Aathi fah bersalaman dengan Puan Dariah.
Mereka berdua telah memperkenalkan diri dan wanita
separuh abad itu mesra menyambut kedatangan mereka.
Kelibat Syarmila dan Syazliara langsung tidak kelihatan.
“Jadi anak inilah Zuhair Aidid?” soal Puan Dariah
selepas mempersilakan tetamunya itu duduk.
“Ya auntie. Panggil saja saya Zuhair,” kata Zuhair
penuh sopan santun.
“Tapi Ara panggil anak, Aidid.”
Terkesima Zuhair. Senyap dia seketika. Jadi betullah
ini rumah Syazliara.
“Kenapa Zuhair diam? Sebab auntie sebut nama
gadis yang hidupnya telah Zuhair porak-perandakan?”
Kali ini mata Zuhair yang terbuntang. Rupanya anak
dengan mak sama sahaja. Syarmila begitu ganas menembak
dengan kata-kata, ibunya pula belum apa-apa sudah menuduh
yang bukan-bukan. Dikerlingnya Aathifah di sebelah yang
turut sama terkejut dengan sindiran Puan Dariah.
“Maaf auntie. Saya datang ni sebab nak jumpa
Syazliara. Saya nak tahu apa yang jadi pada dia selepas
kami tamat belajar. Kata Syarmila, dia tak sihat,” tutur
Zuhair. Sedaya upaya dia masih mengawal suara. Wanita di
hadapannya perlu dihormati walaupun ayat yang dilempar
umpama percikan gunung berapi.
Puan Dariah mengherotkan bibir. Kerlingan tajam
dihantar kepada Zuhair. Walaupun nampak sopan anak muda
di hadapannya itu, rasa sakit hati kerana perbuatan Zuhair
membiaskan benci yang teramat.
“Dia tak sihat sebab lelaki tak bertanggungjawab.
Dan lelaki itu ada depan auntie sekarang ni.”
Sekali lagi Zuhair terpanar. Apa salah dia sebenarnya
sehingga dituduh sebagai lelaki tidak bertanggungjawab?
Adakah kerana menolak cinta seorang gadis di zaman
belajarnya dia perlu dihukum sebagai lelaki tidak
bertanggungjawab?
Aathifah yang nampak ketegangan yang tercipta
mula bersuara. Sedih dia melihat air muka Zuhair yang sudah
berubah keruh kerana wanita di hadapannya itu.
“Auntie... kami datang nak cari kebenaran. Anak
auntie tuduh abang saya ni bukan-bukan. Sedangkan abang
saya tak buat salah apa pun pada Syazliara.”
“Syarmila tak menuduh. Dia cuma mahu Zuhair
bertanggungjawab atas penderitaan Syazliara.” Puan Dariah
membela anak bongsunya. Geram pula apabila gadis yang
dibawa Zuhair menudingkan kesalahan kepada Syarmila.
“Saya tak faham auntie,” sampuk Zuhair.
“Kenapa Zuhair mahu sembunyikan rahsia tujuh
tahun lepas? Auntie dan Syarmila tahu apa yang Zuhair
buat pada Syazliara. Lama Syarmila cuba jejaki Zuhair demi
kakak dia tu. Auntie bukan mahu menghukum Zuhair. Hal tu
dah lama berlaku masa kamu berdua masih lagi belajar. Itu
kekhilafan pada usia mentah. Tak perlu kita ungkit. Harapan
auntie sekarang ni, Zuhair kembali beri sinar pada hidup
Syazliara yang dah malap.”
Aathifah dan Zuhair saling berpandangan sesama
sendiri. Masing-masing dilanda tanda tanya. Sungguh
mereka tidak mengerti. Tiada hujung pangkal tiba-tiba sahaja
dia perlu hadir sebagai matahari kepada gadis itu. Jika
tujuh
tahun lepas dia menolak untuk memberi cinta, hari ini pun
dia tidak yakin dapat memberi hati.
“Auntie... tujuh tahun lepas saya cuma menolak
cinta Syazliara. Yalah, kami masih lagi di universiti. Saya
tidak mahu terikat dengan komitmen bercinta selagi belum
grad. Syazliara tak kecewa dengan keputusan saya, malah dia
cepat-cepat mencari pengganti. Walaupun persahabatan kami
agak renggang selepas hal tu, saya tengok dia bahagia sahaja
bersama Razif.”
“Cerita Zuhair ni bercanggah dengan cerita Syazliara.
Zuhair sengaja mereka cerita untuk tutup kesalahan sendiri,
bukan?” getus Puan Dariah dengan rasa kesangsian. Berbelah
bahagi hatinya untuk mempercayai.
