DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Jom... Bercinta! - Bab 1



ATILIA menebar pandangan ke sekeliling sambil
menghirup udara bumi Johor Darul Takzim. Terlalu lama dia
rasa berada di negara orang. Sepanjang empat tahun berada
di California, hanya sekali sahaja dia pulang ke Malaysia.
Selebihnya dia bersama rakan-rakan mencari peluang
pekerjaan dan melancong ketika cuti semester. Dia lebih suka
hidup berdikari dan tidak terlalu bergantung hidup dengan
kemewahan mamanya.
Senyuman di bibir Atilia terbentuk sebaik sahaja
teksi eksekutif mula meninggalkan Lapangan Terbang
Antarabangsa Senai.
Ah, tak sabar dia nak sampai ke rumah. Dia
benar-benar merindui ahli keluarganya terutama sekali
masakan mamanya yang sedap hingga menjilat jari itu.
Sengaja kepulangannya tidak diberitahu gara-gara hendak
membuat kejutan. Apabila mamanya bertanya, dia sekadar
memberitahu akan balik tidak lama lagi. Mamanya buat-buat
merajuk pun tidak dilayannya.
 “Senyum lebar aje anak ni,” tegur pemandu bernama
Ismail itu.
“Tak sabar nak jumpa mama saya, pak cik. Rindu
benar dekat dia,” balas Atilia bersama senyuman manis.
“Ini pasti dah lama tak jumpa.” Encik Ismail meneka.
Melihat tag pada bagasi yang dibawanya masuk ke dalam but
kereta tadi, dia cuba mengagak.
Atilia angguk kepala. Senyuman juga tidak lekang di
bibir merah merekahnya.
“Haah. Dah dua tahun. Itu yang rindu sangat.”
Teringatkan kawan-kawan sejurusan di California State
Polytechnic University, Pomona, California yang bakal
menghadiri majlis konvokesyen pada pertengahan Jun nanti,
dia jadi sebak. Bukan dia tidak ingin turut serta. Tapi apabila
rindunya terhadap ahli keluarga lebih panasaran membuatkan
dia mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air. Sebelum
itu, sempat juga dia menjelajah ke beberapa buah negara
sebaik sahaja tamat peperiksaan bersama kawan-kawannya.
“Patutlah. Dah lama benar.” Encik Ismail bersuara.
“Anak ni baru habis belajar atau bekerja di sana?”
“Saya baru tamat belajar, pak cik. Nak kerja kat sana
mahu mama saya kejar dengan meriam.” Atilia bercanda.
“Kenapa?” Ketawa Encik Ismail mendengar alasan
Atilia.
“Dia memang tak bagi saya tinggal di luar negara
lama-lama, takut saya terus tak balik.”
Gadis cantik itu Encik Ismail pandang seketika.
“Takut kahwin dengan mat salih ke?” Encik Ismail
bertanya. Dia kemudiannya tertawa lagi dengan kata-katanya.
“Gamaknyalah.” Atilia membalas. Dia turut tergelak.
Tapi memang itulah kenyataannya. Mamanya takut dia
berkahwin dan tidak pulang terus ke Malaysia.
 “Okey, dah sampai,” beritahu Encik Ismail.
Atilia menoleh ke sisi kanan. Sebaik sahaja
terpandang Teratak Jannah, senyumannya makin melebar.
Tidak sabar dia hendak berlari ke dalam dakapan mamanya
Puan Ainon, kakak iparnya Siti dan anak saudaranya Nur Ain.
Pasti semua orang terkejut melihat kepulangannya. Itu yang
dia mahukan.
“Terima kasih pak cik,” ucap Atilia sebaik sahaja
Encik Ismail menurunkan semua bagasinya di tepi jalan.
Dia yang minta begitu. Hendak buat kejutan punya pasallah
katakan...
“Sama-sama,” balas Encik Ismail sebelum berlalu.
Atilia tarik nafas panjang-panjang sebelum menarik
dua buah bagasinya yang agak besar itu. Mujurlah beroda, tak
adalah sukar dia hendak membawanya.
“Assalamualaikum...” Atilia menghampiri pondok
pengawal. Peluh yang mengalir di dahi dan pipinya dikesat
menggunakan hujung tudung.
Mokhtar yang baru setahun bertugas mengerutkan
keningnya.
