“WEHHH... kau pergi mana tadi? Cakap sekejap, tiba-tiba
menghilang macam biskut. Kau nangis ke, Zarra?” soal Dilla bertalu-talu. Risau
juga dia. Lepas maghrib tadi Zarra keluar, sekarang baru sampai. Yalah, Zarra
tu cantik orangnya, buatnya kena culik bagai, mahu kecoh satu Malaysia.
Zarra hempaskan diri pada sofa. “Aku balik jap.”
“Balik? Balik mana? Aku ingat kau dah kena kidnap,” tutur
Dilla risau.
Zarra senyum tawar. “Siapa yang nak kidnap aku, La. Nak
bayar tebusan dengan apa, daun jambu? Daun pandan?”
Dilla tergelak. “Kau ingat orang kidnap sekarang nak duit
saja ke? Jangan weh... Kalau yang cantik macam kau ni, diaorang jual kat Siam,
kat Hong Kong sana, mau?”
Zarra menggeleng lalu duduk di sofa lalu lunjurkan kaki.
Penat gara-gara menangis di muka pintu sebentar tadi. Sengaja dia biarkan air
matanya kering, baru dia melangkah
masuk. Dia dengar televisyen masih terpasang.
“Masuk tidur dalam bilik, karang ternganga macam buaya kat
luar ni. Sakit mata aku.”
Zarra buka mata, cabut tudung pelan-pelan. “Aku ngantuk
sangat ni, La. Aku tidur kejap aje. Nanti aku bangun.” Zarra kembali pejamkan
mata, lalu hilang dari dunia nyata.
Dilla ketawa kecil. Kejaplah konon, padahal pagi esok baru
bangkit. Lantaklah kau, Zarra. Asal kau bahagia.
CERMIN ITU dipandangnya lama. Apa yang tidak kena? What is
wrong with Hisham? Bukankah dia serba sempurna, serba lengkap untuk dijadikan
pasangan hidup? Kartini mendengus. Wajah mulusnya direnungnya lagi. Serius. Dia
lagi cantik daripada mana-mana artis dalam Malaysia ini. Butakah Hisham? Rabun?
Gila?
Dihentaknya tapak tangan ke meja solek itu. Pedih. Sepedih
hatinya. Dia telah banyak berkorban. Dia perlukan Hisham. Okey, dua bulan. Dia
beri Hisham bebas untuk dua bulan. Selepas itu, dia akan menuntut hak sebagai
seorang kekasih. Kartini senyum, lemparkan diri pada katil lalu menangis dalam
diam.
SELESAI JUGA. Kata Wanie, nanti bila sudah biasa, hilanglah
rasa penat dan letih. Paling penting, kena kerja dengan seronok, barulah tak
terasa segala keletihan. Dia letupkan jari-jemari. Lagi seronok kerja di
housekeeping, tak perlu menyeringai di kaunter resepsi. Perlahan dia menolak
troli.
Wanie sudah ke bilik rehat. Mahu solat dulu katanya. Kenapa
dia rasa troli itu sedikit ringan? Zarra jenguk ke hadapan.
“Abang tolong ya.”
Ala, dia lagi...
“Nak mati ke?” soal Zarra kuat. Dia pandang keliling. Nasib
baik tak ada manusia lain. Gila betul lelaki di depan dia ni. Mana dia dapat
seragam staf tu? Tibai siapa punya? Pelik pula bila dia tengok Hisham pakai
baju seragam. Macam tak kena. Yalah, selama ni dia pakai tali leher dengan
kemeja aje.
“Kalau Zarra kahwin dengan abang sekarang, abang rela mati
esok.”
‘Amboi mulut, aku jemput malaikat maut karang, nangis tak
berlagu.’ Sengaja Zarra menolak troli itu sedikit kuat.
“Aduhhh...” Terduduk Hisham di lantai koridor.
Ah sudah... takkan tolak sikit macam tu terus jatuh? Biar
betul mamat ni? Cepat-cepat dia ke hadapan, tengok Hisham yang berkerut menahan
sakit.
“Lembik. Tolak sikit pun jatuh ke?” soalnya marah. Macam
mana nak buat laki? Cehhh...
Hisham angkat muka, senyum lebar pada Zarra yang mencuka.
“Jatuh... jatuh cinta.”
