SUNYI.
Ida tarik daun pintu pelan-pelan.
Memang sunyi.
Lili dah masuk kerja agaknya. Dia mahu mandi. Pagi tadi pun,
dia hanya sempat ambil wuduk, dia tak mahu bertembung dengan sesiapa.
“Aku ingat kau dah mati.”
Nasib baik tak tergolek dia di situ. Ida urut dada.
“Ida, apa ni? Apa kena ni?”
Ida mahu masuk ke bilik namun tangan Zarra lebih pantas
memegangnya. Dilla juga sama, siap berkawal di depan pintu.
“Ya Allah... kenapa bibir kau pecah ni, Da? Kau taruk ubat
tak?”
“Aku jatuh kat tangga semalam. Mengantuk kut.”
Dilla mendengus. “Kau cakap betul-betul, Ida. Aku lempang
kau nanti.”
Ida pandang Dilla, pegang tangan Dilla kuat-kuat. “Betul,
La... aku jatuh semalam.” Ada getar dalam suaranya. Beberapa kali dia
mengalihkan wajah, menyembunyikan kecederaannya itu di balik tuala.
“Kalau kau jatuh, dengan gigi kau sekali patah tau. Ini. Ini
pecah macam kena tumbuk!”
Zarra diamkan diri. Tarik tangan Ida yang sejuk.
“Ida, tolong. Tolong kami tolong kau. Kalau betul kau jatuh
sekalipun, jom kita ke klinik.”
Ida geleng cepat-cepat. “Aku okey, aku dah taruk minyak
gamat dah.”
“Minyak gamat? Mari aku taruk minyak panas kat muka kau,
mau?” tengking Dilla kurang sabar.
“La... sabar...” pujuk Zarra.
Dilla peluk tubuh. Dia tahu. Ibunya juga sama macam Ida.
Kena belasah dengan bapaknya, masih beri alasan jatuh, tergelincir. Sehinggalah
saat bapak meninggal dunia akibat kemalangan, ibu tetap setia. Dia tahu, dia
faham segala keperitan yang dilalui Ida.
“Ida, aku ni, kalau kau nak mampus sekalipun, jangan depan
aku, depan kawan-kawan kita. Aku tahu kau sayang Halim, tapi ini bukan sayang.
Apa guna kau bela dia, cintakan dia kalau ini yang kau dapat hari-hari, Da?
Cuba kau cakap dengan aku, Da? Apa yang kau dapat? Apa yang kau dapat?” marah
Dilla lagi, cuba menyedarkan kawannya itu.
Kali ini Ida menangis. Air mata yang turun tak dapat
ditahannya lagi. Semalam juga dia menangis, namun perlahan saja.
“Cukuplah, Da. Putus saja dengan Halim. Aku tak sanggup
tengok kau macam ni...”
Ida menangis dan menangis lagi. Kalaulah dia mampu dan
semudah itu.
MAHU DIA melompat bila tengok maknya. Diambilnya si Abam
yang sedang tidur di pangkin kayu. Amboi... membuta kerjanya. Nasib baik kucing,
kalau orang, dia dah ikat pada tiang, sesen tak guna kalau asyik membuta.
“Bangunlah! Aku suruh kau jaga rumah, jaga mak, jaga
nenek... ni siapa yang jaga siapa ni?”
Kucing itu menggeliat. Mengiau panjang sambil menjilat
mukanya.
Zarra gomol si Abam. Rindunya dia pada anak bulusnya ini.
Dia letakkan Abam kembali ke pangkin, menyalami tangan Puan Aini.
“Kenapa balik? Esok syif petang ke?” soal Puan Aini dalam
mengah. Petang-petang macam ni memang dia senang ke tanah. Berkebun dan
bersihkan laman rumah.
“Esok Zarra off sebab tu balik ni. Lagipun rindu mak... Mana
nenek?”
Puan Aini senyum simpul.
“Ada, lelap kut. Nenek demam sikit semalam. Mak suruh dia
rehat saja. Lagipun cuaca panas sangat campur dengan jerebu ni.”
“La... habis tu dah ada ubat? Kalau tak ada, Zarra pergi
beli kejap. Mak, ambik ni. Zarra cari ubat nenek kejap,” katanya lalu
menyerahkan bungkusan yang dipegang sejak dari tadi.
“Eh, kalau ya pun, naik dulu.”
“Nanti Zarra naiklah,
mak. Zarra jalan dulu.”
Puan Aini tak terkata. Kalau sudah cakap Zarra, larang macam
mana pun, tetap dia buat. Keras kepala, macam arwah suaminya. Dia tengok isi di
dalam bungkusan plastik. Huh, macam-macam ada. Beras, gula, susu, bawang. Hai,
underwear pun ada. Dia tergelak. Dapat gajilah tu.
SERONOKNYA DAPAT pecut motor laju-laju. Angin yang menderu
umpama mahu mengajak dia berlumba bersama-sama. Ni kalau neneknya tengok, mesti
Zarra kena pulas telinga. Zarra ketawa sendiri. Seronok bukan, kala
berseorangan, bawa motor laju-laju, menyanyi sorang-sorang macam orang gila.
Yalah, kalau pandu kereta, lain cerita. Bolehlah buka radio, tak pun masuk CD,
lepas tu karaoke kat dalam kereta kuat-kuat. Hidup. Hanya sekali, kan? Apa
lagi, hiduplah betul-betul.
