DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 22 February 2017

Seribu Rindu - Bab 10



MATANYA tak mahu pejam. Sudah beberapa kali, namun masih terbuka luas memandang siling. Apa kena dengan dia? Rindukan Hisham? Mungkin. Zarra lirikkan senyum, tampar dahi beberapa kali.
Dia pusing perlahan-lahan, bimbang mengganggu lena Dilla. Sekali lagi dia cuba pejamkan mata.
‘He touched you, kan?’
Matanya pantas terbuka. Kenapa soalan Zachary itu datang menerobos kembali? Zarra bangun, peluk lutut. Apa sudah jadi antara dia dengan Zachary? Betulkah apa yang berlaku tadi? Dahinya terasa berat, sakit.
I'm sorry for what I've said. Be happy, okay? Good night, sweetie pie.
Bukan Hisham, tapi Zachary. Dia pandang skrin telefon itu dengan senyuman.
Thanks big bro. Sweet dreams.
Zachary senyum membaca balasan daripada Zarra. Big bro. Okay, bro pun brolah. Hati dia? Bleed and dry.
‘Be happy, sweetie pie. Please be happy.’ Dia letakkan tangan ke dahi. Hisham, baik kau jangan sia-siakan dia, kalau tidak kau akan menyesal!
PUAS HATINYA. Cantik, kemas, bersih. Paling penting, segar dan wangi. Inilah bilik paling besar di hotel ini. Fuhhh... gaji dia sebulan pun belum tentu dia boleh menginap kat sini. Siap ada private jacuzzi. Tumpang mandi karang kecoh pula.
“Kak, dah settle belum kat bilik air?”
Wanie jenguk keluar. “Dah... penat bersihkan bilik air besar, sama besar dengan bilik tidur nih...” Menggeliat Wanie di muka pintu. Dia toleh, perhatikan betul-betul. Berkilat dan bersinar-sinar. Marvelous.
Peluh di dahinya dilapkan perlahan-lahan. Puas hati kalau dapat buat kerja dengan baik, lagi puas hati kalau buat dengan amanah dan ikhlas.
“Amboiii... cantik sangat ke bilik airnya, kak?” Zarra bergerak ke muka pintu.
Wanie jongket sebelah bibirnya. “Cuba kau tengok sendiri. Bathroom dia lebih besar daripada bilik akak.”
Zarra jenguk ke dalam. Mak aiii... dahsyatnya. Siap boleh tidur dan berkaraoke lagi dekat dalam bilik air ni kut. Dia perlahan-lahan masuk ke dalam.
“Kau kotorkan, kau lap balik.”
Zarra ketawa. Memang sesuai Wanie kerja kat sini.
Clean freak si Wanie ni. Habuk secuit pun dia tak tinggal. Lantai marmar heavy duty warna putih kelabu terhampar cantik, bath-tub warna putih bersih berkilat dikerjakan Wanie. Aduhai... ni kalau tidur pun boleh kalau bath-tub macam tu punya rupa.
“Dah, tinggal lagi dua bilik. Nanti guests nak check-in.” Wanie kemaskan semua barang lalu susunkan kembali ke atas troli.
“Good work, kak. Kita memang couple paling best.”
“Couple kepala lutut kau. So, macam mana dengan abang AGM? Okey? Miss Tini ada cari kau?”
Banyaknya nak kena jawab. Zarra senyum-senyum. “Dia ada je, hidup lagi kat ofis besar bapak gila kat atas tu.” Jari telunjuknya dijongket ke atas.
Wanie tarik telinga di sebalik tudung itu. Biasa ni. Kalau dengan mak mentua menjawab macam tu, makan maki tak pasal-pasal. “Yalah. Kalau mati, kita kebumikan terus. Barulah kau melalak macam orang gila. Akak tanya status kau dengan dialah. Kawan je ke?”
Elehhh... pandai tanya macam-macam ya. Lepuk karang. “Kami kawan-kawan gitulah. Lebih-lebih karang, Miss Tini campak Zarra dalam laut.”
