DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 1

Nur Aathifah Amni menutup diarinya. Memeluk
diari itu dengan erat. Catatan itu adalah luahan hatinya.
Aathifah ingin menangis mengenangkan rasa yang sedang
menyeksa jiwanya kini. Sebumbung dengan Zuhair Aidid
benar-benar menyesakkan dada. Bukan kerana dia bencikan
lelaki itu tetapi kerana perasaan entah apa-apa yang sedang
bersarang kini.
Zuhair Aidid bukanlah orang lain baginya. Dia
juga anak umi dan walid. Dia dan Zuhair Aidid adik-beradik
walaupun bukan sedarah. Dahulu mereka jarang bersua
muka kerana Aathifah berada di Tanjung Malim. Kini sebaik
tamat pengajian, Aathifah tinggal di rumah umi dan walid.
Menunggu posting dari Kementerian Pelajaran Malaysia.
“Aathi! Aathi!” Zuhair Aidid melaung memanggil
nama Aathifah. Satu-satu adik perempuannya.
Aathifah bingkas. Tuala dicapai untuk menutup
kepalanya sebelum menguak pintu bilik. Terjengul kepalanya
dengan separuh pintu dibuka. Badan masih tersorok di
belakang pintu.
“Abang Hir nak apa?”
Zuhair Aidid memandang wajah suci adiknya yang
sentiasa menutup rambut walaupun berada di dalam rumah.
Tahulah bakal guru, tapi takkan dengan abang sendiri pun
malu nak tunjuk rambut?
“Nak minta tolong dengan Aathi.”
“Tolong apa?”
Zuhair menghulurkan kemeja di tangannya.
“Gosok baju abang. Esok pagi abang nak pakai.”
Apa kes pula nak pakai kemeja esok pagi? Biasanya
dia suka pakai t-shirt ada kolar saja. Jarang sekali nak pakai
kemeja bergosok lendek.
“Nak jumpa siapa esok, siap pakai kemeja bagai ni?”
“Wakil NGO. Dia nak tempah t-shirt bercetak dalam
jumlah yang banyak untuk diagihkan kepada anak-anak
yatim.”
Aathifah mengangguk faham.
“Baklah sini. Gosok baju sendiri pun malas.” Sempat
juga dileteri si Zuhair itu.
Zuhair cekak pinggang sebelah.
“Hai, bunyi irama suara tu kurang ikhlas
nampaknya.”
Aathifah mencemik. Baju di tangan Zuhair diambil.
“Aathi ikhlas, tapi sendiri mahu ingatlah kalau dah
dapat job masyuk macam tu.”
Zuhair tergelak.
“Alah... untuk adik abang seorang ni, abang tak
berkira. Cakap saja Aathi nak apa. Abang belikan.”
Merekah senyuman di bibir Aathifah. Senyuman itu
memang cantik. Zuhair Aidid mengakui senyuman mahal
milik Aathifah itulah sumber inspirasinya. Melihat senyuman
indah itu memberi semangat kepadanya. Refleks sahaja
tangannya itu naik, mahu mencuit hidung si adik. Tindakan
pantas Aathifah yang menutup pintu bilik sebelum tangannya
menyentuh hidung milik adiknya itu membuatkan Zuhair
terkedu. Dia hanya menggelengkan kepala sebelum berlalu
menjauhi bilik Aathifah.
Tak mengerti Zuhair dengan adiknya nan seorang
itu. Semenjak Aathifah melanjutkan pelajaran ke universiti,
hubungan mereka agak janggal. Aathifah sering kali
mengelak untuk bergurau senda apatah lagi mahu bertepuk
tampar dengannya. Apakah kerana adiknya itu semakin
matang atau Nur Aathifah Amni yang manja dulunya kini
diselaputi perasaan malu yang menebal? Walhal semasa di
bangku sekolah dahulu mereka umpama belangkas. Kepada
dialah Aathifah meluahkan perasaan. Kepada dialah Aathifah
bercerita dan meluahkan masalah. Dalam hal pelajaran,
Zuhairlah yang menjadi tempat rujukan.
Nur Aathifah Amni sekarang bukan seperti Aathifah
zaman remaja. Aathifah dahulu seorang yang riang ria. Rumah
umi dan walid berseri kerana mulut murainya. Bercerita itu
ini sehingga menggeletek hati orang yang mendengarnya.
Zuhair, umi dan walid sering kali tertawa dengan telatah
Aathifah. Entah ke mana perginya adiknya yang dulu.
Kadang-kadang dia terfikir, barangkali Aathifah mengalami
putus cinta, tak pun sedang dilamun cinta. Namun dia gagal
menebak jawapan sendiri kerana Aathifah sering kali menolak
apabila persoalan tentang cinta dilontarkan.
