DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 21 February 2017

Seribu Rindu - Bab 2

“YANG engkau senyum memanjang macam
kena sampuk ni kenapa?”
Dilla muncungkan bibir. Tangannya meregang
kemudian gadis itu menggeliat.
“Rugi kau.”
Rugi apa bendanya? Bukannya dia main saham
ke apa? Zarra betulkan kain yang sedikit senget. Hesy...
menyusahkan betul.
“Tadi, AGM baru datang sini. Humangai. Meletup,
marvelous dia punya kekacakan. Aku tergoda...”
Dah sudah... kena penangan angin senyonyong la ni.
“Dah kalau handsome sangat, apasal kau tak telan
aje dia?” tanya Zarra geram.
Dilla sengih-sengih. “Zack... kalau dia izinkan, aku
telan dia betul-betul.”
Mereka sama-sama ketawa.
Aduh! Beranganlah. Berangan saja sudah cukup.
Bukan salah pun.
“Hoi, dah gila ke apa korang ni?” tegur Naim sambil
jongket kening.
Zarra pandang Dilla, Dilla pandang dia. Kali ini
serentak mereka ketawa.
Naim geleng-geleng kepala. Apalah nasibnya kena
kerja dengan budak dua ekor ni.
DIA LUNJURKAN kaki. Bukan penat sangat, cuma rasa
mengantuk mula menguasai fikiran. Hisham sandar badan,
pejamkan mata.
“Penat, Sham?”
Dia senyum dalam diam, buka mata pun tidak. Umi.
“Tak, mengantuk. Apa tu?”
Hajah Kalsom duduk, meletakkan hidangan.
“Laksam dengan kopi. Minum dulu, nanti mandi,
solat maghrib. Dah tak lama ni nak masuk maghrib.”
Ohhh... patut pun sedap baunya. Uminya buat
laksam. Dia menggeliat, buka mata. “Tini kirim salam.”
Hajah Kalsom diam sahaja. Angguk cuma kemudian
menjeling Hisham yang jongketkan kening padanya.
“Waalaikummussalam.”
Perlahan saja dia menjawab.
Hisham senyum. “Amboi, jawab macam tak nak
jawab saja.” Diangkatnya mangkuk kaca yang berisi laksam
itu lalu dihirup kuah. ‘Hmmm... sedapnya.’
“Umi tetap jawab, kan?”
Dia suapkan laksam ke mulut. Sedapnya. Lemak dan
masin serba kena. Kuah pun pekat dengan ulam-ulam.
“Ya. Sham dengar.”
“Kamu betul sukakan dia?”
Aduh, dia baru mahu menyambung suap.
“Kenapa, tak boleh?”
Hajah Kalsom pandang Hisham lama-lama. Anak itu
tersengih, sibuk menyuap laksam ke mulut.
“Bukan, Sham. Kita ni pipit, dia tu enggang...”
Hah! Keluar cerita burung pula. Hisham
letakkan mangkuk. Diteguknya kopi yang masih suam itu
perlahan-lahan.
“Pipit dengan enggang pun sama, umi. Kalau masuk
dalam zoo, sama juga darjatnya.” Hehehe... pandai tak dia?
Huh. Ni yang Hajah Kalsom malas nak bertekak
dengan anaknya itu. Cakap jalan kiri, dia tetap pusing ke
kanan.
“Janji kamu macam mana?”
Kali ini dia diam. Hisham sandarkan badan, renung
siling seketika.
“Sham rasa dia dah kahwin, umi.”
Kali ini uminya kembali duduk. “Mana kamu tahu?
Kamu ada jumpa dia?”
Hisham geleng kepala. Mana mungkin dia jumpa
dengan gadis itu. Sepuluh tahun lamanya dia tinggalkan
Malaysia, juga Terengganu. Gadis itu mungkin sudah
berubah, menjadi milik seseorang.
“Janji tetap janji, Sham.”
Dia senyum, hambar dan bermakna.
“Ya. Janji tetap janji. Tapi Sham kan lelaki...”
“Maksud kamu?”
“Sham boleh kahwin empat.”
Hesy... karang ada yang kena hempuk budak Hisham
ni dengan pasu bunga, mati masuk surat khabar.
“Suka hati kamulah. Umi nak tengok, berani ke
kamu kotakan kata-kata kamu tu...”
Elehhh... merajuklah tu. Sikit-sikit merajuk. Dengan
abinya okey aje. Terlebih kasih sayanglah tu. Hisham gelak
lalu pejamkan mata sebentar.

ADUH... LENGUHNYA kaki. Lagi penat mulutnya. Senyum
dua puluh empat jam, dah macam patung McDonald’s.