Zuhair tarik nafasnya dalam-dalam sebelum hembus
keluar.
“Buat apa saya mereka cerita, auntie? Saya tak tahu
apa yang jadi pada Syazliara selepas kami tamat belajar.
Jumpa
sahaja Syarmila, terus saya dituduh yang bukan-bukan. Jadi
saya putuskan untuk ke sini untuk cari jawapan daripada
Syazliara sendiri.”
“Syazliara jarang turun ke bawah sekarang ni. Dia
benar-benar tak sihat. Dah lama dia menderita. Dulu dia tak
sempat grad pun Zuhair.”
“Tapi kenapa?” soal Zuhair yang terperanjat. Tak
sangka pula bekas teman seuniversitinya itu tidak habis
belajar.
“Sebab lelaki jahat macam kaulah Zuhair!”
Tiga pasang mata berpaling serentak ke arah
Syarmila. Entah bila gadis itu itu pulang, tidak pula mereka
sedari.
“Mila naik atas dulu. Hal ni tak boleh diselesaikan
dengan marah-marah. Biar ibu yang selesaikan dengan
Zuhair sendiri,” tegur Puan Dariah dengan lembut.
“Nanti ibu pula yang dikelentongnya,” perli Syarmila
dengan wajah mencuka.
“Mila kan baru balik dari persatuan. Berehat dulu.
Apa-apa hal nanti ibu beritahu Mila.”
Syarmila merengus geram dan menapak naik ke
atas. Sempat dijelingnya dengan ekor mata pada kedua-dua
orang tetamu ibunya itu.
‘Bawa teman pula hari ni jantan biul tu.
Entah-entah nak cakap tu bakal isteri dia, jadi dia tak
boleh
bertanggungjawab pada Kak Ara. Aku tak kira, dah ada isteri
sekalipun kau mesti kahwin dengan Kak Ara. Poligami pun
poligamilah. Kalau tak, rumah tangga kau aku hancurkan!’
Usai kelibat Syarmila menghilang, Puan Dariah
mula bercerita tentang Syazliara. Zuhair macam tak percaya
dengan apa yang berlaku. Bahkan lagi lelaki dalam cerita itu
ialah dirinya. Tergamak Syazliara memfitnahnya sebegitu
sekali. Adakah itu petanda yang Syazliara berdendam
dengannya?
“Sumpah auntie, saya tak pernah merosakkan
Ara. Saya tamat belajar satu semester lebih awal daripada
Ara kerana saya ni senior dia. Selepas itu kami langsung
tak pernah berhubung. Saya langsung tak tahu-menahu
mengenai dirinya. Saya tak sangka begitu teruk masalah yang
dihadapinya. Tapi saya terkilan mengapa Ara tuduh saya yang
porak-perandakan hidup dia?”
“Apa motif Ara tuduh Zuhair? Auntie tak rasa Ara
menipu sebab ini semua berkaitan dengan maruah dia.”
“Itu saya tak tahu auntie. Saya rasa kita perlu cari
Razif. Razif tu teman lelaki Ara selepas putus sahabat
dengan
saya.”
“Auntie tak kenal Razif. Ara pun tak pernah sebut
nama Razif. Nama yang sering bermain di bibir Ara ialah
nama Aidid.”
“Saya boleh tolong auntie cari Razif.” Tawar Zuhair
seikhlas hati. Daripada namanya terus busuk dituduh
Syazliara, lebih baik dia dapatkan Razif. Dia yakin Razif
tahu apa yang telah berlaku terhadap Syazliara. Dia pasti
penyangak yang rosakkan hidup Syazliara boleh ditemuinya.
Dia akan bawa ke muka pengadilan nanti.
Puan Dariah tidak memberi sebarang jawapan.
Sebaliknya dia membuang pandang ke arah lain. Lalu
Aathifah bersuara.
“Auntie boleh percayakan kami. Saya nak minta izin
jumpa Kak Ara sekejap, boleh auntie?”
Puan Dariah merenung wajah suci Aathifah.
“Boleh, marilah ikut auntie naik atas. Zuhair
tunggulah di bawah. Auntie rasa belum masanya untuk Ara
jumpa Zuhair. Bimbang emosinya kembali tak stabil. Auntie
sendiri pun perlu masa untuk fikir kebenaran cerita Zuhair.”
Zuhair menganggukkan kepala. Dia mengerti hati
Puan Dariah dan dia menghormatinya. Sorotan matanya
menghantar Aathifah naik ke tingkat atas.
