SEKUAT hati, aku menahan butiran cecair jernih
yang sudah mula mengaburi mata daripada jatuh menjamah
pipi. Namun, usahaku tidak membuahkan hasil. Air mata
ini tetap mengalir perlahan-lahan. Tekaanku selama ini
benar-benar menjadi nyata. Aku telah terperangkap dalam
dunia penipuannya.
Aku tetap memencilkan diri. Mahu melihat tindakan
lelaki itu yang seterusnya. Sudah 20 minit berlalu, tiada
apa yang berlaku. Kopiah dan hamparan sejadah itu tetap
juga kosong. Masih belum disentuh, apatah lagi digunakan.
Sedangkan Noah, masih setia menjatuhkan tubuhnya di atas
sofa berwarna krim di dalam bilik kerjanya itu. Seketika,
tangan lelaki itu mencapai buku berjudul The 7 Day Start Up.
Noah mencari penanda buku dan membelek ke helaian yang
seterusnya.
“Aira...”
Aku tersentak. Batang tubuhku kejung. Ba...
bagaimana Noah melihatku di dalam almari ini? Degupan
jantungku mula mengepam lebih daripada sepatutnya.
Apakah aku sudah ditangkap mengintip pergerakannya?
Aku tidak berani membuka mata. Beberapa minit
berlalu, aku merasakan masih tiada apa-apa tindakan
mahupun gerakan. Lambat-lambat aku mencelikkan mata.
Derap kakinya juga tidak kedengaran.
Aku terpinga-pinga. Noah masih setia di atas sofa
itu. Eh? Bukankah seketika tadi bibirnya menyeru namaku?
Masakan aku sekadar berimaginasi?
“I'd do anything for you, Aira...” Sambungan
kata-kata Noah semakin membuatkan aku bingung.
Bukankah dia sedang membaca buku? Dengan siapa dia
berbicara? Lelaki itu bercakap seorang dirikah?
Noah kemudiannya memerhati jam berjenama
Tissot di pergelangan tangan kirinya.
“Okay... time’s up.” Noah bingkas bangun.
Aku mengetap bibir apabila dia menuju ke hamparan
sejadah. Kopiah diambil dan diletakkan ke atas almari.
Sejadah dengan imej kerawang dan bunga berwarna-warni
bercorak itu pula dilipat dan disangkut ke kepala sofa.
Aku mengetap bibir. Sah! Lelaki penipu! Rasa
dikhianati menguasai segenap ruang hatiku. Aku kecewa.
Mengapa dia sanggup memperbodohkan aku? Hampir empat
bulan usia perkahwinan kami, hari demi hari memang aku
ditipu hidup-hidup oleh lelaki itu.
Dadaku berombak kasar. Jahatnya! Jadi selama ini
dia hanya berpura-pura! Oh? Apa sudah jadi? Konon bangun
awal! Pasti dia sengaja mengelak, tidak mahu rahsianya
terbongkar.
Aku tersenyum senget, menahan geram yang sudah
mula menguasai hati. Apabila aku mengajak berjemaah, ada
sahaja alasannya. Hah! Inilah sebabnya. Semua hanyalah satu
helah. Tipu daya Noah memang hebat. Empat bulan hidup
bersamanya, aku tidak pernah terlintas bahawa dia sanggup
membohongiku sampai ke tahap ini.
Jika bukan kerana apa yang aku dengar dalam radio
tempoh hari, sampai sekaranglah aku menjadi mangsanya.
Noah mengorak langkah keluar. Pasti yang dia sudah
menjauh, aku menolak almari perlahan-lahan. Kain yang
disangkut seketika tadi, aku capai.
Perhitungan harus dibuat. Aku tidak mahu menjadi
wanita bodoh lagi. Diperdaya hidup-hidup.
“Aira... sayang... where are you?”
Diam. Ruang itu sunyi sepi.
“Main cak-cak ke?”
Masih lagi diam.
“Aira...” Noah ke bahagian dapur. Aku pula pantas
menapak ke bilik tidur. Biar dia datang!
“Aira... I panggil dari tadi. You ke mana?” soalnya
apabila pintu dikuak tidak sampai lima minit aku bertapa
di kamar kami. Dia mengusap pipiku. Aku menepis kasar.
Aku menjeling tajam rambutnya yang masih basah. Aku
gelak dalam hati. Memang taktik dia selama empat bulan ni
menjadi. Air wuduklah kononnya tu!
Noah mengerutkan dahi dengan reaksiku.
“Kenapa ni, sayang?”
“Aira yang patut tanya soalan tu pada abang.” Tegas
aku bersuara.
“What are you trying to say? I don’t get it.”
“Tak payah nak berlakonlah, bang. Sakit mata Aira
tengok.”
“What’s going on, Aira?” Kerut di keningnya jelas
kelihatan.
“Bencilah Aira tengok abang buat-buat bodoh
macam ni. Mengaku ajelah, bang...”
“Mengaku apa?” Suara Noah sudah sedikit tinggi.
Dia mengusap batang leher.
Aku tahu dia sudah mulai bosan dengan sikapku
yang berteka-teki dengannya. Lelaki itu bukan jenis penyabar
sangat. Apa yang dia mahu, mana boleh lambat sampai.
Walaupun setakat ini tidak pernah lagi aku nampak hamburan
marahnya, tetapi raut wajahnya pasti bertukar tidak senang.
Mata Noah tiba-tiba jatuh pada katil, dan dia mencari
anak mataku.
Noah kelihatan kaget. Dan senyumanku terukir
sinis.
“Aira!”
No comments:
Post a Comment