“ZARRA?”
Akhirnya dia bersuara. Bergetar dan
perlahan. Gadis itu dilihatnya masih kaku memandangnya. Merenungnya bagai dia
seekor raksasa, hantu mungkin.
“Zarra?”
Kali ini suaranya sedikit kuat menyapa
telinga.
Zarra telan liur. Nafasnya tersekat,
pandangannya kabur dengan air mata yang entah datang dari mana.
Kakinya.
Kenapa kakinya tidak mahu melangkah?
Jalanlah, bergeraklah hai sang kaki!
“Zarra? Tadi cakap nak balik, apasal kau
kat sini lagi ni? Cepatlah weh, nanti hujan. Oh, hai Encik Hisham.”
Dilla.
Nasib baik Dilla datang. Dia kumpulkan
segala tenaga, segala kekuatan. Kaki akhirnya melangkah. Mulanya
perlahan, namun kian laju. Laju dan laju
sebagaimana air matanya turun berlari ke pipi.
Tak mungkin ini terjadi kepada dirinya.
‘Tuhan, kenapa kau seksa aku begini?’
DIA MELABUH duduk di sofa yang
berdekatan. Jantungnya masih berdegup laju. Hisham raup wajah beberapa kali.
Benar.
Benar itu Zarra. Zarra yang dilukainya.
Luka? Hahaha... kelakar bukan? Bukan saja dilukai, malah disentuhnya.
Dinodainya. Dikotorinya.
Tangannya kembali menekup wajah. Hari itu
datang lagi. Hari yang paling celaka dalam hidupnya. Hari di mana segala
kewarasannya hilang, imannya terbang. Hari paling malang dalam hidup Zarra.
Hisham tekup wajah, pejam mata. Mana
tahu, segala kenangan itu akan terusir sendiri.
TANGANNYA MASIH menggeletar. Pintu bilik
dikatupnya rapat. Umpama dia kembali ke hari itu. Hari yang penuh dengan hujan,
di mana dia hilang segalanya. Maruah diri, hilang kehormatan. Dia tutup pintu
rapat-rapat, lalu mengambil bantal. Kali ini dia menangis, dan menangis lagi.
“APA KENA dengan kamu?”
Hisham angkat wajah. Dia lemparkan senyum
tawar.
“Penat, mi.”
Hajah Kalsom kerutkan dahi. Perlahan dia
tanggalkan telekung solat. Suaminya sudah terlena di hadapan televisyen. Mudah
sungguh lelap.
“Kerja dalam aircond pun penat ke?”
Dia sengih-sengih.
“Penat mental.”
Hajah Kalsom cebikkan bibir. “Ada benda
lain yang kamu fikir, kan?”
Mai dah penyiasat persendirian tak
bertauliah ni. Pantas Hisham bangun. Baik dia cabut. Sebelum sesi soal jawab
diteruskan, ada bagusnya dia angkat kaki, kan?
“Umi, Sham masuk dulu. Bye sayang.”
Hajah Kalsom diam saja, pandang Hisham
yang bergerak masuk.
“Sham...”
Dia berhenti seketika.
“Kamu ada jumpa Zarra ke?”
Allah. Macam kena hempap dengan batu. Dia
pasti, umi pakai tembak saja. Tapi tembak umi itu betul, tepat ke dahinya. Kali
ini dia nampak sepasang mata uminya sedikit membulat. Ah, sudahhh...
“Sham, kamu cakap baik-baik. Kamu ada
jumpa Zarra kan? Kat mana? Macam mana dia?”
Hisham tarik nafas dalam-dalam. Dia belum
bersedia, paling penting, dia perlu pastikan yang itu sememangnya Zarra. Zarra
Zainal.
“Tak, Sham tak jumpa dia, tak nampak dia, mi.
Pandai-pandai aje umi ni.” ‘Maafkan Sham. Belum masanya lagi, mi. Sham sendiri
masih terkejut,’ ucapnya dalam hati.
“Kamu cakap baik-baik, Sham. Yang kamu
diam berkerut dari tadi tu kenapa?”
Dia pandang umi, beri satu sengihan
lebar.
“Sham fikir, nak bayar hutang PTPTN
sekali gus ke nak potong gaji bulan-bulan.”
Hajah Kalsom kecilkan mata. Ya ke? Macam
tipu saja.
Hisham masuk, tutup daun pintu. Sekejap
dia bersandar, pejamkan mata. Wajah Zarra yang manis namun sedang menangis itu
buat dia buka mata.
‘Ya Allah... kenapa sekarang?’
