PAGI-PAGI lagi hujan turun dengan lebatnya. Biarlah, sudah
berapa lama bumi Terengganu ini dahagakan limpahan air hujan. Sesudah subuh
tadi dia bertolak, memecut laju dengan baju hujan kuning. Sampai di kuarters,
semuanya masih membuta. Cepat-cepat dia mandi dan menyalin uniform kerja.
Setelah selesai berpakaian, Ida sudah ada di hadapan, merenung kopi yang masih
panas. Zarra ambil sekeping roti, tuangkan sedikit susu pekat. Kopi O yang
masih panas itu pula diteguknya perlahan. Dia labuhkan duduk, pandang Ida yang
dari tadi mengadap telefon pintarnya.
“Kau okey, Da?”
Ida angkat wajah, berikan senyuman hambar. Bunyi mesej
WhatsApp yang bertalu-talu masuk buat dia berhenti mengunyah. Tangannya pantas
melihat skrin.
“Halim?”
Ida hilang senyuman, angguk perlahan.
Zarra sandarkan badan pada kerusi. Mungkin dia tidak layak
bersuara, namun dia tahu, Ida tak layak diperlakukan begitu. Lebam hari itu
memang sudah tiada, tapi bagaimana dengan luka pada hati? Benarkah Ida sanggup
menahan kesemuanya demi cinta terhadap Halim? Benarkah kuasa cinta sedahsyat
itu?
“Kau betul-betul sayangkan dia ke, Ida?” soalnya ingin tahu.
Sayang yang bagaimana sehingga Ida benar-benar sanggup bertahan.
Ida hanya diam. Ada air mata yang menuruni pipi.
“Kalau dia tiada, tiada cinta untuk aku lagi, Zarra.”
Zarra hentikan kunyahan. Biar betul? Sampai begitu sekali
dangkalnya fikiran gadis di hadapannya ini. Dia letakkan cawan kopi ke meja.
“Kau gila ke, Ida? Kau baik, cantik. Kalau si Halim tu tak
ada, ramai lagi yang nakkan kau, tahu?”
Ida menggeleng. Matanya yang berkaca-kaca pandang Zarra. Dia
senyum dalam hiba. “Kau tak bercinta Zarra, kau tak faham apa maksudnya
memiliki orang yang kita sayang. Dia yang hanya untuk kita. Kau tak faham
selagi kau tak jatuh cinta, bercinta.”
Penat berbalah dengan orang buta cinta ni. Zarra bangun,
lebih baik dia masuk kerja. Dipegangnya bahu Ida yang masih merenung telefon.
“Cinta bukan macam tu, Ida. Ya, sekalipun aku tak pernah
bercinta, aku pasti, definisi cinta kau terlalu sempit. Tolonglah, Ida. Jangan
seksa diri kau lama-lama.”
Ida hanya bungkam, mengalirkan hiba dalam diam.
PAGI INI sahaja sudah tujuh bilik dia dan Wanie selesaikan.
Mahu kejang bahu dibuatnya. Kata Wanie, bila sudah lama nanti, biasalah. Alah
bisa tegal biasa. Masalahnya dia bukan kisah tentang sakit, itu sememangnya
lumrah bagi pekerja macam dia.
“Assalamualaikum.”
Semua mata yang ada, terbeliak seketika. Cepat-cepat mereka
bangun. Aduh, kenapa lelaki ini datang lagi?
“Waalaikummussalam, Encik Hisham. Spot check kami ke?” tanya
Wanie separuh bergurau. Handsome juga AGM baru ni. Gigit karang!
Hisham seluk tangan ke dalam poket, pamerkan senyuman manis.
Zarra ada di kerusi hujung sambil baca surat khabar tanpa memandangnya. Wajah
gadis itu yang tunduk membaca buat dia tersenyum lagi. Kalau dia pergi duduk di
sebelah Zarra, mahu meletup perang dunia antara dia dengan Kartini.
Pengecut.
Coward.
Chicken.
Hisham mengeluh sendiri.
“Macam mana hari ni, semua okey?” soalnya lembut. Dia
labuhkan duduk di kerusi hadapan. Matanya tak lepas memandang Zarra yang masih
dingin.
“Alhamdulillah, okey. Kami ada jumpa iPad Mini yang tetamu
kita laporkan tu. Ada bawah bed, Encik Hisham. Kami dah hantar ke Lost and
Found.”
Hisham anggukkan kepala. “Bagus. Saya harap semua yang ada
kat sini buat tindakan yang sama. Pastikan semua barang guests kita yang
tertinggal kita tulis dalam buku log, bawa ke Lost and Found.”165
‘Zarra, pandanglah
abang. Abang rindukan Zarra.’ Hisham teringat sesuatu lalu mengeluarkan telefon
pintarnya.
Zarra ambil telefon, tolak skrin ke tepi. Nombor siapa ni?
