DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Jom... Bercinta! - Bab 3




“MANA Tia, mama?” soal Siti sebaik sahaja
terpandang wajah ibu mentuanya. Tangannya lincah
menghidangkan roti jala dan kari daging di atas meja. Rajin
benar hari ini ibu mentuanya ke dapur menyediakan roti
jala. Selalunya dia dan Mak Piah sahaja yang memasak untuk
mereka sekeluarga.
“Eh, dia tak turun lagi ke?” Terkejut Puan Ainon.
“Belum lagi mama.”
“Mengantuk lagilah tu.”
Usai solat subuh berjemaah tadi, Atilia terus
meminta izin untuk ke kamar tidurnya. Malam tadi, entah
pukul berapa mereka tidur. Berbual dan bercerita. Dia juga
cuba mengorek rahsia hati anaknya itu. Dia ingin tahu sama
ada anak bongsunya itu sudah berpunya ataupun belum.
Malangnya jawapan Atilia hanyalah senyuman.
“Bercerita tentang apa ni?” soal Abdul Razak sebaik
sahaja duduk di kerusinya.
 “Pasal adik bongsu abanglah. Kata nak makan roti
jala, tapi tak nampak muka lagi.”
“Penat sangatlah tu.” Abdul Razak bersuara. “Biarlah
dia berehat. Karang bila dia lapar, pandailah dia cari sendiri.
Bukannya baru semalam dia duduk dalam rumah ni,” tambah
Abdul Razak lagi.
“Tengah panas-panaslah sedap makan,” ujar Siti
sambil menatap wajah suaminya.
“Betul cakap Siti tu Jak.” Puan Ainon menyokong
menantunya. “Nanti mama suruh Kartini panggil dia.” Puan
Ainon berlalu ke dapur mencari pembantu rumahnya.
“Wah, ada roti jala. Bestnya!” Rafiq bersuara teruja.
Dia memang hantu roti jala.
Geleng kepala Siti melihat gelagat anak lelakinya.
Macam budak kecil perangainya apabila terpandang roti jala.
Semasa kecil, anaknya ini selalu sahaja berkelahi dengan
Atilia semata-mata berkehendakkan roti jala lebih. Ada
ketikanya dia merasa pelik dengan sikap dan perangai Rafiq
dan Atilia. Mereka bagaikan kembar. Cita rasa mereka sama,
baik dari segi makanan mahupun keperluan diri.
“Sabar dulu. Kita makan dengan Che Su sekali,”
tegah Abdul Razak apabila melihat anak lelakinya yang
kelihatan gelojoh.
“Biarlah dia makan. Dia kan nak kerja. Lagipun
banyak mama buat ni.” Puan Ainon bersuara sebaik sahaja
melabuhkan punggungnya. Kasihan dia melihat keadaan
cucunya yang terencat hendak makan.
Patah selera Rafiq apabila mendengar perkataan ‘Che
Su’. Dia memang tidak suka mendengar atau melihat akan
gadis bernama Atilia itu.
“Raf sarapan kat ofis ajelah.” Rafiq angkat punggung.
“Duduk, makan.” Arah Puan Ainon. “Kamu kan suka
roti jala ni. Makan banyak-banyak. Memang sengaja mama
buat lebih.”
Rafiq kembali duduk. Memang itu yang dia
inginkan. Dipujuk. Selalunya dia terpaksa beralah dengan ibu
saudaranya itu. Atilia selalu sahaja mendapat perhatian dan
kasih sayang yang lebih berbanding dirinya.
“Puan, Non Atilia enggak sihat.”
Rafiq yang baru hendak mencapai roti jala terhenti
perbuatannya. Matanya pantas mencari wajah Kartini.
“Teruk ke?” Terus sahaja Puan Ainon bertanya. Dia
mula mengangkat punggung.
“Teruk sangat ke Tini?” Siti pula bertanya.
“Badannya panas bangat,” terang Kartini.
“Mama duduk sini. Biar Jak dan Siti yang tengokkan
Tia.” Abdul Razak menghalang apabila melihat mamanya
hendak bangun. Kasihan pula dia melihat mamanya bergerak
ke sana ke mari.
Puan Ainon angguk kepala setuju. Dia memang tidak
larat hendak memanjat anak tangga.