PAGI-PAGI lagi dia sudah menipu. Dia call
Dilla, cakap dia demam. Memang dia rasa macam nak demam. Sesudah subuh, dia
kembali ke katil. Tidur? Langsung tidak. Malam tadi memang dia tidur, namun
entah bila waktunya. Gara-gara berjumpa dengan lelaki itu, buat dia lari balik
ke rumah. Balik ke tempat perlindungannya iaitu biliknya. Dia hanya mampu
berkalih, buka mata dan pandang ke alang rumah. Si Abam lagi lena tidurnya
daripada dia.
“Zarra, kamu tidur lagi ke?”
Mak. Kalaulah maknya tahu apa yang pernah
jadi pada anak nan seorang ini, dia pasti maknya juga mahu mati. Zarra kesat
pipi.
“Tak, baring je. Tak sihatlah, mak.”
Daun pintunya ditolak perlahan.
“Kenapa, kamu demam?”
“Tak, letih je, mak. Nanti okeylah.”
Puan Aini usap kepala Zarra pelan-pelan.
Tak panas, jadi betul cakap Zarra yang dia tak demam.
“Kamu cuti hari ni?”
Zarra peluk lengan emaknya dengan erat.
“Ya. Hari ni Zarra cuti, Zarra nak rehat
kejap aje.”
“Zarra rehat lama-lama pun tak apa. Zarra
dah penat kerja. Mak mintak maaf. Kalau Zarra pergi Kuala Lumpur, mungkin Zarra
dapat kerja yang lebih baik, tak perlu Zarra banting tulang macam ni.”
Dia senyum lebar. Tangan mak diciumnya
lama-lama.
“Tak payah, mak. Rezeki ada di mana-mana.
Kita je kena pandai cari. Lagipun kerja Zarra sekarang okey je. Bukan Zarra
kena kerja angkat batu bata ke apa.”
Memang, dia suka bekerja di The Bliss,
masalahnya sekarang, masalah sudah datang. Patutkah dia berhenti?
“Alhamdulillah. Mak seronok Zarra dapat
kerja. Nenek tu, lagilah. Hari-hari sebut Zarra kerja manager.”
Hahaha... nenek. Mana ada manager pakai
Honda EX5 macam dia. Dia diam sebentar.
“Kalau Zarra tak nak tidur, rehatlah.
Lapar nanti, keluar makan. Mak tak buat banyak, nasi goreng dengan ikan kukus
aje.”
Ala mak, itu sudah tersangatlah cukup
bagi dia.
FAIL ITU dipegangnya lama. Sekeping
gambar Zarra ditenungnya tanpa berkerdip. Nah, dia pasti, Zarra ialah Zarra.
Alamat rumah gadis itu masih sama, sebelah kampungnya, rumah lamanya. Sepasang
mata coklat milik Zarra tetap sama. Gambar itu seakan-akan merenungnya,
bertanya dia, apakah dosa dia sehingga diperlakukan sebegitu?
Hisham tarik nafas lama-lama.
Master.
Gadis itu ada Master in Business Administration.
Sekarang, Zarra kerja di sini. Receptionist. Huh. Kejamnya takdir.
“You buat apa tu?”
Dia tutup fail itu perlahan-lahan.
“Saja nak check fail-fail pekerja baru.
Tapisan keselamatan.”
Kartini mengalun ketawa, lunak dan riang.
“Well, Sham dah janji, kan? Hari ni kita
lunch sama-sama. Boleh Tini curi Sham sekejap?”
Dia bangun, seluk tangan ke dalam poket
sambil jeling jam pada dinding. Patutlah perutnya berkeroncong, sudah hampir
pukul dua.
“Okey, jom. Kejap, Sham kemaskan meja.”
“Alaaa... biar je. Bukan ada benda
penting pun, kan?”
Dia senyum sambil geleng.
Fail Zarra yang tertutup masih di
mejanya. Tak. Tak penting langsung.
“WALAUPUN DAH khatam tiga kali,tak bermaksud
kamu tak payah baca Al-Quran.”
Tu dia, neneknya sudah berbunyi. Dia
sengih-sengih dalam telekung solat.
“Tak payah baca banyak, satu muka surat
sehari pun dah cukup. Lama-lama habis juga, kan?”
“Ya, nek.”
Tok Teh usap Al-Quran arwah suaminya.
Walaupun sudah usang namun masih kukuh dan jelas.
“Kamu ponteng kerja ke?”
“Ehhh... mana ada. Zarra sengaja mintak
cuti sebab nak baca Al-Quran dengan neneklah.”
Adeh deh deh deh... sakitnya kena cubit
wooo...
“Jangan nak sabitkan nenek. Kalau nak
memonteng, tanggung sendiri. Baca Al-Quran konon, baca tiga helai pun mata dah
nak tidur.” Tok Teh marah-marah alang. Dia bukannya sampai hati nak marahkan
Zarra. Dia sayangkan Zarra lebih daripada dia sayangkan nyawanya sendiri.
Hahaha... Nenek oh nenek.