“Mak, orang laparlah...”
Puan Aini kautkan nasi goreng. Telur mata dan kicap
lada juga diangkatnya ke meja makan yang masih kukuh.
“Makan. Nanti umi bancuhkan air sirap.”
Zarra terus singsing lengan. Dengan bismillah, dia
suapkan nasi. Telur mata itu ditelannya dengan tiga kali suap.
Ya, dia sudah makan di The Bliss Hotel tadi, namun cuma
sandwic tuna dan fresh orange. Mana kenyang dia makan
macam gitu. Dia mahu nasi. Wajib makan nasi. Sekali sehari
pun sudah cukup.
“Perlahanlah sikit, Zarra. Kamu tak makan langsung
ke tadi?”
Dia angguk. Malas lagi mahu menjawab. Perutnya
perlu diisi terlebih dahulu, nanti lepas dah kenyang, baru dia
ceritakan semua kepada maknya.
Puan Aini geleng kepala. Baik dia biarkan anak itu
makan kenyang-kenyang. Sudah kenyang nanti, tahulah
budak itu buka mulut. Si Abam pun ada makan sama di
bawah meja. Sama naik dengan tuannya. Puan Aini bangun,
bancuh sirap dengan ais. Kasihan Zarra.
DENGAN TELEKUNG solat, dia tergolek di atas kusyen. Abam
pula tidur terlentang di hujung kaki. Hujan yang turun buat
Puan Aini cepat-cepat bangun. Ibunya sudah masuk tidur
seawal jam sembilan. Sebelum tempias, lebih baik dia tutup
tingkap. Zarra bukannya sedar kalau sudah terlentang tidur.
“Zarra, bangun... tidur dalam bilik.”
Diam.
Puan Aini cuba sekali lagi, kali ini Zarra hanya
berkalih tidur. Biarlah. Asalkan anak itu lelap.
ZARRA MENGUAP. Nasib baik tiada sesiapa di situ. Dilla dari
tadi ke tandas. Naim pula naik ke pejabat.
“Good morning, sir, madam.”
“Good morning, dear. Have a nice day.”
Zarra kembali senyum. Hahaha... sepatutnya dia
yang cakap macam tu.
“Kau ni lelaki ke perempuan?”
Dia menoleh. Siapa pula ni? Amboi, dressing,
kalah artis. Memanglah pakai kebaya seragam The Bliss,
tapi belahan pada kain itu punyalah panjang. Kalau jalan,
entah-entah nampak parut kat paha. Bulu mata, mak aiii...
panjangnya. Palsu ke tu?
“Zarra Zainal. Perempuan.”
Gadis di hadapannya tersenyum sinis. “Budak baru?”
‘Muka aku macam budak sekolah ke? Ada juga yang
kena sepak karang.’ Zarra panjang senyum.
“Ya, cik.”
“Cik Liyana.”
Ohhh... tak tanya pun.
“Ya, Cik Liyana.”
“Baru habis SPM ke STPM?”
Okey... Kalau dia gelak guling-guling, nescaya si
Liyana ingat dia gila, kan?
“STPM, Cik Liyana.”
Gadis itu dilihatnya juihkan bibir. “Patut pun. I
belajar UITM.”
Aha! Sekali lagi dia tak tanya ya.
“Hebatnya...” Sengaja dia buat muka kagum.
Liyana jongketkan bibir. “Memanglah. Ni, tolong
hormat I. Kartini tu best friend I, faham?”
“Oi Liyana! Kau jangan nak menyibuk kat sini boleh
tak? Menyemak. Pergilah masuk takhta kau. Kau kan kaum
kerabat Miss Kartini. Apa kelas kau datang sini?”
Fuhhh, nasib baik si Dilla dah sampai.
“Kenapa, kau dengki? Memang patut pun korang
kerja kat sini. So, tolong buat kerja baik-baik ya.”
“Ya, Cik Liyana yang mulia. Blah!”
Liyana cerlungkan mata, jalan melenggang ke
coffee-house di hujung sana.
“Lain kali, kalau Liyana tu datang, kau buat tak
nampak je, faham?”
Zarra senyum dan angguk.
“Dia siapa, Dilla?”
“Minah perasan tu Human Resource Department
punya manusia, tapi perasan kerja dia penting macam
Presiden Amerika.”
Ohhh, ingatkan kerja apa. Kuli macam dia jugalah.
“Tapi dia besar kepala sebabnya Miss Kartini sayang
dia. Dalam erti kata yang lebih beradab sopan, dia tu lembu
cucuk hidung Miss Kartini. Clear water?”
Hahaha... tak menahan Zarra gelak.
“Clear water no buaya, Dilla.”
