DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 4



Sugul wajah Zuhair Aidid ketika masuk ke
dalam rumah. Aathifah nampak kemuraman pada wajah itu.
Wajah sebegitu jarang terpamer sebelum ini. Biasanya apabila
pulang daripada kerja, Zuhair gemar menegur penghuni lain
di dalam rumah. Ramah saja mengajak dia berbual.
Melihatkan Zuhair bersandar lelah pada sofa di
ruang tamu, Aathifah ke dapur membancuh air. Sirap ros
diperahkan limau nipis dan dimasukkan ketulan ais.
“Abang Hir, Aathi ada buat air untuk abang.
Minumlah,” pelawa Aathifah. Sirap limau bersama Victoria
sandwich Aathifah letakkan ke meja kaca di hadapan Zuhair.
Zuhair tidak memberikan sebarang reaksi. Tangan
masih tersilang di belakang kepala dengan mata merenung
jauh.
“Abang Hir!” Aathifah menarik hujung baju Zuhair.
“Hah!” Itu yang terkeluar dari mulut Zuhair kala
lamunannya terganggu.
 “Abang Hir fikir apa, sampai Aathi pelawa minum pun
buat tak tahu? Victoria sandwich tu sedap tau. Panas-panas
lagi. Makanlah.”
Zuhair lorek senyuman tawar sahaja.
“Aathi buat?”
“Eh, taklah. Bibik Indonesia yang masak. Baru saja
agen pekerja asing hantar dia ke mari untuk berkhidmat kat
sini,” perli Aathifah selamba. Macamlah Zuhair tak tahu,
sejak dia balik ke mari, dialah yang memasak di dapur.
Pecah ketawa Zuhair dengan kata-kata Aathifah.
Hilang terus kecamuk yang sedang menghurung jiwanya
tadi.
“Amboi, ketawa! Tadi balik muka sebiji tapai basi.
Sekarang gelak-gelak macam coklat jeli. Apa cerita?” bidas
Aathifah bersahaja.
Zuhair tersengih. Dicicipnya seteguk sirap limau
buatan Aathifah.
“Tapai basilah, coklat jelilah... banyak type rupanya
wajah kacak abang ni.”
Aathifah mencemik.
“Eii, perasan! Masuk mesin, putar sendiri.”
Sepotong Victoria sandwich Zuhair capai.
Dimasukkan sedikit ke dalam mulut.
“Habis tu, dah Aathi tak pernah puji abang. Kita
pujilah diri sendiri untuk gembirakan hati kita ni.”
“Melalut!” Pangkah Aathifah namun melihatkan kek
minuman petangnya sedang dijamah, dia tersenyum. “Sedap
tak kek yang Aathi buat tu? First time cuba, tak sangka
menjadi.”
“Kek ke ni? Kata tadi sandwich,” soal Zuhair sambil
menilik kek yang telah separuh digigitnya itu.
 “Kan kek ni macam sandwich. Ada isi kat tengahnya,”
balas Aathifah mengenai Victoria sandwich yang dilapisi jem
strawberi di tengahnya.
“Sedap.” Zuhair mengangguk.
“Thanks. So... berbalik pasal abang. Apasal tadi
muka macam tapai basi? Aidid Printing ada masalah?”
Zuhair menggeleng. Gelas sirap limau disua ke
bibirnya lagi.
“Habis tu, Abang Hir fikir pasal apa?”
“Fikir pasal teman lama...” panjang bunyi suku kata
terakhir Zuhair.
‘Abang Hir fikirkan sahabat lamanya sebegitu sekali.
Merusuh sahaja wajah seperti kalah berperang, takkan
semata-mata kerana teman lama? Apa yang telah berlaku
kepada teman lamanya? Teman itu lelaki atau perempuan?’
hati Aathifah berdesis.
“Kenapa dengan teman lama abang?”
Zuhair memandang wajah Aathifah.
“Entahlah. Kami dah lama tak bersua. Memang
abang tak pernah tahu apa yang sedang dialaminya sekarang.”
“Habis tu, mengapa tiba-tiba terfikirkan dia? Nampak
runsing pula tu.”
