DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 5



Ketat dan beku sahaja wajah Syarmila ketika
melangkah masuk ke Aidid Printing. Malas mahu berhadapan
dengan lelaki yang telah mencarik perasaan kakaknya. Jika
tidak kerana baju yang telah ditempahnya, tidak mungkin
kakinya terjejak ke situ. Esok, persatuan akan ke rumah
anak-anak yatim. Jika dia tidak mengambilnya hari ini,
jawabnya baju-baju itu tidak dapat diagihkan.
“Cik Syarmila datang untuk ambil baju ke?” tegur
Atan dengan mesra.
“Takkan saya datang sini untuk tolong basuh baju
kut,” perli Syarmila. Bibir sengaja dimuncungkan.
Terkedu Atan dengan lagak sombong pelanggan
mereka. Dia bertanya dengan elok. Tidak bolehkah gadis
itu menjawab dengan elok? Bukan minta liuk gemalai,
cukup sekadar bermanis mulut. Dia tahu dia hanya kuli dan
semestinya pelanggan adalah raja. Tempoh hari, boleh pula
gadis itu bercakap mesra dan memberi senyuman kepadanya.
Hari ini, mood berubah jadi singa pula. Entah apa masalah
perempuan di hadapannya itu.
“Baju dah siap ke? Bos kau mana?” tanya Syarmila
kasar. Geramkan Zuhair Aidid, habis pekerja Aidid Printing
terbabit sama.
“Dah siap cik. Kejap, saya ambilkan. Abang Hir ada
dalam bilik. Cik boleh masuk untuk jelaskan baki bayaran.”
Atan masih menjawab sopan. Dia lebih senang menyebut
nama majikannya dengan panggilan abang, kerana itu
permintaan Zuhair sendiri. Baginya, panggilan abang akan
merapatkan mereka berbanding gelaran bos.
Syarmila juihkan bibir.
“Aku settle payment dengan kau, tak boleh ke?”
“Seeloknya, cik masuk berurusan dengan tuan kedai
ni sendiri.”
Syarmila merengus nafas, namun dia tetap menapak
ke bilik Zuhair. Tidak kuasa dia mahu melayan pembantu
kedai itu. Tiada gunanya bertekak dengan budak hingusan.
Bukan budak itu tahu ‘masalah negara’ antaranya dengan
Zuhair pun.
Syarmila menolak daun pintu bilik Zuhair tanpa
memberi ketukan. Selamba sahaja dia masuk dan duduk di
kerusi tanpa dipelawa. Terperanjat Zuhair dengan tingkah
kurang sopan Syarmila, namun senyuman tetap dilarik.
Sekadar senyuman plastik.
“Saya datang untuk ambil baju dan jelaskan baki
bayaran,” kata Syarmila. Pantas sampul yang berisi duit
diletak ke atas meja Zuhair.
“Nanti saya suruh Atan hantarkan baju-baju tu ke
kereta Cik Syarmila.” Zuhair berbicara mesra.
Syarmila hantar renungan yang tidak dimengertikan
Zuhair, membuatkan Zuhair merasa tidak selesa. Dia tahu
hal dua hari lepas pasti dibangkitkan lagi oleh gadis itu. Dia
sendiri masih buntu, dan pasti dia belum bersedia untuk
membahaskannya.
“Encik Zuhair perlu bertanggungjawab kepada
Syazliara.”
Zuhair yang sedang menyiapkan resit tergamam.
Pen di tangannya berhenti menari. Didongakkan kepala ke
arah Syarmila.
“Saya tak faham apa yang Cik Syarmila maksudkan.”
“Awak masih cuba berpura-pura ya, Encik Zuhair?
Bertahun-tahun kakak saya menderita, langsung awak
tak fikir. Tak terlintas ke dalam hati tu untuk tebus dosa?
Sekurang-kurangnya tak terbit ke perasaan bersalah yang
mendorong rasa untuk bertanggungjawab?” bedil Syarmila.
“Dosa apa yang Cik Syarmila katakan ni? Sehingga
kini saya tak tahu apa yang telah berlaku kepada Syazliara.
Sepanjang kami bersahabat dahulu, dia baik-baik sahaja.
Tiada peperangan antara kami. Jadi mengapa tiba-tiba Cik
Syarmila suruh saya bertanggungjawab? Cik Syarmila dah
kelirukan saya.”
Syarmila juihkan bibir.
“Boleh tidur lena lagi awak ni Encik Zuhair. Dalam
dua hari ni, fikir tak apa yang saya cakap tu? Atau kata-kata
saya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri? Lelaki jenis
apalah awak ni Encik Zuhair...”
“Jangan pandang saya sebelah mata Cik Syarmila.
Saya dah fikir tentang Syazliara, namun saya tak temui
jawapannya. Alang-alang cik dah ada depan saya pagi ini,
berterus teranglah. Ceritakan perkara sebenar tentang apa
yang telah terjadi kepada Syazliara. Saya dan dia dah lama tak
bertemu. Jadi saya memang tak tahu apa yang telah berlaku
dalam hidupnya.”
