Puan Dariah mengerling anak bongsunya.
Tampak muram sahaja dengan suapan nasi yang berirama
perlahan. Sepertinya nasi dan lauk yang terhidang tidak kena
dengan selera.
“Zuhair datang ke pagi tadi, Mila?” soal Puan Dariah.
Dia tahu apa yang terbias pada wajahnya anaknya sekarang
ada kaitan dengan Zuhair Aidid.
“Datang... tapi tak nak jumpa Kak Ara,” jawab
Syarmila lemah. Dia kecewa sebenarnya kerana hajat mahu
menemukan Syazliara dengan Zuhair tidak kesampaian.
Dua-dua degil, bagaimana plan nak jalan?
“Habis, dia datang buat apa kalau tak nak jumpa
Ara?”
“Kak Ara tak nak turun. Ibu tahu sajalah Kak Ara
tu kan masih belum sihat sepenuhnya. Mila suruhlah Zuhair
naik ke bilik Kak Ara, tapi dia tak nak. Alasannya tak elok
sebab tak ada orang kat rumah kita. Macamlah Mila dan bibik
bukan orang kat rumah ni.”
Puan Dariah tergelak kecil. Sekilas dia gelengkan
kepala dengan aduan manja anak daranya itu.
“Mila... Mila... betullah tu apa yang Zuhair cakap. Ibu
kan tak ada kat rumah. Cuaklah dia tiba-tiba aje Mila suruh
terjah bilik Kak Ara.”
“Nak cuak amendenya ibu? Bukan mereka berdua
pernah tidur sebilik ke tujuh tahun lepas?”
Berubah air muka sang ibu dengan kelancangan
mulut si anak. Gelas dicapai dan air putih diteguk.
“Mila... ibu minta sangat dengan Mila. Jangan
prejudis dengan mereka. Hal tu dah lama berlalu. Barangkali
masing-masing dah insaf. Jangan sekali-kali lancang tuturkan
perkataan tadi depan Kak Ara, ya?”
“Mila tak adalah kejam macam tu nak sound Kak Ara
dengan perkataan berbisa. Mila memang tak nak dia terus
tertekan. Mila cuma nak dia raih bahagia. Sebab tu Mila akan
terus buru Zuhair untuk dia.”
Puan Dariah tunak memandang Syarmila.
“Mila jangan terlampau mendesak Zuhair mahupun
Ara. Ibu bimbang Mila akan keruhkan keadaan dan
menambahkan stres Ara. Slow and steady. Kita kan dah
jumpa Zuhair. Pasti dia tak lari ke mana.”
“Ibu, dah lama Kak Ara tu tunggu Zuhair. Dah
lama jugalah dia menderita kerana Zuhair. Sekaranglah
peluangnya untuk Mila bawa Zuhair kepada Kak Ara. Mila
tak mahu membazir masa. Ibu, tolonglah percaya yang usaha
Mila ni akan menemui kejayaannya.”
“Bukan ibu tak percaya pada usaha Mila. Ibu
berterima kasih sebab Mila ambil berat pasal Ara. Ibu cuma
risaukan keselamatan Mila dan Ara. Bimbang Zuhair akan
bertindak sebaliknya apabila dia rasa didesak.”
“Don’t worrylah bu.
Zuhair tu bukan anak orang
kenamaan. Dia juga bukan orang berpengaruh. Dia hanya
lelaki biasa-biasa. Rasanya mudah sahaja tundukkan lelaki
macam tu,” tutur Syarmila sarat dengan keyakinan.
Puan Dariah mengangguk cuma. Hatinya
memanjatkan doa semoga yang datang nanti baik-baik sahaja.
Aathi fah leka membaca buku ilmuan hasil tulisan Prof.
Doktor Muhaya Haji Mohamad. Buku yang bertajuk celik mata
dan jiwa memuatkan panduan berguna untuk menghadapi
dan menangani cabaran dalam hidup. Motivasi yang diberi
oleh pakar mata itu amat disukainya. Selain membaca novel
cinta, minda perlu juga diasah dengan ilmu yang bermanfaat.
“Aathi, boleh umi masuk?” tanya Puan Ruwaidah
yang berdiri di ambang pintu.
Aathifah berpaling dan melemparkan senyuman
kepada ibunya. “Masuklah umi.”
Puan Ruwaidah melabuhkan duduk di sisi anaknya.
“Betul ke Zuhair balik rumah tengah hari tadi?”
Jantung Aathifah berdetak mendengarkan soalan
ibunya. Penanda buku diletakkan di tengah halaman, lalu
buku itu ditutup.
“Betul, umi. Dia balik makan.”