Dia pulas minyak motor, mahu segera sampai ke Pekan Bukit
Payong. Sampai di hadapan klinik, dia perlahankan motosikal lalu mengambil
parkir. Perlahan dia tanggalkan topi keledar.
“Dah agak dah. Gaya memang betul, tak sangka dah bertudung
sekarang ni. Dah taubat ke?”
Zarra menoleh pantas, siapa pula yang cabul nak makan
selipar jepun pada petang hari nan mulia ini? Dia betulkan tudung yang senget,
senyum manis.
Ahhh... manusia ini.
“Ya, saya. Abang Nuar dari mana? Baru bangun tidur? Mesti
tak sembahyang zuhur lagi, kan?”
Anuar sengih saja. Mulut Zarra memang bisa. Kalau nak cakap,
cakap terus. Dia cabut spek mata hitam yang baru
dibelinya di pasar karat di Kuala Berang minggu lepas.
“Biasalah, Zarra kan tahu jadual Abang Nuar, penuh setiap
hari. Kerja mana sekarang? Kalau tak kerja, 7-Eleven abang sentiasa terbuka
untuk Zarra.”
Hahaha... 7-Eleven dia kepala otak berjambul. 7-Eleven tu,
bapak dia yang punya. Yang si anak, berlagak nak mampus. Nak kerja kat situ
lagi? Hohoho... tak nak dia. Tak pasal-pasal kena raba lagi nanti. Anuar inilah
yang dia karate dulu. Berani raba dia, ingat dia kucing macam si Abam ke? Sorry
naik feri, ini Zarra Zainal!
“Tak apalah, Abang Nuar. Terima kasih. Zarra dah kerja pun.”
Anuar senyum sinis. “Kerja apa? Mekanik? Jual air tebu?”
Ohhh... memang nak kena jantan ni. Zarra senyum lagi, lebar
dan bercahaya. “Menoreh.”
Ketawa besar lelaki itu. Mahu saja dilempangnya, tapi nanti
kecoh pula. Masuk surat khabar tak pasal-pasal. Muahahaha!
“Itulah, Abang Nuar ajak Zarra kahwin dengan Abang Nuar,
Zarra tak nak. Tak payah Zarra kerja, menoreh ke apa. Goyang kaki je.”
Kahkahkah... Diri sendiri pun mak bapak yang tanggung, ada
hati nak tanggung orang lain.
“Hesy, mana layak Zarra untuk abang. Ramai lagi yang suka
abang tau, abang je tak tau.” Zarra mahu jalan, makin lama melayan, makin
parah.
“Huh, sombong Zarra ni. Tahulah nanti siapa abang.”
Kali ini Zarra mahu gelak. Kenapa? Kau siapa? Bumblebee?
Iron Man 5.0 ke Running Man ahli ke-8? Kalau bukan semua tu, tak payah auta,
dia tak hairan.
“Okeylah, bang. Jumpa
lagi,” pinta Zarra lalu cepat pergi dari kawasan parkir itu.
Oh no. Tak payah jumpa lagi, menyemak kepala otak saja. Sila
blah!
MATANYA SEPARUH terbuka. Mengantuk jangan cakaplah. Selepas
balik dari surau dengan mak dan neneknya, Zarra terus tidur terguling di
kerusi.
“Bangunlah, tidur dalam bilik,” arah Puan Aini.
Zarra buka mata, pandang maknya yang tersenyum memandangnya.
“Nantilah, mak. Orang tak daya nak angkat kaki ni. Kalau merangkak masuk bilik
aci tak?”
“Merangkak masuk kubur terus Zarra oiii...” sampuk Tok Teh.
Mulutnya asyik mengunyah sirih.
Pedihnya jawapanmu, nenek weh... Mahu dia bertaubat terus.
Puan Aini gelak sambil elus pipi Zarra. Kesian anaknya ini.
Diciumnya dahi Zarra lembut.
“Apa ni mak? Mana boleh cium-cium gitu,” marahnya olok-olok.
“Eleh, kalau mak cium tak boleh, nanti dah ada pakwe, kamu
yang gatal nak cium dulu,” ejek emaknya pula.
“Buatlah. Kirim salam kat Abu Lahab kat neraka nanti,”
sampuk neneknya bersahaja.
Alahhh... nenek punya sampukan memang pedas amat. Dia
ketawa, peluk Puan Aini kuat-kuat, cium dahi itu dengan lembut juga.
“Zarra sayang mak.”
Dia bangun, peluk dan cium Tok Teh.
“Zarra sayang nenek.”
Tok Teh cubit pipi cucunya nan seorang itu kuat-kuat. “Nenek
tahu. Tidur, esok kita bungkus tapai.”
Zarra ketawa lagi. Seronoknya hati, hanya Tuhan saja yang
tahu.
“BELI IKAN ke?”
Zarra toleh. Tuty.
“Ya. Tuty dari mana?” soalnya berbahasa.
“Tunggu Zatil. Nak pergi Paya Bunga Square, beli handphone
baru.”
Ohh... panjangnya jawapan. Zarra senyum. Mesti beli
smartphone, kan? Dia ada telefon cikai ni pun dah kira okey.
“Kau kerja mana sekarang? Kau belajar U dulu kan?” tanya
Tuty.