Dia buka mesej WhatsApp itu. Gambar seekor kucing menangis sambil memegang
belon ‘I Miss You’ buat dia mahu melompat. Perlahan dia menjeling.
Hisham senyum lebar. Pandang pun. Dia kenyitkan mata,
pantas.
‘Ewahhh... nak kena cungkil mata ke mamat ni? Berani
kenyit-kenyit mata dengan aku pula. Aku sembur dengan Febreeze ni baru rabun
mata tu.’ Dia kembali pandang surat khabar.
“Zarra, mak dengan nenek sihat?” Biarlah, baik dia tanya.
Kalau nak harapkan Zarra bercakap dengan dia, kiamat pun belum tentu.
“Sihat.”
Ai, sepatah aje? Itu pun nasib baik dia jawab juga. Hisham
senyum lagi. Beberapa mata yang lain semuanya memandang mereka.
“Baguslah. Ingat nak ziarah mereka. Lama tak jumpa.”
Zarra angkat muka. “Tak payah.”
Hisham mahu ketawa. Lajunya. Tak sempat dia nak sambung
soalan yang ada.
“Okeylah, kerja baik-baik. Zarra, abang ingat nak jumpa mak
dengan nenek. Jumaat nanti abang pergi kut.” Muka Zarra yang merah padam memang
buat dia mahu gelak kuat-kuat.
Dia gelarkan diri dia abang di depan semua manusia ni! Kalau
tahu dek Kartini, baru padan muka. Ya Allah... geramnya dia! Cepatlah blah.
Menyemak sungguh mamat gila ni...
Hisham bangun, sengaja dia berlalu di hadapan Zarra.
“Jumpa nanti ya, Zarra.”
‘Aduh, karang aku cucuk mata tu, terus jadi Kassim Selamat!’
Wanie dan Mak Jan tergelak. Apa hal dengan si Zarra ni? Muka
pun dah merah terbakar tahap unggun api. Bila saja kelibat Hisham hilang dari
pandangan, laju saja mereka menyerbu.
“Zarra, kau kenal dengan AGM kita ni? Siap ber’abang’ bagai?
Amboiii... ada skandal ke? Kau jangan, tahu dek Miss Kartini, masak kau.”
Zarra urut dahi. Memang cari pasal jantan tu.
“Dulu dia tinggal sebelah kampung Zarra. Mak pun sekarang ni
kerja di bengkel batik family dia. Memang kenal.”
“Ohhh...”
Semua bulatkan mulut. Dah macam sotong kurita. Terkejut
sangat ke?
“Maksudnya kau kenal dengan Encik Hisham dari keciklah ni?”
soal Wanie lagi. Patut pun boleh abang bagai, dah lama kenal rupanya.
Malas Zarra nak menjawab. Dia angguk sahaja. Jawab
lebih-lebih karang kecoh pula. Telefonnya berbunyi lagi.
Jumpa nanti jangan lupa sedekahkan abang senyuman.
Wekkk! Muntah hijau juga dia. Hampehnya...
DRESS BCBG yang baru dibelinya itu sedikit meliuk ditiup
angin. Dia melangkah yakin dengan senyuman. Kartini tahu, semua mata
memandangnya. Biarlah, kecantikan untuk dihargai, bukan? Bukannya luak kalau
mata yang memandang itu meratah susuknya. Dia bangga. Rambutnya juga yang
dipotong pendek buat dia nampak chic. Elegan dan fresh. Kata Suria di salun
tadi, a million dollar look. Kartini senyum sinis, pandang beberapa staf yang
memandangnya kagum.
“Selamat tengah hari, Miss Tini. Cantiknya hari ni.”
Dia senyum lagi. Absolutely.
“Kenapa? Selama ni I tak cantik ke?” soalnya dalam nada
serius. Matanya menyorot staf yang bersuara tadi.
“Tak, bukan itu maksud saya. Miss Tini memang cantik, tapi
hari ni memang superb!”
Dia ketawa, kuak rambut ke tepi dengan lemah lembut.
“Pandai you. Oh well, thank you.”
Staf itu tersenyum, sempat menelan liur. Nasib baik akalnya
cepat memberi jawapan yang tepat. Kalau tak, makan penyepak rasanya.
Dia kembali melangkah, kali ini menuju ke Heaven and Earth
Coffee House. Mana Hisham? Tadi Hisham maklumkan yang dia sudah ada di lobi.
Kartini membuang pandangan, mencari susuk Hisham.
“Tini.”
Dia menoleh lalu tersenyum. There he is. Ada pun. Pantas dia
memaut lengan, mengheret Hisham melangkah bersama.
“Tini, please don’t do this. Janganlah, orang tengok tu. Tak
manis,” tegur Hisham dalam nada suara paling perlahan.168
Kartini pekakkan telinga. To hell with everybody. Hisham
ditariknya lembut tanpa lepaskan pegangan.
