DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 8

“KIKI... oh Kiki...”
Puas Qistina cuba mencari makhluk seekor itu.
Bawah katil sudah. Ruang tamu pun sudah. Bawah meja
makan lagilah. Tapi sampai ke sudah tidak kelihatan. Ke
mana pulalah haiwan kesayangannya itu pergi?
Kebetulan ketika itu, pembantu rumah yang lebih
dikenali dengan nama Kak Peah melintasinya. Segera dia
bertanya kepada wanita itu.
“Kak Peah ada nampak arnab saya tak?”
“Tak silap Kak Peah, tadi Farisha ambil. Rasanya dia
bawa ke luar kut? Main kat taman.”
Qistina menarik nafas kelegaan. Ingatkan dah kena
culik ke apa arnabnya itu.
‘Farisha ni pun satu. Kenapa tak beritahu cek su
dulu?’ Qistina bersoal sendiri. Cek su ialah panggilan anak
buahnya kepada Qistina.
“Hmm. Tak apalah kalau macam tu. Duduk dengan
Farisha tu okey lagi. Kalau duduk dengan Farish tu, entah
apalah nasib si Kiki tu.” Qistina berkata perlahan. Bukan dia
tidak kenal dengan si Farish itu. Nakalnya, astaghfirullah.
Boleh pendek nyawa dek melayan kerenahnya seorang.
Pernah suatu ketika dulu, Farish dilihat cuba
duduk di atas belakang Kiki. Apa dia ingat Kiki itu kuda ke?
Ada ke patut! Nasib baiklah papa sempat selamatkan. Kalau
tidak, dah lama tinggal arwah si Kiki itu. Bimbang kejadian
berulang, awal-awal lagi Qistina sudah bagi pesanan keras.
Hanya Farish tidak dibenarkan menyentuh Kiki. Tengok dari
jauh, boleh. Kalau tidak, nahaslah!
Tatkala itu, Kak Peah hanya tersenyum. Ya, dia sendiri
tidak menafikan perkara itu. Dia terus berlalu meninggalkan
Qistina untuk menyambung tugasnya mencuci bilik stor.
Baru saja Qistina berniat untuk duduk bersantai
sambil menonton TV, tiba-tiba saja dia tersentak. Entah
macam mana, fakta Kiki diambil oleh Farisha itu membuatkan
dia mula rasa curiga. Setahu dialah, Farisha dengan Farish
memang rapat sejak dari kecil lagi. Ke mana saja Farish pergi,
Farisha mesti ikut.
Serta-merta mata Qistina terbelalak. Dia yang tidak
sedap hati bingkas berdiri lalu menuju ke luar rumah. Dia
harus mencari Kiki sampai dapat. Harap-harap tanggapan
buruk yang bermain dalam benaknya tidak berlaku sama
sekali.
Dan setibanya di laman rumah...
“Ya Allah... arnab aku!” Qistina menjerit sakan.
Ketika itu, Kiki berada di tangan Farish. Anak
saudaranya itu dilihat baru lepas menyelamkan tubuh Kiki
ke dalam kolam ikan di halaman rumah. Menggeletar tubuh
haiwan kecil itu. Terenjat-renjat keempat-empat kakinya.
Bulu Kiki yang asalnya berwarna putih kelihatan sudah
bertukar menjadi hitam dan basah. Kotor sekotor-kotornya.
Seperti baru dilumur dengan minyak hitam, lepas itu dicelup
pula ke dalam kolam.
“Farish!” Qistina bertempik keras. Dia rasa mahu
menangis. Sampai hati Farish seksa Kiki sebegitu sekali.
Kesian Kiki dijadikan ‘ikan’ pula pada hari ni. Farish ni
memang nak kenalah. Dah arnab tu arnablah. Tak payahlah
layan macam kuda ke, ikan ke apa!
Saat itu, Farish yang mendengar amukkan ibu
saudaranya spontan melepaskan binatang itu ke tanah.
Tergolek Kiki tidak semena-mena. Macam lipas kudung
budak itu melarikan diri gara-gara takut menerima habuan
daripada cek sunya.