Kenapa semua orang sibuk nak temu duga dia ni? Glamor
sangatkah dia?
“Menoreh kat hujung kampung,” jawab Zarra malas. Tangannya
membelek-belek kangkung yang segar. Suruh mak goreng belacan sedap ni.
“Kan? Belajar tinggi-tinggi tak semestinya kerja pun tinggi.
Membazir.”
Hesy... Aku libas dengan kangkung karang, malu satu kampung.
Belum Zarra hendak menjawab, tiba-tiba ada suara lain.
“Tak membazir, Tuty.
Ilmu yang dapat tu penting. Kalau tak ada ilmu, bercakap pun orang tak mahu
dengar, tong kosong. Kalau ada ilmu, kerja apa pun, ilmu tetap ada. Orang malas
dengan pendek akal je yang fikir macam kamu.”
Zarra toleh.
Kak Halina, kakak kepada Hisham. Dia telan liur. Sudah lama
dia tidak bersua dengan Halina. Kalau dia nampak, memang sengaja dia mengelak.
Tuty senyum-senyum, buat-buat pandang jam tangan. Bila
Kancil milik Zatil sampai, cepat-cepat dia masuk ke perut kereta lalu beredar.
“Zarra cuti ke hari ni?”
Dia angguk, menyalami tangan Halina.
“Ya kak, off sehari. Lama tak jumpa mak dengan nenek.”
“Zarra kerja kat mana? Lama tak nampak.” Dia pandang Zarra
dengan senyuman. Sudah dewasa, makin cantik. Nanti dia akan cakap kepada
uminya, Zarra ada di kampung. Mesti uminya suka.
Zarra berkira-kira sebentar, nak tipu ke, nak cakap
betul-betul?
“Kerja kat Bandar KT. Cashier, kak.”
Halina senyum.
“Baguslah. Asal kerja. Lama Zarra tak datang bengkel batik
akak. Kalau ada masa, datanglah. Design yang mak Zarra buat memang cantik. Lagi
cantik daripada dulu tau.”
“Ya, kak. Insya-Allah. Zarra jalan dulu ya, kak.”
Halina angguk.
Cepat-cepat Zarra membayar, lalu berlalu pergi. Entah
kenapa, hatinya mahu menangis.
“ASAL BALIK kampung
je, muka cemerlang, gemilang,” usik Dilla. Hari ini ramai yang check out, jadi
sebelah petang begini bolehlah mereka bertenang sedikit.
Zarra senyum lebar sambil susun segala borang di dalam
bakul. “Ida kerja tak hari ni?”
Dilla angguk. “Kerja. Tapi macam tulah. Tak banyak bercakap.
Banyak berkurung kat dalam bilik. Kerja pun kata Kak Wanie, macam zombie.
Zarra, tu...”
Zarra angkat muka. Hatinya kaku seketika.
Hisham.
Seluar khaki warna hitam dan t-shirt putih berkolar. Dia
palingkan wajah, pandang ke arah lain.
“Hai ladies. Macam mana hari ni, okey?”
“Okey sangat, Encik Hisham,” jawab Dilla.
“Dilla, bukan setiap department ada grup WhatsApp
masing-masing ke?”
“Ya, Encik Hisham. Tapi si Zarra ni, nak add dia pun tak
boleh, pakai telefon zaman kanak-kanak Ribena dulu kala lagi.”
Aduhhh... merah padam muka Zarra. Takkan itu pun nak cerita?
Tak guna punya kawan.
Hisham senyum, pandang Zarra yang tunduk. Marah ke malu tu?
Dia mahu ketawa, tapi dia tahan.
“Oh, dah dapat gaji belum, Cik Zarra? Belilah satu
smartphone. Yang murah-murah pun banyak sekarang.”
“Insya-Allah,” jawab Zarra. ‘Apa? Ingat gaji aku tu tak ada
benda lain nak buat ke? Sibuk je,’ sambungnya dalam
hati.
Ai, sepatah saja jawabnya.
“Entah. Ni ha Naim, oder je phone dekat dia. Semua kedai
telefon dia kenal.”
Zarra ketap bibir. ‘Yalah, mangkuk. Ni apa hal tercegat lagi
kat sini? Pergi jauh-jauh.’
“Lusa kita buat cabutan Employee of The Month. Jangan lupa
tengok bulletin board sebelah wall Sky of Love.”
‘Aku tahulah. Pergilah jauh-jauh.’
Hisham tenung seketika wajah itu. ‘Zarra, pandanglah abang
walaupun sekejap. Tolong.’
Zarra terus tunduk. ‘Ya Allah, tolonglah jauhkan aku dari
lelaki ini.’ Kakinya sudah hampir longlai.
“Okay, keep it up. Selamat bertugas semua.”
Dia berlalu, meninggalkan Zarra yang masih sepi tanpa
memandangnya.
‘Zarra, sampai bila kita mahu begini?’ rintih hati Hisham
sambil kaki melangkah lemah.
LIYANA SENYUM sinis. Dia pandang balik skrin smartphonenya.
Gambar-gambar tadi telah dihantarnya kepada Kartini. Hai Zarra, makan tapak
kakilah nampaknya.
Sementara itu, Kartini ketap bibir. Sengaja dia hentikan
Mini Cooper miliknya di bahu jalan. Dia tahu, kalau WhatsApp daripada Liyana,
mesti ada sesuatu yang penting. Cepat-cepat dia menyentuh skrin telefon. Ada
lima keping gambar semuanya.