“Kau kawan baik-baik, Zarra. Lelaki dengan perempuan ni masa kecik-kecik bolehlah guna istilah kawan, zaman sekarang jangan wooo... payah. Kawan apa kalau sampai pukul dua tiga pagi angkut sana sini? Kawan jahanam tu,” nasihat Wanie.
Macam adik iparnya. Budak U, tapi otak tak berapa nak berakal agaknya. Keluar dengan kawan lelaki. Berdua. Sampai rumah jam dua tiga pagi. Semalam makan penampar dengan suaminya. Bukan sekali. Tiga kali pula tu. Nasiblah. Dia dan mak mentuanya sudah jenuh nasihatkan. Kalau ya pun keluar makan, jalan-jalan, sampai ke dinihari apa
jadahnya?
“Kalau kawan tak boleh ke? Macam Zarra dengan Zach, Naim, Abid?”
“Itu memang kawan. Tapi dengan Encik Hisham lain. Dah mengurat bagai. Bungalah, makan minum lagi. Nanti tak pasal-pasal ada cincin kat jari.”
Terhenti sebentar langkahnya.
Wanie beliakkan mata, mulutnya perlahan ternganga.
“Ahhh... betul akak tembak, kan? Kau nak tunang dengan dia ke apa? Kau cakap betul-betul...”
Cepat-cepat dia tekup mulut Wanie. Aduhai, suara tu macam loud speaker, satu hotel boleh dengar.
“Apa? Cakap betul-betul? Karang aku up status dalam Facebook, baru biru muka kau tu.”
Ditariknya lengan Wanie ke tepi koridor. “Akak, janganlah... Zarra nangis karang...”
Wanie gelak namun kembali serius. “Kau cakap, settle. Diam, tipu... sekarang jugak aku up status. So, how?”
Siap speaking lagi, tak tahan dia.
“Kalau akak cakap dengan orang lain, Zarra tak jemput akak datang tau...”
Bersinar sepasang mata Wanie. Mahu tergelak dia melihatnya.
“Cerita, sekarang.”
“Kami memang ada plan, kak. Insya-Allah, kalau ada apa-apa perkembangan, Zarra beritahu akak. Nak cakap ya pun, Zarra sendiri tak pasti. Kalau tak jadi, Zarra sendiri yang malu. Lagipun Zarra tak sangka kami dipertemukan kembali.”
Kalaulah Wanie tahu cerita sebenar... Dia senyum cuma.
“Jadi. Kenapa tak jadi pulak?”
Terkejut mereka berdua. Masa bila pula si Hisham boleh tiba-tiba ada kat sini?
“Dari mana, Encik Hisham?” tanya Wanie. Saja tanya, taklah nampak mengumpat sangat, kan?
“CCTV room. Nampak korang kat sini, saja datang nak jenguk buah hati saya.”
Aihhh... buah hati pula. Wanie mahu ketawa tapi bimbang kena seligi dengan Zarra yang terkedu di sebelahnya. Terkejut sampai macam tu sekali jadinya.
“Zarra, habis kerja nanti, ikut abang kejap.”
Abang. Aduhai... geli lubang telinganya. Wanie tutup mulut, cuba tahan ketawa yang mula melonjak mahu keluar. Matanya pandang kiri kanan. Manalah tahu, kalau tiba-tiba Miss Kartini tu pula yang menjelma, mahu melompat dia terjun bangunan.
“Pergi mana?” Hari tu dah jumpa dengan umi dan abi. Nak pergi mana pula kali ni?
“Ukur cincin.”
Wanie melompat macam dugong tak cukup air, siap tutup-tutup mulut. Zarra tahan gelak. Aku pelangkung juga dia ni nanti.
“Abang tunggu. Bye, Wanie.”
“Bye, Encik Handsome... ehh, sorry... Encik Hisham.”
“Kak Wanie,” panggil Zarra bila Hisham sudah berlalu pergi.
