DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 February 2017

Seribu Rindu - Bab 6



PUAS hatinya. Kartini menyedut air itu perlahan-lahan. Hatinya sesejuk air yang ditelan. Beberapa potongan daging juga disuapnya ke mulut. Sedap, lembut dan berjus.
“Baru kena dengan tempat dia, Miss Tini. Kalau dia tak larat nanti, tahulah dia berhenti kerja sendiri.”
Kartini senyum senget. Dia bukannya kejam sangat. Kerjalah kalau nak kerja, jangan ganggu Hisham sudah. Sekampung ke, satu sekolah ke, itu cerita lama. Manusia banyak sangat emosi. Cerita lama pun mahu dikenang-kenang. Kenal masa kecil, sekarang sudah besar, takkan nak main pondok-pondok lagi kut? Childish.
“Jadi, orang kampung Hisham tu dah start kerja di housekeepinglah?”
Liyana angguk laju-laju.
“Tapi Puan Fetty dengan Madam Jayasri sibuk tanya pasal dia, risaukan dia kerja dekat situ. Menyibuk je dua
manusia tu.”
“Fetty dengan Jayasri di HR tu? Cakap dengan diaorang, jangan menyibuk. Nanti dengan diaorang I suruh buat kerja housekeeping.”
Liyana tergelak. Kan, kalau Fetty kena pecat lagi baik, boleh dia minta Kartini naikkan pangkat, gantikan dia dengan tempat Fetty.
“I tak rasa Hisham tahu niat si Zarra tu, Miss Tini.”
Kartini telan stik itu perlahan-lahan. “Maksud you?”
Liyana pandang Kartini, kerutkan dahi seketika. “I rasa kan, Miss Tini... Zarra tu memang ada niat nak usyar Hisham. Yalah, dia tahu Hisham tu kan sekarang ni dah berjawatan besar, anak orang senang kan. Mesti dia ada niat nak dekatkan diri.”
Kali ini Kartini letakkan garpu dia perlahan-lahan. Dia angkat gelas, teguk air beberapa kali. “Betul juga cakap kau ni kan? Takkan Hisham, mesti budak bodoh tu yang menyibuk nak menempel. Parasit.”
Bulat mata Liyana. “Betul tu, Miss Tini. Dia memang parasit.”
Kartini senyum. Dia sudah masak dengan perangai ‘parasit’. Ni ha, dekat depan mata dia, sama juga. Si Liyana ni parasit juga, bezanya Liyana pandai mengambil hatinya, pandai cari berita dan cerita. Lebih tepat lagi, Liyana jadi mata dan telinga dia di sini. Hah! Kalau dah lumpur, palit kat mana-mana pun tetap lumpur. Dia tersenyum sendiri.
“Bila Miss Tini nak buat spotcheck lagi?” soal Liyana serius.
Kartini geleng kepala. “I tak boleh selalu datang, Sham marah. Papa pun. Papa tu selalu take side, sokong Sham.”
Liyana ketawa kecil. “Laa... kalau bukan papa you,
siapa lagi yang nak sokong Hisham? Dia kan bakal menantu Tengku, mesti dia sokong Hisham.”
Logik juga alasan si Liyana ni. Kartini kembali senyum. “Okeylah... nanti I belikan handbag baru untuk you. Minggu depan I nak pergi KL, pergi Pavilion.”
Liyana tersengih macam kera dapat bunga. Tak sia-sia dia mengorek cerita. Akhirnya dapat juga habuan yang diidam-idamkan.
“Alaaa... It’s okay, Miss Tini. I cuma nak tolong you saja.”
Kartini senyum. ‘Huh... aku kenal siapa kau.’
“No, no... You memang penting buat I. You are my friend, right?”
Liyana cepat-cepat tersenyum. Huihhh... kembang hatinya.
ALAHAI... MACAM tongkang pecah. Comforter kat lantai, bantal pun kat lantai. Nasib baik tilam tak bergerak. Tidur ke mengamuk penghuni bilik ni? Zarra geleng kepala. Dia kutip semuanya lalu susunkan di hujung bilik. Pintu bilik mandi itu dibukanya perlahan. Amboiii... tuala pun main campak macam tu... Orang ke monyet ni?
Wanie tarik troli perlahan-lahan ke dalam ruang bilik. Terbeliak matanya memandang. Sah. Ni mesti couple honeymoon punya kerja. Bunga mawar pun main tabur-tabur di atas lantai. Dia cekak pinggang.
“Aku tahu ni kerja kita, tapi manusia macam ginilah yang paling aku benci. Ingat ni bapak dia punya hotel ke apa,” bebel Wanie sambil memasang plug vacuum cleaner. Teruk
betul. Nak buat apa kat dalam bilik ni, buatlah. Bukan dia kisah pun. Namun, biarlah ada otak sikit.
“Kalau macam ni punya gaya, couple baru kahwin tak pun baru dapat bini muda. Mau tunggang terbalik bilik ni dibuatnya.”
Zarra gelak. Tangannya pantas menukar cadar dan comforter. Bantal juga digantikan sarungnya selepas dikebas beberapa kali. Ni kalau neneknya nampak, mahu Tok Teh sumpah penghuni bilik ni jadi gobek sirih. Dia tersenyum sendiri. Bunyi Wanie ketawa dari dalam bilik air buat dia menjenguk.
“Apa hal?” soalnya ingin tahu.
Wanie masih gelak kuat-kuat.
“Aku kan, rela kutip Pampers daripada benda ni... bengong betul diaorang ni...”
Di tangannya yang bersarung, ada sehelai panties merah jarang.
Zarra tutup mulut sambil terduduk. Aduhai...
“Zarra rasa kan kak, dia tinggalkan untuk akak. Tanda ingatan tulus ikhlas.”
Mereka sama-sama ketawa.
“Eh, Zarra... perut akak memulas la. Akak pergi tandas dulu.”