Mengeluh pendek saja yang Hisham mampu. Seeloknya dia cepat
ke coffee-house. Lagi cepat lagi baik. Kakinya pantas melangkah, kali ini
Kartini pula yang terpaksa menyainginya. Terkial-kial juga gadis itu. Pakai
high heels, tahulah akibatnya.
“Sham, pelanlah sikit...”
Hisham kakukan langkah, pandang Kartini yang mencuka. “Kalau
macam tu, you jalan sendiri, jangan jalan macam orang crippled.”
Kartini ketawa kecil. “You marahkan I lagi, kan? I’m really
sorry, Sham. I really am. I menyesal...”
Aduhhh... dia gosok tengkuk. “Fine. You’re forgiven. Dah...
jom duduk, I ada benda nak bincang.”
Kartini bersorak dalam hati. Akhirnya. Akhirnya Hisham sedar
bahawa dia yang seharusnya menjadi pilihan. Tak sia-sia dia berhabis cantik
hari ini. Akhirnya hari ini tiba jua.
Dia pandang Hisham yang tenang di hadapannya. Matanya
menjeling lelaki itu. Mana Hisham sorokkan kotak cincin? Dalam poket seluarkah?
Dia tak mampu menahan senyum. Bila Hisham telefon mengatakan mahu berjumpa, dia
sudah melonjak gembira. Pastinya apa yang dia kejar dan dia impikan selama ini
akan menjadi kenyataan. Oh my... she’s in heaven. Wajahnya masih tak mampu
menahan senyum yang terukir. Dia pandang langit, cantik dan membiru.
“Tini dah makan?” soal Hisham lembut. Wajah Kartini yang
berseri-seri buat dia mengeluh kecil.
“Tak. Lapar ni... Sham oderkan untuk Tini. Beef steak,
medium rare. Salad dan green tea.”
Hisham angguk. Mungkin dia perlu tinggalkan
Kartini seketika. Dia juga perlu tenangkan diri. Bukan mudah
untuk dia menyebut segalanya yang telah disusun semalaman.
“Tini tunggu. Sham minta cef sendiri sediakan untuk Tini.”
Kartini kian lebar senyumannya. Jadi benarlah, Hisham ada
sesuatu yang istimewa mahu dinyatakan. Hatinya berbunga, mekar bak taman yang
baru disirami hujan. Yes, yes! Dia tarik nafas perlahan-lahan, mengawal diri
daripada nampak berlebihan. Bila Hisham kembali, dia lontarkan senyuman paling
manis.
“Nanti pesanan sampai. Kita minum dulu.”
Kartini angguk, menjuraikan senyum yang tak sudah-sudah.
Hatinya masih hebat bergetar. Hisham dikejarnya sepuluh tahun yang lalu,
sewaktu mereka sama-sama belajar di luar negara. Pulang dari luar negara,
Hisham menjawat jawatan di syarikat telekomunikasi. Dia juga bekerja di situ.
Jawatan itu pun Hisham dapat kerana Kartini minta papa menolong Hisham dan juga
dia. Bila Hisham suarakan mahu pulang dan mencari tempat di Terengganu, dia
juga ucapkan selamat tinggal kepada semua shopping malls dan social events,
kerana dia mahukan Hisham lebih daripada semuanya. Maka sekali lagi dia merayu
kepada papa. Merayu agar papa mengambil Hisham bekerja di The Bliss. Lagi dekat
dengan dia. Dia sudah banyak berkorban. So, kesimpulannya, Hisham sudah sedar.
Hisham mahukannya.
Stik yang dihidangkan buat dia lapar. Pantas tangannya
mengambil pisau stik dan garpu.
“Sham, jom makan. Nanti kenyang, kita start our discussion.”
Kartini menyuap stik sambil cuba sembunyikan senyum. Hisham pandang dia dengan
senyuman.
Hanya senyuman yang mampu dia berikan. Air fresh
orange sudah hampir separuh disedut. Lapar namun tiada
selera untuk dia penuhkan keinginan itu. Kartini masih ralit menyuap, merenung
manja kepadanya. Hisham tarik nafas perlahan. Mungkin dia patut mulakan.
“Tini...”
Kartini senyum, angkat tangan buat tanda berhenti.
“Wait... I dah nak siap ni...” ujarnya manja.
Hisham hembus nafas, senyum dalam hambar.
“Kita mula sebagai kawan... apa kata kita akhirinya juga
sebagai kawan,” tuturnya berhati-hati. Matanya tak lepas memandang Kartini yang
tiba-tiba kepucatan. Aduhhh... dah cakap kan, terus sajalah.
“You cakap apa?” Kartini letakkan garpu, pandang Hisham
bagai orang hilang akal. Hisham bergurau kan, hanya mahu mengusik kan?
“I want us to be friends again.”
Friends? Kawan? Dia telan liur kemudian teguk air di
hadapannya perlahan-lahan.
“You prank I kan, Sham?” soalnya dalam getaran. Jantungnya
mula berkompang laju.