“Ya, sayang...”
 “Rahsia.”
“Bayar.”
“Cili boh mau?”
“Boleh. Masak ayam tumis.”
Mereka sama-sama gelak.
APRON ITU dilipatnya kemas. Moodnya sudah lama terbang pergi, sejak pagi lagi. Malam tadi tidurnya juga tidak lena. Berkalih kiri dan kanan. Mungkin dia patut ambil cuti, buang segala keresahan yang mula bersarang dalam hati.
Abid datang hampir, peluk tubuh. “Nak pergi mana? Laju saja.”
“Pergi gim.”
‘Ahhh... ada yang tak kena tu,’ fikir Abid.
“Kau kenapa, Zach? Mood macam awan mendung hari ni. Jangan kata ketawa, bercakap pun tidak.”
Butang seragam itu dibuangnya satu per satu. “Mood hilang, kena makan dengan naga.”
“You can talk to me, bro...”
Bro.
Teringat dia akan Zarra. Big bro. Aduh... lagi hatinya pedih di situ.
“Jom, ikut aku pergi gim,” ajaknya.
Abid geleng. Mana dia ada hati nak masuk gim bagai. Joging petang-petang pun dia paksa diri. Dia tak nafikan, body Zachary memang kaw. Taklah sado, kembang macam belon tapi memang ‘cantik’ macam ahli sukan. Perut tu,
siap ada petak sawah lagi. Kalau dia buka baju, semua mata memandang. Mak cik dobi pun tengok sampai dua kali. Anak dara? Huhhh... walaupun malu, pandang juga.
“Kau pergilah. Nanti borang keluar, aku tolong isikan. Duit menang, kita bahagi sama rata.”
Borang? Duit? Apa benda pula karut si Abid hari ni. “Kau cakap pasal apa ni, bro?”
“Model Manhunt of The Year.”
Caittt... nonsense. Dia geleng, tonyoh kepala Abid dua tiga kali.
“Seratus ribu tu, Zach. Kalau kau tak mau, kau masuk, menang. Duit kasi aku.”
Hahaha... itu lagi mengarut.
“Dah, baik kau ikut aku pergi gim, kau yang masuk. Habis cerita.”
Abid bantai gelak. Dia?
“Kalau badan cantik, muka macam botol budu nak buat apa. Aku baru tahap pelakon tambahan, kau dah tahap model antarabangsa, baru betul.”
Huhhh... pandai aje. “Dah, kalau tak nak, kau balik tidur. Aku tak tumpang kuarters malam ni, aku balik rumah. Kesian pokok-pokok herba, nanti mati tanpa belaian.”
Hahaha... Kalau tengok tuan, macam bela harimau. Bila balik ke rumah, baru kenal belang. Zach oh Zach.
‘KAT SINI ke? Tak ada kedai lain ke?’ Zarra telan liur.
“Zarra suka pattern yang macam mana?”
Ah... tanya dia ke? Zarra senyum, gosok paha perlahan-lahan. Beberapa pasang mata memandang dengan senyuman manis.
“Zarra ikut saja. Tak payahlah yang mahal-mahal, yang simple-simple sudahlah.”
Mereka sekarang berada di Habib Jewels. Zarra memerhati. Cari yang paling simple. Kalau simple, mesti murah sikit kan?
“Dua-dua nak pattern sama ke?”
Dua?
“Dua?”
Hisham sengih. “Satu untuk tanda, satu untuk akad nikah.”
“Membazirlah.”
Hisham sengih lagi. “Tak boleh, nanti umi marah. Zarra jangan risau.”
Matanya menangkap sebentuk cincin. Cantik, simple. Permatanya hanya satu, taklah melampau atau menarik perhatian.
“Cantik?”
Zarra angguk tanpa sedar.
“Boleh kami tengok yang tu?”
Segera gadis berseragam itu datang membantu.
“Yang ini, tuan?”
