DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 3



Zuhair menghadap laptop, mereka design
baru baju korporat Aidid Printing. Design baru itu dia mahu
update ke blog untuk dibuat promosi. Puas menilik, dia ketuk
dagu sendiri. Rasa ada sesuatu yang kurang. Belum puas hati
dengan rekaan terbarunya itu. Tiba-tiba terlintas Aathifah
dalam mindanya. Pendapat Aathifah diperlukan. Mana tahu
Aathifah ada idea yang lagi bernas.
Zuhair usung laptopnya ke ruang tamu, tapi Aathifah
tiada di situ. Hanya yang ada umi seorang sahaja. Walid belum
balik kerana ada operasi malam itu.
“Umi, Aathi mana?”
“Ada dalam bilik dia,” jawab Puan Ruwaidah. Matanya
masih menghala ke skrin LED 42 inci. Menonton filem hitam
putih Seniman Bujang Lapok.
Zuhair meninggalkan ruang tamu dan bergerak ke
bilik Aathifah. Dengan beberapa ketukan, Aathifah membuka
pintu. Seperti biasa, ada tuala di atas kepalanya.
 “Abang Hir nak apa?” soal Aathifah. Kacau dia
membaca novel sahaja Zuhair ni. Dia dahlah baru tangkap
syahdu dengan novel Rehan Makhtar.
Zuhair tersengih dan ditunjukkan laptopnya.
“Laptop Abang Hir rosak ke? Kalau rosak, Aathi tak
pandai baiki.”
Aduh, polosnya! Adik siapalah ni? Takkanlah dia nak
suruh Aathifah baiki laptopnya.
Tanpa menjawab pertanyaan Aathifah, Zuhair
membolos masuk. Dengan selamba dia bersila di atas katil
milik Aathifah.
“Aathi... datang sini, abang nak tunjuk.”
Terpinga-pinga Aathifah dibuatnya. Tindakan Zuhair
tidak dijangka. Zuhair nak tunjuk apa sebenarnya? Aathifah
tidak berganjak. Dia masih berdiri di muka pintu bilik sendiri.
“Cepatlah Aathi, tengok design baru abang ni,” gesa
Zuhair.
Aathifah meligas kepalanya kiri dan kanan. Serba
salah dia dibuatnya. Takkanlah dia mahu bersila di sebelah
Zuhair atas katil pula? Walaupun itu katilnya, niat tidak
menghalalkan cara.
“Err... kita tengok kat luarlah.”
Zuhair gosok tengkuknya.
“Kat sini pun tak apalah. Kejap saja.”
“Kat ruang tamu ada umi. Elok abang tunjuk pada
dia sekali.” Aathifah memberi alasan.
Zuhair tergelak.
“Aathi... umi tu kalau layan cerita P. Ramlee, tak
adanya dia nak bagi perhatian pada benda lain. Kalau abang
tanya, jawapan dia... okey. Tak pernah umi bagi komen lain.”
Aathifah bermain dengan hujung tuala yang
menutup rambutnya. Berfikir sejenak bagaimana mahu
membawa Zuhair keluar dari biliknya. Sungguh dia tidak
betah lelaki itu ada di dalam biliknya.
Zuhair merenung Aathifah yang seolah-olah berfikir
sesuatu.
“Aathi ni kenapa? Suruh tengok design terbaru Aidid
Printing aje kut, yang berfikir mengalahkan orang nak buat
eksperimen kimia tu kenapa?”
Aathifah merengus apabila didesak Zuhair.
“Okey. Aathi boleh tengok dan komen, tapi dengan
syarat.”
“La... bersyarat pulak. Macam-macamlah Aathi
ni. Tak nak tolong sudahlah...” Zuhair pura-pura merajuk.
Dikelek laptopnya turun dari katil Aathifah.
Lega Aathifah melihat Zuhair kini berdiri di
hadapannya. Tapi melihatkan muka ketat Zuhair, tak senang
pula hatinya.
