DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 22 February 2017

Jom... Bercinta! - Bab 2




Rafiq Idlan menghabiskan malamnya bersama
Gina. Sewaktu dia memandu tanpa arah tujuan di sekitar
Bandaraya Johor Bahru, gadis itu menghubunginya.
Kebetulan Ayman Hyeqal sedang sibuk dan dia tidak tahu
hendak berbuat apa, terus dia menerima pelawaan gadis
itu. Gina dikenalinya lewat lima bulan yang lalu ketika
penerbangan dari Johor Bahru ke Jakarta, Indonesia. Bukan
main ramah lagi Gina menegurnya semasa dalam kapal
terbang. Selalu sahaja bertanya jika dia memerlukan apa-apa.
“Bila you fly lagi?” Rafiq bersuara apabila mereka
tiba di Apartmen Sri Wangi di Taman Tampoi Indah.
“Esok,” balas Gina malas. Jika boleh, dia tidak mahu
berjauhan dengan Rafiq. Bimbang buah hatinya ini diambil
orang. Sengaja dia tidak tinggal di Senai semata-mata ingin
berdekatan dengan Rafiq walaupun tempat tinggal mereka
tidaklah sedekat mana.
“Berapa lama?”
 “Tiga hari.”
Rafiq angguk kepala mendengar penjelasan Gina.
“Raf, sampai bila kita nak macam ni?”
“Maksud you?” Terjongket kening Rafiq. Pura-pura
kurang mengerti sebenarnya.
Gina mendengus kasar. Bukan dia tidak pernah
bertanya sebelum ini tetapi Rafiq sering sahaja mencipta
alasan dan mengelak.
“Maksud I, sampai bila kita nak berkawan macam ni?
I nak hubungan yang lebih selamat dan selesa antara kita,”
luah Gina tanpa rasa malu.
“I belum terfikir ke arah tu. I lebih selesa kita
berkawan dulu dan kenal hati budi masing-masing,” balas
Rafiq sambil memberhentikan keretanya.
Gina mengeluh. Dia takut bakal kehilangan Rafiq.
“Tapi I takut you akan beralih arah.”
Rafiq tertawa kecil. Kemudian menggeleng
kepalanya.
“You tak perlu takut kalau memang ternyata ada
jodoh antara kita berdua. Kalau bukan, itu bermakna you
kena terima hakikat bahawa antara you dengan I hanya
ditakdirkan sebagai kawan.”
Gina memandang dengan perasaan tidak puas hati.
Begitu mudah Rafiq meletakkan harga hubungan mereka.
Kalau tidak ada usaha untuk menjuruskan hubungan mereka
ke arah yang lebih serius, bagaimana hendak tahu mampu
bersama ataupun tidak?
“Kita dah sampai, you tak nak turun lagi ke?” Wajah
Gina yang sedang memandangnya ditatap. Bukan niatnya
hendak mempermainkan perasaan Gina, tapi hatinya belum
terbuka untuk bercinta. Dia lebih suka mereka berkawan
sahaja daripada menjadi pasangan kekasih.
“I harap you fikirkan permintaan I,” ujar Gina sambil
membuka pintu kereta.
Rafiq mengangguk dan tersenyum. Namun hatinya
menolak keras untuk memikirkan permintaan Gina.
“I tak minta banyak, cukuplah kalau you anggap I
seseorang yang istimewa dalam hati you.”
Rafiq hela nafasnya. Berat sungguh dia rasakan
permintaan Gina itu. Mula-mula minta diangkat sebagai
seseorang yang istimewa dalam hatinya. Lepas itu, paksa dia
iktiraf sebagai kekasih pula. Akhir sekali ajak kahwin. Oh... ini
benar-benar menyesakkan kepala otak Rafiq. Dia tidak mahu
memberatkan fikirannya dengan perkara yang dia belum
bersedia lagi.
“Tengoklah macam mana,” balas Rafiq ringkas.
Gina angguk kepala, akur. Dia kemudiannya
melangkah lemah. Namun tekad untuk memiliki Rafiq tidak
pernah luntur. Dia akan mencuba dan terus mencuba hingga
berjaya. Rugi besar jika dia melepaskan lelaki itu pergi.
Rafiq terus memandu laju Audi TTnya sebaik sahaja
Gina hilang dari pandangan. Ada baiknya dia pulang ke rumah
daripada memikirkan perkara itu.