Hisham angguk. Betul. Cantik dan ringkas. Dia jeling Zarra yang diam kembali. Mata Zarra masih menatap cincin itu. Hisham lebarkan senyuman. Cincin itu diambilnya berhati-hati lalu disarungkan pada jari. Jari manis milik Zarra.
Bergetar jantungnya saat cincin itu tersarung indah.
Permatanya yang bersinar di bawah cahaya lampu buat ia kian gemilang. Berkilau dan menyentuh matanya dengan perlahan. Memikat hati.
Zarra lepaskan nafas perlahan-lahan. Allah... cantiknya. Dia ambil tanda harga.
Astaghfirullahalazim... Matanya salah tengok ke? Dia pegang dan sekali lagi dia lihat tanda harga itu. Allahuakbar. Cepat-cepat namun dengan berhati-hati dia menanggalkan cincin itu.
“Tak payahlah... Zarra rasa kita pilih yang lain, tak pun kita cari kedai lain.” Dia serahkan kembali cincin itu kepada gadis itu.
“Ada diskaun, cik.”
Diskaun? Tapi dia pasti, harganya takkan jadi sampai murah sangat.
“Okey, saiz tadi padan dengan Zarra tak? Kalau okey, abang ambik yang ini. Zarra tengok yang lain, pilih lagi satu.”
Ehhh, bukankah dia cakap tak payah. Dia cubit Hisham, geleng-geleng. “Kita tengok kedai lain, boleh?” soalnya perlahan.
Kali ini dia genggam tangan Zarra. Terbeliak mata Zarra buat dia mahu tergelak. “Kalau pergi kedai lain, abang jalan sambil pegang tangan Zarra sampai rumah, boleh?”
Dia tarik tangannya perlahan-lahan.
“Mahal. Membazir... tak payahlah...”
“Kalau macam tu, bak tangan.”
Geleng, mukanya sudah merah padam.
“Okey, kalau macam tu, kita ambil yang ni dulu. Boleh?”
Alahai... kalau cakap tak boleh, sama juga. Mesti
kena bolehkan juga. “Mahal..”
Hisham keluarkan kad debit. “Tak apa, untuk Zarra juga.”
Tak terkata dia. Dia hanya mampu pandang cincin itu diletakkan ke dalam sebuah kotak kecil warna putih.
“Jom, abang lapar. Kita makan nak? Zarra nak makan apa?”
“Makan angin. Boleh?”
Marahlah tu kut. Kalau dia pegang tangan Zarra, mesti gadis itu bersilat di sini. “Kenyang ke? Nanti kentut banyak.”
Main-main. Zarra mahu tergelak namun hatinya kata jangan.
“Kita makan kat satu tempat ni.”
Suka hatilah. Asalkan perutnya terisi cukuplah.
KARTINI CEPATKAN langkah. Dia pasti, Hisham yang berjalan di hadapan sana. Hisham dan Zarra. Hatinya mula membahang. Langkahnya dihentikan seketika. Tarik nafas, lepas. Tarik nafas dalam-dalam, lepas. Senyum, jalan. Kena ada class, kena ada ketenangan. Sudah dia katakan, Hisham akan dia biarkan lepas bebas, nanti Hisham pasti pulang ke pangkuannya semula. Cool, Tini.
“MAKAN APA kat sini?” soalnya resah. Dia lapar nasi. Nasi dengan ulam pun sudah cukup. Bukan dia tak suka makanan
di situ, tapi tak kena dengan lidah. Lebih-lebih lagi waktu tengah lapar begini.
“Makan susyilah. Pilih saja. Nasi dengan black pepper beef pun ada. Kalau Zarra nak makan mana-mana susyi pun, ambil saja kat atas tu.”
Pening dia melihat susyi yang berputar di sekeliling ruang. Mahu tergelak pun ada. Memang dia nampak jakun, dan rasanya memang dia terlebih jakun. Zaman universitinya hanya dipenuhi dengan masa ke perpustakaan atau kerja di kedai makanan segera. Mana ada masa mahu berjimba sana sini. Pernah dia dengar rakan-rakannya ke sana sini, berlibur, tapi bukan dia. Duit terlalu mahal untuk dia membuangnya begitu saja.