Hisham.
Hisham pandang Zarra.
Gambar Hisham yang tak lepas-lepas memandang Zarra.
IPhone itu dicampaknya ke tempat duduk sebelah. Baik. Dia
mahu dengar, apa pula alasan Hisham kali ini.
HISHAM URUT dahi. Bukan sebab kerja dia sakit kepala, tapi
kerana wanita ini. Selamba saja Kartini datang, menyerbu biliknya di pejabat.
Mata yang memandang, bukan Kartini kisah. Kalau Tengku Adnan tahu, pasti dia
juga yang dapat natijahnya.
“Kenapa dengan Tini ni? Sham banyak kerja nak buat ni,
Tini.”
Kartini hempaskan diri pada sofa, pandang Hisham dalam
renungan tajam.
“Kerja apa? Melawat kawasan, melawat lobi? Ziarah orang
kampung?”
Haa... itu ke sebabnya? Hisham geleng kepala. Dia duduk di
sofa berhadapan dengan Kartini yang masam macam yogurt basi.
“Ya. Sham melawat lobi, pantau coffee-house, pantau
restoran, pantau kitchen, pantau semua department dalam hotel ni. Itu tugas
Sham. Kerja Sham. Kalau Tini tak suka, Sham jumpa dengan papa Tini, mintak dia
tukar position Sham. Tini nak Sham kerja kat mana? Guard? Waiter? Receptionist?
Mana Tini nak Sham pergi? Mana?”
Kartini telan liur, pandang wajah Hisham yang tenang
walaupun nada suaranya sedikit keras. Dia gigit bibir, bermain-main dengan tali
tas tangan di ribanya.
“Sham kerja kat sini,
Tini. Sham bukan datang goyang kaki. I’m here to work my ass, babe.”
“Sambil flirting, kan?” Kartini tak mahu kalah. Dia pandang
Hisham, berlaga pandangan.
Hisham bangun, masuk tangan ke dalam poket.
“Kalau Tini fikir macam tu, fine. Teruskan. Alang-alang dah
orang cakap kita flirting, kita buat saja.”
Kartini tersentak. Terus dia bangun, pegang tangan Hisham.
“Sham... I’m sorry. Tini tahu Tini salah, but... Tini
cemburu. You are mine, right?”
Hisham mendengus perlahan.
“Nobody owns me, Tini.”
Kartini tarik nafas, rasa nak menangis di situ.
“Maafkan Tini... Please...”
Hisham kembali duduk. Dia pangku dahi, pandang wajah Kartini
yang mengharap. “Jangan buat lagi, Tini. You are too sophisticated to deal with
all this nonsense.”
Terhenyak Kartini dengan kata-kata itu. Dia hanya mampu
bungkam.
“Dah, tenangkan diri. Tak pun pergi coffee-house, isi perut
you.”
“Temankan I ya, Sham.”
Hisham hanya mampu angguk.
“ZARRA, TENGOK tu... meluat aku. Macam Miss Bitchy dengan
Mr. Awesome. Langsung tak padan.”
Zarra pandang ke arah yang ditunjukkan. Bergetar hatinya
sesaat dua. Dia hanya pandang sekilas apabila Hisham dan Kartini melintas
bersama-sama di lobi. Dia kembali tunduk.
Interkom di sebelahnya tiba-tiba berbunyi.
“Zarra?”
“Ya, saya. Ada apa, Puan Jayasri?”
“Habis syif nanti naik ke HR department sekejap ya.”
“Okey, nanti Zarra naik.” Kemudian dia letakkan gagang.
“Siapa?”
“Madam Jayasri.”
“Apa hal?”
“Entahlah, La. Nantilah aku cerita balik.”
Dilla angkat kening.
Zarra pandang depan. Dua orang tu ada lagi. Siap duduk-duduk
di depan lounge di lobi. Tapi biarlah. Bukan ada kena-mengena dengan dia pun.
“Tak malu. Hari-hari datang menempel.”
“Biarlah, La. Hotel bapak dia. Kalau ini hotel bapak aku
pun, aku datang hari-hari.”
“Kau datang mesti nak kerja, kan? Dia? Dia tahu datang
makan, mandi dalam pool, lepas tu pergi spa. Spa sendiri ada, buat apa datang
sini? Makan gaji buta.”
Zarra tergelak.
“Tak baik, La. Dah rezeki dia Allah beri macam tu.”
“Tapi serius, Zarra... aku tak faham kenapa Encik Hisham
boleh couple dengan Miss Bitchy tu? Kalau dengan aku ke, kau ke, lain cerita.”
“Sebab mereka belajar
kat overseas sama-samalah. Korang apa tahu? Mengumpat je kerjanya,” sampuk Naim
tiba-tiba.
“Diaorang belajar kat mana dulu? Hebat. Overseas kau.”
“Korea.”
Naim dan Dilla pandang dia. Zarra tergamam seketika.
“Mana kau tau, Zarra?”
“La, hari tu Ida ada cakap kan?”
“Ohhh... betul juga. Anak orang berduit. Alaska pun boleh
hantar, jangan cakap Korea.”
Zarra setuju dalam hati. Entah, tiba-tiba saja matanya mahu
melirik, memandang pasangan itu yang mula bangun bergerak ke arah coffee-house.