“Tak pernah-pernah dia balik makan kat rumah,”
gumam Puan Ruwaidah. Sewaktu dia dan Sarjan Darus
pulang tadi, kelihatan kereta Zuhair sudah tersadai di
garaj.
Hati tuanya terus merasa kurang enak. Bimbang. Puas
dihalang agar perasaan sebegitu tidak bertandang.
Aathifah menyentuh lengan Puan Ruwaidah.
“Abang Hir pening
kepala, umi. Tu yang dia balik
awal. Lepas makan, katanya mahu berehat dalam bilik sahaja.”
“Umi tengok dia sihat-sihat aje tadi Aathi. Tapi kalau
betul dia pening kepala, dia memang patut balik berehat.
Cuma umi rasa tak sedap hati. Yalah, syaitan ni suka
mencelah
apabila dua orang anak Adam itu berdua-duaan.”
Aathifah menundukkan kepala. Mengerti akan
kerisauan umi walaupun hatinya terasa sendu diragui.
“Abang Hir dan Aathi tak buat apa-apa umi. Kami
hanya makan bersama, lepas tu masing-masing buat hal
sendiri. Yang Aathi tahu, Abang Hir tidur aje petang tadi.”
Puan Ruwaidah mengelus lembut lengan Aathifah.
Tidak mahu anak angkatnya itu terasa hati dengan apa yang
diperkatakannya.
“Ya... umi tak tuduh Aathi dan Zuhair buat perkara
tak elok. Umi tahu anak-anak umi akan jaga tingkah laku,
tapi entahlah... hati umi ni tak tenteram sebenarnya selagi
salah seorang daripada kamu belum berkahwin.”
Aathifah mendongakkan wajah bersama senyuman
nipis. Tangan Puan Ruwaidah yang melekat di lengannya
disentuh.
“Belum sampai jodoh Abang Hir lagi umi. Aathi ni
pula baru habis belajar, memang tak terlintas akan hal tu.”
Puan Ruwaidah menarik tangan Aathifah dan
menggenggamnya.
“Umi sayangkan Aathi. Umi harap sangat Aathi
sentiasa jaga batas dengan Zuhair. Sehingga ke saat ni, dia
belum tahu yang Aathi bukan adik kandungnya.”
Melongo Aathifah. Mengapalah umi masih
merahsiakan semua ini daripada Zuhair? Mengapa hanya dia
seorang yang perlu tahu? Kan bagus jika kedua-dua mereka
tahu dan saling menjaga batas. Apa sebenarnya dalam hati
umi? Tahukah umi semua itu amat menggores hatinya?
Hangat dada Aathifah, namun bahangnya mana
mungkin dirasa Puan Ruwaidah.
“Muncung saja mulut isteri saya petang ni. Dah kalau tak
suka Zuhair bawa Aathi keluar, kenapa tak diberitahu terus
tadi?” tegur Sarjan Darus. Mereka berdua menikmati minum
petang bersama-sama setelah Zuhair dan Aathifah keluar.
“Bukan tak suka, cuma risau. Kata Zuhair mahu
Aathi menemaninya ke rumah kawan. Kawan mana pun saya
tak tahu.”
“Idah janganlah fikir yang bukan-bukan. Barangkali
Zuhair nak jumpa teman wanita dia, sebab tu minta Aathi
temankan.”
Kening Puan Ruwaidah hampir bertangkup.
“Zuhair ada teman wanita ke bang?”
“Entah. Teka aje...” selamba jawapan Sarjan Darus.
“Teka-teka tak mainlah abang. Zuhair tu dah lebih
daripada layak untuk berumah tangga. Kalau dia dah jumpa
yang berkenan, tak payahlah tunggu lama-lama. Idah bersedia
hantar rombongan.”
Mengekek ketawa Sarjan Darus dengan kesungguhan
isterinya itu. Bukan dia tak tahu mengapa isterinya itu mahu
cepat bermenantu. Semuanya sebab Aathifah. Bimbang
Zuhair dan Aathifah melampaui batas. Dulu masa nak ambil
Aathifah dari rumah anak-anak yatim, tidak pula isterinya
itu
berfikir. Yang dia tahu keinginan memiliki anak perempuan
mesti tercapai.
Puan Ruwaidah cebirkan bibir.
“Dah kenapa ketawa
pula?”
“Idah bukan tak tahu sikap Zuhair. Dia bukan jenis
kaki mengayat perempuan. Bercinta pun tak pernah. Lepas
habis belajar, kerja saja dia tahu. Dah kerja makan gaji,
nak belajar berbisnes pula. Masa mula-mula buka kedai
Aidid Printing tu, hari-hari duk fikir cara untuk promosi.