“Zarra nak makan nasi dengan daging black pepper tadi sajalah. Ice lemonade juga.” Tak reti dia makan susyi. Nampak sedap. Nantilah, kalau dia berani, dia cuba. Kalau neneknya ada, mesti geleng kepala, keluar dari sini, balik rumah tanak nasi dengan singgang ikan aya. Sedapnya ikan singgang dengan budu. Ada pula celur pucuk ubi dan telur mata kicap.
Dia jilat bibir.
“Lapar sangat ke? Ambil je mana yang Zarra berkenan. Try ni, susyi salmon. Atau nak try makan sashimi?”
Dia geleng. Entah apa benda yang disebut Hisham. Matanya memerhati pinggan yang bergerak. Macam maraton piring kecil. Siap ada warna yang berbeza. Cubalah, sementara nantikan hidangan yang dipesan tadi. Dia ambil satu. Ada penutup. Cantik juga susyi ni. Kemudian dia suapkan ke dalam mulut.
Hisham pandang wajah Zarra yang berubah. Dia mahu tergelak namun dia tahu nanti Zarra pasti kecil hati. Berdeham dia beberapa kali.
“Telur ikan salmon. Sedap?”
Zarra angguk sambil senyum. Aduhhh... langsung tak kena dengan seleranya. Cepat-cepat dia teguk air yang baru saja sampai. Tobat, dia tak nak makan lagi.
“Nak lagi?”
Geleng cepat-cepat. Rela dia tahan lapar. Sedap bagi Hisham, lain selera untuk dia. Nasib baik nasi yang dipesannya sudah sampai.
Ai... ini sajakah? Nasi dalam mangkuk campur dengan daging lada hitam. Adoi... mana cukup. Memang dia tak gemuk, tapi selera makan dia besar. Zarra mengeluh kecil, suap satu sudu ke mulut. Ermmm... sedap. Nasinya berbeza dengan nasi kat rumah. Zarra teruskan suap.
“Okey?” soal Hisham ingin tahu. Dia suap beberapa keping sashimi. Sedap.
Zarra angkat ibu jari. Balik nanti tahulah dia belasah nasi dengan telur mata kicap taruk cili padi.
“Hei you... dari mana?”
Allah.
Miss Tini.
Zarra telan liur, senyum dalam debar. Kartini senyum sinis kepadanya.
“Can I sit here? Boleh kan? So, sedap ke? You pandai makan susyi?”
Hisham sandarkan badan, sembunyikan beg Habib Jewels di bawah meja dengan pantas. “Dari mana, Tini?”
“Laa... kan butik I ada satu kat tingkat atas. Saja nak tengok stok baru sampai. Buat apa kat sini? Belanja orang kampung makan?” Matanya menyorot Zarra yang senyum serba salah. ‘Well, kau bukan saingan aku.’
“Dating.”
Kartini ketawa kecil, selak rambut pendeknya ke belakang telinga. Fine. Dia tak kisah. Lagipun Hisham sekadar mahu bermain, bukan betul-betul. Huh!
“Good for you. Nanti dah puas dating, dah puas main, remember our promise ya. Okey, I jalan dulu. Zarra, enjoy your meal ya. Makan kenyang-kenyang.” Disambarnya tas tangan lalu berlalu pergi.
Hisham pangku dahi. Adoiii... nasib baik mood Kartini baik hari ini. Dia jeling beg kertas di bawah meja. Bukan dia mahu merahsiakan, tapi dia tak mahu Kartini terluka. Bila Kartini terluka, dia bimbang Zarra yang jadi mangsa.
“Abang okey?”
Hisham senyum. “Okey. Dah siap? Jom abang hantar Zarra balik.”
Zarra angguk saja. Ada baiknya dia balik, rehat. Tenangkan fikiran. Sebenarnya, betul ke dia mahu kahwin dengan Hisham?