“Kalau kita nak majikan sayang kita, buat
kerja mesti ikhlas. Dapat sikit atau banyak, itu namanya rezeki. Yang penting,
halal.”
“Ya, nek.”
“Kamu jadi kuli ke, jadi bos ke, hormat
semua orang. Paling utama, jaga pergaulan.”
“Ya, nek.”
Tok Teh mendengus. Mengantuklah tu. Dia
tarik telinga Zarra kuat-kuat.
“Dah, pergilah kamu lelap kejap. Nanti
dah masuk asar, tak baik kalau tidur. Bangun nanti otak jadi tolol. Kalau
nak lelap, lelap sekarang.”
Huh, dah lelap pun. Dekat atas sejadah,
Zarra lena tanpa mimpi.
JAYASRI PANDANG Zarra.
“Kenapa nak tukar position? Housekeeping
banyak kerja tau, Zarra.”
Dia sengih-sengih.
“Zarra nak cari pengalaman, puan. Mahu
tahu corak kerja semua position.” Pandai aje dia beralasan.
“Kalau ada orang sanggup tukar, Zarra
boleh masuk team housekeeping. Tapi, untuk minggu ni, I rasa you kena stay di
reception dulu. Boleh?”
Dia tarik nafas pelan-pelan.
“Okey, cool. Tapi kalau ada kosong,
jangan lupa tukarkan Zarra ya.”
Jayasri angguk. Pelik. Berebut-rebut yang
lain mahu ambil position tu. Tak berat tugasnya seperti di housekeeping dan
cleaning. Pelik betul budak Zarra ni.
“Okay. But, standby seluar panjang hitam.
Mana tahu Zarra boleh trade places nanti.”
Oh, itu kecil punya masalah. Dia sudah
ada lima pasang seluar hitam.
“Terima kasih, Puan Jayasri. Thanks.”
Jayasri ketawa lalu sambut huluran salam
itu.
“Kerja baik-baik tau, potong gaji nanti.”
Zarra ketawa. “Tolong ya, puan.”
“It’s a small matter, Zarra. Anything, I will
tell you.”
Zarra bangun, tinggalkan pejabat itu
cepat-cepat.
HATINYA BEKU.
Jantungnya terhenti.
Mana dia mahu pandang? Okey, pandang
kaunter. Jangan pandang depan. Buat biasa-biasa sudah. Jangan gubra, be cool.
Takkan Hisham nak datang tegur dia macam kawan lama, kan? Tak mungkin. Zarra
tarik nafas, berikan senyum manis pada tetamu yang lalu-lalang.
“Oh my, oh my, oh my... he’s coming...”
Dia jeling Dilla yang sedikit ternganga.
Kenapa? Handsome sangat ke si Hisham tu? Huh, kalaulah Dilla tahu apa yang
sebenarnya ada di sebalik wajah itu.
“Selamat petang, Encik Hisham.”
“Selamat petang, Encik Hisham,” tuturnya
sesopan mungkin. Dia tundukkan wajah.
“So, macam mana hari ni, ramai occupancy
yang check- in?”
Dilla gelak manja. Zarra mahu tergelak
dibuatnya. ‘Adoi, Dilla... Kau pun makan dengan jampi mamat ni ke?’
“Alhamdulillah, so far so good, Encik
Hisham. Ramai hari ni. Kan, Zarra?”
‘Adoiii... tak payahlah heret aku sama.
Kau cakap ajelah dengan mamat tu.’ Zarra senyum. Senyum yang dibuat-buat. Kali
ini dia angguk tanpa mengangkat muka. ‘Blah. Tolonglah blah.’
“Zarra sihat? Semalam cuti kenapa? Sakit
ke?”
Lembut sekali suara itu menyoalnya.
‘Aduhhh... jangan sibuk boleh tak? Dahlah
si Dilla ni nganga pandang dia. Hesy...’
“Saya sihat, encik.”
“Eh, semalam dia demam, encik. Dia datang
kerja dengan motor, tu yang demam tu. Saya dah cakap dengan dia, tinggal kat
kuarters terus. Degil dia ni...”
‘Amboi, amboi, amboi... pemberita pulak
si Dilla. Aku lepuk dengan kasut ni karang.’
“Semalam demam, hari ni dah okey.”
“Dah pergi klinik, makan ubat?” soal
Hisham lagi. ‘Pandanglah abang, Zarra. Apa tinggi benar benci itu?’
Dia pandang skrin komputer. Kosong,
hilang sebentar kata-kata.
“Ya, encik. Siap kena inject lagi.”
Dilla kembali nganga.
“Weh, kau kena inject? Kat mana, kat
buntut ke?”
Ya Allah... haruskah dia cabut kasut dan
lepuk-lepuk si Dilla ni?
Hisham tahan ketawa. Aduhai... karang
tergelak, mahu setahun tak bertegur sapa terus.
