DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu - Prolog




TIK!
Detik itu menunjukkan pukul 12 tengah malam.
Istilah tepatnya ialah pukul 12 pagi. Bermakna hari pun turut
bertukar. Dari hari Selasa ke hari Rabu. Bagi kebanyakan
manusia yang hidup di atas muka bumi ini, perkara itu
tidaklah menghairankan buat mereka semua. Tetapi tidak bagi
Haris. Baginya, inilah saat-saat yang paling dinantikannya.
Genap tiga bulan dia bersabar, mahu mendengar kata putus
daripada seseorang. Sesungguhnya, dia masih lagi berharap
agar masih ada sinar yang akan menerangi kehidupannya.
Seketika, Haris menarik nafas dalam-dalam. Sempat
dia melontarkan pandangan ke arah sebatang tubuh yang
sedang meringkuk lena di atas katil. Tangan mengusap
lembut lalu dihadiahkan kucupan mesra di dahi itu.
“Doakan ayah ya, sayang.” Haris kedengaran
meminta.
Saat itu, dia terus mendapatkan telefon bimbitnya. Ya,
dia akan menghubungi seseorang pada waktu-waktu malam
begini. Jika diikutkan, memang melampau tindakannya
kerana mengganggu orang yang sedang tidur. Tapi Haris tak
punya pilihan lain. Dia sangat terdesak.
Nombor kesukaan terus dipilih lalu didail. Sambil
menanti panggilannya disambut, Haris cuba menarik nafas
untuk mengawal debaran yang memalu dada. Harap-harap
tak tidurlah si dia itu. Rindunya! Lama sungguh tidak
mendengar suara itu di cuping telinganya.
“Helo, assalamualaikum.”
Sejurus mendengar suara itu, Haris memanjatkan
rasa syukur dalam hati. Bibir mengukir senyum tanpa
dipaksa. Ternyata si dia pun masih belum tidur. Mungkin si
dia pun sedang menanti panggilan daripadanya. Haris seakan
dapat menghidu akan perkhabaran baik yang bakal diterima.
“Waalaikumussalam, sayang.”
Akhirnya, setelah tiga bulan Haris bertahan daripada
menyebut panggilan keramat itu, hari ini dapat juga dia
berbuat demikian. Sepanjang tempoh itu juga, dia langsung
tidak menghubungi si dia kerana mahu memberi ruang dan
masa untuk si dia menenangkan fikiran. Biarpun haknya
sendiri terpaksa diabaikan, dia rela berkorban asalkan dapat
memulihkan semula keadaan.
“Sayang sihat?” Haris terlebih dahulu bertanya.
“Sihat. Abang?”
Hanya Allah saja yang tahu betapa gembiranya
perasaan Haris apabila mendengar panggilan itu ditujukan
kepadanya. Rasa sebak dan sayu turut bersatu dalam jiwa.
‘Sayang... abang ingat awak dah lupakan abang,’
bisik Haris dalam hati.
“Alhamdulillah. Abang sihat, sayang.”
“Alya tengah buat apa tu bang?”
“Dia baru aje tidur.”
“Ohhh...”
Memandangkan sudah lama tidak berbual, tiba-tiba
masing-masing berasa kekok. Akibatnya, hampir seminit juga
talian itu sepi. Hanya hembusan nafas kedengaran di hujung
telinga mereka.
Haris tahu, jika dia terus mendiamkan diri begini,
pasti peluangnya untuk kembali bersama seperti dulu akan
menjadi tipis. Nak tak nak, dia harus memulakan bicara.
Namun begitu, belum sempat pun dia bersuara, telinganya
terlebih dahulu disapa dengan suara itu.
“Abang...”
“Ya sayang.”
“Lina rasa kita terpaksa juga berpisah, abang.
Mungkin ini jalan yang terbaik untuk kita berdua.”
Langit seakan runtuh lalu menghempap kepala
Haris. Mati kata-katanya sejenak. Rasa macam tak percaya
dengan apa yang baru didengari. Baru saja dia berkira-kira
hendak bina hidup baru bersama Lina, rupa-rupanya impian
itu tidak kesampaian.
“Tapi kenapa? Apa salah abang, Lina?”
“Abang tak salah apa-apa. Cuma Lina yang tersepit
dengan keadaan.” Suara itu turut kedengaran hiba.
“Lina... awak tak boleh buat macam ni. Awak kena