“ZARRA.”
Dia toleh, pandang Hisham. Kereta itu dimatikan enjin.
“Hulurkan jari jap.”
Berhenti jantung Zarra seketika. “Buat apa?”
Hisham kenyit mata. Keluarkan satu kotak berwarna biru gelap. Sebentuk cincin emas tanpa permata berada di tangannya. Perlahan dia sarungkan cincin itu ke jari Zarra.
“Abang tahu Zarra marah abang beli cincin tadi. So,
ini cincin tanda Zarra milik abang.”
Hatinya sebu, dia gigit bibir. Cantik. Dia suka. “Baguslah. Cincin tadi abang dah pulangkan, atau tukar dengan cincin ni?” Dipandangnya cincin yang tersarung pada jari manisnya itu. Cantik, ringkas tapi menarik.
Hisham senyum.
“Mana boleh, itu cincin pilihan Zarra. Abang sarungkan hari akad nikah nanti. Boleh?”
Laa... ada lagi? Aduhai... sakit kepala.
“Bila abang beli yang ni?”
“Masa Zarra pergi solat tadi, sebelum kita makan.”
Zarra tak mampu kata apa-apa.
“Zarra...”
Dia angkat muka, bertentang mata.
“Nikahi abang, jadi suri hidup abang dunia dan akhirat.”
Hatinya berbunga, kembang dan mengharum. Entah dari mana datangnya pelangi dan belon warna-warni dalam fikirannya, dia sendiri mahu tergelak. Mata bertaut.
“Abang akan tebus kembali segala kesilapan abang. Abang janji.”
Zarra angguk, cuba tahan sebak yang menguasai diri. “Insya-Allah. Zarra naik atas dulu.”
“Kiss me.”
“Nak mati?”
Hisham ketawa. “Selamat malam, sayang.”
Zarra angkat penumbuk, senyum dengan gembira di puncak dunia.
‘Selamat malam, abang. Terima kasih.’
ZACHARY SENYUM, seluk tangan ke dalam poket. Dia nampak Zarra yang tersenyum lebar, yang bahagia. Dia tunduk, ketawa kecil. ‘Be happy, sweetie pie.’
Dia pandang sekali lagi dari balik tiang. Mungkin dia patut perlahan-lahan lepaskan perasaan yang mekar. Dia punya banyak pilihan. Perlahan Zachary menapak menaiki tangga, menoleh seketika. Kalau sudah suratan, dia terima dalam rasa kehilangan.
Zarra toleh. Ada sesiapakah di bangunan kuarters sebelah sana? Dia menjenguk. Balam-balam cahaya lampu jalan hanya menyuluh kawasan sekeliling. Perasaannya mungkin. Dia sudah letih. Naik ke atas, dia mahu mandi dan lelap senyenyak mungkin. Cincin pada jari itu ditiliknya lagi. Pandang belakang, kosong.
“Yahu!!!”
Dia ketawa sendiri. Hehehe...
BUNYI OMBAK langsung tidak mampu membuang rasa hatinya yang sedang sakit. Pedih, ngilu. Jus jambu batu itu dipaksa telan. Stiknya masih banyak, hilang selera dia untuk menjamahnya.
“Sorry, Miss Tini. I tunggu Jayasri keluar rehat dulu. Ini copy fail si Honda EX5 tu.”
Datang pun. Dia tarik dokumen dari sampul surat itu. Huh, this is interesting. “Kau dah baca?”
Liyana geleng. “Tak sempat, kenapa?”
“Honda EX5 tu bukan calang-calang ya, Yana. She‘s got a master.”
‘What?’ Liyana buka mulut, nganga macam tadah lalat. Disambutnya helaian kertas itu. Satu per satu dibacanya.
“Dia lagi pandai, lagi genius daripada kau. Funny...”
Liyana ketap bibir. Manalah dia tahu. Tengok pada pakaian macam lepas SPM pun tak mungkin. Tak ada taste langsung.
