DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 9

BINGIT sungguh suasana di dalam restoran
Selera Kampung hari ini. Waktu rehat tengah hari
begini sudah pastilah merupakan waktu kemuncaknya.
Ramai pekerja berpusu-pusu kerana mahu mengisi perut
masing-masing. Tidak terkecuali dengan Haris. Dia kelihatan
sedang beratur untuk memilih lauk.
Tiba jua gilirannya. Terbeliak mata tatkala melihat
pelbagai jenis juadah yang telah disediakan oleh tukang
masak hari ini. Dari kiri, terdapat ikan keli berlada, udang
masak tempoyak, ketam gulai, dan bermacam-macam lagi.
Dari kanan pun tidak kurang hebatnya. Ada sotong kunyit,
daging kicap, ikan cencaru bakar dan banyak lagi.
Memang rambang mata dibuatnya. Ikutkan hati,
memang Haris nak belasah semua makanan yang ada.
Tambahan pula dia bukannya jenis yang cerewet. Jadi
semuanya dia tibai. Namun begitu, apabila teringatkan
tentang kemampuan diri, Haris hanya mampu pasrah. Ditelan
air liur berkali-kali. Sampai naik perit tekak. Lalu dia berjalan
ke bahagian paling hujung. Cuma ada satu lauk yang mampu
diambilnya sekarang.
Sejurus menyenduk lauk itu ke dalam pinggan, Haris
tersenyum tanpa sedar. Dia harus bersyukur. Sedangkan
orang lain ada yang lebih susah daripadanya. Tak cukup
makan pakai. Malahan masih ada lagi yang tidak ada tempat
tinggal.
“Berapa kak?” Haris bertanya setelah beratur di
kaunter pembayaran.
Serentak itu, penjaga kaunter yang bertudung
manis tersebut memandang makanan yang telah dipilih oleh
pelanggannya itu. Dia mengangkat wajah, lalu tersenyum.
Senyuman yang jelas canggung. Bagai terselit rasa simpati,
namun tidak mampu diluahkan oleh kata-kata.
“Dua ringgit dua puluh sen.”
Haris mengangguk. Sebenarnya dia tidak perlu
bertanya pun kerana amaun yang cukup sudah tersedia di
tangan. Masakan tidak, kerana itulah menu sehariannya.
Saat kaki Haris ingin melangkah ke arah meja
kosong, hatinya membuak ingin bertanyakan sesuatu. Sudah
lama dia pendamkan perkara ini. Rasanya tidak salah jika dia
mencuba nasib. Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam.
Haris memandang ke tepi seketika. Mujurlah tidak
ada orang beratur di belakangnya saat ini.
“Kak, nak tanya sikit boleh?”
“Tanya apa?”
Haris menarik nafas dalam-dalam. Dalam hati,
sumpah dia rasa segan sangat sekarang. Nak tarik balik pun
dah tak boleh.
“Kalau saya ambil sambal ikan keli tu, boleh tak?
Maksud saya sambal aje. Ikan tak nak. Akak caj tak?” Haris
menelan payah air liur.
“Oh, ambillah. Akak tak caj pun.”
Bersinar mata Haris setelah mendapat jawapan itu.
Rasa mahu saja dia melompat ke awan. Memang tidak sia-sia
dia menebalkan muka.
“Terima kasih, kak.” Betapa Haris tidak dapat
menyatakan rasa gembiranya. Setelah diizinkan, dia segera
menuju ke arah menu yang terhidang lalu menyenduk
sambal ikan keli ke dalam pinggan.
Haris duduk di sebuah meja kosong. Terlebih dahulu,
dia membaca doa makan sebelum menarik nafas untuk
menikmati makanan yang sedikit lain daripada kebiasaan.
‘Sedap gila.’ Penuh rakus Haris menyuap nasi masuk
ke dalam mulut. Rasa nak berair mata sebab terlalu sedap. Itu
belum rasa ikan keli lagi. Kalau tidak, menggelupur dia atas
kerusi menikmati keenakannya.
Namun begitu, situasi tersebut tidak bertahan lama
apabila tiba-tiba saja ada seseorang duduk di atas kerusi
kosong di meja tempat Haris makan tadi. Betul-betul dia
menghadap Haris. Teh tarik miliknya sudah diletakkan ke
atas meja sebelum punggung turut dilabuhkan.
“Weh, sorang aje ke?”
“Haah. Kau nampak aku berdua ke Khalid?” Haris
cuba berlawak. Dia cuba mencari keserasian dengan lelaki
itu. Walaupun jauh di sudut hati, dia seakan tidak berkenan
dengan Khalid. Bukan sebab dia memilih atau apa. Tapi ada
sebahagian sikap lelaki itu yang sangat tidak digemarinya.
Mereka bekerja di syarikat yang sama. Namun begitu,
jawatan Khalid sedikit tinggi daripada Haris. Mungkin sebab
itulah adakalanya Khalid agak memandang rendah Haris.
Namun begitu, hubungan mereka bukanlah setakat rakan
di tempat kerja saja. Mereka boleh dikatakan mempunyai
bau-bau bacang. Pembetulan; bekas bau-bau bacang. Sebab