Hisham geleng. Dia lelaki. Lelaki kena berani, kena tekad
untuk buat keputusan yang betul. Kalau Kartini mengamuk sekali pun, dia terima.
Paling penting untuk dia beritahu, berterus terang seadanya dengan Kartini.
Cinta? Selama ini bukan dia cinta, dia hanya mahu gembirakan Kartini, itu saja.
Kasihankan gadis itu yang terkejar-kejarkannya dari dulu lagi.
Menggeletar tangannya. Hisham serius. Dia tahu Hisham serius
kerana Hisham memandangnya dengan penuh simpati, kasihan.
Kartini gigit bibir, menyumpah dirinya. Cool, Tini...
cool. Sabar, relaks. Kau wanita sofistikated, jangan tunjuk
perangai lagi. Dia tarik nafas dalam-dalam, paksa satu senyuman paling manis.
“Well... what a surprise. Kenapa tiba-tiba saja?”
Hisham senyum lagi, hambar. “Sham mahukan ruang, mahu buat
pilihan. Tini juga. Tini boleh cari kebebasan untuk Tini, pilihan yang lain
mungkin.”
Hahaha... mahu saja dia tampar Hisham. Ruang? Pilihan?
Hisham sudah gilakah? Bukankah selama ini dia sudah sediakan segalanya? Kartini
senyum sinis. “You tak cintakan I lagi, kan?”
Berani, Hisham. Jadi berani. “I sayang you macam seorang
kawan, Tini. You kawan I paling rapat, paling baik.”
Terbeliak matanya. Benarlah, Hisham sudah gila. Hisham sudah
hilang akal. Kartini ketapkan bibir, ramas tangan kuat-kuat. Matanya meliar
pandang sekeliling. Nafas turun naik, dia masih mengawal keadaan. ‘Yes, control
the situation, Tini. Jangan melatah, relaks.’
“Okey, I bagi you tiga bulan. Ermmm, no... two months. Kalau
lepas tu kita still single and available, kita get back together again, terus
kahwin. Settle?” Kan, pandai dia. Dia lepaskan Hisham cuma bukan lepas terus.
Hanya longgarkan ikatan. Hisham masih lagi secara eksklusif jadi miliknya.
Hisham geleng kepala perlahan-lahan. Dia tahu Kartini faham
tapi sengaja buat tidak faham. Mungkin dia perlu katakan dengan lebih jelas dan
terang.
“Kita break. Stop. No more.”
Dia gelak, pandang Hisham sambil jongketkan kening. “Fine.
Kita stop untuk dua bulan. I bagi you bebas lepas, puaskan hati you, buat
pilihan atau apa saja yang you nak buat. After two months, I’m in. Okay? Thank
you for
today. I nak balik, penat.”
Kartini bangun, jalan cepat-cepat. Langsung dia tak menoleh.
Senyuman dilemparkan kepada mata yang memandang. Ini Kartini. Tiada siapa boleh
kalahkan Kartini, faham?
Hisham nganga. Aduh... pening dia. Kejar Kartini? Malas dia.
Biarlah dulu, dia tahu Kartini faham apa yang dikatakannya. Dia urut dahi,
ketawa kecil. Padan muka kau, Hisham. Sekarang ni, buatlah apa yang perlu.
Zarra.
Dia mahukan Zarra. Dia mahu tebus segala kesilapan yang
dilakukannya dahulu. Dia mahu Zarra tahu, dia akan kotakan janji. Dia mahu
bertanggungjawab.
ZARRA BUKA mata. Kenapa saat dia menadah doa, hatinya
berdebar-debar? Dia meraupkan sepasang tangan ke muka. Dilipat baik sejadah
lalu dilunjurkan kaki. Laparnya. Nak masak, rasa macam terlampau malas. Dilla
dan Lili ralit menonton di ruang hadapan. Malas dia mahu mengadap televisyen.
Kalau tidur sekarang, boleh aje kan? Nanti bangun, sambung solat isyak dengan
tahajud.
Dia baring, peluk bantal. Rindu Abam. Kalau ada si Abam kan
best, boleh peluk sambil tidur. Baru saja matanya terpejam, mesej WhatsAppnya
berbunyi. Siapa pula? Lambat saja tangannya mahu mencapai telefon itu.
Turun kejap. Abang ada kat bawah.
Mencanak dia bangun. Biar betul. Tolonglah... jangan buat
gila kat sini.
Zarra bangun, perlahan mengintai dari tingkap. Kereta Hisham
memang ada di luar pintu pagar kuarters itu. Dia nampak Hisham sedang berkepul
asap rokok ke udara. Beberapa kali dia tampar dahi, pastikan semua ini bukan
mimpi.
Abang balik. Zarra tak nak turun!
Dia nampak Hisham pegang telefon.
Kalau Zarra tak turun, abang naik.