‘Siapa yang datang ni? Bukan main banyak lagi
angkut beg. Besar-besar pulak tu. Cantik pun cantik. Cucu
Puan Ainon ke? Tapi rasanya cucu dia cuma dua orang aje,
Rafiq Idlan dan Nur Ain. Anak saudaranya kut? Tapi takde
pulak Puan Ainon atau yang lain cakap apa-apa. Jangan-jangan
orang nak jual barang agaknya,’ bisik hati Mokhtar.
Bunyi hon yang membingitkan telinga membuatkan
Atilia menoleh ke belakang. Memandangkan cermin kereta
yang agak gelap, dia tidak dapat melihat siapakah gerangan
si pemandu itu. Tapi melihatkan model kereta yang dipandu
pemiliknya, dia yakin orangnya masih muda.
‘Tentu Raf,’ bisik hati Atilia.
Mokhtar segera menekan butang alat kawalan pintu
pagar. Cucu sulung Puan Ainon sudah pulang dari Vietnam
setelah seminggu berada di sana.
Alitia memandang kereta Rafiq yang menderu
masuk hingga ke pekarangan rumah. Tanpa berlengah, dia
juga turut menarik bagasinya.
“Eh, cik tak boleh masuk sebelum dapat kebenaran!”
halang Mokhtar. Mahu kena pecat dia jika membenarkan si
cantik jelita ini masuk.
“Kenapa saya tak boleh masuk? Ini rumah sayalah.”
Mokhtar garu kepala.
‘Ya ke? Tak ada rupa pun macam ahli rumah yang
lain,’ gumam Mokhtar. Ahli keluarga Puan Ainon persis barat
sedikit rupa paras mereka. Yang ini macam anak Arab. Anak
Pakistan pun ada.
Atilia merenung pengawal keselamatan yang berada
di hadapannya dengan rasa yang sukar hendak diungkapkan.
Geram, marah, tak terkata... semuanya bergumpal menjadi
satu. Akhirnya dia geleng kepala dan mengeluh kecil. Ada
juga yang makan sepatunya ni karang!
Rafiq yang baru tiba memandang sketsa yang
sedang berlangsung dari jauh. Dia kemudiannya berjalan
ke arah pondok pengawal untuk melihat apa yang berlaku.
Gadis yang berdiri di luar pagar rumah neneknya seperti dia
kenal. Tapi benarkah dia? Sudah lama dia tidak melihat ibu
saudaranya itu, sementelahan mereka tidak rapat dan akrab.
Umur mereka juga agak jauh berbeza. Dia tua lima tahun
daripada ibu saudaranya itu.
Rafiq merenung wanita yang baru tiba itu. Sudah
jauh berbeza penampilannya, tidak seperti sembilan tahun
lalu. Dulu ibu saudaranya tidak bertudung, kini sudah
menutup mahkotanya. Sejak sembilan tahun lalu, mereka
jarang-jarang dapat berjumpa. Semasa bersekolah, dia
tinggal di asrama. Ketika dia melanjutkan pelajaran ke luar
negara, ibu saudaranya bersekolah di asrama penuh. Ketika
dia pulang ke tanah air, ibu saudaranya pula melanjutkan
pelajaran ke luar negara.
Apabila ibu saudaranya pulang bercuti, dia pula
terpaksa keluar ke sana ke mari. Selaku orang kanan dalam
Dinamik Grup, dia memang tidak dapat goyang kaki dan
jarang melekat di rumah. Selain itu, dia turut menerajui
salah sebuah anak syarikat milik Dinamik Grup.
“Ada masalah ke Abang Mokhtar?” Matanya melirik
Atilia. Merah padam muka gadis itu dibakar bahang mentari.
Mokhtar angguk kepala.
“Cik ni kata dia tinggal di sini. Tapi abang tak berani
nak benarkan dia masuk sebab Puan Ainon mahupun Puan
Siti tak beritahu apa-apa.”
Rafiq menatap wajah Atilia.
“Kenapa tak cakap nak balik? Kan dah menyusahkan
semua orang,” sindir Rafiq. Melihat betapa besarnya beg
yang dibawa Atilia, dia yakin ibu saudaranya itu sudah tamat
pengajiannya.
Atilia ketap bibir. Terasa kecil hati. Seolah-olah
kepulangannya tidak dialu-alukan. Ah, memang dari dulu
lagi lelaki itu membenci dirinya. Dia pun tidak faham
kenapa. Marah kut sebab ibu, ayah dan adik si Rafiq itu lebih
sayangkan dirinya.
“Nak buat kejutan pada mama.” Rasa sebak dalam
dada ditahan seadanya. Bimbang diejek manja pula.
Rafiq menceber. Mengada-ada!