“Mari Raf, ikut ayah sekali.”
Rafiq akur dengan kehendak ayahnya.
Siti mengetuk pintu bilik Atilia. Tiada sebarang
jawapan atau balasan, dia memulas tombol pintu. Terkejut
dia melihat keadaan Atilia yang sedang berbaring bersama
kain telekung yang membungkus tubuhnya. Terus dia
mendapatkan adik iparnya itu.
“Panasnya badan dia bang.” Siti bersuara gusar.
Abdul Razak turut menjamah dahi Atilia. Wajah anak
Rafiq dipandang.
“Call Dr. Marlia, suruh datang segera.”

ATILIA terpisat -pisat apabila terdengar telefon
bimbitnya berbunyi. Dia segera mengambilnya. Sebaik sahaja
melihat nama pemanggil, dia tersenyum kecil.
“Assalamualaikum.” Atilia menyapa sahabat baiknya
sejak zaman sekolah menengah lagi.
“Waalaikumussalam. Kau tengah buat apa tu?”
Sebaik sahaja tahu yang sahabatnya itu sudah pulang ke
Malaysia, terus dia hubungi. Tidak sabar hendak melepaskan
rindu dendamnya.
“Tengah dating.” Badannya dirasakan sudah sihat
sedikit setelah menerima suntikan daripada Dr. Marlia.
“Hah, dating? Kau biar betul? Kau dating dengan
siapa? Dengan Raid cinta hati kau tu ya?” usik Nadia.
Atilia tersenyum sebaik sahaja nama Raid meniti
di bibir sahabat baiknya itu. Memang selama ini Nadialah
tempat dia mencurah rahsia hatinya. Mujur sahaja temannya
itu sudi berkongsi rasa dengannya dan menyimpan rahsia
hatinya sekemas yang mungkin tanpa dihidu sesiapa.
“Aku tengah berdating dengan ‘abang’ demam,
selesema dan sakit tekaklah.” Atilia menyangkal kata-kata
Nadia.
“Patutlah...”
“Apa yang patutlah?” Atilia keliru.
“Patutlah suara kau lemau aje. Macam orang tak
cukup makan pun ada.”
Atilia merengus. Kawan baiknya yang seorang ini
kalau bab mengutuk memang handal. Memang nombor satu.
 “Ada apa call aku ni?”
“Rindulah.”
“Yalah tu rindu. Bukan kau nak korek rahsia tentang
aku?”
“Eh, hebatlah kau! Macam mana kau boleh tahu ni?”
Atilia menceber. Macamlah dia tidak masak dengan
perangai kawannya nan seorang ini. Hari-hari ada sahaja Skype
atau e-mel daripada Nadia. Andai sehari tidak mendengar
khabar berita daripadanya, Nadia seperti keresahan. Tapi dia
bersyukur kerana dikurniakan rakan yang begitu mengambil
berat dan prihatin walaupun sekian lama terpisah.
“Bukan ke itu yang selalu kau buat?” tempelak Atilia.
“Kau ni tak padan dengan sakit. Tak sihat pun mulut
mengalahkan bom nuklear.” Nadia mengekek ketawa di
talian. Gembira hatinya dapat mengenakan kawan baiknya
kembali.
Atilia geleng kepala dengan sikap sahabatnya.
“Abang sayang kau apa khabar sekarang?” Nadia
mengusik.
“Setakat yang aku jumpa dan nampak, sihat.
Alhamdulillah,” balas Atilia. Dia cuba menahan rasa perit di
tekaknya.
“Makin kacak tak dia?”
Atilia mencebik. Macamlah Nadia tidak pernah
berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini. Tentu rakannya
itu boleh mengagak sama ada makin kacak ataupun tidak.
Bukankah mereka bekerja di bawah satu bumbung?
“Kau yang tengok muka dia hari-hari, tentu kau
boleh tahu kacak ke tidak,” ujar Atilia sedikit geram.
Nadia ketawa lagi. Dia boleh agak bagaimana wajah
Atilia sekarang ini akibat menahan geram terhadapnya.
 “Kau ingat aku jumpa dia hari-hari? Dia kat
bahagian mana, aku kat mana. Kau ni bercakap tak agak-agak
langsung,” luah Nadia kurang puas hati.