Eeee... karang dia bertukar jadi puntianak, gigit mamat tu
sampai mati. Apalah yang tak faham sangat ni? Tapi kalau Hisham naik
betul-betul, macam mana? Mahu kecoh nanti. Alahai... geramnya dia.
Telefon pintar itu dicampaknya perlahan ke katil. Pantas dia
sarungkan tudung. Lantaklah dengan seluar trek pun. Senang dia nak terajang
mamat tu nanti. Telefon pintarnya dikutip kembali. Telefon baru ni kau, sayang
wooo...
“Kau nak gi mana?” soal Dilla sambil sumbat keropok ke dalam
mulut.
“Aku turun jap.” Laju saja langkahnya. Malas dia nak bersoal
jawab. Lagipun bila dia bagi penampar satu das nanti, selesailah perjumpaan
mereka.
Macam kilat Zarra menuruni tangga.
“Nak apa?” soalnya sedikit kuat. Geram juga dia.
“Nak Zarra.”
‘Eh toyanya muka. Aku karate juga dia ni.’ Zarra ketap
bibir.
“Seriously... abang nak apa?”
Hisham senyum. ‘Garangnya. Aku cium karang.’ “Masuk jap.
Kejap je. Abang ada hal nak bincang.” Perlahan
saja suaranya memujuk. Kalau tak makan pujuk, dia culik saja
si Zarra ni.
Terbeliak Zarra memandang Hisham yang sedikit sugul.
“Apa, cakaplah!”
“Nenek masuk hospital. Kak Ina telefon abang tadi. Mak tak
sempat call Zarra.”
‘What?’ Dia ternganga. Menggeletar tangannya.
“Purse Zarra...”
“Tak payah. Kita pergi dulu.”
Zarra cuma mampu angguk. Menggeletar tangannya membuka pintu
kereta. Tanpa berfikir, dia terus duduk apabila enjin dihidupkan. Laju saja
kereta itu menyusuri malam.
Ya Allah... kenapa dengan nenek? Dia cuba telefon maknya.
Beberapa kali namun tidak berjaya.
“Zarra buat apa?” tanya Hisham.
Dia geleng kepala. Tongkat dagu pada dinding kereta. “Call
mak. Tak dapat.”
Hisham telan liur. “Tak apa. Kita pergi terus. Bawak
bertenang, istighfar banyak-banyak.”
Angguk saja yang dia mampu. Hatinya? Sudah bergetar
beribu-ribu kali. Mahu saja dia menangis, namun dia tahu dia perlu kuat.
Mungkin nenek demam atau penat. Nenek tak apa-apa bukan?
Hisham tekan minyak rapat-rapat. Biar cepat mereka sampai.
“KENAPA KITA kat
sini? Nenek dah balik ke?” soalnya hairan. Boleh pula dia terlelap di dalam
kereta tadi. Dia tersedar bila enjin kereta dimatikan. Paling dia hairan,
mereka bukan di hospital tapi di rumahnya.
“Nenek dah balik dari hospital ke?” Zarra bangun, masih
sedikit mamai. Lampu rumah semua sudah terpasang.
Dia pandang Hisham yang sudah membuka pintu. Zarra pantas
melompat keluar. Belum sempat dia berikan salam, pintu rumah terlebih dahulu
dikuak. Wajah mak yang kehairanan di muka pintu buat dia tersenyum.
“Assalamualaikum.” Zarra memberi salam. Pantas dia mendaki
anak tangga. Tangan mak diciumnya.
“Waalaikummussalam. Apa hal kamu balik? Mak baru nak telefon
kamu,” soal Aini kehairanan. Matanya tertancap pada anak muda di sebelah Zarra.
Siapa? Macam dia kenal.
“Hisham cakap nenek masuk hospital. Kenapa mak tak telefon
awal-awal?” marahnya sambil jenguk ke dalam. Eh, itu nenek. Siap tidur dekat
depan televisyen lagi. Dah sihat kut.
Ohhh... Hisham anak Tuan Haji Yusof. Puan Aini pandang
Hisham, menyoal dengan kening yang terjongket. “Bila pulak? Tu, nenek... kami
baru balik dari surau. Bila masanya nenek kamu masuk hospital?”
Aduhhh... ini mesti dia dah kena kelentong. Zarra genggam
penumbuk, berpaling mengadap Hisham yang tersenyum-senyum.
“Kau memang nak ke...”
Cepat-cepat Puan Aini tarik tangan Zarra ke dalam rumah.
“Dah, dah... masuk. Kamu dah makan? Kalau belum mari ke dapur. Kejutkan nenek.
Sham, kamu ke sini.”
Zarra tarik nafas beberapa kali. ‘Uiii... melampau.
Suka hati cakap nenek aku masuk hospital. Karang aku
‘hospitalkan’ mamat ni baru senang hati.’ Dahlah lapar, kena kelentong pula.
Memang angin satu badannya.
“Nek, nek... Rumah terbakar, bangunlah.” Sengaja Zarra
kuatkan suara. Mahu tak terkejut orang tua itu.