“Kita ni tengok saja bolehlah, Zarra. Dunia kita lain, dunia
diaorang lain,” kata Dilla.
Zarra senyum hambar namun jantung terhenti apabila Hisham
memandangnya sekilas. Walaupun hanya beberapa saat, pandangan mereka bertaut.
‘Ya Allah... kenapa jantung ini kian berdebar-debar?’ Hati
Zarra resah.
“UMI, SHAM ada hal sikit nak cakap dengan umi.”
Hajah Kalsom letakkan kaca mata di meja. Kitabnya ditutup.
“Abi mana?” tanya Hisham terlebih dulu.
“Masjidlah. Lepas
isyak nanti dia baliklah. Umi tak larat nak ikut malam ni, sakit pinggang.”
Dia diam saja, dengar keluhan uminya tanpa mencelah.
“Hal apa, Sham? Serius bunyinya.”
“Sham dah jumpa Zarra.”
Hajah Kalsom pula yang diam.
“Mana kamu jumpa dia? Kat kampung dia?” Huh, bukan Hajah
Kalsom tak tahu, Halina baru saja cakap dengan dia. Jadi betullah Zarra ada di
kampung sana sekarang?
Hisham geleng.
“Kat hotel tempat Sham kerja. Dia kerja kat situ jugak. Umi
ada jumpa dia ke sebelum ni?” soalnya kembali. Dia tengok umi cool saja.
“Lepas dia masuk universiti, umi langsung tak pernah jumpa
dia. Akak kamu ada terserempak dengan dia hari tu. Jadi umi tahu dia ada di
sini. Nak umi jumpa dia?” soalnya kembali, mencari jawapan pada wajah Hisham.
Hisham diam berfikir. Buat apa? Tak payahlah. Dia dah besar
panjang. Pandailah dia selesaikan sendiri.
“Tak payah, mi. Ini masalah Sham, biar Sham yang uruskan.”
“Kamu anggap Zarra tu sebagai satu masalah ke, Sham?” soal
uminya tiba-tiba.
Aduhhh, silap penggunaan ayat pula.
“Bukan macam tu, mi. Maksud Sham, antara Zarra dan Sham,
biar Sham usahakan untuk cari jalan penyelesaian. Lagipun Sham dah minta maaf
dengan dia, mi.”
“Dia maafkan kamu?”
Hisham genggam kedua-dua belah tangan, pandang
uminya yang berkerut dahi.
“Ya, dia maafkan Sham.” ‘Sekadar memaafkan tapi tak
melupakan,’ sambungnya dalam hati.
“Maaf tu boleh dengan mulut, Sham... tapi maaf yang tulus dari
hati, itu yang payah. Kalau kamu fikir dengan maaf dari mulut itu sudah dapat
legakan hati kamu, terpulanglah.”
“Umi nak Sham buat apa sebenarnya?” soalnya menduga.
“Umi mahu kamu lunaskan janji kamu sepuluh tahun yang dulu.”
Hisham sandarkan tubuh, sepasang tangan ke dahi.
‘Insya-Allah, umi. Sham akan tunaikan.’
“Kalau Sham tak boleh tunaikan janji tu?”
Hajah Kalsom pandang dia terkebil-kebil. “Itu antara kamu,
Zarra dan Allah.”
Hisham senyum. Dia tahu, dia sudah jangkakan jawapan itu.
“DA, KAU macam mana sekarang?”
“Aku okey.”
Semua diam. Masing-masing kembali pandang televisyen.
“Kau sayang Halim, Da?” soal Zarra berani. Berani mati dia
kali ini.
Dilla dengan Lili nganga pandang Zarra. Lepas itu pandang
Ida yang juga nganga. Apa hal semua nganga ni?
“Kalau kita sayang orang, kadang-kadang semua
kelemahan dan kesilapan dia kita terima. Masalahnya
sekarang, dia asyik ulang kesilapan yang sama, betul tak?”
Ida tunduk, pandang lantai. Dia tarik nafas dalam-dalam.
Matanya mulai berkaca-kaca.
“Aku sayang dia, Zarra. Dari sekolah menengah lagi kami
bercinta. Perangai panas baran dia saja yang tak elok...”
“Panas baran saja? Kau jangan nak bela dia, Ida... Yang dia
pukul, sepak terajang kau tu apa?” Keras suara Dilla.
Zarra jeling Dilla. Asal nak berbincang, terus naik suara.
Macam ni, bila masalah nak selesai? Cuba cakap elok-elok macam manusia ada
akal.
“Betul cakap Dilla tu, Ida. Aku tahu kau sayang dia, tapi
jangan sampai kau yang jadi mangsa.”
Ida tekup wajah pada bantal kecil. Sungguh, dia sayangkan
Halim. Dia terlalu sayangkan Halim.
“Kau nak kau mati, baru kau nak sedar? Masa tu dah tak guna,
Da. Kau nak bangun dari kubur, cari dia, hisap darah dia? Tak adanya jadi macam
tu. Dalam filem bolehlah...”
“Dilla!” tegur Zarra sambil menjeling bagi amaran.
“Bukan macam tu. Aku tahu, dia boleh berubah. Aku cuma perlu
sabar, La.”