“Janganlah merajuk. Bak sini laptop tu.”
Zuhair menghulurkan laptopnya kepada
Aathifah. Sebaik laptop bertukar tangan, Aathifah berjalan
meninggalkannya. Termangu-mangu Zuhair di situ. ‘Aathi ni
nak bawa ke mana laptop aku?’
“Abang Hir, sini!” laung Aathifah yang telah berada
di ruang tamu.
Zuhair menapak pergi. Mendekati Aathifah yang
bersila di sofa sambil meriba laptop. Zuhair jatuhkan
badannya di sebelah Aathifah.
Aathifah terkejut dan cuba menjarakkan diri.
“Design ni cantik.” Puji Aathifah dengan suara yang
agak bergetar. Ada debaran yang bertandang dalam hati.
Zuhair jengulkan kepalanya ke skrin laptop. Melihat
design yang Aathifah maksudkan.
“Kenapa, yang sebelah lagi tak lawa ke?”
Aathifah ketuk pipinya.
“Yang satu lagi, nampak macam design lama. Warna
pun tak masuk dengan logo.”
“Kalau macam tu, abang akan guna design yang
Aathi pilih tu,” putus Zuhair dengan senyuman.
“Ada orang tempah ke ni?”
“Taklah. Abang saja reka design baru untuk letak
dalam blog dan Instagram Aidid Printing. Kena kerap update,
baru customer suka. Mereka pun boleh buat pilihan ikut cita
rasa masing-masing,” terang Zuhair.
“Oh, begitu gayanya kok. Barulah ku ngerti dong.
Tadinya kukabur,” canda Aathifah dalam bahasa Indonesia
yang entah betul atau tidak.
Zuhair angkat kening. Apa lagi, dia pun perli sama.
“Ada minah Indon terlepas tanpa permit rupanya.
Udah lama sih jadi bibiknya?”
Aathifah tergelak.
“Kapan sih gue jadi bibik? Gue ini anak orang kaya,
tahu enggak?”
Zuhair acah tangan nak tepuk bahu Aathifah.
“Dah... dah... pengaruh sinetron ke ni? Atau teringin
bertukar warganegara?”
Aathifah melarikan bahunya. Tersengih saja dia.
“Tempahan dari wakil NGO hari tu macam mana?”
Zuhair naikkan ibu jari.
“Hampir siap. Minggu depan dia datang ambil.”
 “Ingat tau, dapat duit... belanja Aathi,” sakat Aathifah.
Walhal selama ini Zuhair memang sering belanja dia pun. Tak
pernah abangnya itu tangkai jering dengannya.
Zuhair mencubit pipi Aathifah.
“Mestilah. Abang tak lupa.”
Aathifah terpanar dengan tindakan Zuhair. Cepat
ditepis tangan itu. Tambahan pula kerlingan uminya
menyentakkan dada. Terlupa ke Zuhair di ruang tamu ini
bukan mereka berdua saja? Tangan kalau tak bergerak, tak
boleh agaknya.
Puan Ruwaidah yang mengerti ketidakselesaan
Aathifah bersuara.
“Aathi, tolong bancuh air untuk umi, boleh?”
Aathifah mengangguk dan bersedia untuk ke dapur.
“Horlick panas untuk abang sekali.” Zuhair tumpang
sekaki membuat pesanan. Air yang dibancuh Aathifah
memang kena dengan seleranya. Lemak, tapi kurang manis.

Syarmila termenung dalam biliknya. Berkira-kira
sendiri sama ada mahu menelefon pemilik Aidid Printing
atau tidak. Bukan kerana mahu membatalkan tempahan di
saat-saat akhir tetapi kerana ada hal lain. Ada sesuatu yang
dia ingin tanyakan kepada lelaki itu. Sesuatu yang bersifat
peribadi.
