, apa pula?
“Hari ni, Raf kena jadi driver Che Su.” Siti bersuara.
“Tuan puteri, patik dah nak berangkat ke tempat
kerja. Tuan puteri tak nak pergi lagi ke?” Wajah-wajah yang
memandangnya, Rafiq buat tidak mengerti saja. Biar mereka
semua tahu yang hatinya tidak ikhlas melakukan semua itu.
“Sarapan ni kenapa tak habiskan?” Puan Ainon
menegur cucunya.
Siti dan Abdul Razak geleng kepala dengan sikap
anak mereka.
“Dah kenyang,” balas Rafiq yang semakin menjauh.
“Pergilah Tia. Nanti bising pulak si Raf tu. Maafkan
perbuatan dia, ya? Ibu pun tak tahu kenapa dia jadi begitu.
Gaduh dengan makwe dia agaknya.” Siti usap lembut bahu
adik iparnya. Kasihan Atilia, belum sempat sarapan dah
terpaksa ke tempat kerja.
“Tak apalah ibu, Tia faham.” Tangan dan pipi kakak
iparnya dikucup sebelum mendapatkan mamanya.
“Tia pergi dulu, mama.” Tangan yang
membesarkannya selama ini dikucup, begitu juga pipi tua itu.
“Hati-hati kat tempat kerja tu, Tia.” Hati Puan Ainon
gundah, entah apalah jawatan yang bakal diberikan oleh
Rafiq. Angin cucunya itu bukannya boleh ditebak. Jangan
disuruh jadi pencuci tandas, sudah. Memang dia hentam
cucunya itu cukup-cukup.
“Baik, mama.” Atilia mempercepatkan langkahnya.
Bimbang Rafiq mengamuk.
“Jak tahu jawatan apa yang Raf nak berikan kepada
Tia kat Polimer Qualitas?” Puan Ainon bersuara selepas Atilia
dan Rafiq hilang dari pandangan. Bukan main kelam-kabut
lagi anak gadisnya mengejar Rafiq yang sudah jauh ke
hadapan sebentar tadi.
“Jak pun tak pasti, mama. Mama jangan risaulah.
Jak yakin dia tak akan beri jawatan yang pelik-pelik untuk
Tia.” Abdul Razak memujuk mamanya. Dia pun pelik dengan
sikap anak lelakinya itu. Selalunya berbincang dulu dengan
dia sebelum membuat sebarang keputusan. Tapi kali ini tidak.
 “Tapi kalau dia buat macam-macam kat anak mama,
kamu berdua kena dengan mama.” Puan Ainon mengugut.
Abdul Razak ketawa. Geli hati dia melihat mimik
tidak puas hati mamanya. Gara-gara Rafiq, dia pun turut
menerima tempiasnya.
“Mama jangan risau. Jika jawatan yang Raf tawarkan
untuk Tia tidak bersesuaian, Jak akan tarik Tia ke Dinamik.”
Puan Ainon angguk kepala. Setuju.
“Dahlah, mari kita sarapan. Mama dah lapar ni.”
Geram dengan tingkah cucunya, terbantut dia hendak
menikmati sarapan pagi.

ATILIA menoleh ke sisi kanannya. Risau dia dengan cara
pemanduan Rafiq. Mengalahkan polis hendak kejar kereta
penjenayah sahaja lagaknya. Bukan main lagi mencilok.
“Kita dah lewat sangat-sangat ke?” Atilia bersuara
juga walaupun takut diherdik Rafiq. Cara pemanduan
Rafiq buat dia kecut perut. Silap-silap bukannya lapor diri
di Polimer Qualitas, sebaliknya ‘check-in’ di mana-mana
hospital berhampiran.
“Aku tak! Tapi kau tu masuk kerja pukul lapan pagi.”
“Kata baru lapor diri. Takkan tak boleh lewat sikit?”
“Kau tengah ajar aku ke?” Rafiq bertanya tidak puas
hati. Dia memberi lampu tinggi supaya kereta yang bergerak
perlahan di lorong kanan beralih ke kiri.
“Bukan macam tu.”
“Habis tu apa? Hei... cuba kau sedar diri tu sikit. Kau
ingat jawatan kau tu MD, nak lapor diri sesuka hati? Belum
start kerja lagi dah nak tunjuk besar kepala.” Rafiq merungut.
Atilia mengeluh. Dia tahulah jawatannya bukan
Managing Director, tapi takkanlah Rafiq tak boleh nak
consider sikit? Sudahlah awal pagi tadi baru beritahu tentang
tawaran tersebut. Jawatan yang disandangnya pun tidak
dinyatakan. Lalu bagaimana? Salah dia juga ke?
Rafiq terus menuju ke kotak parkir sebaik sahaja
melepasi pondok pengawal.
“Kita dah sampai.” Rafiq terus mematikan enjin
kereta. Dia kemudiannya keluar dari perut keretanya.
Atilia memandang bangunan yang bakal dia bekerja
nanti. Agak kecil saiz kilang tersebut berbanding Polimerlatex.
Dia pernah ke Polimerlatex bersama arwah papanya dulu.
“Kenapa tak keluar lagi? Kau nak suruh aku dukung
atau nak suruh aku hampar permaidani merah dulu?” Rafiq
menjenguk sedikit ke dalam kereta.
Atilia tarik nafas dalam-dalam sebaik sahaja kata-kata
sinis Rafiq menampan pendengarannya. Bukanlah lama mana
masa Rafiq yang dia ambil. Sekadar beberapa saat sahaja, itu
pun dah bising mengalahkan kena tunggu sepuluh jam.
“Nak keluarlah ni.” Atilia bersuara perlahan. Pintu
kereta ditolak perlahan-lahan, bimbang mendatangkan
kerosakan pada kereta tersebut. Nanti apa pula yang Rafiq
cecehkan lagi.
Rafiq mendengus sambil menutup kasar pintu
keretanya. Tersentak Atilia.
‘Dia ni kenapalah asyik meroyan aje? Gaduh dengan
awek ke? Hesy... tak matang sungguh! Ada ke campur aduk
masalah peribadi dengan orang sekeliling. Tak profesional
langsung!’ getus hati Atilia. Dia segera berjalan pantas
mendapatkan Rafiq yang sudah beberapa langkah di hadapan.

No comments:

Post a Comment