“Awak tahu sebenarnya Encik Zuhair, tapi sengaja
buat tak tahu. Orang lain memang tak tahu, tapi saya tahu
dosa Encik Zuhair tu. Orang macam Encik Zuhair sepatutnya
meringkuk dalam penjara. Tak pun direjam sampai mati!”
Berubah riak wajah Zuhair dengan tembakan kata
bak cili api daripada Syamila. Apa yang gadis itu mahukan
daripadanya? Dia dituduh dan dihentam sesuka hati. Apa
gadis itu fikir mengenai dirinya? Dia juga punya perasaan.
Jika tidak mengenangkan Syarmila itu pelanggan kedainya,
mahu saja dijerkah dan dihalau gadis itu pergi.
“Ni resitnya. Saya rasa urusan kita dah selesai.” Zuhair
hulurkan resit dan masih berlagak tenang. Kesabarannya
belum jatuh dari batasan.
Syarmila mengambil resit itu dengan kasar.
“Urusan antara kita tidak akan selesai selagi
penderitaan Syazliara tidak terbalas,” ugut Syarmila sebelum
berlalu keluar.
Zuhair mengurut dada mengenangkan sikap
Syarmila. Namun dia tidak mahu berkasar dengan
perempuan. Dengan hati yang bengkak, dia tetap membantu
Atan memasukkan bungkusan t-shirt-t-shirt bercetak itu ke
dalam bonet kereta Syarmila. Sebelum gadis itu membolos
masuk ke keretanya, Zuhair nampak kerlingan tajam pada
ekor mata Syarmila. Gadis itu telah meninggalkan rasa
kurang enak dalam jiwanya.

Selepas makan dan menunaikan solat Jumaat,
Zuhair mengajak Aathifah keluar. Dia meminta Aathifah
menemaninya ke suatu tempat. Aathifah hanya menurut
melihatkan resah yang terpalit pada wajah Zuhair. Tentu ada
sesuatu yang mahu diluahkan Zuhair kepadanya.
Sampai sahaja di Pantai Stulang Laut, Zuhair
berjalan di tepian pantai bersama Aathifah. Diam sahaja dia
merenung laut yang membiru.
“Abang Hir sebenarnya ada masalah, kan?” tebak
Aathifah. Sugul yang melatari wajah abangnya itu dapat
ditekanya ada awan mendung yang sedang berarak.
Zuhair mengalihkan mata ke arah Aathifah bersama
anggukan.
“Aathi bersedia dengar masalah Abang Hir.
Insya-Allah... Aathi akan bagi pendapat.” Tanpa diminta,
Aathifah menawarkan diri. Tahu sangat tujuan Zuhair
mengajaknya keluar petang itu. Selama ini pun Zuhair amat
gemar bercerita kepadanya.
“Ingat tak nama perempuan yang abang sebut
tempoh hari?”
Minda Aathifah segera mengingati sepotong nama
itu. Rupa-rupanya pemilik nama Syazliara itulah yang sedang
mengganggu fikiran Zuhair. Dia mengangguk kecil meskipun
timbul perasaan kurang enak tentang nama itu.
“Rupa-rupanya wakil NGO yang datang tempah
baju dengan Aidid Printing tu adik Syazliara. Yang abang
tak faham, dia tuduh abang macam-macam dan suruh abang
bertanggungjawab pada Syazliara.”
Berkerut kening Aathifah.
“Bertanggungjawab untuk apa?”
Zuhair jongket bahu. Dia tak punya jawapan untuk
itu.
“Boleh abang ceritakan pada Aathi, siapa Syazliara
sebenarnya dalam hidup abang?”
Zuhair menjatuhkan punggungnya ke atas batuan
konkrit. Meletak tangan ke belakang dan hadap laut yang
terbentang. Aathifah turut duduk di sisi.
Zuhair menarik nafas sebelum mula bercerita.
“Semasa di universiti dulu, abang dan Syazliara
bersahabat baik. Kami selalu bersama atas urusan pelajaran.
Kami gemar bertukar buah fikiran dan berbincang dalam
menyiapkan tugasan. Abang suka bersahabat dengannya.
Abang nampak kejujurannya, tapi abang silap... lelaki dan
perempuan tak boleh berkawan rapat sebenarnya. Tahun
akhir pengajian, Syazliara meluahkan isi hatinya pada abang.
Katanya, dia tak suka abang rapat dengan student perempuan
yang lain. Abang pelik kenapa dia tiba-tiba nak kawal
pergerakan abang.”
Zuhair berjeda beberapa saat sebelum menyambung
semula.
