DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 7



PErodua Alza milik Zuhair mula bergerak
membelah jalan. Bersedia mengikuti Toyota Vios yang
dipandu oleh Syarmila. Ke mana sahaja kereta di hadapannya
itu berhenti, di situlah destinasinya.
Lebih kurang satu jam tiga puluh minit memandu,
Zuhair kini terpacak di hadapan sebuah banglo dua tingkat.
“Zuhair, ikut saya masuk,” ajak Syarmila. Dia dan
Zuhair tidak lagi berencik dan cik memandangkan mereka
kini berjumpa atas urusan peribadi.
“Siapa yang ada di rumah awak ni, Syarmila?”
“Kak Ara dan pembantu rumah. Ibu saya pula ada
kat butiknya.”
Zuhair mengangguk dan mengikut sahaja langkah
Syarmila.
“Awak duduk kat sini dulu. Nanti saya suruh bibik
buat air. Saya naik atas bawa Kak Ara turun jumpa awak.”
Canggung sahaja Zuhair melabuhkan duduknya.
Dalam hati berdebar-debar juga mahu menemui Syazliara.
Bimbang pun ada mengenangkan patah perkataan yang
pernah dituturkan Syarmila mengenai Syazliara.

“Kak Ara, Mila bawa Kak Ara turun ke bawah sekejap ya?
Ada tetamu nak jumpa Kak Ara.” Syarmila menghampiri
Syazliara yang sedang termenung di balkoni bilik.
Syazliara cuma menggeleng. Langsung tidak
berminat untuk mengetahui gerangan tetamu yang
berkunjung.
Syarmila pegang bahu Syazliara.
“Kak Ara, sekejap saja. Dia berhajat benar nak jumpa
akak.”
“Aku tak mahu jumpa sesiapa Mila.”
“Kak Ara, dia bukan sesiapa... tapi dia orang yang
Kak Ara sayang dan puja selama ni. Dia datang nak tengok
keadaan Kak Ara.”
Mata bulat Syazliara diserongkan kepada adiknya.
“Siapa yang aku sayang?”
Syarmila senyum nipis.
“Aidid.”
Syazliara ternganga mendengarkan nama itu. Dua
minit dia terdiam, namun sudahnya dia berikan gelengan
sebagai jawapan.
“Kenapa Kak Ara tak nak jumpa dia?”
“Aku malu. Mila tengoklah keadaan aku ni.”
Memang dia malu, tapi dalam masa yang sama dia takut akan
kenyataan apabila hal sebenar terbongkar. Tentu semua orang
akan menuding jari kepadanya.
“Kak Ara kan baik-baik saja ni. Buat apa malu
pada dia? Dia yang patut malu dengan segala perbuatannya
pada Kak Ara. Kak Ara perlu jumpa dia supaya dia segera
bertanggungjawab pada Kak Ara.”
“Mila... aku dah tak harapkan dia. Kami dah lama
tak bertemu. Aku tak mahu menagih tanggungjawabnya,”
Syazliara berdalih. Hakikat sebenarnya memang dia
mengimpikan Zuhair melutut datang kepadanya.
“Kak Ara, jomlah ikut Mila turun. Sekejap pun tak
apa. Aidid tu sanggup datang ke sini semata-mata nak jumpa
Kak Ara. Tolong jangan hampakan tetamu.”
Syazliara meramas rambutnya. Mula serabut apabila
dipaksa si adik.
“Kau tak faham ya, Mila? Aku kata tak nak jumpa
dia, tak naklah! Yang kau bebal sangat bawa dia datang sini,
kenapa?”
Berubah riak wajah Syarmila dengan bahasa kasar
kakaknya. Namun dia tak mahu mengalah.
“Kak Ara, lelaki kat bawah tu dah musnahkan hidup
akak. Sekarang dah tiba masanya untuk dia beri sinar pada
hidup Kak Ara. Sepatutnya akak kena berani turun dan
berdepan dengan dia. Jangan lepaskan peluang di hadapan
mata.”
Syazliara ketap bibir.
“Kau tak faham!”