Hahaha... memang nak sangat dia bagi satu death kick tapi
dia tak nak masuk penjara, tak pun hospital bahagia.
“Encik Hisham, saya dah penat. Ada satu lagi bilik yang saya
perlu kemaskan. Kalau nak main-main, please pergi jahanam.”
Gulp. Hisham telan air liur.
Pergi jahanam terus. Masalahnya, kenapa di
telinganya dia dengar lembut dan syahdu sahaja? Hisham gelak
kecil. Dia perlahan bangun. Bila dia ke bilik rehat staf lelaki tadi, ada
sepasang seragam lelaki yang terlipat kemas. Kata Naim, baju spare yang sedia
ada. Mulanya dia hanya mahu mencuba, tapi entah kenapa dia rasa pasti seronok
seandainya dia bertukar karier sebentar. Rezekinya juga dapat bertembung dengan
Zarra sebentar tadi. Padahal pada mulanya dia hanya mahu berseronok, berjalan
sana sini dengan bebas.
“Abang tolong Zarra ya.”
Zarra angkat penumbuk. “Mana boleh, nak makan tapak kaki
ni?”
“Makan nasi lagi kenyang, buat apa makan kaki Zarra? Jom,
ada satu bilik lagi, kan? Kalau ponteng abang report kat GM.”
Kahkahkah. Perlukah dia tampar dahi lelaki itu?
“Baik. Kalau macam tu, saya report pada GM apa yang Encik
Hisham buat,” tegas Zarra berani. Dia cebikkan bibir, menjeling sinis. ‘Apa,
kau ingat kau je yang pandai report?’
“Abang okey. Lagipun ini memang kerja abang. Bukan setakat
duduk dalam ofis. Reportlah.”
Hesy... malasnya nak layan! Kali ini ditolaknya troli itu
dengan lebih kuat. Tak kuasa dia. Lebih baik dia sambung kerja, nanti boleh dia
rehat. Sudahlah lapar, penat pun sudah memanjat perasaan.
“Tepilah, nak buat kerja. Saya bukan macam Encik Hisham.
Kentut pun dapat gaji.” Troli itu terus bergerak laju. Hampir lelaki itu
terjatuh.
“Jom, bilik mana?” soal Hisham berkelakar.
“Bilik dobi!”
Huiiih... marahlah tu.
CANTIKNYA. INI kali pertama dia buang pandangan ke luar
tingkap. Angin yang bertiup menampar pipi dengan lembut. Hisham menyelak tirai,
membiarkan angin merempuh Zarra yang sibuk mengemaskan katil. Dia hanya
bersandar, tanpa bersuara. Gerak tubuh Zarra yang pantas bekerja buat dia
hanyut seketika. Dia seronok melihat Zarra fokus tanpa mempedulikannya.
Jari-jemari itu pantas menyisir cadar dan bantal. Sebentar tadi dia mendengar
Zarra membersihkan bilik air tanpa menghiraukan dia yang memandang tajam.
Hisham tersenyum.
“Nak abang tolong?”
“Tolong tengok? Boleh blah.”
Hahaha... manisnya jawapan itu buat dia mahu tergelak.
Perlahan dia menghampiri, berdiri di belakang Zarra. Hanya sehasta jaraknya.
Zarra gigit bibir. Dia boleh merasakan getaran aneh yang
mula berlagu dalam hati. Ini sudah lebih. Dia tarik nafas perlahan-lahan.
Comforter itu dilayangnya ke udara lalu terletak cantik di atas katil. Entah
kenapa, jantungnya kian laju berkompang di dalam tubuh. Dadanya berombak
menahan debar yang kian menggila. ‘Pergilah jauh-jauh. Tolonglah abang,
pergilah jauh-jauh.’
“Kalau abang mampu, dah lama abang pergi.”
Hatinya tergendala di situ. Perlahan dia menoleh, bertentang
mata dengan lelaki yang disumpahnya, dimakinya, dibencinya bertahun lamanya.
Tapi kenapa? Kenapa sepasang mata itu buat dia tenggelam, buat dia hilang benci
tatkala ini? Zarra menelan liur. Perlahan dan menjerihkan.
“Kalau abang kasihankan Zarra, tolonglah pergi.
Bukan tempat Zarra di sisi abang. Tolonglahhh...” Dia mahu
menangis. Ya Allah... dia sudah puas menangis kerana lelaki ini. Kerana Hisham.