Dilla senyum lebar. “Kalau faham, good. Jom kita
senyum, mana tau hari ni dapat tip.”
“HAI ZACH... so handsome la you today.”
“Am I? Thank you so much, Yana. You pun so lovely
hari ni. Bersinar-sinar.”
Liyana ketawa kecil. Aduhai, bisa gugur jantungnya.
Sebaris gigi Zachary yang memutih buat dia terpesona. Juga
wajah kacak lelaki itu. Memang menggegar iman.
“You baru nak breakfast ke?”
“Hmmm... ya. Laparlah. Izrin mana?” tanya Liyana.
Zachary menjenguk, mencari kembar tak rasmi si
Liyana.
“Izrin on duty kut. Makanlah, I nak masuk kitchen.”
Liyana cebikkan bibir. Ala... dia baru nak bermanja,
dah nak kerja.
“Temankan I makan?”
“Sorry, I puasa. Lain kali ya.”
Puasa kononnya, padahal tak kuasa dia hendak
menemankan si Liyana. Rela dia makan dengan Mak Jan
daripada makan dengan si Barbie doll hidup tu. Kakinya
melangkah masuk, tinggalkan Liyana yang terkebil-kebi
.
SEKEJAPNYA DAH zuhur. Naim dan Dilla ada tercatuk di
kaunter resepsi dengan telefon pintar masing-masing.
“La, aku solat dulu.”
Dilla angguk.
“Pergilah. Nanti kau pergi coffee-house, makan
siap-siap tau.”
Zarra angguk. Betul juga. Lepas solat, dia pergi lunch.
Lapar dah ni. Pagi tadi cuma sempat telan jemput-jemput
ikan bilis air tangan mak. Itu saja yang jadi alas perutnya.
“Jom, makan sekali nanti. Tinggal je Naim tu
sorang-sorang.”
Dilla geleng.
“Aku on dietlah, Zack.”
Huh. Diet? Masa sihat ni makan sajalah, nanti bila
sakit dah tak ada selera, bagi makanan paling sedap dalam
dunia pun tak guna. Cuma pandai-pandailah kontrol.
Zarra melangkah, pantas menuju ke surau. Selesai
solat, dia betulkan rambut. Lama dia memandang cermin.
Teringat kata-kata mak. Rambutnya memang cantik, tapi
apa gunanya andai dibakar api neraka? Dia senyum sambil
pandang cermin. Yalah, yalah. Balik nanti dia cari tudung
instant shawl sehelai dua.
“Zack kan?” tanya satu suara saat Zarra sedang leka
menikmati makanannya di atas meja.
Siapa pula ni?
“Zarra. Zack. Boleh saja.”
Lelaki itu tersenyum. Amboi jantung, kenapa
tiba-tiba saja kamu jadi laju? Berdentung-dentung.
“Zachary. Panggil Zach jugak.”
Ohhh... Zachary yang hari tu. Semalam mereka sudah
jumpa, namun hanya sekilas pandang. Zarra kuntumkan
senyum.
“I’m sorry. I’m Zarra Zainal. Newbie.”
“Zachary Sulaiman. Nobody.”
Dia senyum lebar.
“Zach cef ke?”
Lelaki itu ketawa, dalam dan lembut di telinganya.
“Cef main-main. Sous chef.” Matanya masih terpaku
pada wajah yang comel dan lembut itu. Gaya sahaja ala-ala
tomboi, tuturnya bersahaja. Apakah? Disampuk angaukah
dia?
“Cef jugalah, kan?” soal Zarra lagi. ‘Apa hal tengok
aku sampai tak berkerlip ni? Bulu hidung jatuh ke?’
Dia telan liur. Mata mamat ni memang pelik
warnanya. Memukau. Mat salih celup tepung ke?
“Well, yalah kut. Main masak-masak kat dapur,
memang itu namanya kan. ”
Zarra ketawa. Boleh tahan loyar buruk mamat ni.
“Zack, sorry... Zarra makanlah. Zach sambung kerja.
Bon appetite.”
“Merci, mon monsieur.”
Zachary hentikan langkah. Bukan calang-calang
gadis ini. Dia melirik pandang. Cantik, memang cantik. Dia
senyum sendiri. Sengaja dia berbahasa Perancis, tak sangka
pula si manis di hadapannya ini dapat membalas ucapannya
itu.
Zarra kembali menyambung suap. Sedapnya. Nasi
putih dan sambal petai udang disuapnya lagi. Dia bangun,
segan pula mahu makan di sini. Dia nampak ada tempat
duduk yang jauh tersorok di hujung bangunan. Ada kerusi di
situ. Makan di situ sajalah.