“Da, kalau dalam setahun, setiap bulan kau kena, itu
bukannya sabar, itu namanya bodoh. Tolonglah, Da. Tolonglah tinggalkan dia. Aku
tahu kau sayang dia, tapi yang paling penting kat sini, kau sayang diri kau
sendiri.”
“Kau tak faham. Bila dah cinta, besar mana pun salah dia,
hati tetap cinta.”
Zarra terdiam. Macam salah Hisham pada dia? Sanggup ke dia
maafkan Hisham? Tak mungkin.
“Dengar cakap aku. Kau bukan sayang, tapi bodoh. Kau bukan
cinta, tapi buta! Faham!” Dilla bangun, masuk ke
bilik laju-laju.
Zarra tarik nafas, tarik Ida ke dalam pelukan. ‘Hai Ida,
kuatkan hati kau, sahabat.’
“MAAF, PUAN. Zarra terlupa hari tu. Kenapa puan nak jumpa
Zarra?”
Jayasri pegang fail, senyum pada gadis di hadapannya.
“Zarra, starting tomorrow, you kena masuk housekeeping department.”
Ohh... pasal itu aje ke? Dia okey aje.
“Laa... okeylah tu. Lagi seronok. Boleh jalan-jalan masuk
bilik sana sini. Start syif minggu ni ke, puan?”
Jayasri angguk. “Seluar panjang hitam dah beli?”
Zarra senyum sambil angguk. “Dah, don’t worry. Terima kasih.
I’ll do my best.”
Jayasri sambut huluran tangan itu. Kalaulah Zarra tahu yang
dia dapat bertukar department bukan kerana permintaan dia dulu, tapi kerana
arahan Miss Kartini. Jayasri mengeluh pendek. Kaya berkuasa, semua benda main
petik jari.
Zarra tarik daun pintu.
“Kau kenapa? Dah kena pecat ke?”
Aduh... kenapa selalu saja dia bertembung dengan Liyana ni?
“Tak, Cik Liyana. Naik pangkat, jadi mem.”
Liyana jongket bibir. Hah, ingat dia tak tahu. Padan muka.
Biar perempuan itu rasakan. Kerjalah sampai tertonggeng kat housekeeping tu.
“Mem apanya? Kalau
babu, tetap babu, Zarra. Tak payah nak ke langit tinggi sangat.”
“Tak teringin pun nak ke langit, Cik Liyana. Mati nanti
masuk dalam tanah jugak, kan?”
Liyana ketap bibir. Suatu hari nanti, makan penampar juga si
Zarra ni. Dia jegilkan mata. ‘Kau belum kenal siapa Liyana, Cik Zarra!’
WANIE GELAK sambil tepuk-tepuk dahi dia. Melampaulah tu.
“Sakitlah, akak!”
“Elehhh... tepuk dahi dah sakit. Nanti kena basuh bilik air,
kemas katil, lagi penat wooo...”
Zarra senyum, betulkan tudung yang sedikit senget. Apasal
asyik senget aje tudung dia ni?
Saja dia datang menjenguk di sini. Lagi seronok daripada
berdiri macam patung mannequin di lobi. Esok dia akan mula bekerja di
department ini. Okeylah, di sini ada dua syif, pagi dan petang. Zarra okey
saja. Senang dia hendak balik ke rumah. Kalau malas pun dia balik ke kuarters.
Seluar slek hitam dia beli tiga pasang. Cukuplah tu.
“Kau okey ke? Dahlah kurus, nanti patah riuk
tulang-temulang, habislah...”
“Akak, kalau tengok tulang memang tak daya... tapi Zarra ni
tulang tak sama dengan kudratlah...”
“Hmmm, tahulah esok macam mana.”
Dia mengekek-ngekek ketawa. Zarra lunjurkan kaki. Tak
mengapalah. Dia hanya mahu mencari rezeki. Cukuplah
untuk dia, mak, nenek dan si Abam. Bukannya dia mahu gaji
sampai beribu-ribu. Ini pun sudah cukup. Yang penting, dia tak menyusahkan
sesiapa.
“Malam ni, Zarra makan nasi banyak-banyak. Esok datang,
semua bilik Zarra boleh bungkus.”
Mak Jan gelak bersama Wanie. ‘Amboi, bersungguh benor
gelakkan aku ya. Caitttt...’
“Jangan nak cakap besar Zarra oiii... Kalau setakat kemas
bilik kau, sambil korek hidung pun siap. Ini, ini lain wehhh...”
Zarra bangun, cebikkan bibir.
“See the legslah...”
Lagi kuat Wanie ketawa. “Kaki macam batang kayu nak suruh
tengok. Dah, dah... pergi balik.”
Zarra angkat tangan, menggeliat macam kucing.
“See you tomorrow.”
Mak Jan senyum simpul. Ya, jumpa esok. Jangan melalak sudah.
DIA SENGAJA perlahankan kaki. Buat-buat muka serius sambil
pandang sana sini. Sekali lagi dia menjeling. Memang sah bukan. Dah tukar syif
ke?
“Cari apa, Encik Hisham?”
Dia menoleh, pandang Dilla yang tersenyum lebar.
“Tak ada, nampak lain lobi hari ni. Baru mop ke?” Hahaha...
bodoh tak ayat coverline dia?
Dilla batuk-batuk kecil. Ni mesti tak pernah menipu.
Nak tipu pun tipulah yang logik-logik sikit. Harunya mamat sorang
ni.