“Abang tak pernah tahu yang Syazliara anggap abang
lebih daripada seorang sahabat. Abang tak sedar yang dalam
hatinya telah mula tumbuh rasa cinta pada abang. Sayangnya,
hati abang bukan seperti hatinya. Tiada sekelumit pun rasa
cinta bercambah dalam diri abang untuknya. Abang hanya
anggap dia sebagai kawan, tak lebih daripada itu. Sejak abang
tahu perasaannya terhadap abang, abang mula menjauhkan
diri daripada dia. Bukan membenci, cuma abang takut
persahabatan kami akan membuatkan dia terus menaruh
harapan. Sedangkan abang tahu kekecewaan yang bakal dia
dapat. Mustahil abang akan membalas cintanya dengan hanya
berpura-pura. Abang tak suka mempermainkan perasaan
orang lain.”
“Tentu Syazliara sedih, kan abang?” sampuk Aathifah.
Khusyuk benar tadi dia mendengar cerita lama Zuhair.
“Dia merayu pada abang. Katanya, meskipun tak
cinta, tolonglah layan dia seperti kekasih. Dia rasa derita
kalau tidak bertemu dan bercakap dengan abang. Abang tak
mampu berlakon seperti yang dimintanya, Aathi. Tambahan
lagi, abang berada dalam tahun akhir pengajian. Pelajaran
lebih penting daripada memikirkan cintanya. Abang pujuk dia
supaya melupakan abang. Abang cakap, persahabatan kami
boleh diteruskan dengan syarat dia buang rasa itu. Perasaan
itu cuma akan meranapkan hatinya.”
“Habis, dia boleh lupakan abang atau tidak?”
“Entahlah, abang tak pasti. Namun sejak hari itu,
dia mula menjalinkan hubungan dengan pelajar lelaki lain.
Abang bersyukur dia dapat teman baru. Sekurang-kurangnya,
hatinya telah terubat. Abang cuma mampu mendoakan dia
bahagia dengan lelaki lain. Dia juga nekad memutuskan
persahabatan kami. Katanya, dia mahu tumpu pada cinta
barunya. Tiada maknanya terus bersahabat dengan lelaki
macam abang. Abang terima dengan hati terbuka walaupun
terhiris. Abang tahu dia sengaja menyindir abang.”
“Lepas tu apa yang jadi?” aju Aathifah lagi. Mahu
mengetahui rentetan seterusnya kisah Syazliara dan Zuhair.
“Mana ada jadi apa-apa. Dia dengan cara hidup
dia, abang dengan cara abang. Segalanya baik-baik sahaja
sehingga kami tamat pengajian. Oh, lupa... abang senior dia
sebenarnya. Kami berbeza satu semester. Sebaik abang habis
pengajian, dia ada satu semester lagi. Okey kut pelajaran
dia sepanjang abang tak ada tu. Lagipun kami kan dah tak
berhubung. Serius abang langsung tak tahu apa-apa tentang
dirinya.”
“Oh, begitu kisahnya. Tapi peliklah, tiba-tiba aje adik
dia datang minta abang bertanggungjawab. Atas dasar apa ya
dia menuntut?”
“Hah, yang itu memang mengejutkan. Dahlah tuduh
abang macam-macam. Syarmila tu cakap, abang yang buat
kakak dia menderita selama ini. Katanya, abang buat dosa
besar.”
“Abang tak tanya ke kenapa dia tuduh abang macam
tu?”
“Tanya... tapi dia suruh abang fikir sendiri. Abang
dah fikir Aathi, tapi tiada jawapan yang muncul. Lainlah jika
kami still berhubungan sehingga kini.”
“Aathi rasa... abang perlu selidik apa yang dah
berlaku pada Syazliara. Dengan cara tu, kebenaran akan
abang ketahui.”
“Abang tak tahu mana mereka tinggal,” getus Zuhair
bersama keluhan.
“Tahu kat mana pejabat Syarmila?”
“Tak tahu, tapi nombor telefon dia adalah.”
“Kalau macam tu, calllah dia. Cakap nak jumpa
Syazliara. Hanya Syazliara yang boleh bagi abang jawapan.”
Aathifah terus menyumbang cadangan.
“Peninglah abang dengan Syarmila tu. Tak tahu
apa niatnya yang sebenar,” rungut Zuhair. Tak pasal-pasal
hidupnya tidak tenteram kerana gadis itu. Perjalanan
hidupnya yang asalnya landai seperti pergerakan kereta api
tanah Melayu, janganlah melantun laju seperti pergerakan
roller coaster. Dia tidak mahu terumbang-ambing begitu
kerana hal yang tidak diingini.
“Dahlah abang, jangan pening-pening. Pasti ada
penyelesaian punya. Jom kita balik. Nanti umi dengan walid
risau pula,” ajak Aathifah.
Teringat dia akan pesanan umi sebelum keluar
tadi. Telah dititipkan pesanan agar dia dengan Zuhair tidak
berlama-lamaan di luar. Tidak elok berdua-duaan. Bukan
Aathifah tidak tahu benteng perhubungannya dengan Zuhair
kini. Segalanya itu telah membuatkan Aathifah sedar diri.
Bohonglah jika tiada perasaan sedih yang bertamu kala dia
sedar antaranya dengan Zuhair tidak mempunyai hubungan
persaudaraan.

No comments:

Post a Comment