Kali ini dia menyambung suap. Bila dia angkat
kepala, Zachary kenyitkan mata. Tersedak dia. Lantas Zarra
angkat penumbuk.
“ASSALAMUALAIKUM, SELAMAT petang.”
Dilla cepat-cepat angkat wajah. Oiiittt... Dia dah
datang.
“Waalaikummussalam, selamat petang, Encik
Hisham.”
Hisham senyum simpul.
“Dua orang je?”
Naim cepat-cepat menjawab, “Bertiga, encik. Sorang
lagi ke surau, solat.”
Hisham angguk.
“Okey, selamat bertugas. See you again.”
Dilla dan Naim sama-sama angguk.
“Sham!”
Ketiga-tiga mereka menoleh.
“You nak pergi mana?” Manja saja suara Kartini
memupuk telinga.
Hisham memasukkan tangan ke dalam poket sambil
lemparkan senyuman. “I nak jalan-jalan tengok kawasan.
Kenapa?”
Kartini paut lengan Hisham, menjeling manja.
“Ala... temankan Tini. Tini belum lunch lagi ni...”
Hisham gelengkan kepala.
“I’m sorry, Tini. I banyak kerja. Sham datang sini
bukan makan angin ya. I’m here to work.”
Kartini cubit lengan Hisham. “Bukan papa marah
pun.”
Kali ini Hisham garu kepala.
“Tini, your dad beri kepercayaan pada Sham untuk
buat kerja, so sepatutnya Sham kerja. You pergi lunch dulu,
okey. Sham nak naik atas, check housekeeping department.
Malam nanti, kita dinner.”
Kartini cebikkan bibir. “Kalau macam tu, baik I pergi
spa dulu.”
Hisham angguk, leraikan pegangan Kartini dari
lengannya. “Go. Do whatever you want, okay? I’ll see you
later, babe.”
Kartini angguk manja.
Bila kedua-dua manusia itu pergi, Dilla lembutkan
wajah, pandang Naim yang tertanya-tanya.
“Darling, I pergi spa dulu ya, daki I banyak sangat.
Lagipun ketiak I berbulu. Nanti malam kita jumpa ya.”
Menggelegak Naim ketawa. Gila betul si Dilla ni.
Mahunya dengar dek Miss Bitchy tu, mau makan tapak kasut.
“Belakang kau berani la, Dilla. Cuba kau buat
depan-depan,” cabarnya sambil ketawa.
“Kalau kau sanggup bayar aku satu juta dolar, aku
buat sekarang juga!”
Ceh!
“ZACK!”
Dia toleh. Ida dan Wanie. Melenggang Mak Limah aje
dua manusia itu.
“Nak balik dah ke?” tanya Ida dalam mengah.
“Ya, cik kak. Kenapa?”
Ida pandang kiri kanan.
“Mana kereta kau?”
Zarra ketawa kecil.
“Tu, Honda aku.”
Melopong mulut insan berdua itu. ‘Huiihhh, pakai
Honda kau!’
“Honda City kelabu tu?” Kali ini Wanie pula yang
bertanya.
Kali ini Zarra ketawa kuat.
“Itulah cik kak, Honda EX5 kuasa turbo enjin kuasa
kuda kepang. Nampak?”
Wanie jongket bibir. Ceh! Terkena dia. Yang si Ida
sudah terduduk, gelak sakan. Zarra sarungkan topi keledar.
“Aku jalan dulu. Jauh ni.”
“Mana rumah kau?”
Dia sarungkan jaket pemberian arwah abah. “Nun,
Bukit Payong.”
Nganga si Ida juga Wanie. Mak ai... jauhnya.
“Zack, hati-hati. Jangan langgar lori.”
Adehhh... cabulnya mulut.
SAMPAI JUGA. Sejuk rasanya bila muka dibiarkan ditampar
angin. Pintu butik itu ditolaknya kuat. Dia letakkan topi
keledar di tepi. Beberapa pelanggan lain menjeling sinis. Dia
biarkan saja. Beberapa helai tudung diambilnya.
Tak sesuai. Dia cuba sekali lagi. Payah juga.
Terkial-kial dia. Maklumlah, dah lama tak pakai.
“Payahlah kalau yang macam tu.”
Zarra toleh, memandang pemilik suara itu. Teacher
Amni. Cepat-cepat dia berpusing, menyalami tangan mulus
itu. Masih cantik. Bukan, kian cantik cikgunya ini.
“Teacher dari mana? Ponteng ehhh...”
Amni gelak kecil. “Pergi isi minyaklah. Yang Zarra ni
dari mana pulak?”