“Laa... you kat sini ke? Kenapa I call
tak jawab-jawab?”
Hisham lepaskan nafas.
Kartini.
“Sorry, babe. My phone ada kat dalam
ofis. Tini dari mana?”
Kartini senyum manja, jeling Zarra dan
Dilla yang tercegat macam patung.
“Dari butik, spa. Check stok. Jom, teman
I. Lapar ni.
Sengaja tak makan tau sebab nak makan
dengan Sham.”
Ya, pergi cepat. Berambus. Blah.
“Ni, tak ada kerja ke? Tercegat je kat
sini.”
Hisham tarik nafas. “Diaorang kerja la
tu. Dah memang kerja diaorang tercegat depan kaunter, takkan nak buat kerja
lain kut?”
Kartini cebikkan bibir. Pantas disauknya
lengan Hisham. Dijelingnya sekali lagi dua gadis itu. ‘Helo, sila tengok saja,
jangan nak berangan mahu dapat lelaki macam Hisham. Seribu tahun takkan
mungkin.’ Dia ayun langkah, heret Hisham bersamanya.
“You jangan nak manjakan sangat staf ni.
Nanti naik kepala. Manja.”
“Macam you?”
Kartini tarik muka. “Usik I lagi, jangan
jumpa seminggu!” Sengaja dia kuatkan suara.
Dilla jeling Zarra. Mahu termuntah dia.
Eleh, jangan jumpa seminggu. Bukan kau ke yang terkejar-kejar datang mengadap?
Pigi dahhh...
“Bagus tu, boleh Sham buat kerja dengan
tekun.”
Kali ini Kartini gigit bibir. “Fine,
kalau macam tu, I balik.”
‘Aduhhh... Drama apa pulak yang dibuatnya
hari ini?’ Hisham jeling. Zarra masih pandang skrin komputer, langsung tidak
pandang pada mereka. Pada dirinya.
“Babe, tadi cakap nak makan, kan? Dah,
jom makan. Kalau sakit, Sham juga yang susah, kan?”
Kartini jeling, senyum-senyum.
“Ingat dah tak sayang I.”
Hisham gosok tengkuk. “Dah, jom makan,
okey.”
Kartini kembali senyum, paut lengan
Hisham kemas-kemas. Sewaktu mereka melangkah, Hisham sempat menoleh, sedikit.
Zarra masih kaku, pandang skrin.
‘Cepatlah pergi, aku mahu bernafas.’
Hisham mengeluh dalam hati. ‘I will see
you again, Zarra. I will.’ Cepat kali ini dia dan Kartini berlalu.
‘Ahhh... leganya.’ Baru dia berani
bernafas. Mahu terduduk dia sebentar.
“Okey Zarra, talk.”
Kan? Memang dia dah agak, mesti kena soal
siasat punya.
“Talk apanya?”
Dilla tongkat dagu. Matanya pandang terus
wajah Zarra.
“Kau kenal Encik Hisham, kan?”
Malasnya dia nak jawab.
“Ya.”
Dilla tepuk tangan, loncat-loncat macam
kera dapat bunga. Kena penampar sekali baru betul.
“Lagi, takkan itu je kut? Mana kau kenal
dia?”
Nilah natijahnya. Gatal sangat nak
mengaku kenal.
“Dulu dia duduk sebelah kampung aku. Dah,
jangan tanya. Kalau kau nak tahu sangat, buat soalan karangan, biar aku tolong
hantarkan, biar dia jawab.”
“Ala... tanya pun marah ke? Yalah,
yalah... Tapi... untunglah kau. Senanglah nanti.”
Hahaha... boleh dia gelak sambil nangis
kat sini tak? Senang? Gila. Makin susah adalah.
“Dilla, kau jangan cakap dengan siapa-siapa
pun pasal hal ni, aku lepuk kau nanti.”
Dilla jelirkan lidah, acu penumbuk.
‘Siaplah kau. Berani kau buka mulut, aku
sumbat dengan tayar motor!’
“CANTIK KAN staf tadi?”
Hisham toleh, pandang wajah Kartini yang
mencuka. Ya, inilah caranya tuan-tuan, encik-encik. Cara wanita psikologikan
lelaki. Soalan yang berbentuk pernyataan. Kalau berani, jawablah. Cakap aje,
jangan takut-takut. Jawab betul pun kena, jawab salah pun kena. Kesimpulannya,
lantak korang.
“Ya, cantik.”
Memang Zarra kian cantik. Dia masih
ingat. Waktu dia bermain bola sepak dan futsal di kampung sebelah, Zarra
melintas di hujung padang. Waktu itu, dengan pakaian sekolah menengah dan
basikal merah. Kelakar bila dia ternganga, ditampar cinta pandang pertama.
Cinta ke tu?
“Sham.”
Dia angkat muka.
