DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 2



Sarjan Darus dan Puan Ruwaidah dalam
perjalanan menuju ke tempat kerja. Jarak balai polis dari
rumah mereka lebih kurang dua puluh lima kilometer sahaja.
“Kenapa Idah mengeluh?” tanya Sarjan Darus
kepada isterinya.
“Idah fikirkan pasal budak berdua tu. Yalah...
masing-masing dah besar panjang.”
“Kenapa? Idah dah teringin sangat nak menantu
ke?” usik Sarjan Darus dengan bibir disengetkan.
“Teringinlah juga, tapi bukan itu yang Idah
maksudkan tadi,” gumam Puan Ruwaidah dengan helaan
nafas berat.
Sarjan Darus yang sedang memandu mengerling
sekilas isterinya di sebelah.
“Habis, apa yang Idah fikirkan?”
“Zuhair tu... pagi tadi selamba saja masuk bilik Aathi
tanpa pakai baju. Tahulah nak ambil kemeja dia, tapi kena ada
perasaan malulah sikit.”
“Dia kan lelaki, Idah. Kalau perempuan lainlah.
Lagipun Zuhair kan dah tahu kedudukan sebenar, cuma dia
terbiasa kut.”
Puan Ruwaidah tarik nafas berat. Suaminya belum
tahu lagi akan hal itu. Entah mengapa mulutnya begitu berat
untuk menyatakan hakikat sebenar kepada Zuhair.
“Abang... Idah belum beritahu Zuhair lagi.”
Tiba di lampu isyarat, tumpuan diberikan kepada si
isteri.
“Abang ingat Idah dah berterus terang pada mereka
berdua.”
“Aathifah memang dah tahu. Zuhair saja belum.”
Gear dimasukkan dan pedal minyak ditekan. Kereta
kembali bergerak membelah jalan. Sarjan Darus lepaskan
keluhan mengenangkan situasi kedua-dua orang anak
mereka.
“Kenapa Idah tak beritahu Zuhair sekali? Tak adil
hanya Aathi seorang yang tahu.”
Puan Ruwaidah meramas jarinya sendiri.
“Idah takut kehilangan salah seorang.”
“Apa maksud Idah? Abang tak faham. Mengapa pula
hal itu akan menyebabkan kita kehilangan mereka? Hingga
ke saat ini, Aathifah masih bersama kita,kan?”
“Abang tahu kan hubungan mereka rapat sejak kecil.
Zuhair sayangkan Aathi dan begitulah sebaliknya. Selama ini
Zuhair melindungi Aathi. Idah bimbang jika Idah berterus
terang, Zuhair menjauh. Tentu Aathi lebih terluka. Saat dia
tahu siapa dirinya pun, berminggu-minggu dia menangis.
Sedih Idah melihatnya.”
 “Jadi... Idah bimbang Aathi akan tinggalkan kita
sebab Zuhair?” soal Sarjan Darus selepas menaikkan brek
tangan. Mereka kini telah berada di pekarangan balai polis.
Puan Ruwaidah mengiakan sahaja. Banyak perkara
yang digusarkan sebenarnya, namun masa belum sesuai
untuk dia bercerita panjang lebar kepada suaminya. Kini
masa mereka untuk bertugas. Biarlah topik itu dibualkan
semula kala berada di rumah.

Kuih seri muka buatan Aathifah digigitnya. Sedap dan
manis. Zuhair sukakan kuih itu. Pagi tadi dia minta Aathifah
bekalkan kerana dia hanya menjamah bihun goreng sahaja.
Kagum dia dengan kepandaian Aathifah bertukang di dapur.
“Abang Hir, wakil NGO tu dah sampai,” beritahu
pembantu kedainya, Atan.
Zuhair membuka kedai percetakan itu dengan
dibantu dua orang pekerja iaitu Atan dan Cheong. Kedainya
bukanlah besar sangat, baru sahaja tiga tahun beroperasi.
Dahulunya Zuhair bekerja di syarikat swasta. Disebabkan
minat berniaga, Zuhair berhenti kerja dan menjalankan
perniagaan sendiri. Meskipun kedai itu biasa-biasa saja,
Zuhair tidak kisah. Yang penting pendapatan mampu dijana
dengan perah keringat sendiri. Satu kebanggaan melihat
Aidid Printing berkembang.
“Atan, suruhlah dia masuk,” arah Zuhair. Tupperware
yang mengandungi kuih seri muka itu ditutup. Kemudian dia
ke singki untuk membasuh tangan.
“Selamat pagi Encik Zuhair.” Kelihatan seorang
gadis yang memakai sut pejabat berwarna coklat melangkah
masuk. Gadis yang berambut separas bahu itu menghadiahkan
senyuman kepada Zuhair.
Zuhair juga membalas dengan senyuman.
“Selamat pagi. Silakan masuk.”
Gadis itu melabuhkan duduk di hadapan Zuhair.
“Saya Syarmila. Wakil dari Persatuan Wanita
Penyayang.” Gadis itu memperkenalkan dirinya.
“Saya Zuhair Aidid. Owner kedai ni.” Giliran Zuhair
pula memperkenalkan diri. “Cik Syarmila nak tempah T-shirt
kanak-kanak tu berapa helai?”
“Tiga ratus helai Encik Zuhair. Boleh Encik Zuhair
tunjukkan design untuk baju kanak-kanak?”
“Boleh sangat Cik Syarmila,” balas Zuhair dengan
senang hati. Lalu dia mengambil fail yang mengandungi
gambar contoh-contoh baju Aidid Printing. Fail itu disuakan
kepada Syarmila.
Syarmila mengambil fail itu dan mula membelek satu
per satu helaian. Zuhair pula mencuri pandang wajah gadis di
hadapannya. Cuba mengamati wajah yang sedang menunduk
itu. Syarmila tidak berkulit cerah seperti Nur Aathifah Amni.
Bibir gadis di hadapannya tebal sedikit berbanding bibir
Aathifah. Rasanya hidung Aathifah lagi mancung. Gadis di
hadapannya tidak memakai tudung seperti Aathifah. Ah!
Mengapa setiap gadis yang ditemuinya mesti dibandingkan
dengan adik sendiri?
‘Agaknya inilah sebab aku tak jatuh cinta pada
mana-mana perempuan. Asal ada yang rapat, aku bandingkan
dengan Aathifah. Cuba hitung kurang dan lebih.’ Hati Zuhair
menempelak diri sendiri.
“Lawa design yang ni,” kata Syarmila seraya menolak
fail itu rapat kepada Zuhair.
Cepat Zuhair memberi perhatian kepada halaman
yang ditunjukkan. Bayang Aathifah terus hilang dari
mindanya.
“Ya, cantik. Gambar sebegini sesuai untuk
kanak-kanak.”
“Nampak ceria, kan?” tambah Syarmila. Dia sukakan
gambar kartun Mickey dan Minnie yang bermain belon itu.
“Haah, ceria sangat. Baju tu nanti nak warna apa?”
“Merah,” balas Syarmila sepatah.
“Kalau warna merah, molek sangatlah dengan design
ni,” tokok Zuhair menyetujui.
Syarmila tersenyum.
“Kalau begitu saya pilih design ni sajalah.”
“Okey. Deal. Cik Syarmila nak ambil bila?”
“Dua minggu lagi, boleh? Berapa deposit yang perlu
saya bayar?”
“Boleh. RM500 Cik Syarmila. Bakinya nanti cik bayar
selepas baju siap.”
Syarmila menghulurkan sampul yang mengandungi
duit deposit baju kepada Zuhair. Kemudian dia meminta diri
untuk pulang.

