DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 7

BUNYI telefon yang tidak berhenti sejak tadi
akhirnya menyentakkan lena Rafiq. Dalam hati dah merungut
geram. Potong stim betul!
Sejenak, Rafiq bingkas dari perbaringan. Tangan
menenyeh mata yang sedang terpisat-pisat. Sempat dikerling
jam loceng. Spontan mata membulat. Mak aih, pukul 3.30
pagi. Selalunya yang call dia pada waktu ini hanyalah seorang.
Siapa lagi kalau bukan abangnya itu.
Tiba-tiba saja rasa risau menyerbu sanubari.
Memang dah tak ada perkara lain jika waktu ini menjadi
pilihan melainkan ia melibatkan kes kecemasan. Lalu tangan
segera mencapai telefon, lantas butang menjawab panggilan
ditekan.
“Assalamualaikum, Rafiq. Abang ni.” Suara Haris
kedengaran di hujung talian.
“Waalaikumussalam, abang. Ya, bang. Ada apa
telefon pagi-pagi buta macam ni?” Rafiq sekadar bertanya.
Ketika itu, sayup-sayup kedengaran di telinganya bunyi
suara anak kecil sedang menangis. Pasti itu anak buahnya.
Kesiannya Alya...
“Ni hah... Alya kamu ni, nangis tak berhenti-henti.
Kenapa entah. Dari pukul 1 lagi ni hah. Abang pun tak tahu
nak buat apa dah.”
“Ya Allah, kesiannya. Dia sakit perut ke bang?”
“Entahlah. Abang dah sapu ubat tadi, tapi tak
diam-diam jugak.” Haris mengeluh berat. Kemudian barulah
dia teringat tujuan sebenar dia menelefon Rafiq.
“Mak ada tak? Abang ingat nak tanya dia kenapa.”
“Ada. Kejap ya?” Rafiq segera berdiri. Kemudian
kaki mula melangkah menuju ke bilik ibunya. Pintu bilik itu
diketuk beberapa kali sebelum akhirnya wajah Puan Aidah
tersembul dengan riak berkerut dan berkedut.
“Kenapa Rafiq?” Suara serak Puan Aidah kedengaran.
Agaknya masih mamai lagi.
“Ni hah, abang telefon. Alya nangis lagilah, mak.”
Rafiq segera memberitahu sambil menunjukkan telefon
bimbitnya itu.
Terus hilang rasa mengantuk Puan Aidah. Riak panik
dan cuak mula mengambil alih. Laju bak kilat dia merampas
telefon itu daripada pegangan Rafiq.
Ketika itu, Rafiq hanya menggeleng sambil
tersenyum. Itulah dia kasih seorang ibu terhadap anak-anak.
Apa saja kesulitan yang menimpa anak, pasti jua akan dirasai
olehnya.
“Assalamualaikum Haris. Hah, kenapa Alya
menangis? Perut dia kembung lagi ke? Kamu dah sapu
ubat?” Bertubi-tubi soalan dilemparkan. Bertambah runsing
perasaan Puan Aidah apabila mendengar suara tangisan
nyaring di hujung talian. Kalaulah ada bas atau komuter
waktu-waktu begini, hendak saja dia pergi ke rumah Haris
sendiri. Tidak sampai hati mendengar cucunya berteriak
sebegitu.
“Waalaikumussalam, mak. Haris pun tak tahu mak.
Dah sapu ubat dah tadi. Tapi dia tetap nangis.”
“Jangan-jangan dia lapar tak?”
“Haris dah bagi susu, tapi dia tolak. Last-last Haris
cubalah masak bubur tadi. Dia masih tak nak jugak. Haris
pun tak tahu nak buat apa dah mak. Pukul 10 tadi, elok-elok
aje dia tidur. Tiba-tiba pukul 1 dia bangun, terus dia nangis
tak henti-henti. Agaknya dia mimpi yang bukan-bukan kut?”
Haris cuba menduga.
Bermacam-macam tanggapan buruk bermain dalam
benak Haris. Mungkin Alya bermimpi dikejar dinosaur.
Tak pun dia bermimpi dilarikan oleh orang hutan. Ada
kemungkinan. Tapi semua itu hanya telahannya semata-mata.
Seketika, Puan Aidah hanya mendiamkan diri. Akal
cuba mencerna apa sebenarnya yang sedang berlaku.
“Mak nak tanya kamu ni. Petang tadi, Alya ada galak
tak?” soal Puan Aidah. Memandangkan sakit bukanlah punca
utama, maka dia terpaksa ikut pendapat orang-orang lama.
Galak di sini bukanlah bermaksud artis yang
bernama A.Galak itu. Jauh sekali nama ayam peliharaan yang
sering dibuat laga ayam. Gatal merenyam pun tidak. Tetapi
galak ini bermaksud gembira bersungguh-sungguh. Gelak
tidak ingat dunia.
Haris cuba mengingati apa yang berlaku kepada Alya
semalam. Semasa hantar Alya ke rumah ibunya, dia masih
lagi okey. Baik, sopan, lagi manja. Gelak biasa sambil letak
jari dalam mulut.
Oh ya! Baru Haris teringat sesuatu. Selepas saja ambil
Alya dari rumah ibunya untuk dibawa pulang ke rumah, Alya
agak lain macam sikit. Anaknya itu ketawa tidak henti-henti.
Macam ada orang tengah bermain-main dengannya. Tapi
lepas pantau, tiada pula orang yang dilihat buat begitu.
“Yalah, mak. Haris baru ingat. Masa naik bas
semalam, Alya ketawa gila-gila. Haris pun tak tahu kenapa.”
“Hah! Sebab itulah. Aduh...”