“Laaa... guna je yang sini, nanti basuhlah.”
Wanie geleng kepala.
“Gila kau, mana boleh. Akak turun jap.”
Zarra ketawa lagi.
“Akak pergi je. Biar Zarra sudahkan bilik ni. Pergi jelah...”
Bagai ribut Wanie berlari keluar. Mahu Zarra ketawa
kuat-kuat. Dia kembali ke katil, mengemas sebaik mungkin. Beberapa tong sampah dia kosongkan. Langsir juga dibukanya luas agar cahaya matahari dapat masuk. Bunyi pintu ditutup buat dia tersenyum.
“Amboi, cepatnya melabur, kak.”
Tangannya masih lincah menyembur pewangi fabrik.
“Zarra okey?”
Kaku tangannya di udara. Perlahan dia menoleh.
Hisham.
Hisham yang tersenyum memandangnya. Berdiri di hadapannya dengan tangan memeluk tubuh. Sepasang mata itu memandangnya lembut, tersenyum kepadanya. Allah... kuatkan hatinya. Dia menarik nafas berkali-kali, memujuk hati supaya jangan bergetar terlampau hebat.
“Zarra okey?”
Dia diamkan sahaja. Biar lelaki itu bercakap sendiri. Lebih penting baginya untuk menyiapkan kerja.
Hisham tarik nafas dalam-dalam. Kebetulan dia lalu, terserempak dia dengan Wanie yang laju saja lariannya. Bukan niatnya untuk mengacau Zarra, namun hatinya rindu. Kalau dulu, boleh saja dia melirik pada gadis itu di kaunter resepsi, kini dia perlu gunakan segala peluang, segala ruang.
“Zarra, Zarra tak nak cakap langsung dengan abang ke? Fine. Abang tunggu di sini.”
‘Eee... aku baling dengan botol syampu ni karang, benjol dahi tu.’ Zarra terus membisu. Semua sudah siap. Tinggal bilik air sahaja. Dia berjalan, pantas dan laju.
Hisham cuba meraih tangan itu namun hatinya melarang. Dibuatnya Zarra menjerit, mahu kecoh satu hotel. Biru mukanya nanti. Aduhhh... kerasnya hati gadis nan seorang ini. Dia jeling Zarra yang mula mengemop lantai bilik
air. Kali ini dia tekad. Hisham melangkah masuk, mengunci pintu bilik air lalu bersandar padanya.
“Abang buat apa ni?”
Haaa... bercakap pun. Ingatkan nak bisu terus. Hisham sembunyikan senyum di sebalik jemarinya.
“Abang nak tolong Zarra basuh tandas, boleh?” soalnya bergurau. Aduhai, manisnya gadis itu bila menyinga marah. ‘Marahlah, asalkan kau ampunkan aku, Zarra.’
“Nah, mop lantai ni. Ke tepi, Zarra nak keluar!” Sedikit kuat suara gadis itu. Dia sudah geram. Kalau diikutkan hatinya, ditonyohnya mop itu ke muka Hisham yang tersenyum lebar.
Hisham sandarkan badan ke pintu, depakan tangan. Ni kalau si Zarra betul tonyoh muka dia dengan mop, memang dia pengsan kut. Dia telan liur perlahan-lahan.
“Abang nak jumpa Zarra. Abang nak kita duduk dan berbincang, boleh?”
Kali ini Zarra betul-betul naik angin.
“For real? Nak bincang dalam bathroom ni? Kat sini? Encik Hisham nak saya kena buang kerja? Siapa? Siapa yang tanggung mak dan nenek saya? Ke tepi!”
“Abang...”
Zarra angkat wajah, mengetapkan bibir beberapa kali.
“Abang apa abang?” soal Zarra sakit hati.
“Biar abang tanggung Zarra. Abang tanggung mak. Abang tanggung nenek.”
Hatinya bergetar. Tangannya dikepal beberapa kali. Tubir matanya sudah lama berair namun dia masih mampu menahannya. ‘Kenapa? Kenapa kau seksa aku begini, Ya Allah...’
Hisham tarik nafas dalam-dalam. Tak mampu dia melihat wajah gadis itu yang mulai hiba. Hatinya ngilu. Dia perlu betulkan segalanya.
“Abang akan bertanggungjawab atas semuanya.”
Zarra geleng. “Zarra tak ingin. Zarra benci abang!”
Lelaki itu mengukir senyum, hiba dan sesal.
“Berikan abang peluang, Zarra...”
Dia mengesat pipi, berkali-kali. Dipandangnya lelaki itu dalam air mata yang berjuraian. Bukankah dia sudah berjanji untuk tidak menangis lagi di hadapan lelaki ini?
“Tolonglah... izinkan Zarra keluar...” rintihnya perlahan.
Hisham mengalah. “Abang minta maaf. Kita jumpa lagi. Sungguh, antara kita masih banyak yang perlu kita bincangkan, Zarra. Abang minta maaf untuk hari ini.”
Perlahan lelaki itu keluar lalu menarik daun pintu. Bila saja pintu itu dikatup rapat, Zarra terduduk di lantai. Dia menangis dan terus menangis.
DIA BERSANDAR pada sofa, merenung langit di luar tingkap. Jemari diangkat, menghadang sinar yang perlahan menusuk penglihatan. Jari-jemari ini juga yang pernah memegang Zarra, mengasari gadis itu dan membuat sesuatu yang di luar fikirannya. Dia menarik tangan, meletakkannya ke dahi.
“Kenapa dengan kau?”
Matanya perlahan dibuka. Yusri melunjurkan kaki di sofa di sebelahnya.
“Masalah yang kusut.”
Yusri tersenyum, matanya pula yang terpejam. Kalaulah mampu dia lelap sebentar.
“Kalau kusut, leraikan perlahan-lahan. Yang kusut bukannya boleh kita tarik, nanti putus. Leraikan dari awal, perlahan dan berhati-hati. Insya-Allah, ada penghujungnya.”