Eleh, buat-buat tanya pula. “Dari hotel. Terima
kasih, teacher. Tolong Zarra dapatkan kerja.”
Teacher Amni senyum manis. Cantik betul Zarra
sekarang. Cuma rambutnya masih pendek, macam tomboi.
“Rezeki Allah juga. Zarra nak beli tudung ke?”
Kali ini dia terkulat-kulat senyum. “Ya, teacher. Nak
start pakai tudunglah. Pelan-pelan mula. Mana tahu suatu
hari nanti lekat sampai ke mati.”
“Baguslah. Ambik yang ni, jenama ni. Ringkas,
mudah pakai. Zarra sarung je, tak payah belit-belit.”
Oh... jenama artis. Zarra tengok tanda harga lalu dia
telan liur. Tak mampu. Bukan dia tak berduit, tapi duit tu ada
lagi benda yang lebih penting untuk dia gunakan.
“Tak mahulah, teacher. Saya ambik yang biasa-biasa
dulu.”
Amni jegilkan mata. “Cuba, tengok saiz padan ke
tidak.”
Dia sengih-sengih. Pakai sajalah, nanti letak balik.
Dia terus cuba, sarungkan pada wajah. Alahai... cantiknya.
Fabriknya tak tebal sangat dan lembut.
“Padan? Kena dengan saiz?” soal Amni serius.
Zarra angguk, cepat-cepat cabut tudung itu.
“Dik, sini kejap. Saya nak tudung ni, saiz ni. Warna
hitam tiga, kelabu tiga, coklat tiga.”
Zarra senyum simpul. Amboi teacher, shopping
sakan. Baik dia cari kedai lain, kedai yang lebih murah.
“Zarra nak pergi mana tu?”
Errr...
“Zarra balik dulu, teacher.”
“Balik apanya? Sini.”
Alaaa... apa lagi ni? Takkan nak piat telinga dia kut?
“Nah. Pakai elok-elok, biar kekal sampai mati.”
Dia terlopong. Geleng-geleng kepala. Tak mahulah
dia. Hari tu Kak Husna sudah ‘dermakan’ duit, hari ni bekas
gurunya mahu belanja dia tudung pula. Zarra geleng lagi.
“Apa geleng-geleng? Cepat, ambik. Kalau tak,
teacher tak mengaku anak murid sampai mati, tak halalkan
segala ilmu.”
Aisehhh... boleh ke macam tu? Zarra masih tercegat
di situ, macam orang bodoh.
Teacher Amni senyum simpul. Dipautnya tangan
Zarra yang kaku.
“Dalam tu ada foundation, ada lip gloss. Pakai. Biar
nampak keterampilan bekerja tu, faham?”
Ya Allah, semua tu dia punya ke? Dia jenguk ke
dalam beg eksklusif itu. Terketar-ketar tangannya.
“Zarra tak boleh...”
“Mana boleh tak boleh. Membazirlah duit teacher.”
Dia menganga.
“Okey, ada apa-apa, call me. Sampaikan salam
teacher pada mak dan nenek ya.”
Zarra hanya mampu angguk. Bila kelibat teacher
nan seorang itu hilang dari pandangan, air matanya jatuh ke
pipi.
‘Terima kasih. Terima kasih, teacher.’
BERSEMBUR AIR teh O yang dihirup Puan Aini. Nasib baik
tak terkena ibunya yang ralit menganyam ketupat.
“Kenapa dengan kamu?” Tok Teh bulatkan mata.
Nasib baik bukan dia yang kena sembur, kalau tak, ada yang
kena seligi.
Puan Aini lapkan mulut, tunjuk pada Zarra yang
tersengih-sengih di tangga dapur.
Tok Teh angkat muka, kemudian senyum lebar.
Alhamdulillah, sampai juga doanya kepada Yang Esa.
“Cantiknya kamu, macam nenek dulu-dulu.”
Zarra ketawa. Hari ini dia ambil syif petang. Tudung
hitam yang dipakainya itu terletak cantik. Barang mahal,
memang berbaloi. Kali pertama dia layangkan bedak dengan
lip gloss, dia sendiri mahu tergelak. Tipis sahaja. Cantik juga
dia rupanya. Ceh, perasan!
“Zarra jalan dulu, mak, nenek.”
Tok Teh senyum, perhatikan cucunya itu.
“Baca doa naik kenderaan tu dulu. Jangan laju-laju.”
“Alah, orang bawak motor macam siput. Mana laju
pun.” Dia turun, menyalami tangan mak dan nenek. Dahi
mak diciumnya. Juga dahi nenek.
“Cantik kan, mak?”
Tok Teh senyum lagi.
“Ya. Sebiji macam aku.”
