DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 6

LINA tidak teruja pun hari ini walaupun awal-awal
lagi telah diberitahu bahawa ada seseorang mahu merisiknya.
Batinnya seakan lebih terseksa. Bukan ini yang dia mahukan
sebenarnya. Bagi melampiaskan segala rasa yang ada, dia
segera bertemu dengan Puan Maznah. Bicara dari hati ke hati
harus dilaksanakan. Tidak tahan rasanya dia menanggung
rasa sebegini lagi.
“Mama...”
Ketika itu, Puan Maznah sedang leka menyiapkan
hidangan kepada tetamu yang akan tiba di rumahnya nanti.
Mulut riang menyanyi. Tanda hati terlalu gembira dengan
bakal jodoh si anak yang disukainya.
“Ya, Lina. Ada apa?”
Lina tidak terus menjawab. Sebaliknya dia dilihat
menggigit bibir bawah. Sebenarnya dia buntu untuk
berkata-kata. Bimbang perkataan yang keluar nanti, akan
menggores hati perempuan yang telah melahirkannya itu.
Selama dia hidup bersama Puan Maznah, wanita itu memang
seseorang yang dominan. Segala keputusannya muktamad.
Sampaikan abah pun adakala terpaksa akur dengan apa saja
kehendak mamanya itu.
“Boleh tak kalau kita batalkan aje majlis hari ni?”
“La, dah kenapa pulak?” Wajah Puan Maznah
bertukar masam. Terjongket sebelah keningnya gara-gara
mahukan penjelasan.
“Lina belum bersedia nak kahwin lagilah, mak.”
Serentak itu, tangan Puan Maznah terus berhenti
menguli adunan kuih yang ingin dibuatnya. Karang elok-elok
namanya kuih badak berendam, terus bertukar menjadi kuih
kerbau mengganas pula.
“Mama bukannya nak suruh kamu kahwin terus pun,
Lina. Mama cuma nak kamu kenal dengan lelaki tu dulu.”
Lina terdiam. Pening juga dengan kata-kata Puan
Maznah. Dah kalau namanya merisik tu, bukankah nak
melangkah ke proses perkahwinan? Ke ada orang merisik,
lepas tu cabut? Tidak pula dia pernah dengar sebelum ini.
“Kamu jangan risau, Lina. Lelaki yang mama
berkenan ni, memang sesuai sangat dengan kamu. Kerja
pegawai bank. Kereta ada, rumah ada. Pendek kata, memang
bahagialah kalau kamu dapat dia.”
Lina mendengus. Sudah diagak, memang tak ada
perkara lain yang dapat menarik minat mamanya itu. Apakah
Puan Maznah ingat duit boleh menjamin kebahagiaan? Masa
dengan Haris dulu pun, sejujurnya dia benar-benar bahagia.
Biarpun Haris tidak kaya, tidak berharta sebagaimana
lelaki lain yang pernah dikenalinya, namun begitu apabila
teringatkan saja pasal Haris, entah kenapa rasa bercampur
baur bergelumang dalam dirinya. Sedih, kecewa, marah,
rindu dan dendam seakan bergaul menjadi satu.
“Tapi mama...”
“Tapi apa lagi ni?”
“Lina kan baru aje bercerai dengan Abang Haris tu.
Ini pun baru dua kali suci. Kalau ya pun, bagilah tempoh
masa sikit.”
Ternyata ayat Lina membuatkan telinga Puan
Maznah berbahang. Menjadi kepantangannya jika ada orang
seakan cuba mengajar dia yang lebih tua. Egonya seakan
dicalar-balar.
“Kau ni dah kenapa Lina? Kau masih teringat kat
Haris lagi ke? Kau ni sedar tak, lelaki tu memang tak layak
langsung untuk kau? Dulu, banyak kali aku dah cakap. Fikir
masak-masak sebelum kahwin dengan dia. Dia tu despatch.
Kau cikgu. Mana nak sepadan! Cuba celik besar-besar mata
kau tu sikit, Lina.” Puan Maznah mula menghamburkan
kata-katanya. Wajahnya sekarang tidak ubah seperti seorang
ahli sihir yang jahat. Penuh dendam kesumat.