Hisham luruskan badan, pandang Yusri yang seakan-akan terlelap. Boleh tahan juga kata-kata hikmat si botak ni.
“Apa yang kusut sangat? Aku tengok kau dengan Miss Tini tu okey je.”
Hisham kembali menyandar. Lepaskan nafas sepanjang mungkin.
“Bukan dia.”
Kali ini Yusri buka mata, pandang dia luas-luas.
“Siapa?”
Hisham senyum hambar.
“Cinta lama.”
Ahhh... itu memang sakit. Lagi sakit kalau cinta lama hadir tatkala cinta baru mahu berputik, mewangi di laman hati. Susah tu.
“Apa kusutnya? Lupakanlah saja.”
Hisham geleng beberapa kali. “Tak boleh, Yus. Ada ikatan antara kami yang belum selesai.”
Yusri menyeringai, sedikit menggeliat. “Kalau macam tu, kahwin dua-dua terus. Bukannya kau tak mampu.”
Hisham tergelak kecil. Nak mati? Mahu dia dicampak ke gaung paling dalam? Hooo... pantang uminya bila anaknya menduakan cinta. Kata umi, abi mampu terus setia, takkan anak-anaknya tak mampu buat perkara yang sama?
“Tak nak cari penyakit, Yus. Daripada tak ada 
penyakit, dapat bertimpa-timpa.”
“Siapa dia?” soal Yusri ingin tahu. Siapa yang mampu menggetarkan hati si Hisham ni? Kartini anak bongsu Tengku Adnan cantiknya mengalahkan selebriti. Mulus dan kaya raya. Takkan Hisham sanggup tinggalkan Kartini demi cinta lama?
“Rahsia. Bukan masanya lagi. Nanti kalau kau tahu, mesti kau terkejut.”
Yusri bangun. Mencerut dia lapar. Kena turun bawah ni, isi perut dulu. “Tak apa. Nanti aku tahu jugak.”
“EH, KENAPA dengan Zarra ni? Zarra okey? Jatuh bilik air ke?” soal Wanie sedikit gementar. Apa kena dengan si Zarra ni? Menangis di birai katil.
Zarra geleng kepala. Beberapa kali dia sapu pipi, mahu segera kering. “Zarra migrain. Pening kepala sangat.” Sengaja dia menekan-nekan dahi, mengerutkan kening.
Wanie urut dada. “Huh, berdebar akak, tau... Dah, biar aku sambung.”
“Dah siap. Jom Kak Wanie, makan nak? Laparlah...”
Wanie tersenyum lebar. “Samalah. Selepas ‘kosongkan’, kenalah refill balik.” Ditariknya tangan Zarra.
Migrain. Masuk angin pun mungkin. Wanie senyum lagi. Biasalah, budak-budak baru kerja memang macam tu. Itu pun belum masuk musim cuti sekolah. Hooo... cuti sekolah jawabnya tiga kali ganda beban kerjalah.
“Dah, nanti makan Panadol. Kita makan dulu. Aku goreng nasi ikan kukus dengan cili padi. Sedap wooo... Lepas makan ubat, Zarra rehat.”
Zarra geleng lagi.
“Lepas makan kita sambung kerja. Zarra dah okey.”
Wanie cebikkan bibir. Degil. Okey apanya mata merah macam naga berapi. Zarra, Zarra.
“SEDAP?”
Abid angkat dua ibu jari. Digigitnya lagi hirisan daging masak asam tadi. Kalau kena dengan nasi panas ni lagi haru. Tambah sambal belacan dengan petai jeruk.
“Zach?”
“What?”
“Kau suka si Zarra tu eh?”
Zachary hentikan gerak, letakkan pinggan berhati-hati. Soalan datang macam taufan, terkejut dia. Abid yang tersenyum-senyum itu buat dia mahu ketawa. Muka miang pun ada. Haru sungguh.
“Zarra?”
“Yalah, takkan pak guard kita kut...”
Zachary gelak kecil. Mental dibuatnya kalau dengan si Abid. Sekilas wajah Zarra yang tersenyum lembut terlintas di wayang ingatan.
“Kalau ya, apa salahnya? Dia single, I’m also single.”
Abid ketawa kuat-kuat. “Kau memanglah single, tapi mata air keliling bangunan.” Dia tahu. Mana dia pergi dengan Zachary, ada saja perempuan yang ‘terjatuh’ cinta dengan mat salih celup tepung gomak ni. Dah muka handsome macam model majalah, mahunya hati tak terpikat. Dia lainlah, Melayu asli. Kacukan mak dan ayah, hehehe... 
 “Tapi seriously, she’s so beautiful... Buat hati aku tergendala rentaknya.”
Amboi, tergendala terus mamat ni. Boleh tahan juga ayatnya.
“Habis tu, Liyana baby nak letak mana?” usik Abid. Tangannya pantas dilap. Dia mahu segera siapkan puding roti karamel untuk minum petang.
“Liyana? Adoi... tolonglah... she’s too full of herself. Tak nak aku.”
Abid gelak juga. Kan... cantik bergaya kalau akal pendek, perangai senget, baik tak payah. Dia rela kahwin dengan Salina, anak Pak Mat guru KAFA di depan rumahnya. Memang tak cantik macam Liyana, tapi cantik asli. Tak ada palsu sana sini. Mengaji pun pandai. Masak? Dia boleh masak. Abid senyum sendiri. Masalahnya Salina tu tunang orang. Alahai... melepas.
“Yang kau senyum-senyum ni kenapa? Kau yang nakkan si Liyana tu, kan? Screw your funny head la, Bid.”
“Hoiii... simpang junction empat puluh empat, aku tak mau weh...”
Meledak ketawa mereka.
“Kalau kau tak berkenan, aku nak usyar.”
“Siapa? Liyana?” soal Zachary kembali.
“Zarra la... Adoiii...”
Zachary ketawa lagi. “No.”
“No apanya?”