“Mana? Ya Allah... cepat lari.” Terkocoh-kocoh Tok Teh
bangun. Senget kain batik orang tua itu.
“Tu ha, ikan bakar kat dapur. Bangun makan nasi.”
Kelepuk!
Kan, tak pasal-pasal makan penampar kat belakang. Pedihnya.
Mahu dia menggeliat kesakitan, tapi air muka kena jaga, beb.
“Cabul! Perkataan tu doa, Zarra. Cili mulut kamu tu, barulah
kamu...”
Pantas Zarra peluk nenek, ketawa sambil gosok belakang.
Memang sakit wooo...
“Hisham kan?” soal Puan Aini sambil hidangkan lauk. Sesekali
dia jeling anak muda di sebelahnya yang sibuk menolong mengatur pinggan.
“Ya saya, mak cik. Maaf susahkan mak cik, tapi saya ada
hajat nak jumpa mak cik.” Dia duduk di meja. Ikan panggang tawar, budu, bayam
tumis air dengan telur dadar. Sedap.
Puan Aini letakkan jag kopi O di hujung meja. Segannya dia.
Kalau dia tahu Zarra mahu balik, dia minta Rahman sebelah rumah sembelihkan
seekor ayam kampung.
“Hajat apa?” soalnya sambil tuangkan air ke gelas.
“Saya nak memperisteri Zarra.”
“Aku tak nak, bodoh!!!”
Hah kau, bergegar tiang rumah. Si Abam yang
melepak di tangga dapur pun melompat terkejut. Mengiau
kucing itu.
Hisham tergelak bila melihat mulut Puan Aini yang ternganga,
Zarra yang dilepuk Tok Teh sekali lagi. Kecoh suasana malam ni nampaknya.
“Zarra Zainal, kamu jaga mulut kamu tu. Turun makan. Nasib
baik tak mati terkejut nenek kamu,” marah Puan Aini geram. Sorang menyinga di
atas tangga, sorang senyum lebar di atas kerusi. Sakit kepala dia.
Tok Teh piat telinga Zarra kuat-kuat.
“Ambik pinggan, makan kat luar dengan kucing kamu. Apa punya
perangai dia nih...”
Ini sudah lebih. Kenapa nenek dengan maknya sibuk marahkan
dia? Tu, marahlah jantan senget yang senyum-senyum tu. Eee... gilalah!
“Mak, bak budu,” pinta Zarra keras.
Puan Aini beliakkan mata. “Kamu nak buat apa?”
Zarra sengih, cuba capai mangkuk budu tapi tak berjaya.
“Bak sini, mak. Zarra nak basuh muka orang gila biar dia
sedar diri. Bak sini, mak...” rayunya bersungguh-sungguh.
Tok Teh tarik telinga Zarra. “Duduk. Makan. Kalau tak, aku lempang
semua.”
Zarra telan liur. Kalau nenek dah cakap ‘aku’, maknanya
nenek betul-betul naik angin. Dia mendengus, duduk berhadapan Hisham yang
tersenyum manis. ‘Walaupun kau handsome, aku tak ingin!’
“Dah, makan. Nanti kita bincang.”
Zarra jeling mak. Bincang apanya? Cincang adalah. Cincang
orang gila dekat depan dia ni. Perutnya berbunyi lagi. Lantaklah, baik dia
makan dulu.
KOPI O masih berasap. Perlahan Hisham menghirupnya. Semua
tiga pasang mata masih memandangnya. Pergggh... rasa macam kena soal siasat.
Nak minum kopi pun rasa macam minum batu kerikil, tersekat di anak tekak.
Perlahan dia letakkan cawan. Dia tarik nafas, lepaskan satu senyuman.
“Mak cik, nenek... saya nak memperisteri Zarra. Sham nak
jadikan Zarra isteri Sham, dunia dan akhirat.”
Disepaknya meja rotan yang sememangnya tak berapa nak teguh.
Bergegar air kopi di dalam cawan. Nasib baik tidak tumpah.
“Aku tak nak! Tak faham ke?”
Mak aiii... macam singa bengkengnya. Dia telan liur tapi
mahu tergelak bila Tok Teh sekali lagi piat telinga Zarra di balik tudung.
“Amboi! Patah meja ni, nenek patahkan kaki kamu. Duduk situ
diam-diam.”
Okey, kalau dia gelak, nanti susah juga dia. Mahu Zarra
terajang dia, boleh sampai ke tanah. Dia jeling jam, dah pukul 9.30 malam.
“Sham, mak cik rasa Zarra ni tak ‘empuk’ lagi, ‘kurang
masak’ untuk dijadikan isteri. Sham tengok sendiri perangai dia, kan? Mak cik
rasa baik tak payah. Sham carilah orang lain,” balas Puan Aini berhati-hati.
Geram juga dia dengan si Zarra. Kalau tak kerana sabar, dia lepuk-lepuk anak
nan seorang itu dengan dulang di depan dia ni ha.