“Tunggu apa lagi, masuklah. Kata nak buat kejutan
sangat.” Rafiq bersuara kurang senang. Dia kemudiannya
berlalu pergi.
Tersentak sedikit Atilia mendengar suara itu.
 “Err... nak masuklah ni.” Wajah Mokhtar dipandang
sekilas. Malu dirinya ditengking sesuka hati. Entah apalah
pandangan Mokhtar terhadapnya. Anak angkat? Anak pungut?
Anak tiri? Atau orang yang tidak diundang kedatangannya?
Mokhtar membantu Atilia menarik bagasi setelah
Rafiq berlalu pergi begitu sahaja. Geleng kepala dia.
Boleh pula si Rafiq ini menonong bodoh. Langsung tidak
ditolongnya gadis itu.
“Maaflah. Abang Mokhtar tak tahu tadi yang cik
ni ahli keluarga Puan Ainon.” Mokhtar bersuara dengan
perasaan serba salah.
“Panggil Tia aje, bang. Tak perlu bercik-cik.”
beritahu Atilia. Dia melarik senyuman kecil. “Abang tak perlu
minta maaf. Saya tak kisah dan tak salahkan abang. Lagipun
memang silap saya. Nak sangat buat kejutan pada mama,
kakak dan anak saudara saya, alih-alih kena tahan.” Atilia
tergelak kecil.
“Tia ni anak Puan Ainon ke?”
“Haah,” balas Atilia sepatah.
“Ingatkan adik Rafiq.”
“Taklah. Dia anak saudara saya.”
‘Muda benar ibu saudara si Rafiq ini. Berapa umur
Puan Ainon melahirkan dia ni? Rasanya usia Puan Ainon
dah mencecah ke angka tujuh puluhan. Hesy, buat apa
pening-peningkan kepala fikir masalah orang?’ Mokhtar
memarahi dirinya.
“Kenapa berkerut-kerut dahi tu Abang Mokhtar? Fikir
masalah negara ke?” usik Atilia. Bukan main berkerut-kerut
lagi dahi Mokhtar dilihatnya.
“Eh, taklah! Perut ni tiba-tiba aje meragam,” dalih
Mokhtar. Malulah dia jika tertangkap sibuk menjaga tepi kain
orang.
 “Eh, pergilah tandas. Tak payah sibuk nak bawa beg
saya. Karang terkucil pulak kat sini.” Atilia menggesa.
“Takpe... masih boleh tahan lagi ni.” Mokhtar tarik
sengih.
“Ikut Abang Mokhtarlah. Tapi nanti jangan salahkan
saya pulak.” Atilia memberi amaran.
“Eh, takkanlah abang nak salahkan Tia pulak. Abang
kan cari makan kat sini. Ada karang yang kena buang kerja
dengan puan.”
Atilia gelak kecil. Macam-macam kerenah pengawal
keselamatan yang baru ini.
“Dah lama abang kerja kat sini?” Dulu Pak Cik
Tamam yang menjaga banglo mamanya ini.
“Adalah setahun.”
“Oh, lamalah jugak.”
Sedar-sedar mereka sudah tiba di hadapan pintu
rumah.
“Terima kasih sebab sudi susahkan diri bawa beg Tia
ni.”
“Eh, takdelah susah mana pun. Adatlah kita hidup
sebagai manusia ni, kena saling tolong-menolong dan
bantu-membantu. Besar ganjaran pahalanya.”
Atilia tersenyum manis mendengar ayat-ayat yang
meniti di bibir Mokhtar. Memang benar apa yang Mokhtar
katakan. Hidup ini perlu ada rasa insani yang tinggi. Barulah
senang dunia akhirat.
Atilia menolak daun pintu sebaik sahaja Mokhtar
beredar.
‘Mana penghuni rumah ni? Sunyi sepi aje. Si Raf tak
beritahu ke yang aku dah balik? Memang tak patut betullah
dia ni. Nasib baiklah dia tak kunci pintu lepas masuk tadi,’
bebel Atilia dalam hatinya.
“Assalamualaikum,” laung Atilia dari jenang pintu.
Dia kemudiannya melangkah masuk dan memberi salam
sekali lagi.
Siti yang baru selesai membantu Mak Piah dan ibu
mentuanya memasak segera menuju ke ruang tamu. Terkejut
besar dia. Hampir tidak kenal dia dengan adik suaminya itu
apabila gadis itu memakai tudung.