Semasa di kedai lelaki itu tempoh hari, Syarmila
merasakan yang dia kenal wajah itu. Namun dia bimbang
tersalah orang. Tetapi setelah mendapat kepastian daripada
Syazliara, dia tahu Aidid yang pernah disebutkan kakaknya
dahulu ialah Zuhair. Gambar Zuhair yang masih dalam
simpanan Syazliara itu buktinya. Meskipun gambar tersebut
diambil beberapa tahun yang lepas, wajah lelaki itu tidak ada
perbezaan yang ketara dengan penampilannya sekarang.
Samsung Galaxy Grand 2 dicapai. Skrin disentuh
mencari nombor telefon Zuhair Aidid. Dilariknya butang
hijau untuk membuat panggilan.
Melihatkan nombor Syarmila yang tertera pada skrin
telefon, Zuhair hairan. Yalah, ini kan waktu malam. Mengapa
gadis dari Persatuan Wanita Penyayang itu menelefonnya
pada waktu begini? Jika ikutkan tarikh tempahan baju, empat
hari lagi baru gadis itu akan datang mengambilnya di kedai.
Enggan berfikir panjang, Zuhair menjawab sahaja panggilan
itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Maaf mengganggu Encik
Zuhair malam-malam begini.”
“Tak mengapa. Ada apa ya yang boleh saya bantu, Cik
Syarmila?”
“Saya nak bincang sesuatu dengan Encik Zuhair.
Esok free tak?”
“Esok saya ada di kedai. Datanglah, saya tunggu.”
“Saya tak mahu ke Aidid Printing. Jam sebelas pagi
esok saya tunggu Encik Zuhair dekat Big Apple Donuts &
Coffee Tesco Plentong. Boleh Encik Zuhair datang ke sana?”
tanya Syarmila. Kebetulan dia mahu membeli barang di Tesco
Extra Plentong.
“Insya-Allah... boleh,” jawab Zuhair tanpa beralasan.
“Terima kasih Encik Zuhair. Selamat malam,” ucap
Syarmila ringkas sebagai penoktah perbualan.
“Sama-sama. Selamat malam juga Cik Syarmila.”
Lalu talian ditamatkan. Tertanya-tanya juga Zuhair apa tujuan
Syarmila mengajaknya berjumpa. Jika urusan perniagaan,
mengapa tidak terus datang ke Aidid Printing sahaja? Tak
mengapalah. Lelap mata dahulu. Esok selepas berjumpa,
dapatlah dia jawapannya.

Sepuluh minit Syarmila menunggu, Zuhair tiba dengan
senyuman.
“Lama menunggu, Cik Syarmila?” soal Zuhair
sebaik punggung mencecah kerusi. Kelihatan belum ramai
pengunjung yang datang ke pusat membeli-belah itu kerana
masih awal pagi. Kiosk ‘donat over manis’ ini pun hanya ada
Syarmila.
“Tak adalah. Baru sepuluh minit. Minum Encik
Zuhair?” pelawa Syarmila ramah.
“No, thanks. Dah minum tadi,” tolak Zuhair dengan
sopan. “Ada apa Cik Syarmila nak jumpa dengan saya?”
Mengingatkan tentang hal yang diberitahu
semalam, Syarmila resah sendiri. Dia meramas jari-jemari,
menimbang-nimbang perlu atau tidak ditanyakan. Sudahnya
dia menyeluk poket tas tangan jenama Prada untuk
mengambil sesuatu.
Zuhair hanya memerhati tingkah laku Syarmila.
Saat gadis itu menghulurkan sekeping gambar kepadanya, dia
menyambut sahaja. Lama matanya terbenam pada tampang
potret wanita yang dihulurkan oleh Syarmila.
“Gadis dalam gambar tu kakak saya. I think you
know her.” Tukas Syarmila menyebabkan mata Zuhair teralih
ke arahnya.
“Bagaimana awak boleh terfikir yang saya kenal dia,
Cik Syarmila? Kita baru berjumpa sekali, itu pun atas urusan
perniagaan,” sinis pertanyaan Zuhair. Dalam hatinya dia tidak
menjangka sama sekali itu tujuan Syarmila.