Aathi fah memasukkan baju kotor Zuhair ke dalam
mesin basuh. Abangnya itu bukannya reti nak basuh baju
sendiri. Tidak rajin untuk buat kerja-kerja rumah. Semenjak
dia balik, lagilah Zuhair naik tocang.
Usai itu, dia ke dapur mengeluarkan bahan mentah
dari peti sejuk beku. Petang nanti dia mahu memasak untuk
makan malam. Untuk makan tengah hari, dia tidak mahu
memasak kerana tiada orang di rumah. Jika lapar, dia akan
panaskan bihun yang digorengnya pagi tadi. Cukuplah
makan itu sahaja. Tak seronok masak sedap-sedap tapi makan
seorang diri. Kurang berselera juga jadinya.
Saat menjemur baju-baju Zuhair di ampaian,
Aathifah tersenyum sendiri. Menguruskan pakaian lelaki itu
umpamanya dia seorang isteri. Bahagia memegang baju lelaki
yang amat disayanginya. Tetapi sekejap sahaja perasaan itu
apabila ada suara yang menegah. Suara dalam dirinya sendiri.
‘Ingat Aathifah, Zuhair tu abang kau. Tak mungkin
Zuhair sayang kau lebih daripada seorang adik. Tentu dia
marah jika tahu perasaan sebenar kau pada dia.’ Hatinya
memberi peringatan.
Aathifah meraup muka. Beristighfar beberapa kali.
Tidak patut dia berangan menjadi isteri lelaki itu. Dia sendiri
tidak mengerti dengan hatinya. Sejak diberitahu umi yang
dia dengan Zuhair bukan mahram, perasaannya jadi lain.
Ketika itu, dia sedang menuntut di Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Kata umi, dia berhak tahu hakikat sebenar. Lagipun
umi tidak mahu mereka menjadi terlalu rapat. Umi minta
dia menjaga pergaulan dengan Zuhair memandangkan usia
masing-masing bukan belasan tahun lagi. Sejak dari itulah
Aathifah tidak lagi mendedahkan aurat di hadapan Zuhair.
Dia menjadi pendiam dan sering mengelakkan diri daripada
Zuhair. Mujur belajar di UPSI dan balik ketika cuti semester
sahaja. Jadi tidak nampak sangatlah dia sengaja menjarakkan
diri daripada Zuhair.
Kata umi, Zuhair juga akan diberitahu tentang
hal itu, tapi sehingga kini Aathifah syak Zuhair belum
tahu apa-apa. Tingkah Zuhair masih sama seperti dahulu.
Abangnya itu selamba sahaja bergurau dan menyentuh
kulitnya. Hendak diasak umi dengan soalan itu lagi, tidak
pula dia sampai hati. Jawapan umi sebelum ini... ‘Pasti umi
akan beritahu...’. Tak pun umi akan cakap... ‘Zuhair akan tahu
juga dan nanti-nantilah.’
Aathifah mengeluh sendirian mengenangkan hal
itu. Kadang-kadang dia rasa ingin pindah, tapi ke mana dia
mahu bawa diri? Inilah keluarganya. Dia tak punya sesiapa
lagi di luar sana. Harapnya selepas majlis graduasi nanti,
dia akan dihantar mengajar jauh dari sini. Dapatlah dia
berjauhan daripada Zuhair. Tidak tinggal sebumbung lagi,
memandangkan dalam hatinya punya rasa aneh terhadap
Zuhair.

No comments:

Post a Comment