“Apa yang Mila tak faham? Sebab Mila fahamlah
Aidid yang Kak Ara gilakan sangat tu ada dalam rumah kita
sekarang.”
Syazliara menolak kasar bahu Syamila. Dia merengus
kuat.
 “Kau keluar sekarang! Pergi suruh Aidid tu balik.
Aku tak ingin jumpa dia.”
Syarmila jeling tajam wajah kakaknya. Pantang
berundur sebelum bertempur. Dia seorang yang nekad apabila
berbuat sesuatu. Alang-alang Zuhair Aidid sudah terseret ke
rumahnya, lelaki itu wajib berdepan dengan kakaknya.
“Mila bawa dia naik atas,” putus Syarmila enggan
mempedulikan perasaan Syazliara. Dia tidak kisah akan
bantahan kakaknya itu.
Syazliara ketap bibir. Tangan menumbuk-numbuk
pagar balkoni.
Dengan laju Syamila turun ke bawah mendapatkan
Zuhair tanpa memikirkan reaksi Syazliara. Dilihatnya
lelaki itu kelihatan tenang sahaja, duduknya sopan sambil
menghirup kopi. Hati Syarmila berapi sahaja memandang
Zuhair. Mana tak berapi, dia berperang dengan si biul kat
atas, tetapi lelaki yang telah merosakkan kakaknya itu tenang
tanpa rasa bersalah.
“Zuhair, awak ikut saya ke bilik Kak Ara.” Syarmila
memberi arahan.
Tergamam Zuhair. Apa hal sampai dia perlu ke bilik
Syazliara? Apakah rancangan Syarmila? Apakah gadis itu
mahu memerangkapnya?
“Tak payah buat muka blur Zuhair. Kakak saya tu tak
berapa sihat. Jadi seeloknya awak naik ke atas jumpa dia.”
“Tak eloklah macam tu Syarmila. Ibu awak kan tak
ada kat rumah ni,” tolak Zuhair. Tak sedap hatinya dengan
permintaan Syarmila. Siapa tahu jika gadis itu punya agenda
jahat?
“Oh, tahu tak elok? Dulu buat kerja tak elok tu ada
ke fikir pasal dosa pahala?” tempelak Syarmila dengan muka
cemberut.
 “Apa maksud awak Syarmila? Saya datang ke sini
dengan niat mahu melawat sahabat lama. Tiba-tiba awak
tuduh saya buat kerja tak elok. Apa kerja tak elok saya yang
awak tahu?”
Syarmila mencemik.
“Saya tahu semualah Zuhair. Awak tak payah
pura-pura depan saya. Dan sekarang jangan lengahkan masa,
ikut saya naik ke atas jumpa Kak Ara.”
“Siapa awak untuk paksa saya Syarmila? Saya
langsung tak takut dengan ugutan awak. Saya cuma akan
naik ke atas jika ibu awak ada sekali.” Zuhair meninggikan
suara. Suara gadis itu pun dah macam guruh berdentum.
Mengalahkan bos yang sedang mengarahkan anak buah
untuk buat kerja.
“Fine! Saya boleh telefon ibu saya supaya balik
sekarang,” tegas Syarmila tidak mahu mengalah.
“Don’t waste my time Syarmila. Saya rasa awak ni
tak betul. Entah-entah nak pasang jerangkap samar pada
saya. Daripada saya terperangkap dengan permainan awak,
lebih baik saya angkat kaki.”
“Zuhair Aidid!” laung Syarmila. Enggan
membenarkan Zuhair berlalu.
Namun, Zuhair tidak mengendahkan panggilan
Syarmila. Cepat dia membolos masuk ke dalam keretanya.
Menekan pedal minyak untuk meninggalkan pekarangan
rumah Syarmila. Tak guna dia layan perempuan tiga suku itu

Zuhair menghempas tubuhnya kasar pada kerusi.
Menonong sahaja dia masuk ke Aidid Printing tanpa menegur
dua orang pembantunya. Semua itu gara-gara bengang
dengan Syarmila. Atan dan Cheong hanya menjongket bahu
sesama sendiri tanda tidak mengerti.