Rasa bersalah terus menerpa ke dalam sanubari
Lina. Teringat peristiwa ketika beberapa bulan lepas. Rayuan
sang suami bagaikan kuat bermain di telinga. Mendayu-dayu.
Berharap agar dirinya difahami. Meminta supaya dirinya
dikasihani.
“Sayang... baliklah. Abang rindu sangat dekat
sayang ni. Sayang tak kesiankan abang ke?” Haris berusaha
memujuk.
Lina hanya menahan diri daripada berbicara. Hatinya
bagaikan tersentuh. Tanpa sedar, bergenang pelupuk matanya.
Namun apabila mengingatkan ugutan mama bahawa dia akan
jadi anak derhaka jika balik ke rumah suaminya, perasaannya
terus jadi kacau-bilau.
Lina tersepit. Sebagai anak tunggal dalam keluarga,
tanggungjawabnya dirasakan paling besar. Mamanya hanya
ada dia untuk diarahkan itu dan ini. Mamanya cuma ingin
kemahuannya dituruti. Mamanya hendak anak tunggalnya
itu duduk di celah ketiaknya saja. Kalau ingkar, bermakna
memang cari nahaslah.
Apabila Haris menolak cadangan untuk tinggal
bersama mamanya atas alasan kerja di bandar suatu ketika
dulu, mamanya mula merancang satu rencana. Menantu
yang ingkar harus ‘diperangi’. Halus dan tertib mamanya
bergerak. Awalnya tiada sesiapa yang syak. Sehinggalah
tali perkahwinan itu terlerai jua. Sedar-sedar buka mata,
semuanya sudah terlambat.
“Sayang tahu tak, syurga sayang terletak di bawah
kaki abang. Sayang kena patuh cakap abang, bukannya cakap
orang lain.” Haris cuba berkias. Orang lain yang dimaksudkan
sudah tentulah ibu mentuanya. Namun terpaksa dia berkias
kerana tidak suka memburukkan seseorang yang bergelar
mentuanya. Selalu sangat hatinya terluka. Sentiasa bersabar
dan berbuat baik, namun entah kenapa segala kebaikannya
tidak dipandang pun.
Ugutan itu akhirnya membuatkan Lina terkedu.
Berjuraian air mata turun membasahi pipi. Ya, dia memang
tahu pasal perkara itu. Lina serba salah. Antara mamanya dan
Haris. Namun, apakan daya untuk melawan kata-kata Puan
Maznah.
‘Ya Allah... seandainya mati lebih baik buatku, maka
aku rela. Ambillah nyawaku ini, ya Allah.’ Spontan doa itu
berkumandang di lubuk hati seorang isteri.
Ternyata Lina rasa begitu sengsara dalam permainan
ini. Seolah-olah dialah menjadi mangsa keadaan yang paling
sadis. Tanpa sebarang belas kasihan. Apatah lagi ihsan
daripada seorang ibu terhadap seorang anak.
Terasa sudah habis segala doa dipanjatkan agar
mamanya berubah. Namun siapalah dia untuk mengubah
ketentuan. Kalau sudah ajal, lari ke mana ceruk pun tetap
akan dikejar malaikat maut. Ini kan jodoh pertemuan.
Sehinggalah pada suatu hari, Haris telah memfailkan
kes nusyuz terhadap Lina. Mungkin itulah ikhtiar terakhir
yang dapat difikirkan. Dia mahu isterinya kembali taat atau
berhadapan dengan kemungkinan untuk diceraikan. Apabila
bercerai dengan cara ini, sudah pasti Haris akan memastikan
hak jagaan anak jatuh sepenuhnya ke tangannya.
Ternyata Haris berjaya. Bukan setakat Haris saja yang
meraikan kemenangan ini, tanpa disangka mamanya pun
sama. Lina tidak salahkan Haris kerana Haris sememangnya
berhak mendapat pembelaan kerana telah lama teraniaya.
Cuma apa yang paling dikesalkan, apabila Puan Maznah
langsung tidak mengerti perasaan anak sendiri.