“Saya kenal lelaki yang telah sengsarakan hidup
darah daging saya.” Tajam patah perkataan yang dihunuskan
Syarmila.
Zuhair tersentak. Gadis yang baru dikenalinya itu
rupanya bermulut bisa. Belum kenal dia sepenuhnya, tapi
berani menuduhnya yang bukan-bukan. Apa tujuan gadis di
hadapannya itu?
“Saya tak faham apa yang Cik Syarmila cakapkan ni.
Berat tuduhan tu pada saya dan ia amat tidak berasas.”
Syarmila sengetkan bibirnya.
“Jarang dalam dunia ni seseorang itu mengaku salah.
Bahkan jika perkara tersebut tidak diketahui oleh orang lain.
Lebih baik kunci mulut sebab mangsa tak pernah tampil pun
menuntut kebenaran.”
Berlapis tiga dahi Zuhair. Mindanya terus mencerna
maksud Syarmila. Sungguh dia tidak faham. Tidak mengerti
kesalahan apa yang sedang Syarmila tuding kepada dirinya
kini.
“Cik Syarmila berterus teranglah. Apa kaitan kakak
cik dengan saya?”
“Awak kenal kan Syazliara binti Taufik?”
Nama yang disebutkan oleh Syarmila membuatkan
Zuhair terkaku. Jadi, benarlah gadis dalam gambar itu
Syazliara? Syarmila dan Syazliara adik-beradik rupanya. Tidak
tahu pula Zuhair yang Syazliara mempunyai adik seperti
Syarmila. Tiada iras sangat wajah mereka berdua. Kalau sama
pun mata. Syarmila mempunyai mata berwarna dark brown
seperti Syazliara. Syazliara yang dia kenali bertudung dan
Syarmila bebas menayang rambutnya.
“Saya tagih jawapan, bukan tagih pandangan jengkel
Encik Zuhair yang meratah wajah saya!” jerkah Syarmila.
Tidak senang duduk dia kerana mata lelaki itu begitu asyik
menilik wajahnya.
Terkedu lagi Zuhair. Pantas dia menunduk ke
bawah. Menyedari yang dia salah memerhati wajah anak dara
orang terlalu lama. Namun dia tidak berniat apa-apa sekadar
mencari bukti yang Syarmila itu ialah adik kepada Syazliara.
“Yes, I know her. Dia bekas kawan lama saya,” akui
Zuhair jujur.
Syarmila silangkan tangan ke dadanya. Belakang
bersandar tegak pada kerusi.
“Hanya bekas kawan lama? Hakikatnya bukan
setakat itu, kan? Awak tak perlu menafikan kerana saya tahu
segalanya tentang awak daripada Kak Ara.”
“Apa sebenarnya tujuan awak, Cik Syarmila? Hanya
kerana mengetahui kami pernah bersahabat, pelbagai
tuduhan awak lemparkan kepada saya. Saya benar-benar tak
faham.”
“Pandai Encik Zuhair berlakon. Konon tak tahu
apa-apa. Tahukah awak kakak saya sekarang sedang menderita
kerana awak?”
Terpempan Zuhair. Sekali lagi dia dituduh. Keliru
dia dibuatnya.
“Apa yang dah berlaku kepada Syazliara?”
“Do not pretend again Encik Zuhair. Balik rumah,
fikir tentang Syazliara. Saya pergi dulu.” Gambar kakaknya
yang berada di tangan Zuhair direntap kasar. Deras
saja Syarmila berlalu meninggalkan Zuhair yang masih
terkebil-kebil.
Zuhair panggung kepala memandang sehingga
kelibat Syarmila hilang di kornea mata. Bingung, buntu.
Sungguh dia tidak mengerti apakah sandiwara yang gadis itu
mahu pentaskan kepadanya.

No comments:

Post a Comment