Angin malam berhembus lembut menyapa badan. Zuhair
yang memakai pagoda putih duduk di luar rumah sambil
menghirup kopi panas. Pertemuan dengan Puan Dariah
petang tadi membuatkan otaknya kalut berfikir. Berfikir
tentang sebab Syazliara sanggup menuduhnya sebagai
pembuat angkara. Berfikir di mana dia perlu mencari Razif.
Berfikir tentang apa yang diberitahu Aathifah mengenai
keadaan Syazliara.
Kata Aathifah, kasihan melihat Syazliara yang
kurus cengkung. Terpamer wajah Syazliara yang kesedihan.
Aathifah bersimpati dan memintanya mencari lelaki jahat
yang telah merosakkan Syazliara.
“Hir, buat apa kat luar sorang-sorang ni?” tegur
Puan Ruwaidah. Tadi lagi dia perhatikan anak lelakinya itu.
Zuhair kalih badan menghadap ibunya dan
mengunjukkan cawan kopi di tangan.
“Menikmati kopi bersama desir angin malam.”
“Hir bawa Aathi ke mana sebenarnya tadi? Ada cerita
yang umi tak tahu ke Hir?” Puan Ruwaidah bertanya dengan
lembut.
“Hir bawa Aathi ke rumah bekas teman seuniversiti
dulu. Dia sakit sekarang ni.”
“Perempuan ke?”
“Ya, umi.”
“Hir nampak ambil berat pasal dia.”
Zuhair kerut dahi. “Pasal siapa?”
“Pasal teman perempuan itulah. Umi tengok Hir
resah semacam sehari dua ni. Rupanya risaukan teman yang
sakit.”
Zuhair tergelak kecil.
“Tergelincir dari landasan telahan umi tu.”
“Naluri ibu tak silap
Hir. Hir cintakan dia ke?”
Zuhair ketawa dengan pertanyaan luar syllabus
ibunya itu. Cinta? Memang tidak sama sekali umi. ‘Dulu pun
anak umi pernah tolak dia.’
“Umi... umi... cepat betul buat kesimpulan sendiri.
Hir bukan fikir pasal dia yang tak sihat. Memang Hir
bersimpati dengan nasib yang menimpanya sekarang. Tapi
ada hal yang lagi rumit berlegar dalam kepala Hir ni umi.”
“Boleh kongsi dengan umi?” pinta Puan Ruwaidah.
Zuhair mula serba salah. Perlukah dia bercerita
perihal Syazliara kepada ibunya? Ini masalah besar dan
pasti akan menggusarkan hati seorang ibu. Dia tidak mahu
umi turut bersedih dan marah dengan tuduhan yang telah
dilemparkan kepadanya. Cukuplah dia berkongsi masalah ini
dengan Aathifah. Dia tidak mahu melibatkan umi. Tahu dek
sarjan dalam rumah ini, makin parah jadinya. Gubra juga dia
mengenangkan ketegasan Sarjan Darus.
“Umi... teman Hir tu ada masalah peribadi. Masalah
orang perempuan. Sebab tu Hir bawa Aathi tadi. Dia luahkan
pada Aathi rahsia hatinya. Hir tak tahu apa-apa. Umi tahu
sajalah Aathi tu amanah orangnya. Mustahil dia akan beritahu
Hir. Itu yang Hir duk fikir apa yang diceritakan teman Hir
pada Aathi.” Lantaklah labu. ‘Sorry umi... Hir goreng malam
ni.’
Puan Ruwaidah jongket kening.
“La... macam tu ke? Hai, boleh pulak teman Hir tu
percaya pada Aathi yang baru dikenalinya.”
“Dia kenal Aathilah, umi. Dulu Hir pernah beritahu
pasal Aathi pada dia. Pernah mereka berdua berbual dalam
telefon.” Zuhair menokok tambah lagi cerita tak betul yang
direkanya itu.
“Boleh umi kenal teman Hir tu?”
“Kenapa pula umi nak
kenal dia?” kaget Zuhair
menyoal. Teruk jadinya jika Puan Ruwaidah serius. Hal yang
nak disorokkan boleh terbongkar!
“Saja. Nak tengok lawa ke tidak. Mana tahu, boleh
buat stok menantu pilihan.” Bersahaja Puan Ruwaidah
menjawab.
Melongo Zuhair Aidid dengan kata-kata ibunya.
‘Aduhai umiku sayang. Bukan main soal selidik Hir malam
ini, rupanya ada udang di sebalik batu. Rupanya teringin
hendak bermenantu. Sabar ya, umi. Pasti akan Hir bawa stok
menantu untuk umi, tapi bukan ‘dia’ ya umi...’
No comments:
Post a Comment