“Okay... okay. I’m so sorry.” Atilia menyedari
khilafnya. “Dia makin kacak. Makin tampan dan makin
hebat.” Atilia meluahkan apa yang hatinya rasa. “Dan aku rasa
aku akan...”
“Tia darling, aku yakin dia akan jadi milik kau suatu
hari nanti. Teruskan berdoa Tia. Sesungguhnya Dia Maha
Mendengar, Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.” Nadia
boleh baca apa yang terbuku dalam hati sahabat baiknya itu.
“Tapi Nad... kau tahukan aku dengan dia...” Air mata
mula membasahi pipinya. Apabila nama Raid disebut-sebut,
dia jadi sebak. Hatinya jadi sakit. Sukarnya menyimpan rasa
hati dalam diam. Payahnya mencintai seseorang jika tidak
berupaya memiliki.
“Percayalah dengan kekuasaan Allah, Tia. Jangan
berhenti berdoa dan meminta. Mintalah kepada-Nya supaya
kau jadi miliknya dan dia milik kau hingga akhir hayat.”
Atilia makin sebak dengan kata-kata semangat
yang tanpa henti sejak tujuh tahun lalu. Sejak tahu hatinya
memilih lelaki bernama Raid itu, dia sudah tidak betah dengan
hidupnya. Dia sudah tidak tahu harus beriak bagaimana.
Semuanya serba tak kena dan serba canggung. Hari-hari
hidupnya dibayangi lelaki itu. Sanggup dia menolak cinta
yang datang dek kerana hatinya telah diikat oleh cintanya
terhadap lelaki itu. Tapi kesampaiankah cintanya itu jika
dia hanya bertepuk sebelah tangan? Bersatukah mereka atas
nama cinta jika hanya dia yang memuja dan mencintai?
Hati Atilia kini sudah berbolak-balik. Lelaki itu
semakin hari semakin jauh dari gapaiannya. Bahkan secara
logik, memang terlalu mustahil untuk dia memiliki hati dan
cinta lelaki itu.
 “Bodoh kan aku ni?” Atilia mengeluh.
“Kenapa kau cakap macam tu?” Nadia sedikit
kehairanan.
“Yalah... sanggup memperbodohkan diri mencintai
seseorang tanpa tahu hala tujunya. Tanpa tahu kesudahan
cerita cintanya. Kadangkala aku rasa betapa bangangnya
aku sebab sanggup memperjudikan nasib diri pada sesuatu
yang belum pasti. Aku ni ibarat menunggu buah yang tak
gugur-gugur.” Atilia meluahkan apa yang terbuku dalam
hatinya. Dia rasa terbeban sangat dengan rasa yang melilit
hatinya kala ini. “Salah aku ke Nad kerana jatuh cinta pada
dia? Sedangkan aku tahu, jatuh cinta pada dia bukan satu
keputusan yang tepat dan bijak.”
“Kau mencintai dirinya tak salah. Dan dia pun tak
bersalah dalam hal ini kerana dia tak pernah tahu kau ada
simpan perasaan terhadap dia.”
Atilia melepaskan helaan nafas yang sangat berat.
“Tapi aku rasa aku dah tak mampu Nad. Dia...”
“Hei, jangan sedih kawan! Aku call kau bukan nak
dengar kau menangis hiba macam ni. Aku nak dengar suara
ceria kau. Aku nak dengar suara bahagia kau. Maafkan aku,
Tia. Maafkan aku kalau aku dah buat kolam hati kau terusik.
Tapi satu aku minta, jangan berhenti berdoa dan aku akan
turut berdoa untuk kau, Atilia.” Nadia turut merasa pilu.
Dia tahu, malahan sangat-sangat tahu akan betapa sukarnya
Atilia hendak menggapai tangan milik Raid. Tapi takdir Allah
tiada siapa yang tahu. Rahsia Allah tiada siapa yang mampu
menelahnya.