pertalian itu ada kaitan dengan bekas isterinya, Lina.
“Hahaha... loyar buruk nampak.” Khalid membalas.
Sejenak, Khalid menyisip air yang telah dipesannya
tadi. Sambil minum, mata tertancap ke arah pinggan Haris.
Agak terkejut dia melihatkan menu yang dijamah lelaki itu
hari ini.
“Kau makan telur mata lembu aje, Ris? Biar betul!”
“La, dah aku mengidam telur mata lembu, nak buat
macam mana?”
Khalid tergelak sakan. Alasan itu dirasakan terlalu
bodoh. Mana ada orang mengidam telur mata lembu?
Agak-agaklah kalau nak cover pun!
“Eleh, kau ni. Cakap ajelah kau tu tengah berjimat.
Senang cerita. Tak payahlah nak bohong aku.”
Haris tersedak. Hampir-hampir saja dia tercekik nasi.
Aduh! Ada hikmah rupanya dia tidak jamah ikan keli tadi.
Kalau tak, sah-sah tercekik tulang. Lantaran itu, cepat-cepat
tangannya mencapai gelas air kosong. Diteguk air itu dengan
sekali lalu. Dalam hati turut mengeluh. Kenapalah Khalid
suka sangat ‘membahan’ dia?
“Kau ni... perlahanlah sikit. Malu aku tau.” Haris
meluahkan.
Khalid hanya tergelak. Suka hatinya dapat
memperlekeh Haris. Dulu, lelaki itu pernah menewaskannya
dalam beberapa perkara. Ternyata kini, lelaki itu sudah tidak
boleh mendabik dada.
Seketika, Khalid hanya memerhatikan gerak-geri
Haris yang sedang makan. Hairan juga dia. Haris ini memang
betul-betul baik ke bagaimana? Katalah apa-apa pun, dia
tetap buat tidak tahu saja.
‘Ni bukan baik, tapi bodoh nak mampus!’ Sempat
Khalid mengutuk dalam hati.
“Aku ni kadang-kadang kesian tengok kau tau,
Haris.”
“La, dah kenapa pulak?”
“Dulu kau tak macam ni. Aku tengok sekarang,
bukan main melarat hidup kau. Itulah... aku dah pesan
banyak kali. Fikir masak-masak sebelum kahwin dengan dia.”
Khalid sudah mula memperlihatkan wajah sebenarnya.
Semasa mula-mula dapat tahu Khalid ialah dua
pupu Lina, memang Haris terkejut yang amat. Rasa macam
kecil sangat dunia. Terutama apabila Khalid mengakui yang
Lina itu ialah cinta pertamanya sejak zaman persekolahan.
“Dulu aku dah beritahu pasal mak dia tu, kan?
Mentang-mentanglah aku ni kerja kerani, mak dia tak
pandang pun. Senang-senang aje dia tolak rombongan
meminang aku dulu. Sakit betul hati aku.”
Benar. Khalid pernah memberitahu cerita itu dulu
kepadanya. Dan apabila Haris bertanyakan hal itu sendiri
kepada Lina, dia langsung tidak pernah menafikan. Namun
begitu, Lina tetap punya alasan sendiri kenapa dia menolak
peminangan itu. Bukannya disebabkan Khalid bekerja sebagai
kerani, tetapi sebab dia langsung tidak mempunyai sebarang
perasaan terhadap lelaki itu.
Dan apabila Lina mula jatuh cinta kepada Haris; yang
hanya bekerja sebagai despatch, maka Lina dengan rela hati
berusaha memujuk mamanya sampai dapat. Sebab itulah,
nak tak nak Puan Maznah terpaksa akur juga walaupun
hatinya tidak rela sepenuhnya bermenantukan lelaki yang
tidak setaraf dengan anaknya itu.
“Nak buat macam mana, Khalid. Dah ditakdirkan
jodoh aku dengan dia.” Haris menjawab.
“Tapi last-last bercerai jugak, kan?” Provoke Khalid
pula.
“Dah jodoh tak ada. Aku tetap tak boleh buat apa.”
Khalid hanya tersenyum sinis. Hajatnya nak bakar
perasaan Haris, tapi entah kenapa dia pula yang rasa terbakar.
Demi memuaskan hati, Khalid berusaha untuk bertindak
lagi. Namun hajatnya tidak kesampaian bilamana Haris
dilihat bangkit dari duduknya.
“Eh, kau nak ke mana pulak tu?”
“Aku dah siap makanlah ni. Nak pergi basuh tangan,
lepas tu nak balik pejabat.”
“La, tunggulah dulu. Aku tak habis cakap lagi ni.”
“Alah, lain kali ajelah kita borak lagi.”
“Sekejap aje. Sebenarnya aku ada banyak lagi cerita
yang aku nak beritahu kat kau.” Khalid seakan cuba untuk
mengumpan pula. Selagi dia tidak dapat kenakan lelaki itu,
selagi itulah hatinya takkan puas.
“Tak bolehlah, Khalid. Lagipun sekarang ni waktu
rehat kan dah nak habis. Aku tak nak makan gaji buta. Berdosa
nanti.” Tidak bertujuan apa-apa, Haris sekadar menyatakan
kebenaran. Namun begitu, apabila Khalid mendengar ucapan
itu, tiba-tiba telinganya rasa berbahang. Sah-sah, Haris
memerlinya.
‘Cis, tak guna!’

No comments:

Post a Comment