“Seseorang telah datang, mengingatkan abang pada
Syazliara,” jelas Zuhair dengan ritma resah.
Terpanar Aathifah seketika kala sebaris nama cantik
terlantun dari bibir Zuhair. Siapa Syazliara dalam hidup
Zuhair? Mengapa dia tidak pernah tahu tentang teman Zuhair
yang bernama Syazliara itu? Tentu gadis itu cantik dan amat
istimewa. Jika tidak, masakan Zuhair bermuram kerana
terkenangkannya?
Zuhair cuit bahu Aathifah.
 “Kenapa berkhayal ni?”
Aathifah gigit bibir bawahnya. Dia geleng sekilas.
Dalam hati, dia cuba menghalau rasa cemburu yang sedang
berputik.
“Abang naik atas dulu. Nak mandi. Nanti kita
bercakap lagi,” pamit Zuhair. Enggan bercerita lebih lanjut
mengenai Syazliara kepada Aathifah. Bukan mahu berahsia,
tapi dia sendiri masih keliru.

Syarmila menolak daun pintu bilik Syazliara. Dia
melangkah masuk menghampiri katil milik kakaknya.
Kelihatan wajah cengkung itu sedang tidur dengan lena.
Perlahan jemarinya naik mengusap rambut kakaknya itu.
“Kak Ara, Mila dah jumpa Aidid. Tak sangka dia
pemilik Aidid Printing tempat Mila tempah t-shirt tu.
Patutlah hati Mila ni nak sangat ke sana selepas melihat
promosi kedainya di blog. Nama Aidid kan familiar pada kita.”
Bicara Syarmila telah membuatkan Syazliara
membuka kelopak matanya.
“Mila cakap apa tadi?” soal Syazliara dengan bibir
terketar-ketar.
“Mila jumpa Aidid,” jawab Syarmila senafas.
Terpejam kembali mata Syazliara mendengarkan
nama lelaki yang disanjunginya. Setitis air matanya jatuh ke
pipi yang telah nampak tulang itu.
Syarmila dirundung sebak melihat mata kakaknya
yang telah basah. Terasa bersalah pula menimbulkan nama
itu. Kerana pemilik nama itulah Syazliara menderita dan
tidak menjalani hidup seperti orang lain.
Tiba-tiba Syazliara meramas rambut dan mengetuk
kepalanya sendiri.
“Kenapa Mila jumpa dia!” tempik Syazliara.
Terperanjat Syarmila dengan volum tinggi suara
kakaknya. Terpaku lidahnya saat itu.
Syazliara melempar pula bantal ke dinding lalu
memetir.
“Mila jangan jumpa dia lagi!”
Pucat wajah Syarmila dengan sikap kakaknya.
Sudah lama Syazliara tidak naik angin begini. Ternyata nama
Aidid telah menyebabkan Syazliara berang tiba-tiba. Besar
pengaruh lelaki itu dari dahulu hingga kini kepada kakaknya
itu.
Terjengul Puan Dariah di ambang pintu.
“Mila, Ara, kenapa ni?”
Syarmila menghampiri ibunya.
“Ibu, tolong Mila tenangkan Kak Ara. Nanti kat
bawah Mila cerita.”
Menyorot mata si ibu pada bantal yang bertaburan
di bawah katil dan rambut yang Syazliara yang telah serabai.
“Mila cakap apa pada Ara tadi? Dah lama tau Ara tak
buat perangai.”
Syarmila peluk Puan Dariah.
“I’m sorry, bu. Tak tahu pula Kak Ara akan
mengamuk. Ingatkan dia dapat tenangkan diri.”
Puan Dariah mengeluh kesal.
“Mila keluar dulu. Biar ibu pujuk Kak Ara.”
Syarmila akur, namun dia sempat mengerling lemah
kepada si kakak yang sedang menangis sambil mencengkam
selimut. Haru jiwanya dengan penderitaan si kakak. Terbit
kebencian yang teramat kepada lelaki yang bernama Zuhair
Aidid itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia batalkan
tempahan baju dengan Aidid Printing. Biar lelaki itu
menanggung kerugian kerana tindakannya di saat-saat akhir.