“Zuhair...” Puan Ruwaidah menyeru nama anak
lelakinya. Sejak dari tadi dia melihat berkerut-kerut dahi
anak lelakinya itu.
Zuhair berpaling. “Ya umi.”
“Kenapa Hir ke bilik Aathi tadi ?”
“Oh... Hir minta dia tolong gosokkan kemeja.”
“Manjanya. Gosok sendiri tak boleh ke?”
“Aathi bukannya ada buat apa-apa pun umi. Dia
belum start kerja lagi. Setakat gosok baju Hir tu, tak ada
masalah bagi dia.”
“Ermm... jangan pula buli dia sudah.” Secuit
peringatan ditujukan buat Zuhair.
“Mana ada Hir buli dia umi. Lagipun gosok baju tu
kan kerja perempuan, wajiblah Aathi tu biasakan diri buat.
Nanti dah berumah tangga, hari-hari kena gosok baju suami
dia.”
“Hai... Aathi pula yang dikatanya. Hir tu yang perlu
persiapkan diri dengan hal-hal sebegitu. Aathi tu mungkin
lambat lagi, tapi Hir dengan umur sekarang memang patut
beristeri.”
“Umi... Hir belum masuk three serieslah.”
“Lagi enam bulan... tiga puluh tahunlah kamu tu.
Jangan nak perasan muda pula.”
Zuhair angkat tiga jarinya untuk menunjukkan
angka tiga. Kemudian dia gelengkan kepalanya dengan
senyuman. Tanda belum ready untuk angka itu sebenarnya.
“Dahlah Hir, umi masuk tidur dulu. Kamu tu kalau
layan movie, jangan sampai tertidur kat ruang tamu pula,”
ujar Puan Ruwaidah sebelum berlalu.
Zuhair tersengih. Memang dia kerap tertidur di
ruang tamu. Bukan dia menonton sangat. Kadang-kadang
layan Twitter ataupun berborak -borak kosong dalam grup
WhatsAppnya. Bila mata mengantuk, sofa terus jadi katil.
Lincah tan gan Aathifah menyusun cawan dan pinggan di
meja makan. Sejak dia kembali ke rumah Puan Ruwaidah,
dapur itu dialah yang kuasai. Umpama bilik keduanya pula.
Puan Ruwaidah boleh rehatkan diri. Aathifah amat rajin
memasak. Pelbagai resipi hendak dicubanya. Barangkali
kerana bosan tidak tahu hendak buat apa, dapur pula
dijadikan teman setia.
“Morning sunshine.”
Aathifah tegakkan badan. Lima jari diangkat ke paras
telinga.
“Morning Sarjan Darus. Sarapan dah siap. Tuan
boleh duduk.”
Meledak tawa si bapa dengan lagak skema anak
daranya. Mentang-mentanglah dia pegawai polis berpangkat
sarjan.
“Wanginya bau, Aathi masak apa?”
“Bihun goreng Singapura dan kuih seri muka.”
“Sedapnya,” sampuk Puan Ruwaidah yang baru
tiba di meja makan. Dia telah lengkap berbaju kurung.
Puan Ruwaidah bekerja sebagai kerani di balai polis, tempat
suaminya bertugas.
“Umi dan walid duduklah. Biar Aathi sendukkan.”
“Umi boleh senduk sendiri sayang. Aathi pergi
panggil Zuhair. Katanya ada meeting penting dengan klien
pagi ni.”
Serba salah Aathifah dibuatnya. Ada sedikit gementar.
Zuhair tu bukan jenis pemalu. Kadang-kadang dia selamba.
Pagi pertama dia kembali ke rumah, Zuhair masuk ke dapur
dengan bertuala sahaja. Kata Zuhair, tak tahan dengan bau
sedap karipap goreng. Aathifah terkejut, sampai terpelanting
sudip. Zuhair boleh pula buat muka selamba.
“Eh... eh... termenung pula anak dara kita ni
walidnya. Aathi ingat kat siapa?”
Aathifah terperanjat. Kantoi.
“Okey, Aathi pergi panggil Abang Hir sekarang.”
Bergegas Aathifah menuju ke bilik abangnya. Sampai di
hadapan pintu Zuhair, dia berhenti. Berfikir dua tiga kali
untuk mengetuk. Teringatkan baju Zuhair yang telah siap
digosok, baju itu diambil terlebih dahulu di dalam biliknya.
Dek debaran hati tak menentu, Aathifah sedikit kalut. Pintu
biliknya dibiarkan ternganga sahaja.
“Aathi... where’s my shirt?” tanya Zuhair yang telah
melangkah masuk ke bilik adiknya.