Hisham melangkah, kian hampir. Jantungnya? Bagai mahu
meletup. Ingin saja dia menyapu air mata yang mengalir pada pipi itu, namun dia
tahu Zarra pasti kian membencinya. Tangannya dikepalkan dengan kuat.
Zarra tersentak lalu jatuh di katil. Serasa darah menghilang
di wajah, dia menggeletar. Dia pejamkan mata. Ya Allah, lindungi dirinya.
“Zarra... Zarra... Abang takkan apa-apakan Zarra. Maaf,
abang mengganggu. Maaf.” Cepat-cepat Hisham berlalu.
Dia tahu wajah itu. Wajah yang penuh ketakutan sepuluh tahun
yang lalu. Hisham raup wajah, sekilas menjeling saat dia menghilang di balik
daun pintu. ‘Maafkan abang, Zarra.’
Zarra memeluk lutut, masih pejamkan mata. Kini dia menangis
dan terus menangis.
Di balik pintu, Hisham menyandar lalu terduduk di lantai
sambil mendengar tangisan yang kian mencarikkan hatinya.
MATAHARI. SINARNYA lembut dan malu-malu pada awal tadi kini
bertukar garang. Dia sebarkan jari-jemari ke langit. Hangatnya cahaya mencucuk
kulit buat Zarra tersenyum. Dia berjalan sambil melemparkan senyum pada tetamu
yang lalu-lalang.
Zarra lajukan langkah. Hujan lebat awal pagi tadi buat
matahari nampak berharga saat ini. Kanak-kanak mula bersorak riang di kolam
mandi. Seronoknya jadi kanak-kanak,
bukan? Segalanya indah pada zaman kanak-kanak.
Dia mahu kembali ke masa itu. Masa di mana ayah masih ada,
membawa dia mengelilingi kampung dan membeli aiskrim. Mandi sungai mahupun
memancing bersama. Dia rindukan arwah ayah. Namun dia pasti, mak pasti lebih
rindukan ayah.
“Fikir apa?”
Ajaibnya lelaki yang seorang ini. Dia lemparkan senyuman,
peluk tubuh sambil pandang Zachary yang tersenyum kacak kepadanya.
“Dari mana? Suka ambush tiba-tiba.” tanya Zarra.
Zachary ketawa kecil. Dia betulkan lipatan kemeja. Wajah
Zarra yang serius menjentik hatinya untuk seketika. Crazy maybe? Dia ketawa
lagi.
“Kenapa gelak sorang-sorang? Tak betul eh?” soal Zarra
dengan langkah yang sedikit laju. Dia menjeling jam tangan, masih awal lagi,
namun dia lebih selesa datang awal daripada masa yang ditetapkan.
“Crazy. I’m crazy about you.”
Amboiii... manisnya mulut. Jentik karang baru tau. Zarra
cuma senyum. Dia tahu Zachary bergurau.
“Zarra!”
Dia hentikan langkah.
“Apa?”
“Nanti petang sokong Zach lawan pingpong ya. Ada beef pie.
Boleh?” soalnya dengan kenyitan.
‘Ceh, nak rasuah aku la tu.’ Zarra angkat penumbuk, geleng
kepala.
“Tidur lagi syok tau.”
Zachary senyum, layangkan flying kiss dan berlalu.
MAHU MELETUP dadanya melihat gelagat Zarra. Ikutkan hatinya,
ditonyoh perempuan tak sedar diri itu. Kurang ajar. Berani Zarra menggoda
Zachary. Semua orang tahu dia sukakan Zachary. Mana ada orang lain yang berani
bergurau dengan Zachary kerana mereka tahu, Zachary milik Liyana. Hanya dia.
Nafasnya turun naik. Memang cari nahas si Zarra ni.
APA NI? Zarra kerutkan kening. Pandang pantri bilik rehat
itu beberapa kali. Dua kotak cup-cake yang pelbagai rupa. Piza dan tart telur
Portugis juga ada di situ. Sejambak bunga ros merah jambu terletak cantik di
dalam pasu dengan sekeping kad. Untuk dia. Hairan.
Ohhh... Abang kepala lutut dia. Karang dia pergi hempuk
bunga sekali dengan pasu kat muka si Hisham ni, mesti kecoh satu hotel. Gila.