“Biarlah. Dia ada master pun Miss Tini, dia masih kuli batak.”
Kartini ketawa. Kan, betul juga cakap si Liyana ni. Ada apa pun, tapi kalau tak ada duit, tak payah nak berlagak. Lainlah dia, dia ada ilmu, dia ada duit. Bukan dia mahu berbangga, sudah ditakdirkan dia lahir dalam kemewahan, apa salahnya. Takdir dan suratan. Bukan, terpilih. Dia yang terpilih.
“Kenapa Miss Tini nak tahu sangat pasal dia?”
Dia senyum, pegang sampul surat itu erat-erat. “Not your bloody concern.”
Okey, dia tanya saja. Liyana tutup mulut. Kalau tanya banyak-banyak nanti kena lempang tak pasal-pasal.
“Anyway, thank you. Tu, dalam beg kertas tu, ada sepatu khas untuk kau.” Kartini bangun lalu tinggalkan Liyana yang tersenyum lebar.
Bila bayang Kartini menghilang, cepat-cepat dia menyelak beg kertas itu. Mahu saja dia menjerit keriangan.
Jimmy Choo!
Sepasang kasut impiannya. Liyana tepuk tangan. Berbaloi dia menghambakan diri. Dipeluknya beg kertas itu sambil bersorak riang.
PUAN AINI duduk dalam gementar. Di hadapannya ini, majikannya juga insan yang dihormatinya. Kopi panas dan sedikit kuih bingka ubi dihidangkan Zarra tadi masih belum disentuh sesiapa.
“Tuan haji, puan hajah... jemput minum.”
Hajah Kalsom cubit Puan Aini main-main. “Apa pulak bertuan, puan ni, Aini? Kita ni nak berbesan. Tak apa, jangan kalut dengan air tu. Mana Mak Teh?”
“Belum siap solat lagi. Nanti dia keluar.”
Hajah Kalsom anggukkan kepala. Rumah ini masih sama macam dulu. Sudah lama dia tak berkunjung ke sini semenjak dia berpindah. Walaupun bukan jauh sangat, namun kesibukan dia melayan keluarga dan anak cucu buat dia terlupa. Kata Halina, Puan Aini antara pekerja paling setia di kilang batik mereka. Dulu Ripin, abang suaminya yang usahakan, bila Ripin meninggal, suaminya yang diberi kepercayaan itu untuk meneruskan legasi keluarga. Walaupun sudah ada perniagaan sendiri, kilang batik itu terus dimajukan. Alhamdulillah, kilang utama mereka di Gong Badak juga sudah ada kompleks sendiri. Paling seronok bila anak-anak dan anak saudara berganding bahu untuk menjayakan semuanya. Keluarga Ripin juga sudah berpindah ke bandar, beli rumah yang lebih selesa. Rumah lama mereka bersebelahan rumah lamanya kini dijadikan bengkel batik yang diuruskan Halina, anak sulung mereka.
“Kami datang ni ada hajat,” tutur Haji Yusof.
Tok Teh yang baru siap solat duduk di sebelah Hajah Kalsom. Dipeluknya insan itu beberapa ketika.
“Mak Teh sihat?”
Tok Teh angguk. “Alhamdulillah. Kamu pun, sihat juga. Berseri sekarang ni. Hati senanglah katakan. Bagus.”
Hajah Kalsom genggam tangan orang tua itu. “Mak Teh, macam Yusof cakap tadi, kami datang ni ada hajat. Nak dekatkan silaturahim antara kita. Itu pun kalau Aini dan Mak Teh sudi terima kami.”
Tok Teh senyum, pandang Puan Aini yang turut melebar senyumnya. “Som... rumah kami ni kosong, tak penuh diisi. Tak padan dengan isi rumah kamu, Som.”
Dia geleng kepala. “Isi rumah tak boleh bandingkan dengan isi hati, isi iman, isi budi, kan abang?” katanya lembut.