“You ni kenapa, dah angau?” soal Kartini
keras. Wajah Hisham yang berbeza dapat dilihatnya seketika. Wajah yang
tersenyum sendiri.
Hisham ketawa kecil. Angau? Hahaha...
“I kenal dia.”
Kartini bingkas luruskan duduk, pandang
Hisham
penuh tanda tanya. “Who, that girl at the
reception tu?”
Dia angguk, pandang wajah Kartini yang
sedikit berubah.
“Mana you kenal dia? Satu U dengan kita
ke?” Tak mungkin budak kampung macam tu dapat belajar ke luar negara. Kalau ada
pun, yang dapat tajaan biasiswa.
“Nope. Sebelah kampung, kira sekampung
dengan I dulu. Kampung lama dulu.”
Kartini ketawa kecil. Oh... orang
kampung. Patut pun.
“Hmmm... ingatkan skandal you ke apa.
Baguslah, dapat jumpa orang kampung sendiri. Hah, buat kenduri, makan-makan,
borak-borak.”
Sinisnya. Hisham kembali sandarkan tubuh
pada kerusi.
“I fikir macam tu juga. Mungkin boleh
ajak dia makan-makan, borak-borak, tanya khabar orang kampung.” ‘Tanya khabar
Zarra, melutut mohon ampun,’ sambungnya dalam hati.
Kali ini lebih kuat Kartini ketawa.
“Really? Lawak la you ni, Sham.”
“Kalau I betul-betul buat?”
Ketawa itu tiba-tiba terhenti. Kartini
pandang dia dalam serius.
“I’ll kill her.”
Hisham pula yang meletup tawanya. Yalah,
kill her. Tengok kucing pun melalak macam nampak hantu, ini nak kill-kill orang
pula.
“Sham.”
“Ya, babe.”
“Jangan cabar I.”
Ohhh... spooky.
FUHHH... AKHIRNYA hari ini berakhir juga.
Dia duduk seketika selepas menyalin pakaian. Hajatnya mahu menumpang di
kuarters Dilla, tapi dia mahu balik. Zarra sarungkan jaket, ketatkan tali topi
keledar.
“Hai sweetie, dah nak balik ke?”
Kus semangat.
Sudahlah ekzos dan enjin motor itu
menggegarkan jantung. Superbike memang macam gitu. Sepuluh kilometer pun boleh
dengar. Terkejut dia, kau.
Zachary senyum-senyum. Topi keledar Arai
itu dibukanya, membuat anak rambut lelaki itu jatuh terjuntai selepas membuka
bandana.
“Ya, Mr. Zachary. Going for a date
tonight?”
Zachary ketawa, sengaja memulas minyak.
“Nope, malam ni I ada gathering kelab
motor, jom ikut.”
Kihkihkih... Buat lawak ke mat salih
celup tepung ni? Mat salih ke? Macam mat salih, tapi cakap Melayu tu laju macam
bullet train. Macam pan-Asia gred A+. Muahahaha... dah gila agaknya dia.
“Jom, Zarra.”
Dia acu penumbuk.
“Serius? Zarra naik motor EX5 la, Mr.
Zachary, you nak suruh I saing dengan you yang naik superbike tu? Nak
kawan-kawan you ketawakan Zarra ke?”
Kali ini Zachary senyum lebar.
“I bukan suruh Zarra bawak motor, I suruh
Zarra ride with me.” Dia tepuk tempat duduk belakang yang secoet.
Zarra tergelak. Boleh ke dia duduk kat
situ? Macam tak muat aje. Huh, ayat player. Zarra acu penumbuk sekali lagi.
“Dah, main jauh-jauh.”
Zachary pulas minyak, bergegar sampai ke
jantung.
“Okay sweetie, see ya!”
Zarra angkat tangan, mula hidupkan enjin.
Langit kian gelap, ada baiknya dia cepat.
SEHABIS RAPAT dia memulas minyak, namun
dia tahu, dia perlu berhenti akhirnya. Rintik-rintik hujan mula menampar pipi.
Aduhhh... baju hujan tertinggal. Dia kecilkan mata, nampak sebuah perhentian
bas di hadapan sana. Sudah ada dua buah motor, muat lagi untuk dia mencelah.
Dia pulas minyak, mahu tiba sebelum hujan kian lebat.
“Well, kan dah cakap see ya, mesti jumpa
jugak, kan?”
Ceh! Hahaha... Motor kecik ke, motor
besar ke, kalau dah hujan, bumbung juga yang dicari.
“Ai, bukan tadi you dah berdesup laju
gila ke?”
Zachary pandang langit yang makin kelam.
“Hujan lagi laju kut. Berhentilah dulu.”
Dua remaja yang menumpang di perhentian
bas itu tersengih-sengih memandang dia dan Zachary. Boleh tahan tempias, nasib
baik dinding perhentian bas itu
menghadangnya.