“Tia ke ni? Ya Allah, tak kenal ibu tadi.” Sejak kecil
lagi Atilia memanggilnya ibu. Mungkin terikut cara Rafiq
Idlan dan Nur Ain. Sampai ke besar lekat panggilan itu.
“Tialah ibu. Takkan tak kenal lagi adik ibu yang
vogue lagi mengancam ni,” usik Atilia sambil menyalami
tangan Siti.
Siti sambut tangan Atilia dan memeluk erat tubuh
adik iparnya itu.
“Rindunya ibu dengan Tia.” Pipi Atilia diciumnya.
Atilia tersengih.
“Siapa tu Siti?” Puan Ainon bersuara sedikit lantang.
Dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke ruang tamu.
“Mama...” Atilia pandang wajah kakak iparnya.
Siti angguk kepala dan tersenyum.
Bergenang air mata Atilia apabila mendengar
suara mamanya. Dia memanjangkan langkah. Sebaik sahaja
terpandang susuk tubuh mamanya, terus tubuh tua itu
dirangkulnya erat.
“Ya Allah, Tia.” Puan Ainon bersuara sebak.
Bergenang air matanya. Rindu benar dia dengan anak
bongsunya ini. Bukan tiada niat hendak menjengah anaknya
ini di California, cuma dia risaukan tahap kesihatannya.
Bimbang tidak mengizinkan dirinya untuk mengharungi
perjalanan yang agak jauh.
Siti turut mengesat birai matanya. Dia tahu terlalu
lama ibu mentuanya menyimpan perasaan rindu terhadap
Atilia. Akhirnya terlerai juga rindu dendam itu.
“Ya mama. Ini Atilia, anak mama.”
“Tia anak mama.” Puan Ainon usap lembut kepala
anaknya yang dibaluti kerudung berwarna merah itu. Dia
mengucap syukur dalam hati. Tidak sangka, di sana anaknya
mendapat hidayah. Bukan main susah lagi dia menyuruh
anak bongsunya ini memakai tudung dahulu. Sudah
macam-macam corak dan fesyen tudung dibelinya tapi satu
pun tidak menarik minat anak bertuahnya ini. Ada seseorang
ke yang telah mengubah hidup anaknya ini?
“Cantik anak mama bila tutup aurat macam ni,” puji
Puan Ainon. Tak puas rasanya dia menatap wajah anaknya itu.
“Selama ni anak mama tak cantik ke?” usik Atilia.
“Cantik. Tapi kali ni lebih cantik. Kalah semua ratu
dunia yang masuk bertanding tu,” balas Puan Ainon.
Siti dan Atilia tergelak mendengar ujaran mama
mereka.
Rafiq Idlan yang memang tidak sukakan Atilia
mencebik tatkala mendengar pujian melambung neneknya.
“Pukul berapa nak habis shooting drama ni? Tak tahu
ke orang dah lapar?” Rafiq bersuara. Menyampah betul dia
lihat babak-babak yang sedang berlangsung di hadapannya.
Terutama sekali babak yang dimainkan oleh Atilia.
“Tunggulah kejap. Ayah kamu pun belum sampai
lagi,” tegur Siti.
Rafiq lihat jam tangan Chopard di tangannya. Masih
awal lagi rupa-rupanya.
“Murni, bawakan air ke mari.” Rafiq Idlan bersuara
sedikit lantang sebaik sahaja ternampak kelibat Murni.
Terkocoh-kocoh Murni datang bersama segelas jus
tembikai tidak lama kemudian. Pening kepalanya. Selalunya
Rafiq Idlan akan menunggu di ruang makan jika ingin
minum. Ini menjerit dari ruang tamu.
“Raf keluar dululah ibu. Nak jumpa kawan.”
“Tak tunggu makan malam dulu ke?” tegur Siti.
“Tak apalah ibu. Raf makan kat luar dengan Ayman.”
Menggeleng kepala Puan Ainon dengan sikap Rafiq
yang tiba-tiba saja berangin. Selalu okey saja perangai
cucunya itu. Tak adalah kerek semacam. Sampai minum pun
berdiri dan di tengah-tengah ruang tamu.
Wajah anak gadisnya dijeling. Kasihan anaknya. Dia
sendiri kurang faham kenapa Rafiq tidak dapat menerima
Atilia sebagai ibu saudaranya. Cemburu barangkali apabila
kasih sayang terhadapnya selama ini beralih kepada Atilia.
Tapi tak ada pula dia cemburukan adiknya. Sakit kepala Puan
Ainon memikirkan permasalahan yang satu ini.

No comments:

Post a Comment