Jantung Aathifah berdegup laju. Tubuh pemilik
suara ada di belakangnya. Dalam hati, memarahi diri sendiri
kerana tidak menutup pintu. Kemeja di tangannya di hulur
kepada Zuhair tanpa berpaling.
Berkerut kening Zuhair menyambut huluran itu.
Apa hal? Buang tabiat gamaknya.
“Aathi... kurang sopan tau bagi sesuatu tak kalih
badan. Ada apa kat muka tu sampai tak nak berpaling pada
abang?”
Aathifah pejam matanya rapat. ‘Aduh! Nak bagi alasan
apa ni? Aku takut dia masih belum pakai baju. Gemuruh tahu
tak, tengok badan dia walaupun tak berketak-ketak macam
ahli gimnasium sekalipun!’
Zuhair tak puas hati dengan gelagat Aatifah. Diatur
langkah untuk berdiri di hadapan adiknya itu. Dia diterpa
kehairanan melihatnya mata adiknya yang kejap tertutup.
“Aathi... buka mata tu. Look at me.”
Aathifah berpura-pura menggosok kedua belah
matanya.
“Aduh pedihnya mata Aathi. Tak boleh bukalah
Abang Hir.”
Gelabah Zuhair dibuatnya. Kemeja di tangan di
sangkutkan pada penyangkut hadapan almari Aathifah.
Tangan Aathifah dipegang.
“Jangan gosok mata dengan tangan. Nanti makin
sakit. Buka mata, biar abang tiup.”
Aathifah rasa jantungnya tergolek jatuh. Dahlah
tangannya dipegang, badan Zuhair pula agak rapat dengannya.
Tak sanggup dia membuka mata.
“Ehem... ehem... Zuhair... Aathi... apa hal tu?” suara
Puan Ruwaidah bergema mengejutkan keduanya.
Aathifah cepat merentap pergelangan tangannya
yang dilelar Zuhair. Ada rona merah muncul di pipinya.
Segan dia kepada umi.
Zuhair biasa saja. Baginya tiada apa yang ganjil
berlaku antara mereka.
“Aathi ni umi... kata sakit mata, nak tiup tak bagi.
Duk gosok dengan tangan, makin pedihlah.”
Puan Ruwaidah bergerak menghampiri Aathifah dan
Zuhair. Dilihatnya Aathifah pejam mata.
“Meh... umi tengok Aathi. Hir pergi masuk bilik Hir
dulu. Pakai baju.”
Zuhair jongket bahu sahaja. Baju kemejanya dicapai
dan dia melangkah selamba meninggalkan bilik adiknya itu.
Puan Ruwaidah menggelengkan kepalanya dengan
tingkah Zuhair. Manalah tak terpejam mata budak Aathifah
itu melihat Zuhair yang hanya berseluar slek? Tak tahu segan
sungguh si Zuhair ni! Tahulah bilik adik sendiri, tapi payah
sangat ke pada dia untuk sarung baju dahulu sebelum terjah?
“Kenapa Aathi biarkan Zuhair masuk? Patutnya tadi
Aathi bawa kemeja yang digosok ke depan pintu bilik dia.”
Ada rungutan di sebalik soalan uminya.
“Maaf umi. Aathi lupa tutup pintu masa masuk ambil
baju abang,” ujar Aathifah dengan rasa bersalah. Matanya
sudah dibuka seperti sediakala. Syukur dia tak terpandang
badan Zuhair. Benar sekali telahannya, Zuhair memang tidak
berbaju. Dia tak tengok pun, umi dah bagi jawapan tadi,
bukannya dia tak dengar.
“Mata Aathi betul ke sakit?”
Aathifah garu kepalanya yang dibaluti tudung.
Dilanda serba salah mahu berbohong atau tidak dengan
uminya. Takkanlah nak beritahu malu nak tengok badan
Zuhair? Seganlah dia!
Puan Ruwaidah mengelus bahu anak dara suntinya
itu.
“Aathi tipu saja kan tadi? Aathi tak bagi jawapan pun
umi dah tahu.”
Aathifah menunduk sahaja. Tak berani menentang
wajah umi. Bimbang perasaannya dapat dibaca si ibu.
“Jomlah sarapan. Lain kali pastikan pintu bilik Aathi
ni berkunci ya?” ajak Puan Ruwaidah bersama pesanan.
Aathifah hanya mengangguk sebelum menuruti
umi ke dapur. Dia faham mengapa pesanan itu dititipkan
kepadanya. Tapi sekali fikir macam tak adil pula. Mengapa dia
seorang yang perlu berhati-hati? Zuhair tak perlu ke?

No comments:

Post a Comment