“Terima kasih Nad kerana sentiasa ada di belakang
aku sejak dulu,” luah Atilia ikhlas. Tanpa Nadia, dia tidak tahu
di mana hendak meluahkan perasaannya. Tanpa sokongan dan
nasihat Nadia, belum tentu dia akan menutup mahkotanya
seperti sekarang ini. Temannya itu bijak menarik minatnya
untuk mengubah keperibadian diri. Nadia tidak pernah
memaksa dan menggunakan kata-kata sinis terhadapnya.
“Tak perlu ucap terima kasih Tia. Dah jadi
tanggungjawab aku sebagai kawan untuk membantu dan
menolong apa yang patut saat kau memerlukannya.”
Makin terharu Atilia dengan kebaikan Nadia. Dia
sangat-sangat terhutang budi.
“Kau kat tempat kerja ke sekarang?”
“Taklah, aku kat Terengganu. Ada latihan padam
kebakaran di TSTC.”
“Berapa lama kau kat sana?”
“Tiga hari. Eh, Tia! Kita berhenti dululah. Aku
nak pergi makan tengah hari. Dah lewat sangat dah aku
ni,” ujar Nadia sebaik sahaja terpandang jam di lobi
hotel penginapannya. “Bila aku balik nanti, kita keluar
berjimba-jimba okey. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” ucap Atilia. Dia merenung
seketika telefon bimbitnya sebelum meletakkannya ke
atas meja kecil di sisi katil. Kemudian dia merebahkan diri
kembali. Dia ingin berehat supaya cepat sembuh.

“KAU dah sihat?” Kalau bukan kerana desakan nenek
dan ibunya suruh melihat keadaan Atilia, tidak ingin dia
menjengah ibu saudaranya itu.
Ibu dan neneknya pun satu, sebelum keluar rumah
takde pulak nak jenguk insan kesayangan mereka ini. Ada
ke patut dia yang tengah bekerja disuruhnya pulang untuk
memastikan keadaan Atilia? Dengan alasan; tidak yakin
dengan jawapan Kartini mahupun Murni. Adiknya pula
berkali-kali dihubungi, langsung tidak berjawab. Baik tak
payah ada telefon. Campak saja ke laut buat tukun. Jika boleh,
dia hendak suruh adiknya saja bertanyakan keadaan Atilia
walaupun adiknya ketika ini berada di Selangor.
Atilia tersentak. Segera dia mencapai tuala kecil
yang terdampar di sisi dan menutup kepalanya. Hailah, anak
saudaranya ini. Tak reti langsung nak ketuk pintu dan beri
salam. Sesuka hati dia aje nak redah masuk.
“Dah hampir sihat,” jawab Atilia sambil
menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.
Rafiq mencebik. Hampir sihat? Kelakar pula dia
rasakan. Tadi bukan ke siap berbual di telefon? Cuma
perbualan mereka tidak berapa jelas pada pendengarannya.
Jika tidak sihat, kenapa tidak ditutup saja telefon itu supaya
tiada sebarang gangguan?
“Kalau kau dah sihat, aku keluar dulu. Nanti jangan
lupa laporkan pada mama dan ibu tentang keadaan kau. Nanti
mereka menyusahkan aku lagi suruh jenguk kau,” luah Rafiq
tanpa perasaan.
“Err... Raf tak perlu susahkan diri. Tahulah
bagaimana Che Su nak jaga diri. Lagipun dalam rumah ni
ada Murni, Kartini dan Mak Piah.” Atilia menyuarakan rasa
hatinya. Dia tahu Rafiq lakukan semua itu kerana terpaksa.
‘Bukan kata nak berterima kasih, tapi berlagak
sombong,’ Rafiq mendengus dalam hati.
“Kau ingat aku suka sangat nak susahkan diri aku
kerana kau? Jangan mimpilah!” Rafiq terus berlalu dengan
hati yang terbakar. Bukan main ek lagi ibu saudaranya itu
sejak pulang dari California.
Merembes air mata Atilia dengan sikap anak
saudaranya itu. Dia tidak tahu di mana silapnya, Rafiq makin
hari makin jauh dan membenci dirinya. Apakah dia telah
menyusahkan hidup lelaki itu?
Rafiq berpatah balik apabila teringat pesanan
neneknya.
“Kau dah makan ke belum?”
Atilia geleng kepala. Wajahnya ditundukkan. Rafiq
yang berdiri tidak jauh daripadanya langsung tidak dipandang.