Namun dia sedar, dia sudah terlewat. Sementelah lagi baju itu
perlu diagihkan Sabtu ini.
Melewati masa yang telah berlalu, Syazliara periang
orangnya. Syarmila amat sayangkan kakaknya itu. Segala hal
mereka kongsikan bersama. Kebahagiaan dan kegembiraan
menemani usia remaja mereka. Namun Syarmila tidak
menyangka semua itu akan pergi kala kakaknya mengenal
rasa cinta.
Ketika Syazliara melangkah ke menara gading,
Syarmila berusia tujuh belas tahun. Walaupun jarak
memisahkan mereka dek pengajian Syazliara, namun mereka
dua beradik tidak pernah putus komunikasi. Jika Syazliara
tidak menghubungi adiknya itu, Syarmilalah yang akan
menghubunginya. Umpama aur dengan tebing, eratnya
pertalian antara mereka.
Syarmila telah diberitahu oleh Syazliara tentang
hubungan rapatnya dengan seorang lelaki. Lelaki yang
digilai kakaknya itu ialah Zuhair Aidid. Di universiti, hanya
Aidid yang menjadi kawan lelakinya, lelaki lain tidak pernah
Syazliara layan. Setiap kali menelefon Syarmila, pasti nama
Aidid akan disebut.
Syazliara tidak pernah jemu bercerita mengenai
Aidid yang telah bertakhta dalam hatinya itu. Aktiviti yang
dilakukan bersama Aidid dikongsi dengan Syarmila untuk
menyatakan kegembiraan hidupnya di kampus dengan
ditemani Aidid. Malah, gambar Aidid telah ditunjukkan
kepada Syarmila. Adiknya itu tumpang bahagia melihat si
kakak bahagia.
Tahun akhir pengajian Syazliara di universiti
rupa-rupanya tahun tragis dalam hidup kakaknya itu.
Tiba-tiba sahaja kakaknya itu berubah laku. Dari seorang
periang kepada pendiam. Pelajarannya merosot dan
keputusan peperiksaan akhir semester jatuh merudum.
Rupa-rupanya semua itu lantaran kecewa dengan lelaki yang
bernama Zuhair Aidid. Yang amat mengecewakan Syarmila
dan keluarganya, Syazliara tidak mahu meneruskan pengajian
walhal tinggal satu semester lagi. Puas dipujuk, kakaknya itu
tetap berdegil dengan keputusannya. Mahu berhenti belajar
dengan alasan enggan melihat wajah Aidid lagi.
Suatu hari, terjadi tragedi mengejutkan di mana
Syazliara telah menelan pil tidur dengan banyak. Disebabkan
kejadian itu, terbongkarlah sebab sebenar Syazliara tidak
mahu meneruskan pengajiannya. Dia telah hamil. Sayangnya,
janin itu telah gugur dek perbuatannya menelan pil yang
berlebihan.
Yang amat dikesalkan, Syazliara tidak mahu membuat
laporan polis. Katanya itu perbuatan relanya bersama Aidid.
Meraung Puan Dariah dengan pengakuan Syazliara. Dia
mahu mencari Aidid supaya bertanggungjawab, namun
mati-mati Syazliara menghalang. Syazliara telah mengugut
untuk mencederakan diri sekiranya ibu dan adiknya mencari
Aidid.
Ketika Puan Dariah bertegas dengan keputusannya,
Syazliara pula melalak mengatakan bukan Aidid yang
telah merosakkannya. Dia menyatakan nama lelaki lain.
Meracau-racau dia menyebut beberapa nama. Apabila Puan
Dariah mengesyaki dia dirogol, Syazliara menafikan. Katanya
dia yang rela.
Sehingga kini, Syarmila dan ibunya masih sangsi.
Namun apakan daya kerana jiwa Syazliara telah tercalar.
Selepas keguguran, emosinya tidak stabil sehingga perlu
dibawa berjumpa pakar psikiatri. Syazliara bukanlah gila,
cuma rohaninya sahaja yang kurang sihat.

No comments:

Post a Comment