Puan Aini palingkan wajah, sembunyikan senyum
bergilir tawa. Ya, sebiji macam maknya, juga dia. Cuma mata
coklat cair Zarra itu milik arwah suaminya. Itu buat Zarra
lagi cantik. Dia lepaskan nafas, memandang motor Zarra yang
jauh meninggalkan mereka.
Tuhan, lindungi anak gadisnya itu.

NAIM DOUBLE take.
Lagi sekali dia pandang, mulutnya macam huruf O
besar. Mau masuk lalat.
“Kau kenapa?” soalnya kasar.
“Kaulah.”
“Apasal aku pulak?”
“Lain. Dah macam pompuan, jadi cantik amat.”
Serius. Masa free-hair memang Zarra cantik juga, tapi bila
dah pakai tudung, lagi ayu. Sopan gitu.
Zarra angkat penumbuk. ‘Hampehnya kau, Naim.
Kau ingat aku lelaki ke?’
Naim gelak. “Sorry, Zack. Aku terkejut je. Tapi
serius, kau cantik amat. Kalau aku tak ada makwe, aku ngorat
kau, Zack.”
Malas dia mahu melayan si Naim. Parah karang kalau
dia beritahu si Lili, awek Naim yang kerja di Rumah Batik.
“Eh, orang baru lagi?” Kali ini suara Dilla pula yang
menyapa telinga.
Serentak mereka menoleh. Zarra sengih-sengih,
kemudian buat senyum malu.
Dilla bulatkan mata. “Ya Allah! Zack!”
Dilla peluk dia kuat-kuat. Rasa macam nak aje dia
cucuk mata si Dilla. Melampau benar reaksinya.
“Kau dah kenapa? Pelik sangat ke rupa aku pakai
tudung?” tanyanya hairan.
“Bukan pelik, lagi cantiklah. Dah, lepas ni kami tak
panggil kau Zack lagi dah, balik asal. Zarra. Kita semua akan
panggil kau, Zarra. Faham?”
Aduiii... Perlukah dia tampar dahi kawan-kawannya
secara berjemaah?
“SO, IT is you.”
Zarra toleh.
Lesung pipit itu.
Zachary.
“Good evening, MasterChef.”
Zachary ketawa, melabuh duduk di hadapan Zarra
dan Dilla.
“You all dah habis syif ke?”
Dilla angguk. “Kau tak balik lagi ke, Zach?”
Zachary geleng.
“Nope. Ada meeting dengan geng-geng management
nanti. Diaorang nak buat semakan menu dengan geng-geng
kami.”
“Amboi, main geng lagi. Macam mafia mana je,”usik
Zarra. Sedapnya puding roti ni. Dia suap lagi, sambil tengok
jam. Dah lewat, dia patut gerak. Nanti mak membebel.
“Mana dapat jam tu? Klasiknya. Bukan jam tangan
lelaki ke?” soal Zachary tiba-tiba. Dia rasa, lengan kecil Zarra
langsung tidak kena dengan jam tangan yang dipakai oleh
gadis itu. Terlalu besar. Jam itu nampak usang.
Merah serasa wajahnya. Jam tangan di pergelangan
tangan kanannya itu ditenungnya seketika. Sebak dadanya
melihat jam tangan itu. Zarra senyum. “Jam arwah abah.”
“Sorry, Zarra... I...”
“It’s okay. Tak kecik hati pun. Aku jalan dulu. Zach,
see you around.”
Zachary turut sama bangun.
“Zarra.”
Dia toleh, pandang Zachary.
“Beautiful. The most beautiful.”
“Siapa? Saya?” soalnya main-main.
Zachary geleng, senyum nakal. “Bukan. Jam tu.”
Dia angkat penumbuk. Ceh! Ada-ada saja mat salih
celup tepung sorang ni.
“YOU CAKAP nak keluar semalam, kan? Malam ni mungkir
lagi.”
Hisham senyum. Merajuk ke si Kartini ni?
“Tini, Sham tak janji. Sham cakap kalau ada
kelapangan. Malam ni kebetulan ada short meeting. Tini
faham, kan?” ujarnya lembut.
Bunyi dengus nafas Kartini di hujung corong telefon
buat Hisham senyum sendiri. Bila dia sampai di Heaven and
Earth Coffee House, Zachary dan Dilla sedang tersenyum
kepadanya.
“Nanti I call you balik ya, babe. Assalamualaikum.”
Talian dimatikan di sebelah sana. Alahai... merajuk
sudah.
“Zach, yang lain mana?” soalnya kepada Zachary
yang berbual riang di meja.
“Ada, dalam meeting room. Jom. Dilla, be careful.