“Entahnya... jangan nak berangan. Pergilah kahwin dengan
Miss Tini pujaan hati, apasal tiba-tiba aku pulak?” Marahnya masih membara.
Hujan tidak, payung pun tak ada, tiba-tiba saja mahu kahwin. Gila!
Hisham toleh, bertentang mata dengan Zarra. “Zarra rasa
abang perlu cerita ke kenapa kita kena kahwin?” soalnya serius. Mata mereka
bertaut. Umpama meneroka kembali ke masa silam. Wajah Zarra dilihatnya
kepucatan.
“Don’t you dare...” Matanya bergenang, cepat-cepat dia lap
mata sebelum mak dan neneknya sedar.
“Apa maksud kamu?” tanya Puan Aini. Pelik juga dia. Dia
toleh, pandang anak gadisnya yang tiba-tiba membisu.
“Maksud Sham, kami pernah kenal dulu. Sham jatuh cinta
dengan Zarra, jadi Sham mahu jadikan dia isteri Sham, mak cik.”
Puan Aini angguk, pandang Zarra untuk mencari kepastian
namun anak itu hanya menggigit bibir. Dia pandang Hisham yang mula serius.
“Boleh nenek cakap?”
Semua mata memandang, menunggu butir-butir perkataan.
“Kalau betul kamu mahu nikah dengan Zarra, datang dengan
keluarga kamu. Kita bincang dengan hormat. Kamu anak siapa?”
Hisham angguk. Nenek Zarra lebih kurang macam setujulah,
kan. Dia jeling Zarra yang masih menahan diri, marah dengan penuh perasaan.
“Anak Yusof dengan Kalsom, dulu yang duduk sebelah kampung.”
Terbuka luas mata orang tua itu. Dipeluknya bahu Hisham
kuat-kuat. “Ya Allah, kamu anak Yusof ya. Adik Halina, kan?”
Hisham angguk.
“Alhamdulillah... lama nenek tak tengok kamu. Mak ayah kamu
sihat?”
Hisham angguk. “Alhamdulillah, sihat. Nanti saya ajak mereka
datang berbincang.” Dia jeling Zarra. Amboi, makin marah nampak.
“Kalau macam tu, baguslah... kamu anak orang baik-baik.
Nenek setuju.”
What! What!! What!!!
Okey, dia marah sambil speaking dalam hati ke ni? Bulat
matanya memandang semua yang ada. Yang si Abam ni pun ada tercatuk dekat
sebelah dia, pandang dia macam dia yang gila. Kucing ni kucing ke atau manusia
jelmaan?
“Zarra tak setuju!!!” Tangan kanannya kuat menghentak meja.
Bergegar cawan kopi itu. Nasib baik tak melambung terus.
Puan Aini urut dahi. Kata kenal dari dulu lagi dan jatuh
cinta. Ni sekarang dah macam nak perang dunia. Dijelingnya Tok Teh yang geleng-geleng
kepala.
“Sham, mak cik rasa ada baiknya kamu bincangkan perkara ni
dengan Zarra. Untuk mak cik, apa yang Zarra mahukan, mak cik ikut. Kalau dia
tak mahu, mak cik tak memaksa.”
Hisham angguk. Dia pandang wajah Zarra yang sedikit lega.
Tersenyum dia seketika. ‘Takut sangat ke nak kahwin dengan aku?’ Dia ketawa
kecil.
“Bila Zarra dah setuju nanti, Sham akan bawa keluarga Sham.
Cuma yang perlukan sekarang, restu mak cik dan nenek.”
Tok Teh hirup kopi itu perlahan. Diletaknya cawan dengan
berhati-hati.
“Kami ni orang susah, kalau keluarga kamu sanggup terima
orang susah, tak apalah.”
Ehhh... neneknya pun macam dah bagi greenlight. Pelik dia.
“Nek, kalau nenek berkenan dengan si gila ni,
nenek kahwin je dengan dia!”
Tok Teh ketawa kecil. “Masalahnya dia mahukan kamu. Kalau
dia mahukan nenek, nenek kahwin saja. Apa susahnya.”
Nah, tergelak si Hisham dibuatnya. Amboi nenek, sempat lagi
buat lawak tanpa kimia ya. Zarra garu kepala. Baik dia diamkan diri. Lagi
banyak dia menyampuk, lagi berbakul dia kena. Ohhh... melampau.
“Dah, balik! Jangan nak menyemak kat sini, aku tak suka.”
Biarlah bunyinya kasar tapi dia mahu halau Hisham dari sini.
“Kalau abang balik, Zarra pun kena balik juga,” tuturnya
lembut.
“Kenapa pulak? Ini rumah aku, aku punya sukalah nak buat
apa.” Dia bercekak pinggang, jongket kening berkali-kali.
“Habis tu esok nak pergi kerja dengan apa?” soal Hisham
dengan senyuman. Amboi, garangnya. Nanti bila dah jadi isterinya, tahulah dia
‘jinakkan’ dengan kasih sayang.