“BARU balik Raf?” tegur Puan Ainon. Matanya menjeling
seketika jam antik yang berdiri megah di sudut dinding.
Sudah menghampiri satu pagi. Baru ingat jalan pulang cucu
bertuahnya ini. Tidak pernah-pernah balik lewat, hari ini buat
hal pula.
“Eh, mama! Belum tidur lagi?” Rafiq menyapa
neneknya. Terasa bersalah pun ada. Gara-gara malas
bertembung dengan ibu saudaranya, dia melangkah keluar.
Akhirnya hingga lewat malam baru dia dilepaskan oleh Gina.
Jika Ayman Hyeqal ada, tentu dia boleh pulang awal dan tidak
perlu melayan kerenah Gina.
Selalunya Ayman Hyeqal yang akan menemaninya
jika ingin keluar bersama Gina. Bila Gina merengek-rengek
berkehendakkan itu dan ini, dia menyerahkan tugas tersebut
kepada Ayman Hyeqal dan dia berlalu pergi. Ayman Hyeqal
pula akan menyusul tidak lama kemudian apabila Gina
enggan ditemani sahabatnya itu. Mudah caranya kan hendak
mengelakkan diri. Lagipun dia hanya mampu bertahan
dengan kerenah Gina selama sepuluh minit sahaja. Selepas
itu dia mula bosan. Ada sahaja telatah Gina yang tidak kena
dengan jiwa dan hati lelakinya. Lalu bagaimana dia hendak
mengangkat gadis itu sebagai seseorang yang istimewa dalam
hatinya?
“Ke mana Raf pergi hingga lewat malam begini baru
ingat rumah? Sepatutnya Raf tak boleh pulang lewat sebegini.
Che Su kamu kan baru balik. Kita patut rai kepulangannya.
Ini tidak, kamu hilang lesap entah ke mana. Mana letaknya
nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam diri kamu, Raf?”
Memang Puan Ainon panas hati dengan perangai cucunya
hari ini. Boleh pula hilang begitu sahaja. Sangkanya Rafiq
keluar hanya seketika, tetapi jauh malam baru nampak pintu
rumah. Mana hati tuanya tidak meradang? Dia benar-benar
terkilan dengan sikap cucunya itu.
Rafiq usap belakang kepala. Gara-gara Atilia,
dia dileteri tengah-tengah malam. Hatinya makin panas.
Bukankah bagus kalau perempuan itu menetap terus nun di
luar negara sana. Tidak perlu dia hadap perkara seumpama
ini.
“Maaflah mama, Raf terlupa tadi. Seronok sangat
jumpa kawan hingga lupa yang dia ada kat rumah.” Rafiq
memberi alasan yang dia rasa mudah dan mampu diterima
akal logik.
“Siapa dia?” marah Puan Ainon. “Ingat sikit, dia tu
ibu saudara kamu. Tolong hormat. Jangan ikut sedap mulut
aje nak panggil yang bukan-bukan.”
Rafiq mengeluh. Sejak Atilia hadir dalam keluarga
mereka lebih kurang dua puluh tiga tahun yang lalu, dia
memang kurang rapat dengan gadis itu. Dan hubungan
mereka makin renggang apabila dia meningkat remaja. Dia
tidak tahu kenapa sukar untuknya menerima Atilia sebagai
ibu saudaranya.
“Maaf mama.” Malas dia hendak memanjangkan
perkara yang remeh-temeh ini. Ada baiknya dia pergi tidur.
Esok nak kerja.
“Mama tak nak tidur lagi ke? Dah jauh malam ni.”
Sengaja dia bertanya. Mahu mengelak berbicara apa sahaja
perkara yang bersangkut paut dengan Atilia.
“Mama belum mengantuk lagi.” Tahu sangat
Puan Ainon yang Rafiq ingin melarikan diri. Tapi apa dia
peduli. Ada perkara yang ingin diluahkan. Ingatkan boleh
berbincang semasa makan malam tadi, tapi Rafiq pula tidak
memunculkan diri.
Rafiq garu kepala. Bukan ke waktu-waktu macam ini
neneknya sudah tidur?
“Mama nak cakap sesuatu dengan Raf ke?” Dia
memandang neneknya. Panggilan ‘mama’ sudah sebati
dengannya sejak kecil lagi. Adiknya juga turut memanggil
neneknya ‘mama’.
Puan Ainon angguk kepala. Sewaktu makan malam
tadi dia telah mendapat kata persetujuan daripada anak lelaki
dan menantunya. Kini dia ingin dengar apa pula kata Rafiq.
“Mama nak cakap apa?” Rafiq mengambil tempat
duduk di sisi neneknya.
“Mama nak Raf sediakan tempat untuk Che Su.
Kalau boleh, mama nak dia sertai Raf di Polimerlatex. Boleh
dia bantu Raf di sana. Raf pun tak menang tangan, kan? Selalu