Nanti kau balik sorang-sorang tu...” Sengaja dia mahu
mengusik. Kuarters bukan jauh pun, dekat depan pintu
utama saja.
“Ala, don’t worry. Aku ada silat pulut tau.”
“Ehhh, ni purse siapa?” soal Zachary dengan kerutan.
Purse kelabu.
Dilla tampar dahi.
“Ini Zarra punyalah ni. Nyanyuk ke apa budak Zarra
ni? Tak apa, Dilla bawak balik kuarters, esok bagi dia.”
Jantungnya terhenti seketika. Hisham pandang
wajah Dilla yang membelek purse itu di tangan. Sudah lama
dia tidak mendengar nama itu. Sepuluh tahun lamanya nama
itu memburu malam dan juga siangnya.
Zarra.
Nama itu.
Zarra.
Tak mungkin Zarra yang dia kenali. Hisham tarik
nafas panjang-panjang.
“Are you okay, Mr. Hisham? Macam nampak hantu.”
Hisham ketawa. “Nonsense. Jom, let’s go.”
Zarra.
Zarra.
Adakah nama itu akan mengganggu tidurnya seperti
sepuluh tahun yang dulu? Hisham buka langkah. Mungkin
tidak.

PERGHHH... CUTI sekolah datang jua. Mahu pengsan
dia dibuatnya. Punyalah ramai, dia solat zuhur pun
hampir-hampir dah nak azan asar. Minggu ini dia menumpang
di kuarters Dilla dan Ida. Syifnya mula awal pagi, tak larat dia
mahu menunggang motosikal sesudah subuh. Kata maknya,
baik dia tinggal di kuarters. Yalah, buat sementara. Nanti dia
dapat gaji pertama, dia akan tanyakan Ida dan Dilla. Lili juga
menginap di situ. Kalau mereka terima, dia mahu berpindah
masuk ke situ.
“Zarra, kau dah makan belum? Aku laparlah...”
“Belum. Kau makan dulu. Nanti aku pun nak solat,
curi makan kejap. Kau pergi dulu sementara orang tak ramai
ni.”
Cepat-cepat Dilla bangun.
“Excuse me, miss. Where is the coffee-house?”
Zarra toleh, tundukkan badan lalu tunjukkan jalan.
Terangguk-angguk pelancong itu mendengar penerangannya.
“Have a nice day, madam.”
Pelancong itu berlalu, tersenyum manis kepadanya.
“Excuse me, sweetheart... can I borrow your smile
for a while?”
‘Ai, siapa pulak ni?’ Zarra toleh.
Cis! Mengada-ada.
“Hello, Mr. Zachary. Cuti ke hari ni?”
Lelaki itu ketawa. Dengan kemeja Oxford warna
kelabu dan seluar slek putih, Zachary memang smashing.
Rambut yang terurai di dahi buat Zachary nampak boyish.
Bergetar juga jantung dia.
“Ya. Ada date. Jaga hotel betul-betul tau.”
Zarra angkat penumbuk. “Yalah. Dah, pergi main
jauh-jauh.”
Dating ya. Mesti mata air dia rupa macam model
dalam majalah. Kan?
“See you later, sweetie.”
Sweetie, sweetheart, pang karanggg...
“TAK BOLEH.”
Kartini mendengus. Semua tak boleh. Nak ajak
makan sama-sama pun tak boleh. Nak melepak kat bilik ofis
Hisham pun tak boleh. Dia gigit bibir, jeling Hisham dengan
tajam.
“Babe... do you mind? Please?”
Kartini bangun. “Okay, fine. Tapi you kena tebus
kembali hari ni, dan hari-hari yang sebelumnya. Kalau tak, I
cakap dengan papa, suruh dia pecat you!”
Hisham ketawa kecil. Hari tu beria-ia sangat suruh dia
apply position ni. Bila dah dapat, dia kerja sungguh-sungguh,
nak kena buang pula ke?
“Tini, leave Hisham alone.” Keras suara itu menegur
dari muka pintu. Kelu sebentar suasana.
Aha! Tepat pada masanya. Tengku Adnan berkerut
dahi memandang mereka.
“Pa...”
“Pa, apa pa? Jangan nak jadi budak manja kat sini.
Biar Hisham jalankan tugas dia. Tini boleh grow up tak?
Fikir macam orang dewasa yang matang. Ni, butik-butik Tini
macam mana? Dah pergi jenguk, tanya khabar? Melangut saja
kat sini, I don’t like it!”
Hah! Sekali kena marah, berkaca-kaca mata Kartini
dibuatnya. Hisham seluk poket, cuba pandang ke arah lain.
Bimbang dia mahu memandang Kartini yang kian merah
mukanya.