Allah... lupa pula dia. Macam mana ni?
“Awak yang ambik saya tadi, kan? Sekarang ni hantar saya
balik ke kuarters.”
Hisham tahan gelak. Wajah Zarra yang selamba itu memang
mampu buat dia ketawa lagi. Dia tahu Zarra malu namun dia biarkan saja.
Cepat-cepat dia menyalami tangan Puan Aini dan Tok Teh.
Panas rasanya muka. Itulah, cakap tanpa berfikir, tak pasal-pasal malu dua
kilo. Hampeh.
DIAM SAJA yang Zarra mampu. Matanya memandang ke luar
tingkap. Perlahan saja dia rasakan kereta ini bergerak.
“Zarra marah?”
Dia diam lagi.
“Abang serius mahu tebus semua kesilapan abang, Zarra.”
Hisham lirikkan mata.
Zarra sapu pipi, entah bila pula air mata ini jatuh. Matanya
dipejamkan, namun apa yang terbayang hanyalah peristiwa sepuluh tahun yang
lalu. Pedih dan peritnya masih terasa. Sakitnya kian mencucuk jiwa, merobek
hati remajanya sekian lama.
“Abang kejam...” Dia tersedu, menangisi zaman remaja yang
penuh kepahitan. Kerana Hisham.
“Abang kejam...” Kali ini esaknya kian kuat, membelah
kesunyian dalam pekat malam.
Hisham gigit bibir, tahan suara yang mahu bergetar. ‘Maafkan
abang, Zarra. Ampunkan abang. Abang janji, abang akan perbetulkan segalanya.’
“Maafkan abang, Zarra...” Serak suaranya melontar keluar.
Menggeletar tangannya memegang stereng. Tak mampu dia memandang Zarra yang
esaknya kian ribut. Mahu sahaja ditariknya Zarra ke dalam pelukan namun dia
tahu ini bukan masanya.
“Tolong Zarra, tolong jangan menangis... Abang mohon ampun.
Abang janji, abang akan jadikan Zarra lebih bahagia, gembira. Abang sayangkan
Zarra. Abang cintakan Zarra, sejak dulu lagi. Tolong abang...”
Zarra menutup mulut, menahan esak. Beberapa kali jemarinya
mengesat pipi.
Hisham hentikan kereta, pangku kepala pada stereng. Dia
toleh, pandang Zarra yang masih menangis dalam hiba. Dia senyum, cuba memujuk
hatinya sendiri. Ada baiknya
Zarra menangis, lepaskan perasaan yang lama terpendam.
“Zarra nak balik.”
Hisham angguk lalu menolak gear.
BILA KERETA Hisham berlalu, dia melangkah longlai. Hampir
tengah malam, semuanya sudah lelap mungkin.
“Are you okay, sweetie pie?”
Allahuakbar. Terkejut dia. Zarra urut dada, mencari pemilik
suara. Zachary ada di bangku simen di bawah pokok, dalam gelap.
“Zach buat apa kat sini? Kenapa tak tidur lagi?” soalnya
kembali. Zachary nampak ke siapa yang hantar dia tadi? Dia telan liur, tercegat
memandang Zachary.
Zachary bangun, berdiri di hadapan Zarra. “Are you okay?”
soalnya lembut.
Dia terpaksa senyum. “Okey, terima kasih kerana bertanya.”
“Zarra dari mana?” Dia ingin tahu kerana kereta yang hantar
Zarra tadi adalah kereta Hisham. Dia pasti.
“Dari kampung. Encik Hisham tumpangkan.”
Okey, ingatkan keluar dating dengan Hisham tadi. Jelaous?
Mana ada, dia cemburu aje kut.
Dia melangkah, kian dekat. “Kenapa? Ada kecemasan ke?”
Zarra telan liur. Apa hal kakinya kaku? Sepasang mata
Zachary menerobos pandangan dalam kelam cahaya lampu jalan.
“Nenek demam. Encik
Hisham tolong tumpangkan. Nak balik dengan motor dah jauh malam.” Kenapa dia
tipu? Zarra lemparkan senyuman dalam gentar.
“Ohh... dia orang kampung Zarra, kan? I lupa. Dah lewat,
better Zarra naik tidur. Nanti...”
Zarra undur satu langkah.
“Nanti apa? Hantu keluar?” soalnya berkelakar.
Zachary geleng, ambil satu lagi langkah.
“Nanti kalau I kiss you here, you pengsan.”
Okey, Zarra cabut lari macam ribut. Tak sukalah Zachary
bergurau macam tu. Hesy! Belum sempat dia sampai di muka pintu, telefonnya
bergegar. Hisham!
Selamat malam. Harap Zarra lena dalam mimpi.
Zarra gigit bibir. Dia bencikan Hisham. Benci sebenci-bencinya.
No comments:
Post a Comment