DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 10

“KENALKAN, ini anak mak cik. Lina namanya.”
Puan Maznah berkata kepada seseorang yang berada di
hadapan. Lebar sungguh senyumannya hari ini. Ibarat
menang loteri. Memang inilah saat yang dinanti-nantikannya.
Ketika ini, dia sedang berada di sebuah restoran
bersama Lina. Ada pertemuan khas yang telah diaturkan. Di
hadapannya sekarang, ada seorang lelaki yang berpakaian
kemas. Orangnya tampan dan segak. Sekali imbas, tak ubah
seperti orang korporat. Naluri seorang ibu kuat mengatakan
yang lelaki itu memang sesuai dengan anaknya.
“Hai Lina. Saya Zaid.”
“Hmm...” Tidak seperti mamanya, Lina kelihatan
tidak teruja langsung. Malahan, dia lebih suka membuat
halnya sendiri. Bermain-main dengan alas meja, pinggan,
sudu dan garpu. Sesekali, dia akan membuang pandang ke
arah lain. Mamanya yang pandai-pandai aturkan perjumpaan
ini, jadi mamanyalah yang kena layan.
“Zaid ni kerja kerajaan ke swasta?” Puan Maznah
segera melontarkan soalan. Soalan yang dirasakan wajib dan
paling utama buatnya.
“Saya kerja sendiri aje, mak cik.”
“Kerja sendiri?” Berkerut air muka Puan Maznah.
‘Alahai. Takkanlah tukang kimpal kut? Tak pun mekanik.
Kalau kerja macam ni, lebih baik tak payah. Sama teruk aje
dengan bekas menantu aku dulu.’
“Saya buat business. Kerja dengan orang leceh, jadi
lebih baik saya kerja sendiri. Saya kuli, saya jugaklah bos.”
“Ohhh...”
“Lina, awak kerja jugak, kan?” Zaid melontarkan
pandangan ke arah Lina. Sungguh dia tertarik pada wanita itu.
Memiliki wajah yang sangat redup. Sejuk mata memandang.
Memang tidak rugi kalau dibuat peneman hidup. Cuma entah
kenapa, wanita itu tidak banyak senyum.
Lina bagaikan masih dengan dunianya sendiri. Soalan
itu dibiarkan sepi. Apabila Puan Maznah menyedari kelakuan
anaknya itu, air mukanya turut berubah ketat. Namun dia
cuba mengawal rasa amarahnya daripada kelihatan.
“Dia cikgu.”
“Oh, okeylah tu.”
“Saya tengok Lina macam tak ada mood aje hari ni.
Lina okey?”
Lina masih tidak menjawab. Dia hanya mampu
menghela nafas dalam-dalam. Kepala ditunduk memandang
ke bawah. Alangkah bagusnya kalau dia berani melawan.
Kalau tidak, dah tentu dia takkan berdepan dengan semua ini.
Tempoh hari, yang datang ke rumah tidak menepati
cita rasa mama. Sebab itu mama tolak mentah-mentah.
Alasannya, sebab lelaki itu tulang belakang keluarganya.
Adik-adik masih di bawah tanggungan. Itu belum termasuk
orang tuanya lagi.
“Eh, anak mak cik sebenarnya tak berapa sihat. Tu
yang dia nampak tak bermaya.” Demi menjaga air muka, Puan
Maznah cuba berbohong. Bimbang jika bakal menantunya itu
terasa. Yalah, ketara betul air muka Lina. Kalau ya pun tak
suka, janganlah tunjuk depan-depan. Geram betul dia!
“La, kenapa tak cakap awal-awal? Kalau tak, saya
boleh tunda pertemuan ni ke hari yang lain.”
“Tak apalah. Lagipun kita dah jumpa ni, kan? So,
macam mana?”
“Saya okey aje, mak cik. Terus terang, saya memang
dah suka kat dia. Orangnya pun cantik, tak banyak cakap.
Mesti jenis yang tak suka melawan, kan?”
“Betullah tu. Mana kamu tahu, Zaid? Kamu ni
memang pandailah baca orang. Lina ni memang seorang
yang taat. Mak cik sendiri bangga dapat anak macam dia.”
Zaid hanya tersenyum. Senang baginya untuk
meramalkan perkara itu. Tengok daripada gerak-geri
dan kelakuan Lina pun dia dah tahu. Lina tidak banyak