fikirkan pasal kita. Walaupun awak tak mengaku, abang
tahu yang awak masih sayang abang. Kalau tak, awak takkan
tunggu panggilan daripada abang, kan?” Haris cuba menduga.
Lina hanya membisu. Ya, dia sendiri tidak dapat
menafikan perkara itu. Ternyata Haris bijak membaca isi
hatinya. Tapi, apakah lagi yang dia boleh buat? Semua
yang berlaku ini bukan kehendaknya. Daripada dia terus
menyeksa diri mahupun suami kesayangan, baik dia akhiri
saja hubungan yang terbina ini. Lagipun Lina yakin, selagi
mereka bersama, selagi itulah masalah rumah tangga akan
tetap membelenggu hidup mereka.
“Lina dah tak boleh buat apa, abang. Ini keputusan
yang Lina rasa elok untuk semua pihak.”
“Awak tak fikirkan anak kita? Tak kesian pada dia
kena tanggung semua ni sedangkan dia masih kecil lagi?”
Lina hanya membisu. Ugutan itu sedikit sebanyak
membuatkan dia terjerat. Ya, bukan dia tidak pernah fikirkan
perkara itu. Malahan siang malam dia tak dapat tidur
gara-gara memikirkan apa yang berlaku.
Sebagai seorang ibu, sudah tentu dia lebih prihatin
dengan apa yang terbaik buat si anak. Dan hanya jalan ini
jugalah yang dirasakan lebih tepat. Seperti yang dia katakan
awal-awal tadi, keputusannya ini adalah terbaik untuk semua
pihak. Baik kepada dirinya, mahupun suaminya. Bahkan
kepada zuriat mereka sendiri.
“Abang. Tolonglah hormat keputusan saya ni. Saya
dah fikir masak-masak. Dulu abang cakap, abang nak terima
apa aje keputusan dari mulut saya selepas tiga bulan, kan?
Jadi inilah keputusan saya. Saya rasa elok aje kita berpisah.”
“Lina sayang... tolonglah jangan buat abang macam
ni. Abang masih sayangkan Lina.” Haris sudah kedengaran
merayu sebelum menyambung kata-katanya lagi. “Kalau Lina
nak abang bagi masa lagi, abang tak kisah. Abang sanggup
tunggu Lina. Setahun ke, dua tahun ke, abang sanggup.
Tolong abang, Lina. Abang tak boleh hidup tanpa Lina.
Tolonglah faham, sayang.”
Seketika Lina hanya mendiamkan diri. Telefon
di tangan cuba ditekup bagi menyembunyikan tangisan
yang mula kedengaran. Dia tahu, keputusan ini bukanlah
kemahuan hatinya. Tapi dia terpaksa.
“Abang... nanti kita jumpa dekat mahkamah.
Assalamualaikum.” Selesai memberi salam, talian terus
dimatikan.
Terhenyak perasaan Haris apabila mendapati Lina
telah menamatkan panggilannya. Menggigil satu badan
menahan gejolak dalam jiwa. Sampai hati. Sampai hati Lina
buat dia begini. Sudah direndahkan ego seorang suami,
namun Lina masih tetap berdegil dengan keputusannya.
Tanpa mampu ditahan, dia yang sedang berperang
dengan perasaan sendiri mengalirkan air mata. Teresak-esak
dia menangisi apa yang telah berlaku. Sudah puas dia
pertahankan mahligai yang dibina, namun dalam sekelip
mata ia hancur juga.
Tatkala itu, telefon sudah diletakkan ke atas almari
kecil di sisi katilnya. Perlahan-lahan dia merebahkan diri
untuk tidur di sebelah darah daging kesayangan.
“Alya, mama dah tak mahukan ayah.” Haris meratapi
nasib sendiri. Dia meluahkan perasaan dengan seseorang
yang mungkin tidak mengerti apa-apa.
“Ayah tak tahu apa salah ayah, tapi mama dah
buang ayah, Alya.” Bagaikan anak kecil, Haris hanyut dalam
tangisannya.
Betapa deritanya perasaan yang ditanggung
sekarang. Alangkah bagusnya kalau dia tak punya perasaan.
Kalau tidak, mesti dia takkan rasa sakit begini. Peritnya
tidak terluahkan oleh kata-kata. Dan malam itu... Haris tidur
berteman air matanya sendiri. Di samping anaknya yang lena
mengulit mimpi.

No comments:

Post a Comment