Zuhair memicit dahi dengan kedua tangan ditongkat
pada dada meja. Seumur hidup, tidak pernah jiwanya seserabut
ini. Bahkan lagi, hal yang berkaitan dengan perempuan.
Malang nasib dia nampaknya mengenali Syarmila. Entah
betul atau tidak Syazliara itu kakaknya. Bersahabat dengan
Syazliara suatu masa dahulu tidak pernah pula gadis itu
menyusahkan hidupnya. Jika betul Syazliara dan Syarmila
adik-beradik, jelas ketara benar perbezaan sikap mereka.
Apa sebenarnya yang Syarmila mahukan daripadanya?
Zuhair kurang jelas motif gadis itu. Jika benar semua yang
dilakukan demi Syazliara, apa untungnya dia dikaitkan? Apa
yang ada pada dirinya untuk Syarmila buru? Siap diugut
supaya bertanggungjawab. Apa yang telah dia lakukan? Dia
merasakan gadis itu punya agenda tersendiri. Yang pasti,
dia tidak mahu dipergunakan. Sementelah berkesudahan
dia yang perlu menanggung kerugian. Mustahil untuk dia
mengikut telunjuk gadis itu tanpa dia tahu jawapan di sebalik
teka silang kata seorang Syarmila.

Aathi fah mengeluarkan sayur terung, timun dan
lobak merah dari peti sejuk. Sementara menunggu ayam yang
digorengnya masak, elok dia mula memotong sayur-sayur
itu. Menu masakannya tengah hari itu ialah nasi hujan panas
berlaukkan dalca daging, ayam masak merah dan acar timun.
Nasi yang berwarna-warni itu telah siap ditanaknya tadi.
Laju tangannya menggerakkan pisau untuk
memotong sayur-sayuran. Walaupun kesunyian seorang diri
di rumah, Aathifah tidak kesah. Bertemankan kerja-kerja
rumah, dia rasa terhibur. Kadang-kadang dia berbual-bual
juga dengan mak cik sebelah rumah untuk menghilangkan
kesunyian. Jika terlalu bosan, dia akan keluar ke bandar
bersama kawannya Husna, yang juga tinggal di kawasan
perumahan ini.
Semasa sedang menumis bawang dan rempah untuk
memasak dalca daging, pintu utama diketuk. Musykil juga dia
siapa yang balik kala tengah hari begini. Umi tak pernah pula
pulang waktu tengah hari. Walid adalah sekali dua, itu pun
jika bertugas di kawasan berhampiran. Aathifah menutup
dahulu api dapur sebelum bergegas ke pintu. Sempat dia
mengintai di balik langsir. Dengan yakin dia membuka pintu
setelah melihat Alza Zuhair terparkir di garaj.
“Assalamualaikum,” sapa Zuhair sebaik membolos
masuk ke rumahnya.
Aathifah tarik senyuman dan menjawab salam.
Dalam hatinya tertanya-tanya mengapa Zuhair pulang pada
waktu makan tengah hari. Semenjak dia pulang semula,
inilah pertama kali Zuhair pulang ke rumah sebelum masuk
waktu zohor.
“Tengah masak ke?” tanya Zuhair yang sudah terhidu
aroma semerbak dari dapur.
“Yalah... buat apa lagi? Tak ada angin tak ada ribut,
kenapa abang balik tengah hari ni?” jawab Aathifah berserta
soalan. Bukan apa, dia rasa cuak dengan kepulangan Zuhair
tanpa ada umi dan walid di rumah. Perasaannya akan terus
jadi lain apabila berdua-duaan dengan lelaki itu.
“Pening kepala sikit. Mood bekerja pun dah ting
tong,” gumam Zuhair. Kunci keretanya dicampak ke atas
meja di ruang tamu.
“Abang Hir demam ke?” soal Aathi yang prihatin.
“Tak adalah. Abang sihat aje, cuma abang rasa
tertekan sikit,” balas Zuhair. Lalu dibawa tubuhnya rebah ke
sofa.
Aathifah turut sama duduk berhadapan dengan
Zuhair. Rasa kurang enak cuba dibuang jauh-jauh kerana
menyedari abang angkatnya itu sedang bermasalah. Dia perlu
menjadi pendengar setia kerana selama ini pun dialah yang
sering menadah telinga.