“Sham, minggu depan kita ada meeting dengan bos
besar.”
Kartini juihkan bibir. “Bukan papa ke bos?”
Tengku Adnan geleng kepala. Dalam tiga anaknya,
Kartini yang banyak buat dia sakit kepala. Kamila paling
menyenangkan, Kamil pula senang berdikari. Silapnya
juga, Kartini terlalu dimanjakan dan diberikan segala. Nah,
perangai itu dibawa hingga ke dewasa. Kalau kecil dulu dia
tangankan, mungkin anak bongsunya ini lain gayanya.
“I’m not the boss. Mr. Lehmann is. Understand? Now,
go. Sham, jom kita jumpa Yusri, bincang apa yang perlu.”
Hisham angguk kecil. Sempat dia menjeling Kartini
yang kian panjang muncungnya. Aduhai...
BERDEKAH-DEKAH Yusri ketawa. Sebaik saja Tengku
Adnan berlalu, hanya tinggal mereka berdua.
“Papa dia marah dia? Depan-depan kau?”
Angguk. Dihirupnya kopi yang masih suam.
“Betul juga cakap orang. Miss Tini tu, cuma dengar
cakap papa dia je. Sham, boleh aku tanya kau satu soalan?”
Angguk lagi. Kali ini mulutnya sibuk mengunyah
nasi dagang gulai udang dengan belimbing buluh. Sedapnya.
Heaven.
“Kau serius ke dengan Miss Bithcy tu? Ops, sorry...
Miss Tini tu?”
Hisham teguk kopi perlahan-lahan, pandang Yusri
yang serba salah di hadapannya.
“Jadi betullah orang panggil dia Miss Bitchy, Yus?”
Yusri garu kepalanya yang botak. Senyum serba
salah.
“Yep, correct.”
Hisham sandarkan tubuh, sendawa kecil.
“Why?”
“Err... Aku nak kena cerita ke ni?”
Hisham jongket kening, senyum lebar.
“Dia... macam mana aku nak cakap baik-baik ya...”
“Bitchy?”
Yusri ketawa. Angguk banyak kali.
“Yalah tu kut.”
Hisham gelak kecil. Dia kenal siapa Kartini. Memang
itu sifat dan perangai Kartini.
“Habis tu, kau betul... yalah, errr... serius dengan
dia?”
Kali ini Hisham renung siling.
“Entah.”
“Entah?”
“Ya.”
“Why?”
“Aku pun tak tahu. Maybe yes, maybe no. Maybe.”
Huh, payah. Baik jangan tanya. Yusri bangun,
betulkan urat-urat.
“Kalau kau serius, aku tabik spring. Hopefully,
korang bahagia dunia dan akhirat.”
Kali ini Hisham ketawa. Kenapa? Kenapa hati enggan
akui yang dia tiada rasa.
YA ALLAH, penatnya! Hari ni dia mahu balik ke rumah. Dia
rindukan Abam. Lama tak tidur dengan kucing kesayangannya
itu. Mesti si Abam merajuk. Zarra ketawa sendiri. Ada baiknya
dia selesaikan solat zuhur dulu. Nanti dia mahu ke kuarters,
ambil barang-barangnya. Esok syifnya mula pada jam tiga
petang untuk seminggu. Dia mahu balik.
“Miss?”
Dia hentikan langkah.
“Yes, may I help you?”
Remaja bermata biru dengan rambut blonde yang
cantik itu tersenyum manis padanya. Di tangannya ada
beberapa keping gambar.
“Where is the picture wall?”
Oh... dinding magnet yang boleh tampal-tampal
gambar tu kan? Apa entah namanya. “Oh, that one. Let me
show the way, miss.”
Sampai di sana, remaja itu ucapkan terima kasih.
Sky of Love.
Itu rupanya nama dinding yang dimaksudkan.
Dia tersenyum, memandang dinding magnet
berwarna biru yang dihias cantik. Pelbagai gambar kenangan
para pengunjung tertampal di situ. Suatu hari nanti, dia
mahu tampalkan sekeping gambarnya di situ.
Zarra pusing badan, mahu melangkah kembali ke
ruang lobi. Topi keledar dan jaketnya masih di situ.
Hisham kaku.
Matanya tak salah, walaupun sepuluh tahun sudah
berlalu. Dia pasti, gadis di hadapannya ini adalah manusia itu.
Insan itu. Gadis itu.
Zarra.
Sepasang matanya tidak bergerak. Kakinya tiba-tiba
beku. Dunia seakan-akan terhenti.
Hisham.
Hisham ada tercegat di hadapannya.
Dunia sudah kiamat ke?

No comments:

Post a Comment