Diluahkan kebimbangan pada kita, takut tak boleh bayar sewa
kedai dan gaji pembantu kedainya. Padahal bukan buat bisnes
berjuta-juta pun. Buka kedai kecil saja tu, tapi kesungguhan
mengalahkan buat pelaburan jutaan ringgit.”
“Zuhair tu kan rajin, abang. Kreatif dan sentiasa
berusaha ke arah kemajuan. Pandai pula simpan duit. Bisnes
kecil atau besar itu bukan soalnya, yang penting anak kita
bijak jana pendapatan. Tak guna masuk berpuluh ribu, tapi
saban hari enjoy habiskan duit. Zuhair tak reti bersosial
sebab
tu boleh menabung,” puji Puan Ruwaidah.
“Melambungnya puji jejaka nan seorang tu, ya.
Pasal jodoh tu, insya-Allah pasti datang untuk Zuhair. Dia
sedang mencarilah tu, Idah. Pasal Aathifah pula, abang yakin
dia tahu jaga tingkah laku. Bukan Idah tak nampak jurang
yang Aathi bina untuk mengelak daripada Zuhair. Petang ni
mungkin atas dasar mahu membantu sahaja. Mereka berdua
balik nanti, Idah usulkanlah. Barangkali Zuhair tengah ada
masalah. Dan dia selesa luahkan kepada Aathi. Mereka kan
rapat sejak kecil lagi. Hal muda-mudi ni, kita orang tua
payah nak jangka. Hendak campur tangan lebih-lebih, risau
mereka rasa terkongkong pula.” Panjang lebar Sarjan Darus
berkhutbah kepada isterinya.
Puan Ruwaidah capai sebiji karipap yang telah
dibuat oleh Aathifah. Rangup kulitnya dan sedap intinya. Air
tangan Aathifah jarang mengecewakan. Sambil mengunyah,
dia menghadam bicara suaminya tadi agar tidak terus
berprasangka kepada kedua-dua orang anaknya itu.
Aathi fah menoleh Zuhair di sebelah. Dah kenapa Zuhair
mematung sahaja? Kalau betul ini rumah Syarmila, buat apa
termenung dalam kereta? Takkan hendak tunggu tuan rumah
datang ketuk pintu kereta dahulu baru nak turun?
“Abang Hir, ni ke rumah Syarmila?” soal Aathifah
dengan mata tertancap pada rumah bercat biru muda itu.
“Yup,” sepatah sahaja jawapan Zuhair.
“Habis, takkan kita nak tunggu dalam kereta aje?”
Zuhair kebam bibir.
“Apa kata kalau Aathi yang masuk seorang?”
Aathifah pula ketap bibir. Apa punya cadanganlah
abangnya ini?
“Abang Hir, Aathi tak kenal siapa tu Syarmila dan
Syazliara. Abang Hir nak Aathi redah rumah orang macam tu
saja demi Abang Hir? Memang taklah Aathi nak buat macam
tu.”
Zuhair menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia
serba salah sebenarnya. Perlu ke dia menjadi tetamu di rumah
Syarmila lagi? Gadis itu ada menelefonnya semalam, tapi dia
tidak endahkan panggilan itu. Langsung tak dijawab, malah
dia mematikan telefonnya. Sudah tentu Syarmila marah
dengan tindakannya itu. Tak pasal-pasal mereka akan dihalau
dengan kehadiran tidak diundang ini.
“La... fikir apa lagi? Jomlah,” desak Aathifah tidak
sabar. Tidak betah berlama-lama begitu dengan Zuhair.
Dahlah umi tak berapa berkenan Zuhair membawanya keluar
tadi.
“Kejap, abang keluar tekan loceng dulu,” tukas
Zuhair.
Selepas beberapa kali menekan loceng yang berada
di luar pagar, muncul seorang bibik yang berusia sekitar
empat puluhan.
“Ya, pak. Cari siapa?”
“Saya datang nak jumpa Syazliara. Dia ada?” tanya
Zuhair sopan.
“Cik Syazliara ada, tapi dia kurang sihat. Nanti
saya maklumkan kepada puan terlebih dahulu ya, sebelum
benarkan bapak masuk,” jawab pembantu rumah Syarmila
dengan baik.
Zuhair mengangguk sahaja. Dia menanti di dalam
kereta. Tiga minit selepas itu, pintu pagar terbuka dengan
sendirinya. Itu bermakna dia telah mendapat keizinan
daripada tuan rumah. Lalu Zuhair memandu masuk dengan
debaran dalam dada.
No comments:
Post a Comment