“Zarra dah tak kerja kat sini.”
Terhenti degupan jantungnya seketika. “Kenapa? Dia ada
masalah ke?” Kena pecat dengan Kartinikah?
“Tak, bukan macam tu. Dia dah tukar department. Start hari
ni, dia masuk kerja bahagian housekeeping, Encik Hisham.”
Ahhh... macam tu ke? Mahu juga jantungnya gugur sebentar.
“Apasal kena tukar?”
“Dia yang mintak.”
‘Ohhh... nak larikan diri dari aku ke?’ Hisham gosok
tengkuk.
“Nanti jangan pulak Encik Hisham tak jenguk kami kat sini,”
tutur Dilla lembut. Mahu dia tergelak tengok Hisham tersengih-sengih. Nasib
baiklah orang handsome, kalau tak, nampak macam badut tak cukup mekap.
“Hesy... saya jenguk semua. Mana saya tinggal-tinggal.”
Dilla batuk lagi. Yalah tu... tak sabar dia nak bercerita
dekat si Zarra. Kalau nak ziarah orang kampung pun takkanlah macam ni punya
gaya? Ini dah kesampukan, kerasukan hati. ‘Ohhh Miss Bitchy! Mahu aku tepuk
tangan laju-laju.’
“Semua okey kat sini?” soal Hisham serius.
“Alhamdulillah, okey. Encik Hisham okey?”
“Ehhh... saya okey sangat. Tak apalah, saya nak round
department lain kejap. Keep up with the good work!”
Dilla tahan ketawa. “Jangan lupa jenguk
housekeeping ya.”
Hisham gelak, tersenyum sambil melangkah. Relaks, buat macam
tak tahu apa-apa. ‘Aduh, Zarra... lepas ni payahlah abang mahu bertemu mata.’
BARU DUA bilik, mahu patah pinggang dia. Bilik standard
dengan deluxe okeylah, kalau bilik family dengan suite, mahu dia terduduk kejap.
Memang nampak macam sikit, tapi cerewet. Cadar kalau ada kotor tompok kecil pun
kena tukar. Bilik air mesti kena pastikan bersih dan kering. Semua benda kena
kemas dan rapi. Paling penting, bersih dan tersedia. Mula-mula memang dia okey.
Masuk bilik kedua, terasa dah macam kena dera dengan Wanie. Semua benda dia
kena buat. Wanie bahagian betulkan dan tegur saja. Kata Wanie, housekeeping ni
macam duta kecil hotel. Kalau cantik kerja geng housekeeping, cantiklah juga
nama hotel. Sebab tu kena buat betul-betul.
“Semalam cakap senang macam kacang. Sekarang apa hal, cik
adik?”
Zarra tersengih-sengih. Semalam tak buat lagi, manalah dia
tahu.
Zarra betulkan pinggang. Ni kalau balik rumah, minta nenek
urutkan mesti masyuk. Heaven.
“Orang okeylah, akak. Saja buat-buat lenguh sana sini.” Okey
apa benda? Mahu tercabut pinggang ni. Bawa motor jauh-jauh pun dah rasa macam
nak nangis, inikan pula kalau buat kerja-kerja macam ini.
Tepuk-tepuk paha si Wanie ketawa. ‘Amboi kau... melampaulah
tu.’
“Mula-mula memang macam gitu, Zarra. Nanti dah
biasa, okeylah. Cakap kat kampung hari-hari angkut balak,
ini angkut comforter tu pun muka macam kesiangan.”
Zarra gelak, kebas comforter beberapa kali. Bestkan kalau
dapat tidur kat atas katil depan mata dia ni? Empuk dan nyenyak.
“Balak tu lain, kak... balak yang Zarra angkut, besar jari
kelengkeng je.”
“Korang buat kerja ke korang borak? Ingat hotel ni bapak kau
punya ke?”
Mereka sama-sama menoleh. Wajah sinis Liyana tercatuk di
depan pintu buat dia rasa mahu campak bantal. Hai... kat sini datang spotcheck
juga ke?
“Ni kau tukar kerja ke? Jadi mandur? Siput sedut gila
kuasa?” soal Wanie sambil bercekak pinggang. Melampau perempuan ni. Semua benda
mahu diselak. Kain sendiri tak cukup tak pula ambil tahu. Memang melampau.
“Aku tak cakap dengan kau ya, gendut!”
Ini sudah lebih. Kalau lumur dengan Fabuloso ni, karang ada
yang melalak pula.
“Gendut aku, ada laki. Kau? Daki banyaklah... hah! Masuklah
kalau berani. Kau ingat aku takut?”
Zarra pegang Wanie. Pegang kuat-kuat. Bimbang dia, sekali
Wanie hentak si Liyana tu, mahu patah empat kerat bahagi dua puluh. Hancur.
“Dahlah... cuba bawak bersabar sikit, kak...”
“Ada laki pun tak guna kalau kau mandul, bahlul!”
Wanie terdiam, ketapkan bibir sekuat mungkin. Jangan sebut
pasal anak, hatinya tersentuh. Terduduk dia di hujung katil.
Liyana jegilkan mata, melambai sinis kemudian berlalu pergi.
Melenggang gadis itu berjalan, ketawa kecil
bagai tiada rasa bersalah.