Haji Yusof angguk. “Isi rumah kami, andainya penuh sekali pun, masih kurang sempurna. Jadi, izinkan kami serikan rumah kami dengan isi yang paling berharga, paling bernilai, dengan izin Aini, izin Mak Teh.”
Tok Teh senyum, berair juga matanya. Kalau hajat baik, apa salahnya. Dia genggam tangan anaknya yang sedikit sejuk. Tersenyum dia. Macamlah orang datang meminang kamu, Aini oiii...
“Aini, kamu maknya... yang lahirkan dia. Apa kata kamu?”
Puan Aini melepaskan nafasnya perlahan-lahan. “Kalau pintu sudah dibuka dengan pelawaan, tak mampu kami menolaknya. Harap Kak Som dan Abang Yusof fikirkan, apa betul milik kami yang mahu dijunjung? Kami tak layak...”
Haji Yusof senyum. “Biar tak layak di mata insan, reda di sisi Allah lebih afdal, kan?”
Puan Aini senyum, mengalah. “Kalau begitu, semoga Allah permudahkan.”
Hajah Kalsom titiskan air mata. Ditariknya Puan Aini ke dalam pelukan. “Alhamdulillah, terima kasih.” Terima kasih Ya Allah.
Pelukan itu dibalasnya erat.
“Tarikh kita biarkan mereka berdua bincangkan ya, Aini. Nanti kalau dah ada kata sepakat, kami datang lagi. Kita tunangkan dulu, ikat secara rasmi. Minggu depan boleh?” Lagi cepat, lagi baik. Kalau boleh dia mahu akad nikah terus, tapi dia mahu menjaga adat. Biar dia gembirakan bakal besannya ini. Mahu gembirakan Zarra dengan cara terhormat.
“Cepatnya, kak. Takut tak sempat beli apa-apa.”
Hajah Kalsom pegang bahu Puan Aini. “Itu jangan bimbang, serahkan pada Hisham. Hari Jumaat depan, boleh?”
Tok Teh angguk, Puan Aini pun angguk.
Leganya. Alhamdulillah, syukur Ya Allah.
JUMAAT DEPAN? Allah, lagi seminggu. Mana dia nak cari barang, buat persiapan. Ya Allah...
Pintu biliknya dibuka, tergolek dia di lantai.
“Apa ni mak. Ketuklah dulu kalau ya pun...” Zarra gosok kepala, sakit juga. Main kasar betul.
Puan Aini hulurkan tangan, tarik anak nan seorang itu ke katil. “Yang kamu mengendap dalam gelap tu kenapa? Apasal tak keluar tadi?”
“Malulah, mak.”
Hah! Pandai malu rupanya ya. Puan Aini senyum, ditariknya telinga anak itu kuat-kuat. “Jumaat depan, macam mana?”
Telinga itu, dia gosok laju-laju. Sakitnya... pedih tau. “Macam mana apa, macam gitulah...”
“Esok temankan mak. Kamu syif petang, kan?”
Dia angguk. “Pergi mana?”
Puan Aini bangun. “Adalah. Tunggu esok. Dah, tidur.”
Zarra cebikkan bibir. Elehhh... rahsia konon. Suruh bawa motor tak tahu, dia juga yang jadi drebar kehormat, cehhh...
“Yalah, mem. Selamat malam, mem.”
Puan Aini ketawa.
“Zarra.”
Apa lagi... takkan nak pulas telinga satu lagi kut?
Puan Aini pantas peluk anak nan seorang itu.
“Apa ni peluk-peluk? Gelilah, mak...”
Nah, kena luku sebiji.
“Dengan mak kamu gelilah... Nanti dengan suami kamu, huh... tahulah...”
Mak!!!
“Mak! Eee... tolonglah. Seram Zarra.” Menggeliat Zarra di hujung katil. Tak sangka, mak pun gatal juga ya.
Puan Aini ketawa. Dia menarik daun pintu lalu menutupnya dengan rapat. ‘Ya Allah... semoga kau permudahkan segalanya,’ doanya.

No comments:

Post a Comment