“Zarra nak balik mana?”
“Bukit Payong.”
Zachary tekan telefon pintarnya.
“Huih, that’s quite far!” katanya
kemudian.
“Mana you tau jauh ke dekat?” tanya
Zarra. Biar betul mamat ni, kenal ke dia kat mana Bukit Payong?
Dia tunjukkan skrin telefonnya. “Google
map.”
Huh, patut pun. Gila gadget punya manusia
ni.
Bunyi kereta yang berhenti tiba-tiba
mengejutkan mereka. Siapa pula? Dipandang seketika sehinggalah cermin tingkap
kereta itu sedikit terbuka dalam renyai hujan.
“Zarra, nak balik ke? Jom, Sham
hantarkan.” Sepasang mata Hisham menatapnya lembut, berharap.
Dia kaku seketika. Kemudian geleng
kepala.
“Tak apa, terima kasih.”
Hisham mengeluh. “Jom balik, dah lewat
ni,” pintanya lagi. Tempias hujan mula menyentuh pipi. Dia tatap Zarra dalam
harapan.
Zarra geleng kepala. Hah! Nak mati?
Hisham sudah lupa, waktu hujan beginilah peristiwa itu berlaku. No, dia takkan
menerima pelawaannya itu.
“Hai Hisham, you kenal Zarra ke?” Zachary
pandang dua manusia itu. Zarra dilihatnya resah, Hisham pula serba salah.
Hisham angguk. “Satu kampung dulu.” Malas
dia mahu menerangkan itu dan ini. Bagi jawapan yang ringkas saja sudah memadai.
Zachary angguk-angguk, jeling Zarra yang
diam membisu.
“Zarra, Sham hantar.”
Kali ini dia tegas. “Thanks, but no
thanks.”
Hisham mengalah, mengangkat cermin kereta
lalu berlalu pergi. Berdesup kereta itu membelah hujan yang masih menampar
bumi,
Fuhhh... lega dia.
“Zarra.”
Dia toleh.
“Nah, baju hujan. You pakai, balik. Ambik
helmet spare Zach, tak kena hujan kat muka tu.” Dia angkat tempat duduk motor,
bawa keluar satu lagi topi keledar.
Zarra nganga. La... kenapa si Zachary tak
gunakan untuk dia saja?
“I tak jadi pun nak pergi gathering tu,
baik balik tidur.” Lelaki itu tersengih.
Sepasang mata itu menangkap matanya. Hai
hati, kenapa tiba-tiba saja kau berdebar-debar? Nak makan karate? Zarra telan
liur. Dah hampir jam sepuluh malam ni.
“Ambik, esok lusa hantar pun tak apa.
Please, take it.”
“Kalau akak tak nak, bagi saya, kak.”
Eh, dia hempuk juga budak dua orang itu.
Tiba-tiba saja menyampuk. Zachary dilihatnya ketawa dalam hujan yang masih
menyanyi. Yalah, orang nak tolong, ambil ajelah. Lepas pakai baju hujan itu,
dia sarungkan helmet pemberian Zachary.
Kahkahkah... Bawak EX5, pakai topi
keledar harga beribu. Bongoknya dia.
Zachary angkat dua ibu jari. “Be safe.
See ya.”
Mahu saja Zarra tergelak. Yalah, see ya.
SAKIT TELINGANYA. Panjang betul maknya
membebel hari ni. Neneknya? Jangan cakaplah. Kalau neneknya itu lelaki, dah
layak baca khutbah Jumaat tau.
“Dah, cukup. Jangan buat kerja macam tu
lagi. Zarra duduk saja kat kuarters tu. Tak payah nak balik malam-malam buta.
Kalau jadi apa-apa kat tengah jalan tu, macam mana?”
“Zarra ke tepi jelah, apa susahnya?”
Hah, menjawab saja kerja anak ini. Lantas
dipiatnya telinga Zarra kuat-kuat.
“Loyar buruk tak habis-habis. Kalau mati
kena langgar, kena culik ke? Tak takut ke kamu?”
“Mati tu pasti, mak. Culik, siapa yang
bodoh sangat nak culik Zarra ni, mak? Nak suruh kita bayar dengan apa, daun
jambu, daun rambutan?”
Emaknya angkat tangan. Surrender. Malas
nak bertekak lagi.
Zarra ketawa, peluk Puan Aini kuat-kuat.
“Mak, ni ada dua ratus. Simpan, jangan
main kutu banyak-banyak. Barang dapur, bil api dengan air semua dah settle.
Rajin, Zarra balik. Malas, Zarra tidur.”
Puan Aini peluk anak itu erat-erat. Dia
tahu, Zarra sudah banyak berkorban.
“Tak payah, gaji mak ada lagi. Zarra simpan.”