“Kak Wanie... kalau dengan kata-kata busuk si Liyana tu akak
termakan, akak memang tak patut. Anak, jodoh, rezeki, semuanya datang daripada
Dia. Dah, mengucap, istighfar.”
Wanie kesat pipi. Sebak dadanya sebentar. Cakaplah apa saja
pasal dia, dia telan. Tapi jangan dimainkan pasal anak, hatinya tersentuh.
Betul, suami dan keluarga mentuanya sangat baik, tapi kalau bab anak, dia
sensitif.
“Akak muda lagilah. Ada masa lagi. Dah, kita sambung buat
kerja. Nanti semua bilik Zarra kemaskan hari ni. Round ni, Zarra buat semua.”
Wanie tarik Zarra, peluk gadis itu kuat-kuat.
“Terima kasih, Zarra.”
Zarra gelak kecil. Tepuk paha Wanie lembut. “Sama-sama. Jom,
kita buat kerja kita. Berkat tau kak kerja kita ni. Yang penting, halalan
toyyiban.”
ALLAH... PENATNYA. Lima belas bilik dia bersihkan hari ni.
Kalaulah dia boleh pejamkan mata, seronoknya. Dia melunjurkan kaki. Mahu
meletup urat dibuatnya. Wanie sudah ke surau mini di tingkat yang sama di
belakang pantri pekerja. Dia awal-awal lagi sudah solat zuhur. Bukan apa, baik
kerjakan solat awal-awal, taklah terlajak nanti.
Stor housekeeping ini cukup teratur dan kemas. Paling dia
seronok, tempat inilah. Ruang rehat yang lengkap dengan sofa, televisyen dan
juga pantri. Di belakang pantri ada surau mini. Bersebelah surau mini pula ada
bilik khas untuk pekerja wanita menyimpan barang, mandi dan menyalin pakaian.
Bilik khas lelaki di tingkat bawah, bersebelahan
dobi. Zarra pejamkan mata. Dapat lelap sepuluh minit pun
cukuplah.
Wanie betulkan tudung. Perutnya sudah mencerut. Kena makan
ni. Dijelingnya Zarra yang terlelap. Patut ke dia kejutkan? Kesian pula. Tak
apalah, nanti dia bungkuskan makanan.
“Mak Jan, kami turun makan dulu. Nanti kalau Zarra bangun,
cakap saya dah tapau untuk dia. Biarlah dia rehat. Dia penat tu,” kata Wanie.
Mak Jan angguk, pandang Zarra yang sedang lena.
“Mak Jan nak bungkus?”
Mak Jan geleng. “Puasa sunat hari ni.”
Wanie angguk. Dia pandang Zarra sekali lagi. Tersenyum dia
dalam hati. ‘Tidurlah. Moga kau mimpikan yang indah-indah.’
HISHAM DIAM. Wajah yang lena di sofa itu dipandangnya lama.
Cantik. Tatkala Zarra tidur, dia akui, Zarra yang tercantik di matanya. Umpama
sepuluh tahun yang lalu.
Ruang itu kosong. Hanya ada dia dan Zarra di situ. Dia
perlahankan langkah, duduk sesenyap mungkin. Wajah di hadapannya ini buat
hatinya kian luluh. ‘Zarra masih bencikan abang?’
“Encik Hisham.”
Dia menoleh, memberi isyarat supaya pemilik suara itu diam.
Wanie gigit bibir. ‘Aduhai Zarra... matilah kau.’
“Maaf Encik Hisham. Dia letih sangat tu. Hari ni
lebih sepuluh bilik dia bersihkan. Maaf, nanti saya kejutkan
dia.”
Hisham senyum sahaja. “Tak apa, saya faham. Biarlah dia
tidur. Saya pun datang nak tengok-tengok semua department.”
Huiih... lega. Kalau tak, ada yang kena pecat on the spot.
Naya.
“Nanti bila dia bangun, saya pulas-pulas telinga dia ya,
Encik Hisham.”
Kali ini Hisham tergelak. Dia bangun, pandang sekilas si
gadis yang masih lena.
“Jangan kuat-kuat sangat, sikit je.”
Wanie angguk. Dia telan liur. Nasib baik dengan Encik
Hisham, Zarra oiii... Kalau dengan Cik Kartini, mau makan tapak kasut tumit
tinggi tu gamaknya. Aiyyakkk...
“Saya jalan dulu. Keep up the good work.”
“Yes, sir.” Amboi, speaking.
Sebaik saja Hisham hilang dari pandangan, Wanie terduduk.
“Huihhh... speaking. Yes sir gitu.”
“Terkejut aku, gila!”
Zarra bantai gelak kuat-kuat. Dia bangun, menggeliat macam
kucing. Gila. Mahu saja jantung dia pecah bila dia sedar yang Hisham datang.
Mujurlah dia buat-buat tidur. Mahu saja dia pengsan terus.
“Kau sedarlah masa Encik Hisham ada kat sini tadi?”
Dia angguk. Caitt... habis senget tudungnya.
Wanie gelengkan kepala.
“Nah, makan.”
Zarra ketawa. Memang dia dah lama bangun. Lapar kau.
Perghhh... mujurlah Hisham dah angkat kaki.
“Zarra, bismillah dulu.”
Dia sengih, gelak-gelak kecil. ‘Hai hati, tadi kenapa kau
menyanyi riang?’
No comments:
Post a Comment