Gila! Gila!! Gila!!! Siapa yang gila? Hisham atau dia yang separuh gila?
“Mak aii... banyaknya makanan. Hari jadi kau ke, Zarra?”
soal Wanie ternganga. Sedapnya cup-cake yang warna coklat dengan badam tu.
Mesti kaw rasanya.
“Hari jadi apanya? Hari malang. Akak nak makan? Hah, makan
semua. Ajak semua yang lain makan. Kalau tak,
Zarra buang semua ni kat dalam tong sampah tu,” ujarnya
geram. ‘Apa? Ingat boleh pujuk aku macam tu je ke? Tengok lubang hidunglah.
Silap oranglah, beb.’
Ai, dah orang pelawa, jangan tolak. Pantas Wanie menyambar
cup-cake yang tersusun.
“Mak Jan, panggil yang lain. Makanan banyak ni ha. Si Zarra
ni belanja kita.”
Wanie duduk di kerusi. Matanya terbeliak memandang jambangan
ros yang disusun cantik.
“Siapa yang kasi kau semua ni, Zarra? Wahhh... bertuahnya
badan.” Disuapkan cup-cake itu ke mulut. Aduhaiii... sedapnya. Lembut, tak
manis sangat, cair di mulut. Huihhh... Wanie menggigitnya lagi, pejamkan mata.
Aduhai... heaven.
“Akak nak bunga ni ke? Ambik je, kak. Letak dalam pasu kat
rumah. Lagi cantik,” kata Zarra lagi. Menyampah dia. Ingat dia hairan ke dengan
bunga ke? Kat rumah dia lagi banyak bungalah.
“La... dah orang kasi kau, ambik sajalah. Mahal tu, Zarra.”
Dia cebikkan bibir.
“Dahlah kak, ada call. Ada tiga bilik kita kena bersihkan.
Jom, kedarah je dari tadi.”
Wanie ambil lagi sebiji cup-cake. Dia tahu, kejap lagi
tinggal kotak sahaja jawabnya.
MEREKA MENGANGA. Mulut Wanie nganga lagi luas dari mulutnya.
Tiba di bilik pertama, ada sejambak ros merah jambu dan juga sekeping kad di
atas katil.
Wanie katup mulut, cuba tahan ketawa. Siapa yang angau
dengan si Zarra ni? Boleh tahan gayanya. Mesti bukan calang-calang orang. Dia
jeling Zarra yang masih terpaku di situ. Macam patung. Mengekek dia ketawa.
“Hoi... dah-dahlah nganga. Ambik bunga tu, simpan kat bawah
troli tu dulu,” arah Wanie dengan senyuman. Hai... seronoknya kalau dilayan
begitu. Wanie senyum simpul.
Cepat-cepat Zarra ambil kad dan jambangan bunga itu. Kad itu
dimasukkannya ke dalam poket seluar namun jambangan bunga itu terus dicampaknya
ke tong sampah. Padan muka. Duduk situ diam-diam!
“Woit! Apasal ni? Janganlah buang... sayang tu. Gila betul
budak ni,” bebel Wanie. Apa kena dengan si Zarra ni? Bunga mahal dan cantik
macam tu dicampaknya. Sewel ke apa?
Zarra buat tuli lalu sambung kerja. Lantaklah. ‘Tak ingin
aku.’
KAD MAGNETIK itu diletaknya kemas. Bunyi suara Wanie yang
mengekek ketawa di hadapannya buat Zarra jenguk ke hadapan. Apa yang kelakar
sangat? Dia cepat-cepat menghampiri Wanie yang masih lagi ketawa kecil.
“Kenapa ni, kak? Gelak apa?” soalnya hairan. Masuk aje terus
gelak. Seram juga dia. Takkan kerasukan kut.
“Tu, atas katil tu,”
balas Wanie sambil muncungkan mulut.
Zarra pandang katil. Allah. Bunga lagi.
Hesy... mendidih juga hati Zarra. Cepat-cepat dia ambil kad
itu lalu masukkan ke dalam poket seluar. Nanti malam dia mahu bakar jadi abu.
Bunga tu? Dicampakkan sekali lagi ke tong sampah.
Wanie geleng kepala. Pandang bunga yang cantik itu jadi
‘arwah’ ke dalam tong sampah. Nasib kaulah, bunga.