terkejar-kejar hendak uruskan Polimerlatex dan Dinamik
Grup.” Dia tahu tugas dan tanggungjawab Rafiq Idlan terlalu
berat. Di Dinamik Grup, cucunya itu punya tanggungjawab
dan peranan yang besar di sana. Di Polimerlatex pula, cucunya
itu merupakan pemilik syarikat tersebut. Oleh itu diharapkan
kehadiran Atilia dapat membantu meringankan beban tugas
Rafiq selama ini. Apatah lagi kilang berasaskan getah sintetik
itu makin hari makin berkembang pesat.
Rafiq mengeluh perlahan. Inilah perkara yang paling
ingin dia elakkan, bekerja sebumbung dengan ibu saudaranya
itu. Dia memang tidak mampu dan tidak boleh berada dekat
dengan Atilia. Ada nanti gadis itu menerima herdikan dan
amarahnya tanpa amaran.
“Nantilah Raf fikirkan.” Rafiq ingin mengelak. Kalau
setuju pun dia akan hantar Atilia menjaga perusahaan mereka
yang terletak di luar negara. Sama ada di Vietnam, Itali atau
Jerman. “Mama, Raf naik tidur dululah. Mata dah mengantuk
ni.” Dia beralasan.
“Mama bukan suruh fikirkan. Mama hendakkan
tempat untuk Che Su kamu tu.” Puan Ainon berkata tegas.
“Tengoklah macam mana,” ujar Rafiq sambil
mengangkat punggungnya.
“Degil betul,” rungut Puan Ainon sambil melihat
Rafiq yang sedang memanjat anak tangga. Dia mahu Atilia
bekerja di syarikat milik arwah suaminya. Dia mahu Rafiq dan
Atilia berganding bahu membina empayar yang ditinggalkan
oleh arwah suaminya. Tujuannya hanya satu. Dia tidak mahu
anak bongsunya bekerja di syarikat orang lain dan pergi jauh
meninggalkannya lagi. Cukuplah selama empat tahun mereka
berjauhan. Itu pun sudah nanar dia menanggung rindu.
“Mama buat apa kat sini? Belum tidur lagi?” tegur
Atilia sambil menyentuh lembut bahu Puan Ainon.
“Belum sayang. Mama belum mengantuk,” ujar
Puan Ainon sambil menepuk lembut tangan anaknya.
Atilia menghenyak punggung di sebelah mamanya
kemudian merebahkan kepalanya ke riba Puan Ainon.
“Kalau belum mengantuk, jomlah teman Tia
berborak.”
Tergelak kecil Puan Ainon. Kepala anak bongsunya
diusap.
“Kenapa anak mama belum tidur lagi? Dah larut
malam ni.”
“Tak boleh tidur mama. Mungkin perubahan tempat.”
Wajah mamanya direnung kasih. Dari tadi lagi sebenarnya dia
hendak turun mendapatkan mamanya namun terlihat sahaja
wajah Rafiq, niatnya terus terbantut. Sebaik sahaja lelaki itu
berlalu ke kamarnya, terus dia mendapatkan Puan Ainon.
Puan Ainon tersenyum.
“Tak lama lagi bolehlah tu sesuaikan diri.”
Atilia angguk kepala dan tersenyum manis.
“Mama, esok nak sarapan pagi roti jala, boleh? Tia
rindulah nak makan.”
“Boleh sayang. Esok mama buatkan.”
Atilia peluk tubuh mamanya erat. Menzahirkan rasa
kasih dan sayangnya.
Puan Ainon tersenyum bahagia. Sejak Atilia hadir
dalam hidupnya, dia dan arwah suaminya tidak lagi kesunyian.
Keletah dan telatah manja Atilia buatkan mereka suami isteri
terhibur. Atilia juga merupakan pelajar pintar dan aktif di
sekolah. Setiap tahun dia akan mendapat tempat pertama
dalam peperiksaannya dan sering menjadi johan dalam acara
yang disertainya.
“Mama tak nak tidur lagi? Tak elok kalau mama tidur
lewat.” Atilia pandang wajah Puan Ainon. Tangan mamanya
ditarik lembut dan dibawa ke pipi.
“Mama nak temankan anak mama. Lagipun belum
hilang lagi rindu mama ni.” Hidung mancung anaknya
ditarik.
Atilia tergelak kecil akan perbuatan mamanya.
“Jom mama, kita tidur.” Kasihan pula dia hendak
membiarkan mamanya berjaga hingga lewat malam. “Malam
ni Tia tidur dengan mama, boleh?” Bibirnya mengukir
senyum.
Puan Ainon menepuk bahu Atilia dan memberi
isyarat supaya bangun. Tangan anak perempuannya ditarik.
Atilia tersenyum hingga ke telinga. Walaupun dia sudah besar
dan dewasa, adakala perangai manjanya muncul jua.

No comments:

Post a Comment