“Ambik. Gaji mak, duit mak. Ini gaji
Zarra, hasil air ketiak Zarra. Mak nak simpan ke, main kutu ke, suka hati mak.
Jangan lupa belikan kapur sirih nenek, meroyan nenek karang.”
Dahi Zarra dicium lama-lama. “Baik-baik
bawak motor. Mak sayangkan Zarra.”
Enjin motor dohidupkan. “Abam, jaga mak,
nenek, ayam, itik, rumah dan kawasan yang sewaktu dengannya. Fail, aku buang
kau kat pasar malam, faham?”
Kucing itu mengiau kuat. Huh, faham pun.
Apa, ingat kucing tak faham ke bahasa manusia? See the legslah weh...
DIA BARING, lega. Beg pakaian yang
dibawanya bersama tadi diletakkan di tepi dinding.
“Woit, mandi. Nanti nak masuk kerja.”
Zarra angkat ibu jari. Alhamdulillah,
nasib baik dia dapat kawan macam Dilla dan Ida. Dapat bilik ketiga, luas. Cukup
luas untuk dua buah katil single dan sebuah almari pakaian. Okeylah tu, semua
ada. Tingkap menghala ke laman, kipas siling. Bilik air pun ada dua.
“Mana Lili?”
“Lili syif pagi, Ida pun.”
“Ohhh... okey. Bagi aku dua puluh minit,
nanti kita gerak.”
“Alright. Aku membuta kejap, nanti kau
kejutkan aku,” pesan Zarra lalu pejamkan mata.
Lah, sempat lagi.
RINGAN KEPALA bila lelap sebentar tadi.
Siap isi perut, dia dan Dilla jalan melenggang ke hotel. Bila sinar mentari
sentuh wajah, dia bahagia. Zarra tongkat dagu, berangan ke langit paling jauh.
“Zarra...”
Hmmm... apa lagi?
“Dia datang.”
Siapa? Guests? Biarlah, memang dah kerja
mereka. Zarra angkat muka, lemparkan senyuman sebelum senyuman itu kaku.
“Boleh balik semalam?”
Allah... lelaki itu rupanya. Dia tarik
nafas dalam-dalam.
“Boleh, Encik Hisham.”
Hisham hentikan langkah. Terbuai dia
seketika melihat wajah mulus itu. Mahu saja dia tarik tangan Zarra, bawa gadis
itu jauh-jauh.
“Hai Encik Hisham, selalu melawat ke
sini, jumpa orang kampung ke?”
Ni minah mana pulak yang sibuk jaga kaki
seluar orang ni? Hisham tarik senyum, toleh ke belakang. Oh, si Liyana,
sidekick Kartini, kan?
“Ya, Cik Liyana. Sebagai orang Islam,
elok kita dekatkan silaturahim sesama insan. Tak gitu, Cik Dilla?” tanya Hisham
lalu pandang muka Dilla.
Dilla senyum. ‘Padan muka kau, menyibuk
tak kira tempat. Cabut bulu mata palsu tu karang, baru ada orang gila meraung
kat ruang lobi ni. Havoc, masuk surat khabar, dapat promosi free.’
“Betul juga. Dekatkan silaturahim tu
bagus, tapi jangan sampai duduk dekat-dekat sudahlah, nanti naik angin
Miss Tini.”
Perghhh... pedihnya ulasan. Hisham jeling
Zarra yang buat bodoh.
“Ala... kalau dekat pun apa salahnya?
Bukan Encik Hisham ni laki Miss Tini ke apa. Apa yang kau nak susah sangat,
bahlul...”
Liyana ketapkan bibir. Hesy... kalau
bukan sebab mereka berada di lobi, dah lama dia ganyang si Dilla. Tak sedar
diri punya perempuan. Kerja receptionist pun dah besar kepala.
Zarra berdeham kuat. “Dilla, tu Naim dah
datang. Aku keluar kejap ya.”
Semua mata pandang dia.
“Kau nak gi mana, Zarra?”
Zarra mendengus kuat, kemudian dia senyum
sambil pandang semua manusia kat situ.
“Aku nak pergi tandas, nak berak. Boleh?”
Dilla bantai gelak kuat-kuat. Gila betul
si Zarra ni.
Hisham sembunyikan senyum, tinggalkan
Liyana yang ternganga keseorangan.
“YES... CARI I ke?” lunak suara itu
menegurnya. Beg plastik yang terisi baju hujan dan topi keledar itu diletaknya
ke atas meja.
“Mr. Zachary, thank you. Terima kasih.
Maaf lambat hantar.”
Zachary ketawa sambil singsing lengan
baju. “Don’t worry, ada lagi yang lain. Kalau Zarra nak, ambiklah. Free of
charge.”
Dia geleng kepala. Free? Mana ada barang
free sekarang. Nasib baik udara tak kena bayar.
“Tak boleh. Zarra pulangkan kembali ya.