LEGA. BILIK ketiga yang mereka perlu bersihkan tiada bunga
seperti dua bilik tadi. Zarra menarik nafas. Panjang dan lama. Baru tenang
jiwanya.
Kalau ada bunga lagi tadi, memang dia masukkan ke dalam
lubang tandas. Wanie yang membuka pintu kali ini tersenyum-senyum. Di atas
katil itu kosong. Zarra tarik troli ke muka pintu. Wanie sudah membuka tingkap,
membiarkan udara dan cahaya matahari menerjah masuk.
Pintu bilik air itu ditolaknya.
“Makkk!!!”
Tercampak bantal di tangan Wanie. Bergegas dia ke bilik air,
tempat Zarra menjerit tadi. Kali ini mahu saja dia tergelak besar, namun
jelingan tajam Zarra buat dia menahannya. Kali ini memang ada bunga. Juga tuan
yang
berikan bunga itu sekali. Wanie garu pipi, senyum-senyum dan
tak tahu nak buat apa.
“Hai Wanie.”
Dia tergelak juga.
“Hai, Encik Hisham. Jadi delivery boy ke hari ni?” soalnya
bergurau.
Aduhhh... sakitnya. Main cubit-cubitlah pula si Zarra ni.
Dia senyum lagi. Jadi, Encik Hishamlah orangnya. Hebat. Tiba-tiba Wanie telan
liur. Miss Bitchy tu macam mana? Kalau perempuan tu tahu, mati Zarra.
“Saya rindukan Zarra, so that’s why I’m here,” ujarnya
tulus. Matanya tak lepas memandang Zarra yang memandangnya garang. ‘Aku cium
karang.’ Hisham senyum sendiri.
“Keluar!”
Wanie tahan ketawa. Berani ya si Zarra ni tengking AGM baru
di depan dia ni. Yang buat dia mahu gelak lagi bila Hisham hanya senyum lebar.
Aduhaiii... kacaknya.
“Keluarlah. Orang nak buat kerja ni...” arah Zarra dengan
rasa geram.
“Keluar dari bilik ni? Boleh. Keluar dari hidup awak, of
course not.” Hisham senyum lagi. Bunga itu diserahkan kepada Wanie yang dari
tadi menahan ketawa.
“Ni untuk Kak Wanie. Simpan ya, kak. Bye Zarra.”
Akhirnya Wanie menggelegak ketawa. Aduhaiii... boleh lembik
kepala lutut dibuatnya. Yang si Zarra pula sudah berapi kepala agaknya. Kalau
dah dilamun cinta, memang berani buat apa saja.
Hisham berlalu pergi sambil bersiul riang. Sambil berlalu,
sempat dia memandang Zarra yang merah padam sambil tercegat di sebelah pintu.
‘Marahlah sepuas
hatimu, sayang. Aku tetap akan berpegang pada janji.’
“PERHATIKAN ENCIK Hisham?”
Kartini angguk, matanya menyorot pasangan kekasih di meja
hadapan. Meluat dia. No class at all. Tolonglah, kalau nak bermesraan
sekalipun, buatlah jauh dari mata awam. Berbulu dia melihatnya. Dia mendengus.
“Maksud Miss Tini, I jadi spy? Intip Encik Hisham?” soal
Liyana sekali lagi. Wow! Kali ini dia dapat arahan terus.
Liyana bersorak dalam hati. Dia tahu, bukan saja-saja intip,
pasti ada habuannya.
“Yalah, I told you already, kan? Pekak ke?”
Liyana senyum lebar. Dia tak kisah kena hamun, dia tahu
Kartini ‘pemurah’ orangnya kalau kena gaya melayan.
“Sorry, I nak pastikan je, Miss Tini. Tapi kenapa?” soalnya
ingin tahu.
Kartini cerlungkan biji mata.
“I told you what to do, so just do it. Faham?”
Cepat-cepat dia angguk.
Bunyi ketawa si gadis yang ralit ketawa di meja hadapan buat
Kartini mendidih. Please, get a life. Dia bangun, menyambar tas tangan lalu
berlalu pergi.
“NAK PERGI mana,
Lili?”
“Turun bawah jom. Naim lawan pingpong dengan Abang Zach
handsome. Jomlah Kak Zarra,” pujuk Lili. Dilla yang lena di sofa hujung
dibiarkan saja. Jangan kejutkan Dilla kalau dia lelap di sofa. Itu tandanya dia
benar-benar penat.