“Tertekan? Ni mesti pasal Syarmila dan Syazliara.
Pergi tak rumah dia tadi? Apa cerita?” gasak Aathifah.
Zuhair melurut rambutnya ke belakang.
“Ya, abang pergi... tapi tak jumpa pun Syazliara.
Abang kurang senang dengan tingkah Syarmila tu. Ada pula
dia suruh abang masuk bilik kakaknya. Walhal kat rumah
tu tak ada siapa-siapa. Abang takut ini semua perangkap
Syarmila.”
“Maksud Abang Hir?”
“Syarmila cakap kakak dia tak sihat dan berada di
tingkat atas. Tak boleh nak turun ke bawah jumpa abang.
Ibu dia pula tak ada kat rumah. Katanya di butik. Takkanlah
abang nak semberono naik terjah bilik anak dara orang?
Abang takut dia sengaja main-mainkan abang. Entah-entah,
dia tak ada hubungan pun dengan Syazliara.”
Berkerut seribu dahi Aathifah dengan penerangan
Zuhair. Ada betulnya cakap Zuhair itu. Jika dia berada di
tempat Zuhair, pasti dia juga berprasangka. Dahlah baru
kenal, lepas tu Syarmila menuduhnya macam-macam pula.
“Apa motif dia sebenarnya?”
“Entahlah Aathi. Kusut kepala abang memikirkannya.
Masa kali pertama jumpa kat Aidid Printing hari tu, dia okey
aje macam customer lain. Tak ada yang pelik pada diri dia
tu. Sekarang ni aje abang tengok dia aneh betul. Tampang
wajahnya tu seolah-olah ada dendam kesumat pada abang.
Tapi abang tak dapat teka apa yang ada dalam minda dia.
Entah apa yang dia mahukan daripada abang.”
 “Seperti yang dia cakap hari tulah kut abang. Dia
mahu abang bertanggungjawab terhadap Syazliara,” selar
Aathifah.
“Bertanggungjawab untuk apa? Abang tak punya
jawapan pada kehendak dia tu...” gumam Zuhair bersama
keluhan.
“Walau bagaimanapun abang kena juga jumpa
Syazliara.”
“Abang dah serik Aathi nak ke rumah tu. Pelik
semacam budak Syarmila tu. Entah-entah psiko.”
“Kali ni Aathi temankan abang. Macam mana,
setuju?” pelawa Aathifah demi merungkai permasalahan
abang angkatnya itu. Dia tidak mahu Zuhair terus tertekan
dengan masalah Syarmila. Tiada salahnya dia membantu.
Hanya setakat menemani, bukannya untuk bertinju dengan
Syarmila itu.
Bercahaya wajah Zuhair.
“Serius?”
Aathifah mengangguk.
“Kalau macam tu, esok petang kita pergi. Abang
balik lepas Asar, pastikan Aathi dah siap ya.”
“Patuh tuan.” Aathifah bercanda.
Zuhair tertawa perlahan. Kemudian dia mengusap
perutnya sendiri.
“Aathi... perut manja ni dah merengeklah.”
Aathifah dangdutkan keningnya.
“Kasihan kat perut manja tu. Tadi mulut pot pet
bercakap, sekarang mulut nak mengunyah pula ya?”
Zuhair tersengih menampakkan giginya. Aduh!
Pantang Aathifah dengan sengihan itu. Zuhair tampak begitu
manis. Cepat dialihkan pandangan kerana jantungnya mula
berdebar-debar tidak sekata.
“Kalau macam tu, Aathi ke dapur. Siapkan dalca
daging tu. Abang Hir boleh mandi dan solat dulu. Nanti Aathi
panggil bila semua dah settle,” ujar Aathifah. Dia bingkas
menapak ke dapur.
Zuhair mengiakan dengan lapang dada. Sakit kepala
yang mencucuk tadi terasa hilang serta-merta apabila berbual
dengan Aathifah.
‘Aathi ada magis rupanya,’ detik hati seorang Zuhair
Aidid.

No comments:

Post a Comment