“She’s mine.”
Abid geleng kepala. “Beranganlah kau.”
Zachary senyum kembali. Betulkah? Betulkah dia sukakan Zarra yang cantik perangai ala-ala tomboi tu? Dia 
dah gila agaknya. Kalau gila pun, gilalah. Hati sudah terpaut, sangkut terus. Dia senyum, bayangkan Zarra yang kembali tersenyum kepadanya.
“Hoi! Parah kau ni...” Abid terus bantai ketawa. Memang Zachary dilanda angau.
“AKU DENGAR sendiri, Yana. Diaorang puji si Zarra tu melambung-lambung, lepas tu kutuk-kutuk kau berbakul-bakul. Sakit hati aku, beb.”
Membara hatinya. Memang nak kena si Zarra tu. Dia menyandar pada kerusi.
“Kau jangan buat cerita Izrin, aku tampar kau nanti.”
Izrin angkat bahu, suap roti ke mulut. “Telinga aku yang dengar, beb. Kalau kau nak percaya ke, tak percaya ke, up to you. Hah, tu hah... panjang umur si Zarra tu.”
Liyana angkat wajah. Matanya menyorot langkah Zarra yang juga menuju ke arah mereka. Dia tersenyum sinis. Sengaja dia tolak beberapa helai tisu dan macaroon itu ke lantai sewaktu Zarra lalu di hadapan mereka.
“Excuse me, cleaning people, kan? Kutip ni...” Dia lunjurkan kaki, sentuh hujung tisu dan macaroon yang berserakan di lantai marmar. Izrin pula menutup mulut, menahan ketawa yang membuak perlahan. Liyana angkat kening, pandang Zarra dengan penuh makna.
Zarra menahan nafas. Perlahan dia beristighfar dalam hati. Dia lebarkan senyuman lalu duduk, mengeluarkan beberapa helai tisu bersih yang tersedia dari poket seluar. Tisu kotor dan kepingan macaroon itu dikutipnya berhati-hati. Dia lakukannya sebaik mungkin, hingga licin dan bersih lantai itu. Semuanya dibalutkan di dalam tisu lalu dibuangnya
ke dalam bakul sampah yang tersedia tidak jauh dari meja Liyana dan Izrin.
Liyana kian jengkel. Diambilnya sekeping lagi macaroon merah jambu lalu ditaburnya ke lantai.
“Helo, ada lagilah... Bersihkan cepat.”
Izrin menggelekek ketawa. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon pintarnya dan mengambil gambar Zarra. Hahaha... bodoh macam lembu. Dia snap beberapa gambar lagi.
Zarra senyum, tunduk kembali. Biarlah, biarlah dia pujuk hatinya sendiri. Tak rugi, boleh juga dia dapat pahala free. Marah? Memang dia marah tapi dia masih ingat kata neneknya. Orang yang marah namun berjaya menahan marahnya adalah orang yang menang. Dia sedang menang, bukan?
Liyana senyum sambil ketawa sinis. Tunduk. Tunduk lagi. ‘Kau ingat kau siapa? Ini Liyanalah!’ Perlahan dia menghulur kasut dan memijak macaroon tadi hingga hancur. Rasakan!
DIA PANDANG cermin. Wajahnya yang sedikit comot ditenungnya beberapa ketika. Sabar. Ini kecil saja. Masih ada lagi masalah yang lebih besar daripada ini. Nun, luar sana, ada yang kebuluran, ada yang menghadapi perang. Dia? Masalah dia kecil saja.
Bertabahlah, Zarra. Dia senyum, menyapu pipi berkali-kali. Bunyi telefon buat dia tersedar.
“Kau kat mana?”
Dia telan liur, tarik nafas panjang-panjang.
 “Kat tandas. Kenapa?”
“Nanti pukul 3.30 ada staff meeting sekejap di staff hall sebelah Grand Ballroom 1. Ada taklimat sepuluh minit.”
Zarra angguk, pandang wajah pada cermin.
“Okay, thank you, kak.”
Jam tangan milik arwah ayah ditenungnya. Lagi lima minit. Sempatlah dia bersihkan wajah.
RAMAINYA. DIA pandang jam beberapa kali. Cepatlah, dia nak balik ke kuarters, mahu mandi dan bersihkan diri. Dilla yang tercatuk di sebelahnya asyik dengan telefon pintarnya dari tadi. Wanie pula mata separuh terpejam sambil berdiri.
“Hi, sweetie pie!”
Zarra menoleh, sudah dapat mengagak tuan punya suara.
“Apa pai-pai? Kalau bakekan kita satu beef pie kan sedap,” usiknya sambil menjeling Zachary yang tercegat di sebelahnya. Aduh, lagi dekat lagi handsome. Betul ke si Zachary ni sous chef? Macam handsome sangat, tak layak duduk dapur. Selayaknya Zachary di cover majalah, tak pun layar televisyen.
“Do you want to? Zach boleh buat. Petang ni, tapi Zarra kena sokong Zach lawan pingpong kat tempat biasalah.”
Zarra ketawa. Hai, main pingpong pun nak kena ada pom-pom girl juga ke? Dia pandang sekeliling. Banyak mata yang memandang, terutama si gadis-gadis manis. Mesti semuanya secret admirer si Zachary yang tercegat di sebelahnya ini. Dia mahu ketawa namun terhenti tatkala matanya bertentang dengan sepasang mata yang penuh
amarah.
Liyana.
Zarra mendengus, pandang Liyana dan lemparkan senyuman. Amboi, tengok dia macam nak dimakan.
“Zarra tengok apa?” soal Zachary hairan.
“Your admirers. Semua pandang sini macam nak makan Zarra. Takut weh. Duduk jauh-jauh sikit.”
Wanie angguk, tunjal bahu Zachary kuat-kuat. “Entahnya, jauh sikit. Mana boleh duduk dekat-dekat dengan si Zarra ni. Dia anak dara lagi tau.”