“Malaslah akak. Baik akak berduet tidur dengan Dilla ni ha.”
“Tak produktiflah, kak. Jomlah... temankan Lili. Ni, ada
jemput-jemput bilis, kita makan kat bawah sambil tengok diaorang main.”
Zarra hanya mampu ketawa. Kesian juga dengan si Lili yang
buat muka comel itu. Akhirnya Zarra bangun.
“Tunggu kejap, akak salin baju,” kata Zarra lalu masuk ke
dalam bilik, sementara itu Lili menunggu di ruang tamu.
Bila mereka sampai di bawah, Zachary dan Naim dari tadi
sudah mulakan perlawanan. Bersorak riang rakan-rakan yang lain. Dia dan Lili
duduk di kerusi belakang. Lebih baik dia baca novel. Lili di sebelahnya
beria-ia menjerit nama Naim. Mentang-mentanglah pakwe dia.
“Sampai hati tak sokong Zach,” tegur Zachary tiba-tiba
tatkala Zarra tengah leka membaca.
Hesy... terkejut dia. Suka benar lelaki ini buka baju. Bukan
dia berkenan, tapi dia rasa segan.
“Tu, bersusun awek datang, buat apa Zarra nak penat-penat
jerit? Buang karan.”
Zachary gelak kecil. Dia meneguk air mineral perlahan-lahan.
Dahaganya.
Ya Allah... dah macam model iklan dalam televisyen. Zarra
buang pandangan ke arah lain. Segan dia dengan Zachary. Beberapa gadis di
hujung sana bermasam muka. Alahai... habislah dia jadi bahan umpatan.
“Zach.”
“Yep.”
“Jauh sikitlah, peminat Zach dah naik angin tu...” bisiknya
sambil tersenyum-senyum. ‘Sarunglah baju tu, buta mata aku karang oiii...’
Zachary ketawa. Dia lapkan peluh, menoleh pada Zarra yang
langsung tidak memandangnya. “Why don’t you look at me?”
“Well, please excuse me Zack. You are here sitting next to
me, practically half naked! Do you want me to die of a heart attack?” balasnya
perlahan.
Patut pun. Pemalu juga si Zarra ni ya. Ingatkan ganas-ganas
ala tomboi, otak mesti selamba. Rupanya santun gadis Melayu masih ada terselit.
Zachary sarungkan baju, tunjal bahu Zarra dengan botol minuman.
“Siap.”
Zarra menoleh. Nasib baik dah berbaju. “Zach tak nak cari
kerja lain ke?”
Huihh, tiba-tiba saja soalan itu dilontarkan, Zachary
jongket kening. “Kerja apa? Bos besar? Pilot?”
Elehhh... buat tak tahu. “Zach ni kan, rupa ada, pakej
lengkap, baik kau jadi pelakon ke, model ke, lagi banyak duit. Nanti, jangan
cakap retis, mak retis pun rebah kat kaki tau.”
“Retis tu apa?”
Kihkihkih... tak tahu rupanya.
“Retis tu artislah, selebriti.”
Zachary luruskan kaki, regangkan tangan. “No. I don’t want a
life like that. I suka siapa I sekarang. Kenapa, Zarra suka banyak duit, jadi
famous?”
Zarra geleng. “Famous, no. Duit, of course. Duit
penting untuk orang macam Zarra, Zach. Bukan mahu bertimbun,
hanya mencukupi. Sekarang ni pun sudah cukup, kalau dapat lebih, alhamdulillah.
At least mak dan keluarga Zarra terjaga.”
Eh... kenapa pula dia boleh meluahkan perasaan dengan si
Zachary ni? Zarra senyum sendiri.
“Betul. Cukup sudah cukup. Lebih kadang-kadang baik untuk
sekali-sekala.”
Zarra angguk tanda setuju.
“Zarra naik dulu. Mengantuklah. Nanti bila-bila Zarra datang
jadi pom-pom girl lagi.”
“Laa... already? Kejap, I’ve got something for you.” Zachary
bingkas bangun, mengambil Tupperware merah bulat di kerusi sana. Dihulurnya
kepada Zarra yang sedikit hairan.
“Beef pie. Zach dah janji hari tu, kan.”
Ohhh... okey.
“Thank you. Malulah... asyik Zach saja yang buat sesuatu
untuk Zarra.”