menyampuk. Walhal air mukanya jelas menggambarkan
ada beberapa perkara yang tidak disukai ketika mamanya
meluahkan kata-kata tadi.
Bagi Zaid, ciri-ciri sebeginilah yang dicari-cari
olehnya selama ini. Tak kisahlah status dia janda ke, balu ke
apa. Asalkan wanita itu akan patuh dan taat pada kehendaknya
selepas berkahwin nanti, itu dah lebih memadai.
“Saya tertanya-tanya, kenapalah bekas suami Lina
sanggup menceraikan dia? Saya tengok Lina ni macam baik
aje.”
Terbeliak mata Lina setelah Zaid tiba-tiba
mengeluarkan kenyataan itu. Nampaknya, Puan Maznah
telah menceritakan segala-galanya. Aduh, mesti ada benda
yang ditokok tambah oleh mamanya itu. ‘Mama, mama...
bilalah mama nak berubah ni?’
“Itulah pasal. Kamu nak tahu tak, bekas menantu
mak cik tu jahat macam setan. Dia tu selalu pukul anak mak
cik ni. Sampai lebam-lebam tubuh si Lina ni.” Puan Maznah
mula mereka-reka cerita.
“Mama!”
“Kamu diam, Lina. Tak payah kamu nak bela lelaki
tak guna macam tu.” Puan Maznah cepat-cepat membalas.
“Astaghfirullahalazim. Kejamnya lelaki tu, mak cik.”
“Memang. Bukan setakat Lina aje yang kena. Mak cik
pun pernah kena terajang jugak dengan dia dulu. Nasib baik
ayah si Lina ni halang. Kalau tak, memang dah lama mak cik
mati.”
“Kenapa mak cik tak report polis aje?”
“Ikutkan hati, memang mak cik nak pergi balai. Tapi
tak naklah disebabkan kes macam ni, keluarga kami jugak
yang dapat malu.”
“Betul jugak.”
“Sebab tak tahan sangat, terpaksa jugak kami pergi
mahkamah. So, sekarang ni depa berdua dah pun bercerai.
Mujur sangatlah. Kalau tidak, tak tahulah apa yang jadi.”
Lina rasa mahu bertempik. Tidak! Semua itu
bohong. Cerita itu karut semata-mata. Bukan salah Haris.
Haris tak buat apa-apa pun. Sebenarnya, mamanyalah yang
bersalah dalam hal ini. Mamanyalah yang buat rancangan
kotor demi memisahkan mereka berdua. Mamanya memang
kejam. Sangat kejam!
“Jadi, macam mana dengan cucu mak cik tu?”
“Cucu mak cik pun lelaki tak guna tu dah ambil. Mak
cik dah tak boleh buat apa-apa.”
“La, kenapa tak bawa aje kes ni ke mahkamah?
Daripada cerita yang mak cik sampaikan ni, saya yakin
Lina akan menang mudah. Mana boleh seseorang tak
berperikemanusiaan macam tu pegang anak? Silap-silap,
dideranya jugak. Kesianlah budak kecik tu.”
“Err...” Tiba-tiba saja Puan Maznah mati kata.
Nampaknya dia sudah terbelit dengan ceritanya sendiri. Nak
jawab apa ni?
Lina yang tidak tahan mendengar tuduhan kotor
terhadap Haris membuat keputusan untuk beredar.
“Mama, Lina nak balik dululah.” Lina bingkas
bangun lalu menuju ke kereta.
Puan Maznah menghela nafas berat. Ikutkan hati,
rasa nak marah. Tapi kalau dia terus duduk di situ, bimbang
pula diasak cerita tentang Haris tadi. Silap hari bulan, umpan
boleh makan tuannya nanti.
“Err... kalau macam tu, mak cik minta diri dululah
ya, Zaid. Faham-fahamlah... anak mak cik tu kan trauma
dengan nama bekas suami dia tu. Jadi, dia tak boleh dengar.
Apa kata kita jumpa lain kali?”
“Oh ya, ya. Baiklah. Kita jumpa lain kali. Kirim salam
saya kat dia, ya?”
“Okey.”
“Bye mak cik. Hati-hati.”
“Bye.”
Seraya itu, cepat-cepat Puan Maznah mendapatkan
Lina. Dia dah tak mahu kisah apa pun tanggapan Lina
terhadapnya. Asalkan rancangannya untuk menyatukan Lina
dengan orang yang lebih layak tercapai jua akhirnya.


*KELUARAN OGOS 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

No comments:

Post a Comment