Bimbang Rafiq terlihat akan wajah sendunya. Dia tidak mahu
dituduh mengada-ada atau cengeng.
Rafiq melepaskan keluhan. Dia tahu Atilia terasa hati
dengan sikapnya. Tapi apa yang mampu dia lakukan lagi? Ini
pun sudah cukup baik dia boleh menyapa dan menjenguk ibu
saudaranya itu. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia buat-buat
tidak tahu atau buat-buat lupa akan pesanan ibu dan
neneknya.
“Jangan lupa makan. Lepas tu makan ubat. Kau larat
nak turun bawah, kan?”
Atilia sekadar angguk kepala.
Rafiq mengeluarkan telefon bimbitnya. Letih dia
hendak melayan orang yang punya suara tapi beriak bisu.
Ingat dia tak ada kerja lain ke yang hendak dibuat? Daripada
menunggu Atilia bersuara, ada baiknya dia pulang ke
pejabat dan buat kerjanya yang terbengkalai. Lagi bagus dan
berfaedah.
“Helo, siapa ni?” Dia menghubungi talian rumah.
Malas hendak turun ke bawah.
Atilia hanya mendengar sahaja Rafiq berbual di
luar kamar tidurnya. Air mata disapu hingga kering, enggan
terlihat oleh Rafiq.
“Bawa makanan untuk Atilia ke atas.” Sebaik
sahaja mendapat jawapan balas daripada Kartini, dia terus
memutuskan talian.
Terharu Atilia dengan sikap Rafiq. Dalam pada sinis
terhadapnya, ada juga sifat ambil berat lelaki itu. Atau lelaki
itu takut dimarahi mamanya?
Rafiq masuk beriringan dengan Kartini. Sengaja
dia menunggu pembantu rumahnya itu muncul. Malas dia
hendak menghadap muka Atilia lama-lama.
“Bawa sini dulang tu.” Rafiq pantas menyambut
dulang dari tangan Kartini.
Sebaik sahaja dulang berpindah tangan, Kartini
berlalu keluar.
“Nah, makan.” Rafiq menyua sudu ke mulut Atilia
selepas mengambil tempat duduk di sisi gadis itu. Jika
Atilia tidak makan, dia juga yang akan dipersalahkan nanti.
Nenek dan ibu bukannya tahu betapa keras kepalanya insan
kesayangan mereka ini.
“Che Su boleh makan sendiri.” Atilia menolak
dengan lembut. Dia bukannya sakit teruk, sekadar demam.
Lagipun demamnya dah nak kebah. Dia boleh lakukannya
sendiri.
“Cuba dengar cakap aku. Siapa yang susah kalau kau
tak makan? Aku juga karang yang kena soal jawab dengan ibu
dan mama.” Suara Rafiq sedikit keras.
Atilia makin makan hati dengan sikap Rafiq. Nak
tolong tapi muka mengalahkan orang bergaduh dengan
makwe. Entah apa-apa perangai anak saudaranya ini.
Enggan membiarkan Rafiq terus-terusan menceceh,
Atilia membuka sedikit mulutnya.
“Mulut... macam mulut burung. Cuba buka besar
sikit. Bila nak habis macam ni? Kau ingat aku ada masa nak
tunggu lama-lama? Kerja aku berlambak kat pejabat tu.”
Atilia cuba merampas mangkuk di tangan Rafiq
tetapi tidak berjaya. Geram!
“Biar Che Su makan sendiri. Raf pergilah kerja.” Air
matanya bila-bila masa akan muncul. Dia tidak mahu anak
saudaranya itu melihatnya.
“Kau ni tak padan dengan sakit, tapi masih berlagak
dan keras kepala.” Rafiq meletakkan mangkuk di sisi katil dan
kemudiannya beredar. Semakin lama berada berhampiran
Atilia, ada nanti yang menerima tamparannya. Dah sakit tu
buatlah cara sakit. Ini tidak, degil mengalahkan apa.
Atilia pandang mangkuk yang terdampar. Dia pantas
mencapainya. Bersama linangan air mata, dia menyuap dan
menyuap bubur nasi tersebut ke mulutnya hingga habis.
Langsung tidak dikunyahnya.

No comments:

Post a Comment