“No sweat. Nanti belanja Zach pula, boleh?”
Zarra senyum lalu angguk. Belanja pulut cendol, boleh? Dia
pegang Tupperware itu erat-erat lalu melangkah pergi. Sekilas dia menoleh,
Zachary masih tersenyum memandangnya.
SERONOKNYA BILA off day. Semalam, bila tamat sahaja syifnya,
dia bergegas pulang. Rindu dia pada mak dan neneknya. Paling dia rindukan, si
Abam yang gebu tidur
dalam pelukannya sekarang.
Zarra tersenyum riang. Digomolnya kucing itu yang sedang
lena, tiada respons. Melampaunya tidur. Diciumnya juga kucing itu, mengiau
kecil si Abam lalu kembali menyambung lelap. Zarra ketawa lagi. Perlahan-lahan
dia baringkan Abam di atas tilam lalu diselimutnya. Sleep well, Abam.
“Zarra, beli ayam kejap.”
Dia menggeliat. “Nak masak apa, mak? Ayam masak merah?”
“Adalah, rahsia. Beli timun batang juga.”
“Yalah-yalah. Apa lagi?”
Puan Aini berkira-kira sendiri. “Itu saja kut.”
Zarra bangun, sarungkan tudung. Ai, resipi pun ada
rahsia-rahsia ke?
SEDAPNYA BAU. Zarra buka mata. Balik dari kedai, dia
menyambung tidur. Sudah namanya hari cuti, membuta sajalah. Rehatkan badan,
rehatkan otak. Masalahnya sekarang, lubang hidungnya sudah kembang kempis. Lain
benar bau masakan hari ini. Jam pada dinding kayu itu dijelingnya seketika.
Hampir pukul dua belas setengah. Menggeliat dia macam kucing. Perlahan dia
menuju ke dapur.
“Dah bangun? Tolong gorengkan ikan kering kejap. Mak nak
siang kangkung.”
Dia angguk. Beberapa keping ikan gelama kering direndamnya
ke dalam mangkuk. Selepas panaskan minyak, dia menggoreng.
“Mak masak apa?”
soalnya ingin tahu.
“Masak kerutuk ayam, kangkung belacan.”
Amboi... macam hari raya. Selalunya lauk ayam buat masak
merah dengan masak kicap aje. Hari ni kenapa special sangat?
“Seronok sangat ke Zarra balik sampai masak sedap-sedap ni?”
Puan Aini cebikkan bibir. Zarra ketawa besar.
“Memang seronok kalau kamu balik. Lauk tu, bukan sebab kamu
balik saja,” balas Puan Aini sambil tangannya laju menyiang kangkung.
“Habis tu, sebab apa?”
“Sebab saya kut.”
Oh mak kau! Bila pula jantan ni timbul? Adoiii...
“Ya Allah, Sham dah sampai. Duduklah dulu ya. Mak cik nak
goreng kangkung kejap, nanti kita makan.” Kelam-kabut Puan Aini sebentar. Dia
menyigung Zarra yang berkerut dahi memegang sudip. Jangan diketuk budak Hisham
tu sudahlah.
“Buat apa datang sini?” tanya Zarra.
Hisham tarik kerusi, letakkan beberapa plastik buah tangan
yang dibelinya.
“Mak, ni ada buah tangan sikit. Terima kasih ajak Sham makan
tengah hari kat sini.”
“Mak apa mak? Bila masa mak aku beranakkan kau? Balik, aku
cakap balik. Bantai dengan sudip ni, mau?”
Geramnya dia. Mak pun satu, apasal memandai-mandai jemput si
Hisham ni datang, siap pelawa makan tengah hari pula. Yang jantan ni pun tak
malu. Suka hati panggil mak dia mak. Campak kat dalam semak baru tau!
“Zarra, hidangkan
lauk. Jangan nak buat perangai kat depan rezeki, mak tak suka. Sham, duduk ya.
Zarra, dah hidang lauk, panggil nenek kat atas.”
Hesy... mak ni memang nak kena boikot!
“Tepilah, orang nak lalu.”
Hisham ketawa perlahan. Alahai, marahnya. Sampai merah padam
mukanya. Biarlah Zarra marah, dia tak kisah.
Plastik yang dibawa Hisham diletaknya di hujung dinding.