Terima kasih.”
Zachary tilik wajah gadis itu seketika.
Selama ini bukan tiada wanita cantik yang pernah dia jumpa, tapi Zarra, entah.
Berbeza. Jauh berbeza. Ada something special yang buat dia mahu tengok, pandang
Zarra. Gila ke dia?
“Okay, thanks. Nanti lain hari, Zarra
belanja you makan mi rebus.”
Zachary ketawa besar. Ini kali pertama
dalam hidupnya ada perempuan mahu belanja dia makan mi rebus. Kalau yang lain
minta dibelanja, siap candle light dinner, tak pun high class restaurant.
“Zarra dah janji, pinky swear.” Dia
hulurkan jari kelengkeng.
“Haippp... Mana boleh pegang pompuan
suka-suka hati.”
Kali ini Zachary gelak lagi. Dia angkat
tabik, tunduk hormat.
“I’m sorry, Miss Zarra. My mistake.”
Zarra kerutkan hidung, ketawa kecil.
“Huh, lain kali jangan buat lagi, potong jari you nanti tau.” Lantas dia
bangun. Sudah lama dia di sini, tak pasal-pasal dituduhnya curi tulang, susah
dia nanti.
“Zarra.”
Dia pandang Zachary yang sedang tersenyum
lebar.
“See ya.”
Dah agak dah. Zarra ketawa kecil. “Okay,
see ya.”
“ADA APA Zarra dengan Zach?”
Allah, terkejut dia. Dari mana lelaki itu
datang?
“Itu bukan urusan Encik Hisham.”
Hisham masih tercegat di situ.
“Tepi, saya nak lalu.”
Hisham pandang keliling.
“Zarra, kita perlu jumpa.”
Zarra geleng.
“Sekarang kita dah jumpa, kan? So,
settle, done.”
Hisham ke kiri, halang dari gadis itu
melangkah.
“Zarra, abang kena bincang dengan Zarra.
Please...”
Abang? Dia mahu menangis. Cukuplah.
Sudahlah.
“Encik Hisham, sebelum saya dan Encik
Hisham kena cekup dengan geng-geng Miss Tini, izinkan saya lalu. Tepi!”
Hisham mengeluh dalam kesal. Kerasnya
hati Zarra. Dia hanya mampu mengekori langkah Zarra yang tinggalkan dia bak
tunggul di situ.
“I DENGAR you pergi melawat rakan
sekampung you lagi? Ada apa-apa ke?”
Huh, pandai si Liyana buat kerja.
Patutnya dia hantar Liyana ke badan perisik, latih jadi spy untuk Malaysia.
Liyana
memang ada bakat itu.
“Tanya khabar, borak-borak, ajak
makan-makan.”
Kartini jeling, tajam dan berapi.
“Are you serious?”
“Kalau I serius pun kenapa? Lagipun
family I kenal family dia.”
Kartini dengus kecil, lontarkan rambutnya
yang ikal mayang ke belakang. “Kalau macam tu baguslah, cakap dengan umi you,
terus ambik buat menantu.”
Memang, memang uminya mahu dia
memperisteri Zarra. Dari dulu lagi umi minta dia menjejaki Zarra, kotakan
janjinya sepuluh tahun yang dulu.
“Hai, diam aje. Kalau diam tu bukan ke
tandanya setuju?”
Hisham sedut minumannya. “Kalau umi
setuju, I okey je. Lagipun I bukan milik sesiapa, kan?”
Bingkas bangun, hentak beg tangan Miu Miu
itu ke meja.
“You... Lelaki memang...”
Memang apa? Memerang, beruang, keluang?
Hah! Tadi bukan main.
“You nak pergi mana ni, babe?”
Kartini ketap bibir. “I nak balik.”
Okey, balik. Baliklah. Dia dah penat, tak
mampu nak memujuk rayu. Nak balik sangat kan? Pergi balik. Dia pun nak balik,
tidur.
“Sham!” panggil Kartini bila melihat
Hisham hendak berlalu.
“What?”
“You nak pergi mana?”
“Dah tadi you cakap nak balik, I pun nak
balik, nak tidur. Bye.” Dia sambar kunci kereta, biarkan Kartini yang terbeliak
memandangnya.
Tidur lagi baik!
TANGANNYA PADA dahi. Dia renung siling.
Wajah muram Hisham petang tadi kini memburu lelap malamnya. Zarra bangun,
panggung kepala. Biar betul, takkan dia rindukan Hisham? Rindukan lelaki yang
jahanamkan dia suatu ketika dulu.
Dia petik suis lampu. Alang-alang dah
bangun tengah malam, baik dia ambil wuduk. Solat tahajud dan witir. Moga Allah
lindungi dia sekeluarga. Abam, kalaulah kucingnya ada bersama...
No comments:
Post a Comment