“ALA ADIK, marah lagi ke ni?” Qayyum kedengaran memujuk.
Sejurus pulang dari melepak dengan kawan-kawan,
Kak Peah segera melaporkan apa yang berlaku. Farish
dengan kenakalannya mempedajal haiwan kesayangan adik
bongsunya itu. Kesannya, panjang sedepa muncung Qistina.
Merajuk mungkin. Yalah, dah tak macam rupa arnab dah Kiki
sekarang. Sekali tengok, macam kain buruk pun ada.
“Tak.” Sepatah Qistina menjawab.
Qayyum tersengih. Nampak sangat adiknya itu
membohong. Kalaulah dia masih belum berumah tangga,
agaknya sampai sekarang dia tidak faham bahasa ‘pelik’ kaum
hawa ini.
“Adik...”
Qistina mendiamkan diri tanda protes. Haruslah
dia marah. Sebab abangnya itu tidak reti langsung hendak
menasihati anak. Ada ke patut didera Kiki sampai macam
itu sekali? Sekarang ini pun, Kiki tengah tidur di dalam bilik
Qistina. Penatlah tu jadi bahan mainan dua ‘ekor’ jin dalam
rumah ini.
Qayyum mengeluh perlahan. Dia tahu, dia patut
disalahkan kerana tidak berkeras dengan Farish. Segera
dilaung nama anak lelakinya itu. Hendak menyusahkan
Raihanah pun, isterinya itu sedang tidak sihat sekarang.
“Farish... meh datang dekat papa kejap.”
Ketika itu, Farish yang sedang berselindung di
sebalik tiang sudah menampakkan wajahnya. Air mukanya
nampak sedih. Ada riak kesal dan takut turut terlakar di
wajah. Sudah diagak, pasti dia kena marah dengan papanya
hari ini.
“Ya papa...” Farish menunduk. Serasa tidak berani
dia hendak menentang wajah papanya yang tegas tika ini.
Aduh... kalaulah dia tak main dengan Kiki tadi, kan dah
selamat! Hesy... Kiki tu pun satu. Lain kali cakaplah tak nak
mandi kolam, baru Farish faham.
“Kenapa Farish buat Kiki macam tu?”
“Farish tak sengaja. Farish cuma nak main dengan
dia.”
“Farish... nak main dengan haiwan bukan dengan
cara macam tu. Kalau Kiki mati tadi, macam mana?”
“Farish tak celup kepala dia papa. Farish cuma celup
badan dia. Takkan mati punyalah.”
Spontan terbeliak mata Qistina. Sakit betul hatinya
dengar. Ikut suka hati Farish saja nak celup arnab orang. Apa
ingat Kiki tu mi celup ke? Banyak cantik!
“Hesy budak ni. Orang cakap lain, dia jawab lain.
Dah... sekarang ni, papa nak Farish minta maaf dengan cek
su. Janji dengan papa, Farish takkan usik arnab cek su lagi.
Kalau sampai papa tahu Farish tak tunaikan janji, papa takkan
teragak-agak nak bagi hukuman. Faham tak?”
“Faham papa.” Farish bernada sugul.
Seraya itu, dia melangkah perlahan menuju ke arah
Qistina yang berada di sebelah. Direnung takut-takut wajah
cek sunya yang masam mencuka. Lalu tangan diangkat untuk
disuakan ke arah ibu saudaranya itu.
“Cek su. Farish nak minta maaf.”
Qistina masih tidak bersuara. Ikutkan hati, hendak
saja dia smackdown budak itu biar patah riuk. Tapi rasa
melampaulah pula. Namun begitu, apabila terdengar satu
tangisan polos menusuk gegendang telinga, serta-merta
Qistina tersentak. Terkejut dia apabila melihat anak buahnya
itu tiba-tiba menangis.
“Cek su...”
“Eh, dah... dah... jangan nangis. Cek su tak marah
pun.” Qistina terus merangkul tubuh anak itu ke dalam
pelukan.
Teresak-esak Farish menangis di situ. Dia tidak
tahu apa yang dia dah buat. Tapi apa yang dia pasti, dia tidak
sanggup jika cek su berterusan tidak menegurnya. Cek sunya
itu baik. Sebab itu dia suka usik barang cek su.
“Lain kali jangan usik Kiki cek su lagi tau.”
“Baik cek su.”
Tatkala itu, Qayyum hanya tersenyum sambil
menggeleng kepala mengenangkan telatah mereka berdua.
Cis! Ingatkan marah betul tadi. Sekali budak tu menangis,
cair juga hati adiknya itu. ‘Adik, adik... itu baru anak buah.
Belum anak sendiri lagi tau.’

No comments:

Post a Comment