Hatinya terhenti seketika. Anak dara. Allah... pedihnya. Zarra tunduk pandang lantai. Mahu saja dia menangis, namun dia bertahan. Nanti pelik pula orang sekeliling.
“Tu, Liyana Barbie tu pandang Zarra macam nak makan. Dia kan peminat nombor satu kau, Zach. Nanti ada budak Zarra ni kena santau dek si Liyana tu,” tambah Wanie lagi. Matanya sekilas memandang Liyana yang panjang muncungnya. Boleh gantung baju.
“Okey, assalamualaikum, attention please.”
Semua suara terus bisu. Hisham berdiri di pentas, tersenyum lebar sambil memberi isyarat. Layar LCD mula bercahaya.
“Saya dimaklumkan, setiap bulan kita ada anugerah cemerlang. Anugerah kali ni bukan baucar makan ya, kali ni kita bagi special sikit. Untuk seorang lelaki dan wanita. Dua-dua best staff of the month kita kali ni akan dapat satu set telefon pintar. Sponsor dirahsiakan.”
Bersorak-sorak semua staf yang ada. Zarra tumpang senyum. Dia buang pandangan ke arah lain. Tak mahu dia memandang Hisham. Hatinya masih sebu.
Layar LCD kemudian terang. Dua gambar terpapar. Terasa pinggangnya disigung. Zarra angkat wajah lalu ternganga. Kenapa pula muka dia ada kat situ?
Zachary galak tergelak di sebelahnya. “Congrats, sweetheart.”
Zarra geleng kepala. Pandang Hisham yang sekilas memandangnya dari atas pentas.
“Dipersilakan Cik Zarra Zainal dari housekeeping dan Encik Atif dari maintance. Tahniah. Jemput naik ambil hadiah anda.”
Eee... geramnya. Tak ada manusia lain ke yang nak sampaikan hadiah tu? Zarra buat-buat senyum, perlahan berjalan ke pentas.
“Excuse me, Encik Hisham? Atas dasar apa mereka dipilih?” soal Liyana kuat. Wajahnya serius sambil pandang Zarra yang berdiri tenang berhampiran pentas.
Hisham senyum, beri isyarat. Gambar Atif sedang membetulkan sesuatu dipaparkan.
“Encik Atif layak kerana beliau berjaya membuat pemantauan dan mengatasi beberapa masalah teknikal dengan pantas. Paling penting, beliau buat dengan cermat, rekod tugasannya juga kemas dan lengkap.”
Atif angkat tangan, tersenyum-senyum.
“As for Miss Zarra, saya rasa gambar ni boleh tolong kut.”
Semua mata memandang layar yang terbentang. Zarra telan liur. Beberapa gambarnya yang sedang ralit mengutip dan membersihkan macaroon serta tisu di laman coffee-house hari itu dipapar terang.
“Kebetulan hari itu ada seorang pelancong, tetamu kita sedang makan. Dia yang ambil gambar ni. Dia rasa Cik Zarra seorang yang sangat prihatin. Cuma dia hairan dengan
orang yang membuang sisa tu. Saya kaburkan gambar kerana si pembuat tu staf kita juga.”
Berdengung suara ramai di situ. Masing-masing berspekulasi. Ada juga yang memandang sana sini.
“Saya tak nak cakap siapa, tapi semestinya saya tahu. Saya fikir mungkin dia sedang menguji kecekapan Cik Zarra atau sememangnya orang dalam gambar ini otaknya tidak betul.”
Menggelegak ketawa. Beberapa mata memandang Liyana yang kepucatan.
“So, saya rasa fair kan?”
“Ya!!!”
Hisham tersenyum lebar. Dihulurkan kotak berbalut cantik itu kepada Atif, juga Zarra. Langsung Zarra tidak memandang wajahnya, sekadar angguk kecil dan ucapan terima kasih. Cepat-cepat dia kembali ke sisi Zachary yang sibuk tersengih.
“Tahniah sweetie pie, good work. Siapa yang buat macam tu? Cakap dengan Zach, biar Zach gasak dia. Bodohnya.” Dia sendiri terkejut apabila melihat gambar itu.
“Dah kerja Zarra, Zarra buat sajalah. Siapa yang buat bukan penting pun. Zach nak phone ni? Ambiklah, Zarra tak mau. Pakai telefon cikai lagi bagus, tak sakitkan otak.”
Zachary ketawa, buat ramai mata menoleh. “Pakai sajalah. Nanti masuk WhatsApp group, senang nak mengumpat. Boleh video call dengan Zach tengah malam ke, dalam bathroom ke...”
Ehhh... boleh tahan gatal juga mamat ni. Dia tumbuk bahu Zachary, kuat dan padu. Mengaduh lelaki itu sambil mengusap bahu.
“Zarra, you are lucky tau.” Perlahan saja tutur Zachary.
Dia jongket kening. “Kenapa pulak? Sebab dapat phone ni?” Eleh, dia tak hairan. Bukan keperluan untuk dia. Banyak lagi benda yang dia perlu utamakan.
Lelaki ini menyeringai, geleng sambil pandang kiri dan kanan.
“No. You are lucky because there are so many people here. If not...”
“Apa, apa?” soal Zarra mahu tergelak. Seriusnya si Zachary.
“I shall kiss you on the spot...”
Gulp. Mana air liur? Kenapa tekak tiba-tiba rasa kering? Zarra telan liur sekali lagi. Pandang Zachary yang tersenyum dalam serius.
“Okeylah, I jalan dulu. See ya.” Cepat-cepat Zarra buka langkah. Laju dan pantas.
Zachary ketawa kecil. Tahu takut.
KOTAK SMARTPHONE itu dipandang tanpa rasa. Bukan dia tidak bersyukur tapi dia masih terkejut. Siapa yang ambil gambarnya? Setahunya Izrin, tapi gambar yang tadi, diambil dari jarak jauh.