Perbualan itu terganggu sekejap bilamana Alya
meraung lagi. Haris meminta izin sebentar. Dia segera
mendapatkan Alya. Kanak-kanak itu didukungnya. Mulut
terkumat-kamit memujuk anak kecil itu agar menghentikan
tangisan.
“Kenapa ni sayang? Ayah kan ada ni. Shh... Shhh...
Alya budak baik, kan? Budak baik tak nangis tau.”
Bertambah kuat tangisan Alya. Entah apa yang tidak
kena pada anak itu malam ini. Kalaulah mulutnya ringan,
dah tentu masalah ini akan selesai. Selalunya, kanak-kanak
berumur lingkungan 3 tahun dah ada yang boleh bercakap.
Tapi tidak bagi Alya. Mulutnya berat sikit.
Setelah dipujuk, barulah Alya memperlahankan
tangisannya. Itu pun sedu-sedannya masih bersisa. Haris
segera menyuapkan puting ke dalam mulut Alya. Sekadar
mahu mengalihkan tumpuan.
“Helo, mak.”
“Ya, Haris. Macam mana dengan Alya, nak?”
“Macam dah okey sikit. Tapi tak tahulah kut lepas ni
meragam lagi.”
Haris mengeluh, penat. Susah rupa-rupanya hendak
menjaga anak. Sekarang ini baru dia tahu betapa besar
kesabaran yang harus dipupuk demi membesarkan seorang
anak. Entah macam manalah keadaan ibunya dulu semasa
membesarkan dia dan Rafiq.
“Tadi mak cakap Alya meragam ni sebab dia galak,
kan? Apa kaitannya? Tak fahamlah Haris.” Haris bersoal
kerana mahu tahu.
Ternyata sesi soal jawab begitulah yang sedikit
sebanyak mematangkan dirinya dalam soal pengurusan anak.
Puan Aidah sudah lama makan asam garam. Jadi dah tentu
dia lebih arif dalam bab-bab begini.
“Sebab tu orang-orang tua dulu selalu pesan; elakkan
anak-anak kecik galak petang-petang hari. Nanti malam,
confirm nangis.”
Haris mengangguk-angguk. Barulah dia tahu
pasal petua orang-orang dulu. Semasa Alya gelak semalam,
dia bukan setakat turut gembira dan ketawa. Malahan
digeleteknya lagi perut anak kecil itu supaya berterusan
ketawa. Tak ke gila namanya tu? Patutlah meragam Alya lain
macam sikit malam ini.
“Kiranya Alya ni dah terkena sampuklah ya mak?”
“Yang tu mak tak pasti. Mungkinlah kut. Tapi
mungkin juga ada sebab lain.” Puan Aidah cuba memberi
pandangan lain yang dirasakan logik juga.
“Maksud mak?”
“Hmm... agaknya dia tengah rindukan ibu dia kut?”
Terdiam Haris sejurus mendengar jawapan itu
daripada mulut Puan Aidah. Nafas dihela berat. Sejenak, dia
hanya menoleh pandangan ke arah Alya yang sedang baring
di atas katil. Masih ada esakan kecil pada wajah polos anak
kecil itu.
Alya; seorang anak yang tidak berdosa namun telah
menjadi mangsa keadaan. Kecil-kecil lagi dah mengharungi
pelbagai rintangan. Sungguh tiada ungkapan simpati yang
mampu diucapkan kepadanya. Kasihan anak itu. Kekurangan
kasih sayang lantaran perceraian ibu bapa yang tidak
sehaluan.
Puan Aidah terpinga-pinga apabila tiada sebarang
bunyi di hujung talian. Hendak kata talian terputus, nama
Haris masih ada pada skrin telefon.
“Haris?”
Serta-merta Haris tersentak. Getaran aneh pada nada
suaranya jelas kedengaran. Entah bila titisan jernih mengalir
di pipi pun dia tidak tahu. Yang pasti, dia tahu hatinya sedang
hiba mengenangkan nasib anak kesayangannya itu.
“Ya, mak.” Haris menyedut lendiran yang mula
keluar dari hidungnya. “Ma... maaf mak. Haris...” Ternyata
dia sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Lengan baju ditarik
untuk mengesat air mata yang berjuraian jatuh ke pipi.
“Kamu menangis ke Haris?”
“Eh, tak adalah mak. Ni ada pasir masuk mata.”
Haris cuba berbohong. Mana mungkin dia menggusarkan
hati seorang ibu. Sudahlah orang tua itu dikacau pada
waktu-waktu pagi begini.
“Jangan tipu mak.”
“Mana ada mak. Betul, habuk masuk mata ni.” Bibir
Haris bergetar. Menggigil tangannya cuba menahan tangis
daripada terhambur.
Ternyata Puan Aidah tidak mampu menahan
perasaannya lagi. Nampak sangat Haris tipu. Tadi cakap pasir
masuk mata. Sekarang habuk pula. Haris memang tidak
berbakat. Katalah apa saja sekalipun, Haris langsung tiada
bakat untuk menipu.
‘Menangislah nak. Kalaulah itu yang mampu
membuatkan hatimu tenang. Cuma satu yang mak nak
kamu lakukan; bersabarlah dengan semua ujian ni. Mak
akan doakan semoga Allah akan keluarkan kamu dari
semua kesulitan ni.’ Doa Puan Aidah dalam hati. Dia yang
tidak sanggup mendengar pembohongan Haris lagi, segera
memutuskan talian sebelum terduduk lalu turut menangisi
nasib yang menimpa anaknya itu.

No comments:

Post a Comment