Lauk-pauk dihidangnya sementara menunggu kangkung belacan air tangan mak.
Terkedu dia. Ulam timun dan sambal belacan pun dah siap. Amboi mak, melampau
sudah ni.
“Dah, pergi panggil nenek, semua dah siap. Sham, kejap ya.
Nanti kita makan sama-sama.”
Hisham angguk, lemparkan senyuman pada Zarra.
Wekkk! Zarra jelirkan lidah kepada lelaki itu. ‘Ambik kau.
Senyum apa senyum?’
Hisham ketawa dalam hati.
KENYANG JANGAN cakaplah, buat dia menyandar. Sambal belacan
maknya memang kaw. Dia makan tak toleh kiri kanan. Hisham? Biarlah dengan
Hisham, yang penting dia makan sampai kenyang, baru puas hatinya.
“Zarra, buatkan kopi.”
‘Kopi pulak. Aku taruk garam dengan Ajinomoto dalam kopi
sedap juga, kan?’ Dalam membebel dalam hati, Zarra menurut juga. Bangun
cepat-cepat. Malas nak mengadap si Hisham ni. Siap saja kopi, dia bangun. Nenek
dah naik solat, dia pun mahu solat sama.
“Zarra, duduk kejap. Abang ada benda nak cakap dengan Zarra,
dengan mak,” pinta Hisham tulus.
Dia mendengus lalu kembali duduk.
“Mak cik, Sham nak mintak izin mak cik. Sham nak peristeri
Zarra. Perkara ni, insya-Allah Sham akan dibincangkan dengan keluarga Sham.
Cuma paling penting sekarang, restu mak cik.”
Puan Aini pandang Zarra yang sedikit terkejut, juga marah.
Diramasnya tangan itu perlahan-lahan. Mata mereka bertentang.
“Zarra tak suka Sham, tak mahu tengok dia lagi? Kalau tak
mahu, cakap sekarang. Biar dia dengar, biar dia tahu. Mak nak tahu apa yang
kamu fikirkan,” pinta maknya.
Hisham telan liur. Terkesan juga dia dengan soalan itu.
Wajah Zarra yang serba salah itu buat dia sedikit gusar.
“Mak...”
Puan Aini ramas tangan Zarra kuat. Dia mahukan yang terbaik
untuk Zarra. Dia mahu Zarra gembira. Kalau benar Zarra tak suka dengan Hisham,
dia tak akan memaksa. Dia tahu Zarra sudah banyak menanggung beban. Zarra buat
segalanya untuk mereka sekeluarga.
“Tak ada apa dalam dunia yang mak paling mahukan selain
daripada kebahagiaan anak mak, kebahagiaan Zarra. Zarra kena faham, mak sayangkan
Zarra. Jadi, mak mahu Zarra cakap terus terang, betul Zarra tak suka langsung
dengan Sham?” soalnya sedikit hiba. Entah kenapa hatinya melara.
“Mak... bukan macam tu...” Dia pandang Hisham yang serba
salah.
“Mak cik, Zarra... Sham balik dulu. Sham rasa, Sham dah
dapat jawapannya.” Lelaki itu bingkas bangun,
menyalami Puan Aini yang sedikit terkejut.
Zarra telan liur. Kenapa hatinya runtuh saat Hisham tuturkan
kata-kata itu? Kenapa dia mahu menjerit, mahu menangis? Zarra ketapkan bibir,
pejamkan mata, semutar mencari kata-kata.
“Zarra bukan bencikan abang, cuma... berikan Zarra masa.
Zarra bingung.”
Langkahnya terhenti. Langit dirasanya kian cerah.
“Maksud Zarra, abang masih ada peluang?”
Zarra menitiskan air mata. Matanya dan mata Hisham berpaut.
Angguk.
Perlahan dan lambat, namun masih lagi satu anggukan. Hisham
melepaskan nafas. Dia sendiri rasa hiba. Hati lelakinya juga sedikit goyah.
Wajah Zarra buat dia senyum dalam keharuan.
“Kalau begitu, abang akan datang lagi. Abang akan gunakan
peluang yang Zarra berikan. Terima kasih.” Dia melangkah keluar, dengan
senyuman.
Terduduk Zarra di kerusi, memeluk maknya yang juga sedikit
terkejut.
‘Mak, apa sudah jadi dengan hati Zarra?’
No comments:
Post a Comment