“Kenapa kau bagi muka sangat pada Liyana tu?” soal Wanie tiba-tiba.
Zarra terkesima.
“Kami tahu dia yang buat. Tengok kasut dia pun kami tahu.”
Ohhh... Zarra tersenyum, menyandar pada sofa. Dilla juga ada, ralit menyuap roti telur.
 “Kau nak suruh aku buat apa, smackdown dia? Lempang dia? Cakap je,” tambah Dilla geram. Memang dia tahu itu kerja Liyana. Semua orang tahu.
“Tak payah. Dah kerja aku, aku buat ajelah. Lagipun takkan nak biarkan sisa tu kat lantai?”
Dilla geleng kepala. “Kau jangan lurus sangat. Izrin tu, dia yang jaga coffee-house, bukan kau. Jangan sampai diaorang buli kau lebih-lebih, Zarra.”
Zarra hela nafas, pegang tangan Dilla. “Tak. Aku tak biarkan. Aku cuma malas nak cari gaduh, itu je.” Betul. Dia mahu cari rezeki. Bukan tak ada tempat lain tapi dia rasa seronok bekerja di sini. Ada kawan-kawan yang baik seperti mereka semua, kebajikan juga terjaga.
“Kau ni baik sangat,” komen Dilla.
Zarra senyum, belek smartphone itu sekali lagi.
“Bak sini telefon buruk kau. Aku nak masukkan SIM card. Nanti boleh aku add dalam grup. Senang nak mengumpat.”
Zarra ketawa. Dia hulurkan saja. Buatlah, dia ikut asalkan benda baik. Apa yang susah sangat kan?
“SUSAH KAU. Aku rasa dia ada pasang spy ni... Tak boleh jadi,” rungut Liyana geram. Nasib baik gambarnya dan Izrin dikaburkan. Kalau tidak, malu juga. Siapalah yang jahanam sangat ambil gambar-gambar tu?
Izrin masih kepucatan. Dia perasan beberapa staf yang lain menjeling sinis. Dia rasa ada yang sudah tahu.
“Persetankan. Budak Zarra ni, suatu hari nanti, dia tahulah langit tu tinggi ke rendah.”
Ehhh... langit memang tinggi, semua orang tahu. Bodoh ke si Liyana ni? Izrin terkulat-kulat, mahu senyum atau tidak.
“Silap kau jugak, melampau sangat hari tu.”
Liyana bulatkan mata. ‘Aku tonyoh juga mulut bodoh si Izrin ni.’
“Hoi, yang engkau siap gelak-gelak ambil gambar tu pun bukan sama je ke? Kau jangan nak dajalkan aku sorang. Kalau aku jatuh, aku heret kau sekali.”
Izrin garu pipi, telan liur beberapa kali.
“Janganlah marah, Yana. Aku rasa baik kita berhati-hati. Si Zarra banyak geng jugak. Even Zach pujaan kau pun sokong dia.”
Lagilah Liyana naik angin. Zachary dia yang punya. Dia tahu Zachary ramai kekasih yang memuja, tapi dia tetap tahu, Zachary hanya untuknya. Dia yang terlebih dahulu kenal Zachary. Jangan nak cari pasal dengan dia.
Izrin terus diam. Baik dia tutup mulut. Meletup si Liyana, nanti dia juga tumpang malu.
“Okeylah babe, aku balik dulu.”
Liyana diam saja. Otak kerah berfikir. Zarra. Dia mesti singkirkan Zarra.
JENDELA ITU dibukanya seluas mungkin. Hanya berkain pelekat, Hisham berteleku memandang langit. Nun, jauh di awan yang terapung bak kapas, wajah Zarra bersilih ganti. Zarra yang tersenyum, Zarra yang menangis, Zarra yang marah. Semuanya Zarra. Dia pandang langit itu lagi. Ada pelangi yang merentasi. Hisham geleng kepala, tergelak 
sendiri. Kena sampuk ke kena minyak senyonyong?
Telefon pintar yang menjerit hentikan segala lamunannya. Pantas dia menyambar, memandang skrin.
Kartini.
“Buat apa?”
“Waalaikummussalam.”
Kartini gelak kecil.
“Sorry. Assalamualaikum, sayang.”
“Waalaikummussalam.”
“You buat apa?”
“Talking to you, kan?”
Terdengar bunyi suara gadis itu mendengus perlahan.
“Keluar jom. Pergi Sushi King.”
Aduhhh... malasnya. Dia sudah kenyang, makan nasi, sambal petai ikan bilis dengan kerapu tiga rasa.
“Please, Sham... I miss you so much...” pujuk Kartini manja.
Hisham pandang langit. Wajah Zarra masih ada. Biarlah, sekejap saja. Mungkin dia boleh berbincang dengan Kartini, berterus terang.
“Okay. Give me thirty minutes.”
Suara lunak Kartini ketawa riang buat dia rasa bersalah. Belum sempat dia menyambung kata, talian dimatikan.
 “SURPRISE!!!”
Hisham terpempan. Wajah papa dan mama Kartini yang tersenyum lebar buat dia kaku seketika. Bukan tidak dia pernah berjumpa kedua-duanya, namun dia tidak menyangka kejutan sebegini yang disediakan. Hisham hulurkan tangan, bersalaman dan bertukar senyuman.
“Mesti you terkejut, kan?” soal Kartini riang.
‘Sangat.’ Aduhhh... padahal asalnya dia mahu berbincang dengan Kartini sahaja. Dia mengambil tempat, duduk di sebelah Tengku Adnan.
“Duduk sinilah,” pelawa Kartini manja.
Dia geleng, berikan senyuman. “I’m not your husband.”
Kartini senyum, kenyitkan mata. “Will be.”
Dia hulurkan tangan, cuba meraih jemari Hisham namun hampa. Hisham memandangnya lalu gelengkan kepala. Dia cebikkan bibir, cuba tersenyum walaupun hati terasa pahit.
“So, ada apa sampai heret papa dengan mama kat sini?”