Puan Maznah rela kehilangan cucu asalkan
penceraian itu berlaku. Mamanya itu bagaikan terlupa bahawa
kasih ibu dan anak tidak patut dipisahkan. Sebagaimana
mamanya tidak boleh berpisah dengannya, begitulah dia juga.
Dia tidak boleh berpisah dengan Alya.
Tapi apa yang mamanya buat? Siap bersorak lagi
kerana hubungannya dengan Haris ternoktah jua akhirnya.
“Mama tak patut buat saya macam ni.” Entah kenapa,
setelah sedar dari memori lalu, ucapan itu meluncur mudah
dari mulut Lina.
Mencerlang bebola mata Puan Maznah. Tangan
sudah mencekak pinggang. Nafasnya seakan mula turun naik.
Tajam pandangannya menikam anak mata darah dagingnya
itu.
“Kenapa? Apa yang aku dah buat dekat kau?” Puan
Maznah cuba mencari maksud tuduhan sebenar yang mahu
dilemparkan.
Kecut perut Lina untuk menjawab. Kalau nada
mamanya dah tinggi begitu, baik jangan cari pasallah. Masa
kecil dulu, pernah batang paip hinggap di belakang tubuhnya.
Gara-gara tertinggikan suara.
“Kalau kau nak cakap aku ni tak patut, lebih baik
aku tak payah susah payah teran kau keluar dulu. Aku ni
bergadai nyawa, tahu tak? 5 jam duduk dalam labour room
tu. Rasa macam nak mati aje. Kalaulah aku tahu kau nak jadi
anak derhaka macam ni, lebih baik aku mati aje hari tu. Lagi
bagus.” Puan Maznah berkata kasar tanpa mempedulikan
apa-apa lagi.
Lina mengeluh berat. Air mata yang mahu tumpah
sedaya upaya cuba ditahan. Kenapalah dia diseksa begini? Dia
tahu mamanya sangat sayangkan dia. Tapi cara Puan Maznah
menyayanginya sangat pelik.
Tiba-tiba perbualan itu diganggu oleh seseorang.
Encik Zainal muncul dan menegur isterinya.
“Kenapa ni? Dari tadi lagi saya dengar bising-bising
sampai kat luar sana tu.”
“Awak tak tahu apa-apa, baik awak diamlah. Jangan
masuk campur urusan kami anak-beranak.”
Encik Zainal terus senyap tidak berkutik. Sudah
masak benar dengan olah isterinya itu. Jika disekat anginnya,
bimbang bertambah rumit keadaannya nanti. Nak tak nak,
terpaksalah dia berundur.
“Yalah mama. Lina ikut ajelah apa yang mama nak.”
Akhirnya Lina terpaksa akur juga.
Demi mengubati hati sendiri, kaki cepat-cepat
melangkah masuk ke dalam bilik. Tutup saja pintu, linangan
air mata mula mengalir lesu jatuh ke pipi. Lina mendapatkan
gambar Alya yang terletak di atas meja solek.
“Maafkan mama, Alya. Mama tak berniat pun nak
jauh daripada Alya. Tapi keadaan yang memaksa mama.” Jari
mengusap lembut wajah anaknya.
Sejenak, Lina meliarkan mata ke arah pintu. Yakin
tiada sesiapa yang akan muncul di situ, tangan segera merelai
bingkai gambar tersebut. Mahu mendapatkan gambar
seseorang yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan
mamanya.
Tidak lama, terpampanglah gambar Haris yang
sedang berselfie dengannya berlatarbelakangkan Taman
Botani di Putrajaya. Gambar yang jelas membuktikan
kemesraan. Gambar yang kalau nak diikutkan, sudah cukup
menjadi bukti kebahagiaan mereka.
“Abang...” Esakan kecil mula kedengaran. Lina
membawa gambar itu ke hati lalu memeluknya erat-erat.
“Lina minta maaf.” Semakin kuat esakannya.
“Lina rindukan abang sangat-sangat.”
Lina tertidur bertemankan air mata. Terasa perit
dalam jiwa mengenangkan apa yang telah berlaku kepada
dirinya.

No comments:

Post a Comment