Kartini senyum lebar. Dia pandang Hisham lalu lentokkan bahu dengan senyuman yang paling manis.
“Papa, mama... Tini dengan Hisham nak bertunang. We’re getting engaged!”
Hisham berhenti bernafas. Matanya tak lepas memandang Kartini yang tersenyum manis sambil memeluk mamanya. Bahunya ditepuk Tengku Adnan berkali-kali. Dia kaku.
“Well done, my boy. Bila Hisham lamar Tini?” soal Tengku Adnan ingin tahu. Dia pandang wajah Hisham yang terkejut. Terkejut? Pelik.
Hisham geleng kepala, urut dahi beberapa kali.
“Bila Hisham lamar Tini?” tanya Tengku Adnan sekali lagi.
Dia angkat wajah, pandang Tengku Adnan yang tertanya-tanya.
“Maaf, uncle. Sham tak pernah lamar Tini.” Keras kali ini dia bersuara. Matanya memandang Kartini yang mula mencuka.
“Tini, apa ni? Cuba cakap betul-betul.”
Kartini gigit bibir, pandang Hisham dengan hati yang bercampur baur. Dia jeling mamanya yang sudah berkerut dahi, juga papanya yang sudah memeluk tubuh.
“Okey, memang Hisham tak lamar Tini. So what? Sham, you love me, right?” soalnya perlahan. Dia tak mahu telinga dan mata yang ada di sekeliling mendapat tahu. Dia malu. Dia malu tapi dia tetap mahukan Hisham.
Tengku Adnan tarik nafas dalam-dalam. Dia tepuk bahu Hisham lembut. Dia kenal Kartini, anak bongsu yang seribu macam perangai. Dia tersenyum hambar. Kasihan Hisham.
“Mamanya, I think we should go. Let them discuss this matter together. And you... papa kecewa. Grow up, Tini. Belajar jadi dewasa.”
Kartini ketap bibir, cuba menahan malu yang menyerbu pipi. Nasiblah tidak ramai yang ada, namun dia sudah cukup malu. Dengan papa dan mamanya. Dengan Hisham semestinya. Mamanya tunduk, mencium Kartini sambil melangkah pergi. Dia gigit bibir, pandang Hisham lama-lama.
“Tak boleh ke you cakap yes je?”
Hisham ketawa hambar. Dia sandarkan badan pada kerusi. Wajah cantik Kartini yang muram dan geram buat dia
mahu bangun. Bangun dan melangkah pergi.
“Yes untuk apa?”
“Our engagement.”
Kali ini dia betul-betul ketawa. ‘Aduhai Tini. Kenapa dengan kau ni?’ Dia hirup green tea itu perlahan-lahan. Silap diakah? Pernahkah dia menjanjikan sesuatu yang pasti dengan Kartini? Salah cakapkah dia?
“Tini... kita tak pernah declare apa-apa, bukan? Yes, maybe Sham silap. Sham layan Tini dengan baik sebab Sham fikir Tini akan faham dan akan beri Sham ruang.”
Kartini mendengus kasar. Dia tarik nafas laju-laju. “Sham, I girlfriend you, kan? Kan?”
Hisham pangku dahi. Di Korea lagi Kartini mengejarnya, sentiasa mendekatinya. Entah, dia juga membuka ruang kepada Kartini. Silap diakah?
“Kita mula dengan kawan, ya sekarang kita rapat.”
“Rapat?” Kali ini suara Kartini sedikit tinggi. Dia tak kisah. Hisham dia punya. Dia sudah lama berusaha mahu dekatkan diri. Dari dulu lagi sehinggalah mereka sama-sama pulang ke tanah air. Bila Hisham kembali ke Terengganu, dia yang berikan peluang kepada Hisham untuk bekerja di The Bliss. Memang pada mulanya Hisham menolak tapi dia tahu Hisham sudah bosan di Kuala Lumpur. Dia yang bersungguh-sungguh memujuk papa.
“Bertunang? Sham tak pernah jangkakan itu daripada Tini. Sham baru belajar nak bekerja dengan baik. I mahu tingkatkan diri, Tini. Buat sesuatu dengan berjaya, baru I mahu bina keluarga, kahwin.”
Kartini gigit bibir, ramas tangan beberapa kali.
“Damn you. You sukakan orang lain bukan? You sukakan orang kampung you tu, kan?”
Dia diam. Be a man Hisham, tell her.
“Dahlah, jom balik. You balik, tenangkan diri. Esok kita jumpa, boleh?” pujuknya lembut.
Gadis itu bangun, menyambar tas tangan dengan pantas.
“Hantar I balik.”
Hisham angguk.
TANGANNYA MASIH pada dahi. Siling yang muram dengan cahaya minimum buat dia terfikir sendiri. Kenapa tak mampu dia nyatakan segalanya? Kenapa dia tak berterus terang? Dia perlu lakukan sesuatu. Untuk Zarra. Dia perlu kotakan janjinya pada Zarra.
Hisham senyum sendiri. Saat matanya tertutup, wajah Zarra yang menyinga marah kepadanya buat jantungnya berdebar. Jelingan maut Zarra buat hatinya bergetar. Tangisan lirih gadis itu buat dia nanar. Dia mahukan Zarra. Dia betul-betul mahukan Zarra.
Dia mengambil telefon pintarnya, menolak skrin lalu mencari nama Zarra. Ah, dah ada WhatsApp. Dia menekan gambar profil kemudian tersenyum sendiri. Gambar seekor kucing tidur tergolek, Zarra jadikan sebagai gambar profilnya.
Hisham ketawa kecil. Biarlah, malam ini dibiarkan Zarra tidur lena. Nantilah. Nanti dia mahu atur strategi.
Kartini? Dia urut dahi. Apa yang perlu dia buat?
MENGADUH DIA sana sini. Tangan kurus neneknya nampak saja kurus-kurus tapi bila mengurut, mahu terkucil dia. Zarra menggeliat. Tok Teh kalau mengurut jangan keluar suara, nanti lagi kejam urutannya. Terasa jemari neneknya menekan urat yang berselirat di bahagian bahu dan pinggangnya. Aduhai... sakit namun seronok.
“Menggeliat macam cacing.”
Zarra diam. Saja la tu nak umpan suruh dia bercakap. Zarra ketapkan mulut, tahan suara dari muntah keluar. Mak aiii... Mahu dia keluar air mata. Sakit wooo...
Tok Teh senyum-senyum. Umur muda lagi, urat dah tersimpul sana sini. Bersenam malas. Balik rumah tahu terbongkang tidur. Padanlah badan jadi sakit-sakit, lenguh-lenguh.
“Kamu kerja angkat bata ke, Zarra?”
Zarra ketawa kecil. Apa? Ingat dia kerja buruh binaan ke apa? Dia kerutkan dahi, tahan sakit yang menyengat. ‘Nenek ni nak mengurut ke nak patahkan tukang aku?’ Zarra menggeliat.
“Angkat bantal, angkat tilam, angkat kain gebar, angkat kaki.”
Tok Teh senyum sambil pulas telinga. Bab menjawab serahkan pada Zarra. Makan ke tidak budak ni? Kurus semacam.
“Dah, pergi rehat. Lepas ni mandi dengan air daun pandan dan limau nipis, bagi badan harum. Tu, daun jambu batu yang nenek ikat siap-siap tu, kamu gosok satu badan, biar daki hilang. Harapkan sabun, berkaratlah daki kamu.”
Zarra gelak, ikat kain batik kuat-kuat. Ni kalau terlerai kain ni, mahu terbeliak mata si Abam. Mimpi ngeri kucing dia nanti. Zarra gelak lagi.
“Ni bukan sebarang daki, nek. Ni daki duit,” jawabnya
berseloroh.
Yalah, mana tak berdaki. Kerja kemas bilik lepas tolak troli sana sini. Dia ambil daun jambu batu yang diikat kemas. Cakap neneknya memang betul. Guna daun jambu memang bagus, kalah guna sabun paling mahal. Sebab itu ada dua tiga pohon jambu batu yang ditanam neneknya.
“Beras goreng tumbuk pun ada. Basuh muka kamu. Dah anak dara, kena jaga rupa paras. Manalah tahu nanti ada yang berkenan nak buat menantu.”
Haishhh... tak nak dia jadi isteri sesiapa. “Tak adanya orang berkenan dengan cucu nenek ni.” Zarra menggeliat, sedapnya berurut.
Tok Teh cebik bibir, suap sirih ke mulut. “Hati orang, mana kamu nampak Zarra oiii...”
“Memanglah, kalau nampak maknanya matilah dia...” Zarra ketawa lalu berlari ke dapur. Semalam kena maki, lebih baik dia lari.
Abam sudah ada di dapur. Tidur, macam tak ada kerja lain nak dibuat. Melampaulah tu. Dia menguis Abam, mengiau lembut kucing itu.
“Masak apa, mak?” soalnya sengaja. Bukan dia tak tahu, bau pun sudah cam apa hidangan hari ini.
Puan Aini senyum. Pandai pula tanya ya.
“Ada mata, ada hidung sendiri, kan?”
Zarra mengekek ketawa. Sardin tumis, telur dadar dan kangkung belacan. Ada pucuk ubi celur dengan budu. Sedapnya. Mahu tiga pinggan dia habiskan nanti.
“Pergi mandi. Nanti lepas solat, kita makan sama-sama. Tu, gaul nasi dengan isi ikan sardin untuk kucing kamu. Nanti orang makan nasi mulalah dia menyibuk duduk atas riba.” Dijelingnya si Abam yang masih tergolek tidur di hujung dapur. Amboi, kerja overtime ke semalam?
Zarra peluk Puan Aini. Diciumnya lembut pipi insan kesayangannya itu. Bau harum bedak talkum ibunya buat dia tersenyum.
“Sayang mak.”
Puan Aini senyum, tepuk kepala anak nan seorang itu penuh lembut.
“Mak sayang Zarra juga. Moga Allah lindungi kita semua.”
Zarra senyum lagi. Insya-Allah. Lagipun, hidup mereka terlalu sederhana untuk fikirkan kemungkinan yang terlalu jauh. Mereka pasti okey, pasti tak ada apa-apa.
“SEMALAM BALIK kampung ke?”
Oh mak kau! Nasib baik dia tak tergolek di depan lobi. Mana datang mamat ni, magis betul. Tiba-tiba saja ada tercatuk di hadapannya. Dia angguk.
“Ya. Rindu, kenalah balik kampung.”
“Rindu siapa, boyfriend kat sana?” soal lelaki itu kembali.
Zarra tergelak. Yalah tu, dia rindu boyfriend dia kat kampung. Si Abam tu. “Saya rindu mak, rindu nenek, rindu Abam. Tak boleh ke?”
Abam? Abang ke Abam? Silap telinga dia yang mendengar ke? Zachary hentikan langkah, depa tangan untuk tahan langkah Zarra. Bulat mata gadis itu memandangnya.
“Siapa Abam tu?”
Hahaha... dia gelak. Wajah serius Zachary buat dia kembali serius. “My cat. Ke tepilah.”
Ahhh... kucing dia ke? Zachary garu kepala, biarkan Zarra berlalu.
“Zarra!”
Dipanggilnya lagi. Zarra hentikan langkah, toleh pada Zachary yang tersengih. Kacak amat, buat hatinya terusik saja.
“Balik kampung bila-bila nanti, ajaklah Zach.”
Aiii... buat apa? Nak kena tangkap khalwat? “Apasal pulak?”
“Nak kenal bakal mentua.”
Cehhh... melalutlah tu. Dia angkat penumbuk, berlalu pergi dalam ketawa.

No comments:

Post a Comment